Translate

Wednesday 21 August 2013

Apakah itu kreativiti?
Kreativiti ialah menghasilkan sesuatu yang baru.kamus Dewan (1993) memberikan maksud kreativit sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan. Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan oleh pakar-pakar berhubung kreativiti. Mengikut Viktor Lowenfeld (1975), kreativiti adalah naluri (instinct) semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. naluri itu adalah faktor pertama digunakan bagi menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan. keinginan pula menjadi asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu. Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.


Bagi June King Mcfee pula, beliau berpendapat kreativiti adalah keupayaan mencipta perlambangan dan idea baru, bagi mengemas kini perlambangan yang sedia ada.Aktiviti menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada sesuatu organisasi yang baru dianggap suatu kreativiti.Guilford melihat pemikiran kreatif sebagai pemikiran yang fleksibel, lepas daripada belenggu pemikiran lama dan berusaha mencari arah pemikiran dan hala tuju yang baru.mengharapkan dan menjangkakan kepada sesuatu yang unik dan asli. Jones (1972) pula berpendapat semua manusia dilahirkan dengan potensi untuk bersifat kreatif ; dan dengan adanya persekitaran dan teknik-teknik yang sesuai, maka potensi ini boleh dikenali, dipupuk dan diukur. ( Mazlan Mohamad, 1994)

Individu yang mempunyai kebolehan 'kreatif' biasanya mempunyai perasaan istimewa dan ekslusif kerana individu ini dianggap mempunyai kuliti sejati yang jarang dijumpai.Kualiti yang istimewa inilah yang membezakan individu itu daripada kumpulan majoriti yang kurang kreatif. Seseorang yang kreatif lazimnya tidak memaparkan secara langsung tentang apa yang dilihat ataupun dialaminy, ia mungkin menggunakan metafora dan analogi memproses pengalaman tampaknya bagi dilahirkan ke dalam bentuk tampak yang baru. Seseorang yang kreatif harus mencari dan meningkatkan kesedaran, mengenal pasti sesuatu, memginterpretasi, dan melihat kemungkinan-kemungkinan melalui daya pandang -timbang.
Pemikiran yang seimbang diperlukan iaitu pengunaan otak kiri (perkataan) dan otak kanan (imej) pada masa serentak ataupun ia boleh berubah-ubah dari kiri ke kanan ataupun dari kanan ke kiri.
contoh individu kreatif :

DEFINISI KREATIVITI 
Perkataan kreativiti berasal daripada perkataan bahasa Latin iaitu ”creare” yang membawa maksud ”membuat”, manakala daripada perkataan Greek pula ”creare” bermaksud ”memenuhi”. Menurut Kamus Dewan(2002) pula mentakrifkan kreativiti sebagai satu kemampuan atau kebolehan mencipta daya kreatif dan kekreatifan. 
Kreatif pula adalah mempunyai kebolehan untuk mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli.Kesimpulannya kreativiti adalah kebolehan dan kemampuan seseorang menghasilkan sesuatu yang kreatif, baru dan asli.Terdapat juga yang mendefinisikan kreatif dan kreativiti sebagai penghasilan sesuatu yang tiada atau tidak wujud sebelumnya.

KONSEP KREATIVITI 
Ellis Paul Torrance atau lebih dikenali sebagai Paul Torrance merupakan penyelidik dan ahli akademik yang tersohor dalam bidang kreativiti.Karya-karya penyelidikannya dalam mendalami bidang ini telah berjaya mengembangkan bidang kreativiti dan beliau telah diiktiraf dengan gelaran Bapa Kreativiti. Beliau mengatakan bahawa ujian IQ bukanlah satu-satunya cara mengukur daya kreativiti seseorang dan beliau telah memperkenalkan instrumen untuk menguji tahap kreativiti seseorang menggunakan ”Torrence Test of Creative Thinking”. Terdapat juga beberapa pendapat daripada tokoh Seni Visual tentang kreativiti. 
Antaranya adalah; Lowenfeld(1975), beliau percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Penyataan ini disokong dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar meneroka dan penuh dengan perasaan ingin tahu.

June King McFee mentakrifkan kreativiti sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru atau mampu mengolah idea baru yang lain yang lebih bermakna. Seni tidak terhad kepada hasil karya seni sahaja tetapi juga melibatkan pengalaman estetika.Seni ialah satu bentuk komunikasi yang dipengaruhi oleh konteks budaya.

Carl Rogers pula menggariskan 5 faktor di mana ianya mendorong kepada pembentukkan kreativiti sama ada dalam bidang seni atau sains. Faktornya adalah seperti keterbukaan dan fleksibel kepada pengalaman, menikmati kehidupan yang dialami, menghargai diri sendiri, mengamalkan kebebasan dan menjadi individu yang peka dan sensitif dengan persekitaran.






Kepentingan  Etika Komunikasi
Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa etika komunikasi dalam profesyen perguruan sangat penting dan selari dengan Kod Etika Profesion Keguruan sedia ada. Sifat profesyen perguruan yang profesional sejajar sebagai satu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan  latihan ikthisas yang berkualiti, bersikap jujur, dedikasi , bertanggungjawab, bermoral tinggi dan mempunyai autonomi bertugas serta mematuhi etika yang ditentukan oleh organisasinya (Mak Soon Sang, 2004). Menurut beliau lagi, walaupun profesion keguruan masih belum dianggap sebagai suatu profesion sepenuhnya seperti doctor dan peguam, namun beliau membuat rumusan bahawa keguruan juga mempunyai ciri-ciri tertentu yang terkandung dalam konsep profesion iaitu: [1]. Mempunyai latihan Ikthisas dalam Perguruan; [2]. Mempunyai autonomi menentukan kaedah mengajar dalam bilik  darjah; [3]. Menjadi ahli kesatuan yang menentukan kod etika sebagai panduan guru dalam segala aktiviti profesionalnya; dan [4]. Pekerjaanya merupakan perkhidmatan yang penting kepada individu dan Negara. Kesemua ini bersandarkan akan kepenting etika komunikasi dalam menjalankan tugas serta tanggungjawabnya di sekolah.
Tambahan pula, kaum guru dikatakan pakar dalam pendidikan. Mengikut Mok Soon Sang (2004) untuk menjadi guru yang berkesan guru seharusnya mempunyai sifat-sifat dan kualiti profesional yang murni seperti berikut; [1]. Sifat ingin Tahu yakni sifat  mendorong guru sentiasa menambah  ilmu pengetahuannya dengan terus belajar dan mendalami dalam apa jua bidang khususnya dalam bidang kurikulum  demi kepentingan kerjaya dan profesyennya. Sebagai seorang guru yang professional beliau harus mengamalkan budaya pembelajaran seumur hidup (longlife learning).
            Bagi menyahut cabaran masa kini, guru harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi, pedagogi, kandungan mata pelajaran dan kaedah penggunan Bahan Bantuan Mengajar (BBM). Selain itu mereka disaran banyak membaca agar mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam dengan ini penyampaian pelajaran akan lebih yakin seterusnya kualiti professional guru dapat  dipertingkatkan. Aspek komunikasi yang penting di mana mereka harus mahir bertutur dan menjadi penyampai yang berkesan. Apabila mereka mahir bertutur dalam penyampaian pelajaran   akan lebih berkesan seperti  penggunaan sebutan  dan tatabahasa yang betul murid-murid tidak akan tersilap.  Para guru juga harus mempunyai daya ingatan yang kuat supaya dapat menyampaikan isi pelajaran dengan sepenuhnya kepada murid agar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka. Sifat daya usaha yang tinggi para guru adalah diharapkan supaya tidak rasa bosan dengan rutin tugas  harian. Mereka  akan sentiasa mencari pendekatan mengajar yang baru supaya pengajaran sentiasa menjadi menarik dan berkesan. Perkara yang lebih penting lagi di mana para guru dituntut supaya menjadi pendengar yang  baik (good listener).

            Dalam era perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, para guru sewajarnya menyahut cabaran etika komunikasi agar menguasai ilmu ICT (Information Communication Techonology). Guru dituntut agar menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Fungsi guru dalam era ICT adalah sebagai fasilitator atau pemudahcara oleh itu mereka perlu mempunyai pelbagai ilmu terutama  dalam mata pelajaran yang diajar dan kemahiran komputer. Mereka mesti sentiasa mendahului pelajarnya dalam ilmu pengetahuan. Dari aspek bahasa, penguasaan bahasa Inggeris yang baik dalam kalangan guru akan lebih mudah meneroka ilmu melalui internet. Dengan pelaksanaan dasar kerajaan yang mewajibkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tuntutan untuk menguasai bahasa tersebut adalah semakin perlu. 

Thursday 15 August 2013

Pembangunan Modal Insan
Penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang  paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang WAWASAN 2020. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insane yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Hal ini ditegaskan lagi dengan kenyataan,’Membangunkan modal insan melalui program pendidikan berkualiti dan holistik untuk memperlengkapkan warga Malaysia bagi menghadapi dunia global, disusuli dengan kelahiran masyarakat kreatif dan inovatif yang menjadi komponen kepada warisan warga berfikiran dan berbudaya kelas pertama. Kita memerlukan barisan warga yang menguasai pengetahuan, ilmu, kemahiran dan maklumat’

 (Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 2007)


Dalam penterjemahan kurikulum kebangsaan bagi mata pelajaran Matematik KBSM sudah pasti ianya menuntut agar Berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kurikulum Matematik menyediakan pengetahuan dan kemahiran matematik kepada murid-muridyang mempunyai latar belakang dan keupayaan yang pelbagai. Dengan pengetahuan dan kemahiran tersebut, mereka berkemampuan untuk mencarimaklumat berkaitan, membuat adaptasi, modifikasi dan inovasi dalam merumus alternatif dan penyelesaian apabila berhadapan dengan perubahandan cabaran masa depan.
Iban Sarawak
Orang Iban merupakan kumpulan etnik pribumi yang terbesar di Sarawak. Menurut perangkaan pada pertengahan tahun 2002, dianggarkan kira-kira 29.14 peratus atau 603,735 orang daripada 2, 071, 506 penduduk Sarawak adalah orang Iban. Kebanyakan Orang Iban yang juga dikenali sebagai Dayak Laut mendiami Bahagian Miri, Sibu, Bintulu, Kapit, Sarikei, Sri Aman, Kuching, Mukah dan Betong. Sebenarnya  nama Dayak Laut yang diberikan kepada orang Iban sebenarya mengelirukan dan tidak sesuai kerana kebanyakan orang Iban tinggal di kawasan tanah tinggi yang jauh di pedalaman dan ekonomi mereka bergantung sepenuhnya pada pertanian.
Buat beberapa lama istilah Dayak Laut telah diterima dan dianggap oleh masyarakat Barat sebagai istilah yang paling sesuai untuk orang Iban. Hal ini semikian kerana kebetulan pada awal kedatangan James Brooke Orang Iban telah mula melakukan ekspedisi melalui laut setelah mengadaptasi kemahiran orang Illanun dan Bajau.  Sebenarnya bagi orang Iban pada peringkat awal istilah Iban itu bukan digunakan untuk merujuk kepada bangsa mereka sendiri tetapi bermaksud orang atau manusia. Kini Iban, secara rasminya digunakan untuk merujuk kepada satu suku, iaitu kaum Iban sahaja.
Orang Iban tergolong dalam kelompok Proto-Malay (Melayu-Proto) dan menurut sejarah mereka berasal dari Lembah Kapuas di Kalimantan Barat, Indonesia. Mereka berhijrah ke Sarawak kira-kira lima belas generasi yang lalu, iaitu bermula pada pertengahan kurun ke- 16 (1630-an). Mereka masuk ke Sarawak melalui Lembah Kumpang, lalu mendiami Batang Ai dan kemudian berpecah ke beberapa tempat di negeri Sarawak (Stephanie Morgan, 1968: 61).
Apabila James Brooke mula datang ke Sarawak dalam tahun 1 839, orang Iban kebanyakannya tinggal di Bahagian Kedua.  Namun demikian pada penghujung abad ke-19 mereka terdapat di seluruh negeri Sarawak. Salah satu aspek penting tentang orang Iban ialah kehidupan di dunia rumah panjang mereka yang unik dan sehingga kini kekal sebagai satu identiti dan lambang perpaduan mereka, walaupun di sesetengah negeri ramai orang Iban yang tidak lagi berumah panjang.
Orang Iban merupakan kumpulan etnik pribumi yang paling homogen (sejenis sahaja) iaitu tidak ada suku-suku tertentu, menggunakan bahasa yang sama dan mewarisi nilai, tradisi, kepercayaan, adat resam serta kebudayaan yang sama (C.A. Bamfylde: 1 898: 7-8). Oleh itu, Menurut Erik Jensen (1962: 5-6) dalam satu perjumpaan di antara tuai-tuai rumah, lemambang, tuai burong dan penghulu Iban dari kawasan Batang Lupar, Batang Ai, Saribas dan Batang Krian yang diadakan di Simanggang (Sri Aman) dalam tahun 1961 untuk membincangkan adat-istiadat, kebudayaan dan ritual Iban, didapati bahawa mereka sependapat tentang banyak perkara berkenaan dengan adat-istiadat, cerita dan sastera lisan walaupun selama ini mereka mereka dipisahkan oleh jarak dan masa yang luas dan tidak pernah bertemu sereta berbincang tentang perkara- perkara berkenaan. Suku dayak yang paling hampir menyamai Iban daripada segi bahasa, kepercayaan, kebudayaan dan adat resam ialah bangsa Dayak Muallang dan Dayak Desa di Kalimantan, Indonesia.
Bagi orang Iban yang pagan pada zaman dahulu ketika mereka masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme hampir semua aktiviti kehidupan, termasuk adat resam dan kepercayaan mereka dikaitkan dengan upacara-upacara tertentu. Oleh itu, selain daripada mempunyai tuai rumah setiap rumah panjang juga biasanya ada tuai burong, lemambang dan manang. Tuai burung ialah orang yang yang bertanggungjawab menilik dan meramal mimpi, mentafsir bunyi burung atau binatang dan petanda-petanda alam yang lain yang berkaitan dengan aktiviti harian.  Namun demikian, generasi Iban kini mungkin sekadar mengetahui sedikit sahaja tentang kepercayaan itu dan tidak mengamalkannya lagi atau mungkin sekali-sekala pada hari gawai sahaja.
Pada zaman dahulu Lemambang pula adalah individu yang penting kerana bertanggungjawab menjampi dan membaca mentera ketika upacara tertentu seperti gawai umai, gawai batu dan gawai sakit. Manakala manang pula adalah dukun atau bomoh yang bertanggungjawab mengubati orang sakit.  Dari segi ekonomi, pada masa dahulu orang Iban bergantung sepenuhnya kepada ekonomi sara diri dengan menanam padi bukit besar-besaran secara pertanian pindah. Seperti masyarakat Iain di Malaysia, kini orang Iban juga telah mengalami banyak perubahan dan pembangunan daripada segi sosial, ekonomi dan politik sejajar dengan pembangunan negara. Pertanian pindah tidak lagi sepenting dulu buat mereka. Nilai-nilai, norma-norma dan kebudayaan serta adat Iban yang tidak sesuai, kini sudah tidak diamalkan lagi.

Orang Iban rnempunyai berbagai-bagai jenis tradisi lisan yang telah diwarisi oleh mereka sejak turun-temurun. Seperti masyarakat Malaysia yang lain, tradisi lisan masyarakat Iban juga mempunyai sastera rakyat yang berbentuk prosa dan puisi. Sastera lisan yang berbentuk puisi kebanyakannya adalah berkaitan dengan adat resam dan kepercayaan mereka. Manakala sastera lisan yang berbentuk prosa pula adalah merupakan kumpulan cerita- cerita lisan yang mengandungi mitos dan legenda orang Iban.

Strategi Pembelajaran


Strategi pengajaran adalah merujuk kepada cara-cara bagaimana guru mengendalikan sesuatu aktiviti pembelajaran dengan sistematik dan bukan dengan cara cuba jaya. Ia merupakan tindakan-tindakan spesifik yang dilakukan dengan sengaja oleh guru untuk mencapai matlamat-matlamat khusus dalam proses pembelajaran. Guru memerlukan kemahiran untuk merancang dan menguruskan kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat disampaikan kepada murid-murid untuk memperolehi hasil pembelajaran maksimum. Aspek-aspek yang perlu diambil kira oleh guru semasa menentukan strategi pengajaran yang sesuai ialah objektif pengajaran, proses pengajaran, isi kandungan, persediaan dan kebolehan mengajar, gaya peribadi pengajaran dan persekitaran di dalam bilik darjah.

             Antara contoh-contoh strategi pengajaran ialah strategi pemusatan guru, strategi pemusatan murid, strategi pemusatan bahan dan strategi berasaskan tugasan. Dari segi strategi pemusatan guru, ia dikenali sebagai eksplisit. Ia merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan di dalam bilik darjah. Strategi pemusatan guru ini meletakkan guru ditengah-tengah aktiviti bilik darjah. Dalam strategi ini, guru perlu menguasai dan mengawal segala aktiviti pembelajaran. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid hanya berperanan sebagai penonton sahaja. Bentuk komunikasi dan interaksi diantara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid banyak mendengar. Ciri kepimpinan guru juga bersifat autokratik. Murid-murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Guru yang banyak bertindak dan memberi arahan. Strategi pengajaran dan pembelajaran pula lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru. Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyebaran nilai-nilai murni dan perkembangan emosi oleh guru.

            Strategi ini mementingkan pencapaian murid-murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan. Teknik guru mengajar adalah tertumpu kepada penyampaian fakta-fakta. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal. Justeru itu, murid kurang berupaya membuat interpretasi. Interaksi diantara murid juga pasif dan sifat-sifat social positif kurang dipupuk. Strategi ini mementingkan pengolahan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat tidak diberi perhatian oleh guru. Akibatnya, dibawah strategi ini, murid-murid menjadi kurang kreatif dan berinisiatif. Strategi ini menggunakan persembahan bahan dalam langkah-langkah kecil dan sistematik dengan hentian untuk menyemak pemahaman murid. Strategi pemusatan guru mengandungi pengajaran yang mempunyai langkah-langkah kecil yang menegaskan latihan amali murid selepas setiap langkah. Peranan guru ialah menyampaikan bahan, membimbing murid pada sesi awal latihan amali dan membekalkan setiap murid dengan amali yang lebih tinggi dan kerap.
             Strategi pemusatan murid pula menunjukkan murid memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti ini menjadikan murid sebagai fokus utama dalam proses pembelajaran. Murid-murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah kumpulan, inkuiri penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, bermain, simulasi dan lain-lain. Strategi ini mungkin lebih sesuai apabila maklumat tidak dapat disampaikan dengan berkesan melalui strategi pemusatan guru dan apabila matlamat pengajaran merangkumi kemahiran kreatif dan kritikal. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan penting, sedangkan guru hanya sebagai pembimbing kepada murid. Komunikasi dan interaksi diantara guru dan murid adalah dua hala. Guru menggunakan kaedah menyoal dan membimbing murid supaya berfikir dan bertindakbalas memberi jawapan. Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik dan murid sentiasa digalakkan memberikan pendapat mereka untuk mencapai objektif pembelajaran murid. Guru mengamanahkan tanggungjawab yang lebih kepada murid.
            Strategi ini lebih berkesan dalam mengembangkan kebolehan murid dalam mengaplikasikan konsep dan sikap positif, menggalakkan motivasi, mengembangkan penyuburan diri dan menggalakkan kemahiran sosial berkumpulan. Strategi ini menimbulkan dan mewujudkan persekitaran kelas yang membolehkan murid dapat berinteraksi dengan guru dan murid lain.
          Strategi pemusatan berasaskan bahan terbahagi kepada dua kategori iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran. Bahan-bahan yang digunakan adalah seperti carta, graf, peta, spesimen, model gambar, slaid video, perakam pita dan projektor. Bahan yang lebih canggih adalah pakej pembelajaran berasaskan komputer, CD ROM, komputer multimedia, caker padat interaktif, bahan daripada internet, persidangan tele dan persidangan video. Strategi ini memupuk sifat-sifat social yang positif khasnya apabila murid dan guru berkongsi sumber dan bahan. Murid akan mendapat pengalaman realistik kerana dapat melihat situasi sebenar atau bahan maujud dan konkrit serta boleh menjadikan proses pengajaran lebih bermakna. Interaksi yang berlaku dalam bilik darjah banyak hala iaitu antara guru dengan bahan, bahan dengan murid dan guru dengan murid dan bahan. Strategi ini mengutamakan kecekapan dan kemahiran murid dalam memanipulasikan pelbagai jenis bahan. Strategi ini sesuai digunakan guru kerana ia menekankan perkembangan jasmani, kognitif dan rohani murid. Pembelajaran berasaskan sumber sangat berguna dalam membantu guru menghadapi murid pelbagai keperluan serta menyediakan pelbagai wahana untuk murid belajar pada kadar masing-masing pada setiap masa dan tempat.
               Guru yang menggunakan strategi berasaskan tugasan melibatkan murid dalam aktiviti atau memberi peluang untuk mengamalkan dan mengaplikasikan apa yang sedang mereka belajar. Aktiviti atau tugasan tersebut membuka peluang kepada murid menerima bimbingan, pelbagai strategi mempermudahkan tugasan atau scaffolding bentuk lain yang diperlukan untuk membolehkan mereka melaksanakan tugasan dengan jaya. Aktiviti yang dipilih dengan bijak perlu disampaikan dengan berkesan, dipantau dan diteruskan sekiranya inginkan kesan maksimum. Justeru itu, guru perlu menyediakan murid dengan memberikan bimbingan dan maklum balas semasa aktiviti dan menstruktur refleksi pasca aktiviti selepas sesuatu aktiviti.
         Semasa memperkenalkan aktiviti, guru perlu menekankan tujuannya dengan cara yang boleh membantu murid melibatkan diri dalam aktiviti tersebut dengan idea yang jelas akan matlamat yang ingin dicapai. Kebanyakan tugasan bersama dengan murid akan memberi maklum balas tentang persembahan mereka dan mengukuhkan idea utama dengan mengaitkan kepada matlamat keseluruhan. Antara tugasan yang boleh diberikan ialah berlakon, menyanyi, membuat model, perbahasan dan perbincangan.

Strategi Pembelajaran
Guru digalakkan untuk menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk mengoptimumkan pembelajaran. Strategi yang dicadangkan berasaskan pada satu kontinum dari pemusatan guru pemusatan murid. Strategi yang dipilih untuk pengajaran dan pembelajaran efektif mesti memenuhi keperluan pelajar dan ia sesuai dengan iklim sekolah. Antara jenis-jenis strategi bagi strategi pembelajaran ialah strategi direktif, strategi pemerhatian, strategi mediatif, strategi generatif, strategi kolaboratif, strategi “Outside-context” dan strategi metakognitif.
          Strategi direktif memerlukan murid belajar melalui penerangan tentang konsep atau kemahiran oleh guru dan kemudian diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan dengan bimbingan guru. Contohnya adalah seperti melalui kuliah dan latih tubi. Strategi pemerhatian pula memerlukan murid belajar dengan memerhati perbuatan orang lain atau perlakuan sesuatu kemahiran. Antaranya adalah seperti demonstrasi  dan model.
Strategi mediatif ialah murid belajar melalui interaksi yang dirancang oleh guru untuk menolong murid. Pertama, ianya memerlukan murid belajar bagaimana untuk mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah. Kedua, membuat keputusan. Ketiga, mengenalpasti andaian dan keempat, menilai kebenaran andaian, keputusan dan hipotesis. Contohnya ialah ‘dialectical reasoning’, ‘concept attainment’, ‘concept formation’, ‘inquiry training’ dan ‘open-ended discussion’.
         Strategi generatif pula menggalakkan murid menjana idea kreatif dan kritis. Ia membantu murid menyelesaikan masalah secara kreatif dengan menggunakan idea asli atau unik. Contohnya melalui sumbangsaran, peta minda, ‘synectics’, pemikiran lateral dan kreatif serta metafora.
Strategi kolaboratif pula memerlukan murid bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah iaitu melalui pembelajaran koperatif.
           Strategi ‘Outside-context’ ialah murid belajar melalui aktiviti yang berfokus dan intensif dalam satu tempoh masa melalui seminar, bengkel dan projek.
Strategi metakognitif pula memerlukan murid memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan dan penilaian kendiri. Antara contoh-contoh soalan yang boleh difikirkan adalah seperti:
*     Bagaimana saya boleh mempertingkatkan prestasi saya?
*     Apakah yang saya telah belajar?
*     Apakah bantuan yang saya perlukan?








Komunikasi Dalam Organisasi Sekolah

Komunikasi berasal daripada perkataan Latin ‘Communiatus’ yang bermaksud berkongsi sesuatu. Keadaan ini menjelaskan seseorang itu sedang berusaha berkongsi idea atau maklumat dengan individu lain. Komunikasi juga turut ditakrifkan sebagai “seni memindahkan maklumat, idea dan sikap daripada seseorang kepada seseorang” (Emery, Ault & Agee, 1965) (dalam Hassan Awang Mat). Komunikasi juga dikatakan sebagai satu proses ke arah mewujudkan kesamaan dan berkongsi maklumat sama ada secara lisan atau sebaliknya dan mencipta makna terhadap maklumat itu (Siti Zobidah Omar & Romaiza Bidin, 2001).
            Komunikasi turut disifatkan sebagai satu keperluan yang amat penting dan berguna kepada manusia. Dalam kehidupan seharian, kita memerlukan bantuan daripada individu-individu lain.  Justeru, proses saling bergantung tersebut diuruskan melalui komunikasi dengan orang lain. Oleh itu, komunikasi mempunyai maksud yang luas dalam proses perkongsian makna, penyaluran dan penerimaan maklumat dalam kalangan individu.
Tuan Yacob (1998), menyatakan komunikasi sebagai informatif, iaitu seseorang individu itu mengerti dan mengetahui, dan juga sebagai persuatif, iaitu agar seseorang individu itu bersedia menerima sesuatu perubahan atau keyakinan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau kegiatan. Pada hemat saya, komunikasi adalah alat dan sumber kepada manusia untuk terus berhubung dengan orang lain. Di samping itu, komunikasi turut penting dalam sesebuah organisasi sekolah ke mencapai matlamat bersama yang telah dirancang.
A.L.Ramaiah (1999), turut menyatakan bahawa komunikasi adalah satu proses antara perseorangan yang melibatkan pertukaran idea, maklumat dan pendapat ataupun melibatkan penghantaran dan penerimaan simbol yang bermakna. Harold Koontz & Heinz Weihrich (1997), mendefinisikan komunikasi sebagai pemindahan maklumat daripada pengirim kepada penerima supaya maklumat dapat difahami oleh si penerima. Di samping itu, Fred C. Luneberg (1995), menyatakan komunikasi adalah proses pemindahan maklumat dan pemahaman daripada seseorang kepada orang lain. Oleh itu, komunikasi adalah satu fenomena yang kompleks (Jaafar Muhamad,1999). Menurut beliau lagi, komunikasi adalah satu proses pertukaran  dan pemindahan maklumat serta mesej dari sesuatu sistem yang dibentuk, dipertahankan, diubahsuai dan dilaksanakan menurut kehendak dan penyesuaian seseorang kepada satu arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan bersama. Proses pertukaran boleh dilakukan melalui media massa, peralatan perantaraan dan isyarat formal dan tidak formal yang digunakan dalam organisasi.
Dengan perkataan lain, komunikasi boleh dirumuskan sebagai satu proses penyampaian  dan perkongsian maklumat dari pihak sumber atau pengirim kepada pihak penerima. Proses komunikasi berlaku secara berterusan. Kebiasaannya, reaksi penerima merupakan kayu ukur utama untuk menentukan sama ada sesuatu komunikasi itu efektif atau sebaliknya.
Konsep ‘Keperluan’ Dalam Komunikasi
‘Keperluan’ dalam proses komunikasi ialah tahap kepentingan komunikasi terhadap manusia. Dalam hal ini, ianya dianggap satu yang amat penting dalam hidup kita. Ianya setanding dengan keperluan asas lain seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Memandangkan alam dunia adalah nyata, jadi keperluan komunikasi bersifat realiti dalam semua aspek kehidupan.  Kita sebenarnya dapat berhubung bagi hampir semua tujuan seperti pendidikan, perubatan, perhubungan, politik, dan perniagaan. Dalam proses kita bertukar-tukar pengalaman dan  pengetahuan dengan orang lain, kita mencipta makna antara diri kita dengan orang lain (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 2002).
            Bagi memenuhi proses komunikasi yang proaktif dan positif, kita harus mempunyai kemahiran supaya mesej dan maklumat yang disampaikan bermakna. Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2002), kebolehan berkomunikasi sangat mempengaruhi sikap, nilai dan kepercayaan orang lain kepada kita. Melalui komunikasi kita dengan orang lain, kita turut dapat mengenali siapa diri kita berhubung dengan keistimewaan dan kelemahan diri kita. Kita juga mengetahui sama ada orang lain  memuja kita atau sebaliknya. Justeru, kepandaian berkomunikasi turut mempengaruhi hubungan kita dengan masyarakat.
Fungsi Komunikasi
Komunikasi yang dilakukan oleh manusia setiap masa mempunyai fungsi yang tertentu. Antaranya ialah:-
(i)                 Fungsi Memberitahu
Fungsi ini adalah fungsi terawal yang digunakan oleh manusia dengan tujuan untuk memberitahu tentang sesuatu perkara yang dirasakan oleh penyampai perlu diketahui oleh orang lain. Fungsi memberitahu ini menumpukan perhatiannya kepada penyampai atau sumber maklumat. Tujuan penyampai adalah untuk memberitahu apakah reaksi daripada mereka yang menerima maklumatnya tidak begitu dipentingkan. Untuk memastikan komunikasinya berjaya, komunikator yang menjalankan fungsi ini seringkali mengunakan strategi seperti menyebarkan maklumat sebanyak mungkin atau menyampaikannya dengan lebih kerap. Menurut Adler, Rosenfeld & Towend (1999), mendefinisikan komunikasi sebagai proses transaksi  yang berterusan untuk mewujudkan hubungan melalui pertukaran mesej.
(ii)               Fungsi Mendidik
Fungsi ni dianggap popular kerana bertujuan untuk mempengaruhi sikap atau tingkah laku orang lain. Di samping memberitahu maklumat, komunikasi bentuk ini dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu perkara atau bidang. Fungsi ini mementingkan kedua-dua pihak penyampai dan penerima maklumat memastikan fungsi mendidik tersebut dicapai. Kejayaan fungsi ini bergantung kepada sejauh mana seseorang itu merasai pengetahuannya bertambah hasil daripada pendedahan terhadap maklumat yang diterimanya.

(iii)             Fungsi Membujuk
Cara ini adalah bertujuan untuk mengubah sikap dan tingkah laku orang lain. Untuk mendapat kesan ini, pengguna tidak terhad kepada penyebaran maklumat tetapi mestilah dapat menembusi perasaan dan emosi individu atau kumpulan yang menjadi sasaran maklumat itu. Ada kalanya fakta dan maklumat yang disampaikan kepada kita tidak tepat atau disengaja diputarbelitkan, misalanya iklan dalam rancangan televisyen dengan tujuan untuk mempengaruhi dan mengubah sikap atau tingkah laku manusia di samping membuat rayuan emosi kita.
Komunikasi dan Sekolah
Sekolah merupakan sebuah organisasi pendidikan yang diselenggarakan oleh golongan pendidik yang berinteraksi melalui suatu proses berstruktur untuk mencapai hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan dapat menghasilkan individu yang akan menikmati gaya hidup lebih selesa dan memuaskan. Ini hanya akan dapat diperoleh sekiranya sesebuah sekolah atau organisasi itu diuruskan dengan baik (Azizi Hj Yahya, et al, 2008). Hubungan manusia amat penting bagi menjamin kestabilan dan keharmonian sesuatu sistem pendidikan. Justeru, aspek komunikasi yang berkesan adalah amat penting di sekolah.
            Dalam konteks sekolah, aspek komunikasi bukan sahaja penting untuk kemajuannya sebagai sebuah organisasi malah turut menyumbang ke arah pembangunan mapan sesebuah sekolah. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hari ini, asas teknikal dalam organisasi yang melibatkan komunikasi adalah hal yang berkaitan dengan menstrukturkan data dan proses pengantaraan menjadikan sistem maklumat berhubungan antara satu dengan yang lain seterusnya memaksimumkan organisasi. Dalam peringkat pengurusan sekolah para murid, guru dan pengurusan memainkan peranan penting bagi menghubungkaitkan komunikasi yang baik dan berkesan. Pendidikan era ini mencetuskan reformasi baru lebih dinamik dan interaktif dengan penggunaan teknologi multimedia interaktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penggunaan masa pernbelajaran, penilaian pencapaian murid, peranan guru, peranan murid dan pengurusan pendidikan. Pendek kata, kemudahan teknologi terkini, wajib digunakan secara optimum dapat meningkatkan kualiti pendidikan sesuai dengan keperluan abad ke-21(Nik Azis Nik Pa,1997). Usaha ini adalah sebahagian daripada bidang komunikasi dalam pendidikan yang berteraskan kemajuan dunia hari ini.

Aplikasi ICT yang diperluaskan di sekolah merupakan fokus utama pembestarian terutama dari segi pengajaran dan pembelajaran. Menurut Abd. Rahim (2005) sistem pengurusan pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan memberikan cabaran baharu menjelang abad ke-21. Membentuk generasi yang celik computer dapat merealisasikan dasar dan matlamat Negara bagi menjadikan Malaysia sebuah Negara maju dalam bidang ini. Aspek komunikasi yang systematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan kepada penggunaan internet, ‘website’, ‘online’, ‘e-mel’ dan pendekatan dan kaedah lain berasakan  komputer merupakan elemen penting dalam organisasi sekolah.

Selaras dengan sekolah sebagai sebuah organisasi bagi melahirkan tenaga mahir yang diperlukan negara maka matlamat membentuk sumber manusia yang beriwibawa dan produktif serta berpengetahuan harus dimulai dengan aspek komunikasi yang berkesan. Cabaran profesion keguruan bagi membentuk warganegara Malaysia yang berdaya maju ini juga harus disesuaikan dengan kualiti pendidikan yang ada. Kecekapan sekolah dalam menentukan semua ini memungkinkan setiap warganegara berupaya menerima dan menyampaikan komunikasi pada tahap yang tinggi dan baik juga.


Dalam menjayakan komunikasi di sekolah, banyak kajian telah dibuat oleh para pengkaji. Misalnya, Eisenberg et.al, (1983) menjalankan kajian yang berkaitan dengan komunikasi, lebih-lebih lagi tentang komunikasi ke atas berbanding dengan komunikasi ke bawah dan komunikasi mendatar bagi memberi maklum balas kepada pihak pengurusan untuk menjayakan organisasi. Pendapat umum mengatakan aspek komunikasi penting di antara pihak pengurus dan anggota bawahannya dapat melahirkan kepuasan kerja. Dalam hubungan Pengetua atau Guru Besar di sekolah dengan guru-gurunya harus melibatkan aspek komunikasi yang yang baik dan berkesan dalam mewujudkan iklim sekolah yang kondusif. Komunikasi yang baik dan berkesan akan meningkatkan prestasi sekolah secara keseluruhannya.

Seterusnya, terdapat tiga bentuk komunikasi yang lazimnya terdapat di sekolah. Pertama; komunikasi ke bawah yang merujuk kepada arahan atau maklumat daripada Kementerian Pelajaran  kepada pejabat pelajaran dan sekolah melalui surat pekeliling, nota, surat atau minit mesyuarat. Kedua; komunikasi ke atas, di mana memungkinkan maklumat yang disampaikan oleh sekolah-sekolah kepada pejabat pelajaran, jabatan dan seterusnya ke kementerian. Ketiga; komunikasi mendatar yang memperlihatkan hubungan antara kakitangan melalui surat menyurat, mesyuarat, perhubungan sosial dan sebagainya. Lazimnya, semua kakitangan dapat berbincang dan bertukar-tukar idea di samping mengeratkan hubungan siratulrahim dalam kalangan mereka.
            Pengetua atau Guru Besar sebagai pemimpin di sekolah banyak bergantung kepada aspek komunikasi bagi membawa misi untuk kejayaan sekolahnya. Gaya kepimpinan pengetua yang pelbagai menjurus kepada corak komunikasinya sama ada bersifat 'laissez-faire', demokratik,  ataupun autokratik. Komunikasi ialah sebahagian yang amat penting dalam sesebuah organisasi sekolah. Kecekapan dan kejayaan sekolah bergantung kepada sistem komunikasi yang digunakannya oleh mereka. Dalam sistem komunikasi terdapat banyak halangannya. Sebagai seseorang Pengetua atau Guru Besar yang efisien, beliau dapat mengesan halangan-halangan tersebut dan  memperbaiki sistem perhubungan di sekolahnya. Pendapat ini dapat disokong dengan hujah Tunku Ismail bin Tunku Md Jewa (1978), ‘The key to the success of the large school depended on good internal and external communication and it was the duty of the principal to keep them in order. In addition to the formal pattern of communication, the informal communication among the staff was also important'.
             
            Antara lain, aspek komunikasi di sekolah mempunyai struktur tersendiri dan menghubungkaitkan setiap jawatan dan kakitangan tertentu dengan matlamat organisasinya. Struktur yang digunakan adalah seperti carta organisasi dan panduan-panduan tugas kerana ia mengandungi maklumat tertentu tentang matlamat, kakitangan, aktiviti-aktiviti dan hubungan setiap satu dengan yang lain. Justeru itu, untuk menjadikan sesebuah sekolah lebih cekap dan efektif, aspek komunikasi yang betul dan berkesan wajar digunakan.

Menurut Yauch (1949) dalam Azizi Hj Yahya et. al, (2008), prinsip-prinsip am untuk mengurus sesebuah sekolah selaras dengan komunikasi yang berkesan adalah seperti berikut : [1]. Amalan demokrasi merupakan perhatian utama, jadi pertimbangan penting yang pengetua perlu lakukan ialah untuk mengurus guru secara individu dan kolektif; [2]. Masalah manusia yang dianggap kecil selalunya memerlukan perhatian dan pertimbangan yang luas; [3]. Pengetua hendaklah mengamalkan ciri-ciri kepimpinan Demokratik; [4]. Kakitangan pengajaran yang profesional adalah kumpulan sosial yang kompleks dan memerlukan pakar untuk memenuhi keperluan dan keinginan mereka; [5]. Pengetua bertanggungjawab untuk memudahkan interaksi antara kakitangan, dan [6]. Kesemua individu yang terlibat dalam sebarang keputusan hendaklah diberikan peluang menentukannya.

Daripada perspektif lain, aspek komunikasi di sekolah dapat dilihat dari segi tugas guru yang mengajar di sekolah. Guru-guru yang dilatih di institusi keguruan ataupun universiti dituntut supaya mengamalkan budaya komunikasi yang baik serta berkesan selaras dengan prosedur perkhidmatan mereka. fokus komunikasi para guru lazimnya ditunjukkan melalui kepimpinan akademik dan tanggungjawab mereka yang luas kepada murid. Menurut Abd Rahim (2005) tahap komunikasi yang baik para guru diserasikan dengan pencapaian suatu standard yang telah ditentukan dan dikehendaki oleh institusi yang mengiktiraf seperti pihak berkuasa yang bertanggungjawab dengan profesion keguruan. Para guru wajar mempunyai hubungan yang baik dan akrab dengan murid mereka agar satu komunikasi yang berkesan dapat dilahirkan.

Komunikasi yang melibatkan murid dengan murid turut berlaku dalam konteks organisasi sekolah. Perhubungan ini dapat dikesan dalam proses pembelajaran di bilik darjah, penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya. Kebanyakan komunikasi yang berlaku bersifat tidak terancang dan kurang formal. Pengalaman ini amat bermakna kerana boleh mewujudkan suasana pergaulan yang mesra dalam kalangan mereka di sekolah. Bagi guru, tugas mereka sebagai pemimpin  dapat digembleng dengan menggalakkan hubungan baik antara murid-murid mereka kerana ini bakal memudahkan tugas guru mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada guru-guru lain, murid dan pihak lain. Mewujudkan hubungan yang harmoni dan mesra dalam organisasi sekolah amat penting bagi mendorong kejayaan dan kecemerlangan pendidikan (Abd Rahim, 2005).

Tidak kurang pentingnya hubungan organisasi sekolah dengan masyarakat luar. Hubungan sekolah dengan masyarakat luar terutamanya dengan ibu bapa adalah amat penting sekali. Sekolah yang berkesan adalah sekolah yang mementingkan perhubungan sihat dengan pihak luar. Pihak pengurusan sekolah seharusnya pandai membuat hubungan dengan komuniti di persekitaran sekolah terutamanya masyarakat di luar agar masalah-masalah di sekolah yang berkaitan dengan disiplin, pelajaran, aktiviti sekolah dan kewangan sekolah dapat ditangani bersama, contohnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Persatuan Bekas-Bekas Pelajar (ALUMNI). Keadaan ini memperlihatkan satu bentuk komunikasi yang berkesan di sekolah pada hari ini.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa  aspek komuniasi yang baik dan berkesan sangat penting bagi organisasi sekolah. Bidang komunikasi yang begitu luas dan mencabar sangat berguna kepada kehidupan kita sebagai anggota masyarakat moden hari ini. Aspek komunikasi bukan sekadar satu ‘keperluan’ malah bertunjangkan fokus komunikasi yang memberitahu, mendidik dan membujuk dalam konteks masyarakat global. Idea ini diterjemahkan dengan lebih lanjut melalui sekolah sebagai organisasi yang penting di samping menjadi agen perubahan sosial yang utama di negara ini. Dengan perkembangan ICT hari ini, idea dan matlamat komunisasi di sekolah semakin penting dan mencabar, khususnya dalam mendidik anak bangsa Malaysia yang cerdik, berkemahiran serta berdaya saing di peringkat global. Maka tugas dan peranan pihak pengurusan, guru dan sekolah itu sendiri sangat penting dan amat diharapkan.


Wednesday 14 August 2013

Ciri-Ciri Kepimpinan Pengetua/Guru Besar Berkesan Yang Dapat Menghadapi Cabaran dan Harapan Pada Abad Ke 21 Ini

Oleh
 Prof. Madya Dr. Shahril @ Charil bin Marzuki
  1. Pendahuluan
Kecemerlangan atau kejayaan sesebuah sekolah banyak dipengaruhi dan disebabkan oleh kepimpinan pengetua/guru besar yang berkesan. Ini bermakna, pengetua atau guru besarlah yang dapat menggerakkan sekolah itu maju ke hadapan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan kegiatan ko-kurikulum atau mundur kebelakang sebagai sekolah yang tidak berkesan.
In many ways the school principal is the most important and influential individual in any school. … it is his leadership that sets the tone of the school, the climate for learning, the level of professionalism and morale of teacher and the degree of concern for what students may or may not become. … if a school is a vibrant, innovative, child-centred place; if it has a reputation for excellence in teaching; if students are performing to the best of their ability one can almost always point to the principals leadership as the key to success. (Sergiovani, 1995: 83).
Oleh yang demikian, Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (1982), telah menyarankan bahawa peranan utama kepemimpinan pengetua/guru besar mestilah:
… cekap dan banyak menghabiskan masa mengelolakan aktiviti pembelajaran di sekolah-sekolah. Mengekalkan penyeliaan sekolahnya dengan cara yang berkesan, bertindak sebagai pakar runding, penasihat dan koordinator bagi program-program pengajaran dan pembelajaran di sekolah, dan perlu juga menghabiskan masa yang lebih dalam aktiviti-aktiviti profesional guru dan pelajar, dan jangan hanya bekerja semata-mata sebagai pentadbir yang berkurung di bilik mengeluarkan arahan dan surat-surat arahan dan surat-surat siaran. (Kementerian Pendidikan Mlaaysia, 1982: 6)
Pernyataan di atas menunjukkan terdapat perubahan tugas utama pengetua/guru besar iaitu daripada pemimpin pentadbiran kepada pemimpin pengajaran. Perubahan peranan pengetua berlaku kerana desakan daripada Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah supaya pihak sekolah dapat mewujudkan sekolah berkesan atau kecemerlangan dalam pencapaian akademik. Oleh itu, peranan pengetua yang hanya menjalankan peranan sebagai pemimpin pentadbiran sahaja tidak sesuai lagi bagi mencapai matlamat pendidikan pada alaf baru ini dan juga bagi menghadapi cabaran-cabaran dan harapan-harapan pada masa akan datang ini. Apatah lagi dalam konteks pembangunan sumber manusia yang memberi penekanan dalam bidang sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan Wawasan 2020 yang menuntut pelbagai perubahan dalam sektor pendidikan. Oleh itu, dalam kontek untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan pada alaf baru ini, pengetua/guru besar perlu mempunyai dua peranan atau fungsi utama secara serentak iaitu sebagai pemimpin pentadbiran dan pemimpin pengajaran.

  1. Peranan Pengetua/Guru Besar Sebagai Pemimpin Pentadbiran dan Pengajaran
Di sekolah, pengetua/guru besar berperanan sebagai pemimpin pentadbiran dan pemimpin pengajaran. Dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin pentadbiran dan pengajaran, peranan pengetua / guru besar menjalankan tugas seperti mengatur dan melaksanakan jadual waktu dan kalendar sekolah, mengawai SPBT, surat menyurat, mengagih dan mengawasi kerja-kerja kerani, mengumpul dan menyusun data, memastikan undang-undang dan peraturan sekolah dipatuhi oleh pelajar, mengurus perbelanjaan sekolah, memastikan kemudahan dan harta benda sekolah digunakan sebaiknya, dan menjalin hubungan antara sekolah dan pelbagai badan/awam di luar (Zaidatul Akmaliah, 1991: 20). Manakala Hanafi Kamal (1980: 245) mengariskan tugas pengetua/guru besar ialah: (i) kepimpinan (ii) kebajikan dan disiplin (iii) staf sekolah (iv) perancangan, membuat keputusan, pengelolaan, penyelarasan dan perhubungan (v) kurikulum dan pengajaran (vi) kualliti diri (vii) pejabat sekolah, kemudahan fizikal, kewangan dan pengurusan perniagaan (viii) hubungan sekolah-masyarakat. Robiah Sidin (1989: 37) pula menyatakan terdapat enam bidang tugas pengetua/guru besar iaitu: (i) perhubungan sekolah-masyarakat (ii) perkembangan kurikulum dan pengajaran (iii) pengurusan murid (vi) pengurusan kakitangan (v) pengurusan bangunan dan kemudahan-kemudahan lain (vi) pengurusan kewangan. Bagi Ahmad Tajuddin Abdul Hamid (1989: 64) mengatakan tugas pengetua/guru besar secara umumnya boleh disenaraikan dalam empat bidang sahaja iaitu:
  1. Melaksanakan rancangan pendidikan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
  2. Mengawas dan membimbing guru-guru di sekolah untuk menjamin pengajaran-pembelajaran berjalan dengan baik.
  3. Mengawas dan menyelia disiplin, pembelajaran murid, kegiatan sukan, persatuan, kerja-kerja amal dan sebagainya.
  4. Mengadakan perhubungan yang baik dan berkesan dengan pihak luar.
Beberapa kajian dibuat di Amerika Syarikat menyenaraikan tugas pengetua/guru besar sebagai pemimpin pentadbiran dan pemimpin pengajaran seperti berikut: (i) kurikulum dan pengajaran (ii) perundingan (iii) kemudahan fizikal (iv) kewangan dan perniagaan (v) pemilihan, pengambilan dan pembuangan pekerja (vi) perhubungan awam (Hoy dan Miskel, 1991: 319).

  1. Kepemimpinan Pengetua/Guru Besar Di Sekolah Yang Berkesan
Kebanyakan penulis dan penyelidik dalam pendidikan mengakui bahawa kebanyakan pengetua/guru besar yang dapat mewujudkan sekolah yang berkesan atau sekolah cemerlang berfungsi atau berperanan sebagai pemimpin pengajaran. Di antara penulis-penulis tersebut ialah Sweeney (1982), Weber (1971), Rutter (1979), Edmonds (1979), Levine dan Lessotte (1981), Wellish et al. (1978), Hussein Mahmood (1993), dan Shahril Marzuki (1997).
Menurut Sweeney (1982), terdapat enam ciri kepemimpinan pengetua/guru besar yang berkait dengan kepimpinan pengajaran di sekolah berkesan. Ciri-ciri pengetua/guru besar itu ialah:
  1. Memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang akademik.
  2. Menyusun dan menetapkan strategi pengajaran.
  3. Menyedia dan mengekalkan suasana yang kondusif di sekolah (Iklim sekolah).
  4. Kerap menilai pencapaian akademik pelajar.
  5. Menyelaras program pengajaran.
  6. Membantu dan memberi semangat kepada para guru.
Wellish, et al. (1978) menegaskan ada empat perbezaan antara kepimpinan sekolah yang berkesan dengan kepimpinan sekolah Tidak Berkesan. Menurut Wellish, et al. (1978), pengetua di sekolah berkesan adalah:
  1. Mempunyai kepakaran yang jelas terhadap peranannya dalam kepimpinan pengajaran dan matlamat yang ingin dicapai.
  2. Selalu menilai kembali kemajuan guru dan berusaha untuk memperbaikinya supaya dapat menghasilkan pencapaian akademik yang baik di kalangan pelajarnya.
  3. Mengambil tanggungjawab yang lebih dalam membuat keputusan berhubung dengan pengajaran.
  4. Memilih dengan teliti perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan perancangan program pendidikan dengan bantuan guru-gurunya untuk kejayaan sekolahnya.
Manakala Shahril @ Charil Marzuki (1997:74) mengatakan bahawa peranan pengetua/guru besar dalam kepimpinan pengajaran adalah meliputi: menyelia, membuat cerapan dan memotivasikan guru-guru dalam pengajaran, bertindak sebagai pakar rujuk, membimbing dan tunjuk ajar kepada guru-guru dalam pengajaran, kurikulum, penggunaan alat bantu mengajar dan pengurusan kelas, dan pencapaian matlamat dan misi sekolah. Ini telah disokong oleh Hussein Mahmood (1993: 36) yang mengatakan:
Tanggungjawab ini termasuklah mengadakan falsafah sekolah, mengadakan matlamat dan objektif sekolah, membimbing para guru supaya kecekapan mereka dalam pengajaran dan lain-lain bidang kurikulum dapat dipertingkatkan. Di samping itu juga, guru besar seharusnya melaksanakan program perkembangan staf, menyelaras segala aktiviti pendidikan serta lain-lain usaha yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Namun begitu terdapat beberapa penyelidik dan penulis yang berbeza pendapat tentang peranan pengetua sebagai pemimpin pengajaran dan sebaliknya. Antara penulis-penulis yang tidak bersetuju bahawa pengetua mesti berperanan penting sebagai pemimpin pengajaran ialah Fullon (1979), Krajewski (1977), Smyth (1983), Weldy (1979), Wirsig (1980), dan Ahmad Tajuddin Abdul Hamid (1989).
Fullon (1979) mengatakan bahawa pengetua berperanan sebagai pemimpin pengajaran hanyalah merupakan satu dongengan sahaja. Dalam mempertahankan pendapat ini, beliau menegaskan bahawa terdapat beberapa bukti yang jelas menunjukkan pengetua tidak boleh menjadi pemimpin pengajaran. Antara bukti tersebut ialah:-
  1. Pengetua tidak diberi latihan untuk menjadi pemimpin pengajaran di peringkat sekolahnya.
  2. Pengetua banyak terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan am sekolah yang lain.
  3. Pengetua tidak mempunyai masa yang banyak untuk menjadi pemimpin pengajaran.
  4. Pengetahuan seseorang pengetua tidak pelbagai dan kepandaian mereka dalam kepimpinan pengajaran amat terhad. Oleh itu, mereka tidak mampu menjadi pemimpin pengajaran.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ahmad Tajuddin Abdul Hamid (1989), mendapati pengetua-pengetua di Malaysia adalah faham dan jelas tentang tugas mereka dalam kepemimpinan pengajaran, namun tugas mereka itu tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana beban tugas yang lain adalah berat dan pelbagai. Oleh itu, pengetua-pengetua menyerahkan tugas-tugas kepimpinan pengajaran di sekolah-sekolah mereka kepada guru kanan mata pelajaran tanpa garis panduan yang jelas dan mereka juga amat kekurangan masa bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kurikulum dan pengajaran-pembelajaran dengan guru-guru secara profesional.
Menurut Smyth (1983), penyelidikan yang dilakukan di Australia dan di lain-lain tempat menunjukkan bahawa pengetua hari ini adalah bukan sebenarnya pemimpin pengajaran di sekolahnya. Ini disebabkan:
  1. Kekurangan masa kerana mereka terpaksa mengambil bahagian dalam aktiviti lain dari tugas pengajaran dalam masa persekolahan.
  2. Mereka tidak mahu mencampuri autonomi yang dipunyai oleh guru-guru di bilik darjah.
  3. Mereka takut kerana kekurangan kepakaran.
Namun begitu, pendapat di atas telah disangkal oleh Wirsig (1980), yang mengatakan bahawa walaupun pengetua kelihatan tidak mengambil berat terhadap tugas pengajaran tetapi mereka sebenarnya mahu beraksi sebagai pemimpin pengajaran, dalam keupayaan yang mereka ada.
Daripada perbincangan di atas adalah nyata bahawa peranan utama pengetua/guru besar di sekolah-sekolah adalah sebagai pemimpin pentadbiran dari pemimpin pengajaran. Ini jelas berdasarkan Pekeliling Pentadbiran 3/67 (Pindaan 1982) yang menegaskan bahawa pengetua/guru besar dikehendaki mengajar dalam bilik darjah sekurang-kurangnya lima waktu seminggu. Dalam menjalankan tugas mengajar ini, pengetua/guru besar mestilah peka dengan perubahan-perubahan dalam kurikulum, kaedah pengajaran-pembelajaran dan penggunaan alat bantu pengajaran-pembelajaran yang terkini seperti penggunaan komputer atau teknologi maklumat (IT) dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru dan pelajar-pelajar dalam bilik darjah. Dari segi profesionalismenya pula, penglibatan pengetua/guru besar dalam aktiviti pengajaran-pembelajaran akan mendorong dirinya untuk mengemaskinikan pengetahuan, menerokai bidang dan pengetahuan baru selari dengan perkembangan semua. Namun begitu, bagi menghadapi cabaran dan harapan pada abad ke 21 ini, peranan pengetua/guru besar tidak terbatas hanya sebagai kepemimpinan pentadbiran dan pemimpin pengajaran sahaja, tetapi lebih daripada itu.

  1. Ciri-Ciri Kepemimpinan Pengetua / Guru Besar Yang Berkesan Pada Masa Depan
Sebenarnya adalah sukar untuk menentukan ciri-ciri pengetua/guru besar yang berkesan pada masa depan, kerana seseorang pengetua yang berjaya menjadi pemimpin yang baik di sesebuah sekolah pada hari ini belum tentu akan berjaya menjadi pemimpin yang baik di sekolah lain pada masa depan. Mengikut Stoner (1989: 552), seseorang individu yang merupakan pemimpin yang efektif dalam satu situasi mungkin berprestasi paling buruk dalam satu situasi yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pendapat tentang ciri-ciri pengetua berkesan atau cemerlang. Menurut Abas Awang (1999), pengetua yang berkesan memiliki ciri-ciri profesional seperti berikut:
  1. Mengenali penyakit (masalah persekolahan).
  2. Mengenal pasti ubatnya (penyelesaian masalah).
  3. Mengetahui tempoh memerlukan rawatan (jangka masa masalah dapat ditangani).
  4. Mempunyai etika yang tinggi.
  5. Memahami teori-teori yang berkaitan dengan kerjanya.
  6. Berilmu.
  7. Berkemahiran dalam bidang tugasnya.
  8. Bersikap positif dan yakin.
Beliau seterusnya mengutarakan pelbagai kemahiran yang perlu ada pada seseorang pengetua yang berkesan iaitu kepimpinan pengajaran yang berkesan, pengurusan kurikulum, ko-kurikulum, sumber dan kewangan, perancangan strategik, kemahiran berkomunikasi, memotivasi, pemantauan, penilaian, membuat keputusan, TQM dan ISO 9000.
Melalui kemahiran-kemahiran ini, pengetua akan mempunyai piawai dalam pengurusannya dan ada fokus untuk dilaksanakan. Manakala mengikut Institut Aminuddin Baki (1998), berdasarkan (mesyuarat Gerakan Pengetua Berkesan pada 5 Mac 1998) mengatakan bahawa ciri-ciri pengetua/guru besar yang berkesan mengikut model Malaysia adalah seperti berikut:-
  1. Mengamalkan cara berkomunikasi yang cekap.
  2. Prihatin terhadap hubungan kemanusiaan.
  3. Prihatin dan peka tentang perbezaan budaya dan adat resam masyarakat.
  4. Mempunyai wawasan yang jelas.
  5. Berjaya mewujudkan persekitaran pendidikan yang dinamik.
  6. Menerima tugas sebagai satu profesion.
  7. Membuat keputusan secara konsensus.
  8. Memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat
  9. Ketrampilan lain
(i) Ketrampilan pentadbiran
    • menganalisis masalah secara berkesan
    • membuat pertimbangan yang saksama
    • mengurus dan membuat keputusan
                                (ii) Ketrampilan peribadi
    • menilai pendidikan secara jelas
    • mempunyai minat dan motivasi yang tinggi
    • menjaga perawakan diri
Bagi menghadapi cabaran-cabaran dan harapan pada masa depan, di mana dunia pendidikan akan terus berubah sesuai dengan kemajuan zaman dan dunia tanpa sempadan, ‘langit terbuka’, penggunaan komputer dan teknologi maklumat di sekolah, ditambah pula dengan seribu satu macam kerenah pentadbiran, guru dan masalah pelajar, maka pengetua yang berkesan pada masa depan hendaklah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  1. Mempunyai kualiti kepimpinan.
  2. Mempunyai kemahiran dan berketrampilan dalam bidang teknikal, kemanusiaan, pendidikan, budaya dan simbolik.
  3. Berwawasan, kreatif dan inovatif.
  4. Mempunyai kemahiran komunikasi dan motivasi.
  5. Mempunyai kemahiran membuat keputusan dan penyelesaian masalah.
  6. Mempunyai kecergasan fizikal dan kestabilan emosi
  7. Beriman dan bermoral.

4.1 Kepimpinan Yang Berkualiti
Pengetua/guru besar yang berkesan perlu mempunyai kepimpinan yang berkualiti. Menurut Azmi Zakaria (1996), pengetua yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri kualiti kepimpinan seperti berikut:
  1. Kemahuan yang tinggi untuk memimpin dan tabah bertindak menghadapi cabaran.
  2. Pintar dan berinisiatif tinggi.
  3. Berwawasan dan mempunyai matlamat yang jelas mengenai organisasi dan pengajaran.
  4. Bekerja keras dan menjadi contoh yang baik kepada staf yang lain.
  5. Memberi peluang kepada guru menonjolkan kepimpinan mereka.
  6. Mengetahui batasan kepimpinan formal dan tidak formal seperti kemahiran interpersonal, ramah dan baik hati.
  7. Proaktif dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas.
Oleh itu, pengetua yang berkesan pada masa depan boleh menghadapi cabaran dan masalah-masalah sekolah secara profesional dan berkesan. Mengikut Edmonds (1979), kepimpinan pengetua yang berkesan membolehkan "principals can make difference". Manakala Mortimore (1995), mengatakan salah satu faktor sekolah berkesan ialah pengetua yang mempunyai kepemimpinan profesional (professional leadership) iaitu pengetua yang mempunyai sikap yang tegas dan bermatlamat. Ia juga mengamalkan pendekatan bersama dan permuafakatan rumah-sekolah seperti dalam soal-soal pembelajaran pelajar dan membuat keputusan. Kepemimpinan profesional juga menekankan keunggulan pengetua itu sendiri sebagai pemimpin untuk menangani pelbagai masalah di sekolah.

  1. Berkemahiran dan Berketrampilan (Competent Leader)
Pengetua yang berkesan perlu mempunyai pelbagai kemahiran dan ketrampilan supaya dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin sekolah yang berkesan. Ketrampilan ini boleh membantu pengetua menangani cabaran-cabaran dan harapan-harapan yang diminta oleh majikan, ibu bapa dan pelajar yang terdapat di sekolah. Mengikut Sergiovani (1995: 85), seseorang pengetua yang berkesan perlu mempunyai lima kemahiran iaitu:
  1. Kemahiran teknikal.
  2. Kemahiran manusia.
  3. Kemahiran pendidikan.
  4. Kemahiran simbolik.
  5. Kemahiran budaya.
Kemahiran teknikal bermaksud pengetua boleh memainkan peranan sebagai jurutera pengurusan (management engineer) (Sergiovani, 1995: 93). Ia perlu cekap dan mahir dalam memanipulasi strategi dan keadaan untuk menjamin keberkesanan yang maksimum dan optimum dalam menyelesaikan masalah seperti pengajaran-pembelajaran, disiplin pelajar, kekurangan komitmen guru dan sebagainya. Kemahiran ini termasuklah kemahiran merancang (planning), pengelolaan (organizing), penjadualan (schedule dan penyelarasan (coordinating), tentang takwim, masa, dan organisasi sekolah.
Kemahiran manusia bermaksud pengetua berkesan berperanan sebagai jurutera manusia (human engineer) (Sergiovani, 1995: 93). Ini bermakna pengetua perlu mempunyai kemahiran kemanusiaan yang tinggi, mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia seperti perhubungan individu dan mampu memotivasikan stafnya. Salah satu masalah yang dihadapi di sekolah pada masa kini ialah kurangnya wujud hubungan baik dan mesra antara pengetua dengan guru, guru dengan guru, dan guru dengan pelajar. Selain itu, wujudnya masalah seperti kurang komitmen, ketidakhadiran bertugas dan perasaan ‘burn out’ di kalangan guru-guru juga menggambarkan pengetua kurang berjaya dalam memotivasi guru-gurunya. Bagi menangani masalah ini, pengetua perlu mempunyai kemahiran motivasi untuk membina dan mengekalkan moral yang tinggi di kalangan staf dengan memberi penghargaan, sokongan, menggalakkan serta melibatkan stafnya dalam membuat keputusan.
Kemahiran pendidikan bermaksud, seseorang pengetua adalah menjadi pemimpin atau pengamal klinik "Clinical Practitioner’ (Sergiovani, 1995: 93). Ini bermakna seseorang pengetua yang berkesan mesti pakar dalam pendidikan. Ia bertindak sebagai pakar rujuk dalam kurikulum, pengajaran-pembelajaran, penggunaan alat bantu mengajar, diagnosis keperluan, penilaian dan membuat pencerapan pengajaran guru dalam kelas. Kemahiran ini penting bagi menangani masalah berkaitan dengan pengajaran-pembelajaran guru dan pelajar dan pengetua sepatutnya bertindak sebagai ‘super teacher’ kepada guru dan pelajarnya.
Kemahiran simbolik bermaksud pengetua sebagai ketua atau ‘chief’ (Sergiovani, 1995: 93), di mana pengetua yang berkesan akan berada di sekolah sepanjang masa, membuat ‘rondaan’ di kawasan sekolah, melawat bilik darjah, mengenali dan mengetahui masalah pelajar, mewujudkan perpaduan bagi mencapai visi dan misi sekolah, mengetuai upacara rasmi di sekolah. Melalui kemahiran ini, pengetua dapat menangani masalah yang berlaku di sekolah seperti masalah dalam bilik darjah, masalah disiplin pelajar dan kelakuan yang tidak sihat.
Kemahiran budaya bermaksud, seseorang pengetua adalah memainkan peranan sebagai ‘high priest’ (Sergiovani, 1995: 93). Ini bermakna pengetua perlu mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadi sekolah berkesan. Peranan pengetua termasuklah mewujudkan visi dan misi sekolah, mewujudkan simbol-simbol sekolah, mewujudkan sosiolisasi di antara guru dengan pelajar, dan mengadakan upacara memberi hadiah atau penghargaan kepada guru dan pelajar yang telah mencapai kejayaan.
Melalui kemahiran ini pengetua dapat mewujudkan budaya sekolah atau sekolah berwatak yang perlu diikuti oleh guru-guru dan pelajar-pelajar bagi menangani masalah disiplin pelajar.

  1. Berwawasan, Kreatif dan Inovatif

Seorang pengetua yang berkesan mestilah mempunyai wawasan dan sanggup mengambil risiko terhadap tindakannya. Salah satu sebab sekolah kurang berkesan dan timbulnya pelbagai masalah di kalangan guru dan pelajarnya ialah kerana pengetua tidak mempunyai wawasan. Jika adapun, wawasan itu tidak disampai dan dijelaskan kepada guru dan pelajarnya. Mengikut Hussein (1993: 163), wawasan dikatakan sebagai gambaran mental masa depan yang hendak dicapai. Ia meliputi rasional, matlamat, arah hala dan keutamaan yang mendorong dan memberi tenaga kepada guru dan pelajar untuk mendapat hasilan yang dicita-citakan. Untuk membolehkan seseorang pengetua itu merealisasikan wawasannya, ia perlu sentiasa dinamik, kreatif dan inovatif serta inginkan perubahan. Pengetua yang berkesan juga perlu menjelaskan kepada guru dan staf lain serta pelajar, ibu bapa dan masyarakat sekitar tentang matlamat dan wawasan sekolahnya. Dengan cara ini, masalah kurangnya hubungan, sokongan dan komitmen daripada guru, pelajar dan masyarakat terhadap sekolah dapat ditangani dengan mudah dan berkesan.

    1. Kemahiran Berkomunikasi dan Bermotivasi

Pengetua yang berkesan harus mempunyai kemahiran berkomunikasi dan motivasi. Berlakunya beberapa masalah di kalangan guru dan pelajar, sekolah dengan agensi luar seperti masyarakat kerana komunikasi tidak jelas dan pendekatan yang digunakan oleh pengetua kurang sesuai. Oleh itu, pengetua perlu memahami, proses, pola dan saluran komunikasi yang betul supaya maklumat dapat disampaikan dan diterima oleh guru, pelajar dan ibu bapa. Mengikut A.L. Ramaiah (1999: 115), seseorang pengetua yang mahir dalam proses komunikasi adalah pengetua yang sedar serta peka terhadap pelbagai halangan kepada komunikasi, sentiasa bertindak mendengar secara aktif, dan sebagai pemberi maklum balas yang mahir. Pengetua yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik akan dapat menangani pelbagai masalah ketidakjelasan matlamat, kurangnya komitmen dari guru dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Selain itu, masalah jurang komunikasi antara pengetua dengan pelajar dan masyarakat dapat dikurangkan.
Selain kemahiran berkomunikasi, pengetua yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri sebagai seorang’motivator’ dan kaunselor di sekolah. Motivasi boleh didefinisikan sebagai penggerak atau pendorong untuk sesuatu tingkah laku supaya menjadi bertenaga dan bertujuan (Zaidatul Akmaliah, 1999: 108). Kemahiran motivasi penting bagi membolehkan pengetua berhadapan dengan pelbagai masalah guru dan pelajar di sekolah. Biasanya masalah yang dihadapi oleh pengetua di sekolah ialah bagaimana untuk mempengaruhi dan memotivasi pekerja supaya bekerjasama dalam usaha mencapai visi sekolah, iaitu untuk menjadi sekolah berkesan.

    1. Kemahiran Membuat Keputusan dan Menyelesaikan Masalah
Kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah adalah satu lagi ciri yang perlu dimiliki oleh pengetua yang berkesan dalam menangani pelbagai masalah di sekolah. Sebarang masalah yang dihadapi sama ada yang melibatkan guru, pelajar, masyarakat dan pihak berkuasa pendidikan memerlukan penyelesaian masalah yang cepat dan betul. Mengikut Lunenburg (1995: 116), proses membuat keputusan di sekolah melibatkan enam peringkat iaitu:
  1. Mengenal pasti masalah.
  2. Mengenal pasti alternatif.
  3. Menilai alternatif.
  4. Memilih alternatif yang sesuai.
  5. Melaksanakan keputusan.
  6. Menilai keberkesanan keputusan yang telah dibuat.
Mengikut Lunenburg (1995) lagi, pengetua perlu melibatkan guru dan pelajar dalam membuat keputusan bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah, manakala Hussein Mahmood (1993: 1124) penglibatan para guru dalam membuat keputusan mempunyai kaitan yang signifikan dengan rasa puas hati bekerja, tanggapan positif di kalangan guru terhadap kepimpinan pengetua dan pencapaian akademik yang tinggi.

  1. Kecergasan Fizikal dan Kestabilan Emosi

Pengetua yang berkesan juga perlu mempunyai personaliti yang sesuai iaitu dari segi fizikal dan emosi. Dari segi fizikal ia perlu mempunyai tubuh badan yang sihat, tidak cacat dan cergas. Pengetua yang tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik didapati sukar menjalankan tugasnya dengan berkesan. Pengetua juga perlu mempunyai tahap kecerdasan (IQ) yang tinggi dan kecerdasan emosi yang seimbang (EQ Test). Kenyataan ini disokong oleh Keith Davis (1972) yang mengatakan pemimpin (pengetua) hendaklah mempunyai kecerdasan IQ yang tinggi daripada kecerdasan standard kakitangannya. Ciri ini penting bagi membolehkan pengetua menangani masalah yang dihadapi secara rasional. Mengikut Keith Davis lagi, pemimpin (pengetua) juga perlu mempunyai kematangan sosial iaitu matang dan stabil dari segi emosi serta mempunyai konsep kendiri yang boleh diteladani dan disanjung. Kajian yang dijalankan untuk melihat stres dan kepuasan kerja di kalangan guru-guru di negara ini mendapati bahawa pengetua adalah antara golongan yang mengalami stres pekerjaan berbanding dengan profesion lain. Kecergasan fizikal yang terganggu dan ketidakstabilan emosi akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku pengetua terhadap tugas dan gaya kepimpinannya. Pengetua yang terlalu emosional didapati lebih mudah mengalami stres dan sukar diajak berunding. Mereka lebih cenderung mengamalkan gaya kepimpinan autokratik. Manakala pengetua yang stabil emosinya lebih mudah diajak berunding dan cenderung mengamalkan gaya kepimpinan demokratik.

    1. Beriman dan Bermoral
Ciri-ciri pengetua yang berkesan tidak akan lengkap jika tidak mengambil kira dari sudut keagamaan. Dari perspektif Islam, keunggulan seseorang pemimpin atau pengetua seharusnya melibatkan ketinggian komitmen, moral dan akhlak. Ketinggian moral dan akhlak sewajarnya dijadikan budaya sekolah di samping mensepadukan kurikulum dan agama. Sebagai pemimpin sekolah, pengetua perlu mempunyai rasa bertanggungjawab dan amanah terhadap tugas yang diberikan kepada mereka. Selain daripada mempunyai kemahiran seperti yang telah dihuraikan sebelum ini, pengetua juga perlu mempunyai "character" atau keperibadian dan akhlak yang baik sehinga boleh dijadikan "uswatun hasanah" (model terbaik).
Perkara ini juga selaras dengan Steven Covey (1990) yang mengatakan pemimpin bermoral ialah pemimpin yang lebih menenangkan hati mereka secara perbincangan moral dan rasional. Ia perlu mengamalkan konsep syura iaitu setiap pengetua perlu menerima pandangan orang lain atau kakitangannya dengan berlapang dada dan berhati terbuka dalam membuat keputusan. Oleh itu, sebagai pengetua sebarang tindakan yang diambil untuk menangani masalah haruslah berdasarkan kepada nilai-nilai kejujuran, keikhlasan, keadilan dan amanah terhadap tugas dan tanggungjawab. Dengan mempunyai ciri-ciri ini, pengetua akan dapat menangani masalah di sekolah dalam keadaan menang-menang (win-win).

  1. Cadangan dan Saranan Untuk Pemilihan dan Lantikan Jawatan
Pengetua/Guru Besar Pada Abad Ke 21 Ini
Di bawah ini adalah cadangan dan saranan untuk memperbaiki pemilihan dan lantikan pengetua/guru besar sekolah dan dicadangkan juga jawatan pengetua dinaikkan taraf sesuai dengan beban tugas dan tanggungjawab pengetua di sekolah pada abad ini.
5:1 Semua sekolah menengah Gred A, seharus dinaikkan pangkat daripada Jawatan Pengetua DG2 kepada Jawatan Pengetua DG1 selaras dengan beban tugas yang dijalankan oleh pengetua pada hari ini. Walau bagaimanapun, dalam perlantikan jawatan Pengetua DG1, hendaklah berdasarkan kepada kelulusan (Masters dan Ph.D.), pengalaman, dan ciri-ciri pengetua yang berkesan seperti yang dicadangkan di atas.
5:2 Bagi sekolah menengah Gred B, seharusnya disandang oleh pengetua berjawatan DG2. Walau bagaimanapun, bagi menjalankan tugas-tugas sebagai pengetua, seharusnya diberi elaun tanggung kerja di antara RM450 – RM650. Ini untuk membezakan gaji dan beban tugas pengetua DG2 dengan guru-guru biasa DG2 (lantikan melalui time base).
5:3 Bakal-bakal pengetua/guru besar yang telah menghadiri Kursus National Professional Qualification Headship (NPQH) dari IAB dan dari Institut Pengetua, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, hendaklah terus dilantik ke jawatan Pengetua/Guru Besar di sekolah menengah Gred B atau rendah Gred A dengan elaun tanggungan kerja, jika ada kekosongan jawatan dan tanpa menunggu kekananan jawatan. Ini disebabkan latihan-latihan yang diberikan kepada mereka ini tidak akan dapat diamalkan di sekolah sebagai pengetua/guru besar jika tidak terus dilantik.
5:4 Jawatan Guru Besar Gred A di sekolah rendah seharusnya dipegang oleh guru-guru siswazah yang telah menghadiri kursus NPQH, dengan diberi elaun tanggungan kerja. Jawatan Guru Besar di sekolah rendah Gred B seharusnya dipegang oleh guru-guru DG4 atau DG5.
5:5 Pengetua/guru besar yang dilantik dan yang memegang jawatan di sekolah hendaklah terdiri daripada mereka yang berumur 35 – 45 tahun, kerana mereka ini masih bertenaga, berinovatif dan kreatif dalam mengubah dan memajukan sekolah untuk menjadi sekolah berkesan.
  1. Jawatan Pengetua seharusnya dipegang oleh mereka yang mempunyai keluusan Master atau Ph.D. serta telah menghadiri kursus NPQH di IAB.

Kesimpulan
Dalam menangani permasalahan yang semakin kompleks di sekolah-sekolah pada abad ke 21 ini, pengetua/guru besar seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti: mempunyai kualiti kepimpinan, mempunyai kemahiran dan berketrampilan dalam bidang teknikal, kemanusiaan, pendidikan, budaya dan simbolik, berkemahiran dalam komunikasi, motivasi, membuat keputusan dan penyelesaian masalah. Selain itu, ia mesti mempunyai kecergasan fizikal dan kestabilan emosi, beriman dan bermoral. Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan seharusnya memberikan ganjaran yang setimpal dengan beban tugas dan tanggungjawab yang semakin kompleks yang dipikul oleh pengetua pada abad ke 21 ini.

 Bibliografi
Abd. Razak Wahid (2000). Ciri-Ciri Pengetua Yang Unggul Bagi Menangani Masalah-Masalah Yang Terdapat Di Sekolah Menengah Di Malaysia. (Artikel yang tidak diterbitkan).
Ahmad Tajuddin bin Abd. Hamid (1989). Peranan Pengetua Dalam Kepimpinan Pengajaran. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. (Disertasi M.Ed. yang tidak diterbitkan).
Alias bin Ngah (2000). Ciri-Ciri Pengetua Yang Unggul Bagi Menangani Masalah-Masalah Yang Terdapat Di Sekolah Menengah Di Malaysia. (Artikel yang tidak diterbitkan).
Azizah bte. Isa (2000). Apakah Pengetua-Pengetua di Malaysia Menjalankan Tugas Sebagai Pemimpin Pengajaran atau Pemimpin Pentadbir? (Artikel yang tidak diterbitkan).
Azmi Zakaria (1996). "Indikator Pemimpin Cemerlang: Satu Analisis Pengurusan". Jurnal Pendidikan. Genting Highland: Institut Aminuddin Baki.
Brookover, W.B. dan Lezotte, L.W. (1979). Changes in School Characteristics Coincident with Changes in Student Achievement. East Lansing: Michigan State University: College of Urban Development.
Covey, S. (1990). Principle-Centered Leadership. New York: Fireside, Simon & Schuster.
Dwyer, D.C. (1986). Understanding the Principal’s Contribution to Instruction dalam D.C. Dwyer (ed.), The Principal as Instructional Leader. Peabody Journal of Education, 63 (1), hlm. 3 – 17.
Edmond, R. (1979). Effective Schools for the Urban Poor dalam Educational Leadership, 37 (1), hlm. 15 – 27.
Fadzilah bin Hj. Md. Noor (1990). Tingkah Laku Pentadbiran dan Kepimpinan Pengetua Sekolah Menengah di Pahang. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. (Disertasi M.Ed. yang tidak diterbitkan).
Hanafi Kamal (1980). An Identification for the Desirable Behavioral Domains of the Secondary School Principalship in Malaysia. University Ohio. (Tesis kedoktoran yang tidak diterbitkan).
Hoy, W.K. dan Miskel, C.G. (1991). Educational Administration, Theory Research and Practice. Singapore: McGraw-Hill.
Hussein Mahmood (1993). Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Institut Aminuddin Baki (1998). Profil Pengetua/Guru Besar Berkesan Menurut Model Malaysia. Mesyuarat Gerakan Pengetua Berkesan, 5 Mac 1998. (Tidak diterbitkan).
Kementerian Pendidikan Malaysia (1982). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di Sekolah-Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Krajewski, R.J. (1977). "Secondary Principals Want to be Instructional Leader". Phi Delta Kappan, hlm. 53 – 58.
Leithwood dan Montgemery. (1982). "The Role of The Elementary School Principal In Program Improvement". Review of Educational Research, 52 (3).
Levine, D., dan Lezotte, L. (1990). Unusually Effective Schools. Madison, WI: The National Center for Effective Schools Research and Development.
Lunenburg, C.F. (1995). The Principalship. Englewood Cliffs: Prentice Hall.
Mortimore, P., Sammons, P., Stoll, L., Lewis, S., dan Ecob, R. (1988). School Matters: The Junior Years. Somerset, Open Books.
Peter Mortimore. (1995). "Key Characteristics of Effective School". Kertas dibentangkan pada seminar Sekolah Efektif, Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.
Robiah Sidin (1994). Pendidikan Di Malaysia: Cabaran Untuk Masa Depan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Rutter, M., Maughan, B., Mortimore, P., Ouston, J., dan Smith, A. (1979). Fifteen Thousand Hours: Secondary School and Their Effects on Children. Cambridge MA: Harvard University Press.
Sergiovani, T.J. (1982). "Ten Principles of Quality Leadership". Educational Leadership, 35 (9).
Sergiovani, T.J. (1984). "Leadership and Excellent in Schooling". Educational Leadership, 41 (5).
Sergiovani, T.J. (1995). "The Principalship: A Reflective Practice Perspective". Boston: Allyn and Bacon.
Shahril @ Charil Marzuki (1997). Kajian Sekolah Berkesan Di Malaysia: Model Lima Faktor. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. (Tesis kedoktoran tidak diterbitkan).
Stoner, J. A. F. (1989). Pengurusan (edisi terjemahan). Kuala Lumpur: AMIZA.
Sweeney, J. (1982). "Research Synthesis on Effective School Leadership". Educational Leadership, 39 (5), hlm. 346 – 352.
Zaidatul Akmaliah (1999). Pentadbiran Pendidikan. Kuala Lumpur:Fajar Bakti.