![]() |
Translate
Friday, 10 May 2013
Thursday, 2 May 2013
Sunday, 28 April 2013
Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia
Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia
Maran Ramping
PENGENALAN
Malaysia
adalah antara puluhan negara yang mengamalkan konsep feudalisme yang
lahirnya daripada sifatnya sebagai Negara Persekutuan (federation). Sejak negara merdeka tahun 1957, konsep federalisme yang
mendokong idea penggabungan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan
Sabah telah mencetuskan idealisme kewujudan Kerajaan Pusat (central government) dan Kerajaan Negeri (state government). Namun, perpisahan Singapura pada 1965 dan
penarikan Negara Brunei Darul Salam dalam Persekutuan Malayia pada 16 September
1963 bukan menjadi pokok perbincangan dalam tugasan ini, khususnya bagi
membincangkan aspek Doktrin Pengasingan Kuasa di negara ini.
Perkara yang menjadi
keunikan Malaysia adalah lahirnya sebuah negara persekutuan. ‘Persekutuan’,
bermaksud persatuan yang mempunyai sebuah kerajaan pusat (central government) serta beberapa buah kerajaan negeri. Hal ini
bermakna persekutuan mengamalkan konsep federalisme yang unggul berkaitan
dengan penyelesaian konflik di dalam negara. Menurut Azmah Abdul Manaf (1994), sesebuah
negara persekutuan seperti Malaysia mempunyai hak dan kuasa yang diagihkan
kepada kerajaan tempatan (negeri) manakala sebahagian lagi diagihkan kepada
institusi Persekutuan.
Selain itu, K.
Ramanathan (1988), juga mentakrifkan konsep federalisme yang akhirnya
melahirkan doktrin pengasingan kuasa di Malaysia sebagai;
|
‘Suatu
bentuk pemerintah di mana terdapat sebuah kerajaan pusat yang mewakili
wilayah-wilayah yang lain. Ia bertindak mewakili wilayah-wilayah tersebut
dalam hal ehwal luar negeri. Tetapi, negeri-negeri atau wilayah-wilayah yang
lain mempunyai dartjah yang sama dan bebas. Dengan adanya kuasa politik ini,
ia membolehkan semua wilayah ini berkongsi dalam membuat keputusan’
|
Menurut beliau lagi, dalam bukunya
Konsep Asas Politik telah menggariskan beberapa ciri politik federalisme
(persekutuan) yang seharusnya ada bagi sesebuah negara federal seperti
Malaysia.
(i)
Terdapat pembahagian kuasa antara
kerajaan pusat dengan wilayah-wilayah lain.
(ii)
Pemisahan kerajaan antara kerajaan pusat
dengan kerajaan negeri dari segi institusi politik
seperti badan perundangan (legislative), kehakiman (judiciary), dan eksekutif (executive).
(iii)
Mempunyai perlembagaan (undang-undang)
bertulis yang dipersetujui bersama.
(iv)
Mempunyai perlembagaan yang jelas.
(v)
Mempunyai badan kehakiman yang bebas
untuk menjamin keadilan.
Jelas, ciri-ciri di
atas memperlihatkan satu perkongsian kuasa yang ideal dalam
sesebuah Negara Persekutuan seperti Malaysia. Tanpa ciri-ciri di atas,
kewujudan sesebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme mungkin dapat dipersoalkan (Azmah Abdul
Manaf, 1994).
Selaras dengan Malaysia
sebagai negara yang berdaulat dan merdeka juga, sudah tentu ianya mempunyai ciri-ciri
politik yang kuat dan jitu. Menurut
Raminah Hj Sabran et al (2010), Malaysia mempunyai sempadan politik yang jelas,
penduduk, sistem kerajaan telah
menjadikan negara ini Negara Persekutuan yang unik. Sistem kerajaan demokrasi berparlimen telah
membentuk Perlembagaan Persekutuan yang mantap. Keadaan ini sekaligus telah
mencorakkan Malaysia sebagai negara demokrasi yang unggul dan ternama di dunia
kini. Selanjutnya, aspek yang dibincangkan dalam tugasan ini adalah berkisar
akan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi platform dalam menangani pemusatan
kuasa yang melampau di tangan sesetengan pihak atau pemimpin bagi melahirkan
Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal dan unggul.
