Translate

Friday 28 June 2013

Fonetik dan Fonologi

Bidang fonetik dan fonologi dalam bahasa, banyak pengkaji telah membuat kajian mereka berserta dengan generalisasi yang tertentu bagi memperkukuhkan dapatan dan hujah mereka. Fonetik adalah proses mengkaji bunyi bahasa. Menurut Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo (2007) bunyi adalah kesan yang didengar oleh telinga yang berlaku apabila udara dari paru-paru keluar melalui pita suara ke rongga tekak, kemudaian terus keluar ke rongga hidung. Semasa udara keluar melalui rongga tekak dan rongga mulut atau rongga hidung, udara mungkin mengalami gangguan atau sekatan atau mungkin tidak. Uadar yang keluar dalam bentuk gelombang itu mengenai bahagian gegendang telinga dan terhasillah bunyi. Harimurni Kridalasana (1984) dalam kamus Linguistik mentarifkan fonetik sebagai ‘ilmu yang menyelidiki penghasilan, penyampaian dan penerimaan bunyi bahasa’. Manakala Abdullah Hassan (1993) pula memberi penjelasan bahawa fonetik adalah ‘pengkajian terhadap unsur-unsur dalam bentuk bunyi’ (dlm. Modul Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, 2012).
Turut menyatakan pandangan, Abdullah Hassan, et al.(2006) menjelaskan bunyi bahasa sebagai bunyi-bunyi yang dipersetujui oleh masyarakat penuturnya sebagai sesuatu yang bermakna. Bagi sarjana barat, tarifan mereka terhadap fonetik dikatakan sebagai ‛the body of speech sounds of any one language, and their telation to one another,’ (C.L.Barnhart & R.K.Banhart,1981). Manakala bagi Fonologi ianya menjurus kepada mengkaji bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa itu (Abdullah Hassan, 1993). Seorang lagi sarjana tempatan iaitu Harimurti Kridalaksana (1984) memberikan definisi fonologi sebagai bidang dalam linguistik yang menyelidiki bunyi-bunyi bahasa mengikut fungsinya. Sarjana barat Parker,F.(1947) mengatakan fonologi sebagai ‛...suatu bidang yang mengkaji sesuatu bahasa, iaitu rumus-rumus yang menentukan sebutan.’ Sementara J. Clark dan C. Yallop (1995) menegaskan, ‘phonology is concerned with the organization of speech within specific languages.’ Jelas menunjukkan bahawa bidang fonetik dan fonologi adalah berkait rapat dan menjurus kepada aspek bunyi-bunyi bahasa dan sebutannya.
Dalam aspek pemerolehan bahasa, Jacobson ingin mengetahui sejauh mana hubungan antara proses pembelajaran bahasa usia kanak-kanak dengan teori fonologi (Paitoon, 2002). Dalam hal ini, Jacobson telah dapat menghasilkan rumus-rumus yang memperlihatkan perkembangan bahasa kedua-dua orang kanak-kanak yang dikajinya. Rumus-rumus tersebut adalah seperti, rumus yang pertama ialah pemerolehan bahasa kanak-kanak yang ada hubungannya dengan kajian fonologi. Menurut beliau, kanak-kanak mula mempelajari bahasa dengan mengungkapkan bunyi bahasa terlebih dahulu. Seterusnya, pemerolehan bahasa kanak-kanak berlaku secara berperingkat-peringkat berdasarkan perkembangan alat penghasilan bunyi bahasa. Manakala peringkat ketiga, adalah bunyi vokal lebih mudah disebut daripada bunyi konsonan.
Bagi seseorang kanak-kanak yang berusia rendah, terdapat banyak teori pembelajaran yang dapat dikenal pasti berhubung dengan pemerolehan bahasa seperti Teori Behaviorisme, Teori Mentalis, dan Teori Interaksionalis. Secara umumnya, kanak-kanak yang mula-mula belajar berbahasa berlaku secara semulajadi (natural) tanpa perlu menghadiri kelas-kelas formal sebaliknya berlaku tanpa disedari oleh mereka. Justeru, dapat dikatakan bahawa bidang fonetik dan fonologi adalah proses dan tindakan mempelajari bahasa. Dalam konteks bahasa Melayu ianya diperolehi melalui pergaulan, pengalaman dan pembelajaran secara formal mahupun tidak formal.


