Translate

Saturday, 22 November 2014

Ulasan Novel Remaja: Bukan Duniaku

Pengenalan
Bidang sastera merupakan satu bidang yang penting dalam kehidupan manusia sejak dulu sehingga sekarang. Sastera merupakan hasil ciptaan manusia yang mengungkapkan gagasan, emosi, perasaan dan pengalaman kehidupan. Sastera juga adalah satu bentuk ciptaan seni yang berkait rapat dengan bahasa juga. Melalui bahasa, mesej dalam karya kesusasteraan dapat disampai dan disebarkan. Melalui bahasa juga pembaca dapat menikmati keindahan yang ada dalam sesebuah karya kesusasteraan. Dalam bidang seni mengarang ini penghasilan sesuatu karya atau genre sama ada lama atau moden adalah berkaitan dengan aspek penulisan bahan tulisan yakni sesebuah karya atau karangan yang dianggap mempunyai nilai sastera apabila ianya ditulis dengan menggunakan bahasa yang indah atau bernilai estetik dengan isi kandungan yang baik dan ada nilai moral yang positif (Khairuddin, et al., 2014).
            Dari segi istilah ‘kesusasteraan’ yang berakar daripada kata ‘susastera’ dalam bahasa Sanskrit telah membawa pengertian yang mendalam. Suku kata ‘su’ bermaksud indah, baik, lebih berfaedah, manakala ‘sastera’ bermaksud huruf atau buku. Menurut Lalita & Md. Salleh Yaapar (1984) dlm. Kamarudin& Siti Hajar, 1998) menegaskan bahawa ‘sastera atau shastra’ merupakan ilmu yang bersifat benar, tetap dan tidak berubah kerana berasal daripada sumber tertinggi (pencipta). Sastera itu mengandungi kebenaran, keindahan dan kemuliaan. Daripada perkataan ‘susastera’ telah diberikan imbuhan apitan ‘ke……an’ yang menghasilkan ‘kesusasteraan’ bertujuan memberi keindahan bunyi. Daripada itu dapat dikatakan bahawa kesusasteraan bermaksud kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Indah dari segi pendengaran, emosi, imaginasi dan baik kerana hasil karya itu dapat diteladani. Hashim Awang (1987) turut mengatakan kesusasteraan itu adalah ‘ciptan seni yang disampaikan melalui bahasa dan berkeupayaan membentuk tamadun dan bangsa’.
Selaras dengan fungsi sastera yang ditulis dan disampaikan melalui buku, salah satu genre moden yang terkenal dan diminati pelbagai golongan masyarakat iaitu novel. Selain novel genre moden juga meliputi cerpen, drama, sajak, biografi dan esei atau kritikan. Novel ditakrifkan sebagai cereka yang berbentuk prosa. Cereka yang disampaikan itu luas jangkauannya. Maksudnya ialah cerita yang disampaikan itu terdiri atas; (i) plot yang kompleks, (ii) watak yang menggerakan cerita yang banyak jumlahnya, (iii) persoalan-persoalan yang  dikemukakan bersifat pelbagai, dan (iv) suasana serta latar ceritanya beraneka. Justeru itu, novel itu disifatkan panjang melebihi sebauh cerpen. Bagi memenuhi objektif penulisan tugasan seni mengarang ini yang berkaitan dengan aspek mengulas sebuah novel remaja yang terkenal dan baik penulisannya.
            Menyentuh akan kepentingan bahan novel serta potensinya sebagai bahan sastera dalam pengajaran dan bacaan umum yang menyeronokkan terutama golongan remaja (Kamarudin & Siti Hajar, 1998) isinya yang baik, bermaksud benar-benar menggambarkan kebenaran dalam kehidupan manusia di alam ini. Cara mempersembahkannya juga indah dan menarik sehingga menimbulkan kesan dan dapat menyentuh hati pembacanya. Karya sastera novel ini memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya novel itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Novel yang terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Novel bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi turut merangkumi segala aktiviti manusia secara kreatif. Sesebuah karya novel juga merupakan cerminan realiti kehidupan. Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sesebuah karya novel merupakan rakaman realiti dalam masyarakat. Ia merupakan renungan serta pengamatan pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah (Arba’ie, 2008).
Daripada perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa kesusasteraan moden yang menjurus kepada genre novel dapat dirujuk sebagai hasil karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu. Pancaran kehidupan masyarakat yang disampaikan secara kreatif serta menggunakan bahasa yang indah dan tertib. Sastera juga umpama jendela dunia yang membolehkan pembaca mendapat imbasan dan cebisan berkaitan realiti budaya dan masyarakat (Khairuddin, et al., 2014). Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi untuk mendidik dan membina keperibadian ahli-ahli masyarakatnya.
Pemilihan Novel
Bagi memenuhi objektif Kursus BMK 3043 Seni Mengarang ini, pemilihan sebuah karya novel remaja untuk diulas adalah bersandarkan bahan kesusasteraan ini merupakan bahan yang sesuai dan lazim digunakan sebagai bahan pengajaran di sekolah. Menurut Salmetmuljana (1966), penggunaan bahan sastera amat memerlukan ketelitian pemilihan dan cara-cara penyusunannya. Keperluan ini sebenarnya mempunyai tujuan yang jauh lebih penting iaitu untuk menimbulkan kesan-kesan kehalusan, kemuliaan dan kesempurnaan penggunaannya sebagai memenuhi syarat keindahan. Asmah Hj. Omar (1984) turut mengatakan pemilihan bahan novel perlulah dilakukan dengan mempertimbangkan beberapa secara menyeluruh. Keadaan ini menyebabkan karya novel amat sesuai dikaji dan digunakan sebagai bahan pengajaran selain daripada memenuhi program pembacaan seseorang individu penggemar karya sastera.
            Rentetan daripada itu, tajuk novel yang dipilih pengkaji ialah Bukan Duniaku yang dihasilkan oleh Aida Shahira atau nama sebenarnya ialah Hazam Binti Harun dan dilahirkan pada 6 Mac 1971 di Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Naim Lilbanat, Kota Bharu. Seterusnya, melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada tahun 1996. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Editor Kanan Bahasa Melayu di Penerbitan Sasbadi Sdn. Bhd. dan Vital Star Sdn. Bhd. serta guru tuisyen. Selain buku-buku rujukan akademik, beliau turut menghasilkan novel kanak-kanak dan awal remaja. Antaranya, Siri Alfi Menjejak Misteri (Penerbitan Hartamas), Siri Jendela Hati Cermin Budi (Pustaka Ilham), Koloni (Penerbuatan Generasi Baru), Hutan Nan Menghijau (Bookline Services) dan Nasib Anak Penjaja (Eduline Enterprise). Karya beliau yang lain berupa puisi dan cerpen pernah tersiar di media cetak dan alam siber, terutamanya diesastera.com. Selain itu, beliau turut menulis blog diesastera.net.
Bagi karya Novel Bukan Duniaku ianya merupakan terbitan Karya Hartamas Enterprise tahun 2006 dan setebal 163 muka surat berkisar akan kehidupan seorang remaja yang diabaikan kasih sayang oleh ibu bapanya. Seterusnya memilih jalan lari dari rumah kerana merasakan dirinya terabai lantaran kedua-dua orang tuanya sentiasa sibuk.
Sinopsis Novel Bukan Duniaku
Halim, seorang remaja yang baru berusia 15 tahun, bekerja sebagai pencuci kereta untuk ketua sindiket haram, iaitu Abang Joe. Kesemua wang hasil kerjanya diserahkan kepada lelaki itu. Abang Joe memeras tenaga remaja yang tidak berumah atau yang lari dari rumah. Dia mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti mencuci kereta dan menjaga petak letak kereta.
Halim dan rakan-rakan yang senasib dengannya ditempatkan di sebuah pondok usang. Di situlah mereka menghabiskan masa pada waktu malam. Halim merebahkan badannya yang lesu akibat melakukan kerja paksaan. Halim bermimpi bahawa dia bertemu dengan ibunya. Dalam mimpi itu, ibu Halim memberitahu Halim bahawa ayahnya amat marah atas tindakan Halim lari dari rumah. Halim menjerit-jerit. Saleh mengejutkan Halim. Saleh berkongsi kisah hidupnya dengan Halim. Saleh terpaksa berhenti sekolah kerana keluarganya hidup susah dan ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya. Saleh ke bandar dengan niat untuk mencari pekerjaan bagi membela nasib mereka sekeluarga. Malangnya, Saleh menjadi mangsa Abang Joe. Saleh pernah diugut dan dipukul kerana cuba melarikan diri. Halim bersimpati akan nasib yang menimpa Saleh.
Seterusnya, Halim berkenalan dengan seorang pemuda yang bernama Fariz. Fariz bertanyakan latar belakang Halim. Bagi Fariz, remaja seperti Halim sepatutnya masih bersekolah. Halim tidak berani berterus terang kepada Fariz tentang keadaan dirinya. Hal ini demikian kerana Halim bimbang kalau-kalau Fariz merupakan orang bawahan Abang Joe. Oleh sebab itu, Halim telah berbohong kepada Fariz. Halim memberitahu Fariz bahawa dia tidak mampu ke sekolah kerana dia orang susah dan terpaksa bekerja untuk membantu ayahnya yang kurang upaya.
Hubungan saleh dengan Halim semakin akrab. Saleh meminta Halim menceritakan perkara sebenarnya sehingga dia terperangkap di pondok usang itu. Halim pun mula bercerita. Halim mengimbas kembali peristiwa dia lari dari rumah. Halim berkecil hati atas sikap ayah dan ibunya. Halim berasa sangat kecewa apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya. Bagi Halim, ayah dan ibunya terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikannya. Halim nekad untuk keluar dari rumah. Ketika merayau-rayau di ibu kota, Halim hampir-hampir disamun tetapi dia telah diselamatkan oleh Abang Joe. Walau bagaimanapun, Abang Joe bukanlah sebaik yang disangka oleh Halim. Halim kesal kerana bertindak terburu-buru.
Pada suatu hari, Halim telah dipukul oleh konco-konco Abang Joe kerana Abang Joe tidak suka Halim berhubung dengan orang luar. Dia bimbang rahsianya mengedar dadah terbongkar. Saleh yang menemani Halim ke sarang penyembunyian dadah dan ganja itu turut dipukul dengan teruk. Namun begitu, akhirnya Abang Joe dan konco-konconya telah ditangkap oleh polis. Fariz yang kononnya seorang kerani di syarikat swasta sebenarnya adalah pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah. Halim dan kawan-kawannya yang menjadi mangsa Abang Joe kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Halim mengutus surat kepada Saleh dan memberitahu kawan baiknya itu bahawa ayahnya akan menanggung belanja persekolahan Saleh.
Ulasan Mengikut Bab
Bab 1: Mencari Sesuap Nasi
Halim bekerja sebagai pencuci kereta. Dia tekun mencuci kereta para pelanggannya. Setiap hari dia perlu melakukan tugas itu. Setelah selesai mencuci kereta, Halim tersangkal dipangkal pokok untuk melepaskan penat. Seorang lelaki berjeket hitam dan bertubuh gempal datang menghampiri Halim. Halim menyerahkan semua wang hasil kerjanya kepada lelaki itu. Halim memanggil lelaki itu Abang Joe. Abang Joe pemeras tenaga remaja yang tidak berumah atau yang lari dari rumah. Dia mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti mencuci kereta dan menjaga petak letak kereta. Abang Joe banyak menpunyai kawan yang sanggup memerhatikan remaja-remaja ini bekerja. Kawan-kawan Abang Joe akan memukul dan mencederakan mereka yang ingkar atau mencuba melarikan diri daripada melakukan kerja-kerja yang disuruh oleh Abang Joe.
Halim juga pernah dipukul dan diseksa kerana mencuba melarikan diri suatu ketika dahulu. Halim berjalan ke gerai yang berhampiran untuk membeli makanan. Kemudian, Halim kembali ke pokok itu semula. Halim makan perlahan-lahan. Dalam pada itu, dia termenung mengenangkan nasibnya. Halim dicengkam rasa kesal kerana bertindak terburu-buru. Oleh sebab terlalu mengikut kata hati, akhirnya Halim menjadi hamba kepada seorang lelaki yang tidak berhati perut.
Bab 2: Diganggau Rindu
Selepas meletakkan beberapa bungkus makanan di atas meja, Abang Joe keluar dari pondok itu. Halim tahu bahawa Abang Joe keluar untuk mengedarkan dadah. Perkara itu terbongkar apabila seorang rakanya yang diperdayakan oleh Abang Joe membuka cerita. Menurutnya, Abang Joe merupakan pengedar dadah yang utama yang membekalkan dadah kepada penagih-penagih di sekitar Kuala Lumpur. Namun begitu, Abang Joe tidak pernah sekalipun ditangkap kerana dia begitu pandai menjalankan kerjanya. Halim mengambil bungkusan makanan yang ditinggalkan oleh Abang Joe. Dia berikan bungkusan makanan itu kepada rakan-rakannya. Selepas tenaga mereka diperas pada waktu siang, di pondok usang itulah Halim dan rakan-rakannya menghabiskan masa pada waktu malam. Tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan keluar dari pondok itu tanpa kebenaran Abang Joe. Halim berbaring. Halim bermimpi bahawa dia bertemu dengan ibunya. Dalam mimpi itu, ibu Halim memberitahu Halim bahawa ayahnya amat marah atas tindakan Halim lari dari rumah. Halim menjerit-jerit. Saleh mengejutkan Halim. Mungkin perasaan rindu dan bersalah membuatkan dia bermimpi begitu. Saleh meminta Halim menceritakan peristiwa yang berlaku sehingga dia terperangkap di pondok itu. Halim terdiam. Dia bimbang kalau-kalau ceritanya nanti membuatkan Saleh berasa tidak selesa denganya. Saleh dapat membaca kegelisahan Halim. Saleh pun memutuskan untuk menceritakan kisahnya dahulu. Saleh berasal dari keluarga yang susah. Ayahnya penores getah dan ibunya pula suri rumah. Saleh mengingati segala peristiwa yang berlaku sehingga dia terperangkap dalam genggaman Abang Joe.
Bab 3: Berkorban Apa Sahaja
Ayah Saleh memberitahu Saleh bahawa beliau tidak mampu menyekolahkan Saleh lagi. Saleh rela berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin menberi peluang kepada adik-adiknya belajar. Saleh meminta izin daripada ayahnya untuk pergi ke bandar. Dia mahu mencari kerja bagi membela nasib mereka sekeluarga. Pada mulanya, ayah Saleh tidak membenarkan Saleh ke bandar kerana bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa Saleh. Namun begitu, setelah Saleh memberitahu ayahnya bahawa dia akan mencari kawannya, Abu maka ayahnya bersetuju melepaskan Saleh. Setelah tiba di Kuala Lumpur, Saleh menunggu bas untuk Shah Alam. Ketika itulah Saleh didatangi oleh Abang Joe. Abang Joe bersungguh-sungguh ingin membantu Saleh. Abang Joe berjaya memujuk Saleh supaya tinggal bersama-sama denganya. Saleh membatalkan niatnya untuk mencari Abu kerana termakan pujukan Abang Joe yang menawar pekerjaan yang dapat menjamin kehidupannya. Akhirnya, Saleh sedar bahawa dia telah diperangkap oleh Abang Joe. Saleh dipukul dan diugut ketika mencuba melarikan diri. Halim bersimpati akan nasib menimpa Saleh.
Bab 4: Perkenalan
Halim Termenung di bawah pokok sambil menunggu kedatangan pelanggan. Ketika Halim asyik melayan perasaan, kelihatan sebuah kereta membelok masuk ke kawasan itu. Seorang lelaki keluar dari kereta itu. Halim segera mengambil peralatan mencuci kereta. Lelaki itu meminta Halim mencuci keretanya bersih-bersih. Halim mengangguk-angguk sambil melakukan kerjanya. Lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada Halim. Lelaki itu bernama Fariz. Fariz bertanyakan latar belakang Halim. Bagi Faris, remaja seperti Halim sepatutnya masih bersekolah. Halim tidak berani berterus-terang kepada Fariz tentang keadaan dirinya kerana Halim bimbang kalau-kalau Fariz merupakan orang bawahan Abang Joe. Oleh sebab itu, Halim telah berbohong kepada Fariz. Halim memberitahu Fariz bahawa dia tidak mampu ke sekolah kerana dia orang susah dan terpaksa bekerja untuk membantu ayahnya yang kurang upaya. Fariz mempelawa Halim makan di gerai yang berhampiran setelah dia habis mencuci kereta itu nanti. Halim berasa serba salah sama ada hendak menerima atau menolak pelawa Fariz. Dia memerhatikan keadaan di sekelilingnya.
Bab 5: Berkongsi Cerita
Faris berusaha mengajak Halim makan di gerai dan sedikit curiga dengan ketakutan Halim. Halim tidak mampu menolak. Dalam pertemuan singkat, Halim merasakan Fariz seorang lelaki yang baik. Namun, dia masih takut untuk berterus-terang. Sebelum beredar, Fariz menyerahkan duit tambahan kepada Halim sebagai tanda terima kasih. Menjelang petang, van membawa mereka pulang ke pondok. Halim terkejut apabila Abang Joe ingin berjumpanya. Dia mengasyaki mungkin Abang Joe mengetahui pertemuannya dengan Fariz. Saleh bimbang apabila Halim berjumpa Abang Joe di luar pondok. Rupa-rupanya Abang Joe hanya inginkan duit hasil kerja Halim kerana Abang Joe tidak datang mengutip wang daripada Halim pada hari itu. Abang Joe percaya pada kerja Halim dan terus menyimpan duit itu dalam poketnya. Namun, Abang Joe mengingatkan Halim agar tidak menyusahkannya. Halim masuk semula ke pondok dan Saleh berasa lega apabila Halim tidak diapa-apakan. Mereka bersama berharap agar dapat dibebaskan dan berdoa agar sentiasa sihat. Saleh memujuk Halim mencerita kisahnya. Halim memberitahu dia anak orang berada. Ibu bapanya ahli perniagaan dan dia merupakan anak tunggal.
Bab 6: Mengikut Kata Hati
Halim terus mengimbas kembali kisah hidupnya. Sejak akhir-akhir ini, ayah dan ibu Halim sibuk bekerja. Halim mengurung diri di dalam biliknya. Dia berasa hampa kerana ayah dan ibunya masih tidak pulang lagi sedangkan hari itu merupakan hari jadinya yang kelima belas. Apabila ayah dan ibunya pulang, Halim bertanyakan sama ada mereka ingat akan hari jadinya. Ternyata kedua-dua orang tua Halim terlupa akan hari jadinya. Mereka meminta maaf dan berjanji akan membelikan Halim hadiah esok. Perkara ini benar-benar mengecewakan Halim. Dengan berbekalkan sedikit wang simpanan, Halim lari dari rumah. Dia menaiki bas untuk sampai ke ibu kota. Setelah tiba di ibu kota, Halim hampir-hampir disamun oleh beberapa orang lelaki ketika melalui sebuah lorong. Halim telah diselamatkan oleh Abang Joe dan dibawa pulang ke rumahnya. Abang Joe melayan Halim dengan baik. Namun begitu, Abang Joe bukanlah sebaik yang disangka oleh Halim. Halim kesal kerana bertindak terburu-buru.
Bab 7: Menerima Pelawaan
Halim menjalan tugasnya seperti biasa pada hari itu. Sebuah kereta masuk dan muncul Fariz. Halim terkejuk dan setelah bertanya khabar, Halim dimaklumkan Fariz bercuti. Halim mula mengesyaki Fariz konco Abang Joe apabila memberitahu dia bercuti sehingga urusan selesai. Namun, Fariz meyakinkan Halim bahawa dia orang jahat. Fariz masih bertanya tentang Halim kerana kelihatan Halim menyembunyikan sesuatu. Fariz membeli makanan di gerai setelah Halim menolak pelawaannya untuk makan bersama-sama di gerai. Fariz menunggunya di bawah pokok. Sedang Halim ingin menjamah makanan, Abang Joe menyergahnya. Abang Joe memarahinya kerana tidak menjalankan tugasnya. Fariz yang terkejut akan kekasaran Abang Joe cuba menenangkannya dengan berkata keretanya sedang dicuci oleh Halim agar Abang Joe tidak memarahi Halim. Abang Joe memberi amaran agar Halim tidak terpengaruh dengan kata-kata orang luar. Abang Joe bimbang rahsianya terbongkar. Setelah Abang Joe beredar, Fariz mula menyoal Halim. Halim menyatakan bosnya memang garang namun masih enggan berterus terang. Fariz tidak memaksa Halim berterus-terang namun dia sakit hati melihat Halim diperlakukan begitu. Halim meminta maaf daripada Fariz dan Fariz menyatakan akan memberi hadiah kepada Halim pada hari esok. Halim tidak sabar menunggu hari esok.
Bab 8: Dibelasah Abang Joe
Setibanya dipondok kediaman,  Abang Joe menyuruh semua remaja di dalam van itu turun. Semua kawan Halim turun dari van tersebut kecuali Saleh. Walaupun dimarahi oleh Abang Joe namun Saleh tetap enggan berganjak. Halim dan Saleh dibawa ke sebuah pondok usang yang lain. Pondok itu dijadikan gudang menyimpan dadah dan ganja. Saleh dibelasah dengan teruk oleh konco-konco Abang Joe ketika dia cuba menghalang Abang Joe daripada mencekik leher Halim. Abang Joe mengugut akan membunuh Halim jika dia masih berhubung dengan orang luar. Konco-konco Abang Joe turut membelasah Halim sehingga dia jatuh pengsan. Apabila tersedar, Halim mendapati dia sudah berada di pondok tempat tinggalnya. Dia dikelilingi oleh rakan-rakan yang lain. Halim bertanya tentang Saleh kepada mereka. Ternyata Saleh juga berada disitu. Halim bangun lalu memeluk Saleh. Beberapa orang rakan yang lain mengubati luka pada badan Halim dan Saleh.
Bab 9: Berlaku Kekecohan
Pagi itu, Halim menjalankan tugasnya seperti biasa. Kebiasaannya jam sembilan pagi baru ramai pelanggannya. Dia teringat akan Fariz yang mahu menemuinya hari ini untuk memberi hadiah. Halim risau akan ugutan Abang Joe. Mungkin dia perlu berterus terang. Tiba-tiba, beberapa buah motorsikal memasuki kawasan itu. Mereka merayau-rayau dikawasan itu dan akhirnya meninggalkan motosikal mereka di kawasan itu. Mereka hilang begitu sahaja. Halim hairan pelanggannya tiada pada hari itu. Tiba-tiba, dia melihat kekecohan berlaku. Dua orang konco Abang Joe dikejar oleh lima orang lelaki yang bermotosikal tadi dan berjaya ditangkap. Halim mengesyaki mereka polis. Apabila ditanya, Halim menyatakan mengenali penjenayah itu. Tiba-tiba kelihatan dua buah kereta tiba. Fariz keluar dari kereta itu. Halim terkejut melihat semua anggota lain memberi tabik hormat kepada Fariz. Halim semakin keliru. Fariz memegang bahu Halim.
Bab 10: Bebas Daripada Perangkap
Fariz menerangkan kepada Halim identitinya yang sebenar. Dia bukan kerani tetapi pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah. Fariz memberitahu telah lama dia mengintip Johari atau Abang Joe dan memaklumkan Abang Joe telah ditangkap pagi tadi. Abang Joe merupakan penjenayah yang paling dikehendaki. Halim lega kerana dia akan kembali ke pangkuan keluarganya. Dia mula bertanya tentang rakan-rakannya yang lain. Fariz memaklumkan kesemua mereka berada di balai polis akan diserahkan kepada keluarga masing-masing termasuk Halim. Halim bersetuju menjadi saksi kepada semua jenayah Abang Joe. Sebelum dibawa berjumpa ibu bapanya, Halim diminta menunjukkan tempat simpanan dadah Abang Joe. Halim bersetuju menujukkan tempatnya kerana disitu dia dibawa semalam. Abang Joe dan konconya menerima hukuman setimpal. Halim kembali kepada keluarganya. Dia menyambung kembali pelajarannya dan tidak lagi mengikut perasaan. Saleh gembira menerima sepucuk surat daripada Halim. Ayah Halim bersetuju membantu Saleh untuk menyambung semula pelajaranya. Mereka sedar dunia mereka bukan disitu dan harus menggunakan akal setiap kali membuat keputusan.
Nilai Dan Pengajaran Dalam Novel
(a)   Nilai
Novel Bukan Duniaku mempunyai mesej dan pengajaran yang mencakupi aspek nilai yang tidak kurang pentingnya kepada golongan pembaca, khususnya remaja. Di antara nilai-nilai yang dikenal pasti ialah kasih sayang. Dalam hal ini, Saleh sayang akan keluarganya. Dia sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberi peluang kepada adik-adiknya belajar. Malah, dia sanggup pergi ke bandar untuk mencari kerja bagi membela nasib mereka sekeluarga. Selain itu, nilai tabah yang ditunjukkan oleh  Halim dan Saleh bagi menghadapi dugaan semasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikamanusiaan dan akan mengarahkan konco-konconya memukul mereka jika mereka ingkar akan arahannya. Di samping itu, Halim seorang yang sangat rajin bekerja mencuci kereta walaupun Abang Joe tidak membayar sebarang upah kepadanya.
            Sebagai seorang sahabat, Halim bersimpati akan nasib Saleh yang terpaksa berhenti sekolah kerana ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya. Bagi Saleh pula, dia begitu setia dan sanggup menemani Halim menemui Abang Joe. Dia tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe. Selanjutnya, sikap bijak yang ditunjukkan oleh Fariz bagi menyembunyikan identitinya sebagai pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah dalam menyiasat kes Abang Joe. Antara sikap yang paling mulia bagi seorang sahabat, bila mana Halim sanggup menanggung belanja persekolahan Saleh kemudiannya. Halim seorang yang sangat baik hati.
(b)   Pengajaran
Melalui novel ini golongan remaja  harus mendapat pengajaran dengan mengamalkan amalan sayang akan keluarga. Hal ini telah ditunjukkan oleh Saleh yang begitu sayang akan keluarganya. Dia sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberikan peluang kepada adik-adiknya belajar. Dia juga sanggup pergi ke bandar untuk mencari kerja demi membela nasib mereka sekeluarga. Seterusnya, kita tidak harus bertindak terburu-buru. Contohnya, Halim yang bertindak terburu-buru keluar dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ibu dan ayahnya terlupa akan hari jadinya telah menjadi mangsa Abang Joe. Hal ini menyusahkan dirinya sendiri.
Sebagai seorang manusia kita janganlah mudah percaya kepada kata-kata orang yang tidak kita kenali. Hal ini ditonjolkan oleh  Saleh yang membatalkan niatnya untuk mencari kawannya, Abu semata-mata kerana terpengaruh oleh kata-kata Abang Joe yang menawarkan pekerjaan yang dapat menjamin kehidupannya akhirnya termasuk dalam perangkap lelaki tidak berhati perut. Bagi menjamin kerukunan rumah tangga sepatutnya para ibu bapa perlu memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak supaya mereka tidak berasa terabai. Dalam hal ini, ayah dan ibu Halim yang terlalu sibuk bekerja menyebabkan Halim berasa terabai dan bertindak lari dari rumah.
Dalam mengharungi bahtera kehidupan ini kita mestilah tabah menghadapi dugaan. Sikap yang ditonjolkan oleh Halim dan Saleh yang tabah menghadapi dugaan semasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikemanusiaan dan akan mengarahkan konco-konconya memukul mereka jika mereka ingkar akan arahannya. Selanjutnya, kita haruslah belajar daripada kesilapan masa lalu. Contohnya, Halim menyesal kerana bertindak lari dari rumah dan dia bertekad tidak akan mengulangi kesilapan itu. Dalam menjaga hubungan kita dengan orang lain, ita haruslah mempunyai semangat setia kawan yang tinggi. Saleh sanggup menemani Halim berjumpa dengan Abang Joe kerana dia bimbang akan keselamatan kawan baiknya itu. Malah, Saleh tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.
Demi kebaikan dan tidak bertindak terburu-buru kita perlu bijak dalam menyiasat sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang. Contohnya, Fariz bijak menyembunyikan identitinya sebagai pegawai polis dari bahagaian narkotik dan jenayah dalam menyiasat kes Abang Joe. Sebagai ahli masyarakat sewajarnya kita memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membenteras jenayah. Hal ini diamalkan oleh Halim dan rakan-rakannya sanggup menjadi saksi dan memberikan keterangan tentang kegiatan jenayah Abang Joe di mahkamah. Akhirnya, kita harus membantu golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contohnya, ayah Halim sanggup menanggung belanja persekolahan Saleh demi masa hadapan dan menjaga hubungan kedua-dua sahabat karib tersebut.
