Proses pembangunan negara kita mengalami perubahan yang pesat sejak
kebelakangan ini. Pelbagai dasar dan program sudah dirangka bagi memacu dan
menjayakan pertumbuhan politik, ekonomi dan sosial negara supaya selari dengan
perkembangan dunia masa kini. Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara
maju dan moden, sektor pendidikan mempunyai kepentingannya yang amat luas
kepada pembangunan negara. Peranan pendidikan dapat mengubah gaya dan corak
masyarakat serta negara dalam konteks permodenan dan perkembangan dunia masa kini. Tranformasi
masyarakat berlaku daripada pertanian kepada masyarakat industri, daripada
masyarakat berpengetahuan kepada masyarakat informasi maklumat sesuai
dengan perkembangan Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (ICT) dewasa kini.
Persaingan di peringkat global telah menghasilkan satu gelombang baru dalam
perencanaan dasar dan program negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara
maju dan moden. Bertepatan dengan pembangunan pesat negara abad ini, aspek
perpaduan kaum tidak wajar diketepikan.
Integrasi kaum perlu dipupuk melalui pendidikan dan persekolahan (Abd. Rahim
2005). Pendidikan harus memainkan peranan penting untuk mencapai Wawasan 2020
bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju berdasarkan acuan sendiri. Intipati kepada pertumbuhan pesat bagi
mencapai halatuju pembangunan negara kita, kandungan dan kefahaman berhubung
dengan prinsip-prinsip Rukun Negara dan Wawasan 2020 perlu dihayati setiap
lapisan masyarakat di negara ini. Dengan demikian, kemajuan negara dapat dicapai dan dikecapi dengan
pantas oleh masyarakat kita. Pembangunan mapan yang berasaskan pengetahuan (knowledge), teknologi dan pengurusan perlu digandingkan dengan
perpaduan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan keturunan supaya
Malaysia terus maju dan berdaya saing di peringkat global.
Kepentingan Rukun Negara
Penggubalan Rukun Negara pada tahun 1970 adalah bersandarkan kepada
keperluan menimbulkan semangat dan identiti yang sama bagi semua rakyat
Malaysia. Rukun Negara yang disifatkan sebagai ideologi kebangsaan difikirkan
boleh mengeratkan perpaduan kaum memandangkan masyarakat akan mempunyai
fikiran, perasaan dan nilai-nilai yang sama. Di antara prinsip-prinsip Rukun
Negara ialah;
(i)
Kepercayaan kepada Tuhan;
(ii)
Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
(iii)
Keluhuran Perlembagaan;
(iv)
Kedaulatan Undang-undang; dan
(v)
Ksopanan dan kesusilaan.
Sumber : Ranjit
Singh Malhi, (1996)
Secara umumnya,
kelima-lima prinsip ini bertujuan mewujudkan sebuah negara Malaysia yang
bersatu padu serta sebuah masyarakat Malaysia yang adil, demokratik, liberal
dan progresif, Berdasarkan prinsip yang pertama,
iaitu Kepercayaan kepada Tuhan di mana semua rakyat Malaysia harus mengakui
bahawa Tuhan melebihi sebarang kuasa lain. Islam yang dipilih sebagai agama
rasmi Persekutuan Malaysia telah menjadi rujukan dan panduan keseluruhan umat
manusia. Walau bagaimana pun, agama-agama lain boleh dianuti oleh rakyat.
Secara umumnya, seseorang yang patuh dan taat kepada ajaran agamanya mempunyai
budi perkerti yang mulia serta sifat-sifat yang terpuji. Keteguhan imannya dan
bersikap tolong menolong kepada orang yang susah tanpa mengira kaum. Berdasarkan
kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa rakyat Malaysia mempunyai sikap
rendah diri dan sentiasa bersyukur dan menghargai nikmat yang diberikan oleh
Tuhan.
Prinsip kedua yang menekankan aspek Kesetiaan kepada Raja dan Negara
meletakkan Yang diPertuan Agong adalah lambang perpaduan negara kita. Dalam
konteks perhubungan rakyat dan Raja; rakyat harus mencurahkan taat setianya
kepada Raja manakala Raja atau pemerintah harus menyediakan perlindungan kepada
negara dan seluruh rakyat jelata. Hubungan timbal balas ini meletakkan asas
kesetiaan tidak berbelah bahagi dalam kalangan rakyat lantas membentuk semangat
kebangsaan yang boleh menyatupadukan rakyat semua. Sebagai contoh, jika
seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara menghadapi kesusahan, maka
kedutaan negara kita sebagai wakil Yang diPertuan Agong bertanggungjawab untuk
membantunya (Siti Zuraina et.al., 1992). Peribahasa Melayu berbunyi, “di mana
bumi dipijak, di situ langit dijunjung” seharusnya menjadi amalan rakyat
Malaysia. Justeru, setiap rakyat Malaysia sewajarnya mengetahui asal-usul
masing-masing supaya tidak lupa aan kedudukannya di mata pihak lain. Sikap
rendah diri dan memahami akan kepentingan orang lain dapat membentuk perpaduan
dalam kalangan masyarakat kita.
Keluhuran Perlembagaan mengkehendaki setiap rakyat menghormati dan mematuhi
Perlembagaan. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara. Oleh yang
demikian, setiap warganegara Malaysia seharusnya patuh akan Perlembagaan supaya
negara menjadi aman dan damai. Dalam konteks ini, tiada individu yang
terkecuali daripada mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan bertanggungjawab
menjaga hak rakyat serta menjamin kemakmuran dan perpaduan negara. Sebagai
contoh, seseorang tidak boleh mempersoalkan kesetiaan seseorang rakyat lain
berdasarkan keturunan atau kaum. Pada hakikatnya, Perlembagaan menentukan
bentuk pentadbiran serta melindungi hak asasi manusia secara keseluruhannya.
Prinsip Kedaulatan Undang-undang
bertujuan menjamin keadilan dalam negara Malaysia. Husin Mohd Tap et.al.,(2007)
menegaskan undang-undang dapat menjamin keadilan serta keamanan kerana setiap
rakyat tertakluk pada perlaksanaan undang-undang. Dengan kata lain, semua
rakyat adalah sama di sisi undang-undang. Sesiapa yang melanggar undang-undang
negara akan dihukum tanpa mengira bangsa dan kaumnya. Di Malaysia,
undang-undang yang sedia ada memang cukup baik dan relevan dalam membendung
masalah seperti jenayah,penipuan, penindasan dan sebagainya. Keadaan ini dapat
dibuktikan di mana kes-kes jenayah berada pada indek rendah berbanding dengan
negara-negara lain di rantau ini. Keadaan masih terkawal kerana setiap rakyat
Malaysia memahami situasi ini, aspek keamanan dan keselamatan harus dipelihara
selamanya.
Prinsip kelima bermakna bahawa
rakyat Malaysia harus bertolak ansur, bertimbang rasa dan berkelakuan baik.
Pengamalan prinsp Kesopanan dan kesusilaan ini boleh membawa kepada perhubungan
yang harmoni dalam masyarakat kita. Rakyat yang bersopan santun dan
bertatasusila dapat membentuk masyarakat yang bersatu-padu. Prinsip ini sangat penting untuk mewujudkan
masyarakat yang menghormati dan menghargai kepentingan kaum lain. Sesuai dengan
Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, rakyat harus menghormati dan
sling memahami adat resam dan nilai hidup kaum lain dan tidak menyinggung
perasaan orang lain.
Secara kesimpulannya,
prinsip-prinsip Rukun Negara sangat penting dan wajar dipraktikkan agar pembentukan
masyarakat ke arah perpaduan, demokratik, adil, liberal dan progresif dapat
dicapai dengan mudah.
Kepentingan Wawasan 2020
Wawasan 2020 merupakan perancangan
strategik jangka panjang yang berkaitan dengan halatuju pembangunan negara
Malaysia menjelang dekad akan datang. Dalam tempoh masa ini kelak, Malaysia
akan menjadi sebuah negara maju berdasarkan “acuan sendiri” (Malaysia, 2001).
Dasar pembangunan mapan memerlukan negara merangka pelan tindakan bagi mencapai
matlamat menjadi negara maju. Pembangunan negara yang bergantung kepada
pengetahuan teknologi, pengurusan dan sebagainya adalah kekunci kejayaan negara
daam meningkatkan kemajuan, kemakmuran dan pengagihan kekayaan dapat dilakukan
dengan lebih adil dan saksama.
Cetusan Wawasan 2020 oleh bekas
Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu
forum perniagaan pada 28 Februari, 1991 telah merencanakan sembilan cabaran
yang bakal diharungi oleh negara bagi menjadi sebuah negara maju pada masa itu.
Di bawah ini tersenarai sembilan cabaran Wawasan 2020, iaitu:
Cabaran1
|
Membentuk sebuah negara bangsa
yan bersatu padu;
|
Cabaran2
|
Melahirkan sebuah masyarakat yang
bebas, teguh dan mempunyai keyakinan diri;
|
Cabaran3
|
Membangunkan masyarakat demokratis
yang matang;
|
Cabaran4
|
Membentuk sebuah masyarakat yang
kukuh moral dan etikanya dan utuh nilai keagamaannya;
|
Cabaran5
|
Mewujudkan masyarakat yang matang
dan bersifat toleran;
|
Cabaran6
|
Membentuk masyarakat yang bersifat
sains serta progresif;
|
Cabaran7
|
Mewujudkan masyarakat berbudi dan
berbudaya penyayang;
|
Cabaran8
|
Menjamin pembentukan sebuah
masyarakat yang adil ekonominya; dan
|
Cabaran9
|
Mewujudkan masyarakat yang makmur.
|
Sumber : Ramlah Adam et.al., (2003) m.s.220
|
Perpaduan merupakan asas kekuatan sesebuah negara yang
sangat penting. Melalui dasar-dasar
kerajaan seperti Dasar Pembanguanan Nasional, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar
Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah memberi sumbangan
yang sangat besar kepada perpaduan di negara ini. Pelbagai lapisan masyarakat
telah melibatkan diri dalam banyak dasar ini bagi mencorak dan membentuk
indentiti negara Malaysia yang bersatu padu.
Bagi
melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan mempunyai keyakinan
diri yang tinggi sewajarnya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian serta
tabah menghadapi cabaran. Bangsa yang gagah dan tabah adalah bangsa yang ingin
berjaya dan sanggup berjuang mempertahankan maruah negara. Setiap warganegara
harus menyedari peranan masing-masing selari dengan usaha memajukan negara ke
persada dunia supaya Malaysia sentiasa dikenali di seluruh dunia.
Masyarakat Malaysia yang demokratik
perlu dipupuk dan dibina. Menurut Ramlah Adam (2003) masyarakat yang demokratik
memiliki kebebasan untuk memlih kerajaan. Rakyat yang berfikiran matang akan
menggunakan hak-hak demokrasinya dengan sewajarnya. Segala perasaan tidak puas
hati dan teguran kepada kerajaan dan pemimpin perlu disalurkan melalui
saluran-saluran yang tertentu dalam keadaan yang mesra dan bersifat membina.
Dalam membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral dan etikanya, dan utuh
nilai keagamaannya perlu diseimbangkan. Sejajar dengan menjadi Malaysia negara
maju, rakyat harus kita mempunyai budi pekerti yang luhur, nilai-nilai moral,
etika, keagamaan dan kerohanian yang utuh sepanjang masa. Keadaan ini
membolehkan rakyat Malaysia bersaing di peringkat global sebagai bangsa yang
bertamadun dan berdaulat. Setiap warganegara tidak harus menafikan nilai-nilai
moral dalam hidup bagi bersaing secara kompetetif di peringkat global.
Keteguhan nilai-nilai yang positif wajar disemai di dalam jiwa masyarakat tanpa mengira latar belakang, budaya dan agama
supaya dapat kita memberi komitmen sebagai bangsa Malaysia yang semerlang.
Dalam konteks masyarakat majmuk, proses mewujudkan masyarakat yang matang
dan bersifat toleran adalah Cabaran kelima dalam Wawasan 2020 yang memberi
fokus aspek perpaduan wajar dipupuk dalam segenap lapisan rakyat Malaysia.