Morfologi

Menurut Nik Safiah Karim, at el. (2008) dalam bukunya Tatabahasa Dewan mendefinisikan morfologi sebagai satu bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan sebagai susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.

Di samping itu, Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam (1986) (dalam modul) pula mendefinisikan morfologi sebagai satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukannya. Selain itu, Marzukhi Nyak Abdullah & Samsu Yaacob (1993) (dalam modul) turut mendefinisikan morfologi sebagai kajian tentang struktur dalaman kata-kata atau bentuk-bentuk kata. Bidang ilmu bahasa yang membicarakan atau mempelajari selok belok struktur kata serta pengaruh perubahan-perubahan struktur kata terhadap golongan dan erti kata.

Pelbagai pandangan turut diberikan berhubung dengan bidang morfologi ini di mana Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) (dalam modul) menyatakan ianya merupakan kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa termasuk infleksi (pengimbuhan), terbitan dan pemajmukan. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu (tatabahasa) dikenali sebagai morfem. Morfem merupakan unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Perkataan ialah bentuk bahasa yang terkecil juga, tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat.

Sesuatu perkataan itu dibentuk daripada satu morfem atau lebih. Perkataan ajar, misalnya, terdiri daripada satu morfem, tetapi perkataan mengajar pula mengandungi dua morfem, iaitu meng- dan ajar. Ada perkataan yang mengandungi lebih daripada dua morfem. Morfem boleh bersifat bebas atau terikat.  Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian.  Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain.  Sebagai contoh, perkataan sekolah dan laut ialah morfem-morfem bebas, tetapi imbuhan  ber-  dalam bersekolah  dan –an  dalam lautan  ialah morfem-morfem terikat, oleh sebab unit-unit itu tidak boleh wujud tanpa kata dasar.


Kesimpulannya, proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam kebanyakan bahasa proses pembentukan perkataan melibatkan pengimbuhan. Jelas, morfologi merupakan satu bidang bahasa yang penting dan harus difahami dengan baik.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan  (FPK) adalah asas serta panduan bagi seseorang pendidik mendidik pelajarnya untuk Berjaya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan   dulunya disebut sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996. Oleh yang demikian, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membawa, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada di landasan yang betul.
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum dalam tahun 1988, penggubalan Falsafah Pendidikan Negara (FPN)  dilakukan dengan penuh pertimbangan yang teliti dengan merujuk kepada Penyata Razak 1956, Laporan  Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan JK Kabinet 1979, Rukunegara, Prinsip-prinsip pendidikan, Matlamat pendidikan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Berikut adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK):
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut, dapat dihuraikan bahawa pendidikan di Malaysia adalah bagi memperkembangkan potensi di dalam individu secara menyeluruh dan bersepadu. Ini bermaksud, terdapat pelbagai potensi yang berbeza di dalam diri individu masing-masing yang boleh di gilap. Ini kerana, setiap makhluk yang diciptakan di atas muka bumi ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Namun usaha mengembangkan potensi seseorang itu haruslah dilakukan secara menyeluruh dan tergabung antara satu sama lain. Tujuan pengembangan ini adalah bertujuan mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Justeru, jasmani, emosi, rohani, intelek dan social (JERIS) ini haruslah seimbang di dalam diri seseorang individu. Ini kerana, kepandaian intelektual seseorang itu tidak memadai jika akhlaknya rosak, emosinya terganggu serta kesihatannya terjejas. Pendidikan merupakan satu perjalanan bagi mencari kebenaran dalam mendidik insane yang bergelar pelajar. Apabila wujud insan yang seimbang intelek, rohani, emosi, sosial serta jasmaninya, maka lahirlah rakyat yang berilmu, bertanggungjawab mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Apabila masyarakat sesebuah negara berilmu, maka ilmu yang diperolehi itu boleh dimanfaatkan pada diri sendiri dan masyarakat sekitar sekaligus dapat mempertahankan kedaulatan dan kemakmuran negara.
Dalam memastikan pencapaian matlamat pendidikan di negara ini, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) secara menyeluruh  yang diperkenalkan sebagai peringkat percubaan di 305 buah sekolah rendah seluruh Malaysia 1982 dan diikuti perlaksanaan sepenuhnya di semua sekolah pada tahun 1983 adalah berteraskan Falsafah Pendidikan Negara  (1988) dan seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada tahun 1993 Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dijenamakan semula dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah serta menggantikan mata pelajaran seperti Alam Dan Manusia dengan Sains dan Kajian Tempatan pada tahun 1994. Usaha ini bertepatan  dengan mengakui bahawa dengan peredaran zaman yang membawa bersama pelbagai perubahan dan cabaran baru, sudah tiba masanya kita melihat semula pelaksanaan agenda ini. Ini termasuklah usaha memperbaiki kelemahan yang wujud, memantapkan strategi dan pendekatan sedia ada dan sekali gus merintis pembaharuan (pioneering change) terhadap sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) telah menggariskan matlamat pendidikan adalah seperti berikut:

