Abad ke-19 adalah titik tolak penting dalam sejarah Tanah Melayu bukan
sahaja mengalami perubahan politik, tetapi juga perubahan sosial dan ekonomi.
Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada
kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Hal ini menjadi semakin hebat selepas
campur tangan British di Negeri-negeri Melayu, kestabilan politik yang wujud
membolehkan eksploitasi ekonomi dan politik sepenuhnya. Dari segi ekonomi,
perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah menyebabkan kemasukan
imigran cina dan India secara beramai-ramai. Penghijrahan imigran Cina dan
India ini telah mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu sehingga ke hari
ini.
Penghijrahan masyarakat luar ke
Tanah Melayu bukan sahaja melibatkan kaum Cina dan India, malah ada orang Indonesia yang datang dari Kalimantan, Jawa, Sumatera, Sulawesi,
Riau dan lain-lain Kepulauan Indonesia. Kebanjiran imigran-imigran dari luar
ini telah membentuk konsep masyarakat majmuk di Malaysia, bermulanya dari sejak
awal lagi. Persoalannya sekarang, kenapakah penghijrahan berlaku pada zaman
itu? Mengapakah kaum Cina dan India yang menjadi intipati kepada pokok
persoalan penghijrahan di Tanah Melayu, sedangkan terdapat juga bangsa-bangsa
lain? Soalan ini akan terjawab apabila kita mengupas akan proses kedatangan
imigran Cina dan India ke Negeri-negeri Melayu.
Dalam konteks sejarah, proses migrasi jelas berlaku pada abad ke-19
apabila Kerajaan British berusaha membawa masuk golongan imigran Cina dan India
untuk berkerja di dalam beberapa sektor yang tidak mendapat sambutan penduduk
tempatan. Bahkan bukan sedikit yang berpendapat, masyarakat majmuk di Malaysia
pada hari ini ialah kerana kontruksi pihak British. Menurut J.S. Furnival dalam
Ruslan Zainuddin (2004), masyarakat majmuk kepada sebuah masyarakat seperti
Malaysia hari ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan setiap kaum mempunyai
budaya, agama, bahasa, adat resam dan cara hidup yang tersendiri.
Melalui dasar pecah dan perintah (devide and rule) pihak British, konsep
masyarakat majmuk lahir daripada migrasi kaum-kaum Cina dan India dapat
dicirikan dengan perpecahan dan konflik antara kumpulan-kumpulan manusia yang
berada di bawah satu sistem. Perpecahan
ini dapat dirujuk kepada aspek politik, ekonomi, dan sosial masyarakat. Keadaan
ini jelas apabila berlaku pembahagian buruh dalam sistem ekonomi berdasarkan
pemisahan kaum dalam masyarakat dengan setiap kaum mempunyai fungsi-fungsi
ekonomi yang tersendiri (Ruslan Zainuddin, 2003).
Jelas, bahawa proses kedatangan imigran-imigran Cina dan India ke Tanah
Melayu telah mendominasi kepelbagaian etnik di negara ini sekaligus melahirkan
sifat ‘hetergenous’ budaya,
perpecahan social dan konflik. Masyarakat dikelompok mengikut lokasi dan peluang-peluang
ekonomi mereka. Keadaan ini telah melahirkan sedikit sebanyak sifat komunalisme
(perkauman) dalam masyarakat. Rentetan daripada isu kemajmukkan masyarakat di
Malaysia hari ini, fokus penulisan esei ini turut meninjau perspektif proses
kedatangan imigran-imigran Cina dan
India ke Tanah Melayu berdasarkan sebab tertentu dan kesannya.
PENGHIJRAHAN
IMIGRAN CINA
Penghijrahan
imigran Cina ke Tanah Melayu mengikut pendapat para sejarawan dikatakan bermula
sebelum zaman kegemilangan Melaka lagi. Namun kemasukan yang agak jelas,
bermula pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka manakala kemasukan besar-besaran
dan bersistematik komuniti ini hanya berlaku selepas pendudukan British di
Pulau Pinang dan Singapura pada abad ke 18. Imigran Cina juga datang ke Tanah
Melayu untuk berdagang. Kedudukan Melaka yang sememangnya strategik dan
terletak antara laluan China dan India membolehkan setiap pedagang Cina untuk
datang atau singgah ke pelabuhan Melaka ketika itu. Mereka datang ke Tanah
Melayu untuk mendapatkan bekalan buah-buahan, bijih timah, gincu, lada hitam,
candu dan ubat akar kayu. Mereka juga memperniagakan barangan mereka seperti
kain sutera, kain benang emas, tembikar, pinggan mangkuk dan sebagainya.
Hubungan perniagaan yang luas dan ‘mewah’ ini membuatkan kehadiran kaum Cina ke
Tanah Melayu ketika itu sangat konsisten dan berterusan.
Penghijrahan masuk orang Cina meningkat lagi pada pertengahan abad
ke-19. Mereka berhijrah secara beramai-ramai untuk bekerja sebagai buruh di
lombong bijih timah dan ladang lada hitam. Kemasukan
imigran Cina juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelbagai aspek terhadap
sosio-budaya masyarakat di Tanah Melayu. Antara yang utama ialah dari aspek
politik, sosial, ekonomi dan kesenian di Tanah Melayu. Menurut Ruslan Zainuddin
(2004), faktor mendorong imigran Cina untuk memulakan kehidupan baharu di
seberang laut menjadi pemangkin kepada proses penghijrahan ini di samping
memiliki sifat keberanian, ingin mengembara dan mahir dalam ilmu pelayaran.
Mengikut statistik,
Negeri-negeri Selat mencatat bilangan tertinggi dari segi kemasukan imigran
Cina ini. Menurut Ranjit Singh Malhi (1985), pada tahun 1820 terdapat 8300
orang Cina di Pulau Pinang manakala pada tahun 1822 terdapat 1150 orang Cina di
Singapura. Bilangan imigran Cina di Melaka pula pada tahun 1826 ialah seramai
4100 orang. Keadaan ini menunjukkan kepesatan penghijrahan imigran Cina ke Tanah
Melayu, khususnya Negeri-negeri Selat akibat daripada kepesatan ekonomi era
penjajah British di Tanah Melayu. Kebanyakan orang Cina yang berhijrah ke Tanah
Melayu berasal dari bahagian selatan China, iaitu dari wilayah-wilayah Fukien,
Kwangtung dan Kwangsi. Menjelang tahun 1830, bilangan imigran Cina di
negeri-negeri Melayu dianggarkan berjumlah kira-kira 40 000 orang (Purcell,
(1997) dalam Ruslan Zainuddin, 2003). Justeru itu, kebanjiran imigran Cina di
Tanah Melayu menjadi titik tolak terhadap perkembangan ekonomi Tanah Melayu
dalam era penjajah selanjutnya.
FAKTOR
DAN PROSES KEDATANGAN IMIGRAN CINA
Penghijrahan
imigran Cina disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya, foktor penolak dan faktor
penarik. Dari segi faktor penolak, iaitu yang mendorong mereka untuk
meninggalkan negara masing-masing seperti peperangan, kebuluran dan lain-lain.
Sebagai contoh, semasa pemerintahan Dinasti Manchu (1644-1911), pemberontakan
dan kekacauan sering berlaku akibat perasaan tidak puas hati rakyat seperti
Pemberontakan Taiping (1850-1864) dan Pemberontakan Boxer (1899-1900).
Huru-hara dan banyak nyawa terkorban menjadi ketakutan orang Cina untuk
berhjirah ke luar, khususnya ke Tanah Melayu (Ruslan zainuddin, 2010).
Selain
itu, masalah dalaman Negara China yang dilanda krisis penduduk yang ramai
menyebabkan rakyatnya kekurangan makanan diburukkan lagi bencana alam seperti
banjir, kemarau dan gempa bumi yang melanda China. Banyak harta dan nyawa
terkorban dan keluaran pertanian turut musnah. Antara lain, dasar Kerajaan China
yang menggalakkan rakyatnya berhijrah negara lain bagi penghidupan baru yang
lebih baik turut menjadi faktor penolak kemasukan golongan imigran Cina ini
(Ruslan Zainuddin, 2010).
Bagi faktor
penarik pula, pembangunan dan kepesatan ekonomi Tanah Melayu telah menggalakkan
kedatangan buruh-buruh asing untuk bekerja di kawasan perlombongan bijih timah,
estet-estet getah dan kawasan pertanian ladang. Faktor ekonomi merupakan
pendorong utama kemasukan imigran Cina ini ditambah lagi dengan pemerintahan
kuasa British di Pulau Pinang dan Singapura yang telah memudahkan lagi
kemasukan imigran. Kehadiran modal asing terutamanya dalam perusahaan getah dan
bijih timah meripakan faktor penarik yang penting penghijrahan imigran Cina ke
Tanah Melayu menjelang abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Kerajaan
British juga telah menggalakkan agar imigran ini berhijrah ke Tanah Melayu. Orang-orang
Melayu juga tidak menentang kedatangan kaum imigran ini. Imigran China dan
India telah lama mengenali Tanah Melayu sebagai salah satu pusat perdagangan
yang penting suatu masa dahulu, ini telah mendorong mereka untuk berhijrah ke
Tanah Melayu. Keadaan ekonomi Tanah Melayu yang sedang pesat membangun melalui
perusahaan getah dan bijih timah telah membuka banyak peluang pekerjaan.
Akibat daripada
perkembangan Revolusi Perindustrian di Britain, permintaan terhadap bahan
mentah seperti getah dan bijih timah membuka banyak kawasan pertanian dan
lombong, dan ini sudah tentu memerlukan tenaga kerja yang ramai juga. Politik
di Tanah Melayu juga berada dalam keadaan stabil di bawah penjajah British, dan
ini telah menarik lebih ramai golongan pemodal dan imigran Cina ke Tanah Melayu.
Dari segi
cara kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu ialah melalui sejenis sistem
kemasukan khas yang dipanggil tiket kredit. Tiket kredit dipraktikan dalam
usaha membawa masuk imigran dari Cina secara sistematik dan berkesan. Usaha
British ini dibantu oleh agensi-agensi kerja yang menguruskan kemasukkan
imigran Cina ke Tanah Melayu. Kaedah ini memerlukan imigran Cina ini berhutang
terlebih dahulu dan membayarnya sehingga selesai.
Kaedah
kedua, iaitu Khek Thau (ketua). Apabila tiba di Tanah Melayu, ejen-ejen ini
akan menjual buruh-buruh ini kepada majikan yang memerlukan khidmat buruh di
Tanah Melayu khususnya pengusaha lombong bijih timah yang dimiliki British.
Buruh yang dibeli, terpaksa berkerja untuk tempoh tertentu tanpa gaji, kerana
gaji mereka dikira telah dibayar ketika majikan membeli mereka dari ejen
dahulu. Selain itu, cara ketiga ialah melalui bantuan rakan atau anggota
keluarga. Mereka yang menggunakan cara ini dikenali sebagai Sin Kheh. Melalui
kaedah ini, ejen yang membawa mereka ke Tanah Melayu yang mengatakan bahawa
kebajikan mereka di sini akan dijaga sepenuhnya oleh majikan, hakikatnya,mereka
menjadi mangsa penindasan majikan. Selepas tamat kontrak bekerja dengan majikan
yang membeli mereka, barulah mereka akan dilepaskan dan dibenarkan berkerja
dengan majikan lain. Apabila sudah tidak terikat, mereka dikenali sebagai Lau
Khek.
Akhir
sekali, berhijrah secara berkumpulan. Mereka datang secara beramai-ramai
menggunakan satu kapal. Menurut Ruslan Zainuddin (2010), penghijrahan orang
Foochow ke Sibu, Sarawak semasa zaman Charles Brooke diketuai oleh Wong Nai
Siong. Cara ini berjaya membawa masuk orang Cina dan sekaligus menetap secara
berkumpulan.
PENGHIJRAHAN
IMIGRAN INDIA
Penghijrahan
imigran India secara besar-besaran ke Tanah Melayu hanya bermula pada tahun
1840 apabila sektor tenaga kerja yang ramai diperlukan dalam bidang pertanian,
khususnya tanaman getah. Maka oleh sebab itulah jumlah masyarakat India
meningkat secara mendadak di Tanah Melayu. Kerajaan British di Negeri-negeri
Selat tidak banyak menghadapi masalah membawa masuk buruh-buruh itu ke Tanah
Melayu kerana pada ketika itu India berada di bawah pentadbiran Syarikat Hindia
Timur Inggeris (EIC). Ini menyebabkan semua urusan dapat dikendalikan dengan
mudah dan lancar.
FAKTOR
DAN PROSES KEDATANGAN IMIGRAN INDIA
Faktor-faktor
yang menyebabkan penghijrahan imigran India ke Tanah Melayu juga dapat
dikategorikan oleh faktor penolak dan penarik. Seperti kaum imigran yang lain,
kehadiran kaum India di Tanah Melayu banyak didorong oleh pergolakan dalaman
yang berlaku di negara asal mereka. Masalah pertambahan penduduk yang pesat,
daripada 130 juta orang (1845) meningkat kepada 390 juta orang pada tahun 1941
(Ruslan Zainuddin, 2004). Pertambahan penduduk banyak masalah seperti
kekurangan sumber untuk menyara diri dan keluarga, situasi kerap kali menimpa
golongan tani yang miskin. Banyak petani miskin hilang tanah mereka dengan
menjual, menggadai kerana terpaksa membayar cukai dan hutang yang tinggi.
Keadaan
diburukkan lagi oleh bencana alam seperti banjir, kemarau, kebuluran yang kerap
berlaku. Masalah kesusahan hidup, sistem sosial di India membataskan mobiliti sosial
dan ekonomi masyarakat. Amalan hukum kasta yang rigid turut mengekang keadaan kaum India menikmati hak yang sama
dengan orang yang berkasta tinggi. Tambahan pula, jurang mereka yang
berpendidikan dengan yang kurang terdidik atau buta huruf telah menjadi isu
besar sekaligus membataskan pilihan dan peluang pekerjaan.
Dari segi
faktor penarik, kemasukan beramai-ramai imigran India
untuk bekerja di ladang getah menjadikan
bilangan mereka pada akhir 1920-an lebih ramai daripada orang bumiputera
sendiri. Selepas 1900 apabila getah menjadi satu perusahaan yang mula
berkembang dan ladang-ladang getah dibuka banyak selepas itu serta keperluan
untuk mendapatkan buruh menjadi satu kemestian. Orang-orang Melayu ketika itu
juga tidak gemar untuk berladang getah. Permintaan buruh India yang semakin
banyak, akibat Revolusi Perindustrian di Eropah.
Kerajaan
British memberi galakkan kepada kemasukan buruh dari India kerana sanggup
bekerja walaupun dibayar gaji yang rendah. Selain menjadi buruh di ladang-ladang
getah, mereka juga diambil bekerja untuk membina jalan raya dan jalan keretapi. Pada tahun 1920-an kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong
kedatangan orang-orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara
Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan British di India telah memudahkan
lagi kemasukan orang India di Tanah Melayu. Kejayaan orang-orang India yang
lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemasukan lebih
ramai orang India.
