Translate

Sunday 14 July 2013

Sistem Beraja dan Pembesar di Rusia

Sistem pemerintah Rusia telah mengamalkan Sistem Pemerintahan Beraja  bermula tahun 1547 sehingga tahun 1917. Sistem pemerintahan Rusia adalah diwarisi daripada sistem pemerintahan empayar Byzantine selepas berlakunya perkahwinan Ivan III dengan cucu maharaja Byzantine yang terakhir iaitu Sophia pada tahun 1469. Sistem pemerintahan di Rusia menggunakan konsep caesaropapism iaitu konsep gabungan unsur keagamaan dan politik yang mengkehendaki rakyat taat setia kepada pemeriantah Rusia.

Gelaran raja/maharaja Rusia dikenali sebagai Tsar sempena gelaran Caesar yang diguna pakai oleh pemerintah empayar Byzantine. Ivan IV merupakan raja pertama yang menggunakan gelaran Tsar dan penggunaannya berakhir dengan Dinasti Ramanov pada tahun 1917. Pada abad ke 16 hingga abad ke-20, pemerintahan beraja di Rusia di bawah Dinasti Romanov iaitu bermula dengan Michael Ramanov (1613-1645), Peter The Great (1682-1725), Catherine I (1725-1727), Tzar Alexander I (1801-1825), Tzar Nicholas I (1825-1855), Tzar Alexander II (1855-1881), dan Tzar Nicholas II (1894-1917).

Sistem beraja di Rusia di bawah Dinasti Ramanov  selama 304 tahun berakhir semasa pemerintahan Tsar Nikolai II apabila berlaku Revolusi Russia 1917 dan digantikan dengan sebuah parti campuran yang mengaku dirinya sebagai Kerajaan Sementara. Pemerintahan Kerajaan Sementara di bawah Putera Lyvov dan Alexander Kerensky sehingga 25 Oktober 1917. Akhirnya pemerintahan Rusia diambil alih oleh Vlanimir Ilyich Lenin melalui Revolusi Bolshevik.
Kedudukan Raja Rusia

1. Kedudukan Tertinggi

Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur masyarakat. Rakyat perlu taat dan memandang mulia kepada Tsar. Tsar merupakan ketua dalam setiap bidang pemerintahan di Rusia. Tsar berkuasa membuat segala keputusan yang akan dilaksanakan di Rusia dan segala perintah Tsar rakyat tidak boleh membantah.

2.Berkuasa mutlak

Sebelum Revolusi Rusia 1917, Rusia mempratikkan pemerintahan bercorak autokratik. Pada tahun 1547, Ivan IV yang lebih dikenali sebagai ”Ivan yang ganas” telah memerintah Rusia dengan menggunakan kuasa mutlak. Beliau telah bertindak mengisytiharkan kanun undang-undang baharu pada tahun 1550, menubuhkan badan perwakilan feudal (Zemskii Sabor) pertama di Rusia dan berjaya melemahkan kedudukan orang Tartar di Rusia dengan menguasai Kazan (1552) dan Astrakhan (1556). Begitu juga dengan pemerintahan Tsar IV Nikolai II  (1894-1917) mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan keputusan pentadbiran serta hal-ehwal kerajaan.

3. Hak Istimewa

Maharaja Rusia seperti maharaja lain di dunia mempunyai hak istimewa dalam masyarakat seperti kekebalan dari segi undang-undang dan diberi pelbagai kemudahan istimewa. Segala kata Tsar akan dirujuk dan dianggap sebagai undang-undang.


Peranan Maharaja Russia dalam pemerintahan

1. Ketua Negara

Maharaja Rusia berperanan sebagai ketua negara atau ketua kerajaan yang berkuasa mutlak dalam pentadbiran. Baginda berkuasa dalam bidang politik, ekonomi dan sosial seperti mana zaman pemerintahan Tzar Nicholas II.

2. Dasar Luar

Tsar Rusia berkuasa dalam menentukan hubungan luar negeri/hubungan diplomatik. Maharaja Rusia telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Eropah Barat termasuk Jerman untuk melatih ketenteraan Rusia. Tsar Alexander I (1801-1825) telah menandatangani satu perjanjian dengan Napoleon pada tahun 1807 iaitu Rusia bebas menjalankan dasar menakluki Turki dan berjaya merampas wilayah Bessarabia pada tahun 1812.

3. Melantik Menteri

Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar juga mempunyai kuasa melantik menteri bagi mengukuhkan kedudukannya. Selain itu baginda juga berkuasa untuk memecat menteri yang dianggap menentangnya dalam pemerintahan. Contohnya semasa pemerintahan Tsar Nicholas II. Tsar akan memilih dan melantik menterinya yang benar-benar boleh dipercayai dan mampu mentadbir kerajaan. Menteri diibarat sebagai tulang belakang atau penyokong kuat kerajaan. Kuat atau lemah seseorang Tsar itu bergantung kepada golongan menteri ini.

4. Bertanggungjawab menjaga keamanan

Pemerintahan Rusia bertanggungjawab untuk memulih, menjaga keamanan dan keselamatan seluruh negara Rusia daripada ancaman musuh. Pemerintah Michael Ramanov telah berjaya mempertahankan Rusia daripada pencerobohan asing dengan menjadikan beberapa buah bandar yang berkubu di selatan untuk menentang Tartar dan Turki.

5. Mengetuai ketenteraan

Dasar perluasan wilayah juga mendorong pemerintah Rusia mengawal ketenteraan. Oleh sebab Rusia sering terancam telah menyebabkan pemerintah Rusia memperkuatkan tenteranya seperti mana yang dilakukan oleh Peter The Great. Peter teleh menambah peruntukan ketenteraan sebanyak 2.3 juta rouble pada tahun 1701 kepada 32 juta rouble pada tahun 1710. Peter juga memastikan peruntukkan perbelanjaan pusat memberi keutamaan kepada pertahanan negara Rusia.

Begitu juga dengan pemerintah Yekaterina Agung (1762-1796) yang meluaskan kuasanya ke Poland-Lithuana dan di selatan memerangi wilayah empayar Uthmaniyyah. Alexander II (1855-1881) yang telah memodenkan tentera Rusia berjaya membebaskan Bulgaria daripada pemerintahan Uthmaniyyah dalam Perang Rusia-Turki (1877-1898).

6. Mengetuai bidang ekonomi

Pemerintah Rusia juga bertanggungjawab memajukan ekonomi supaya negara bertambah kukuh dan stabil. Kesungguhan pemerintah Rusia dalam memajukan ekonomi dapat dilihat semasa pemerintahan Peter The Great, Tzar Alexander II dan Tzar Nicholas II. Semasa Peter The Great, beliau telah menggalakkan pembangunan industri perkilangan membuat senjata, peralatan tentera, pembuatan makanan, sektor pembuatan seperti tekstil, kertas, kaca dan barangan kulit. Industri besi dan keluli juga dimajukan di Ural sehingga Rusia boleh muncul sebagai pembekal besi utama untuk pasaran Eropah pada abad ke-18.

Tzar Alexander II pula membangunkan sistem pengangkutan kereta api bagi memajukan lagi sektor industri di Rusia. Begitu juga pemerintah Tzar Nicholas II turut memberi tumpuan kepada kemajuan pengangkutan kereta api kerana ia menjadi kunci kepada pembangunan ekonomi Rusia.

7. Sebagai ketua agama Kristian

Pemerintah Rusia juga berperanan sebagai ketua agama dan bertanggungjawab memperkukuhkan serta menyuburkan ajaran agama Kristian Ortodoks. Pemerintah Rusia perlu memastikan rakyatnya sentiasa mematuhi pengamalan agama. Sebagai contoh pemerintah Peter The Great telah memberikan tawaran kemewahan dan kebendaan serta ada yang diugut yang mana tanah mereka akan dirampas jika tidak menukar agama. 
Bagi menjayakan hasratnya juga, beliau telah mengarahkan mubaligh Kristian mempelajari bahasa masyarakat tempatan, menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa tempatan dan menghantar mubaligh tinggal bersama keluarga yang menjadi sasaran pemerintah.


Kesimpulan

Kedudukan dan peranan Tsar di Rusia sememangnya tidak banyak bezanya dengan kedudukan dan peranan raja/maharaja di negara-negara lain di dunia ketika itu. Tetapi akhirnya kedudukan dan peranan Tsar tamat  setelah berlakunya Revolusi 1917 di Russia yang akhirnya Russia menjadi sebuah negara republik yang dipimpin oleh seorang Presiden.


SISTEM PEMBESAR DI RUSIA

Pendahuluan.

Golongan pembesar merupakan pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan. Tujuan pelantikan golongan pembesar untuk membantu raja atau maharaja dalam bidang pemerintahan yang merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Mengikut Kamus Dewan pula golongan pembesar bolehlah ditakrifkan sebagai orang yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.

Dalam sistem pemerintahan raja atau maharaja, kedudukan pembesar sangat penting dan berada di lapisan kedua selepas kedudukan raja atau maharaja. Institusi pemerintahan di Russia memperlihatkan raja atau maharaja melaksanakan pemerintahan dengan bantuan atau sokongan institusi pembesar.  Bagi memastikan golongan pembesar sentiasa taat setia kepada raja atau maharaja dan mengawasi tindak tanduk pembesar maka satu badan pemantau telah diwujudkan oleh raja atau maharaja.

Jika seseorang pembesar gagal melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan baik, raja atau maharaja mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatannya dan digantikan dengan pembesar lain yang lebih berwibawa dan dipercayai. Kuat atau lemah sesebuah kerajaan atau raja atau maharaja adalah bergantung kepada golongan pembesar yang  dipilih dan dilantik oleh raja atau maharaja. Sebab itulah golongan pembesar diibaratkan sebagai tulang belakang atau tiang kerajaan dalam sesebuah kerajaan.

Sistem pembesar yang diamalkan di negara Rusia boleh dibahagi kepada beberapa peringkat iaitu pembesar diperingkat pusat, pembesar peringkat daerah atau wilayah dan pembesar peringkat kampung. Bidang tugas mereka hampir sama tetapi kedudukan serta kuasa mereka yang membezakan di antara golongan pembesar.


Sistem Pembesar Di Rusia

Sistem pembesar di Rusia berbeza dengan negara China. Semasa era pemerintahan Moscow dan Dinasti Ramanov sistem pembesarnya terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat daerah dan peringkat kampung.

Pentabiran Di Peringkat Pusat.

Di peringkat pusat, sistem pemerintahan pembesar melalui Majlis Penasihat Tertinggi (Duma), Majlis Penasihat (Zemskii Sabor) dan jabatan kerajaan (Prikazi). Duma dianggotai oleh golongan bangsawan paling kanan dan bertanggungjawab menyelaras hal ehwal pemerintahan, mengubal dan meluluskan dasar kerajaan, dan sistem kehakiman. Walaubagaimanapun raja masih lagi berkuasa untuk membuat keputusannya.

Zemskii Sabor pula dianggotai oleh golongan bangsawan. Bilangan ahlinya antara 40-50 orang dan bidang kuasa mereka lebih rendah berbanding kuasa Duma. Prikazi pula merupakan jabatan kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal dan diluluskan oleh Duma.

Sistem pembesar di Rusia disusun dengan teliti akan tidak berlaku pertindihan peranan, lebih seragam dan lebih cekap. Oleh itu Duma dan Zemskii Sabor telah dibubarkan dan diganti dengan Majlis Senate pada tahun 1711 semasa pemerintahan Peter The Great. Majlis ini dianggotai oleh 9 ahli dengan dibantu oleh Colleges bagi meringankan beban tugas Senate yang semakin hari semakin banyak tugasnya.

Dalam bidang pemerintahan, institusi gereja Kristian Ortodoks juga mempunyai peranan penting dalam bidang keagamaan, ekonomi dan politik. Namum peranan mereka telah dikawal dengan ketat oleh raja Rusia supaya pembaharuan yang ingin dilaksanakan di Rusia dapat dilaksanakan. Raja Peter telah bertindak tidak melantik Patriarch yang baharu pad tahun 1700 malah telah menggantikannya dengan Holy Synod. Begitu juga di zaman Catherine, beliau telah memiliknegarakan harta dan kekayaan gereja. Hal ini telah membolehkan raja mengawal kuasa gereja kerana mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat.

Dalam pengubalan dasar luar, Jawatankuasa Tidak Rasmi atau Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini berperanan memberi nasihat kepada raja malah menyokong segala dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah terutama di zaman Alexander I. Beliau juga telah melakukan perubahan dalam pemilihan anggota Duma atau parlimen seperti pemilihan anggota melalui pilihanraya. Semasa pemerintahan Nicholas II, beliau menjadikan Duma sebagai Parlimen Rendah iaitu keanggotaannya dipilih melalui undian oleh rakyat dan bukan dipilih oleh Tsar. Oleh kerana keanggotaannya terdiri daripada pelbagai peringkat dan bangsa maka ini telah menyukarkan Duma untuk membuat keputusan. Akhirnya Duma pertama telah dibubarkan dan Duma Kedua telah ditubuhkan pada Mac 1907.

Diperingkat pusat juga ditubuhkan Dewan Perhimpunan Wilayah yang bertanggungjawab membantu Tsar dalam menguruskan pentadbiran negara Rusia. Keanggotaan terdiri daripada golongan bangsawan.

Polis Rahsia Khas (Okhrana) juga ditubuhkan di peringkat pusat untuk mengawal penyebaran unsur propaganda yang boleh menggugat pemerintahan Tsar, demontrasi rakyat, mengawal jalan keluar masuk ke Rusia, menjadi pengintip raja atau Tsar dan menangkap golongan pengkhianat kepada Tsar. Penubuhan pasukan ini telah mengukuhkan lagi pemerintahan Tsar terutama di zaman pemerintahan Nicholas I, Alexander II dan Nicholas II.



Pentabiran Di Peringkat Daerah.

Pentadbiran peringkat daerah juga amat penting dalam membantu pemerintahan Tsar di Rusia. Pentadbiran di peringkat daerah di ketuai oleh gabenor atau naib gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat seperti di zaman pemerintahan Catherine.

Di peringkat daerah juga diwujudkan Majlis Perundangan Tempatan atau Majlis Daerah (Zemstvo). Rakyat diberi kuasa untuk memilih ahli Majlis Daerah. Ahli Majlis Daerah pula akan memilih ahli Majlis Wilayah. Majlis ini berperanan menjaga jambatan, jalan raya, pendidikan, kesihatan awam dan pemilihan pegawai undang-undang.


Pentabiran Di Peringkat Kampung.

Pentadbiran peringkat kampung pula dijalankan oleh Majlis Kampung. Majlis ini juga dikenali sebagai mir atau Komun. Majlis ini berperanan untuk memunggut cukai yang telah ditetapkan oleh kerajaan, menentukan jenis tanaman yang ditanam oleh petani, mengagihkan tanah pertanian kepada petani, memilih di kalangan golongan petani untuk menjadi tentera apabila diperlukan oleh Tsar, mengawal kemasukan pengaruh luar yang boleh mengugat kerajaan pusat dan menjadi pengintip kerajaan daripada berlakunya penentangan.


No comments:

Post a Comment