1.
Memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan  yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI);
2.
Meningkatkan kreativiti dan inovasi dan budaya ilmu pelajar;
3.
Membudayakan sains dan teknologi dan pembelajaran sepanjang hayat;
4.
Menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, dan
5.
Meningkatkan matlamat pendidikan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Pada peringkat sekolah rendah, matlamat pendidikannya menjurus kepada penekanan utama ialah Kemahiran Asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Aspek yang tekandung dalam kemahiran asas ialah 3M ialah kemahiran pertuturan, pendengaran, pembacaan, penulisan serta amalan dalam penggunaan empat operasi matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Penyerapan nilai-nilai murni dilakukan secara menyeluruh melalui semua mata pelajaran. Bagi mata pelajaran Agama Islam, pengajaran nilai-nilai murni dijalankan secara khusus.
Konsep kesepaduan KBSR pula berikutnya, menggariskan unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ianya merangkumi aspek teori dan amali serta nilai murni bagi melahirkan insan yang seimbang. Pembelajaran di bilik darjah diperkukuhkan melalui kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah (http://skdarau.tripod.com/kbsr.htm). Komponen ini akan digilap, lentur, asuh, dan didik melalui Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR 1981) yang digunapakai oleh seluruh sekolah di Malaysia bagi memastikan setiap kanak-kanak menjadi warganegara yang mempercayai Tuhan, komited dengan wawasan Negara, berminda terbuka, mahir berinteraksi, bijak bersosialisasi, berhemah tinggi dan optimistik. Jangkamasa pendidikan sekolah rendah ialah enam tahun tetapi boleh diikuti antara lima hingga tujuh tahun. Peringkat ini terdiri daripada sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan (KPM 2007).
Sehubungan dengan itu, peranan penting wacana pendidikan formal bermula di peringkat sekolah rendah. Dalam hal ini, guru berperanan efektif bagi mencapai aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) melahirkan individu seimbang, harmonis, bersepadu, dan berketerampilan kea rah mewujudkan “First Class Human Capital” seperti yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Negara Malaysia (Mohammad Johdi Salleh, et al. 2009).

Menurut Mohammad Johdi Salleh, et al. (2009) pendidikan sekolah rendah amat penting dalam memastikan sistem pendidikan Negara berjalan lancar dan matlamat  pembangunan Negara dapat dicapai dengan maksimum. Kementerian Pelajaran Malaysia (2000) menyatakan objektif persekolahan sekolah rendah ialah membantu perkembangan diri murid; persediaan persekolahan; persediaan persekolahan menengah; pemahaman budaya dan kemahiran sosial; pembinaan minat; keagamaan dan moral; dan, sedia member sumbangan kepada masyarakat dan negara.

Monday 24 June 2013

Institusi pemerintahan &SISTEM RAJA/MAHARAJA DI CHINA

INSTITUSI -  STRUKTUR / MEKANISMA ATURAN  SERTA  KERJASAMA SOSIAL – MENGAWAL PERLAKUAN

PEMERINTAHAN  - SATU BADAN –PERUNDANGAN – JAWATAN – TUJUAN MENTADBIR / MENGURUS SESEBUAH NEGARA

FUNGSI PEMERINTAHAN:
1. KEAMANAN
2. KUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG
3. WUJUD KEDAMAIAN

JENIS PEMERINTAHAN:
1. BERAJA (MONARKI)- SATU
2. REPUBLIK
3. OLIGARKI
4. ARISTOKRASI
5. DEMOKRASI
6. FEUDAL
7. KOMUNISME
8. ABSOLUTISME

SISTEM RAJA / MAHARAJA DI CHINA
Dalam masyarakat china,sistem beraja @ maharaja menduduki hierarki teratas dlm struktur sosial.
Pemahaman konsep beraja amt dpegang oleh msyrkt china utk mpertahankan kerajaan agar kekuasaan dpt dijamin dlm pmerintahan.
Pada abad ke-19,zaman pmrntahan china dkenali sbgabad org Eropahyg blumba2 dtg ke china utk m’uasai pdggn. Pmrntahn raja@beraja china tgugat.
Kedatangan Barat m’ancam budaya yg diamalkan di china.
Perubahan blku akibat zamanRenaisans di Eropah yg mnekankan kptgn humanisme, logik&demokrasi.
Renaisans bkmbang krna amalan dasar ekonomi mekantilisme dgalakkan pd abad ke-16 & 17.Setiap negara blumba2 utk mngumpul kkayaan bg lambang kkuatan negara.
Putera Henry mnntang Islam & b’usaha mgalakn pelayaran org Portugis ke luar Eropah.Tindakan beliau:
a) Mjmput pakar2 dlm matematik,kartografi & astronomi serta org Islam yg dtawan mpunyai pgtahuan dlm playaran.
b)Menubuhkn sekolah playaran & pkapalan.


Masyarakat Agraria

Ekonomi- gabungan kata Greek, iaitu oikos da oikonomia
bermaksud segala tindakan yang berkaitan dengan pengeluaran atau pengedaran barangan ekonomi.
L. Robbins dalam karyanya, An Essay on the Nature and Significane of Economic Sciences, ekonomi ditakrifkan sebagai sains yang mengkaji tentang perangai manusia sebagai hubungan antara matlamat akhir dan barangan terhad yang mempunyai kegunaan alternatif.
J.S Mill, ekonomi sebagai sains praktikal tentang pengeluaran dan pengagihan kekayaan. 
Holton dalam bukunya, Economy and Society menyatakan bahawa komponen-komponen ekonomi harus mempunyai penggunaan dan pengeluaran, produktiviti dan inovasi teknologi, pasaran, kontrak, wang simpanan, organisasi ekonomi, pembahagian buruh, ekonomi masyarakat dan sebagainya.
Adam Smith pula, ekonomi ialah kajian tentang sifat-saifat dan sebab-sebab kekayaan negara (Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, 2001:301).

Tiga peringkat pembangunan dalam sejarah ekonomi:
(a)Ekonomi Primitif
Mengamalkan semua pengeluaran asas seperti tanah dan air sebagai milik bersama.
Konsep keuntungan individu masih belum diutamakan.
(b) Ekonomi perhambaan
Penggunaan hamba dijadikan faktor pengeluaran.
Hamba dijadikan buruh-buruh di ladang dan tidak dibayar gaji, sebaliknya terikat dengan majikan sehingga sampai satu masa yang ditetapkan.
(c) Ekonomi Feudal
Sistem ekonomi yang mempunyai peraturan dan ketetapan yang harus dipatuhi oleh golongan buruh.
Ketua-ketua feudal mempunyai kuasa yang besar disokong pula golongan pembesar yang mendapat keuntungan daripada ketua-ketua feudal tersebut.



Thursday 20 June 2013

Pelancongan di Malaysia

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur - selepas China dan Hong Kong.
* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.
• Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.
• Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.
• Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.
• Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.
• Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.
• Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.
• Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.
• Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.
• Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.
• Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.

Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.
• Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.
• Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.
• Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

Masalah Remaja Kini

Pengenalan
Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai
Pengertian masalah sosial remaja secara umumnya masalah sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara. Tingkah laku remaja yang suka menghabiskan masa lapang di kompleks membeli belah, bermain permainan komputer di kafe siber, berbual kosong di kedai “fast food” seperti McDonalds dan Starbuck dan tempat tumpuan orang ramai dikenali sebagai aktiviti lepak. Masalah ini telah menjadi satu budaya kepada golongan remaja khasnya.
Budaya ini semakin memperlihatkan remaja masa kini yang tidak menyedari yang mereka adalah pewaris masa hadapan bagi menjayakan wawasan negara. Persoalannya sekarang, banyak media massa yang memberi kenyataan menyatakan pemimpin-pemimpin negara, masyarakat tempatan dan individu telah meletakkan lepak dikalangan remaja ini sebagai salah satu aktiviti sosial dan budaya yang setanding dengan isu penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS dan pembuangan anak (Azizi Yahya, et.al, 2002).
Budaya Lepak
Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh masyarakat Malaysia. Gejala membuang masa dengan melepak pastinya merupakan suatu penyakit di dalam masyarakat. Kegiatan ini bukan sahajadilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan. Tingkah laku ini dilakukan oleh golongan remaja yang menjadi golongan terbesar penduduk negara. Rentetan daripada gejala melepak ini, wujud banyak permasalahan lain dalam kalangan remaja kita yang menarik perhatian banyak pihak.
Media sering melaporkan tentang penagihan dadah, bohsia, lumba motor, lari dari rumah, mengandung sebelum kahwin, ponteng sekolah, hubungan seks sebelum kahwin dan sebagainya ekoran daripada perbuatan melepak pada peringkat awalnya. Begitu juga media mempopularkan 'budaya' hippies, punks, rokers, heavy metals dan lain-lain. Penonjolan berita tersebut yang ada ciri-ciri kontroversi sudah tentu mencetuskan perbincangan di kalangan orang ramai.
Persoalannya sekarang, mengapakah budaya lepak ini diamalkan oleh sebilangan remaja Malaysia hari ini ? Banyak kajian telah dibuat oleh para penyelidik sama ada tempatan mahupun luar negeri berhubung dengan sikap kecenderungan budaya lepak ini berleluasa. Yang membimbangkan adalah kita adalah peningkatan kes-kes devian yang melibatkan golongan ini. Menurut kajian Samsudin et. al., (1994) tingkah laku lepak dalam kalangan remaja menunjukkan secara purata remaja menghabiskan masa sebanyak 16.3 jam seminggu membuang masa berkumpul dan berbual kosong dengan rakan sebaya di tempat-tempat awam. Tambah beliau, kadar ini lebih menonjol di kawasan luar bandar iaitu di kawasan pembangunan tanah FELDA (28.4 jam) dan kampung tradisional (22.4 jam). Dalam masa setahun dianggarkan remaja akan menghabiskan 847.6 jam melepak iaitu bersamaan dengan 35 hari.
Jika dikaji dari segi sudut positif dan negatif budaya melepak ini, adakah adakah aktiviti yang dilakukan oleh remaja sewaktu melepak menunjukkan kecenderungan melakukan aktiviti devian? Kebanyakan remaja menyatakan mereka melepak sekadar berjumpa kawan, bersiar-siar, berehat, mencari ketenangan, melepaskan rasa bosan melihat gelagat orang lain atau mendapatkan hiburan. Kenyataan tersebut menunjukkan secara terbuka remaja tidak melakukan apa-apa aktiviti yang dianggap devian atau sumbang (Samsudin, et.al., 1994). Keadaan ini memperlihatkan golongan remaja yang melepak ini dengan hasrat yang murni dan tujuan yang baik.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kes yang berlaku disebabkan masalah seperti kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga. Kekurangan kasih sayang, perhatian, asuhan dan didikan akhlak daripada ibu bapa kepada anak- anak. Ibu bapa yang dibuai kebendaan dan mementingkan karier serta wang selalu mengabaikan tanggungjawab mereka keatas anak-anak di rumah. Anak-anak dibiarkan hanyut dalam dunia khayalan yang menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka mudah meyimpang daripada lunas yang murni dan berakhlak, kini mereka hidup bebas tanpa segan silu dan tidak menghiraukan masyarakat apabila melakukan pelbagai gejala sosial. Kebebasan tanpa pedoman, batasan dan didikan agama akan berakhir dengan kehancuran.
Faktor kedua ialah faktor rakan sebaya, persekitaran masyarakat, media massa dan kelemahan undang-undang memburukkan lagi keadaan. Hal ini juga menjadi pemangkin kepada meluasnya gejala sosial dalam kalangan remaja. Bagi remaja yang tercicir dalam persekolahan, kewujudan peluang-peluang pekerjaan di kawasan bandar ekoran pertumbuhan aktiviti perindustrian mengakibatkan penghijrahan meluas ke kawasan bandar. Penghijrahan remaja dari kampung bagi mencari pekerjaan di bandar-bandar mendatangkan pelbagai kesan langsung dan tidak langsung seperti masalah sosial, keluarga serta perubahan nilai dan sikap.
Terdapat pelbagai unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan gejala sosial remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas. Mereka seolah-olah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat. Desakan keluarga dan kuasa sivik membantu menghalang remaja daripada terlibat dengan aliran muzik rock yang negatif dan kesan umum daripada rakaman video. Permainan video dan pengaruh televisyen cukup sinonim dengan pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja.
Antara lain tidak dapat mengawal nafsu diri, tidak mendengar nasihat orang tua,ingin mencuba dan ingin meniru. Nafsu yang paling jahat menghantui jiwa remaja ialah terdorong kepada kegiatan jahat dan hidup berfoya-foya yang hanya dikejar ialah keseronokan dan kemewahan tanpa memikirkan masa depan. Mereka melakukan perkara-perkara yamg melampaui batas dan boleh menggelapkan naluri mereka, sehinggakan terjebak dalam lembah maksiat semata-mata nengejar keseronokan dan kemewahan. Pengabaian bimbingan, asuhan dan pendidikan remaja mengakibatkan kelahiran pelbagai gejala sosial seperti samseng sekolah, budaya lepak, tidak minat belajar, vandalisme, berjudi, lari dari rumah, penyalahgunaan dadah dan pil khayal, bohjan, pengguguran dan pembuangan anak, budaya punk, ’skinhead’’black metal’, lumba haram dan sebagainya.
Peranan Ibu Bapa dan Sekolah
Peranan ibubapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik.
Menurut Kaplan (1975) (dalam Azizi, 2002) budaya lepak adalah berkaitan dengan psikopatologi iaitu mengalami masalah personaliti, gangguan mental, gangguan emosi, selalu anxieti atau depresi. Didapati juga kebanyakan golongan remaja yang terlibat dalam budaya lepak mempunyai masalah keluarga, sukar membina hubungan rapat dengan ahli keluarga dan sebagainya. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa mereka bersama dengan anak-anak mereka dengan memberi keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan.
Selain itu, tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
Sejajar dengan pentingnya fungsi ibu bapa yang ideal dengan cara mengetahui asas perhubungan sesama manusia. Ibu bapa boleh mmembesarkan anak-anak yang bertanggungjawab, berdisiplin dan bekerjasama tanpa bergantung kepada perasaan takut. Mereka boleh belajar mempengaruhi anak supaya berkelakuan lebih baik seperti yang dikehendaki oleh ibu bapa daripada takut hukuman yang akan dikenakan atau keistimewaan mereka ditarik balik (Ahmad Lisot,1998). Dengan itu, menunjukkan bahawa perhubungan mesra dengan ibu bapa dapat menghindar remaja dari terlibat dengan perkara-perkara yang kurang sihat (Nelson,1992).
Di peringkat sekolah, pendekatan akademik boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akedemik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Hal ini boleh membantu para remaja dari terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang tidak elok. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti pengunaan komputer, video, bantuan alat pandang dan teknik pengajaran luar kelas. Ianya juga haruslah dikawal setiap penggunaan teknologi pada masa kini dari mengelak remaja menyalah gunakan teknologi tersebut.
Peruntukan undang-undang di sekolah boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.
Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran guru dengan sikap terbuka dan positif.
Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah kerutuhan akhlak dalam kalangan remaja pada hari ini. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana -mana pihak seperti kerajaan dan swasta (NGO), tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar dibendung dan diatasi. Jadi kita perlulah sama-sama mengatasi masalah yang kian berleluasa ini. Hal ini kerana, remaja adalah tonggak peneraju di masa hadapan kita suatu hari nanti.
Pengenalan
Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak. Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Kes Jenayah Melibatkan Golongan Remaja
Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, 6 Januari 1992). Jenayah yang dilakukan oleh remaja bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja Cina dan 47 adalah remaja kaum India.
Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992. Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes). Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.
Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat dalam kalangan remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989, 3763 kes pada tahun 1990 dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.
Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).
Punca Berlaku Dari Sudut Psikologi
Psikologi sosial adalah merupakan cabang ilmu dari psikologi yang berkisar kepada fakta-fakta, gejala-gejala serta kejadian-kejadian dalam kehidupan sosial manusia. Fenomena sosial yang dialami oleh individu terutamanya golongan remaja merupakan rantai masalah yang berakar dari masalah konsep diri. Dari situlah muncul pelbagai maslalah seperti inferioritas, kurang percaya diri, dan hobi mengkritik diri sendiri. Seseorang dikatakan mempunyai konsep diri negatif jika ia meyakini dan memandang bahawa dirinya lemah, tidak berdaya, tidak dapat berbuat apa-apa, tidak kompeten, gagal, malang, tidak menarik, tidak disukai dan kehilangan daya tarik terhadap hidup.
Orang dengan konsep diri negatif akan cenderung bersikap pesimistik terhadap kehidupan dan kesempatan yang dihadapinya. Ia tidak melihat tantangan sebagai kesempatan, namun lebih sebagai halangan. Orang dengan konsep diri negatif, akan mudah menyerah sebelum berperang dan jika gagal, akan ada dua pihak yang disalahkan, entah itu menyalahkan diri sendiri (secara negatif) atau menyalahkan orang lain (Edwi Arief Sosiawan, http://edwi/.dosen.upnyk.ac.id).
Ahli psikologi menganggap alam remaja sebagai satu peringkat “emotional age” kerana di peringkat ini mereka tercari-cari identiti sendiri di mana berlakunya pertembungan di antara keinginan dan kebimbangan dalam menempuhi alam dewasa. Ramai daripada golongan remaja terjebak dengan gejala sosial serta meninggalkan batas keperibadiannya sekaligus melupakan nilai moral yang sepatutnya tersemai di dalam diri mereka. Remaja memperoleh kesedaran pada diri mereka sebagai individu, rakan sebaya, pekerja, dan ibu bapa yangberkebolehan serta sebagai individu yang baru.
Tarikan pada jantina berlawanan akan muncul, pencarian idea dan orang yang boleh dipercayai juga bermula. Pengharapan baru pada diri mula diadaptasikan. Imej-imej kendiri ini mulanya cenderung menjadi fleksibel dan sedikit demi sedikit akan berubah mengikut masa, tempat dan situasi. Akhirnya, para remaja akan menyediakan diri menanggung beban identiti yang serius serta berusaha menyelesaikan krisis identiti yang berlaku dalam perhubungannya dengan orang lain.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini lebih terdedah kepada pelbagai bentuk pengaruh. Dalam dunia yang disebut “borderless world” ini banyak menerima pengaruh positif mahu pun negatif. Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd Ali, 1997). Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku ini dikenali pelajar devian. Dalam konteks jenayah remaja kini, sifat devian mereka dirujuk sebagai perlanggaran norma-norma masyarakat.
Punca Berlaku Dari Sudut Sosiologi
Sosiologi sebagai ilmu yang mempelajari hubungan-hubungan sosial yang ada dalam masyarakat, memfokuskan kajiannya pada peran dan kedudukan individu dalam masyarakat serta hubungan di antara keduanya. Sehubungan dengan hal ini beberapa pemikir sosiologi pun terbagi menjadi tiga kelompok, yaitu mereka yang menekankan kajiannya pada 1) dominasi individu; 2) dominasi masyarakat; dan 3) saling pengaruh antara individu dan masyarakat. Sesuai dengan skop tugasan ini yang menyatakan kes jenayah dalam kalangan remaja semakin meningkat akan dilihat dari sudut siosiologi iaitu cakupan pengaruh luaran dan hubungannya.
Budaya lepak yang berkembang dalam kalangan remaja mempunyai kecenderungan ke arah pembiakan pelbagai gejala keruntuhan moral yang amat serius serta meningkatkan kes jenayah dan masalah sosial yang kritikal. Pembiakan budaya jenayah, dalam hal ini, seringkali dikaitkan dengan budaya lepak. Daripada aspek lain, budaya lepak menyebabkan meningkatkan kes jenayah juvenil, kenakalan, dan jenayah ringan dan berat dalam masyarakat. Modenisasi membawa nilai baru yang dalam keadaan tertentu dapat menimbulkan krisis nilai dan dilema moral dalam kalangan belia. Penghijrahan golongan belia luar bandar ke bandar untuk mengejar perubahan menimbulkan kejutan budaya. Dalam keadaan tertentu, fenomena sosial budaya lepak ini amat mengancam keselamatan dan keamanan serta memberi gambaran buruk tentang masalah sosial dan jenayah yang membimbangkan.
Perhubungan golongan remaja dengan rakan sebaya mereka akan memberi sumber inspirasi dalam mengubah nilai dan sikap seseorang apabila pengaruh keluarga akan berkurangan. Kanak-kanak atau remaja yang berasal daripada keluarga bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang senasib dengannya dan membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Mereka akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan untuk menarik perhatian orang lain.
Kemunculan golongan rendah moral dan tidak bertanggungjawab yang menaja budaya hedinisme dalam kalangan remaja seperti Black Metal sudah cukup memberi cabaran serta saingan kepada usaha guru membimbing dan mendidik remaja sekolah ke arah pengalaman budaya sihat. Pengaruh rakan sebaya akan mencorak sikap dan nilai tingkah laku pelajar terutamanya pelajar yang berasal daripada keluarga yang bermasalah dan keciciran dalam pelajaran.
Rumusan
Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa remaja yang merupakan aset negara amat penting dan merupakan pemimpin masa hadapan. Oleh itu, perubahan tingkah laku para ke arah positif amat penting dalam memberi hala tuju yang betul dan baik bagi kehidupan mereka. Selaras dengan perkembangan dunia moden hari ini banyak cabaran telah memberi implikasi dalam hidup mereka di mana turut mencakupi aspek psikologi dan sosiologi. Keadaan ini memberi impak secara menyeluruh dalam hidup remaja yang bermasalah dan cenderung melakukan kesalahan di mana bertentangan dengan undang-undang dan norma masyarakat kita.
Bibliografi:
Ahmad Lisot. (1988). Peranan Ibubapa Yang Berkesan. Kertas Kerja Konvensyen Perkara Ketiga Di Subang.
Azizi Yahya, et.al, (2002). Faktor-Faktor Lepak dan hubungan Keibubapaan di kalangan Pelajar Remaja Di
Sekolah Menengah di Empuat Buah Negeri. Johor : Skudai.
Samsudin A. Rahim et. al. (1994). Tingkah laku lepak di kalangan remaja. Laporan kajian kepada Kementerian
Belia dan Sukan Malaysia.
Nelson, G.F. (1992). Keluarga dan Persekitaran Perspektif Ekosistem. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan
Pustaka.
Budaya Lepak. (2009). Retrived November,9, 2009, from: http://WWW.Budaya Lepak\TMK 3100.xml
PENYELESAIAN BUDAYA LEPAK. (2009). Retrived November,9, 2009, from http://www_mutiaraislam_wordpress_com.mht
 Edwi Arief Sosiawan. (2009). Retrived November,9, 2009, from: http://edwi/.dosen.upnyk.ac.id.
Akhbar:
Berita Harian, 22 September 1993
Utusan Malaysia, 6 Januari 1992
Berita Harian, 3 Februari 1992
Utusan Malaysia, 11 Mac 1993