Perpaduan akan memberi banyak kebaikan dalam perhubungan antara kaum di negara
ini. Sikap tolak ansur yang ada pada rakyat Malaysia dapat melahirkan dan
mengekalkan perpaduan kaum dalam jangka masa panjang dan menjadi landasn kepada
kerjasama seterusnya. Peristiwa sejarah hitam negara, yakni 13 Mei, 1969 menjadi
tanda penting akan kerapuhan perpaduan rakyat sehingga menyebabkan bencan.
Keadaan sangat merugikan negara Malaysia dan masyarakat secara keseluruhannya,
terutama golongan yang tidak berdosa.
Cabaran keenam ialah mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif
serta mempunyai wawasan hidup dapat menyerap segala perubahan persekitarannya
untuk membina bangsa Malaysia yang cemerlang. Masyarakat yang moden dan peka
dengan perkembangan teknologi dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan
tamadun secara saintifik dan berteknologi tinggi. Dalam era teknologi maklumat
dan komuniasi (ICT) masa kini, kemajuan dan kecemerlangan diikmati adalah hasil
daripada usaha dan kesungguhan setiap rakyat Malaysia yang tidak pernah putus
asa. Banyak kejayaan yang dikecapi selama ini dapat menjadi pemangkin dan
ikhtibar kepada kita untuk terus berjaya dan sentiasa berdaya saing di
peringkat global.
Proses melahirkan masyarakat
penyayang di Malaysia merupakan satu tanggungjawab bagi memodenkan tanggapan dan
pemikiran pelbagai peringkat masyarakat di Malaysia. Masyarakat yang
mengamalkan budaya penyayang tidak individualistik tetapi berusaha mengukuhkan
perhubungan sosial dalam kalangan mereka agar nilai-nilai kasih sayang dapat
dipupuk dan diamalkan dalam perhubungan. Kasih sayang dalam kekeluargaan adalah
bermula daripada kasih sayang dalam keluarga itu sendiri. Hubungan yang mesra
dan akrab dapat membentuk jiwa anak-anak yang sayang akan ibu bapa mereka.
Justeru, penekanan kepada nilai-nilai berbudi dan penyayang ini wajar ditanam
dalam setiap benak generasi baru kini supaya sayang dan tidak memingirkan akan orang tua mereka.
Dalam konteks ekonomi, cabaran kelapan Wawasan 2020 memberi fokus terhadap
jaminan pembentukan sebauah masyarakat yang adil dari segi ekonominya.
Dasar-dasar yang berkaitan dengan
ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru, Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan
sebagainya memberi nafas baru dalam
pengagihan ekonomi secara adil dan saksama. Kelompok rakyat yang miskin dan
hidup melarat tidak wajar diketepikan kewujudan mereka dalam sebuah negara maju
seperti Malaysia. Pengagihan kekayaan secara adil dan saksama dalam kalangan
rakyat perlu diteruskan dengan lebih berkesan agar setiap rakyat dapat
menikmati buah kemerdekaan tanpa perasaan pilih kasih.
Di samping itu, masyarakat yang makmur dapat dicirikan dengan kemewahan
hidup yang baik dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Pada masa yang sama
tiada ahli masyarakat kita yang melarat dalam kehidupan mereka. Masyarakat ini
ialah masyarakat yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi serta mampu
menghadapai segala masalah dan cabaran dengan baik. Nur Munirah (2002)
menyatakan masyarakat yang berdaya tahan dan saing adalah bangsa Malaysia dapat
menjamin keseinambungan tamadun bangsa dan negara pada masa hadapan. Pendapatan
isi rumah yang meningkat dan berada pada tahap yang tinggi akan melahirkan kemewahan dalam kalangan
masyarakat Malaysia agar mampu bedaya saing dan tabah dengan segala cabaran.
Sesungguhnya, Wawasan 2020 hanya akan menjadi kenyataan sekiranya setiap
lapisan masyarakat Malaysia sentiasa berganding bahu dan sanggup memikul
tanggungjawab yang berat ini bagi meneruskan kesinambungan bagi menjadikan
Malaysia sebagai negara moden dan maju pada masa akan datang.
terima kasih tuan
ReplyDelete