Translate

Wednesday 29 January 2014

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Falsafah Pendidikan Kebangsaan  (FPK) adalah asas serta panduan bagi seseorang pendidik mendidik pelajarnya untuk Berjaya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan   dulunya disebut sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996. Oleh yang demikian, semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membawa, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada di landasan yang betul.
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum dalam tahun 1988, penggubalan Falsafah Pendidikan Negara (FPN)  dilakukan dengan penuh pertimbangan yang teliti dengan merujuk kepada Penyata Razak 1956, Laporan  Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan JK Kabinet 1979, Rukunegara, Prinsip-prinsip pendidikan, Matlamat pendidikan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Berikut adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK):
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut, dapat dihuraikan bahawa pendidikan di Malaysia adalah bagi memperkembangkan potensi di dalam individu secara menyeluruh dan bersepadu. Ini bermaksud, terdapat pelbagai potensi yang berbeza di dalam diri individu masing-masing yang boleh di gilap. Ini kerana, setiap makhluk yang diciptakan di atas muka bumi ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Namun usaha mengembangkan potensi seseorang itu haruslah dilakukan secara menyeluruh dan tergabung antara satu sama lain. Tujuan pengembangan ini adalah bertujuan mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Justeru, jasmani, emosi, rohani, intelek dan social (JERIS) ini haruslah seimbang di dalam diri seseorang individu. Ini kerana, kepandaian intelektual seseorang itu tidak memadai jika akhlaknya rosak, emosinya terganggu serta kesihatannya terjejas. Pendidikan merupakan satu perjalanan bagi mencari kebenaran dalam mendidik insane yang bergelar pelajar. Apabila wujud insan yang seimbang intelek, rohani, emosi, sosial serta jasmaninya, maka lahirlah rakyat yang berilmu, bertanggungjawab mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Apabila masyarakat sesebuah negara berilmu, maka ilmu yang diperolehi itu boleh dimanfaatkan pada diri sendiri dan masyarakat sekitar sekaligus dapat mempertahankan kedaulatan dan kemakmuran negara.
Dalam memastikan pencapaian matlamat pendidikan di negara ini, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) secara menyeluruh  yang diperkenalkan sebagai peringkat percubaan di 305 buah sekolah rendah seluruh Malaysia 1982 dan diikuti perlaksanaan sepenuhnya di semua sekolah pada tahun 1983 adalah berteraskan Falsafah Pendidikan Negara  (1988) dan seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada tahun 1993 Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dijenamakan semula dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah serta menggantikan mata pelajaran seperti Alam Dan Manusia dengan Sains dan Kajian Tempatan pada tahun 1994. Usaha ini bertepatan  dengan mengakui bahawa dengan peredaran zaman yang membawa bersama pelbagai perubahan dan cabaran baru, sudah tiba masanya kita melihat semula pelaksanaan agenda ini. Ini termasuklah usaha memperbaiki kelemahan yang wujud, memantapkan strategi dan pendekatan sedia ada dan sekali gus merintis pembaharuan (pioneering change) terhadap sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) telah menggariskan matlamat pendidikan adalah seperti berikut:

1.
Memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan  yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI);
2.
Meningkatkan kreativiti dan inovasi dan budaya ilmu pelajar;
3.
Membudayakan sains dan teknologi dan pembelajaran sepanjang hayat;
4.
Menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, dan
5.
Meningkatkan matlamat pendidikan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Pada peringkat sekolah rendah, matlamat pendidikannya menjurus kepada penekanan utama ialah Kemahiran Asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Aspek yang tekandung dalam kemahiran asas ialah 3M ialah kemahiran pertuturan, pendengaran, pembacaan, penulisan serta amalan dalam penggunaan empat operasi matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Penyerapan nilai-nilai murni dilakukan secara menyeluruh melalui semua mata pelajaran. Bagi mata pelajaran Agama Islam, pengajaran nilai-nilai murni dijalankan secara khusus.
Konsep kesepaduan KBSR pula berikutnya, menggariskan unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ianya merangkumi aspek teori dan amali serta nilai murni bagi melahirkan insan yang seimbang. Pembelajaran di bilik darjah diperkukuhkan melalui kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah (http://skdarau.tripod.com/kbsr.htm). Komponen ini akan digilap, lentur, asuh, dan didik melalui Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR 1981) yang digunapakai oleh seluruh sekolah di Malaysia bagi memastikan setiap kanak-kanak menjadi warganegara yang mempercayai Tuhan, komited dengan wawasan Negara, berminda terbuka, mahir berinteraksi, bijak bersosialisasi, berhemah tinggi dan optimistik. Jangkamasa pendidikan sekolah rendah ialah enam tahun tetapi boleh diikuti antara lima hingga tujuh tahun. Peringkat ini terdiri daripada sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan (KPM 2007).
Sehubungan dengan itu, peranan penting wacana pendidikan formal bermula di peringkat sekolah rendah. Dalam hal ini, guru berperanan efektif bagi mencapai aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) melahirkan individu seimbang, harmonis, bersepadu, dan berketerampilan kea rah mewujudkan “First Class Human Capital” seperti yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Negara Malaysia (Mohammad Johdi Salleh, et al. 2009).

Menurut Mohammad Johdi Salleh, et al. (2009) pendidikan sekolah rendah amat penting dalam memastikan sistem pendidikan Negara berjalan lancar dan matlamat  pembangunan Negara dapat dicapai dengan maksimum. Kementerian Pelajaran Malaysia (2000) menyatakan objektif persekolahan sekolah rendah ialah membantu perkembangan diri murid; persediaan persekolahan; persediaan persekolahan menengah; pemahaman budaya dan kemahiran social; pembinaan minat; keagamaan dan moral; dan, sedia member sumbangan kepada masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment