Dalam kehidupan bermasyarakat, menyemai dan memupuk semangat
kekitaan sangat penting bagi mengekalkan perpaduan yang sudah sedia terjalin.
Bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan. Bayangkan, jika
tiada semangat kekitaan, sudah tentu persefahaman dan kerjasama dalam
masyarakat tidak wujud.
Setiap individu yang tinggal dalam masyarakat hendaklah mempunyai
semangat kekitaan. Melalui semangat kekitaan, kehidupan dapat dimanfaatkan
dengan lebih bermakna lagi. Kehidupan masyarakat akan lebih aman dan tenteram
apabila semangat ini dapat diwujudkan pada setiap masa. Perpaduan bangsa dapat
dilakukan melalui bahasa.
Kajian pakar sains sosial membuktikan bahawa perpaduan dan
permuafakatan penduduk yang sentiasa menjaga bahasa akan mewujudkan suasana
aman, harmoni dan sejahtera. Keunikan hidup di Malaysia banyak bergantung pada
perpaduan dan permuafakatan antara kaum. Perpaduan dan permuafakatan ini
bermula daripada semangat kekitaan yang wujud dengan mengekalkan budi bahasa
dalam kehidupan masyarakat di kawasan perumahan, sama ada di desa ataupun di
kota. Misalnya, orang menggunakan bahasa untuk berbicara tentang ajaran Islam
yang mementingkan perpaduan, permuafakatan, keharmonian dan kesejahteraan dalam
kehidupan bermasyarakat yang berlandaskan Islam. Orang Mukmin diumpamakan
sebagai binaan yang menyokong antara satu sama lain dan bahasa pula menjadi
penghubung dan penguat muafakat.
Sesuatu bangsa itu tidak boleh membangun dan berjaya jika
hidup bersendirian. Oleh itu, sebagai individu kita hendaklah
bersama-sama hidup bergotong-royong, bantu-membantu, hormat-menghormati
dan berkasih sayang. Mengamalkan bahasa dan budaya yang baik akan dapat
merealisasikan keadaan ini. Setiap individu juga perlu mengamalkan hidup
bermasyarakat dengan menyertai aktiviti gotong-royong, menghadiri majlis rumah
terbuka, menghadiri majlis perkahwinan dan aktiviti lain yang dijalankan oleh
penduduk setempat. Dalam hubungan ini, bahasa memainkan peranan sebagai alat
komunikasi yang berkesan. Misalnya, melalui majlis rumah terbuka Aidilfitri
yang diadakan setiap tahun, ahli masyarakat dapat berkenal-kenalan, merapatkan
silaturahim, menjalinkan kemesraan dan mengeratkan persaudaraan.
Untuk mengeratkan hubungan kasih sayang, kita mestilah menggunakan
bahasa yang bersopan santun. Mereka yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam
kehidupan bermasyarakat akan merasakan diri mereka terpinggir. Akhirnya, mereka
akan hidup seperti kera sumbang dalam masyarakat tersebut. Kehidupan yang
dipinggirkan oleh ahli masyarakat akan menyebabkan diri rasa terasing dan
tersisih.
Konsep mengamalkan bahasa dan budaya, serta semangat kekitaan
sudah tentu akan mewujudkan suasana aman, harmoni dan sejahtera dalam kehidupan
penduduk yang bermasyarakat. Konsep ini sebenarnya sudah lama diamalkan dalam
kehidupan masyarakat Melayu lama di desa. Hal ini seharusnya diterapkan dan
diamalkan di bandar dan di kota sebagai amalan yang baik. Bahasa yang diamalkan
dalam semangat kekitaan akan menjalin kasih sayang dan rasa persaudaraan.
Rencana ini dipetik daripada Dewan
Bahasa, Mac 2012. (Ami Masra)
Sumber
: http://dwnbahasa.dbp.my/?p=592
No comments:
Post a Comment