Translate

Thursday, 17 January 2013

Kedatangan imigran Cina dan India ke Negeri-Negeri Melayu


Abad ke-19 adalah titik tolak penting dalam sejarah Tanah Melayu bukan sahaja mengalami perubahan politik, tetapi juga perubahan sosial dan ekonomi. Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Hal ini menjadi semakin hebat selepas campur tangan British di Negeri-negeri Melayu, kestabilan politik yang wujud membolehkan eksploitasi ekonomi dan politik sepenuhnya. Dari segi ekonomi, perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah menyebabkan kemasukan imigran cina dan India secara beramai-ramai. Penghijrahan imigran Cina dan India ini telah mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu sehingga ke hari ini.
Penghijrahan masyarakat luar ke Tanah Melayu bukan sahaja melibatkan kaum Cina dan India, malah ada orang Indonesia yang datang dari Kalimantan, Jawa, Sumatera, Sulawesi, Riau dan lain-lain Kepulauan Indonesia. Kebanjiran imigran-imigran dari luar ini telah membentuk konsep masyarakat majmuk di Malaysia, bermulanya dari sejak awal lagi. Persoalannya sekarang, kenapakah penghijrahan berlaku pada zaman itu? Mengapakah kaum Cina dan India yang menjadi intipati kepada pokok persoalan penghijrahan di Tanah Melayu, sedangkan terdapat juga bangsa-bangsa lain? Soalan ini akan terjawab apabila kita mengupas akan proses kedatangan imigran Cina dan India ke Negeri-negeri Melayu.
Dalam konteks sejarah, proses migrasi jelas berlaku pada abad ke-19 apabila Kerajaan British berusaha membawa masuk golongan imigran Cina dan India untuk berkerja di dalam beberapa sektor yang tidak mendapat sambutan penduduk tempatan. Bahkan bukan sedikit yang berpendapat, masyarakat majmuk di Malaysia pada hari ini ialah kerana kontruksi pihak British. Menurut J.S. Furnival dalam Ruslan Zainuddin (2004), masyarakat majmuk kepada sebuah masyarakat seperti Malaysia hari ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan setiap kaum mempunyai budaya, agama, bahasa, adat resam dan cara hidup yang tersendiri.
Melalui dasar pecah dan perintah (devide and rule) pihak British, konsep masyarakat majmuk lahir daripada migrasi kaum-kaum Cina dan India dapat dicirikan dengan perpecahan dan konflik antara kumpulan-kumpulan manusia yang berada di bawah satu sistem.  Perpecahan ini dapat dirujuk kepada aspek politik, ekonomi, dan sosial masyarakat. Keadaan ini jelas apabila berlaku pembahagian buruh dalam sistem ekonomi berdasarkan pemisahan kaum dalam masyarakat dengan setiap kaum mempunyai fungsi-fungsi ekonomi yang tersendiri (Ruslan Zainuddin, 2003).
Jelas, bahawa proses kedatangan imigran-imigran Cina dan India ke Tanah Melayu telah mendominasi kepelbagaian etnik di negara ini sekaligus melahirkan sifat ‘hetergenous’ budaya, perpecahan social dan konflik. Masyarakat dikelompok mengikut lokasi dan peluang-peluang ekonomi mereka. Keadaan ini telah melahirkan sedikit sebanyak sifat komunalisme (perkauman) dalam masyarakat. Rentetan daripada isu kemajmukkan masyarakat di Malaysia hari ini, fokus penulisan esei ini turut meninjau perspektif proses kedatangan imigran-imigran  Cina dan India ke Tanah Melayu berdasarkan sebab tertentu dan kesannya.

PENGHIJRAHAN IMIGRAN CINA
Penghijrahan imigran Cina ke Tanah Melayu mengikut pendapat para sejarawan dikatakan bermula sebelum zaman kegemilangan Melaka lagi. Namun kemasukan yang agak jelas, bermula pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka manakala kemasukan besar-besaran dan bersistematik komuniti ini hanya berlaku selepas pendudukan British di Pulau Pinang dan Singapura pada abad ke 18. Imigran Cina juga datang ke Tanah Melayu untuk berdagang. Kedudukan Melaka yang sememangnya strategik dan terletak antara laluan China dan India membolehkan setiap pedagang Cina untuk datang atau singgah ke pelabuhan Melaka ketika itu. Mereka datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan bekalan buah-buahan, bijih timah, gincu, lada hitam, candu dan ubat akar kayu. Mereka juga memperniagakan barangan mereka seperti kain sutera, kain benang emas, tembikar, pinggan mangkuk dan sebagainya. Hubungan perniagaan yang luas dan ‘mewah’ ini membuatkan kehadiran kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu sangat konsisten dan berterusan.
Penghijrahan masuk orang Cina meningkat lagi pada pertengahan abad ke-19. Mereka berhijrah secara beramai-ramai untuk bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah dan ladang lada hitam. Kemasukan imigran Cina juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelbagai aspek terhadap sosio-budaya masyarakat di Tanah Melayu. Antara yang utama ialah dari aspek politik, sosial, ekonomi dan kesenian di Tanah Melayu. Menurut Ruslan Zainuddin (2004), faktor mendorong imigran Cina untuk memulakan kehidupan baharu di seberang laut menjadi pemangkin kepada proses penghijrahan ini di samping memiliki sifat keberanian, ingin mengembara dan mahir dalam ilmu pelayaran.
Mengikut statistik, Negeri-negeri Selat mencatat bilangan tertinggi dari segi kemasukan imigran Cina ini. Menurut Ranjit Singh Malhi (1985), pada tahun 1820 terdapat 8300 orang Cina di Pulau Pinang manakala pada tahun 1822 terdapat 1150 orang Cina di Singapura. Bilangan imigran Cina di Melaka pula pada tahun 1826 ialah seramai 4100 orang. Keadaan ini menunjukkan kepesatan penghijrahan imigran Cina ke Tanah Melayu, khususnya Negeri-negeri Selat akibat daripada kepesatan ekonomi era penjajah British di Tanah Melayu. Kebanyakan orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu berasal dari bahagian selatan China, iaitu dari wilayah-wilayah Fukien, Kwangtung dan Kwangsi. Menjelang tahun 1830, bilangan imigran Cina di negeri-negeri Melayu dianggarkan berjumlah kira-kira 40 000 orang (Purcell, (1997) dalam Ruslan Zainuddin, 2003). Justeru itu, kebanjiran imigran Cina di Tanah Melayu menjadi titik tolak terhadap perkembangan ekonomi Tanah Melayu dalam era penjajah selanjutnya.

FAKTOR DAN PROSES KEDATANGAN IMIGRAN CINA
Penghijrahan imigran Cina disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya, foktor penolak dan faktor penarik. Dari segi faktor penolak, iaitu yang mendorong mereka untuk meninggalkan negara masing-masing seperti peperangan, kebuluran dan lain-lain. Sebagai contoh, semasa pemerintahan Dinasti Manchu (1644-1911), pemberontakan dan kekacauan sering berlaku akibat perasaan tidak puas hati rakyat seperti Pemberontakan Taiping (1850-1864) dan Pemberontakan Boxer (1899-1900). Huru-hara dan banyak nyawa terkorban menjadi ketakutan orang Cina untuk berhjirah ke luar, khususnya ke Tanah Melayu (Ruslan zainuddin, 2010).
Selain itu, masalah dalaman Negara China yang dilanda krisis penduduk yang ramai menyebabkan rakyatnya kekurangan makanan diburukkan lagi bencana alam seperti banjir, kemarau dan gempa bumi yang melanda China. Banyak harta dan nyawa terkorban dan keluaran pertanian turut musnah. Antara lain, dasar Kerajaan China yang menggalakkan rakyatnya berhijrah negara lain bagi penghidupan baru yang lebih baik turut menjadi faktor penolak kemasukan golongan imigran Cina ini (Ruslan Zainuddin, 2010).
Bagi faktor penarik pula, pembangunan dan kepesatan ekonomi Tanah Melayu telah menggalakkan kedatangan buruh-buruh asing untuk bekerja di kawasan perlombongan bijih timah, estet-estet getah dan kawasan pertanian ladang. Faktor ekonomi merupakan pendorong utama kemasukan imigran Cina ini ditambah lagi dengan pemerintahan kuasa British di Pulau Pinang dan Singapura yang telah memudahkan lagi kemasukan imigran. Kehadiran modal asing terutamanya dalam perusahaan getah dan bijih timah meripakan faktor penarik yang penting penghijrahan imigran Cina ke Tanah Melayu menjelang abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Kerajaan British juga telah menggalakkan agar imigran ini berhijrah ke Tanah Melayu. Orang-orang Melayu juga tidak menentang kedatangan kaum imigran ini. Imigran China dan India telah lama mengenali Tanah Melayu sebagai salah satu pusat perdagangan yang penting suatu masa dahulu, ini telah mendorong mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Keadaan ekonomi Tanah Melayu yang sedang pesat membangun melalui perusahaan getah dan bijih timah telah membuka banyak peluang pekerjaan.
Akibat daripada perkembangan Revolusi Perindustrian di Britain, permintaan terhadap bahan mentah seperti getah dan bijih timah membuka banyak kawasan pertanian dan lombong, dan ini sudah tentu memerlukan tenaga kerja yang ramai juga. Politik di Tanah Melayu juga berada dalam keadaan stabil di bawah penjajah British, dan ini telah menarik lebih ramai golongan pemodal dan imigran Cina ke Tanah Melayu.
Dari segi cara kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu ialah melalui sejenis sistem kemasukan khas yang dipanggil tiket kredit. Tiket kredit dipraktikan dalam usaha membawa masuk imigran dari Cina secara sistematik dan berkesan. Usaha British ini dibantu oleh agensi-agensi kerja yang menguruskan kemasukkan imigran Cina ke Tanah Melayu. Kaedah ini memerlukan imigran Cina ini berhutang terlebih dahulu dan membayarnya sehingga selesai.
Kaedah kedua, iaitu Khek Thau (ketua). Apabila tiba di Tanah Melayu, ejen-ejen ini akan menjual buruh-buruh ini kepada majikan yang memerlukan khidmat buruh di Tanah Melayu khususnya pengusaha lombong bijih timah yang dimiliki British. Buruh yang dibeli, terpaksa berkerja untuk tempoh tertentu tanpa gaji, kerana gaji mereka dikira telah dibayar ketika majikan membeli mereka dari ejen dahulu. Selain itu, cara ketiga ialah melalui bantuan rakan atau anggota keluarga. Mereka yang menggunakan cara ini dikenali sebagai Sin Kheh. Melalui kaedah ini, ejen yang membawa mereka ke Tanah Melayu yang mengatakan bahawa kebajikan mereka di sini akan dijaga sepenuhnya oleh majikan, hakikatnya,mereka menjadi mangsa penindasan majikan. Selepas tamat kontrak bekerja dengan majikan yang membeli mereka, barulah mereka akan dilepaskan dan dibenarkan berkerja dengan majikan lain. Apabila sudah tidak terikat, mereka dikenali sebagai Lau Khek.
Akhir sekali, berhijrah secara berkumpulan. Mereka datang secara beramai-ramai menggunakan satu kapal. Menurut Ruslan Zainuddin (2010), penghijrahan orang Foochow ke Sibu, Sarawak semasa zaman Charles Brooke diketuai oleh Wong Nai Siong. Cara ini berjaya membawa masuk orang Cina dan sekaligus menetap secara berkumpulan.

PENGHIJRAHAN IMIGRAN INDIA
Penghijrahan imigran India secara besar-besaran ke Tanah Melayu hanya bermula pada tahun 1840 apabila sektor tenaga kerja yang ramai diperlukan dalam bidang pertanian, khususnya tanaman getah. Maka oleh sebab itulah jumlah masyarakat India meningkat secara mendadak di Tanah Melayu. Kerajaan British di Negeri-negeri Selat tidak banyak menghadapi masalah membawa masuk buruh-buruh itu ke Tanah Melayu kerana pada ketika itu India berada di bawah pentadbiran Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC). Ini menyebabkan semua urusan dapat dikendalikan dengan mudah dan lancar.

FAKTOR DAN PROSES KEDATANGAN IMIGRAN INDIA
Faktor-faktor yang menyebabkan penghijrahan imigran India ke Tanah Melayu juga dapat dikategorikan oleh faktor penolak dan penarik. Seperti kaum imigran yang lain, kehadiran kaum India di Tanah Melayu banyak didorong oleh pergolakan dalaman yang berlaku di negara asal mereka. Masalah pertambahan penduduk yang pesat, daripada 130 juta orang (1845) meningkat kepada 390 juta orang pada tahun 1941 (Ruslan Zainuddin, 2004). Pertambahan penduduk banyak masalah seperti kekurangan sumber untuk menyara diri dan keluarga, situasi kerap kali menimpa golongan tani yang miskin. Banyak petani miskin hilang tanah mereka dengan menjual, menggadai kerana terpaksa membayar cukai dan hutang yang tinggi.
Keadaan diburukkan lagi oleh bencana alam seperti banjir, kemarau, kebuluran yang kerap berlaku. Masalah kesusahan hidup, sistem sosial di India membataskan mobiliti sosial dan ekonomi masyarakat. Amalan hukum kasta yang rigid turut mengekang keadaan kaum India menikmati hak yang sama dengan orang yang berkasta tinggi. Tambahan pula, jurang mereka yang berpendidikan dengan yang kurang terdidik atau buta huruf telah menjadi isu besar sekaligus membataskan pilihan dan peluang pekerjaan.
Dari segi faktor penarik, kemasukan beramai-ramai imigran India untuk bekerja di ladang getah  menjadikan bilangan mereka pada akhir 1920-an lebih ramai daripada orang bumiputera sendiri. Selepas 1900 apabila getah menjadi satu perusahaan yang mula berkembang dan ladang-ladang getah dibuka banyak selepas itu serta keperluan untuk mendapatkan buruh menjadi satu kemestian. Orang-orang Melayu ketika itu juga tidak gemar untuk berladang getah. Permintaan buruh India yang semakin banyak, akibat Revolusi Perindustrian di Eropah.
Kerajaan British memberi galakkan kepada kemasukan buruh dari India kerana sanggup bekerja walaupun dibayar gaji yang rendah. Selain menjadi buruh di ladang-ladang getah, mereka juga diambil bekerja untuk membina jalan raya dan jalan keretapi. Pada tahun 1920-an kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang-orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan orang India di Tanah Melayu. Kejayaan orang-orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemasukan lebih ramai orang India.
Proses kedatangan imigran India ke Negeri-negeri Melayu antaranya melalui sistem kontrak. Di bawah sistem ini, pemilik sesebuah ladang getah akan membuat pesanan bagi buruh-buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini akan pergi ke kampung-kampung dan mengumpulkan buruh-buruh India yang ingin datang ke Tanah Melayu. Tambang pelayaran buruh-buruh itu akan dibiayai oleh majikan-majikan yang membuat pesanan tersebut. Setibanya di Tanah Melayu, buruh-buruh itu diserahkan kepada majikan. Mereka perlu menandatangani satu kontrak untuk bekerja dengan majikan itu selama 5 tahun dengan suatu gaji yang ditetapkan. Pekerja-pekerja ini biasanya dilayani dengan teruk. Mereka dipaksa bekerja selama 9-10 jam sehari dan 6 hari seminggu. Gaji mereka rendah dan jika pekerja jatuh sakit, dia tidak mendapat gaji. Di samping itu, mereka juga terpaksa membayar sebahagian daripada gaji mereka untuk menjelaskan tambang perjalanan. Pada tahun 1910, sistem ini dihapuskan.
Kedua, sistem kangani yang diperkenalkan pada tahun 1898. Majikan yang ingin mendapat buruh dari India akan menghantar seorang Kangani atau mandur dari ladangnya ke India. Kangani ini akan balik ke kampung halamannya di India dan mengumpulkan saudara mara, sahabat ataupun penduduk sekampungnya yang ingin berhijrah ke Tanah Melayu. Kangani ini akan membayar tambang dan lain-lain perbelanjaan bagi buruh-buruh sehingga ketibaan mereka di ladang majikan. Di ladang, buruh-buruh bekerja di bawah jagaan Kangani yang mereka kenal dan dilayan dengan baik.
Manakala, proses kedatangan imigran Indian yang ketiga berlaku secara persendirian. Imigran-imigran ini datang secara berseorangan tanpa melalui agen mahupun kerajaan Inggeris sekalipun. Apabila sampai ke Tanah Melayu, mereka akan berusaha mencari majikan sendiri dan tidak terikat dengan sesiapa pun. Sistem ini agak baik namun tidak ramai golongan imigran India yang dapat sampai dengan kaedah ini kerana faktor kemiskinan.

KESAN KEMASUKAN IMIGRAN KE NEGERI-NEGERI MELAYU
Antara kesan-kesan berlakunya kemasukan imigran Cina ke Tanah Melayu ialah wujudnya sistem ekonomi moden berteraskan industri buruh. Seperti yang sedia dimaklumi, masyarakat Melayu hanya menumpukan perusahaan ekonomi sara diri terutama dalam sektor pertanian dan perikanan yang nyata tidak menyumbang banyak kepada pemangkinan ekonomi negara. Apabila British membawa masuk kaum Cina khususnya untuk berkhidmat dalam sektor ekonomi yang lebih komersial, ekonomi Tanah Melayu menjadi lebih terkehadapan dan moden. Bagi ekonomi komersial, tanaman getah giat dijalankan. Menjelang tahun 1910, luas kawasan getah ialah setengah juta ekar. Pada tahun 1914 pula, jumlah keluasan bertambah dua kali ganda dan sekaligus menjadi eksport Tanah Melayu yang terpenting (Ranjit Singh Malhi,1985).
Kemasukan buruh asing iaitu kaum Cina yang dibawa British juga perlu diakui telah mampu meningkatkan hasil bumi Tanah Melayu yang sebelum ini lebih banyak dibiarkan di dalam ‘tanah’. Pada akhir pertengahan abad ke-19 berlaku peningkatan hasil bumi Tanah Melayu terutama bijih timah. Kemasukan imigran Cina juga telah menyebabkan Tanah Melayu menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia sehinggakan permintaan datang bertali arus dan banyak lagi lombong bijih timah terpaksa dibuka. Ini berlaku kerana kos buruh dapat dijimatkan berikutan gaji yang dibayar kepada buruh dari China adalah murah.
Antara kesan utama kehadiran imigran India katakan masyarakat imigran yang menguntungkan masyarakat peribumi orang Melayu yang sebelum ini mengamalkan sistem ekonomi sederhana sudah mula sedar dan mula mengorak langkah untuk bersaing untuk sama-sama menikmati hasil bumi mereka sendiri yang ketika itu kebanyakan dinikmati oleh golongn Imigran seperti India dan Cina.
Dalam konteks masyarakat majmuk, mewujudkan daerah-daerah petempatan dan fungsi ekonomi mengikut kaum. Situasi ini masih berlaku sehingga ke hari ini. Orang Melayu dilabelkan sebagai kaum petani dan tinggal di kampung-kampung tradisional sehingga ke hari ini. Kaum Cina pula dilabelkan sebagai kaum peniaga dan tinggal di bandar-bandar dan pekan-pekan sehinggakan wujud satu istilah untuk menggambarkan ramainya orang Cina di sesuatu kawasan petempatan iaitu istilah ‘pekan cina’ dan ianya diguna pakai sehingga ke hari ini. Kaum India pula kebanyakan tinggal dalam kelompok mereka di ladang-ladang ataupun estet-estet sehingga ke hari ini juga. Pengkelasan ini nyata sangat tidak berpatutan kerana ianya mampu memecah belahkan masyarakat yang ada.
Namun tidak dapat dinafikan juga kesan negatif di atas kedatangan imigran Cina di Tanah Melayu. Banyak Kongsi Gelap di Tanah Melayu berasal dari Negara China dan di bawa ke sini oleh imigran Cina. Kongsi gelap dihubungkan dengan ajaran konfusiusme, Buddhaisme dan Taoisme.  Penubuhan kongsi gelap ini telah menimbulkan konflik antara kumpulan yang ketara sehingga mencetuskan pergaduhan dan hubungan yanag tidak baik. Antara konfliknya, sentimen perpaduan yang kuat; perbezaan monopoli pekerjaan; pergaduhan; dan sebagainya dapat mencetuskan suasana tidak aman dan genting (Mohd Isa Othman, 1999).
Selain itu, sifat yang ditonjolkan oleh segelintir kaum imigran ini turut mempengaruhi masyarakat tempatan. Misalnya, gejala ‘bandit sosial’ yang bermaksud penjenayah, bertindak melampau, menyamun, merompak, dan sebagainya. Keadaan yang ektremis ini kerap kali menimbulkan masalah dan keteganagan dalam masyarakat tradisional  Melayu.  (Cheah Boon Kheng, 1988).

PENUTUP
Sebagai rumusan, proses kedatangan imigran Cina dan India ke Negeri-negeri Melayu dalam era  penjajah British ternyata melalui pelbagai cara dan kaedah tersendiri. Proses penghijrahan golongan imigran ini banyak didominasi oleh faktor penolak seperti sosial, ekonomi dan politik negara asal mereka serta faktor penarik seperti perkembangan eknomi dan politik yang pesat mendorong penghijrahan imigran ke Tanah Melayu. Kaedah dan cara kedatangan mereka menggunakan beberapa sistem seperti  sistem tiket kredit, cara persendirian,  Sistem Kangcu bagi imigran Cina dan  Sistem buruh kontrak, Sistem Kangani, serta secara persendirian bagi imigran India. Penghijrahan oleh golongan imigran Cina dan India jelas telah mewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada masa itu dan Malaysia kini.

No comments:

Post a Comment