Kekuatan
Novel ini mempunyai kekuatan yang hampir sama dengan novel-novel yang setaraf dan sejenis dengannya, terutama novel golongan remaja. Dari segi gaya dan kaedah penghasilan karya ini ianya menepati format dan standard penghasilan novel terkini dan mempunyai beberapa ciri sebagai sebuah novel yang terkenal. Berkaitan dengan plot, novel Bukan Duniaku ini mempunyai aspek permulaan, perkembangan, perumitan, klimaks, dan peleraian. Susur galur plot novel ini dimulai dengan usaha pencarian dua remaja Halim dan Saleh yang bekerja dengan Abang Joe, sendikit dadah dan jenayah. Selanjutnya perkembangan novel ini ditambah seri dengan kehadiran Fariz seorang pegawai polis cawangan narkotik yang menyamar ingin membantu Halim dan rakan-rakannya. Keadaan menjadi rumit dan genting apabila usaha Halim untuk berhubung dengan orang luar diketahui oleh Abang Joe sehingga membawa kepada kemarahan dan ketegangan dalam kalangan kumpulan haram berkenaan. Klimaks jalan ceritanya apabila Abang Joe dan rakan ditangkap polis dan seterusnya dibicarakan. Pada peringkat peleraian, Halim kembali kepangkuan keluarganya. Bapa Halim berjanji untuk membantu Saleh  dari segi kewangan agar terus bersekolah. Mereka insaf bahawa tidak boleh membuat keputusab terburu-buru dan menyusahkan diri sendiri.
            Dari segi tema, novel Bukan Duniaku memaparkan tema yang unik iaitu penderitaan dan keinsafan remaja yang terperangkap dengan satu sendikit di Kuala Lumpur. Ini merupakan pokok persoalan yang dapat dikesan daripada novel tersebut bermula dari peringkat awal hinggalah pengakhiran cerita. Bagi watak dan perwatakan, novel ini didominasi oleh watak seperti Halim seorang remaja yang melarikan diri dari rumah, Abg Joe, ketua sindiket pengedar dadah dan mempunyai ramai anak buah. Perwatakannya suka memperdaya remaja dan bersifat jahat. Bagi Fariz pula, seorang pegawai polis di bahagian narkotik jenayah. Perwatakannya ialah bertanggungjawab. Contohnya, beliau bertanggungjawab dengan menghapuskan kegiatan jenayah dan menangkap penjenayah. Seorang rakan Halim yang bernama Saleh  anak penoreh getah dan seorang pelajar yang terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Perwatakannya ialah sanggup berkorban. Contohnya, sanggup berhenti sekolah kerana kemiskinan hidup dan ingin menbantu keluarga serta mahu adiknya terus bersekolah. 
            Persoalan novel sangat tertib sifatnya serta mempunyai garapan peristiwa yang menarik. Bermula dengan kesengsaraan hidup di bawah sendikit haram, keksalan hati, mengambi kesempatan atas kelemahan orang lain, semangat setiakawan, kebijaksanaan dan peranan pihak berkuasa menjadikan persoalan novel ini menarik.
Bagi gaya bahasa yang terdapat dalam novel adalah hiperpola, contohnya ‘Dia hanya mampu mengukir mimpi itu, namun tidak berdaya mencipta semua itu’. Seterusnya simile, contohnya, ‘Dari sebuah rumah besar yang selesa, kini dia terpaksa bersesak-sesak hidup di dalam pondok usang yang tidak ubah seperti kandang kambing’. Terdapat juga bahasa Arab, contohnya, ‘penggunaan perkataan Allah S.W.T, assalumualaikum dan waalaikumusalam’. Seterusnya, simpulan bahasa, ‘Selama ini Halim buta hati kerana tidak tahu menilai kasih sayang ayah dan ibu’. Akhirnya pepatah, contohnya, ‘Benarlah kata pepatah bahawa, ikut rasa binasa, ikut hati mati’. Tidak kurang pentingnya novel ini mempunyai latar masa, tempat dan masyarakat juga.
Antara lain, kekuatan novel ini ditunjukkan melalui teknik penceritaan secara eksposisi. Pada peringkat ini, pengarang memperkenalkan watak utama dan beberapa watak sampingan kepada pembaca dengan cara yang kreatif. Selanjutnya, disusuli peringkat perkembangan, klimaks, dan peleraian. Bagi menambahkan lagi kekuatan novel ini penulis telah menerapkan unsur-unsur dialog, pemerian, monolog, unsur suspens, imbas kembali dan sebagainya. Hal ini amat penting bagi memeri keindahan pada kandungan novel tersebut. Hal ini turut diakui oleh Ahmad Kamal Abdullah, et al. (1990) ‘di mana pengarang akan mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Pelakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri’.
Selain itu, penulis sangat teliti dan mementingkan diksi iaitu pemilihan perkataan yang sesuai digunakan. Bagi melengkapkan kekuatan novel ini tidak kurang pula aspek ayat panjang, ayat pendek, peribahasa dan smile digunakan oleh penulis dalam penghasilan karyanya. Menurut Hashim Awang (1980) unsur kesusasteraan seperti ini memberi lingkungan suasana dan andaian yang amat luas, dapat menghidupkan tindak balas perasaan atau emosi.
Kekurangan
Dari segi kekurangan, novel Bukan Duniaku ini tidak nampak begitu ketara. Hal ini disebabkan penulis begitu teliti dalam memperjelas pengucapan dan memberi kesan yang realistik kepada pembaca terutama golongan remaja. Novel ini cukup sifatnya seperti yang telah dijelaskan berhubung dengan aspek kekuatan di atas. Sejajar dengan konteks pemerian dalam novel ini, pengarang menetapkan ruang kepada dirinya menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Pengarang seolah-olah campur tangan untuk menggambarkan apa-apa insiden dalam novel ini secara lengkap.
Antara lain, pengarang telah menampakkan kekuatan dan bukannya kekurangan apabila berjaya menggunakan diksi yakni pemilihan kata oleh pengarang ketika menulis sebuah cerita. Dalam novel Bukan Duniaku, keseluruhan dikisinya berkait rapat dengan kehidupan remaja pada masa kini.
Cadangan
Dalam menghasilkan karya novel yang baik dan mantap turut dicadangkan ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap idea yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya yang berkenaan. Bertepatan dengan novel yang dikaji, Bukan Duniaku merupakan novel remaja adalah dicadangkan agar penulis dapat mempertingkatkan mutu karya dengan mengambil kira faktor pertumbuhan dan psikologi  serta psikososial remaja. Karya hendaklah dapat meningkatkan pengalaman dan pengetahuan remaja.
Menyentuh berkenaan dengan tema karya perlu dan berupaya untuk mengajak remaja berfikir secara rasional dan kritis. Dalam hal ini, pemilihan dan penonjolan watak-watak berteladan mulia boleh memperkayakan kesedaran orang ramai terhadap lingkungan kehidupan, kesihatan serta membina wawasan terhadap golongan remaja. Begitu juga dengan penggunaan bahasa. Menggunakan bahasa yang sederhana dan mudah difahami bukan sahaja memudahkan pemahaman malah berupaya mempertingkat tahap minat terus membaca dalam kalangan remaja. Hal ini diakui oleh Kharudin et al., (2014) yang menegaskan bahasa konsep realiti kehidupan harus diadaptasikan dalam sesebuah karya seperti novel agar dapat menjiwai mereka. Keadaan ini sejajar dengan pembinaan konsep kendiri yang positif dan meningkatkan kemahiran sosial golongan remaja dan masyarakat sekeliling.
Seterusnya, aspek mementingkan nilai seni dan estetika dalam sesuatu karya seperti novel juga harus dititikberatkan. Penulis harus sedaya upaya mengetengahkan idea-idea tersurat dan tersirat dalam bahan-bahan karya mereka. Daya pemikiran atau hala tuju ini akan membentuk aliran pemikiran dalam menyampaikan hasil karya berteraskan konsep berterus terang, cara halus dan kasar, menumpukan perhatian kepada keindahan, dan mementingkan isi semata-mata.
Turut dicadangkan bahawa pemilihan tema supaya relevan dengan golongan sasar. Bagi novel ini tidak menjadi masalah kerana temanya berkisar kepada golongan remaja. Pemilihan tema yang tepat membawa pengertian yang cukup besar kepada penulis. Rahman Shaari (1985) menyatakan, ‘persoalan pusat atau persoalan pokok dalam sesebuah novel. Persoalan pusat ini menjadi inti kepada keseluruhan idea yang diterapkan di dalam keseluruhan perjalanan cerita di dalam tema ini wujudnya semua cita-cita pengarang di dalam novel dan ia juga menjadi konsep abstrak yang disampaikan melalui watak-watak dan imej-imej atau simbol.’
Justeru, daripada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan di atas menunjukkan betapa pentingnya proses dan tatacara penghasilan sesebuah karya novel yang baik dan bermutu. Hal ini harus diberi perhatian dan tindakan serius para penulis agar karya sastera diumpamakan sebagai (Marjorie Boulton, 1975), watak manusia yang bergelut dengan masalah-masalah, mempunyai fikiran sendiri, mempunyai pengalaman sendiri, mempunyai pengalan pendidikan yang membolehkan mereka memperbaiki diri sendiri, menjadi lebih bijak, lebih bersopan dan merendahkan diri, mempunyai kesedaran dan kecerdasan seperti orang lain.