Proses kedatangan imigran India
ke Negeri-negeri Melayu antaranya melalui sistem kontrak. Di bawah sistem ini, pemilik sesebuah ladang getah akan membuat pesanan
bagi buruh-buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini akan pergi ke
kampung-kampung dan mengumpulkan buruh-buruh India yang ingin datang ke Tanah
Melayu. Tambang pelayaran buruh-buruh itu akan dibiayai oleh majikan-majikan
yang membuat pesanan tersebut. Setibanya di Tanah Melayu, buruh-buruh itu
diserahkan kepada majikan. Mereka perlu menandatangani satu kontrak untuk
bekerja dengan majikan itu selama 5 tahun dengan suatu gaji yang ditetapkan.
Pekerja-pekerja ini biasanya dilayani dengan teruk. Mereka dipaksa bekerja
selama 9-10 jam sehari dan 6 hari seminggu. Gaji mereka rendah dan jika pekerja
jatuh sakit, dia tidak mendapat gaji. Di samping itu, mereka juga terpaksa
membayar sebahagian daripada gaji mereka untuk menjelaskan tambang perjalanan.
Pada tahun 1910, sistem ini dihapuskan.
Kedua, sistem
kangani yang diperkenalkan pada tahun 1898. Majikan yang ingin mendapat buruh dari India akan menghantar seorang
Kangani atau mandur dari ladangnya ke India. Kangani ini akan balik ke kampung
halamannya di India dan mengumpulkan saudara mara, sahabat ataupun penduduk
sekampungnya yang ingin berhijrah ke Tanah Melayu. Kangani ini akan membayar
tambang dan lain-lain perbelanjaan bagi buruh-buruh sehingga ketibaan mereka di
ladang majikan. Di ladang, buruh-buruh bekerja di bawah jagaan Kangani yang
mereka kenal dan dilayan dengan baik.
Manakala, proses kedatangan imigran Indian yang ketiga
berlaku secara persendirian. Imigran-imigran ini datang secara berseorangan
tanpa melalui agen mahupun kerajaan Inggeris sekalipun. Apabila sampai ke Tanah
Melayu, mereka akan berusaha mencari majikan sendiri dan tidak terikat dengan
sesiapa pun. Sistem ini agak baik namun tidak ramai golongan imigran India yang
dapat sampai dengan kaedah ini kerana faktor kemiskinan.
KESAN
KEMASUKAN IMIGRAN KE NEGERI-NEGERI MELAYU
Antara kesan-kesan berlakunya
kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu ialah wujudnya sistem ekonomi moden
berteraskan industri buruh. Seperti yang sedia dimaklumi, masyarakat Melayu
hanya menumpukan perusahaan ekonomi sara diri terutama dalam sektor pertanian
dan perikanan yang nyata tidak menyumbang banyak kepada pemangkinan ekonomi
negara. Apabila British membawa masuk kaum Cina khususnya untuk berkhidmat
dalam sektor ekonomi yang lebih komersial, ekonomi Tanah Melayu menjadi lebih
terkehadapan dan moden. Bagi ekonomi komersial, tanaman getah giat dijalankan.
Menjelang tahun 1910, luas kawasan getah ialah setengah juta ekar. Pada tahun
1914 pula, jumlah keluasan bertambah dua kali ganda dan sekaligus menjadi
eksport Tanah Melayu yang terpenting (Ranjit Singh Malhi,1985).
Kemasukan buruh asing iaitu kaum
Cina yang dibawa British juga perlu diakui telah mampu meningkatkan hasil bumi
Tanah Melayu yang sebelum ini lebih banyak dibiarkan di dalam ‘tanah’. Pada
akhir pertengahan abad ke-19 berlaku peningkatan hasil bumi Tanah Melayu
terutama bijih timah. Kemasukan imigran Cina juga telah menyebabkan Tanah
Melayu menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia sehinggakan permintaan
datang bertali arus dan banyak lagi lombong bijih timah terpaksa dibuka. Ini
berlaku kerana kos buruh dapat dijimatkan berikutan gaji yang dibayar kepada
buruh dari China adalah murah.
Antara kesan utama kehadiran imigran
India katakan masyarakat imigran yang menguntungkan masyarakat peribumi orang
Melayu yang sebelum ini mengamalkan sistem ekonomi sederhana sudah mula sedar
dan mula mengorak langkah untuk bersaing untuk sama-sama menikmati hasil bumi
mereka sendiri yang ketika itu kebanyakan dinikmati oleh golongn Imigran
seperti India dan Cina.
Dalam
konteks masyarakat majmuk, mewujudkan daerah-daerah petempatan dan fungsi
ekonomi mengikut kaum. Situasi ini masih berlaku sehingga ke hari ini. Orang
Melayu dilabelkan sebagai kaum petani dan tinggal di kampung-kampung
tradisional sehingga ke hari ini. Kaum Cina pula dilabelkan sebagai kaum peniaga
dan tinggal di bandar-bandar dan pekan-pekan sehinggakan wujud satu istilah
untuk menggambarkan ramainya orang Cina di sesuatu kawasan petempatan iaitu
istilah ‘pekan cina’ dan ianya diguna pakai sehingga ke hari ini. Kaum India
pula kebanyakan tinggal dalam kelompok mereka di ladang-ladang ataupun
estet-estet sehingga ke hari ini juga. Pengkelasan ini nyata sangat tidak
berpatutan kerana ianya mampu memecah belahkan masyarakat yang ada.
Namun
tidak dapat dinafikan juga kesan negatif di atas kedatangan imigran Cina di
Tanah Melayu. Banyak Kongsi Gelap di Tanah Melayu berasal dari Negara China dan
di bawa ke sini oleh imigran Cina. Kongsi gelap dihubungkan dengan ajaran
konfusiusme, Buddhaisme dan Taoisme.
Penubuhan kongsi gelap ini telah menimbulkan konflik antara kumpulan
yang ketara sehingga mencetuskan pergaduhan dan hubungan yanag tidak baik.
Antara konfliknya, sentimen perpaduan yang kuat; perbezaan monopoli pekerjaan;
pergaduhan; dan sebagainya dapat mencetuskan suasana tidak aman dan genting (Mohd
Isa Othman, 1999).
Selain itu, sifat yang
ditonjolkan oleh segelintir kaum imigran ini turut mempengaruhi masyarakat
tempatan. Misalnya, gejala ‘bandit sosial’ yang bermaksud penjenayah, bertindak
melampau, menyamun, merompak, dan sebagainya. Keadaan yang ektremis ini kerap
kali menimbulkan masalah dan keteganagan dalam masyarakat tradisional Melayu.
(Cheah Boon Kheng, 1988).
PENUTUP
Sebagai rumusan, proses
kedatangan imigran Cina dan India ke Negeri-negeri Melayu dalam era penjajah British ternyata melalui pelbagai
cara dan kaedah tersendiri. Proses penghijrahan golongan imigran ini banyak
didominasi oleh faktor penolak seperti sosial, ekonomi dan politik
negara asal mereka serta faktor penarik seperti perkembangan eknomi dan politik
yang pesat mendorong penghijrahan imigran ke Tanah Melayu. Kaedah dan cara
kedatangan mereka menggunakan beberapa sistem seperti sistem tiket
kredit, cara persendirian, Sistem Kangcu
bagi imigran Cina dan Sistem buruh kontrak, Sistem
Kangani, serta
secara persendirian bagi imigran India. Penghijrahan oleh golongan imigran Cina
dan India jelas telah mewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada masa itu
dan Malaysia kini.
Boleh tak nak tau sumber untuk Ranjit Singh Malhi? Terima kasih :)
ReplyDeletecer ko google kat books.google.com
Deleteboleh tahu siapa pengarangnya?
Deleteapa perkaitan antara kedatangan imigran cina dan india ? send help plss tq (:
ReplyDeleteapa perkaitan antara kedatangan imigran cina dan india ? send help plss tq (:
ReplyDeletethanks boss
ReplyDeletePadat dan mantap tapi terlalu panjang untuk dibaca
ReplyDeleteRingkas dan padat itu mudah
Semoga bermanfaat