CIRI KEPIMPINAN
GURU DAN GAYA KEPIMPINAN EFFEKTIF
OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR
(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI
j-QAF IPTEKNIK)
www.akademipenulisbebas.wordpress.com
Guru adalah pendidik yang
dikurniakan dengan pelbagai tanggungjawab.Pendidik di sekolah tidak hanya
mengajar tetapi juga merupakan pemimpin.Secara sedar atau tidak sifat
kepimpinan berkualiti bagi seorang guru di sekolah harus ditelusuri dan
diperhalusi bagi mewujudkan iklim pendidikan yang mampu memacu kecemerlangan.
Pemimpin
yang mempunyai sifat kepimpinan berhemah tinggi sentiasa dapat mewujudkan
hubungan yang baik dengan kelompok yang dipimpin.Ibarat kepala memimpin badan
begitulah perumpamaan yang diberikan kepada pemimpin bagi mencernakan ketokohan
di dalam mengurus dan mengepalai sesebuah organisasi.Itulah jugalah corak
kepimpinan yang sepatutnya ditunjukkan seorang pemimpin budiman .Maka di
peringkat sekolah sudah tentulah guru besar yang dipertanggungjawabkan sebagai
pemimpin kepada semua komuniti samada pendidik, pentadbir serta murid-murid.
Pemimpin
berjiwa rakyat berpekerti mulia seharusnya didasari oleh himpunan ciri-ciri
pekerti terpuji.Maka berikut diperincikan beberapa ciri terpenting yang harus
wujud bagi setiap pemimpin hatta pendidik di sekolah.
Seorang
pemimpin seharusnya beriman kepada Tuhan dan mempunyai kepercayaan dan
kepatuhan kepada agama.Tidak kiralah samada guru besar atau
pemimpin tersebut beragama Islam, Kristian, Hindhu ataupun Buddha, kepercayaan
ini penting bagi memastikan mereka mempunyai pegangan dan dasar
kepercayaan yang utuh.Bertitik tolak kepada kepercayaan kepada agama ini lah
akan mencernakan peribadi terpuji selaras dengan agama yang dianuti.Manakala
konsep etika dan amalan keagamaan seharusnya memberikan kekuatan jatidiri
kepada pemimpin tersebut di dalam memimpin sesebuah organisasi terutama memacu
kecemerlangan pendidikan di sekolah.
Selain
itu, di antara ciri seorang pemimpin ialah berilmu pengetahuan yang luas.Ilmu
tersebut merangkumi ilmu berteraskan ikhtisas pentadbiran pendidikan,
psikologi, komunikasi serta pengetahuan semasa.Ilmu ikhtisas pentadbiran
pendidikan amat penting bagi memastikan komuniti pendidikan dibawahnya seperti
guru, kakitangan sekolah, serta murid dapat diurus dengan sempurna dan selaras
dengan keperluan semasa di samping memenuhi aspirasi pendidikan negara.Manakala
ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi dan komunikasi amat diperlukan oleh
pemimpin di sekolah bagi memastikan layanan dan kemesraan yang diwujudkan
sesama ahli komuniti berjalan dengan baik di samping dapat mengelakkan
konflik.Sementara itu, pengetahuan yang luas tentang isu semasa bakal menjadikan
minda pemimpin akan sentiasa mengikut peredaran zaman dan bersedia untuk
menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang.Pemimpin bercirikan perkara di
atas pastinya guru yang pakar di bidang pengurusan serta bidang profesionnya.
Di
Antara ciri terpenting lain yang juga harus wujud di dalam diri pemimpin di
sekolah ialah mereka harus mempunyai ketinggian peribadi.Ketinggian peribadi
yang dimaksudkan dari segi tutur kata bukan sahaja dari santunan bahasa penuh
hemah, malah mereka harus bijak untuk berkomunikasi dengan semua peringkat umur
.Komen dan kritikan yang diberikan seharusnya bersifat membina bukannya
merendah-rendahkan martabat seseorang.Ketinggian peribadi juga boleh diukur
dengan tingkah laku yang merendah diri tetapi tegas, tidak sombong dan memberikan
layanan kepada semua pihak tanpa memilih bulu dan penuh hikmah.Pemimpin jenis
ini pasti manis air mukanya, bijak mengatur kata, penuh hikmah perlakuannya
serta mempunyai jatidiri dan integriti yang tinggi.
Perkara
di atas akan membawa kepada ciri seterusnya iaitu mempunyai pengaruh melalui
tauladan.Pengaruh melalui tauladan diterjemahkan melalui contoh yang
ditunjukkan oleh pemimpin berdasarkan apa yang diungkapkannya.Pemimpin ulung
harus menunjukkan contoh tauladan kepada komuniti di bawahnya melalui
perlakuannya yang mendahului yang lain dengan niat untuk diteladani oleh
semua.Pemimpin berjiwa rakyat sebegini akan dipandang tinggi oleh komuniti
pendidikan sebagai pemimpin yang mampu mengotakan janjinya melalui
tauladan.Sebagai contohnya pemimpin yang ingin melihat kakitangannya datang
awal ke tempat kerja pasti menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang datang
lebih awal daripada yang lain.
Selain
itu, pemimpin yang mempunyai ciri pemimpin budiman harus memiliki visi dan misi
yang jelas di dalam membangun dan mentadbir sesebuah organisasi.Ini kerana
dengan kemampuan untuk membentuk visi dan misi yang jelas, barulah mudah
seseorang pemimpin itu untuk membawa komuniti yang dipimpinnya ke arah mercu
yang direncanakannya.Contohnya, bagi pemimpin unit dan organisasi sekolah yang
mempunyai visi dan misi yang jelas pasti berusaha membawa organisasi di bawah
tanggungjawabnya untuk cemerlang dari segala aspek dan dicontohi oleh yang
lain.
Bagi
menjadikan pemimpin itu berkredibiliti tinggi , mereka harus mempunyai
kemahiran membimbing yang effektif.kemahiran membimbing ini penting bagi tujuan
memperkasakan diri individu yang dibimbing bertujuan mencapai sasaran kerja
yang ditetapkan dengan jaya.Guru besar yang budiman harus mampu untuk
membimbing kakitangannya bagi menjamin kelangsungan budaya kerja berkualiti
.Guru-guru muda terutamanya yang baru mula bertugas terutamanya dibimbing agar
cepat menyesuaikan diri di dalam sistem pendidikan dan dibantu perkembangan
dirinya sebaik mungkin.Manakala guru senior pula yang mempunyai kepakaran
berteraskan pengalaman dibimbing untuk terus kekal aktif terutamanya dalam
menginovasikan proses pengajaran dan pembelajaran serta menggalakkan budaya
kajian tindakan.
Pemimpin
juga mesti sedar bahawa tugas mereka bukanlah mudah. Mereka juga dikenali dan
terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia,
pengawal dan sebagainya. Seseorang pemimpin hendaklah berupaya membuat
keputusan yang terbaik bukan sahaja terbaik untuk dirinya sendiri tetapi terbaik
kepada semua pihak yang lain. Ia juga hendaklah terbaik kepada orang-orang
yang dibawah pimpinannya dan semua yang terlibat dengan keputusannya secara
langsung ataupun tak lansung.Sebagai contohnya apabila seseorang guru besar
telah mengenal pasti beberapa masalah disiplin yang dilakukan oleh seorang
guru, haruslah disiasat dan diberi pertimbangan rapi berasaskan fakta dan
bukti.Andainya wujudnya keraguan munasabah yang menepati tatacara tatatertib,
maka pemimpin tersebut harus membuat keputusan berbentuk amaran, penggantungan
kerja atau sebagainya.Ini bagi mengelakkan kesalahan tersebut menjadi barah
lantas menimbulkan sesuatu yang tidak diingini.
Begitulah
sedikit sebanyak bagaimana ciri-ciri pemimpin di sekolah dapat diterjemahkan
melalui kupasan ringkas tetapi berinformasi di atas.Pemimpin di sekolah harus
mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi di dalam aspek memimpin organisasi di
samping cemerlang dari sudut sahsiah dan peribadinya
No comments:
Post a Comment