Sistem pemerintah Rusia telah mengamalkan Sistem
Pemerintahan Beraja bermula tahun 1547 sehingga tahun 1917. Sistem
pemerintahan Rusia adalah diwarisi daripada sistem pemerintahan empayar
Byzantine selepas berlakunya perkahwinan Ivan III dengan cucu maharaja
Byzantine yang terakhir iaitu Sophia pada tahun 1469. Sistem pemerintahan di
Rusia menggunakan konsep caesaropapism iaitu konsep gabungan unsur keagamaan
dan politik yang mengkehendaki rakyat taat setia kepada pemeriantah Rusia.
Gelaran raja/maharaja Rusia dikenali sebagai Tsar
sempena gelaran Caesar yang diguna pakai oleh pemerintah empayar Byzantine.
Ivan IV merupakan raja pertama yang menggunakan gelaran Tsar dan penggunaannya
berakhir dengan Dinasti Ramanov pada tahun 1917. Pada abad ke 16 hingga abad
ke-20, pemerintahan beraja di Rusia di bawah Dinasti Romanov iaitu bermula
dengan Michael Ramanov (1613-1645), Peter The Great (1682-1725), Catherine I
(1725-1727), Tzar Alexander I (1801-1825), Tzar Nicholas I (1825-1855), Tzar
Alexander II (1855-1881), dan Tzar Nicholas II (1894-1917).
Sistem beraja di Rusia di bawah Dinasti
Ramanov selama 304 tahun berakhir semasa pemerintahan Tsar Nikolai II
apabila berlaku Revolusi Russia 1917 dan digantikan dengan sebuah parti
campuran yang mengaku dirinya sebagai Kerajaan Sementara. Pemerintahan Kerajaan
Sementara di bawah Putera Lyvov dan Alexander Kerensky sehingga 25 Oktober
1917. Akhirnya pemerintahan Rusia diambil alih oleh Vlanimir Ilyich Lenin
melalui Revolusi Bolshevik.
Kedudukan
Raja Rusia
1. Kedudukan Tertinggi
Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar
mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur masyarakat. Rakyat perlu taat dan
memandang mulia kepada Tsar. Tsar merupakan ketua dalam setiap bidang
pemerintahan di Rusia. Tsar berkuasa membuat segala keputusan yang akan
dilaksanakan di Rusia dan segala perintah Tsar rakyat tidak boleh membantah.
2.Berkuasa mutlak
Sebelum Revolusi Rusia 1917,
Rusia mempratikkan pemerintahan bercorak autokratik. Pada tahun 1547, Ivan IV
yang lebih dikenali sebagai ”Ivan yang ganas” telah memerintah Rusia dengan
menggunakan kuasa mutlak. Beliau telah bertindak mengisytiharkan kanun
undang-undang baharu pada tahun 1550, menubuhkan badan perwakilan feudal
(Zemskii Sabor) pertama di Rusia dan berjaya melemahkan kedudukan orang Tartar
di Rusia dengan menguasai Kazan (1552) dan Astrakhan (1556). Begitu juga dengan
pemerintahan Tsar IV Nikolai II (1894-1917) mempunyai kuasa mutlak dalam
menentukan keputusan pentadbiran serta hal-ehwal kerajaan.
3. Hak Istimewa
Maharaja Rusia seperti
maharaja lain di dunia mempunyai hak istimewa dalam masyarakat seperti
kekebalan dari segi undang-undang dan diberi pelbagai kemudahan istimewa.
Segala kata Tsar akan dirujuk dan dianggap sebagai undang-undang.
Peranan Maharaja Russia dalam pemerintahan
1. Ketua Negara
Maharaja Rusia berperanan sebagai ketua negara atau
ketua kerajaan yang berkuasa mutlak dalam pentadbiran. Baginda berkuasa dalam
bidang politik, ekonomi dan sosial seperti mana zaman pemerintahan Tzar
Nicholas II.
2. Dasar Luar
Tsar Rusia berkuasa dalam menentukan hubungan luar
negeri/hubungan diplomatik. Maharaja Rusia telah menjalinkan hubungan
diplomatik dengan negara-negara Eropah Barat termasuk Jerman untuk melatih
ketenteraan Rusia. Tsar Alexander I (1801-1825) telah menandatangani satu
perjanjian dengan Napoleon pada tahun 1807 iaitu Rusia bebas menjalankan dasar
menakluki Turki dan berjaya merampas wilayah Bessarabia pada tahun 1812.
3. Melantik Menteri
Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar
juga mempunyai kuasa melantik menteri bagi mengukuhkan kedudukannya. Selain itu
baginda juga berkuasa untuk memecat menteri yang dianggap menentangnya dalam
pemerintahan. Contohnya semasa pemerintahan Tsar Nicholas II. Tsar akan memilih
dan melantik menterinya yang benar-benar boleh dipercayai dan mampu mentadbir
kerajaan. Menteri diibarat sebagai tulang belakang atau penyokong kuat
kerajaan. Kuat atau lemah seseorang Tsar itu bergantung kepada golongan menteri
ini.
4. Bertanggungjawab menjaga keamanan
Pemerintahan Rusia bertanggungjawab untuk memulih,
menjaga keamanan dan keselamatan seluruh negara Rusia daripada ancaman musuh.
Pemerintah Michael Ramanov telah berjaya mempertahankan Rusia daripada
pencerobohan asing dengan menjadikan beberapa buah bandar yang berkubu di
selatan untuk menentang Tartar dan Turki.
5. Mengetuai ketenteraan
Dasar perluasan wilayah juga mendorong pemerintah
Rusia mengawal ketenteraan. Oleh sebab Rusia sering terancam telah menyebabkan
pemerintah Rusia memperkuatkan tenteranya seperti mana yang dilakukan oleh
Peter The Great. Peter teleh menambah peruntukan ketenteraan sebanyak 2.3 juta
rouble pada tahun 1701 kepada 32 juta rouble pada tahun 1710. Peter juga memastikan peruntukkan perbelanjaan pusat memberi keutamaan
kepada pertahanan negara Rusia.
Begitu juga dengan pemerintah
Yekaterina Agung (1762-1796) yang meluaskan kuasanya ke Poland-Lithuana dan di
selatan memerangi wilayah empayar Uthmaniyyah. Alexander
II (1855-1881) yang telah memodenkan tentera Rusia berjaya membebaskan Bulgaria
daripada pemerintahan Uthmaniyyah dalam Perang Rusia-Turki (1877-1898).
6. Mengetuai bidang ekonomi
Pemerintah Rusia juga bertanggungjawab memajukan
ekonomi supaya negara bertambah kukuh dan stabil. Kesungguhan pemerintah Rusia
dalam memajukan ekonomi dapat dilihat semasa pemerintahan Peter The Great, Tzar
Alexander II dan Tzar Nicholas II. Semasa Peter The Great, beliau telah
menggalakkan pembangunan industri perkilangan membuat senjata, peralatan
tentera, pembuatan makanan, sektor pembuatan seperti tekstil, kertas, kaca dan
barangan kulit. Industri besi dan keluli juga dimajukan di Ural sehingga Rusia
boleh muncul sebagai pembekal besi utama untuk pasaran Eropah pada abad ke-18.
Tzar Alexander II pula membangunkan sistem
pengangkutan kereta api bagi memajukan lagi sektor industri di Rusia. Begitu
juga pemerintah Tzar Nicholas II turut memberi tumpuan kepada kemajuan
pengangkutan kereta api kerana ia menjadi kunci kepada pembangunan ekonomi
Rusia.
7. Sebagai ketua agama Kristian
Pemerintah Rusia juga berperanan sebagai ketua
agama dan bertanggungjawab memperkukuhkan serta menyuburkan ajaran agama
Kristian Ortodoks. Pemerintah Rusia perlu memastikan rakyatnya sentiasa
mematuhi pengamalan agama. Sebagai contoh pemerintah Peter The Great telah
memberikan tawaran kemewahan dan kebendaan serta ada yang diugut yang mana
tanah mereka akan dirampas jika tidak menukar agama.
Bagi menjayakan hasratnya juga, beliau telah
mengarahkan mubaligh Kristian mempelajari bahasa masyarakat tempatan,
menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa tempatan dan menghantar mubaligh tinggal
bersama keluarga yang menjadi sasaran pemerintah.
Kesimpulan
Kedudukan dan peranan Tsar di Rusia sememangnya
tidak banyak bezanya dengan kedudukan dan peranan raja/maharaja di
negara-negara lain di dunia ketika itu. Tetapi akhirnya kedudukan dan peranan
Tsar tamat setelah berlakunya Revolusi 1917 di Russia yang akhirnya
Russia menjadi sebuah negara republik yang dipimpin oleh seorang Presiden.
SISTEM PEMBESAR DI RUSIA
Pendahuluan.
Golongan
pembesar merupakan pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau
maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan. Tujuan pelantikan
golongan pembesar untuk membantu raja atau maharaja dalam bidang pemerintahan
yang merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Mengikut Kamus Dewan pula golongan
pembesar bolehlah ditakrifkan sebagai orang yang berpangkat tinggi dalam
kerajaan.
Dalam
sistem pemerintahan raja atau maharaja, kedudukan pembesar sangat penting dan
berada di lapisan kedua selepas kedudukan raja atau maharaja. Institusi
pemerintahan di Russia memperlihatkan raja atau maharaja melaksanakan
pemerintahan dengan bantuan atau sokongan institusi pembesar. Bagi memastikan golongan
pembesar sentiasa taat setia kepada raja atau maharaja dan mengawasi tindak
tanduk pembesar maka satu badan pemantau telah diwujudkan oleh raja atau
maharaja.
Jika
seseorang pembesar gagal melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan baik,
raja atau maharaja mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatannya dan digantikan
dengan pembesar lain yang lebih berwibawa dan dipercayai. Kuat atau lemah
sesebuah kerajaan atau raja atau maharaja adalah bergantung kepada golongan
pembesar yang dipilih dan dilantik
oleh raja atau maharaja. Sebab itulah golongan pembesar diibaratkan sebagai
tulang belakang atau tiang kerajaan dalam sesebuah kerajaan.
Sistem
pembesar yang diamalkan di negara Rusia boleh dibahagi kepada beberapa
peringkat iaitu pembesar diperingkat pusat, pembesar peringkat daerah atau
wilayah dan pembesar peringkat kampung. Bidang tugas mereka hampir sama tetapi
kedudukan serta kuasa mereka yang membezakan di antara golongan pembesar.
Sistem
Pembesar Di Rusia
Sistem
pembesar di Rusia berbeza dengan negara China. Semasa era pemerintahan Moscow
dan Dinasti Ramanov sistem pembesarnya terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat
daerah dan peringkat kampung.
Pentabiran
Di Peringkat Pusat.
Di
peringkat pusat, sistem pemerintahan pembesar melalui Majlis Penasihat Tertinggi
(Duma), Majlis Penasihat (Zemskii Sabor) dan jabatan kerajaan (Prikazi). Duma dianggotai oleh
golongan bangsawan paling kanan dan bertanggungjawab menyelaras hal ehwal
pemerintahan, mengubal dan meluluskan dasar kerajaan, dan sistem kehakiman.
Walaubagaimanapun raja masih lagi berkuasa untuk membuat keputusannya.
Zemskii
Sabor pula dianggotai oleh golongan bangsawan. Bilangan ahlinya antara 40-50
orang dan bidang kuasa mereka lebih rendah berbanding kuasa Duma. Prikazi pula
merupakan jabatan kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal dan
diluluskan oleh Duma.
Sistem
pembesar di Rusia disusun dengan teliti akan tidak berlaku pertindihan peranan,
lebih seragam dan lebih cekap. Oleh itu Duma dan Zemskii Sabor telah
dibubarkan dan diganti dengan Majlis Senate pada tahun 1711 semasa pemerintahan Peter The
Great. Majlis ini dianggotai oleh 9 ahli dengan dibantu oleh Colleges bagi
meringankan beban tugas Senate yang semakin hari semakin banyak tugasnya.
Dalam
bidang pemerintahan, institusi
gereja Kristian Ortodoks juga mempunyai peranan penting dalam bidang keagamaan,
ekonomi dan politik. Namum peranan mereka telah
dikawal dengan ketat oleh raja Rusia supaya pembaharuan yang ingin dilaksanakan
di Rusia dapat dilaksanakan. Raja Peter telah bertindak tidak melantik
Patriarch yang baharu pad tahun 1700 malah telah menggantikannya dengan Holy
Synod. Begitu juga di zaman Catherine, beliau telah memiliknegarakan harta dan
kekayaan gereja. Hal ini telah membolehkan raja mengawal kuasa gereja kerana
mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat.
Dalam
pengubalan dasar luar, Jawatankuasa Tidak Rasmi atau Jawatankuasa Khas telah
ditubuhkan. Jawatankuasa ini berperanan memberi nasihat kepada raja malah
menyokong segala dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah terutama di zaman
Alexander I. Beliau juga telah melakukan perubahan dalam pemilihan anggota Duma
atau parlimen seperti pemilihan anggota melalui pilihanraya. Semasa
pemerintahan Nicholas II, beliau menjadikan Duma sebagai Parlimen Rendah iaitu
keanggotaannya dipilih melalui undian oleh rakyat dan bukan dipilih oleh Tsar.
Oleh kerana keanggotaannya terdiri daripada pelbagai peringkat dan bangsa maka
ini telah menyukarkan Duma untuk membuat keputusan. Akhirnya Duma pertama telah
dibubarkan dan Duma Kedua telah ditubuhkan pada Mac 1907.
Diperingkat
pusat juga ditubuhkan Dewan
Perhimpunan Wilayah yang bertanggungjawab membantu
Tsar dalam menguruskan pentadbiran negara Rusia. Keanggotaan terdiri daripada
golongan bangsawan.
Polis
Rahsia Khas (Okhrana) juga ditubuhkan di peringkat
pusat untuk mengawal penyebaran unsur propaganda yang boleh menggugat
pemerintahan Tsar, demontrasi rakyat, mengawal jalan keluar masuk ke Rusia,
menjadi pengintip raja atau Tsar dan menangkap golongan pengkhianat kepada
Tsar. Penubuhan pasukan ini telah mengukuhkan lagi pemerintahan Tsar terutama di
zaman pemerintahan Nicholas I, Alexander II dan Nicholas II.
Pentabiran
Di Peringkat Daerah.
Pentadbiran
peringkat daerah juga amat penting dalam membantu pemerintahan Tsar di Rusia.
Pentadbiran di peringkat daerah di ketuai oleh gabenor atau naib gabenor yang
dilantik oleh kerajaan pusat seperti di zaman pemerintahan Catherine.
Di
peringkat daerah juga diwujudkan Majlis Perundangan Tempatan atau Majlis Daerah
(Zemstvo). Rakyat diberi kuasa untuk memilih ahli Majlis Daerah. Ahli Majlis
Daerah pula akan memilih ahli Majlis Wilayah. Majlis ini berperanan menjaga
jambatan, jalan raya, pendidikan, kesihatan awam dan pemilihan pegawai
undang-undang.
Pentabiran
Di Peringkat Kampung.
Pentadbiran
peringkat kampung pula dijalankan oleh Majlis Kampung. Majlis ini juga dikenali
sebagai mir atau Komun.
Majlis ini berperanan untuk memunggut cukai yang telah ditetapkan oleh
kerajaan, menentukan jenis tanaman yang ditanam oleh petani, mengagihkan tanah
pertanian kepada petani, memilih di kalangan golongan petani untuk menjadi
tentera apabila diperlukan oleh Tsar, mengawal kemasukan pengaruh luar yang
boleh mengugat kerajaan pusat dan menjadi pengintip kerajaan daripada
berlakunya penentangan.
No comments:
Post a Comment