Translate

Sunday 28 April 2013

Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia


Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia
Maran Ramping

PENGENALAN
Malaysia  adalah antara puluhan negara yang mengamalkan konsep feudalisme yang lahirnya daripada sifatnya sebagai Negara Persekutuan (federation). Sejak negara merdeka tahun 1957, konsep federalisme yang mendokong idea penggabungan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah mencetuskan idealisme kewujudan Kerajaan Pusat (central government) dan Kerajaan Negeri (state government). Namun, perpisahan Singapura pada 1965 dan penarikan Negara Brunei Darul Salam dalam Persekutuan Malayia pada 16 September 1963 bukan menjadi pokok perbincangan dalam tugasan ini, khususnya bagi membincangkan aspek Doktrin Pengasingan Kuasa di negara ini.

Perkara yang menjadi keunikan Malaysia adalah lahirnya sebuah negara persekutuan. ‘Persekutuan’, bermaksud persatuan yang mempunyai sebuah kerajaan pusat (central government) serta beberapa buah kerajaan negeri. Hal ini bermakna persekutuan mengamalkan konsep federalisme yang unggul berkaitan dengan penyelesaian konflik di dalam negara. Menurut Azmah Abdul Manaf (1994), sesebuah negara persekutuan seperti Malaysia mempunyai hak dan kuasa yang diagihkan kepada kerajaan tempatan (negeri) manakala sebahagian lagi diagihkan kepada institusi Persekutuan.

Selain itu, K. Ramanathan (1988), juga mentakrifkan konsep federalisme yang akhirnya melahirkan doktrin pengasingan kuasa di Malaysia sebagai;

‘Suatu bentuk pemerintah di mana terdapat sebuah kerajaan pusat yang mewakili wilayah-wilayah yang lain. Ia bertindak mewakili wilayah-wilayah tersebut dalam hal ehwal luar negeri. Tetapi, negeri-negeri atau wilayah-wilayah yang lain mempunyai dartjah yang sama dan bebas. Dengan adanya kuasa politik ini, ia membolehkan semua wilayah ini berkongsi dalam membuat keputusan’

Menurut beliau lagi, dalam bukunya Konsep Asas Politik telah menggariskan beberapa ciri politik federalisme (persekutuan) yang seharusnya ada bagi sesebuah negara federal seperti Malaysia.
(i)                 Terdapat pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan wilayah-wilayah lain.
(ii)               Pemisahan kerajaan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dari segi institusi politik
              seperti badan perundangan (legislative), kehakiman (judiciary), dan eksekutif (executive).
(iii)             Mempunyai perlembagaan (undang-undang) bertulis yang dipersetujui bersama.
(iv)             Mempunyai perlembagaan yang jelas.
(v)               Mempunyai badan kehakiman yang bebas untuk menjamin keadilan.

Jelas, ciri-ciri di atas  memperlihatkan  satu perkongsian kuasa yang ideal dalam sesebuah Negara Persekutuan seperti Malaysia. Tanpa ciri-ciri di atas, kewujudan sesebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme  mungkin dapat dipersoalkan (Azmah Abdul Manaf, 1994).

Selaras dengan Malaysia sebagai negara yang berdaulat dan merdeka juga, sudah tentu ianya mempunyai ciri-ciri politik yang kuat dan jitu.  Menurut Raminah Hj Sabran et al (2010), Malaysia mempunyai sempadan politik yang jelas, penduduk,  sistem kerajaan telah menjadikan negara ini Negara Persekutuan yang unik.  Sistem kerajaan demokrasi berparlimen telah membentuk Perlembagaan Persekutuan yang mantap. Keadaan ini sekaligus telah mencorakkan Malaysia sebagai negara demokrasi yang unggul dan ternama di dunia kini. Selanjutnya, aspek yang dibincangkan dalam tugasan ini adalah berkisar akan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi platform dalam menangani pemusatan kuasa yang melampau di tangan sesetengan pihak atau pemimpin bagi melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal dan unggul.

