Translate

Saturday, 22 November 2014

Ulasan Novel Remaja: Bukan Duniaku

Pengenalan
Bidang sastera merupakan satu bidang yang penting dalam kehidupan manusia sejak dulu sehingga sekarang. Sastera merupakan hasil ciptaan manusia yang mengungkapkan gagasan, emosi, perasaan dan pengalaman kehidupan. Sastera juga adalah satu bentuk ciptaan seni yang berkait rapat dengan bahasa juga. Melalui bahasa, mesej dalam karya kesusasteraan dapat disampai dan disebarkan. Melalui bahasa juga pembaca dapat menikmati keindahan yang ada dalam sesebuah karya kesusasteraan. Dalam bidang seni mengarang ini penghasilan sesuatu karya atau genre sama ada lama atau moden adalah berkaitan dengan aspek penulisan bahan tulisan yakni sesebuah karya atau karangan yang dianggap mempunyai nilai sastera apabila ianya ditulis dengan menggunakan bahasa yang indah atau bernilai estetik dengan isi kandungan yang baik dan ada nilai moral yang positif (Khairuddin, et al., 2014).
            Dari segi istilah ‘kesusasteraan’ yang berakar daripada kata ‘susastera’ dalam bahasa Sanskrit telah membawa pengertian yang mendalam. Suku kata ‘su’ bermaksud indah, baik, lebih berfaedah, manakala ‘sastera’ bermaksud huruf atau buku. Menurut Lalita & Md. Salleh Yaapar (1984) dlm. Kamarudin& Siti Hajar, 1998) menegaskan bahawa ‘sastera atau shastra’ merupakan ilmu yang bersifat benar, tetap dan tidak berubah kerana berasal daripada sumber tertinggi (pencipta). Sastera itu mengandungi kebenaran, keindahan dan kemuliaan. Daripada perkataan ‘susastera’ telah diberikan imbuhan apitan ‘ke……an’ yang menghasilkan ‘kesusasteraan’ bertujuan memberi keindahan bunyi. Daripada itu dapat dikatakan bahawa kesusasteraan bermaksud kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Indah dari segi pendengaran, emosi, imaginasi dan baik kerana hasil karya itu dapat diteladani. Hashim Awang (1987) turut mengatakan kesusasteraan itu adalah ‘ciptan seni yang disampaikan melalui bahasa dan berkeupayaan membentuk tamadun dan bangsa’.
Selaras dengan fungsi sastera yang ditulis dan disampaikan melalui buku, salah satu genre moden yang terkenal dan diminati pelbagai golongan masyarakat iaitu novel. Selain novel genre moden juga meliputi cerpen, drama, sajak, biografi dan esei atau kritikan. Novel ditakrifkan sebagai cereka yang berbentuk prosa. Cereka yang disampaikan itu luas jangkauannya. Maksudnya ialah cerita yang disampaikan itu terdiri atas; (i) plot yang kompleks, (ii) watak yang menggerakan cerita yang banyak jumlahnya, (iii) persoalan-persoalan yang  dikemukakan bersifat pelbagai, dan (iv) suasana serta latar ceritanya beraneka. Justeru itu, novel itu disifatkan panjang melebihi sebauh cerpen. Bagi memenuhi objektif penulisan tugasan seni mengarang ini yang berkaitan dengan aspek mengulas sebuah novel remaja yang terkenal dan baik penulisannya.
            Menyentuh akan kepentingan bahan novel serta potensinya sebagai bahan sastera dalam pengajaran dan bacaan umum yang menyeronokkan terutama golongan remaja (Kamarudin & Siti Hajar, 1998) isinya yang baik, bermaksud benar-benar menggambarkan kebenaran dalam kehidupan manusia di alam ini. Cara mempersembahkannya juga indah dan menarik sehingga menimbulkan kesan dan dapat menyentuh hati pembacanya. Karya sastera novel ini memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya novel itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Novel yang terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Novel bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi turut merangkumi segala aktiviti manusia secara kreatif. Sesebuah karya novel juga merupakan cerminan realiti kehidupan. Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sesebuah karya novel merupakan rakaman realiti dalam masyarakat. Ia merupakan renungan serta pengamatan pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah (Arba’ie, 2008).
Daripada perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa kesusasteraan moden yang menjurus kepada genre novel dapat dirujuk sebagai hasil karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu. Pancaran kehidupan masyarakat yang disampaikan secara kreatif serta menggunakan bahasa yang indah dan tertib. Sastera juga umpama jendela dunia yang membolehkan pembaca mendapat imbasan dan cebisan berkaitan realiti budaya dan masyarakat (Khairuddin, et al., 2014). Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi untuk mendidik dan membina keperibadian ahli-ahli masyarakatnya.
Pemilihan Novel
Bagi memenuhi objektif Kursus BMK 3043 Seni Mengarang ini, pemilihan sebuah karya novel remaja untuk diulas adalah bersandarkan bahan kesusasteraan ini merupakan bahan yang sesuai dan lazim digunakan sebagai bahan pengajaran di sekolah. Menurut Salmetmuljana (1966), penggunaan bahan sastera amat memerlukan ketelitian pemilihan dan cara-cara penyusunannya. Keperluan ini sebenarnya mempunyai tujuan yang jauh lebih penting iaitu untuk menimbulkan kesan-kesan kehalusan, kemuliaan dan kesempurnaan penggunaannya sebagai memenuhi syarat keindahan. Asmah Hj. Omar (1984) turut mengatakan pemilihan bahan novel perlulah dilakukan dengan mempertimbangkan beberapa secara menyeluruh. Keadaan ini menyebabkan karya novel amat sesuai dikaji dan digunakan sebagai bahan pengajaran selain daripada memenuhi program pembacaan seseorang individu penggemar karya sastera.
            Rentetan daripada itu, tajuk novel yang dipilih pengkaji ialah Bukan Duniaku yang dihasilkan oleh Aida Shahira atau nama sebenarnya ialah Hazam Binti Harun dan dilahirkan pada 6 Mac 1971 di Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Naim Lilbanat, Kota Bharu. Seterusnya, melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada tahun 1996. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Editor Kanan Bahasa Melayu di Penerbitan Sasbadi Sdn. Bhd. dan Vital Star Sdn. Bhd. serta guru tuisyen. Selain buku-buku rujukan akademik, beliau turut menghasilkan novel kanak-kanak dan awal remaja. Antaranya, Siri Alfi Menjejak Misteri (Penerbitan Hartamas), Siri Jendela Hati Cermin Budi (Pustaka Ilham), Koloni (Penerbuatan Generasi Baru), Hutan Nan Menghijau (Bookline Services) dan Nasib Anak Penjaja (Eduline Enterprise). Karya beliau yang lain berupa puisi dan cerpen pernah tersiar di media cetak dan alam siber, terutamanya diesastera.com. Selain itu, beliau turut menulis blog diesastera.net.
Bagi karya Novel Bukan Duniaku ianya merupakan terbitan Karya Hartamas Enterprise tahun 2006 dan setebal 163 muka surat berkisar akan kehidupan seorang remaja yang diabaikan kasih sayang oleh ibu bapanya. Seterusnya memilih jalan lari dari rumah kerana merasakan dirinya terabai lantaran kedua-dua orang tuanya sentiasa sibuk.
Sinopsis Novel Bukan Duniaku
Halim, seorang remaja yang baru berusia 15 tahun, bekerja sebagai pencuci kereta untuk ketua sindiket haram, iaitu Abang Joe. Kesemua wang hasil kerjanya diserahkan kepada lelaki itu. Abang Joe memeras tenaga remaja yang tidak berumah atau yang lari dari rumah. Dia mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti mencuci kereta dan menjaga petak letak kereta.
Halim dan rakan-rakan yang senasib dengannya ditempatkan di sebuah pondok usang. Di situlah mereka menghabiskan masa pada waktu malam. Halim merebahkan badannya yang lesu akibat melakukan kerja paksaan. Halim bermimpi bahawa dia bertemu dengan ibunya. Dalam mimpi itu, ibu Halim memberitahu Halim bahawa ayahnya amat marah atas tindakan Halim lari dari rumah. Halim menjerit-jerit. Saleh mengejutkan Halim. Saleh berkongsi kisah hidupnya dengan Halim. Saleh terpaksa berhenti sekolah kerana keluarganya hidup susah dan ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya. Saleh ke bandar dengan niat untuk mencari pekerjaan bagi membela nasib mereka sekeluarga. Malangnya, Saleh menjadi mangsa Abang Joe. Saleh pernah diugut dan dipukul kerana cuba melarikan diri. Halim bersimpati akan nasib yang menimpa Saleh.
Seterusnya, Halim berkenalan dengan seorang pemuda yang bernama Fariz. Fariz bertanyakan latar belakang Halim. Bagi Fariz, remaja seperti Halim sepatutnya masih bersekolah. Halim tidak berani berterus terang kepada Fariz tentang keadaan dirinya. Hal ini demikian kerana Halim bimbang kalau-kalau Fariz merupakan orang bawahan Abang Joe. Oleh sebab itu, Halim telah berbohong kepada Fariz. Halim memberitahu Fariz bahawa dia tidak mampu ke sekolah kerana dia orang susah dan terpaksa bekerja untuk membantu ayahnya yang kurang upaya.
Hubungan saleh dengan Halim semakin akrab. Saleh meminta Halim menceritakan perkara sebenarnya sehingga dia terperangkap di pondok usang itu. Halim pun mula bercerita. Halim mengimbas kembali peristiwa dia lari dari rumah. Halim berkecil hati atas sikap ayah dan ibunya. Halim berasa sangat kecewa apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya. Bagi Halim, ayah dan ibunya terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikannya. Halim nekad untuk keluar dari rumah. Ketika merayau-rayau di ibu kota, Halim hampir-hampir disamun tetapi dia telah diselamatkan oleh Abang Joe. Walau bagaimanapun, Abang Joe bukanlah sebaik yang disangka oleh Halim. Halim kesal kerana bertindak terburu-buru.
Pada suatu hari, Halim telah dipukul oleh konco-konco Abang Joe kerana Abang Joe tidak suka Halim berhubung dengan orang luar. Dia bimbang rahsianya mengedar dadah terbongkar. Saleh yang menemani Halim ke sarang penyembunyian dadah dan ganja itu turut dipukul dengan teruk. Namun begitu, akhirnya Abang Joe dan konco-konconya telah ditangkap oleh polis. Fariz yang kononnya seorang kerani di syarikat swasta sebenarnya adalah pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah. Halim dan kawan-kawannya yang menjadi mangsa Abang Joe kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Halim mengutus surat kepada Saleh dan memberitahu kawan baiknya itu bahawa ayahnya akan menanggung belanja persekolahan Saleh.
Ulasan Mengikut Bab
Bab 1: Mencari Sesuap Nasi
Halim bekerja sebagai pencuci kereta. Dia tekun mencuci kereta para pelanggannya. Setiap hari dia perlu melakukan tugas itu. Setelah selesai mencuci kereta, Halim tersangkal dipangkal pokok untuk melepaskan penat. Seorang lelaki berjeket hitam dan bertubuh gempal datang menghampiri Halim. Halim menyerahkan semua wang hasil kerjanya kepada lelaki itu. Halim memanggil lelaki itu Abang Joe. Abang Joe pemeras tenaga remaja yang tidak berumah atau yang lari dari rumah. Dia mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti mencuci kereta dan menjaga petak letak kereta. Abang Joe banyak menpunyai kawan yang sanggup memerhatikan remaja-remaja ini bekerja. Kawan-kawan Abang Joe akan memukul dan mencederakan mereka yang ingkar atau mencuba melarikan diri daripada melakukan kerja-kerja yang disuruh oleh Abang Joe.
Halim juga pernah dipukul dan diseksa kerana mencuba melarikan diri suatu ketika dahulu. Halim berjalan ke gerai yang berhampiran untuk membeli makanan. Kemudian, Halim kembali ke pokok itu semula. Halim makan perlahan-lahan. Dalam pada itu, dia termenung mengenangkan nasibnya. Halim dicengkam rasa kesal kerana bertindak terburu-buru. Oleh sebab terlalu mengikut kata hati, akhirnya Halim menjadi hamba kepada seorang lelaki yang tidak berhati perut.
Bab 2: Diganggau Rindu
Selepas meletakkan beberapa bungkus makanan di atas meja, Abang Joe keluar dari pondok itu. Halim tahu bahawa Abang Joe keluar untuk mengedarkan dadah. Perkara itu terbongkar apabila seorang rakanya yang diperdayakan oleh Abang Joe membuka cerita. Menurutnya, Abang Joe merupakan pengedar dadah yang utama yang membekalkan dadah kepada penagih-penagih di sekitar Kuala Lumpur. Namun begitu, Abang Joe tidak pernah sekalipun ditangkap kerana dia begitu pandai menjalankan kerjanya. Halim mengambil bungkusan makanan yang ditinggalkan oleh Abang Joe. Dia berikan bungkusan makanan itu kepada rakan-rakannya. Selepas tenaga mereka diperas pada waktu siang, di pondok usang itulah Halim dan rakan-rakannya menghabiskan masa pada waktu malam. Tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan keluar dari pondok itu tanpa kebenaran Abang Joe. Halim berbaring. Halim bermimpi bahawa dia bertemu dengan ibunya. Dalam mimpi itu, ibu Halim memberitahu Halim bahawa ayahnya amat marah atas tindakan Halim lari dari rumah. Halim menjerit-jerit. Saleh mengejutkan Halim. Mungkin perasaan rindu dan bersalah membuatkan dia bermimpi begitu. Saleh meminta Halim menceritakan peristiwa yang berlaku sehingga dia terperangkap di pondok itu. Halim terdiam. Dia bimbang kalau-kalau ceritanya nanti membuatkan Saleh berasa tidak selesa denganya. Saleh dapat membaca kegelisahan Halim. Saleh pun memutuskan untuk menceritakan kisahnya dahulu. Saleh berasal dari keluarga yang susah. Ayahnya penores getah dan ibunya pula suri rumah. Saleh mengingati segala peristiwa yang berlaku sehingga dia terperangkap dalam genggaman Abang Joe.
Bab 3: Berkorban Apa Sahaja
Ayah Saleh memberitahu Saleh bahawa beliau tidak mampu menyekolahkan Saleh lagi. Saleh rela berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin menberi peluang kepada adik-adiknya belajar. Saleh meminta izin daripada ayahnya untuk pergi ke bandar. Dia mahu mencari kerja bagi membela nasib mereka sekeluarga. Pada mulanya, ayah Saleh tidak membenarkan Saleh ke bandar kerana bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa Saleh. Namun begitu, setelah Saleh memberitahu ayahnya bahawa dia akan mencari kawannya, Abu maka ayahnya bersetuju melepaskan Saleh. Setelah tiba di Kuala Lumpur, Saleh menunggu bas untuk Shah Alam. Ketika itulah Saleh didatangi oleh Abang Joe. Abang Joe bersungguh-sungguh ingin membantu Saleh. Abang Joe berjaya memujuk Saleh supaya tinggal bersama-sama denganya. Saleh membatalkan niatnya untuk mencari Abu kerana termakan pujukan Abang Joe yang menawar pekerjaan yang dapat menjamin kehidupannya. Akhirnya, Saleh sedar bahawa dia telah diperangkap oleh Abang Joe. Saleh dipukul dan diugut ketika mencuba melarikan diri. Halim bersimpati akan nasib menimpa Saleh.
Bab 4: Perkenalan
Halim Termenung di bawah pokok sambil menunggu kedatangan pelanggan. Ketika Halim asyik melayan perasaan, kelihatan sebuah kereta membelok masuk ke kawasan itu. Seorang lelaki keluar dari kereta itu. Halim segera mengambil peralatan mencuci kereta. Lelaki itu meminta Halim mencuci keretanya bersih-bersih. Halim mengangguk-angguk sambil melakukan kerjanya. Lelaki itu memperkenalkan dirinya kepada Halim. Lelaki itu bernama Fariz. Fariz bertanyakan latar belakang Halim. Bagi Faris, remaja seperti Halim sepatutnya masih bersekolah. Halim tidak berani berterus-terang kepada Fariz tentang keadaan dirinya kerana Halim bimbang kalau-kalau Fariz merupakan orang bawahan Abang Joe. Oleh sebab itu, Halim telah berbohong kepada Fariz. Halim memberitahu Fariz bahawa dia tidak mampu ke sekolah kerana dia orang susah dan terpaksa bekerja untuk membantu ayahnya yang kurang upaya. Fariz mempelawa Halim makan di gerai yang berhampiran setelah dia habis mencuci kereta itu nanti. Halim berasa serba salah sama ada hendak menerima atau menolak pelawa Fariz. Dia memerhatikan keadaan di sekelilingnya.
Bab 5: Berkongsi Cerita
Faris berusaha mengajak Halim makan di gerai dan sedikit curiga dengan ketakutan Halim. Halim tidak mampu menolak. Dalam pertemuan singkat, Halim merasakan Fariz seorang lelaki yang baik. Namun, dia masih takut untuk berterus-terang. Sebelum beredar, Fariz menyerahkan duit tambahan kepada Halim sebagai tanda terima kasih. Menjelang petang, van membawa mereka pulang ke pondok. Halim terkejut apabila Abang Joe ingin berjumpanya. Dia mengasyaki mungkin Abang Joe mengetahui pertemuannya dengan Fariz. Saleh bimbang apabila Halim berjumpa Abang Joe di luar pondok. Rupa-rupanya Abang Joe hanya inginkan duit hasil kerja Halim kerana Abang Joe tidak datang mengutip wang daripada Halim pada hari itu. Abang Joe percaya pada kerja Halim dan terus menyimpan duit itu dalam poketnya. Namun, Abang Joe mengingatkan Halim agar tidak menyusahkannya. Halim masuk semula ke pondok dan Saleh berasa lega apabila Halim tidak diapa-apakan. Mereka bersama berharap agar dapat dibebaskan dan berdoa agar sentiasa sihat. Saleh memujuk Halim mencerita kisahnya. Halim memberitahu dia anak orang berada. Ibu bapanya ahli perniagaan dan dia merupakan anak tunggal.
Bab 6: Mengikut Kata Hati
Halim terus mengimbas kembali kisah hidupnya. Sejak akhir-akhir ini, ayah dan ibu Halim sibuk bekerja. Halim mengurung diri di dalam biliknya. Dia berasa hampa kerana ayah dan ibunya masih tidak pulang lagi sedangkan hari itu merupakan hari jadinya yang kelima belas. Apabila ayah dan ibunya pulang, Halim bertanyakan sama ada mereka ingat akan hari jadinya. Ternyata kedua-dua orang tua Halim terlupa akan hari jadinya. Mereka meminta maaf dan berjanji akan membelikan Halim hadiah esok. Perkara ini benar-benar mengecewakan Halim. Dengan berbekalkan sedikit wang simpanan, Halim lari dari rumah. Dia menaiki bas untuk sampai ke ibu kota. Setelah tiba di ibu kota, Halim hampir-hampir disamun oleh beberapa orang lelaki ketika melalui sebuah lorong. Halim telah diselamatkan oleh Abang Joe dan dibawa pulang ke rumahnya. Abang Joe melayan Halim dengan baik. Namun begitu, Abang Joe bukanlah sebaik yang disangka oleh Halim. Halim kesal kerana bertindak terburu-buru.
Bab 7: Menerima Pelawaan
Halim menjalan tugasnya seperti biasa pada hari itu. Sebuah kereta masuk dan muncul Fariz. Halim terkejuk dan setelah bertanya khabar, Halim dimaklumkan Fariz bercuti. Halim mula mengesyaki Fariz konco Abang Joe apabila memberitahu dia bercuti sehingga urusan selesai. Namun, Fariz meyakinkan Halim bahawa dia orang jahat. Fariz masih bertanya tentang Halim kerana kelihatan Halim menyembunyikan sesuatu. Fariz membeli makanan di gerai setelah Halim menolak pelawaannya untuk makan bersama-sama di gerai. Fariz menunggunya di bawah pokok. Sedang Halim ingin menjamah makanan, Abang Joe menyergahnya. Abang Joe memarahinya kerana tidak menjalankan tugasnya. Fariz yang terkejut akan kekasaran Abang Joe cuba menenangkannya dengan berkata keretanya sedang dicuci oleh Halim agar Abang Joe tidak memarahi Halim. Abang Joe memberi amaran agar Halim tidak terpengaruh dengan kata-kata orang luar. Abang Joe bimbang rahsianya terbongkar. Setelah Abang Joe beredar, Fariz mula menyoal Halim. Halim menyatakan bosnya memang garang namun masih enggan berterus terang. Fariz tidak memaksa Halim berterus-terang namun dia sakit hati melihat Halim diperlakukan begitu. Halim meminta maaf daripada Fariz dan Fariz menyatakan akan memberi hadiah kepada Halim pada hari esok. Halim tidak sabar menunggu hari esok.
Bab 8: Dibelasah Abang Joe
Setibanya dipondok kediaman,  Abang Joe menyuruh semua remaja di dalam van itu turun. Semua kawan Halim turun dari van tersebut kecuali Saleh. Walaupun dimarahi oleh Abang Joe namun Saleh tetap enggan berganjak. Halim dan Saleh dibawa ke sebuah pondok usang yang lain. Pondok itu dijadikan gudang menyimpan dadah dan ganja. Saleh dibelasah dengan teruk oleh konco-konco Abang Joe ketika dia cuba menghalang Abang Joe daripada mencekik leher Halim. Abang Joe mengugut akan membunuh Halim jika dia masih berhubung dengan orang luar. Konco-konco Abang Joe turut membelasah Halim sehingga dia jatuh pengsan. Apabila tersedar, Halim mendapati dia sudah berada di pondok tempat tinggalnya. Dia dikelilingi oleh rakan-rakan yang lain. Halim bertanya tentang Saleh kepada mereka. Ternyata Saleh juga berada disitu. Halim bangun lalu memeluk Saleh. Beberapa orang rakan yang lain mengubati luka pada badan Halim dan Saleh.
Bab 9: Berlaku Kekecohan
Pagi itu, Halim menjalankan tugasnya seperti biasa. Kebiasaannya jam sembilan pagi baru ramai pelanggannya. Dia teringat akan Fariz yang mahu menemuinya hari ini untuk memberi hadiah. Halim risau akan ugutan Abang Joe. Mungkin dia perlu berterus terang. Tiba-tiba, beberapa buah motorsikal memasuki kawasan itu. Mereka merayau-rayau dikawasan itu dan akhirnya meninggalkan motosikal mereka di kawasan itu. Mereka hilang begitu sahaja. Halim hairan pelanggannya tiada pada hari itu. Tiba-tiba, dia melihat kekecohan berlaku. Dua orang konco Abang Joe dikejar oleh lima orang lelaki yang bermotosikal tadi dan berjaya ditangkap. Halim mengesyaki mereka polis. Apabila ditanya, Halim menyatakan mengenali penjenayah itu. Tiba-tiba kelihatan dua buah kereta tiba. Fariz keluar dari kereta itu. Halim terkejut melihat semua anggota lain memberi tabik hormat kepada Fariz. Halim semakin keliru. Fariz memegang bahu Halim.
Bab 10: Bebas Daripada Perangkap
Fariz menerangkan kepada Halim identitinya yang sebenar. Dia bukan kerani tetapi pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah. Fariz memberitahu telah lama dia mengintip Johari atau Abang Joe dan memaklumkan Abang Joe telah ditangkap pagi tadi. Abang Joe merupakan penjenayah yang paling dikehendaki. Halim lega kerana dia akan kembali ke pangkuan keluarganya. Dia mula bertanya tentang rakan-rakannya yang lain. Fariz memaklumkan kesemua mereka berada di balai polis akan diserahkan kepada keluarga masing-masing termasuk Halim. Halim bersetuju menjadi saksi kepada semua jenayah Abang Joe. Sebelum dibawa berjumpa ibu bapanya, Halim diminta menunjukkan tempat simpanan dadah Abang Joe. Halim bersetuju menujukkan tempatnya kerana disitu dia dibawa semalam. Abang Joe dan konconya menerima hukuman setimpal. Halim kembali kepada keluarganya. Dia menyambung kembali pelajarannya dan tidak lagi mengikut perasaan. Saleh gembira menerima sepucuk surat daripada Halim. Ayah Halim bersetuju membantu Saleh untuk menyambung semula pelajaranya. Mereka sedar dunia mereka bukan disitu dan harus menggunakan akal setiap kali membuat keputusan.
Nilai Dan Pengajaran Dalam Novel
(a)   Nilai
Novel Bukan Duniaku mempunyai mesej dan pengajaran yang mencakupi aspek nilai yang tidak kurang pentingnya kepada golongan pembaca, khususnya remaja. Di antara nilai-nilai yang dikenal pasti ialah kasih sayang. Dalam hal ini, Saleh sayang akan keluarganya. Dia sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberi peluang kepada adik-adiknya belajar. Malah, dia sanggup pergi ke bandar untuk mencari kerja bagi membela nasib mereka sekeluarga. Selain itu, nilai tabah yang ditunjukkan oleh  Halim dan Saleh bagi menghadapi dugaan semasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikamanusiaan dan akan mengarahkan konco-konconya memukul mereka jika mereka ingkar akan arahannya. Di samping itu, Halim seorang yang sangat rajin bekerja mencuci kereta walaupun Abang Joe tidak membayar sebarang upah kepadanya.
            Sebagai seorang sahabat, Halim bersimpati akan nasib Saleh yang terpaksa berhenti sekolah kerana ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya. Bagi Saleh pula, dia begitu setia dan sanggup menemani Halim menemui Abang Joe. Dia tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe. Selanjutnya, sikap bijak yang ditunjukkan oleh Fariz bagi menyembunyikan identitinya sebagai pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah dalam menyiasat kes Abang Joe. Antara sikap yang paling mulia bagi seorang sahabat, bila mana Halim sanggup menanggung belanja persekolahan Saleh kemudiannya. Halim seorang yang sangat baik hati.
(b)   Pengajaran
Melalui novel ini golongan remaja  harus mendapat pengajaran dengan mengamalkan amalan sayang akan keluarga. Hal ini telah ditunjukkan oleh Saleh yang begitu sayang akan keluarganya. Dia sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberikan peluang kepada adik-adiknya belajar. Dia juga sanggup pergi ke bandar untuk mencari kerja demi membela nasib mereka sekeluarga. Seterusnya, kita tidak harus bertindak terburu-buru. Contohnya, Halim yang bertindak terburu-buru keluar dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ibu dan ayahnya terlupa akan hari jadinya telah menjadi mangsa Abang Joe. Hal ini menyusahkan dirinya sendiri.
Sebagai seorang manusia kita janganlah mudah percaya kepada kata-kata orang yang tidak kita kenali. Hal ini ditonjolkan oleh  Saleh yang membatalkan niatnya untuk mencari kawannya, Abu semata-mata kerana terpengaruh oleh kata-kata Abang Joe yang menawarkan pekerjaan yang dapat menjamin kehidupannya akhirnya termasuk dalam perangkap lelaki tidak berhati perut. Bagi menjamin kerukunan rumah tangga sepatutnya para ibu bapa perlu memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak supaya mereka tidak berasa terabai. Dalam hal ini, ayah dan ibu Halim yang terlalu sibuk bekerja menyebabkan Halim berasa terabai dan bertindak lari dari rumah.
Dalam mengharungi bahtera kehidupan ini kita mestilah tabah menghadapi dugaan. Sikap yang ditonjolkan oleh Halim dan Saleh yang tabah menghadapi dugaan semasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikemanusiaan dan akan mengarahkan konco-konconya memukul mereka jika mereka ingkar akan arahannya. Selanjutnya, kita haruslah belajar daripada kesilapan masa lalu. Contohnya, Halim menyesal kerana bertindak lari dari rumah dan dia bertekad tidak akan mengulangi kesilapan itu. Dalam menjaga hubungan kita dengan orang lain, ita haruslah mempunyai semangat setia kawan yang tinggi. Saleh sanggup menemani Halim berjumpa dengan Abang Joe kerana dia bimbang akan keselamatan kawan baiknya itu. Malah, Saleh tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.
Demi kebaikan dan tidak bertindak terburu-buru kita perlu bijak dalam menyiasat sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang. Contohnya, Fariz bijak menyembunyikan identitinya sebagai pegawai polis dari bahagaian narkotik dan jenayah dalam menyiasat kes Abang Joe. Sebagai ahli masyarakat sewajarnya kita memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membenteras jenayah. Hal ini diamalkan oleh Halim dan rakan-rakannya sanggup menjadi saksi dan memberikan keterangan tentang kegiatan jenayah Abang Joe di mahkamah. Akhirnya, kita harus membantu golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contohnya, ayah Halim sanggup menanggung belanja persekolahan Saleh demi masa hadapan dan menjaga hubungan kedua-dua sahabat karib tersebut.
Kekuatan
Novel ini mempunyai kekuatan yang hampir sama dengan novel-novel yang setaraf dan sejenis dengannya, terutama novel golongan remaja. Dari segi gaya dan kaedah penghasilan karya ini ianya menepati format dan standard penghasilan novel terkini dan mempunyai beberapa ciri sebagai sebuah novel yang terkenal. Berkaitan dengan plot, novel Bukan Duniaku ini mempunyai aspek permulaan, perkembangan, perumitan, klimaks, dan peleraian. Susur galur plot novel ini dimulai dengan usaha pencarian dua remaja Halim dan Saleh yang bekerja dengan Abang Joe, sendikit dadah dan jenayah. Selanjutnya perkembangan novel ini ditambah seri dengan kehadiran Fariz seorang pegawai polis cawangan narkotik yang menyamar ingin membantu Halim dan rakan-rakannya. Keadaan menjadi rumit dan genting apabila usaha Halim untuk berhubung dengan orang luar diketahui oleh Abang Joe sehingga membawa kepada kemarahan dan ketegangan dalam kalangan kumpulan haram berkenaan. Klimaks jalan ceritanya apabila Abang Joe dan rakan ditangkap polis dan seterusnya dibicarakan. Pada peringkat peleraian, Halim kembali kepangkuan keluarganya. Bapa Halim berjanji untuk membantu Saleh  dari segi kewangan agar terus bersekolah. Mereka insaf bahawa tidak boleh membuat keputusab terburu-buru dan menyusahkan diri sendiri.
            Dari segi tema, novel Bukan Duniaku memaparkan tema yang unik iaitu penderitaan dan keinsafan remaja yang terperangkap dengan satu sendikit di Kuala Lumpur. Ini merupakan pokok persoalan yang dapat dikesan daripada novel tersebut bermula dari peringkat awal hinggalah pengakhiran cerita. Bagi watak dan perwatakan, novel ini didominasi oleh watak seperti Halim seorang remaja yang melarikan diri dari rumah, Abg Joe, ketua sindiket pengedar dadah dan mempunyai ramai anak buah. Perwatakannya suka memperdaya remaja dan bersifat jahat. Bagi Fariz pula, seorang pegawai polis di bahagian narkotik jenayah. Perwatakannya ialah bertanggungjawab. Contohnya, beliau bertanggungjawab dengan menghapuskan kegiatan jenayah dan menangkap penjenayah. Seorang rakan Halim yang bernama Saleh  anak penoreh getah dan seorang pelajar yang terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Perwatakannya ialah sanggup berkorban. Contohnya, sanggup berhenti sekolah kerana kemiskinan hidup dan ingin menbantu keluarga serta mahu adiknya terus bersekolah. 
            Persoalan novel sangat tertib sifatnya serta mempunyai garapan peristiwa yang menarik. Bermula dengan kesengsaraan hidup di bawah sendikit haram, keksalan hati, mengambi kesempatan atas kelemahan orang lain, semangat setiakawan, kebijaksanaan dan peranan pihak berkuasa menjadikan persoalan novel ini menarik.
Bagi gaya bahasa yang terdapat dalam novel adalah hiperpola, contohnya ‘Dia hanya mampu mengukir mimpi itu, namun tidak berdaya mencipta semua itu’. Seterusnya simile, contohnya, ‘Dari sebuah rumah besar yang selesa, kini dia terpaksa bersesak-sesak hidup di dalam pondok usang yang tidak ubah seperti kandang kambing’. Terdapat juga bahasa Arab, contohnya, ‘penggunaan perkataan Allah S.W.T, assalumualaikum dan waalaikumusalam’. Seterusnya, simpulan bahasa, ‘Selama ini Halim buta hati kerana tidak tahu menilai kasih sayang ayah dan ibu’. Akhirnya pepatah, contohnya, ‘Benarlah kata pepatah bahawa, ikut rasa binasa, ikut hati mati’. Tidak kurang pentingnya novel ini mempunyai latar masa, tempat dan masyarakat juga.
Antara lain, kekuatan novel ini ditunjukkan melalui teknik penceritaan secara eksposisi. Pada peringkat ini, pengarang memperkenalkan watak utama dan beberapa watak sampingan kepada pembaca dengan cara yang kreatif. Selanjutnya, disusuli peringkat perkembangan, klimaks, dan peleraian. Bagi menambahkan lagi kekuatan novel ini penulis telah menerapkan unsur-unsur dialog, pemerian, monolog, unsur suspens, imbas kembali dan sebagainya. Hal ini amat penting bagi memeri keindahan pada kandungan novel tersebut. Hal ini turut diakui oleh Ahmad Kamal Abdullah, et al. (1990) ‘di mana pengarang akan mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Pelakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri’.
Selain itu, penulis sangat teliti dan mementingkan diksi iaitu pemilihan perkataan yang sesuai digunakan. Bagi melengkapkan kekuatan novel ini tidak kurang pula aspek ayat panjang, ayat pendek, peribahasa dan smile digunakan oleh penulis dalam penghasilan karyanya. Menurut Hashim Awang (1980) unsur kesusasteraan seperti ini memberi lingkungan suasana dan andaian yang amat luas, dapat menghidupkan tindak balas perasaan atau emosi.
Kekurangan
Dari segi kekurangan, novel Bukan Duniaku ini tidak nampak begitu ketara. Hal ini disebabkan penulis begitu teliti dalam memperjelas pengucapan dan memberi kesan yang realistik kepada pembaca terutama golongan remaja. Novel ini cukup sifatnya seperti yang telah dijelaskan berhubung dengan aspek kekuatan di atas. Sejajar dengan konteks pemerian dalam novel ini, pengarang menetapkan ruang kepada dirinya menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Pengarang seolah-olah campur tangan untuk menggambarkan apa-apa insiden dalam novel ini secara lengkap.
Antara lain, pengarang telah menampakkan kekuatan dan bukannya kekurangan apabila berjaya menggunakan diksi yakni pemilihan kata oleh pengarang ketika menulis sebuah cerita. Dalam novel Bukan Duniaku, keseluruhan dikisinya berkait rapat dengan kehidupan remaja pada masa kini.
Cadangan
Dalam menghasilkan karya novel yang baik dan mantap turut dicadangkan ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap idea yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya yang berkenaan. Bertepatan dengan novel yang dikaji, Bukan Duniaku merupakan novel remaja adalah dicadangkan agar penulis dapat mempertingkatkan mutu karya dengan mengambil kira faktor pertumbuhan dan psikologi  serta psikososial remaja. Karya hendaklah dapat meningkatkan pengalaman dan pengetahuan remaja.
Menyentuh berkenaan dengan tema karya perlu dan berupaya untuk mengajak remaja berfikir secara rasional dan kritis. Dalam hal ini, pemilihan dan penonjolan watak-watak berteladan mulia boleh memperkayakan kesedaran orang ramai terhadap lingkungan kehidupan, kesihatan serta membina wawasan terhadap golongan remaja. Begitu juga dengan penggunaan bahasa. Menggunakan bahasa yang sederhana dan mudah difahami bukan sahaja memudahkan pemahaman malah berupaya mempertingkat tahap minat terus membaca dalam kalangan remaja. Hal ini diakui oleh Kharudin et al., (2014) yang menegaskan bahasa konsep realiti kehidupan harus diadaptasikan dalam sesebuah karya seperti novel agar dapat menjiwai mereka. Keadaan ini sejajar dengan pembinaan konsep kendiri yang positif dan meningkatkan kemahiran sosial golongan remaja dan masyarakat sekeliling.
Seterusnya, aspek mementingkan nilai seni dan estetika dalam sesuatu karya seperti novel juga harus dititikberatkan. Penulis harus sedaya upaya mengetengahkan idea-idea tersurat dan tersirat dalam bahan-bahan karya mereka. Daya pemikiran atau hala tuju ini akan membentuk aliran pemikiran dalam menyampaikan hasil karya berteraskan konsep berterus terang, cara halus dan kasar, menumpukan perhatian kepada keindahan, dan mementingkan isi semata-mata.
Turut dicadangkan bahawa pemilihan tema supaya relevan dengan golongan sasar. Bagi novel ini tidak menjadi masalah kerana temanya berkisar kepada golongan remaja. Pemilihan tema yang tepat membawa pengertian yang cukup besar kepada penulis. Rahman Shaari (1985) menyatakan, ‘persoalan pusat atau persoalan pokok dalam sesebuah novel. Persoalan pusat ini menjadi inti kepada keseluruhan idea yang diterapkan di dalam keseluruhan perjalanan cerita di dalam tema ini wujudnya semua cita-cita pengarang di dalam novel dan ia juga menjadi konsep abstrak yang disampaikan melalui watak-watak dan imej-imej atau simbol.’
Justeru, daripada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan di atas menunjukkan betapa pentingnya proses dan tatacara penghasilan sesebuah karya novel yang baik dan bermutu. Hal ini harus diberi perhatian dan tindakan serius para penulis agar karya sastera diumpamakan sebagai (Marjorie Boulton, 1975), watak manusia yang bergelut dengan masalah-masalah, mempunyai fikiran sendiri, mempunyai pengalaman sendiri, mempunyai pengalan pendidikan yang membolehkan mereka memperbaiki diri sendiri, menjadi lebih bijak, lebih bersopan dan merendahkan diri, mempunyai kesedaran dan kecerdasan seperti orang lain.
Kesimpulan
Dapat disimpulkan bahawa karya novel adalah sebahagian daripada hasil kesusasteraan moden yang penting dan mulai diminati pelbagai golongan masa kini. Novel umumnya merupakan karya panjang dan kompleks sifatnya dengan unsur-unsur utama seperti plot, perwatakan, latar dan sudut pandangan. Lebih terperinci lagi menurut Shahnon Ahmad (1972), satu bentuk pentafsiran rencaman hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka. Ia merupakan satu rangkuman tiga faktor utama yang bersaling kait antara satu sama lain, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencaman hidup dan imaginasi.
Jadi, garapan novel Bukan Duniaku ini sesuai dengan golongan remaja ini memaparkan sebuah kehidupan remaja yang bernama Halim, Saleh dan rakan-rakan mereka menjadi alat satu sendiket dadah dan jenayah di Kuala Lumpur ekoran lari dan terjebak dalam kancah kehidupan yang mencabar ini. Akhirnya membawa kepada penangkapan kumpulan sendiket diketuai Abang Joe serta membawa kepada pembebasan golongan anak muda ini ke pangkuan keluarga dan masyarakat selanjutnya. Seperti mana yang telah diperbincangkan di atas, ternyata novel ini mempunyai nilai dan pengajaran yang terselit di dalam plot cerita novel ini. Tidak ketinggalan juga ianya mempunyai ciri-ciri kekuatan dan kekurangan tersendiri sebagai sebuah genre moden yang dihasilkan oleh seseorang individu yang masih banyak lemah sifatnya dari segi sudut pengkaryaan. Namun, pokok pangkalnya ternyata ulasan novel ini telah memberi pendedahan bahawa ianya memberi mesej yang cukup berguna kepada golongan terutama remaja agar dapat memperlajari dan menghayati nilai dan pengajaran dari novel ini. Adalah menjadi harapan agar penghasilan novel seumpama ini atau yang lebih baik lagi mampu meningkatkan martabat para penulis novel dan sekaligus bidang kesusasteraan secara keseluruhannya.
Rujukan
Ahmad Kamal Abdullah, et al. (1990). JAMBAK1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arba’ie Sujud. (2008). Sastera Melayu suatu Pengantar. Kuala Lumpur: Tinta Press.
Asmah Hj. Omar. (1984). Kaedah Mengajar Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang.(1980). Konsep dan Pendekatan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang. (1987). Teman pelajar kesusasteraan. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. (1998). Pengajian Melayu 4. Kesusasteraan Dan Pengajaran. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Khairuddin Mohmad, Wan Zaliha Wan Othman & Amanah Mohd. Noor. (2014). Genre Kesusasteraan Melayu Dalam Bahasa Melayu. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Marjorie, B. (1975). Anatomy of the Novel. United States: Routledge.

Rahman Shaari. (1985). Berkenalan dengan Kritikan Sastera. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Shahnon Ahmad. (1972). Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Slametmuljana. (1966). Peristiwa Bahasa dan Sastera. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Laman Web:


No comments:

Post a Comment