KONSEP DOKTRIN PENGASINGAN KUASA
Dalam konteks Malaysia sebagai negara demokrasi, pengamalan
doktrin pegasingan kuasa sangat penting dan berguna bagi mentadbir urus negara
ke landasan yang betul dan berjaya. Konsep doktrin pengasingan kuasa ini
merupakan idea yang dikemukakan seorang pemikir barat iaitu John Locke dan
dikembangkan oleh Montenquieu, seorang
ahli falsafah terkemuka Perancis pada abad ke-18 (dalam Syed
Ahmad Hussein, 1994) yang mengutarakan pembahagian kuasa kepada tiga badan
bebas iaitu badan perundangan (legislative),
kehakiman (judiciary), dan eksekutif (executive). Ketiga-tiaga badan ini di
Malaysia menjalankan bidang kuasa masing-masing dan tidak menjalankan kuasa
badan-badan lain.
|
Perundangan (legislative)
|
Kehakiman
(judiciary)
|
Eksekutif
(executive)
|
|
Menggubal
undang-undang
|
Mengadili
serta menegakkan undang-undang
|
Menguatkuasa
dan melaksana undang-undang serta dasar-dasar awam
|
|
|
|
|
Jadual 1 : Konsep Pengasingan Kuasa
Sumber : Lezza (2008). Pengajian Am
Kertas 1 STPM. Kuala Lumpur : Penerbit SAP.
Tujuan utama
konsep pengasingan kuasa ini adalah untuk mengelakkan pemusatan kuasa dalam
tangan satu pihak di mana berkemungkinan pihak terbabit akan terlibat dengan
penyalahgunaan kuasa. Secara praktisnya, kuasa ditakrifkan sebagai kebolehan untuk mempengaruhi tingkah
laku orang lain mengikut naluri atau kehendak seseorang. Kuasa juga boleh didefinisikan sebagai kebolehan seseorang
memaksa orang atau negara lain untuk berbuat sesuatu melalui pujukan,
pemberian, janji atau paksaan walaupun mereka enggan berbuat demikian.
Dalam disiplin politik, kuasa merupakan
alat untuk mencapai sesuatu matlamat atau kehendak seseorang; menyelesaikan
sesuatu masalah atau untuk mendapat sokongan daripada rakyat atau negara-negara
lain atau untuk melaksanakan sesuatu dasar atau untuk mencapai kepentingan
sesebuah negara (Azmah Abdul Manaf, 1994). Dari sudut pandangan yang lain,
kuasa yang bertindih bakal mengeruhkan keadaan dan memberi kesan ke atas
pentadbiran sesebuah negara. Justeru itu, doktrin pengasingan kuasa ini dalam
konteks perundangan, pentadbiran dan kehakiman wajar diberi perhatian serius
dan penting bagi mengelakkan pemusatan
kuasa berlaku dalam sesebuah negara.
AMALAN
DOKTRIN PENGASINGAN KUASA DI MALAYSIA
Doktrin pengasingan
kuasa di Malaysia berbeza dengan doktrin asal kerana menekankan kuasa secara
relatif (kebergantungan) antara
ketiga-tiga badan bebas ini. Situasi ini memberi ruang dan peluang supaya
badan-badan ini bergerak bebas di samping mempunyai peranan tersendiri. Dalam sistem
demokrasi berparlimen Malaysia, Perlembagaan
Persekutuan telah mengasingkan tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan
negara, iaitu badan perundangan (legislative),
badan pentadbiran (executive) dan
badan kehakiman (judiciary). Menurut
Ranjit Singh Malhi (2000), idea terpenting mengenai pengasingan kuasa ialah
orang yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang,
menguatkuasakannya dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Ini bermakna
doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan
perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan. Yang di-Pertuan
Agong (YDPA) merupakan Ketua Negara yang berkuasa dalam ketiga-tiga badan
tersebut.
(a) Legislatif
(b) Judisiary
(c) Eksekutif
( Doktrin
Pengasingan Kuasa Di Malaysia)
Doktrin
ini juga menjelaskan bahawa badan yang membuat undang-undang hanya dibenarkan
membuat dan tidak boleh menyerahkan kuasa itu kepada badan-badan lain serta
tidak boleh mempunyai kuasa-kuasa lain. Badan yang memerintah hanya dibenar
menjalankan pemerintahan negara dan tidak boleh membuat undang-undang dan
menjalankan kuasa kehakiman. Begitu juga dengan badan kehakiman yang hanya
dibenarkan melaksana kuasa kehakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau
menjalankan kuasa pemerintahan. Matlamat doktrin pengasingan kuasa ialah untuk
mengelakkan pemusatan kuasa di dalam tangan mana-mana pihak.
Menurut
Ruslan Zainuddin (2004), struktur pemerintahan di Malaysia mengandungi
ketiga-tiga badan di dalam sistem pemerintahan iaitu badan perundangan, badan
pentadbiran dan badan kehakiman. Kuasa tertinggi di atas ketiga-tiga badan itu
terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ini bermakna Yang
di-Pertuan Agong adalah sekaligus merupakan ketua kepada ketiga-tiga cabang
kerajaan. Menurut Perlembagaan Malaysia, baginda bukan sahaja memegang kuasa
eksekutif malahan juga kuasa perundangan. Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan
iaitu kuasa memerintah Persekutuan dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan
iaitu kuasa perundangan Persekutuan.
Dari segi
perundangan, Bab 4, Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan meletakkan ‘Kuasa Legislatif Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang
mengandungi Yang di-pertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara
dan Dewan Rakyat.’ Dalam hal ini, fungsi dua dewan dan Yang di-pertuan Agong
yang sifat anggotanya adalah berlainan orang adalah satu ciri yang menarik
kerana ada pengasingan kuasa dan kawalan dalam meluluskan satu-satu
undang-undang itu mengikut Perkara 49
dan Perkara 66, Perlembagaan Malaysia.
Pentadbiran perundangan di peringkat persekutuan lazimnya diletakkan di
bahu Perdana Menteri, ahli-ahli kabinet
serta ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam proses penggubalan undang-undang.
Manakala, di peringkat kerajaan negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta
Ahli Dewan Undangan Negeri menjalankan tugas pentadbirannya. Ini merupakan satu
lagi contoh doktrin pengasingan kuasa dalam aspek perundangan di Malaysia.
Badan Perundangan
(a) Persekutuan (Parlimen - Dewan Rakyat dan Negara)
(b) Negeri (Dewan Undangan Negeri
(Badan Perundangan (Legislative))
Dalam Perlembagaan Persekutuan Bab 3, Perkara 39 ada memetik ‘Kuasa pentadbiran (executive) bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-pertuan
Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan
peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh mana-mana
Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tapi Parlimen boleh dengan
undang-undang memberi tugas-tugas pemerintahan kepada orang-orang lain’. Dalam hal ini, kuasa eksekutif kini boleh
dijalankan oleh jemaah Menteri atau Menteri Kabinet yang dilantik. Tapi
pada setiap ketika mereka melaksanakan kuasa itu mereka melaksanakan atas nama ‘Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’. Di peringkat persekutuan, kuasa
tertinggi bagi ketiga-tiga badan terletak pada Yang di-Pertuan Agong manakala
di peringkat negeri pula pada Sultan (Raja) atau Yang di-Pertuan Negeri sebagai
pemilik kuasa eksekutif tertinggi.
Badan Eksekutif
(a) Persekutuan (Kabinet)
(b) Negeri (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri)
( Badan Pentadbiran (Executive))
Bagi
bidang kehakiman pula, doktrin pengasingan kuasa meletakkan badan kehakiman ada kebebasan dari campur tangan.
Kebebasan kehakiman tentang jawatan dan pendapatan adalah terjamin mengikut
perlembagaan, walaupun pada dasarnya hakim-hakim Mahkamah Tertinggi dilantik
oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding
dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Jaminan ini ada diperuntukkan dalam Perkara 125
dan Perkara 127. Dari segi perlembagaan, doktrin pengasingan kuasa
bidang kehakiman ini menuntut supaya
Peguam Negara mempunyai kebebasan dalam bidang kehakiman serta hal-hal
perundangan.
Dalam hal
ini kuasa telah diberi oleh Parlimen Malaysia. Bagi pentadbiran kehakiman di
peringkat persekutuan para jemaah menteri atau menteri-menteri perlu mendapat
nasihat Peguam Negara dalam soal-soal undang-undang negara. Bagi melaksanakan
peranannya, badan kehakiman terdiri daripada badan mahkamah atasan, rendah,
khas dan tribunal dan badan pengadilan lain (Raminah Hj Sabran, et al. 2010).
KEBAIKAN DOKTRIN PENGASINGAN KUASA
Doktrin pengasingan kuasa di Malaysia
mempunyai kekuatan dan nilai tambahnya (add
values) tersendiri terutama yang berkaitan dengan pembahagian kuasa antara
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Memang tidak dinafikan lagi bahawa sistem
ini mempunyai kebaiknya. Dalam sistem Kerajaan Persekutuan, wujud pembahagian
kuasa yang jelas. Sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan berkuasa membuat
undang-undang melalui Parlimen manakala Kerajaan Negeri pula berkuasa membuat
undang-undang melalui Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Menurut Raminah Hj
Sabran et al, (2010), pembahagian kuasa yang terdapat di Malaysia dalam Senarai
Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Maksudnya di sini, Kerajaan
Persekutuan bertanggungjawab ke atas perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan,
Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas perkara dalam Senarai Negeri, dan
kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas
perkara-perkara dalam Senarai Bersama. Keadaan ini dapat mengelakkan
pertindihan dan pemusatan kuasa bagi kedua-dua kerajaan tersebut.
Selain itu, Konsep
Organisasi dan Struktur di Malaysia turut memberi kebaikan kepada negara. Unit
ini dikatakan sebagai badan sosial bagi membentuk dan mencapai tujuan yang
dipersetujui bersama melalui pembahagian tugas yang telah ditetapkan. Tujuan
utama organisasi pentadbiran kerajaan ini untuk;
(i)
Mencapai objektif kerajaan yang
ditetapkan;
(ii)
Membahagikan tugas-tugas kerajaan agar
dilaksanakan dengan cekap dan berkesan;
(iii)
Menguruangkan pertindihan kerja dalam
penyelarasan pentadbiran; dan
(iv) Mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan
memudahkan kawalan badan eksekutif dengan menetapkan bidang kuasa dan
tanggungjawab unit-unit pentadbiran.
Sumber
: Raminah Hj.
Sabran et al, (2010). Teks STPM Pengajian
Am Kertas 1 & 2. (Edisi ke-2).
Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Struktur Kerajaan
Malaysia turut bersifat birokratik di mana merangkumi fungsi, kuasa,
penyelarasan, perhubungan kawalan dan tanggungjawab. Selaras dengan kepentingan
sifat birokratik ini dalam doktrin pengasingan kuasa ini maka pembahagian dan
pengkhususan kerja turut ditekankan. Wujudnya juga hierarki, yakni lapisan
kuasa bertingkat-tingkat, peraturan, prosedur rasmi, penyelenggaraan fail serta
rekod, dan perlantikan kakitangan awam bagi mendominasi perkhidmatan yang baik
dan berkesan. Justeru itu, doktrin pengasingan kuasa di Malaysia hari ini
sememangnya wajar dan baik bagi mengelakkan pertindihan serta pemusatan kuasa
pada sesetengah pihak atau pemimpin. Keadaan ini sekaligus menjadikan sistem
Kerajaan Malaysia antara yang terbaik di dunia dan menjadi pujian dan contoh
bagi kebanyakan negara.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan
dapatlah dikatakan bahawa doktrin pengasingan kuasa ini wajar dan sesuai
diamalkan dalam sistem pemerintahan negara Malaysia masa kini. Sebagai negara
Demokrasi Berparlimen, konsep pengasingan kuasa yang berteraskan pembahagian
kuasa kepada tiga komponen iaitu perundangan, pentadbiran dan kehakiman bagi
mengelakkan pemusatan kuasa di tangan sesetengah pihak atau pemimpin. Sifat relatif
(kebergantungan) dan unsur penyesuaian yang fleksibel bagi ketiga-tiga unsur
ini dalam pentadbiran negara juga dilihat sebagai kekuatan yang luar biasa
dalam politik negara ini. Ciri-ciri saling bergantungan yang bebas turut memberi
impak kepada kuasa ‘legitimate’ yang kukuh dari segi undang-undang. Oleh
yang demikian, sekali lagi saya menegaskan bahawa doktrin pengasingan kuasa di
Malaysia patut diteruskan bagi melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang
cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa kini dan selamanya.
RUJUKAN
Azmah
Abd Manaf. (1994). Modul Sejarah Politik Malaysia Moden. Pulau Pinang : Pusat
Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains
Malaysia.
Leeza,
D. ( 2008). Pengajian Am Kertas 1 STPM.
Selangor : SAP Publications (M) Sdn. Bhd.
Ramanthan,
K. (1992). Konsep Asas Politik. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ranjit Singh Malhi. (2000).
Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia.
Kuala Lumpur: Federal
Publications.
Raminah
Hj. Sabran, et al.(2010). Teks STPM
Pengajian Am Kertas 1 & 2. (Edisi Ke-2.) Selangor : Oxford Fajar Sdn.
Bhd.
Ruslan Zainuddin. (2004). Sejarah Malaysia. (Edisi ke-2). Shah
Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Syed
Ahmad Hussein (1994). Pengantar Sains
politik. Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fungsi Media Massa di Malaysia
Dalam proses pembangunan negara
Malaysia yang kian pesat, keperluan masyarakat kita turut bertambah kompleks
khususnya yang berkaitan dengan komunikasi massa. Setiap lapisan masyarakat
perlu membentuk perhubungan dengan orang lain maka dengan ini keperluan
komunikasi mereka juga turut meningkat. Fungsi media massa bagi masyarakat kita
sangat sinonim dengan proses kemajuan negara. Keadaan ini memperlihatkan fungsi
komunikasi massa disifatkan sebagai pemerhati, pentafsir, penghubung dan
penghibur adalah tepat. Keempat-empat fungsi media massa ini berupaya memenuhi
pelbagai keperluan komunikasi massa masyarakat kita pada masa kini. Walau
bagaimanapun, terdapat pandangan lain yang mengatakan di ‘peringkat makro’
iaitu pada tahap masyarakat keseluruhannya fungsi media massa mempunyai
tujuan-tujuan berikut:
(i) membujuk
(ii) menghibur
(iii) penghubung
(iv) mentranmisi nilai
(v) menginterprestasi
(vi) pengawasan
(vii) mempengaruhi tindakan yang kolektif
(Sumber : Modul OUM : Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi (Bab 9)
Kupasan
selanjutnya akan tertumpu kepada fungsi media massa yang saling mempengaruhi antara satu sama
lain. Secara praktiknya, kesemua fungsi media massa yang akan dibincangkan
adalah saling berkait rapat dengan kehidupan kita sehari-hari, di mana sebagai
pengguna media kita tidak lepas daripada dipengaruhinya dan kita juga turut
mempengaruhi media massa.
Pemerhati
Fungsi media massa sebagai
‘pemerhati’ dapat didefinisikan sebagai pemerhati yang mengawasi (surveillance) akan sebarang peristiwa
yang berlaku di sekitar masyarakat. Terdapat dua jenis pemerhatian yang
berkaitan, iaitu fungsi pengawasan memberi amaran (warning) dan pegawasan instrumental. Pengawasan berbentuk amaran
digunakan untuk mengingatkan khalayak (masyarakat) akan sesuatu kejadian atau
malapetaka yang bakal berlaku. Antara kejadian yang sebegini adalah seperti
bencana alam iaitu banjir, gempa bumi, tsunami, pemanasan global, kemerosotan
ekonomi, inflasi, kenaikan harga barang, peperangan dan wabak penyakit. Laporan
yang berkaitan dikatakan sebagai berita
dan maklumat yang sangat penting.
Peringatan berbentuk amaran (warning) ini akan memberi ruang agar
masyarakat besiap sedia menghadapi situasi ini jika berlaku. Dalam kes ini,
media massa seperti televisyen, radio dan surat khabar akan menyalurkan berita
untuk tatapan umum. Dengan ini, masyarakat akan bersedia bagi menghadapi setiap
kemungkinan yang akan berlaku.
Pengawasan berbentuk instrumental
pula lebih membantu masyarakat memperolehi maklumat seperti bursa saham, produk
baru, fesyen, resepi dan sebagainya. Peranan ini tidak bersifat amaran (not warning) sebaliknya berita-berita
yang berinformasi melalui penerbitan untuk menyalurkan maklumat di samping
menghiburkan. Fungsi ini boleh dimainkan oleh media massa seperti majalah.
Rajah 2 di bawah memaparkan fungsi pengawasan media massa dalam konteks
pemerhati yang bersifat amaran dan instrumental.
(i) memberi amaran
(ii) pengawasan instrumental
(Sumber: Modul OUM: Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi Bab 9)
Pentafsir
Fungsi media massa sebagai
‘pentafsir’ pula dapat didefinisikan sebagai menginterpretasi maklumat
berdasarkan fakta dan data tertentu berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di
sekeliling kita. Keadaan menginterpretasi maklumat berlaku apabila matlamat,
maksud dan kesignifikan sesuatu peristiwa ditafsir dalam bentuk rencana, forum,
analisis peristiwa dan penyuntingan dilakukan menurut kepentingan dan
keutamaannya.
Dalam konteks isu semasa seperti kegawatan
ekonomi negara baru-baru ini, pentafsiran fakta dan data yang berkaitan
sewajarnya diselami oleh masyarakat dengan baik. Pelbagai istilah teknikal yang
berkaitan seperti pedagang mata wang pesisir, kejatuhan ringgit dan spekulator
mata wang perlu dihuraikan melalui forum, kritikan, artikel dan sebagainya bagi membolehkan masyarakat
mengetahui isu-isu tersebut dengan baik. Sebagai contoh, forum perbincangan
ekonomi sebuah syarikat penyiaran tempatan, TV3 melalui program ‘The Exchange’ misalnya, dapat
memaparkan interpretasi, komen dan pendapat mengenai sesuatu pemberitaan
ekonomi supaya pembaca dapat memperolehi perspektif mendalam mengenai isu terbabit.
Fungsi ‘pentafsir’ ini dapat dilihat
dalam rencana yang menganalisis isu-isu semasa supaya khalayak dapat
memperolehi berbagai pandangan yang boleh dinilai sendiri oleh mereka secara
logik dan bernas.
Penghubung
Selain itu, fungsi media massa
sebagai ‘penghubung’ (linkage)
bertujuan menghubungkan masyarakat sama ada individu dengan individu, masyarakat
dengan masyarakat, peristiwa dengan masyarakat, persekitaran dengan masyarakat,
mahupun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa. Misalnya, dalam isu
pengiklanan media massa cuba menggabungkan keperluan pengguna (pembeli) dengan
produk. Berkaitan dengan pilihanraya, para pengundi akan mengumpul maklumat
berkenaan dengan wakil rakyat mereka melalui surat khabar, televisyen, radio,
dan laman web. Melalui contoh-contoh di atas, jelas memperlihatkan fungsi
menyamaikan mesej kepada khalayak merupakan peranan penting yang dilakukan oleh
media massa.
Dalam konteks masa kini, peranan
pelbagai media massa seperti internet dengan laman web tertentu berupaya
menghubungkan antara dua atau ramai individu atau membentuk komuniti maya.
Kemudahan yang disediakan seperti laman web ini dapat menghubungkan pelbagai
komuniti untuk berkongsi pendapat dan pengalaman hidup mereka dengan orang lain
yang setara permasalahannya.
Dari sudut sosialisasi dan nilai moral, fungsi media massa sebagai
‘penghubung’ merujuk kepada jalinan hubungan antara ahli masyarakat. Misalnya,
Program Jejak Kasih (TV3), Tukar Suka-Sama-Suka, Dari Hati Ke Hati (Radio
RIMA), dan Pilihan Bersama (FM Stereo) dapat menjalinkan hubungan antara
masyarakat yang berlainan latar belakang, agama, bangsa dan budaya. Keadaan ini
dapat merapatkan perpaduan kaum di negara ini dalam jangka masa yang panjang.
Penghibur
Manakala, fungsi media massa sebagai
‘penghibur’ adalah untuk menghibur (entertainment).
Pada hemat saya, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah lebih dominan
tugasnya berbanding dengan fungsi lainnya di samping menjadi ‘trendy’ bagi
kebanyakan media massa di Malaysia. Konsep penghibur disalurkan oleh media
massa sebagai pelengkap kepada persoalan-persoalan lain untuk menarik minat
terus para khalayak.
Jika diteliti secara khusus, fungsi
media massa sebagai ‘penghibur’ ini banyak menyajikan aspek kehidupan yang
berkaitan dengan hiburan. Misalnya, pelancaran album baru, fesyen terkini,
konsert artis popular, filem terbaik dan sebagainya. Di samping itu,
diketengahkan juga acara anugerah dan tamasya
di peringkat antarabangsa seperti ‘The
Academy Awards’ bagi memaparkan isu hiburan seluruh dunia.
Pakej untuk memberi hiburan kepada
audien jelas merupakan intipati utama kebanyakan media massa bercorak ini.
Hiburan yang disalurkan dan dipaparkan oleh pihak media dimanfaatkan sepenuhnya
oleh khalayak bagi memecahkan kesunyian, menghidupkan suasana harmoni, ceria
dan sebagainya. Daripada huraian di atas, jelaslah fungsi pemerhati dan
pentafsir banyak digunakan atau lebih dominan fungsinya dalam laporan surat
khabar Utusan Malaysia dan New Straits Times yang dikaji.
Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan
bahawa fungsi media massa di negara ini adalah bersifat pemerhati, pentafsir,
penghubung dan penghibur ada mempunyai kebenarannya. Peranan media massa ini
secara langsung banyak mempengaruhi cara
hidup masyarakat kita sehari-hari. Bagi menentukan fungsional dan dysfungsional
media massa yang berkaitan dengan pengaruh baik dan buruk media massa,
masyarakat kita perlu bijak dan rasional bagi menapis segala isi kandungannya.
Secara jelasnya, alaf baru kini memperlihatkan kesan media massa yang serius
dalam masyarakat kita di Malaysia.
Komunikasi Massa
Komunikasi massa
merupakan perkara yang sangat penting di dalam perhubungan manusia. Komunikasi
massa adalah satu proses penyebaran maklumat dan hiburan kepada manusia
sejagat. Dalam proses penyampaian maklumat dan hiburan ini, komunikasi berlaku di antara pihak-pihak tertentu dan
saling mempengaruhi antara satu sama lain. Proses penyaluran maklumat
melalui komunikasi massa merupakan satu
proses yang sangat kompleks di mana melibatkan peranan aktor seperti institusi media, pengamal media, pengiklan
dan khalayak dari pelbagai latar belakang. Perantara media massa seperti buku,
filem, televisyen, radio, surat khabar dan media atas talian membolehkan
masyarakat memperolehi banyak maklumat tanpa mengira batas waktu dan ruang. Hal
ini menyebabkan media massa berupaya mempengaruhi kehidupan manusia dewasa kini
dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, dan sosial.
Wednesday, 24 April 2013
Sejarah STPM-Piagam Madinah
Piagam Madinah merupakan
piagam bertulis yang pertama di Dunia. Berikan huraian berhubung dengan
kandungan dan kepentingan Piagam tersebut.
Pengenalan :
- Pada
masa ketibaan Rasullah s.a.w di Madinah terdapat dua golongan penduduk
terbesar, iaitu orang Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam, terdiri dari suku
kaum Aus dan Khzaraj digelar sebagai Ansar ( Golongan Penolong ) dan orang
Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar Muhajirin (
golongan Pendatang ). Orang-orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada
beberapa kumpulan. Antaranya ialah bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir.
- Orang-orang
Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama
mereka sejak zaman berzaman lagi. Orang Muhajirin pula terlalu miskin
kerana mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Orang-orang Yahudi
sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan mengkhianati
Rasullah s.a.w dan pengikutnya. Orang-orang Munafik perlu menjadi musuh
dalam selimut. Disamping itu pula orang-orang Musyrikin Quraisy di Makkah
sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan
orang-orang Islam.
- Untuk
mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Rasullah s.a.w membuat perjanjian
dengan seluruh Penduduk di Madinah dan menulis satu paiagam negara
Islam pertama yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.
Isi :
Huraian mengenai Piagam
Madinah :
- Piagam
Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini,
kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhammad s.a.w untuk
diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah.
- Piagam
ini merupakan satu
undang-undang tertinggi di
Madinah, selain itu Al-Quraan, yang telah menjadi tatacara pemerintahan di
negara kota itu.
- Ia
berlainan dengan The Constitution of Athens yang hanya merupakan sejarah evolusi
amalan perlembagaan di negara itu.
- Piagam
Madinah tidak seperti dokumen Shuking oleh Confucious yang merupakan buku
teks untuk kanak-kanak raja.
- Ia
juga bukan seperti dokumen Artha Sastera yang dianggap sebagai peraturan
pemerintahan pada zaman Chandra Gupta Mauriya, yang hanya menjadi buku
teks pembelajaran untuk anak-anak raja waktu itu;
Beberapa aspek utama
piagam Madinah ialah:
- Pengakuan
terhadap Rasullah
s.a.w sebagai Ketua Negara madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa -apa
masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah
dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimana pun, semua
ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri secara
yang difikirkan berpatutan.
- Semua
penduduk Madinah hendaklah hidup
sebagai satu Ummah yang
tidak terpengaruh dengan apa – apa elimen yang tidak baik dari luar.
- Semua
penduduk hendaklah bersatu-pada, berkerjasama, dan bertanggungjawab
mempertahankan negara dari
apa -apa serangan musuh.
- Wahyu sebagai sumber piagam termasuk tradisi .
- Semua
penduduk diberi kebebasan
mengamalkan agama masing
– masing, dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal keagamaan.
- Keselamatan semua penduduk
adalah terjamin selama mereka mematuhi perlembagaan tersebut.
Kepentingan Piagam
Madinah kerana ia mempunyai beberapa peruntukan berhubung dengan
perkara-perkara berikut:
- Penerimaan
Rasullah s.a.w sebaagi Ketua Negara Madinah telah menaikkan
kedudukan baginda sebagai pemimpin di
dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa.
Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan untuk
menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa.
- Pengekalan struktur kekeluargaan
masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut
hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai autority terhadap
kaumnya dan Rasullah s.a.w adalah sebagai Ketua hakim yang akan memutuskan
hukumaan terhadap kesalahan -kesalahan di luar bidang kuasa ketua -ketua
kaum berkenaan.
- Orang-orang
Islam diwajibkan
hidup bermasyarakat sesama
mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan
ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam.
- Piagam
Madinah telah menyatukan
dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini.
- Memberi kebebasan menjalankan
kegiatan ekonomi kepada
semua penduduk. Peraturan ini dibuat untuk mengelak pemboikotan ekonomi
oleh orang-orang Yahudi ke atas umat Islam seperti yang dilakukan oleh
kaum Quraisy Makkah sebelum hijrah Rasullah s.a.w ke Madinah.
- Kebebasan
dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat
pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan
penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islams ecara
beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan
persekitarannya.
- Semua
penduduk Madinah bertanggungjawab
memelihara keamanan dan keselamatan negara.
- Dengan
peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh
membuat sebarang pakatan dengan
orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari
ancaman luar bersama-sama dengan orang Islam.
- Memberikan kebebasan beragama dan tidak boleh menganggu penganut-penganut agama lain.
- Dengan
kebebasan beragama ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam.
Ini memberi
peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang
Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan disiplin. Ini semua telah
menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.
- Melalui
piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan
Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad
s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang
sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolah oleh orang-orang
Yahudi.
- Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana
pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakan tegas dan
dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah
dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan ke atas
Bani Qainuqa’ yang berkomplot dengan orang Arab Quraaisy Mekkah dalam
Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka
dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud
dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan
berkerjamasa dengan Quraisy Makkah dalam Perang Khandak.
Kesimpulan :
- Piagam
Madinah bersifat perkembangan sebenar berbanding dengan tatacara
pemerintahan kerajaan purba Greek, China dan India.
- Piagam
Madinah merupakan piagam bertulis pertama di dunia.
- Dengan
tergubalnya Piagam Madinah, lahirnya sebuah negara Islam pertama di dunia
di Madinah, yang menjadi induk kepada Empayar Islam selepasnya, yang
memerintah dunia selama tujuh abad.
- Piagam
Madinah boleh dijadikan asas kepada mana-mana piagam Islam yang baru,
terutama sekali kepada sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk berbilang
bangsa.
Subscribe to:
Posts (Atom)