Kesimpulan
Dapat disimpulkan bahawa karya novel adalah sebahagian daripada hasil kesusasteraan moden yang penting dan mulai diminati pelbagai golongan masa kini. Novel umumnya merupakan karya panjang dan kompleks sifatnya dengan unsur-unsur utama seperti plot, perwatakan, latar dan sudut pandangan. Lebih terperinci lagi menurut Shahnon Ahmad (1972), satu bentuk pentafsiran rencaman hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka. Ia merupakan satu rangkuman tiga faktor utama yang bersaling kait antara satu sama lain, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencaman hidup dan imaginasi.
Jadi, garapan novel Bukan Duniaku ini sesuai dengan golongan remaja ini memaparkan sebuah kehidupan remaja yang bernama Halim, Saleh dan rakan-rakan mereka menjadi alat satu sendiket dadah dan jenayah di Kuala Lumpur ekoran lari dan terjebak dalam kancah kehidupan yang mencabar ini. Akhirnya membawa kepada penangkapan kumpulan sendiket diketuai Abang Joe serta membawa kepada pembebasan golongan anak muda ini ke pangkuan keluarga dan masyarakat selanjutnya. Seperti mana yang telah diperbincangkan di atas, ternyata novel ini mempunyai nilai dan pengajaran yang terselit di dalam plot cerita novel ini. Tidak ketinggalan juga ianya mempunyai ciri-ciri kekuatan dan kekurangan tersendiri sebagai sebuah genre moden yang dihasilkan oleh seseorang individu yang masih banyak lemah sifatnya dari segi sudut pengkaryaan. Namun, pokok pangkalnya ternyata ulasan novel ini telah memberi pendedahan bahawa ianya memberi mesej yang cukup berguna kepada golongan terutama remaja agar dapat memperlajari dan menghayati nilai dan pengajaran dari novel ini. Adalah menjadi harapan agar penghasilan novel seumpama ini atau yang lebih baik lagi mampu meningkatkan martabat para penulis novel dan sekaligus bidang kesusasteraan secara keseluruhannya.
Rujukan
Ahmad Kamal Abdullah, et al. (1990). JAMBAK1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arba’ie Sujud. (2008). Sastera Melayu suatu Pengantar. Kuala Lumpur: Tinta Press.
Asmah Hj. Omar. (1984). Kaedah Mengajar Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang.(1980). Konsep dan Pendekatan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang. (1987). Teman pelajar kesusasteraan. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. (1998). Pengajian Melayu 4. Kesusasteraan Dan Pengajaran. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Khairuddin Mohmad, Wan Zaliha Wan Othman & Amanah Mohd. Noor. (2014). Genre Kesusasteraan Melayu Dalam Bahasa Melayu. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Marjorie, B. (1975). Anatomy of the Novel. United States: Routledge.

Rahman Shaari. (1985). Berkenalan dengan Kritikan Sastera. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Shahnon Ahmad. (1972). Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Slametmuljana. (1966). Peristiwa Bahasa dan Sastera. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Laman Web:


Kepentingan Seni dan Kebudayaan Kepada Masyarakat

Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, agama, seni, budaya dan sebagainya. Negara kita juga dikenali sebagai sebuah negara yang multikultural (multi-culture) di mana sifat-sifat kemajmukannya dalam konteks kemasyarakatan yang luas juga. Konsep kemajmukannya yang merujuk kepada pelbagai masyarakat campuran kumpulan manusia yang mengamalkan cara hidup yang berlainan, mereka turut membentuk suatu entiti berasaskan kaum sendiri dalam lingkungan komuniti yang luas. Keadaan ini bukan sahaja menjadikan masayarakat itu menjadi kompleks sebaliknya melahirkan pelbagai aktiviti sosial dan membentuk kehidupan sosial yang dikongsi bersama berdasarkan prosedur mantap bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Tahap-tahap masyarakat ini terus bekembang daripada entiti keluarga, komuniti, negara dan global (Zaid Ahmad, et al., 2013).  
Kepelbagaian masyarakat dari segi ras, etnik dan identiti etnik ini mencetuskan perbezaan individu-individu dalam banyak aspek seperti agama, pekerjaan, bahasa, dan politik (Marshall, 1994). Keadaan ini akan mencorak kepelbagaian budaya yang wujud dalam masyarakat heterogen di negara ini. Dalam hal ini, ahli masyarakat akan terus berinteraksi dan berkongsi pola kebudayaan mereka namun tidak kurang pula yang bersifat ekstrem dan teguh berpegang kepada prinsip mempertahankan budaya masing-masing. Hal ini bukan menjadi masalah besar sekiranya semua golongan masyarakat heterogen ini memahami akan konsep multikultural ini sepenuhnya. Menurut Hassan (1994) kefahaman yang hendak diwujudkan dalam masyarakat, mereka dapat: (1) menerima unsur perbezaan sosiobudaya yang wujud antara kaum-kaum di Malaysia, (2) menerima dan memahami kebudayaan setiap kaum dengan hati terbuka, (3) mendalami keunikan budaya yang wujud, (4) mengakui perbezaan kebudayaan antara kaum serta (5) mengiktiraf unsur perbezaan dan keunikan budaya setiap kaum. perbezaan dan keunikan budaya setiap kaum. Melalui pemahaman seperti ini, persefahaman budaya dapat disemai dan dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Kupasan idea yang berkaitan dengan isu ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek budaya semata-mata malah aspek seni yang terkandung di dalamnya juga.  Sesuai dengan keperluan tugasan ini, fokus perbincangan adalah menjurus kepada kepentingan bidang seni dan kebudayaan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Hal ini amat penting di mana setiap masyarakat harus menerimanya dengan tangan dan dada terbuka. Persefahaman budaya ialah kesediaan setiap kaum menerima, mengakui, memahami dan mengiktiraf unsur kebudayaan kaum lain (Fatimah Daud, 1984). Selain daripada itu, melalui persefahaman seperti ini, proses asimilasi budaya dapat diterima dengan hati yang terbuka dan tidak menimbulkan konflik.
Definisi Seni dan Kebudayaan
Bidang seni dan kebudayaan merupakan dua entiti yang saling berkait rapat dan bergantungan antara satu sama lain. Cakupan kedua-dua bidang ini sangat luas dan kompleks, didapati juga seolah-olah kedua-duanya tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Seni dan kebudayaan amat berkait rapat dengan identiti, ideologi dan amalan seharian sesebuah kelompok masyarakat. Di seluruh dunia, setiap masyarakat mempunyai identiti seni dan kebudayaannya yang  tersendiri lantas membentuk keunikan cara hidup mereka.
Tidak terkecuali di Malaysia, di mana rakyatnya berbilang kaum dan keturunan sudah pasti mempunyai kepelbagaian aspek seni dan kebudayaannya juga. Sifat multikultural (kepelbagaian budaya) dari sudut sejarah etnik yang meninjau asal-usul keturunan dan latar belakang sejarah setiap etnik dari segi cara hidup, sosio budaya, asal usul, agama dan kegiatan ekonomi turut mencorak aspek seni dan budaya. Perkara ini menjadi sebahagian daripada cara hidup dan pegang sejak zaman berzaman lagi dan diteruskan sehingga sekarang.
(i)                 Definisi Seni
Perkataan seni dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang halus iaitu kecil, elok, tipis dan halus, enak didengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan (Kamus Dewan, 2005).  Sesuatu yang dikatakan seni pula adalah suatu bentuk karya seperti pantun, ukiran, muzik dan lain-lain lagi yang dicipta dengan bakat yang tersendiri. Perkataan ‘seni’ jika ditambah dengan imbuhan ‘ke’ (awalan) dan ‘an’ (akhiran) membentuk perkataan ‘kesenian’ yang membawa pengertian yang lebih luas lagi iaitu perihal seni, yang berkaitan dengan keindahan dan ketelitian penciptaan sesebuah karya seni tersebut. Kesenian telah menjadi identiti dan amalan yang amat penting kepada kebudayaan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sejak turun temurun lagi. Dengan kepelbagaian amalan kesenian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, identiti masyarakat Malaysia yang bersifat multikultural lebih terserlah dan dikenali ramai. 
(ii)               Definisi Kebudayaan
Manakala, takrifan kebudayaan pula yang berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu ‘buddhayah’ yang berasal daripada bentuk jamak dari ‘buddhi’  membawa maksud budi atau akal. Pengertian ini boleh diertikan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan budi dan akal manusia. Dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut ‘culture’ yang berasal daripada perkataan Latin ‘colere’, iaitu bermaksud mengolah atau mengerjakan. Pengertian ini bertolak daripada tradisi pekerjaan utama manusia yang berbentuk mengolah tanah atau bertani (kerja-kerja pertanian).
Namun, pengertian kebudayaan yang bersabit dengan tradisi akal dan budi manusia ini lebih menjurus kepada cara hidup sesuatu bangsa atau umatnya. Untuk kita memahami gaya hidup berbagai jenis manusia termasuklah diri kita sendiri, sosiologi seringkali menggunakan konsep budaya, yang merujuk kepada perkongsian bersama barangan, ilmu dan kepercayaan sebuah kumpulan manusia atau masyarakat. Konsep ini juga berkait rapat dengan bidang seni, sastera, dan muzik klasik serta merangkumi aspek-aspek kehidupan lain dalam masyarakat kita.
Kepelbagaian kebudayaan ini lebih merujuk kepada kepelbagaian adat dan budaya sesebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum. Stavenhagen (1986) berpendapat kepelbagaian budaya merupakan rangkuman dari pelbagai aspek yang meliputi budaya, etnik, agama, amalan tradisi yang mengarah kepada kecenderungan dan memberi kefahaman di antara sesama kaum. Kepelbagaian Budaya menurut Kymlicka (1999) pula adalah merujuk kepada kepelbagaian yang wujud dalam sesebuah masyarakat yang memberi tumpuan kepada : (1) memahami fenomena perubahan setiap masyarakat secara universal (perspektif universal), (2) mengkaji permasalahan dan konflik setiap etnik (perspektif etnik) dan (3) mengkaji cara bagaimana setiap etnik mengekspresikan budaya mereka (perspektif budaya).
Jadi, setiap kaum mempunyai budaya yang tersendiri. Setiap budaya pula mempunyai keunikannya. kebudayaan adalah benda-benda yang diciptakan oleh manusia sebagai makhluk yang berbudaya, mempunyai perilaku dan benda-benda yang bersifat nyata, misalnya pola-pola perilaku, bahasa, peralatan hidup, organisasi sosial, religi, seni, dan lain-lain, yang kesemuanya ditujukan untuk membantu manusia dalam melangsungkan kehidupan bermasyarakat.
Fungsi Seni Dan Kebudayaan
Bidang seni dan kebudayaan mempunyai tujuan tertentu. Sudah tentu kepentingan kedua-dua bidang ini memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya. Sejak berzaman lagi, bidang seni dan kebudayaan ini telah memainkan peranan yang amat penting kepada masyarakat Malaysia. Selain menjadi simbol perpaduan dan sosialisasi, seni dan kebudayaan juga merupakan aktiviti kesenggangan dan rekreasi yang amat penting dalam kalangan masyarakat kita.
Di antara fungsi-fungsi bidang seni dan kebudayaan ini adalah sebagai aktiviti riadah masyarakat. Masyarakat kita memang gemar beriadah khususnya apabila waktu kelapangan. Bagi masyarakat yang tinggal di kampung, masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti riadah seperti tarian, silat, muzik dan sebagainya. Mereka mempelajari sesuatu tarian bukan sahaja untuk tujuan keriangan sebaliknya mengisi masa lapang selain menjalin hubungan sesame mereka. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti mereka. Dari sudut kesihatan, aktiviti seumpama ini dapat memberi satu bentuk senaman dan latihan anggota badan agar menjadi sihat dan cergas. Bagi golongan lelaki, aktiviti bersilat juga aktiviti riadah yang baik mengasah mental, emosi serta fizikal mereka agar sihat sejahtera.
Bagi aktiviti seni dan kebudayaan yang berkait rapat dengan agama, seluruh penduduk dan masyarakat kampung terbabit dalam aktiviti berkenaan. Dari sudut agama, hukumnya adalah wajib. Aktiviti-aktiviti seperti nasyid, marhaban dan hadrah merupakan aktiviti kesenian Islam yang berkait rapat dengan amalan keagamaan. Melalui aktiviti kesenian sebegini, pemupukan amalan keagamaan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi keinsafan sebagai seorang Islam. Hal ini dapat mendidik ahli masyarakat supaya akur dengan perintah agama dan mengerjakan perkara-perkara yang wajib dan sunat.
Hubungan masyarakat adalah amat penting. Proses sosialisasi yang membabitkan sebilangan besar masyarakat adalah perlu bagai memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan mereka. Integrasi sosial ialah proses menyatupadukan berbagai-bagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghapuskan perbezaan dan identiti masing-masing. Keadaan ini merupakan harapan bagi kebanyakan masyarakat, khasnya bagi masyarakat berbilang kaum (Ting, 1997). Proses sosialisasi ini menggambarkan hubungan etnik sosial dalam masyarakat. Melalui aktiviti ini, perpaduan antara kaum serta sikap saling hormat menghormati dapat dibentuk sekaligus melahirkan masyarakat majmuk yang harmoni.
Dari segi pendidikan, bidang ini dapat memupuk bakat dan minat dalam jangka masa panjang  supaya memiliki ciri insan yang memiliki seni dan budaya, mempunyai citarasa seni yang tinggi dan kreatif.  Dalam konteks sebagai guru yang mengajar di sekolah, pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif. Peranan sebagai seorang guru seni yang kreatif dan inovatif amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran terus berkesan dan relevan. Hal ini dapat menjadikan murid-murid lebih berkreativiti bagi melahirkan insan pelajar yang celik dalam bidang seni dan kebudayaan.
Sebagai ahli dalam masyarakat, aspek komunikasi yang berkesan amat penting. Proses penyampaian komunikasi yang baik dan berkesan dapat mencerminkan perspektif sosialisasi yang baik. Bidang seni dan kebudayaan ini sebagai media mendidik dan mengkritik yang lazim digunakan pada zaman dahulu dan berkesan sebagai media komunikasi. Aspek seni seperti wayang kulit, wayang orang dan seni teater, syair dan seumpamanya mempunyai pesanan atau mesej dalam bentuk komunikasi lisan dengan tujuan mendidik masyarakat. Oleh yang demikian, komunikasi adalah alat dan sumber kepada manusia untuk terus berhubung dengan orang lain. Tuan Yacob (1998), menyatakan komunikasi sebagai informatif, iaitu seseorang individu itu mengerti dan mengetahui, dan juga sebagai persuatif, iaitu agar seseorang individu itu bersedia menerima sesuatu perubahan atau keyakinan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau kegiatan.
Seterusnya, aspek identiti. Identiti masyarakat merupakan medium seni dan kebudayaan dalam masyarakat Malaysia. Aktiviti seni dan kebudayaan telah membentuk suatu identiti bangsa Malaysia yang amat unik sekali. Identiti ini seterusnya menjadi pegangan dan amalan hidup seharian masyarakat di negara kita. Keunikan identiti ini telah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai salah sebuah masyarakat di dunia yang mempunyai kepelbagaian amalan dan aktiviti seni dan kebudayaan. Justeru, hal ini merupakan simbol keagungan negara di mata dunia sebagai sebuah negara multikultural yang disanjung tinggi serta dihormati.
Penglibatan Masyarakat
Konsep budaya dan masyarakat memang tidak dapat dipisahkan. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘bagai aur dengan tebing’ begitulah keakraban hubungan kedua-dua entiti ini. Kepelbagaian budaya bukanlah merupakan halangan hubungan kaum di negara ini. Masyarakat Malaysia mulai menerima kepelbagaian budaya yang diamalkan dalam kehidupam seharian. Misalnya, amalan budaya makanan dalam masyarakat Malaysia semakin diterima dan dikongsi secara bersama. Menururt Zaid Ahamad et al,.(2013) semangat penerimaan kepelbagaian budaya ini sekaligus telah memajukan masyarakat Malaysia dengan nama ‘kesatuan dalam kepelbagaian’.
            Dalam konteks seni dan kebudayaan yang melibatkan masyarakat secara keseluruhannya ianya banyak memberi manfaat serta penting dalam pertumbuhan hubungan antara kaum. Melalui aktiviti-aktiviti seni dan kebudayaan ini penglibatan masyarakat dalam memberi impak ke atas daya kecergasan fizikal, perpaduan kaum, dan pertumbuhan ekonomi.
            Kecergasan Fizikal
Penglibatan masyarakat di dalam aktiviti seni dan kebudayaan dapat meningkatkan kecergasan fizikal. Hal ini dapat dibuktikan melalui aktiviti yang dilakukan iaitu permainan tradisional yang melibatkan banyak pergerakan yang ringkas tetapi mampu memberikan impak senaman ringan yang sesuai untuk dilakukan setiap hari. Melalui aktiviti seni dan kebudayaan di Malaysia berbentuk seni suara, seni gerak , seni rupa, dan permainan tradisional masyarakat dapat bergerak aktif dan menggunakan tulang empat kerat sepenuhnya. Pergerakan yang berlaku secara optimum ini bukan sahaja sebagai latihan fizikal tetapi juga dapat menyihatkan tubuh badan dan dapat dianggap sebagai satu bentuk senaman.
Bagi kebanyakan bentuk seni, seni tari misalnya tidak lepas daripada pergerakan. Suatu pergerakan yang berirama merupakan medium ekspresi individu melalui gerak-geri berirama yang indah yang membawa kepada kecergasan fizikal. Selain itu juga, aktiviti seperti galah panjang juga dapat meningkatkan kecergasan fizikal masyarakat kerana apabila mereka bermain bersama di dalam suasana yang gembira dan kondusif, mereka dapat menunjukkan seratus peratus potensi diri dan seterusnya menjamin kesihatan diri kerana aktiviti senaman seumpama ini dapat membakar kalori di dalam badan.
            Perpaduan Kaum
Penumpuan penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti seni dan kebudayaan juga menyumbang ke arah membangun individu secara total, mempererat perpaduan negara serta mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Aspek perpaduan kaum bukan suatu isu yang remeh temeh. Usaha yang berterusan untuk membangun nilai budaya yang positif dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia adalah penting untuk mengekalkan perpaduan negara dan keharmonian dalam mencapai matlamat pembangunan terutamanya dalam suasana kepelbagaian etnik di Malaysia.
Sehubungan ini, beberapa kempen budi bahasa dan integriti ke arah memperkukuh nilai sosial dan sikap akan diberi penekanan. Kempen dan program lain yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada perlunya rakyat Malaysia mengamalkan sikap bertolak ansur, hormat-menghormati dan nilai positif lain yang perlu untuk mengekal perpaduan negara, keharmonian sosial dan kemuafakatan. Bagi memupuk penghayatan yang lebih baik kepada bidang seni dan kebudayaan ini Program Merakyatkan Seni dan Budaya yang bertujuan untuk mendekatkan kembali seni kepada masyarakat serta menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan seharian dilaksanakan. Aktiviti ini merangkumi persembahan seperti tarian tradisional dan moden, drama dan muzik serta aktiviti berkaitan seni dan kraf dan akan melibatkan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar. Program untuk mendidik dan menghebahkan kepentingan dan penghayatan nilai budaya, seni dan warisan di kalangan masyarakat diberi penekanan agar selari dengan hasrat penyatuan kaum di Negara ini dicapai. Kesemua ini amat penting kepada masyarakt bagi menjamin hubungan kaum terus terpelihara dan negara berada dalam keadaan aman dan sejahtera.
            Ekonomi
Dari sudut ekonomi, aktiviti seni dan kebudayaan juga tidak kurang penting sumbangnya. Perkembangan semasa ekonomi global menunjukkan industri kreatif adalah salah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya di negara-negara maju. Misalnya, di Amerika Syarikat, industri ini telah menyumbang sebanyak USD$3 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dalam perspektif ekonomi dan sosiobudaya Malaysia, industri kreatif telah memberi sumbangan sebanyak RM9.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2008 dan berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi serta memartabatkan budaya bangsa. Justeru, amat penting industri ini dibangunkan secara bersepadu dan terancang melalui satu dasar dan hala tuju yang komprehensif (Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia, 2005).
Antara lain, usaha yang berterusan diambil untuk membangun dan meningkatkan kualiti kraf Malaysia. Usaha ini meliputi penyelidikan dan pembangunan mengenai kaedah baru bagi meningkatkan kemahiran pertukangan serta membangunkan reka bentuk dan teknologi baru. Usaha mempromosi kraf Malaysia di pasaran tradisi dan baru dilaksanakan secara meluas dengan kerjasama sektor swasta. Kaedah pemasaran yang inovatif dan kreatif serta penjenamaan kraf negara diusahakan. Potensi ekonomi industri budaya kreatif terus berkembang dan menyediakan peluang perniagaan kepada para usahawan. Industri kraftangan juga dapat memastikan keutuhan ekonomi melalui bidang pelancongan iaitu menarik minat pelancong asing membeli barangan tersebut.
Justeru itu, penglibatan masyarakat amat penting bagi menarik kedatangan pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia, melalui aktiviti seni dan kebudayaan ini masih relevan dilakukan dan seterusnya dapat menjana ekonomi negara Malaysia.
Penglibatan Murid
Di peringkat bangku sekolah, penglibatan murid dalam aktiviti seni dan kebudayaan turut penting dan memberi kesan positif ke atas perkembangan diri dan kemajuan akademik mereka. Bagi memaksimumkan pencapaian ini, sebagai seorang murid yang berdaya saing dan tabah menghadapi cabaran, kemahiran komunikasi mereka juga turut terserlah di mana hubungan mereka secara personal dan interpersonal dapat ditingkatkan lagi sejajar dengan nilai empati, harmoni dan pemahaman sesama insan yang lain di sekolah. Hubungan baik dengan rakan-rakan dan guru merupakan aspek yang penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat. Keadaan ini akan mendorong proses pengajaran dan pembelajaran ke tahap yang tinggi serta memberi faedah kepada semua pihak.

Aktiviti kesenian dan kebudayaan memainkan peranan penting di dalam membentuk sahsiah dan jati diri murid. Kepelbagaian budaya yang datang dari setiap pelosok negara turut mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian di Malaysia. Dalam hal ini, aktiviti seni dan kebudayaan yang dapat melibatkan murid adalah aktiviti tarian dan permainan tradisional.
            Tarian
Tarian adalah boleh didefinisikan sebagai sebagai suatu pergerakan yang berirama. Dalam kebudayaan masyarakat Malaysia terdapat berbagai-bagai jenis tarian , sama ada tarian asli ataupun tarian yang telah dipengaruhi oleh unsur-unsur moden. Tarian-tarian yang bercorak seni tari istana yang dipersembahkan pada waktu perkahwinan, pertabalan, istiadat menyembah dan sebagainya. Tarian-tarian ini termasuklah tarian siti payung, mak inang, asyik , gamelan dan sebagainya.
Berkenaan dengan penglibatan murid dalam seni tarian ini ianya lazim berlaku di peringkat sekolah. Murid-murid selalunya mengemari aktiviti tarian ini sejak kecil lagi dan bergerak aktif sebagai gerak kerja luar bilik darjah mereka. Penglibatan murid-murid dalam tarian dapat menonjolkan lanskap bakat dan potensi diri mereka keseluruhannya. Dalam pergerakan seni tarian ini, pergerakan kreatif merupakan satu bentuk aktiviti yang menggabungkan gerakan-gerakan fizikal anggota badan secara menyeluruh dan dilakukan secara kreatif (meliputi aktiviti gerak tari) bertujuan untuk membantu murid-murid menyelesaikan masalah dan melahirkan perasaan masing-masing (expressive and functional ).
Dalam aktiviti muzik, pergerakan kreatif adalah pergerakan di mana murid-murid bergerak mengikuti muzik yang dimainkan. Setiap individu meluahkan perasaan dan persepsi mereka berkenaan muzik yang didengari. Potensi pergerakan murid-murid boleh dirangsang melalui ritma dan pelbagai bentuk tari. Kanak-kanak mempunyai keiginan untuk bergerak dan sentiasa aktif. Salah satu satu cara untuk memuaskan keiginan untuk begerak ialah menerusi tarian. Kanak-kanak dapat menikmati kepuasan melalui gerak-tari yang berentak dan berirama dalam tarian.
             Di sekolah proses pengintegrasian merupakan satu aspek yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat banyak jenis pengintegrasian  yang boleh dijalankan dalam pengajaran di sekolah. Antaranya pengintegrasian pelbagai kemahiran dan mata pelajaran tertentu dalam konteks kurikulum di sekolah rendah. Bagi aktiviti seni tarian ini, pengintegrasian mata pelajaran yang boleh dijalankan adalah yang berkaitan dengan integrasi Seni Visual  dalam pendidikan, muzik dan pergerakan. Pengintegrasian ini banyak memberi manfaat kepada pelajar terutama dalam menguasai kemahiran belajar dan seterusnya mengembangkan bakat serta potensi mereka dalam bidang tarian.

           Banyak peluang dan ruang untuk mereka melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pelajar-pelajar didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang berguna dalam usaha melatih mereka menjadi pelajar yang aktif dan progresif. Penggunaan strategi ini membolehkan pelajar berpeluang menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan dengan cara bersepadu.
            Permainan Tradisional
Penglibatan murid-murid dalam permainan tradisional juga penting. Ianya bukan sahaja memenuhi tuntutan kurikulum tetapi yang lebih penting sebagai usaha mempertahankan jenis permainan ini tidak pupus dan diketepikan oleh golongan muda. Di peringkat sekolah telah ditubuhkan banyak kelab permainan dalaman seperti congkak, batu seremban dan sebagainya. Ini bagi mendedahkan murid kepada aktiviti permainan tradisional bermula daripada peringkat sekolah rendah lagi. Lazimnya, permainan ini bersifat kekampungan sahaja dan dimainkan oleh golongan dewasa sahaja. Hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan jenis-jenis permainan tradsional ini dipelajari di sekolah-sekolah adalah tepat demi kelangsungan permainan ini terus terpelihara dan diminati golongan generasi muda.
            Di Malaysia permainan tradisional ini juga dikenali sebagai permainan rakyat atau folk games. Permainan ini juga dikenali sebagai pemainan masa senggang atau sukan rakyat. Permainan rakyat berfungsi sebagai medium hiburan, sosialisasi dan meningkatkan kecergasan. Selain itu, permainan rakyat juga menjadi aktiviti utama untuk menyerikan majlis keramaian dan perkahwinan pada zaman sebelum kemerdekaan. Bagi permainan tradisional yang melibatkan murid-murid termasuklah main telaga buruk, guli-guli, main galah, main kapal terbang, cina buta, ketup atau sembunyi dan lain-lain. Permainan tradisional ini wujud sejak sekian lama lagi, permainan ini mudah, jimat dan boleh dimainkan bila-bila dan di mana sahaja. Selain melibatkan kos yang rendah, permainan tradisional ini melibatkan penggunaan bahan yang mesra alam berbanding alatan dalam permainan moden.
            Penglibatan murid-murid dalam permainan tradisional ini tidak harus dipandang sepi. Mereka harus didedah pada peringkat awal lagi dan diberi peluang mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru, penglibatan murid secara langsung dalam permainan tradisional ini nescaya dapat mempopularkan permainan ini dan mengelakkan ianya pupus dan lenyap begitu sahaja di negara ini.
Kepentingan Keterlibatan
Sejajar dengan kepentingan penglibatan aktif murid-murid sekolah rendah dalam aktiviti seni dan kebudayaan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan perkembangan domain psikomotor, kognitif dan afektif mereka. Hal ini memang tidak dapat disangkal lagi. Bagi membincangkan kepentingan keterlibatan secara langsung murid-murid ini, pendekatan secara teori berhubung dengan gaya pembelajaran mereka di sekolah turut diambil kira.
Pada pandangan pengkaji, Teori Pembelajaran Konstruktivisme di mana aliran Behaviorisme, proses pembelajaran individu mensasarkan pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Kaedah pembelajaran telah ditemui berhubung dengan manusia sebagai cara untuk mengubah tingkah laku manusia (behavior change) dan potensi (potential behavior change) yang ada pada seseorang, khususnya murid-murid. Dengan lain perkataan, proses pembelajaran murid-murid berlaku berasaskan ‘hukum pekaitan’ (Law of Association) yang diutarakan oleh ahli Falsafah Yunani awal seperti Aristotle. Ivan Pavlov seorang ahli psikologi Rusia telah menjalankan satu siri percubaan secara saintifik dan sistematik mengkaji bagaimana pembelajaran berlaku pada sesutau organisma. Menurut Ivan  Pavlov (1849-1936) ‘sesuatu organisma akan teringat sesuatu kerana sebelum ini ia pernah mengalami sesuatu yang berkaitan’. Tambah  beliau lagi, ‘Learning is a result  on an association formed between a stimulus (such as food) and a respond (the animal salivating)’. Dalam kajian ini, anjing telah ‘belajar’ mengaitkan bekas makanan yang dilihat dengan makanan yang diberikan kelak. Oleh sebab itu, pemilihan prinsip pedagogi pengajaran yang sesuai untuk sesuatu pelajaran amat penting supaya penglibatan murid-murid pada tahap optimum.
Bertitik tolak daripada aliran Behaviorisme ini, proses pembelajaran murid-murid mensasarkan  pengetahuan diperolehi secara kognitivisme. Seorang sarjana, Jean Piaget mengatakan bahawa kognitivisme adalah perwakilan mental yang dikenali skema. Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami oleh minda manusia. Jika maklumat tersebut sesuai dengan skema yang ada, maka skema tersebut diterima atau mungkin ditolak atau diubah suai.
Pandangan  kognitivisme telah melahirkan Teori Pembelajaran Konstruktivisme yang menjelaskan pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Dalam konteks ini, murid-murid tidak menerima sebarang maklumat (pengetahuan) tanpa berfikir dan menyesuaikannya dengan idea dan maklumat baru selaras dengan pengetahuan sedia ada mereka. Keadaan ini terbentuk hasil daripada interaksi sosial bersama guru dan rakan mereka. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlu memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan pelbagai kebolehan dan minat pelajar.
Teori Konstruktivisme ini merupakan proses pembelajaran yang mewujudkan bagaimana pengetahuan (knowledge) disusun dalam minda pelajar. Teori ini bertitik tolak daripada pandangan aliran Behaviorisme yang mengkaji perubahan tingkah laku sehingga kepada kognitivism yang mengkaji tentang cara manusia (murid-murid) belajar dan memperolehi pengetahuan yang menekankan perwakilan mental mereka. Pengetahuan (knowledge) dikembangkan secara aktif dan lazimnya pembelajaran berpusatkan murid-muird (student-centred).                                          
Prinsip pembelajaran teori konstruktisvisme lebih menekankan aspek pembelajaran (learning) berbanding dengan pengajaran (teaching). Kekuatan teori ini memberi peluang dan ruang bagi murid-murid memilih goal (goal), strategi dan penilaian ke  atas pembelajaran mereka. Para guru hanya berperanan sebagai fasilitator (pemudah cara) serta membimbing murid-murid ke arah pembelajaran mereka. Keadaan ini akan memberi lebih keyakinan dan motivasi kepada murid-murid dalam meneroka pembelajaran berdasarkan inisiatif sendiri. Keupayaan murid-murid mengkonstruk pengetahuan melalui aktiviti pembelajaran seperti projek atau kajian dan seumpamanya telah memaksimumkan kecenderungan kognitif (cognitive predisposition) mereka. Bagi mengatasi murid-murid yang lemah membaca, penekanan diberi kepada mereka bagi membentuk kemahiran (skill) dan pengetahuan (knowledge) dengan mengaitkan pengalaman lampau untuk kegunaan masa depan. Murid-murid harus membina sendiri proses berfikir mereka dan kemahiran berkomunikasi yang baik dan jelas.
Psikomotor
          Berhubung dengan aspek psikomotor murid, perkembangan domain ini aplikasi sesuatu konsep yang berkaitan dengan kecekapan dan keberkesanan pergerakan yang boleh dipindahkan dan digunakan dalam pelbagai situasi semasa perlaksanaan sebarang pergerakan. Proses ini berkembang dari peringkat rendah ke tinggi. Terdapat beberapa prinsip asas yang boleh diaplikasikan agar pelaksanaan sesuatu pergerakan akan menjadi lebih baik, efisen,dan selamat. Peningkatan kemahiran psikomotor juga membolehkan individu bertindak balas dengan pantas dan tepat. Keupayaan ini pastinya akan mewujudkan suatu budaya masyarakat yang aktif dan progresif. Bertepatan dengan penglibatan murid dalam aktiviti seni dan kebudayaan ini berpanduan teori kontruktivisme ini menekankan agar murid belajar memahami, aplikasi dan menilai akan keupayaan diri mereka.
         Kognitif
Aspek kognitif pula, menekankan proses pemindahan pembelajaran bergantung kepada pembelajaran aktif dimana murid akan memproses maklumat yang telah diperolehi secara aktif supaya ianya dapat digunakan kemudian. Domain kognitif menganggap proses pembelajaran adalah satu proses perolehan pengetahuan dan disusun semula melalui proses pemprosesan maklumat dan disimpan sebagai maklumat yang berguna.

Penglibatan aktif dianggap murid dalam aktiviti seumpama ini memerlukan dialog dan perbincangan sesama murid atau antara guru dan murid. Oleh yang demikian, faktor berbahasa (komunikasi) dan kemahiran berfikir dalam kalangan  murid perlu dititikberatkan dalam proses komunikasi mereka. Kemahiran berfikir juga intipati kepada aspek kognitif yang amat penting itu.
            Afektif
          Domain afektif juga penting dalam perkembangan murid-murid yang aktif dalam aktiviti seni dan kebudayaan. Aspek ini  merupakan sesuatu yang berkaitan dengan sikap dan nilai. Dalam penglibatan murid dalam aktiviti seni dan kebudayaan, aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi dan nilai. Dalam penglibatan, murid mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin disertai. Minat akan menjadi fokus utama tahap penglibatan mereka. Manakala emosi pula banyak mempengaruhi semasa penyertaan tersebut dan nilai yang dapat ditunjukkan adalah nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa domain afektif ini menekankan kepada kepentingan emosi dan perasaan murid-murid.
Justeru itu, seseorang murid yang mempunyai domain afektif yang tinggi dalam dirinya akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti, pemerhatian murid tersebut terhadap aktiviti yang disertai, disiplin, motivasi yang tinggi yang tinggi ditunjukkan.  Fokus utama murid-murid dalam aktiviti- aktiviti seni dan kebudayaan adalah meluahkan perasaan dalam karya dan penglibatan serta memiliki motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus terhadap karya yang ingin dihasilkan. Keadaan ini mempunyai perkaitan dengan sifat  naluri (instinc) yang dimiliki oleh seseorang murid yakni keupayaan murid menggunakan dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial.
Rumusan
           Sebagai rumusan dapatlah disimpulkan bahawa aspek seni dan kebudayaan amat penting kepada masyarakat di negara ini. Kedua-dua entiti ini sememangnya berkait rapat dan sangat senonim dengan masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, agama dan nilai budayanya. Perbezaan seni dan kebudayaan bukanlah merupakan halangan satu bentuk perhubungan dan komunikasi yang baik dan mantap sebaliknya menjadi sumber kekayaan kepada nilai seni dan budaya masyarakat kita di mata dunia. Sifat multikultural yang dimiliki oleh masyarakat di negara ini menjadi aset penting dalam memperkayakan khazanah seni dan budaya malah turut menjadi daya tarikan pelancong luar. Keadaan ini telah memberi impak positif ke atas ekonomi negara pada masa kini.
         Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan pelajar dalam bidang seni dan kebudayaan ini turut memberi kesan positif terhadap pertumbuhan diri, khususnya tahap kecergasan fizikal, aspek perpaduan kaum, dan ekonomi masyarakat secara keseluruhannya. Keadaan ini telah melonjakkan nilai tambah (add values) bidang seni dan kebudayaan dalam ruang lingkup masyarakat majmuk di Malaysia sekaligus menjadikan kedua-dua bidang ini amat penting dan terus menyumbang terhadap pembangunan negara secara keseluruhannya. Penglibatan aktif golongan murid di peringkat sekolah menandakan evolusi seni dan kebudayaan ini terus berkembang dan mendapat tempat di benak sanubari golongan muda hari ini. Sejajar dengan kepentingan bidang ini dalam mencorakkan tahap perkembangan domain psikomotor, kognitif dan afektif murid di sekolah pada tahap yang optimum juga.
Rujukan
Fatimah Daud. (1984). Some patterns of ethnic relations in Malaysia. Asia Profile 13(2): 117-29.
Hassan, S.H. (1994). Modul Sejarah Sebagai Alat Pendidikan. Jakarta: Universitas Terbuka.
Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia. (2005). Kuala Lumpur: Ministry of Culture, Arts and Heritage of Malaysia Press.
Kymlicka, W. (2002). Kewargaan Multikultural, Terjemahan Edlina Hafmini Eddin. Jakarta: LP3ES.
Marshall, G. (pent).(1994). The Concise Oxford Dictionary of Sociology. Oxford: Oxford University Press.
Modul QGJ3033 Sukan Sepanjang Hayat dan Rekreasi. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Stavenhagen, R.(1986). Problems and Prospects of Multiethnic States. Tokyo: United Nations University Press.
Ting Chew Peh. (1997). Konsep Asas Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tuan Yacob Bin Raja Mohamad. (1998).‘Gaya Komunikasi Guru Besar Hubungan Dengan Komitmen Guru-Guru’. Majalah CERANA Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Bil. 3, 1998.

Zaid Ahmad, Ruslan Zainudin, Sarjit Singh, Ahmad Tarmizi Talib, Ho Hui Ling, Lee Yok Fee. Najeemah Mohd Yusof & Nazri Muslim. (2013). Hubungan Etnik di Malaysia. Edisi Ketiga. Selangor: Oxford Fajar.