Translate

Sunday 28 April 2013

Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia


Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia
Maran Ramping

PENGENALAN
Malaysia  adalah antara puluhan negara yang mengamalkan konsep feudalisme yang lahirnya daripada sifatnya sebagai Negara Persekutuan (federation). Sejak negara merdeka tahun 1957, konsep federalisme yang mendokong idea penggabungan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah mencetuskan idealisme kewujudan Kerajaan Pusat (central government) dan Kerajaan Negeri (state government). Namun, perpisahan Singapura pada 1965 dan penarikan Negara Brunei Darul Salam dalam Persekutuan Malayia pada 16 September 1963 bukan menjadi pokok perbincangan dalam tugasan ini, khususnya bagi membincangkan aspek Doktrin Pengasingan Kuasa di negara ini.

Perkara yang menjadi keunikan Malaysia adalah lahirnya sebuah negara persekutuan. ‘Persekutuan’, bermaksud persatuan yang mempunyai sebuah kerajaan pusat (central government) serta beberapa buah kerajaan negeri. Hal ini bermakna persekutuan mengamalkan konsep federalisme yang unggul berkaitan dengan penyelesaian konflik di dalam negara. Menurut Azmah Abdul Manaf (1994), sesebuah negara persekutuan seperti Malaysia mempunyai hak dan kuasa yang diagihkan kepada kerajaan tempatan (negeri) manakala sebahagian lagi diagihkan kepada institusi Persekutuan.

Selain itu, K. Ramanathan (1988), juga mentakrifkan konsep federalisme yang akhirnya melahirkan doktrin pengasingan kuasa di Malaysia sebagai;

‘Suatu bentuk pemerintah di mana terdapat sebuah kerajaan pusat yang mewakili wilayah-wilayah yang lain. Ia bertindak mewakili wilayah-wilayah tersebut dalam hal ehwal luar negeri. Tetapi, negeri-negeri atau wilayah-wilayah yang lain mempunyai dartjah yang sama dan bebas. Dengan adanya kuasa politik ini, ia membolehkan semua wilayah ini berkongsi dalam membuat keputusan’

Menurut beliau lagi, dalam bukunya Konsep Asas Politik telah menggariskan beberapa ciri politik federalisme (persekutuan) yang seharusnya ada bagi sesebuah negara federal seperti Malaysia.
(i)                 Terdapat pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan wilayah-wilayah lain.
(ii)               Pemisahan kerajaan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dari segi institusi politik
              seperti badan perundangan (legislative), kehakiman (judiciary), dan eksekutif (executive).
(iii)             Mempunyai perlembagaan (undang-undang) bertulis yang dipersetujui bersama.
(iv)             Mempunyai perlembagaan yang jelas.
(v)               Mempunyai badan kehakiman yang bebas untuk menjamin keadilan.

Jelas, ciri-ciri di atas  memperlihatkan  satu perkongsian kuasa yang ideal dalam sesebuah Negara Persekutuan seperti Malaysia. Tanpa ciri-ciri di atas, kewujudan sesebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme  mungkin dapat dipersoalkan (Azmah Abdul Manaf, 1994).

Selaras dengan Malaysia sebagai negara yang berdaulat dan merdeka juga, sudah tentu ianya mempunyai ciri-ciri politik yang kuat dan jitu.  Menurut Raminah Hj Sabran et al (2010), Malaysia mempunyai sempadan politik yang jelas, penduduk,  sistem kerajaan telah menjadikan negara ini Negara Persekutuan yang unik.  Sistem kerajaan demokrasi berparlimen telah membentuk Perlembagaan Persekutuan yang mantap. Keadaan ini sekaligus telah mencorakkan Malaysia sebagai negara demokrasi yang unggul dan ternama di dunia kini. Selanjutnya, aspek yang dibincangkan dalam tugasan ini adalah berkisar akan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi platform dalam menangani pemusatan kuasa yang melampau di tangan sesetengan pihak atau pemimpin bagi melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal dan unggul.

KONSEP  DOKTRIN PENGASINGAN KUASA
Dalam konteks  Malaysia sebagai negara demokrasi, pengamalan doktrin pegasingan kuasa sangat penting dan berguna bagi mentadbir urus negara ke landasan yang betul dan berjaya. Konsep doktrin pengasingan kuasa ini merupakan idea yang dikemukakan seorang pemikir barat iaitu John Locke dan dikembangkan oleh Montenquieu, seorang ahli falsafah terkemuka Perancis pada abad ke-18 (dalam Syed Ahmad Hussein, 1994) yang mengutarakan pembahagian kuasa kepada tiga badan bebas iaitu badan perundangan (legislative), kehakiman (judiciary), dan eksekutif (executive). Ketiga-tiaga badan ini di Malaysia menjalankan bidang kuasa masing-masing dan tidak menjalankan kuasa badan-badan lain.


Perundangan (legislative)
Kehakiman
(judiciary)
Eksekutif
(executive)

Menggubal undang-undang
Mengadili serta menegakkan undang-undang
Menguatkuasa dan melaksana undang-undang serta dasar-dasar awam




Jadual 1 : Konsep Pengasingan Kuasa
Sumber : Lezza (2008). Pengajian Am Kertas 1 STPM. Kuala Lumpur : Penerbit SAP.

Tujuan utama konsep pengasingan kuasa ini adalah untuk mengelakkan pemusatan kuasa dalam tangan satu pihak di mana berkemungkinan pihak terbabit akan terlibat dengan penyalahgunaan kuasa. Secara praktisnya, kuasa ditakrifkan sebagai kebolehan untuk mempengaruhi tingkah laku orang lain mengikut naluri atau kehendak seseorang. Kuasa juga boleh  didefinisikan sebagai kebolehan seseorang memaksa orang atau negara lain untuk berbuat sesuatu melalui pujukan, pemberian, janji atau paksaan walaupun mereka enggan berbuat demikian.
Dalam disiplin politik, kuasa merupakan alat untuk mencapai sesuatu matlamat atau kehendak seseorang; menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapat sokongan daripada rakyat atau negara-negara lain atau untuk melaksanakan sesuatu dasar atau untuk mencapai kepentingan sesebuah negara (Azmah Abdul Manaf, 1994). Dari sudut pandangan yang lain, kuasa yang bertindih bakal mengeruhkan keadaan dan memberi kesan ke atas pentadbiran sesebuah negara. Justeru itu, doktrin pengasingan kuasa ini dalam konteks perundangan, pentadbiran dan kehakiman wajar diberi perhatian serius dan penting  bagi mengelakkan pemusatan kuasa berlaku dalam sesebuah negara.

AMALAN DOKTRIN PENGASINGAN KUASA DI MALAYSIA
Doktrin pengasingan kuasa di Malaysia berbeza dengan doktrin asal kerana menekankan kuasa secara relatif  (kebergantungan) antara ketiga-tiga badan bebas ini. Situasi ini memberi ruang dan peluang supaya badan-badan ini bergerak bebas di samping mempunyai peranan tersendiri. Dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia, Perlembagaan Persekutuan telah mengasingkan tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara, iaitu badan perundangan (legislative), badan pentadbiran (executive) dan badan kehakiman (judiciary). Menurut Ranjit Singh Malhi (2000), idea terpenting mengenai pengasingan kuasa ialah orang yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakannya dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Ini bermakna doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan Ketua Negara yang berkuasa dalam ketiga-tiga badan tersebut.

    (a) Legislatif
    (b) Judisiary
    (c) Eksekutif
                    ( Doktrin Pengasingan Kuasa Di Malaysia)

Doktrin ini juga menjelaskan bahawa badan yang membuat undang-undang hanya dibenarkan membuat dan tidak boleh menyerahkan kuasa itu kepada badan-badan lain serta tidak boleh mempunyai kuasa-kuasa lain. Badan yang memerintah hanya dibenar menjalankan pemerintahan negara dan tidak boleh membuat undang-undang dan menjalankan kuasa kehakiman. Begitu juga dengan badan kehakiman yang hanya dibenarkan melaksana kuasa kehakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa pemerintahan. Matlamat doktrin pengasingan kuasa ialah untuk mengelakkan pemusatan kuasa di dalam tangan mana-mana pihak.

Menurut Ruslan Zainuddin (2004), struktur pemerintahan di Malaysia mengandungi ketiga-tiga badan di dalam sistem pemerintahan iaitu badan perundangan, badan pentadbiran dan badan kehakiman. Kuasa tertinggi di atas ketiga-tiga badan itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong adalah sekaligus merupakan ketua kepada ketiga-tiga cabang kerajaan. Menurut Perlembagaan Malaysia, baginda bukan sahaja memegang kuasa eksekutif malahan juga kuasa perundangan. Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa memerintah Persekutuan dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa perundangan Persekutuan.

Dari segi perundangan, Bab 4, Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan  meletakkan ‘Kuasa Legislatif Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang mengandungi Yang di-pertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.’ Dalam hal ini, fungsi dua dewan dan Yang di-pertuan Agong yang sifat anggotanya adalah berlainan orang adalah satu ciri yang menarik kerana ada pengasingan kuasa dan kawalan dalam meluluskan satu-satu undang-undang itu  mengikut Perkara 49 dan Perkara 66, Perlembagaan Malaysia.  Pentadbiran perundangan di peringkat persekutuan lazimnya diletakkan di bahu Perdana Menteri,  ahli-ahli kabinet serta ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam proses penggubalan undang-undang. Manakala, di peringkat kerajaan negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri menjalankan tugas pentadbirannya. Ini merupakan satu lagi contoh doktrin pengasingan kuasa dalam aspek perundangan di Malaysia.

 
Badan Perundangan 
(a) Persekutuan  (Parlimen - Dewan Rakyat dan Negara)
(b) Negeri (Dewan Undangan Negeri
                                                                  (Badan Perundangan (Legislative))

Dalam Perlembagaan Persekutuan Bab 3, Perkara 39 ada memetik ‘Kuasa pentadbiran (executive) bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tapi Parlimen  boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintahan kepada orang-orang lain’.  Dalam hal ini, kuasa eksekutif kini boleh dijalankan oleh jemaah Menteri atau Menteri Kabinet yang dilantik.  Tapi pada setiap ketika mereka melaksanakan kuasa itu mereka melaksanakan atas nama ‘Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’. Di peringkat persekutuan, kuasa tertinggi bagi ketiga-tiga badan terletak pada Yang di-Pertuan Agong manakala di peringkat negeri pula pada Sultan (Raja) atau Yang di-Pertuan Negeri sebagai pemilik kuasa eksekutif tertinggi.

Badan Eksekutif
(a) Persekutuan (Kabinet)
(b) Negeri (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri)


( Badan Pentadbiran (Executive))

Bagi bidang kehakiman pula, doktrin pengasingan kuasa meletakkan badan kehakiman ada kebebasan dari campur tangan.  Kebebasan kehakiman tentang jawatan dan pendapatan adalah terjamin mengikut perlembagaan, walaupun pada dasarnya hakim-hakim Mahkamah Tertinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Jaminan ini ada diperuntukkan dalam Perkara 125 dan Perkara 127. Dari segi perlembagaan, doktrin pengasingan kuasa bidang kehakiman ini menuntut supaya  Peguam Negara mempunyai kebebasan dalam bidang kehakiman serta hal-hal perundangan.

Dalam hal ini kuasa telah diberi oleh Parlimen Malaysia. Bagi pentadbiran kehakiman di peringkat persekutuan para jemaah menteri atau menteri-menteri perlu mendapat nasihat Peguam Negara dalam soal-soal undang-undang negara. Bagi melaksanakan peranannya, badan kehakiman terdiri daripada badan mahkamah atasan, rendah, khas dan tribunal dan badan pengadilan lain (Raminah Hj Sabran, et al. 2010).

KEBAIKAN  DOKTRIN PENGASINGAN KUASA
Doktrin pengasingan kuasa di Malaysia mempunyai kekuatan dan nilai tambahnya (add values) tersendiri terutama yang berkaitan dengan pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Memang tidak dinafikan lagi bahawa sistem ini mempunyai kebaiknya. Dalam sistem Kerajaan Persekutuan, wujud pembahagian kuasa yang jelas. Sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan berkuasa membuat undang-undang melalui Parlimen manakala Kerajaan Negeri pula berkuasa membuat undang-undang melalui Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Menurut Raminah Hj Sabran et al, (2010), pembahagian kuasa yang terdapat di Malaysia dalam Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Maksudnya di sini, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab ke atas perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan, Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas perkara dalam Senarai Negeri, dan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas perkara-perkara dalam Senarai Bersama. Keadaan ini dapat mengelakkan pertindihan dan pemusatan kuasa bagi kedua-dua kerajaan tersebut.

Selain itu, Konsep Organisasi dan Struktur di Malaysia turut memberi kebaikan kepada negara. Unit ini dikatakan sebagai badan sosial bagi membentuk dan mencapai tujuan yang dipersetujui bersama melalui pembahagian tugas yang telah ditetapkan. Tujuan utama organisasi pentadbiran kerajaan ini untuk;
(i)                 Mencapai objektif kerajaan yang ditetapkan;
(ii)               Membahagikan tugas-tugas kerajaan agar dilaksanakan dengan cekap dan berkesan;
(iii)             Menguruangkan pertindihan kerja dalam penyelarasan pentadbiran; dan
(iv)     Mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memudahkan kawalan badan eksekutif dengan      menetapkan bidang kuasa dan tanggungjawab unit-unit pentadbiran.

Sumber : Raminah Hj. Sabran et al, (2010). Teks STPM Pengajian Am Kertas 1 & 2.  (Edisi ke-2).
               Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Struktur Kerajaan Malaysia turut bersifat birokratik di mana merangkumi fungsi, kuasa, penyelarasan, perhubungan kawalan dan tanggungjawab. Selaras dengan kepentingan sifat birokratik ini dalam doktrin pengasingan kuasa ini maka pembahagian dan pengkhususan kerja turut ditekankan. Wujudnya juga hierarki, yakni lapisan kuasa bertingkat-tingkat, peraturan, prosedur rasmi, penyelenggaraan fail serta rekod, dan perlantikan kakitangan awam bagi mendominasi perkhidmatan yang baik dan berkesan. Justeru itu, doktrin pengasingan kuasa di Malaysia hari ini sememangnya wajar dan baik bagi mengelakkan pertindihan serta pemusatan kuasa pada sesetengah pihak atau pemimpin. Keadaan ini sekaligus menjadikan sistem Kerajaan Malaysia antara yang terbaik di dunia dan menjadi pujian dan contoh bagi kebanyakan negara.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa doktrin pengasingan kuasa ini wajar dan sesuai diamalkan dalam sistem pemerintahan negara Malaysia masa kini. Sebagai negara Demokrasi Berparlimen, konsep pengasingan kuasa yang berteraskan pembahagian kuasa kepada tiga komponen iaitu perundangan, pentadbiran dan kehakiman bagi mengelakkan pemusatan kuasa di tangan sesetengah pihak atau pemimpin. Sifat relatif (kebergantungan) dan unsur penyesuaian yang fleksibel bagi ketiga-tiga unsur ini dalam pentadbiran negara juga dilihat sebagai kekuatan yang luar biasa dalam politik negara ini. Ciri-ciri saling bergantungan yang bebas turut memberi impak kepada kuasa legitimate’ yang kukuh dari segi undang-undang. Oleh yang demikian, sekali lagi saya menegaskan bahawa doktrin pengasingan kuasa di Malaysia patut diteruskan bagi melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa kini dan selamanya.


RUJUKAN

Azmah Abd Manaf. (1994).  Modul Sejarah Politik Malaysia Moden. Pulau Pinang : Pusat
 Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia.

Leeza, D. ( 2008). Pengajian Am Kertas 1 STPM. Selangor : SAP Publications (M) Sdn. Bhd.

Ramanthan, K. (1992). Konsep Asas Politik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ranjit Singh Malhi. (2000). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Federal
             Publications.

Raminah Hj. Sabran, et al.(2010). Teks STPM Pengajian Am Kertas 1 & 2.  (Edisi Ke-2.) Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Ruslan Zainuddin. (2004). Sejarah Malaysia. (Edisi ke-2). Shah Alam: Penerbit Fajar   Bakti Sdn.
            Bhd.

Syed Ahmad Hussein (1994). Pengantar Sains politik. Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka.



Fungsi Media Massa di Malaysia


Dalam proses pembangunan negara Malaysia yang kian pesat, keperluan masyarakat kita turut bertambah kompleks khususnya yang berkaitan dengan komunikasi massa. Setiap lapisan masyarakat perlu membentuk perhubungan dengan orang lain maka dengan ini keperluan komunikasi mereka juga turut meningkat. Fungsi media massa bagi masyarakat kita sangat sinonim dengan proses kemajuan negara. Keadaan ini memperlihatkan fungsi komunikasi massa disifatkan sebagai pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur adalah tepat. Keempat-empat fungsi media massa ini berupaya memenuhi pelbagai keperluan komunikasi massa masyarakat kita pada masa kini. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan lain yang mengatakan di ‘peringkat makro’ iaitu pada tahap masyarakat keseluruhannya fungsi media massa mempunyai tujuan-tujuan berikut:
(i)    membujuk
(ii)   menghibur
(iii)  penghubung
(iv)  mentranmisi nilai
(v)   menginterprestasi
(vi)  pengawasan
(vii) mempengaruhi tindakan yang kolektif
(Sumber : Modul OUM : Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi (Bab 9)

      Kupasan selanjutnya akan tertumpu kepada fungsi media massa  yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Secara praktiknya, kesemua fungsi media massa yang akan dibincangkan adalah saling berkait rapat dengan kehidupan kita sehari-hari, di mana sebagai pengguna media kita tidak lepas daripada dipengaruhinya dan kita juga turut mempengaruhi media massa.

            Pemerhati

            Fungsi media massa sebagai ‘pemerhati’ dapat didefinisikan sebagai pemerhati yang mengawasi (surveillance) akan sebarang peristiwa yang berlaku di sekitar masyarakat. Terdapat dua jenis pemerhatian yang berkaitan, iaitu fungsi pengawasan memberi amaran (warning) dan pegawasan instrumental. Pengawasan berbentuk amaran digunakan untuk mengingatkan khalayak (masyarakat) akan sesuatu kejadian atau malapetaka yang bakal berlaku. Antara kejadian yang sebegini adalah seperti bencana alam iaitu banjir, gempa bumi, tsunami, pemanasan global, kemerosotan ekonomi, inflasi, kenaikan harga barang, peperangan dan wabak penyakit. Laporan yang berkaitan dikatakan sebagai berita  dan maklumat yang sangat penting.

            Peringatan berbentuk amaran (warning) ini akan memberi ruang agar masyarakat besiap sedia menghadapi situasi ini jika berlaku. Dalam kes ini, media massa seperti televisyen, radio dan surat khabar akan menyalurkan berita untuk tatapan umum. Dengan ini, masyarakat akan bersedia bagi menghadapi setiap kemungkinan yang akan berlaku.

            Pengawasan berbentuk instrumental pula lebih membantu masyarakat memperolehi maklumat seperti bursa saham, produk baru, fesyen, resepi dan sebagainya. Peranan ini tidak bersifat amaran (not warning) sebaliknya berita-berita yang berinformasi melalui penerbitan untuk menyalurkan maklumat di samping menghiburkan. Fungsi ini boleh dimainkan oleh media massa seperti majalah. Rajah 2 di bawah memaparkan fungsi pengawasan media massa dalam konteks pemerhati yang bersifat amaran dan instrumental.
 (i)  memberi amaran
(ii)  pengawasan instrumental
(Sumber: Modul OUM: Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi Bab 9)

                 Pentafsir

      Fungsi media massa sebagai ‘pentafsir’ pula dapat didefinisikan sebagai menginterpretasi maklumat berdasarkan fakta dan data tertentu berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Keadaan menginterpretasi maklumat berlaku apabila matlamat, maksud dan kesignifikan sesuatu peristiwa ditafsir dalam bentuk rencana, forum, analisis peristiwa dan penyuntingan dilakukan menurut kepentingan dan keutamaannya.

            Dalam konteks isu semasa seperti kegawatan ekonomi negara baru-baru ini, pentafsiran fakta dan data yang berkaitan sewajarnya diselami oleh masyarakat dengan baik. Pelbagai istilah teknikal yang berkaitan seperti pedagang mata wang pesisir, kejatuhan ringgit dan spekulator mata wang perlu dihuraikan melalui forum, kritikan, artikel  dan sebagainya bagi membolehkan masyarakat mengetahui isu-isu tersebut dengan baik. Sebagai contoh, forum perbincangan ekonomi sebuah syarikat penyiaran tempatan, TV3 melalui program ‘The Exchange’ misalnya, dapat memaparkan interpretasi, komen dan pendapat mengenai sesuatu pemberitaan ekonomi supaya pembaca dapat memperolehi perspektif mendalam mengenai isu terbabit.

            Fungsi ‘pentafsir’ ini dapat dilihat dalam rencana yang menganalisis isu-isu semasa supaya khalayak dapat memperolehi berbagai pandangan yang boleh dinilai sendiri oleh mereka secara logik dan bernas.

        Penghubung

       Selain itu, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ (linkage) bertujuan menghubungkan masyarakat sama ada individu dengan individu, masyarakat dengan masyarakat, peristiwa dengan masyarakat, persekitaran dengan masyarakat, mahupun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa. Misalnya, dalam isu pengiklanan media massa cuba menggabungkan keperluan pengguna (pembeli) dengan produk. Berkaitan dengan pilihanraya, para pengundi akan mengumpul maklumat berkenaan dengan wakil rakyat mereka melalui surat khabar, televisyen, radio, dan laman web. Melalui contoh-contoh di atas, jelas memperlihatkan fungsi menyamaikan mesej kepada khalayak merupakan peranan penting yang dilakukan oleh media massa.

            Dalam konteks masa kini, peranan pelbagai media massa seperti internet dengan laman web tertentu berupaya menghubungkan antara dua atau ramai individu atau membentuk komuniti maya. Kemudahan yang disediakan seperti laman web ini dapat menghubungkan pelbagai komuniti untuk berkongsi pendapat dan pengalaman hidup mereka dengan orang lain yang setara permasalahannya.

            Dari sudut sosialisasi dan  nilai moral, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ merujuk kepada jalinan hubungan antara ahli masyarakat. Misalnya, Program Jejak Kasih (TV3), Tukar Suka-Sama-Suka, Dari Hati Ke Hati (Radio RIMA), dan Pilihan Bersama (FM Stereo) dapat menjalinkan hubungan antara masyarakat yang berlainan latar belakang, agama, bangsa dan budaya. Keadaan ini dapat merapatkan perpaduan kaum di negara ini dalam jangka masa yang panjang.

            Penghibur

    Manakala, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah untuk menghibur (entertainment). Pada hemat saya, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah lebih dominan tugasnya berbanding dengan fungsi lainnya di samping menjadi ‘trendy’ bagi kebanyakan media massa di Malaysia. Konsep penghibur disalurkan oleh media massa sebagai pelengkap kepada persoalan-persoalan lain untuk menarik minat terus para khalayak.

            Jika diteliti secara khusus, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ ini banyak menyajikan aspek kehidupan yang berkaitan dengan hiburan. Misalnya, pelancaran album baru, fesyen terkini, konsert artis popular, filem terbaik dan sebagainya. Di samping itu, diketengahkan juga acara anugerah dan tamasya  di peringkat antarabangsa seperti ‘The Academy Awards’ bagi memaparkan isu hiburan seluruh dunia.

            Pakej untuk memberi hiburan kepada audien jelas merupakan intipati utama kebanyakan media massa bercorak ini. Hiburan yang disalurkan dan dipaparkan oleh pihak media dimanfaatkan sepenuhnya oleh khalayak bagi memecahkan kesunyian, menghidupkan suasana harmoni, ceria dan sebagainya. Daripada huraian di atas, jelaslah fungsi pemerhati dan pentafsir banyak digunakan atau lebih dominan fungsinya dalam laporan surat khabar Utusan Malaysia dan New Straits Times yang dikaji.

            Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa fungsi media massa di negara ini adalah bersifat pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur ada mempunyai kebenarannya. Peranan media massa ini secara langsung  banyak mempengaruhi cara hidup masyarakat kita sehari-hari. Bagi menentukan fungsional dan dysfungsional media massa yang berkaitan dengan pengaruh baik dan buruk media massa, masyarakat kita perlu bijak dan rasional bagi menapis segala isi kandungannya. Secara jelasnya, alaf baru kini memperlihatkan kesan media massa yang serius dalam masyarakat kita di Malaysia.



Komunikasi Massa


Komunikasi massa merupakan perkara yang sangat penting di dalam perhubungan manusia. Komunikasi massa adalah satu proses penyebaran maklumat dan hiburan kepada manusia sejagat. Dalam proses penyampaian maklumat dan hiburan ini, komunikasi  berlaku di antara pihak-pihak tertentu dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Proses penyaluran maklumat melalui  komunikasi massa merupakan satu proses yang sangat kompleks di mana melibatkan peranan aktor seperti  institusi media, pengamal media, pengiklan dan khalayak dari pelbagai latar belakang. Perantara media massa seperti buku, filem, televisyen, radio, surat khabar dan media atas talian membolehkan masyarakat memperolehi banyak maklumat tanpa mengira batas waktu dan ruang. Hal ini menyebabkan media massa berupaya mempengaruhi kehidupan manusia dewasa kini dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, dan sosial.

Wednesday 24 April 2013

Sejarah STPM-Piagam Madinah


Piagam Madinah merupakan piagam bertulis yang pertama di Dunia. Berikan huraian berhubung dengan kandungan dan kepentingan Piagam tersebut.
Pengenalan :
  • Pada masa ketibaan Rasullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku kaum Aus dan Khzaraj digelar sebagai Ansar ( Golongan Penolong ) dan orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar  Muhajirin ( golongan Pendatang ). Orang-orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir.
  • Orang-orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi. Orang Muhajirin pula terlalu miskin kerana mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Orang-orang Yahudi sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan mengkhianati Rasullah s.a.w dan pengikutnya. Orang-orang Munafik perlu menjadi musuh dalam selimut. Disamping itu pula orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam.
  • Untuk mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Rasullah s.a.w membuat perjanjian dengan seluruh  Penduduk di Madinah dan menulis satu paiagam negara Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.
Isi :
Huraian mengenai Piagam Madinah :
  • Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhammad s.a.w untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah.
  • Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah, selain itu Al-Quraan, yang telah menjadi tatacara pemerintahan di negara kota itu.
  • Ia berlainan dengan The Constitution of Athens yang hanya merupakan sejarah evolusi amalan perlembagaan di negara itu.
  • Piagam Madinah tidak seperti dokumen Shuking oleh Confucious yang merupakan buku teks untuk kanak-kanak raja.
  • Ia juga bukan seperti dokumen Artha Sastera yang dianggap sebagai peraturan pemerintahan pada zaman Chandra Gupta Mauriya, yang hanya menjadi buku teks pembelajaran untuk anak-anak raja waktu itu;
Beberapa aspek utama piagam Madinah ialah:
  • Pengakuan terhadap Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa -apa masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimana pun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara yang difikirkan berpatutan.
  • Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagai satu Ummah yang tidak terpengaruh dengan apa – apa elimen yang tidak baik dari luar.
  • Semua penduduk hendaklah bersatu-pada, berkerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa -apa serangan musuh.
  • Wahyu sebagai sumber piagam termasuk tradisi .
  • Semua penduduk diberi kebebasan mengamalkan agama masing – masing, dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.
  • Keselamatan semua penduduk adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut.
Kepentingan Piagam Madinah kerana ia mempunyai beberapa peruntukan berhubung dengan perkara-perkara berikut:
  • Penerimaan Rasullah s.a.w sebaagi Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa.
  • Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai autority terhadap kaumnya dan Rasullah s.a.w adalah sebagai Ketua hakim yang akan memutuskan hukumaan terhadap kesalahan -kesalahan di luar bidang kuasa ketua -ketua kaum berkenaan.
  • Orang-orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam.
  • Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini.
  • Memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi oleh orang-orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh kaum Quraisy Makkah sebelum hijrah Rasullah s.a.w ke Madinah.
  • Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islams ecara beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya.
  • Semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara.
  • Dengan peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama-sama dengan orang Islam.
  • Memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh menganggu penganut-penganut agama lain.
  • Dengan kebebasan beragama ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam. Ini memberi peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan disiplin. Ini semua telah menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.
  • Melalui piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolah oleh orang-orang Yahudi.
  • Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakan tegas dan dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan ke atas Bani Qainuqa’ yang berkomplot dengan orang Arab Quraaisy Mekkah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan berkerjamasa dengan Quraisy Makkah dalam Perang Khandak.
Kesimpulan :
  • Piagam Madinah bersifat perkembangan sebenar berbanding dengan tatacara pemerintahan kerajaan purba Greek, China dan India.
  • Piagam Madinah merupakan piagam bertulis pertama di dunia.
  • Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang memerintah dunia selama tujuh abad.
  • Piagam Madinah boleh dijadikan asas kepada mana-mana piagam Islam yang baru, terutama sekali kepada sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk berbilang bangsa.