KONSEP  DOKTRIN PENGASINGAN KUASA
Dalam konteks  Malaysia sebagai negara demokrasi, pengamalan doktrin pegasingan kuasa sangat penting dan berguna bagi mentadbir urus negara ke landasan yang betul dan berjaya. Konsep doktrin pengasingan kuasa ini merupakan idea yang dikemukakan seorang pemikir barat iaitu John Locke dan dikembangkan oleh Montenquieu, seorang ahli falsafah terkemuka Perancis pada abad ke-18 (dalam Syed Ahmad Hussein, 1994) yang mengutarakan pembahagian kuasa kepada tiga badan bebas iaitu badan perundangan (legislative), kehakiman (judiciary), dan eksekutif (executive). Ketiga-tiaga badan ini di Malaysia menjalankan bidang kuasa masing-masing dan tidak menjalankan kuasa badan-badan lain.


Perundangan (legislative)
Kehakiman
(judiciary)
Eksekutif
(executive)

Menggubal undang-undang
Mengadili serta menegakkan undang-undang
Menguatkuasa dan melaksana undang-undang serta dasar-dasar awam




Jadual 1 : Konsep Pengasingan Kuasa
Sumber : Lezza (2008). Pengajian Am Kertas 1 STPM. Kuala Lumpur : Penerbit SAP.

Tujuan utama konsep pengasingan kuasa ini adalah untuk mengelakkan pemusatan kuasa dalam tangan satu pihak di mana berkemungkinan pihak terbabit akan terlibat dengan penyalahgunaan kuasa. Secara praktisnya, kuasa ditakrifkan sebagai kebolehan untuk mempengaruhi tingkah laku orang lain mengikut naluri atau kehendak seseorang. Kuasa juga boleh  didefinisikan sebagai kebolehan seseorang memaksa orang atau negara lain untuk berbuat sesuatu melalui pujukan, pemberian, janji atau paksaan walaupun mereka enggan berbuat demikian.
Dalam disiplin politik, kuasa merupakan alat untuk mencapai sesuatu matlamat atau kehendak seseorang; menyelesaikan sesuatu masalah atau untuk mendapat sokongan daripada rakyat atau negara-negara lain atau untuk melaksanakan sesuatu dasar atau untuk mencapai kepentingan sesebuah negara (Azmah Abdul Manaf, 1994). Dari sudut pandangan yang lain, kuasa yang bertindih bakal mengeruhkan keadaan dan memberi kesan ke atas pentadbiran sesebuah negara. Justeru itu, doktrin pengasingan kuasa ini dalam konteks perundangan, pentadbiran dan kehakiman wajar diberi perhatian serius dan penting  bagi mengelakkan pemusatan kuasa berlaku dalam sesebuah negara.

AMALAN DOKTRIN PENGASINGAN KUASA DI MALAYSIA
Doktrin pengasingan kuasa di Malaysia berbeza dengan doktrin asal kerana menekankan kuasa secara relatif  (kebergantungan) antara ketiga-tiga badan bebas ini. Situasi ini memberi ruang dan peluang supaya badan-badan ini bergerak bebas di samping mempunyai peranan tersendiri. Dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia, Perlembagaan Persekutuan telah mengasingkan tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara, iaitu badan perundangan (legislative), badan pentadbiran (executive) dan badan kehakiman (judiciary). Menurut Ranjit Singh Malhi (2000), idea terpenting mengenai pengasingan kuasa ialah orang yang sama tidak harus bertanggungjawab bagi membuat undang-undang, menguatkuasakannya dan menghukum orang-orang yang melanggarnya. Ini bermakna doktrin tersebut melibatkan pembahagian kuasa pemerintahan yang jelas antara badan-badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tanpa sebarang pertindihan. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan Ketua Negara yang berkuasa dalam ketiga-tiga badan tersebut.

    (a) Legislatif
    (b) Judisiary
    (c) Eksekutif
                    ( Doktrin Pengasingan Kuasa Di Malaysia)

Doktrin ini juga menjelaskan bahawa badan yang membuat undang-undang hanya dibenarkan membuat dan tidak boleh menyerahkan kuasa itu kepada badan-badan lain serta tidak boleh mempunyai kuasa-kuasa lain. Badan yang memerintah hanya dibenar menjalankan pemerintahan negara dan tidak boleh membuat undang-undang dan menjalankan kuasa kehakiman. Begitu juga dengan badan kehakiman yang hanya dibenarkan melaksana kuasa kehakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa pemerintahan. Matlamat doktrin pengasingan kuasa ialah untuk mengelakkan pemusatan kuasa di dalam tangan mana-mana pihak.

Menurut Ruslan Zainuddin (2004), struktur pemerintahan di Malaysia mengandungi ketiga-tiga badan di dalam sistem pemerintahan iaitu badan perundangan, badan pentadbiran dan badan kehakiman. Kuasa tertinggi di atas ketiga-tiga badan itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong adalah sekaligus merupakan ketua kepada ketiga-tiga cabang kerajaan. Menurut Perlembagaan Malaysia, baginda bukan sahaja memegang kuasa eksekutif malahan juga kuasa perundangan. Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa memerintah Persekutuan dan Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan iaitu kuasa perundangan Persekutuan.

Dari segi perundangan, Bab 4, Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan  meletakkan ‘Kuasa Legislatif Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang mengandungi Yang di-pertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.’ Dalam hal ini, fungsi dua dewan dan Yang di-pertuan Agong yang sifat anggotanya adalah berlainan orang adalah satu ciri yang menarik kerana ada pengasingan kuasa dan kawalan dalam meluluskan satu-satu undang-undang itu  mengikut Perkara 49 dan Perkara 66, Perlembagaan Malaysia.  Pentadbiran perundangan di peringkat persekutuan lazimnya diletakkan di bahu Perdana Menteri,  ahli-ahli kabinet serta ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam proses penggubalan undang-undang. Manakala, di peringkat kerajaan negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri menjalankan tugas pentadbirannya. Ini merupakan satu lagi contoh doktrin pengasingan kuasa dalam aspek perundangan di Malaysia.

 
Badan Perundangan 
(a) Persekutuan  (Parlimen - Dewan Rakyat dan Negara)
(b) Negeri (Dewan Undangan Negeri
                                                                  (Badan Perundangan (Legislative))

Dalam Perlembagaan Persekutuan Bab 3, Perkara 39 ada memetik ‘Kuasa pentadbiran (executive) bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tapi Parlimen  boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintahan kepada orang-orang lain’.  Dalam hal ini, kuasa eksekutif kini boleh dijalankan oleh jemaah Menteri atau Menteri Kabinet yang dilantik.  Tapi pada setiap ketika mereka melaksanakan kuasa itu mereka melaksanakan atas nama ‘Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’. Di peringkat persekutuan, kuasa tertinggi bagi ketiga-tiga badan terletak pada Yang di-Pertuan Agong manakala di peringkat negeri pula pada Sultan (Raja) atau Yang di-Pertuan Negeri sebagai pemilik kuasa eksekutif tertinggi.

Badan Eksekutif
(a) Persekutuan (Kabinet)
(b) Negeri (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri)


( Badan Pentadbiran (Executive))

Bagi bidang kehakiman pula, doktrin pengasingan kuasa meletakkan badan kehakiman ada kebebasan dari campur tangan.  Kebebasan kehakiman tentang jawatan dan pendapatan adalah terjamin mengikut perlembagaan, walaupun pada dasarnya hakim-hakim Mahkamah Tertinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Jaminan ini ada diperuntukkan dalam Perkara 125 dan Perkara 127. Dari segi perlembagaan, doktrin pengasingan kuasa bidang kehakiman ini menuntut supaya  Peguam Negara mempunyai kebebasan dalam bidang kehakiman serta hal-hal perundangan.

Dalam hal ini kuasa telah diberi oleh Parlimen Malaysia. Bagi pentadbiran kehakiman di peringkat persekutuan para jemaah menteri atau menteri-menteri perlu mendapat nasihat Peguam Negara dalam soal-soal undang-undang negara. Bagi melaksanakan peranannya, badan kehakiman terdiri daripada badan mahkamah atasan, rendah, khas dan tribunal dan badan pengadilan lain (Raminah Hj Sabran, et al. 2010).

KEBAIKAN  DOKTRIN PENGASINGAN KUASA
Doktrin pengasingan kuasa di Malaysia mempunyai kekuatan dan nilai tambahnya (add values) tersendiri terutama yang berkaitan dengan pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Memang tidak dinafikan lagi bahawa sistem ini mempunyai kebaiknya. Dalam sistem Kerajaan Persekutuan, wujud pembahagian kuasa yang jelas. Sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan berkuasa membuat undang-undang melalui Parlimen manakala Kerajaan Negeri pula berkuasa membuat undang-undang melalui Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Menurut Raminah Hj Sabran et al, (2010), pembahagian kuasa yang terdapat di Malaysia dalam Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Maksudnya di sini, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab ke atas perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan, Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas perkara dalam Senarai Negeri, dan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bertanggungjawab ke atas perkara-perkara dalam Senarai Bersama. Keadaan ini dapat mengelakkan pertindihan dan pemusatan kuasa bagi kedua-dua kerajaan tersebut.

Selain itu, Konsep Organisasi dan Struktur di Malaysia turut memberi kebaikan kepada negara. Unit ini dikatakan sebagai badan sosial bagi membentuk dan mencapai tujuan yang dipersetujui bersama melalui pembahagian tugas yang telah ditetapkan. Tujuan utama organisasi pentadbiran kerajaan ini untuk;
(i)                 Mencapai objektif kerajaan yang ditetapkan;
(ii)               Membahagikan tugas-tugas kerajaan agar dilaksanakan dengan cekap dan berkesan;
(iii)             Menguruangkan pertindihan kerja dalam penyelarasan pentadbiran; dan
(iv)     Mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memudahkan kawalan badan eksekutif dengan      menetapkan bidang kuasa dan tanggungjawab unit-unit pentadbiran.

Sumber : Raminah Hj. Sabran et al, (2010). Teks STPM Pengajian Am Kertas 1 & 2.  (Edisi ke-2).
               Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Struktur Kerajaan Malaysia turut bersifat birokratik di mana merangkumi fungsi, kuasa, penyelarasan, perhubungan kawalan dan tanggungjawab. Selaras dengan kepentingan sifat birokratik ini dalam doktrin pengasingan kuasa ini maka pembahagian dan pengkhususan kerja turut ditekankan. Wujudnya juga hierarki, yakni lapisan kuasa bertingkat-tingkat, peraturan, prosedur rasmi, penyelenggaraan fail serta rekod, dan perlantikan kakitangan awam bagi mendominasi perkhidmatan yang baik dan berkesan. Justeru itu, doktrin pengasingan kuasa di Malaysia hari ini sememangnya wajar dan baik bagi mengelakkan pertindihan serta pemusatan kuasa pada sesetengah pihak atau pemimpin. Keadaan ini sekaligus menjadikan sistem Kerajaan Malaysia antara yang terbaik di dunia dan menjadi pujian dan contoh bagi kebanyakan negara.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa doktrin pengasingan kuasa ini wajar dan sesuai diamalkan dalam sistem pemerintahan negara Malaysia masa kini. Sebagai negara Demokrasi Berparlimen, konsep pengasingan kuasa yang berteraskan pembahagian kuasa kepada tiga komponen iaitu perundangan, pentadbiran dan kehakiman bagi mengelakkan pemusatan kuasa di tangan sesetengah pihak atau pemimpin. Sifat relatif (kebergantungan) dan unsur penyesuaian yang fleksibel bagi ketiga-tiga unsur ini dalam pentadbiran negara juga dilihat sebagai kekuatan yang luar biasa dalam politik negara ini. Ciri-ciri saling bergantungan yang bebas turut memberi impak kepada kuasa legitimate’ yang kukuh dari segi undang-undang. Oleh yang demikian, sekali lagi saya menegaskan bahawa doktrin pengasingan kuasa di Malaysia patut diteruskan bagi melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa kini dan selamanya.


RUJUKAN

Azmah Abd Manaf. (1994).  Modul Sejarah Politik Malaysia Moden. Pulau Pinang : Pusat
 Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia.

Leeza, D. ( 2008). Pengajian Am Kertas 1 STPM. Selangor : SAP Publications (M) Sdn. Bhd.

Ramanthan, K. (1992). Konsep Asas Politik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ranjit Singh Malhi. (2000). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur: Federal
             Publications.

Raminah Hj. Sabran, et al.(2010). Teks STPM Pengajian Am Kertas 1 & 2.  (Edisi Ke-2.) Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Ruslan Zainuddin. (2004). Sejarah Malaysia. (Edisi ke-2). Shah Alam: Penerbit Fajar   Bakti Sdn.
            Bhd.

Syed Ahmad Hussein (1994). Pengantar Sains politik. Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka.



2 comments: