Translate

Monday 16 September 2013

Kepentingan Rukun Negara dan Wawasan 2020

Proses pembangunan negara kita mengalami perubahan yang pesat sejak kebelakangan ini. Pelbagai dasar dan program sudah dirangka bagi memacu dan menjayakan pertumbuhan politik, ekonomi dan sosial negara supaya selari dengan perkembangan dunia masa kini. Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan moden, sektor pendidikan mempunyai kepentingannya yang amat luas kepada pembangunan negara. Peranan pendidikan dapat mengubah gaya dan corak masyarakat serta negara dalam konteks permodenan  dan perkembangan dunia masa kini. Tranformasi masyarakat berlaku daripada pertanian kepada masyarakat industri, daripada masyarakat berpengetahuan kepada masyarakat informasi maklumat sesuai dengan  perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dewasa kini. 
Persaingan di peringkat global telah menghasilkan satu gelombang baru dalam perencanaan dasar dan program negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan moden. Bertepatan dengan pembangunan pesat negara abad ini, aspek perpaduan kaum  tidak wajar diketepikan. Integrasi kaum perlu dipupuk melalui pendidikan dan persekolahan (Abd. Rahim 2005). Pendidikan harus memainkan peranan penting untuk mencapai Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju berdasarkan acuan sendiri.  Intipati kepada pertumbuhan pesat bagi mencapai halatuju pembangunan negara kita, kandungan dan kefahaman berhubung dengan prinsip-prinsip Rukun Negara dan Wawasan 2020 perlu dihayati setiap lapisan masyarakat di negara ini. Dengan demikian, kemajuan  negara dapat dicapai dan dikecapi dengan pantas oleh masyarakat kita. Pembangunan mapan yang berasaskan pengetahuan (knowledge), teknologi dan  pengurusan perlu digandingkan dengan perpaduan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan keturunan supaya Malaysia terus maju dan berdaya saing di peringkat global.
Kepentingan Rukun Negara
Penggubalan Rukun Negara pada tahun 1970 adalah bersandarkan kepada keperluan menimbulkan semangat dan identiti yang sama bagi semua rakyat Malaysia. Rukun Negara yang disifatkan sebagai ideologi kebangsaan difikirkan boleh mengeratkan perpaduan kaum memandangkan masyarakat akan mempunyai fikiran, perasaan dan nilai-nilai yang sama. Di antara prinsip-prinsip Rukun Negara ialah;
(i)            Kepercayaan kepada Tuhan;
(ii)          Kesetiaan kepada Raja dan Negara;
(iii)         Keluhuran Perlembagaan;
(iv)         Kedaulatan Undang-undang; dan
(v)          Ksopanan dan kesusilaan.
Sumber : Ranjit Singh Malhi, (1996)
Secara umumnya, kelima-lima prinsip ini bertujuan mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu serta sebuah masyarakat Malaysia yang adil, demokratik, liberal dan progresif, Berdasarkan prinsip yang pertama, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan di mana semua rakyat Malaysia harus mengakui bahawa Tuhan melebihi sebarang kuasa lain. Islam yang dipilih sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia telah menjadi rujukan dan panduan keseluruhan umat manusia. Walau bagaimana pun, agama-agama lain boleh dianuti oleh rakyat. Secara umumnya, seseorang yang patuh dan taat kepada ajaran agamanya mempunyai budi perkerti yang mulia serta sifat-sifat yang terpuji. Keteguhan imannya dan bersikap tolong menolong kepada orang yang susah tanpa mengira kaum. Berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa rakyat Malaysia mempunyai sikap rendah diri dan sentiasa bersyukur dan menghargai nikmat yang diberikan oleh Tuhan.
Prinsip kedua yang menekankan aspek Kesetiaan kepada Raja dan Negara meletakkan Yang diPertuan Agong adalah lambang perpaduan negara kita. Dalam konteks perhubungan rakyat dan Raja; rakyat harus mencurahkan taat setianya kepada Raja manakala Raja atau pemerintah harus menyediakan perlindungan kepada negara dan seluruh rakyat jelata. Hubungan timbal balas ini meletakkan asas kesetiaan tidak berbelah bahagi dalam kalangan rakyat lantas membentuk semangat kebangsaan yang boleh menyatupadukan rakyat semua. Sebagai contoh, jika seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara menghadapi kesusahan, maka kedutaan negara kita sebagai wakil Yang diPertuan Agong bertanggungjawab untuk membantunya (Siti Zuraina et.al., 1992). Peribahasa Melayu berbunyi, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia. Justeru, setiap rakyat Malaysia sewajarnya mengetahui asal-usul masing-masing supaya tidak lupa aan kedudukannya di mata pihak lain. Sikap rendah diri dan memahami akan kepentingan orang lain dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat kita.
Keluhuran Perlembagaan mengkehendaki setiap rakyat menghormati dan mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara. Oleh yang demikian, setiap warganegara Malaysia seharusnya patuh akan Perlembagaan supaya negara menjadi aman dan damai. Dalam konteks ini, tiada individu yang terkecuali daripada mematuhi Perlembagaan. Perlembagaan bertanggungjawab menjaga hak rakyat serta menjamin kemakmuran dan perpaduan negara. Sebagai contoh, seseorang tidak boleh mempersoalkan kesetiaan seseorang rakyat lain berdasarkan keturunan atau kaum. Pada hakikatnya, Perlembagaan menentukan bentuk pentadbiran serta melindungi hak asasi manusia secara keseluruhannya.
Prinsip Kedaulatan Undang-undang bertujuan menjamin keadilan dalam negara Malaysia. Husin Mohd Tap et.al.,(2007) menegaskan undang-undang dapat menjamin keadilan serta keamanan kerana setiap rakyat tertakluk pada perlaksanaan undang-undang. Dengan kata lain, semua rakyat adalah sama di sisi undang-undang. Sesiapa yang melanggar undang-undang negara akan dihukum tanpa mengira bangsa dan kaumnya. Di Malaysia, undang-undang yang sedia ada memang cukup baik dan relevan dalam membendung masalah seperti jenayah,penipuan, penindasan dan sebagainya. Keadaan ini dapat dibuktikan di mana kes-kes jenayah berada pada indek rendah berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini. Keadaan masih terkawal kerana setiap rakyat Malaysia memahami situasi ini, aspek keamanan dan keselamatan harus dipelihara selamanya.
 Prinsip kelima bermakna bahawa rakyat Malaysia harus bertolak ansur, bertimbang rasa dan berkelakuan baik. Pengamalan prinsp Kesopanan dan kesusilaan ini boleh membawa kepada perhubungan yang harmoni dalam masyarakat kita. Rakyat yang bersopan santun dan bertatasusila dapat membentuk masyarakat yang bersatu-padu.  Prinsip ini sangat penting untuk mewujudkan masyarakat yang menghormati dan menghargai kepentingan kaum lain. Sesuai dengan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, rakyat harus menghormati dan sling memahami adat resam dan nilai hidup kaum lain dan tidak menyinggung perasaan orang lain.
  Secara kesimpulannya, prinsip-prinsip Rukun Negara sangat penting dan wajar dipraktikkan agar pembentukan masyarakat ke arah perpaduan, demokratik, adil, liberal dan progresif dapat dicapai dengan mudah.
   Kepentingan Wawasan 2020
 Wawasan 2020 merupakan perancangan strategik jangka panjang yang berkaitan dengan halatuju pembangunan negara Malaysia menjelang dekad akan datang. Dalam tempoh masa ini kelak, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju berdasarkan “acuan sendiri” (Malaysia, 2001). Dasar pembangunan mapan memerlukan negara merangka pelan tindakan bagi mencapai matlamat menjadi negara maju. Pembangunan negara yang bergantung kepada pengetahuan teknologi, pengurusan dan sebagainya adalah kekunci kejayaan negara daam meningkatkan kemajuan, kemakmuran dan pengagihan kekayaan dapat dilakukan dengan lebih adil dan saksama.
  Cetusan Wawasan 2020 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu forum perniagaan pada 28 Februari, 1991 telah merencanakan sembilan cabaran yang bakal diharungi oleh negara bagi menjadi sebuah negara maju pada masa itu. Di bawah ini tersenarai sembilan cabaran Wawasan 2020, iaitu:
Cabaran1   
Membentuk sebuah negara bangsa yan bersatu padu;
Cabaran2   
Melahirkan sebuah masyarakat yang bebas, teguh dan mempunyai keyakinan diri;
Cabaran3   
Membangunkan masyarakat demokratis yang matang;
Cabaran4   
Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral dan etikanya dan utuh nilai keagamaannya;
Cabaran5   
Mewujudkan masyarakat yang matang dan bersifat toleran;
Cabaran6   
Membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif;
Cabaran7   
Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang;
Cabaran8   
Menjamin pembentukan sebuah masyarakat yang adil ekonominya; dan
Cabaran9   
Mewujudkan masyarakat yang makmur.


Sumber : Ramlah Adam et.al., (2003) m.s.220

  Perpaduan merupakan asas kekuatan sesebuah negara yang sangat penting.  Melalui dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Pembanguanan Nasional, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada perpaduan di negara ini. Pelbagai lapisan masyarakat telah melibatkan diri dalam banyak dasar ini bagi mencorak dan membentuk indentiti negara Malaysia yang bersatu padu.
 Bagi melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas, teguh dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi sewajarnya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian serta tabah menghadapi cabaran. Bangsa yang gagah dan tabah adalah bangsa yang ingin berjaya dan sanggup berjuang mempertahankan maruah negara. Setiap warganegara harus menyedari peranan masing-masing selari dengan usaha memajukan negara ke persada dunia supaya Malaysia sentiasa dikenali di seluruh dunia.
 Masyarakat Malaysia yang demokratik perlu dipupuk dan dibina. Menurut Ramlah Adam (2003) masyarakat yang demokratik memiliki kebebasan untuk memlih kerajaan. Rakyat yang berfikiran matang akan menggunakan hak-hak demokrasinya dengan sewajarnya. Segala perasaan tidak puas hati dan teguran kepada kerajaan dan pemimpin perlu disalurkan melalui saluran-saluran yang tertentu dalam keadaan yang mesra dan bersifat membina.
Dalam membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral dan etikanya, dan utuh nilai keagamaannya perlu diseimbangkan. Sejajar dengan menjadi Malaysia negara maju, rakyat harus kita mempunyai budi pekerti yang luhur, nilai-nilai moral, etika, keagamaan dan kerohanian yang utuh sepanjang masa. Keadaan ini membolehkan rakyat Malaysia bersaing di peringkat global sebagai bangsa yang bertamadun dan berdaulat. Setiap warganegara tidak harus menafikan nilai-nilai moral dalam hidup bagi bersaing secara kompetetif di peringkat global. Keteguhan nilai-nilai yang positif wajar disemai di dalam jiwa masyarakat  tanpa mengira latar belakang, budaya dan agama supaya dapat kita memberi komitmen sebagai bangsa Malaysia yang semerlang.
Dalam konteks masyarakat majmuk, proses mewujudkan masyarakat yang matang dan bersifat toleran adalah Cabaran kelima dalam Wawasan 2020 yang memberi fokus aspek perpaduan wajar dipupuk dalam segenap lapisan rakyat Malaysia. Perpaduan akan memberi banyak kebaikan dalam perhubungan antara kaum di negara ini. Sikap tolak ansur yang ada pada rakyat Malaysia dapat melahirkan dan mengekalkan perpaduan kaum dalam jangka masa panjang dan menjadi landasn kepada kerjasama seterusnya. Peristiwa sejarah hitam negara, yakni 13 Mei, 1969 menjadi tanda penting akan kerapuhan perpaduan rakyat sehingga menyebabkan bencan. Keadaan sangat merugikan negara Malaysia dan masyarakat secara keseluruhannya, terutama golongan yang tidak berdosa.
Cabaran keenam ialah mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif serta mempunyai wawasan hidup dapat menyerap segala perubahan persekitarannya untuk membina bangsa Malaysia yang cemerlang. Masyarakat yang moden dan peka dengan perkembangan teknologi dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan tamadun secara saintifik dan berteknologi tinggi. Dalam era teknologi maklumat dan komuniasi (ICT) masa kini, kemajuan dan kecemerlangan diikmati adalah hasil daripada usaha dan kesungguhan setiap rakyat Malaysia yang tidak pernah putus asa. Banyak kejayaan yang dikecapi selama ini dapat menjadi pemangkin dan ikhtibar kepada kita untuk terus berjaya dan sentiasa berdaya saing di peringkat global.
 Proses melahirkan masyarakat penyayang di Malaysia merupakan satu tanggungjawab bagi memodenkan tanggapan dan pemikiran pelbagai peringkat masyarakat di Malaysia. Masyarakat yang mengamalkan budaya penyayang tidak individualistik tetapi berusaha mengukuhkan perhubungan sosial dalam kalangan mereka agar nilai-nilai kasih sayang dapat dipupuk dan diamalkan dalam perhubungan. Kasih sayang dalam kekeluargaan adalah bermula daripada kasih sayang dalam keluarga itu sendiri. Hubungan yang mesra dan akrab dapat membentuk jiwa anak-anak yang sayang akan ibu bapa mereka. Justeru, penekanan kepada nilai-nilai berbudi dan penyayang ini wajar ditanam dalam setiap benak generasi baru kini supaya sayang dan tidak memingirkan  akan orang tua mereka.
Dalam konteks ekonomi, cabaran kelapan Wawasan 2020 memberi fokus terhadap jaminan pembentukan sebauah masyarakat yang adil dari segi ekonominya. Dasar-dasar  yang berkaitan dengan ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru, Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan sebagainya  memberi nafas baru dalam pengagihan ekonomi secara adil dan saksama. Kelompok rakyat yang miskin dan hidup melarat tidak wajar diketepikan kewujudan mereka dalam sebuah negara maju seperti Malaysia. Pengagihan kekayaan secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat perlu diteruskan dengan lebih berkesan agar setiap rakyat dapat menikmati buah kemerdekaan tanpa perasaan pilih kasih.
Di samping itu, masyarakat yang makmur dapat dicirikan dengan kemewahan hidup yang baik dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Pada masa yang sama tiada ahli masyarakat kita yang melarat dalam kehidupan mereka. Masyarakat ini ialah masyarakat yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi serta mampu menghadapai segala masalah dan cabaran dengan baik. Nur Munirah (2002) menyatakan masyarakat yang berdaya tahan dan saing adalah bangsa Malaysia dapat menjamin keseinambungan tamadun bangsa dan negara pada masa hadapan. Pendapatan isi rumah yang meningkat dan berada pada tahap yang tinggi  akan melahirkan kemewahan dalam kalangan masyarakat Malaysia agar mampu bedaya saing dan tabah dengan segala cabaran.
Sesungguhnya, Wawasan 2020 hanya akan menjadi kenyataan sekiranya setiap lapisan masyarakat Malaysia sentiasa berganding bahu dan sanggup memikul tanggungjawab yang berat ini bagi meneruskan kesinambungan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara moden dan maju pada masa akan datang.


1 comment: