Translate

Sunday 28 April 2013

Fungsi Media Massa di Malaysia


Dalam proses pembangunan negara Malaysia yang kian pesat, keperluan masyarakat kita turut bertambah kompleks khususnya yang berkaitan dengan komunikasi massa. Setiap lapisan masyarakat perlu membentuk perhubungan dengan orang lain maka dengan ini keperluan komunikasi mereka juga turut meningkat. Fungsi media massa bagi masyarakat kita sangat sinonim dengan proses kemajuan negara. Keadaan ini memperlihatkan fungsi komunikasi massa disifatkan sebagai pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur adalah tepat. Keempat-empat fungsi media massa ini berupaya memenuhi pelbagai keperluan komunikasi massa masyarakat kita pada masa kini. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan lain yang mengatakan di ‘peringkat makro’ iaitu pada tahap masyarakat keseluruhannya fungsi media massa mempunyai tujuan-tujuan berikut:
(i)    membujuk
(ii)   menghibur
(iii)  penghubung
(iv)  mentranmisi nilai
(v)   menginterprestasi
(vi)  pengawasan
(vii) mempengaruhi tindakan yang kolektif
(Sumber : Modul OUM : Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi (Bab 9)

      Kupasan selanjutnya akan tertumpu kepada fungsi media massa  yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Secara praktiknya, kesemua fungsi media massa yang akan dibincangkan adalah saling berkait rapat dengan kehidupan kita sehari-hari, di mana sebagai pengguna media kita tidak lepas daripada dipengaruhinya dan kita juga turut mempengaruhi media massa.

            Pemerhati

            Fungsi media massa sebagai ‘pemerhati’ dapat didefinisikan sebagai pemerhati yang mengawasi (surveillance) akan sebarang peristiwa yang berlaku di sekitar masyarakat. Terdapat dua jenis pemerhatian yang berkaitan, iaitu fungsi pengawasan memberi amaran (warning) dan pegawasan instrumental. Pengawasan berbentuk amaran digunakan untuk mengingatkan khalayak (masyarakat) akan sesuatu kejadian atau malapetaka yang bakal berlaku. Antara kejadian yang sebegini adalah seperti bencana alam iaitu banjir, gempa bumi, tsunami, pemanasan global, kemerosotan ekonomi, inflasi, kenaikan harga barang, peperangan dan wabak penyakit. Laporan yang berkaitan dikatakan sebagai berita  dan maklumat yang sangat penting.

            Peringatan berbentuk amaran (warning) ini akan memberi ruang agar masyarakat besiap sedia menghadapi situasi ini jika berlaku. Dalam kes ini, media massa seperti televisyen, radio dan surat khabar akan menyalurkan berita untuk tatapan umum. Dengan ini, masyarakat akan bersedia bagi menghadapi setiap kemungkinan yang akan berlaku.

            Pengawasan berbentuk instrumental pula lebih membantu masyarakat memperolehi maklumat seperti bursa saham, produk baru, fesyen, resepi dan sebagainya. Peranan ini tidak bersifat amaran (not warning) sebaliknya berita-berita yang berinformasi melalui penerbitan untuk menyalurkan maklumat di samping menghiburkan. Fungsi ini boleh dimainkan oleh media massa seperti majalah. Rajah 2 di bawah memaparkan fungsi pengawasan media massa dalam konteks pemerhati yang bersifat amaran dan instrumental.
 (i)  memberi amaran
(ii)  pengawasan instrumental
(Sumber: Modul OUM: Komunikasi Massa dan Teknologi Komunikasi Bab 9)

                 Pentafsir

      Fungsi media massa sebagai ‘pentafsir’ pula dapat didefinisikan sebagai menginterpretasi maklumat berdasarkan fakta dan data tertentu berkenaan dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Keadaan menginterpretasi maklumat berlaku apabila matlamat, maksud dan kesignifikan sesuatu peristiwa ditafsir dalam bentuk rencana, forum, analisis peristiwa dan penyuntingan dilakukan menurut kepentingan dan keutamaannya.

            Dalam konteks isu semasa seperti kegawatan ekonomi negara baru-baru ini, pentafsiran fakta dan data yang berkaitan sewajarnya diselami oleh masyarakat dengan baik. Pelbagai istilah teknikal yang berkaitan seperti pedagang mata wang pesisir, kejatuhan ringgit dan spekulator mata wang perlu dihuraikan melalui forum, kritikan, artikel  dan sebagainya bagi membolehkan masyarakat mengetahui isu-isu tersebut dengan baik. Sebagai contoh, forum perbincangan ekonomi sebuah syarikat penyiaran tempatan, TV3 melalui program ‘The Exchange’ misalnya, dapat memaparkan interpretasi, komen dan pendapat mengenai sesuatu pemberitaan ekonomi supaya pembaca dapat memperolehi perspektif mendalam mengenai isu terbabit.

            Fungsi ‘pentafsir’ ini dapat dilihat dalam rencana yang menganalisis isu-isu semasa supaya khalayak dapat memperolehi berbagai pandangan yang boleh dinilai sendiri oleh mereka secara logik dan bernas.

        Penghubung

       Selain itu, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ (linkage) bertujuan menghubungkan masyarakat sama ada individu dengan individu, masyarakat dengan masyarakat, peristiwa dengan masyarakat, persekitaran dengan masyarakat, mahupun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa. Misalnya, dalam isu pengiklanan media massa cuba menggabungkan keperluan pengguna (pembeli) dengan produk. Berkaitan dengan pilihanraya, para pengundi akan mengumpul maklumat berkenaan dengan wakil rakyat mereka melalui surat khabar, televisyen, radio, dan laman web. Melalui contoh-contoh di atas, jelas memperlihatkan fungsi menyamaikan mesej kepada khalayak merupakan peranan penting yang dilakukan oleh media massa.

            Dalam konteks masa kini, peranan pelbagai media massa seperti internet dengan laman web tertentu berupaya menghubungkan antara dua atau ramai individu atau membentuk komuniti maya. Kemudahan yang disediakan seperti laman web ini dapat menghubungkan pelbagai komuniti untuk berkongsi pendapat dan pengalaman hidup mereka dengan orang lain yang setara permasalahannya.

            Dari sudut sosialisasi dan  nilai moral, fungsi media massa sebagai ‘penghubung’ merujuk kepada jalinan hubungan antara ahli masyarakat. Misalnya, Program Jejak Kasih (TV3), Tukar Suka-Sama-Suka, Dari Hati Ke Hati (Radio RIMA), dan Pilihan Bersama (FM Stereo) dapat menjalinkan hubungan antara masyarakat yang berlainan latar belakang, agama, bangsa dan budaya. Keadaan ini dapat merapatkan perpaduan kaum di negara ini dalam jangka masa yang panjang.

            Penghibur

    Manakala, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah untuk menghibur (entertainment). Pada hemat saya, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ adalah lebih dominan tugasnya berbanding dengan fungsi lainnya di samping menjadi ‘trendy’ bagi kebanyakan media massa di Malaysia. Konsep penghibur disalurkan oleh media massa sebagai pelengkap kepada persoalan-persoalan lain untuk menarik minat terus para khalayak.

            Jika diteliti secara khusus, fungsi media massa sebagai ‘penghibur’ ini banyak menyajikan aspek kehidupan yang berkaitan dengan hiburan. Misalnya, pelancaran album baru, fesyen terkini, konsert artis popular, filem terbaik dan sebagainya. Di samping itu, diketengahkan juga acara anugerah dan tamasya  di peringkat antarabangsa seperti ‘The Academy Awards’ bagi memaparkan isu hiburan seluruh dunia.

            Pakej untuk memberi hiburan kepada audien jelas merupakan intipati utama kebanyakan media massa bercorak ini. Hiburan yang disalurkan dan dipaparkan oleh pihak media dimanfaatkan sepenuhnya oleh khalayak bagi memecahkan kesunyian, menghidupkan suasana harmoni, ceria dan sebagainya. Daripada huraian di atas, jelaslah fungsi pemerhati dan pentafsir banyak digunakan atau lebih dominan fungsinya dalam laporan surat khabar Utusan Malaysia dan New Straits Times yang dikaji.

            Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa fungsi media massa di negara ini adalah bersifat pemerhati, pentafsir, penghubung dan penghibur ada mempunyai kebenarannya. Peranan media massa ini secara langsung  banyak mempengaruhi cara hidup masyarakat kita sehari-hari. Bagi menentukan fungsional dan dysfungsional media massa yang berkaitan dengan pengaruh baik dan buruk media massa, masyarakat kita perlu bijak dan rasional bagi menapis segala isi kandungannya. Secara jelasnya, alaf baru kini memperlihatkan kesan media massa yang serius dalam masyarakat kita di Malaysia.



1 comment:

  1. Media massa memang sangat penting pada masa kini . Untuk penulisan yang lebih bagus bole rujuk essay writing service malaysia.

    ReplyDelete