Translate

Tuesday 11 February 2014

Pakaian tradisional Kaum Iban di Sarawak

Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan kompleks kerana terkenal dengan kesenian dan kebudayaannya yang tersendiri.[1]Kebudayaan adalah amalan dan upacara dalam kehidupan seharian.[2] Ini meliputi pakaian, nilai dan norma, adat perkahwinan, perayaan kaum-kaum di Malaysia dan permainan tradisional. Manakala kesenian adalah aspek-aspek yang diadakan untuk dipamer atau dipertontonkan kepada khalayak.Ini meliputi muzik, tarian, nyanyian, teater, alat muzik dan seni tampak.[3]Sebagai contoh, negeri Sarawak mempunyai kesenian dan kebudayaan yang tersendiri.
            Sarawak atau dikenali sebagai Bumi Kenyalang yang mempunyai penduduk suku kaum iban yang terbanyak di Sarawak.[4]Jumlah suku kaum iban adalah 693358 orang.[5] Kaum iban dikenali sebagai dayak lautatau sea dayak yang mendiami semua kawasan di Sarawak.[6]Pada zaman pemerintahan Rajah Brooke, Sarawak juga digelar sebagai Bumi Pemotong Kepala.[7]Negeri Sarawak mempunyai dua puluh tiga etnik utama dan berpuluh-puluh lagi suku kaum pribumi kecil-kecil iaitu Dayak Iban (Iban Skrang, Iban Miri-Bintulu-Limbang, Iban Saribas, Iban Batang Rajang, Iban Undop, Iban Lemanak dan Iban Malikin), Melanau (Seduan, Segalang, Belium, Bintulu, Segahan, Matu/Mato Daro, Oya, Mukah, Rejang, Igan, Siteng, Tatau, Baligian, Kanowit, Sekapan, Kejaman, Lahuna, Banyok), Bidayuh (Orang Biatah, Bukar-Sadong, Bau-Singghi-Jagoi, Selakau dan Lara), Kenyah (Orang Batu Biah, Murik, Lisong, Sebob, Sipang, Long Kipat, Lepu Aga, Lepu Tau, Nyamok dan Uma Kulit), Melayu, Kedayan, Belait, Sebuyau, Kayan, Punan, Penan (kumpulan yang masih nomadik), Tebun, Bukat/Ukit, Bisaya, La’en, Tagal, Sian/Sa’an, Lugat, Lisun, Kelabit, Lun Bawang/Lun Dayeh (Murut).[8]
Kumpulan-kumpulan kaum ini tinggal di kawasan tanah rendah dan bahagian darat, kawasan tanah tinggi dan kawasan pesisir. Masyarakat Dayak Iban tradisional adalah penduduk pribumi yang paling dominant di Sarawak, diikuti oleh Dayak Bidayuh, kaum-kaum Melayu-Melanau dan lain-lain kumpulan etnik di atas yang lebih dikenali sebagai Orang Ulu.Kesemua etnik di Sarawak menganut pelbagai agam, kepercayaan dan mempunyai adat resam serta budaya masing-masing menentukan bahasa dan dialek yang berbeza-beza mengikut daerah-daerah kediaman mereka di kawasan luar bandar dan pendalaman.
Secara umumnya,kajian ini memfokuskan kepada satu tempat di negeri Sarawak.Ia adalah memfokuskan tentang pakaian tradisional perempuan kaum iban di Rh. Labang Sungai Tulai Bintangor Sarawak. Hal ini kerana negara kita terdiri daripada pelbagai kaum memiliki pakaian tradisional masing-masing yang memaparkan budaya serba unik.[9]Setiap bangsa di dunia ini mempunyai ciri-ciri pakaian tersendiri yang pastinya mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri.Peredaran masa menyaksikan pengaruh kebudayaan daripada tamadun bangsa yang lebih maju terhadap bangsa yang kurang maju dapat membuka jalan kearah perubahan yang lebih pesat termasuk dalam perkembangan fesyen pakaian.Pakaian bukan hanya dipakai untuk menutup tubuh bagi mengelakkan kesan panas atau dingin mahupun pandangan orang, bangsa yang lahir daripada peradaban yang berlainan sudah tentu ingin menonjolkan seni kreatif dan tahap pencapaian teknologi masing-masing dalam bidang tekstil.
Pengkaji memilih tajuk ‘Sejarah Pakaian Tradisional Perempuan Kaum Iban di RH. Labang, Sungai Tulai Bintangor Sarawak’. RH.Labang, Sungai Tulai Bintangor Sarawak menjadi lokasi kajian pengkaji kerana penduduk rumah panjang ini masih mengamalkan penggunaan pakaian tradisional kaum iban. Tajuk ini relevan apa yang ingin dikaji oleh pengkaji mengenai Pakaian Tradisional Perempuan Kaum Iban.Dalam penulisan ini, secara keseluruhan pengkaji ingin mengupas persoalan utama mengenai cara pengekalan pakaian tradisional perempuan kaum iban melalui sesuatu perayaan. Pengekalan pakaian tradisional perempuan kaum iban sehingga hari ini terbukti telah memberi satu harapan baru kepada masyarakat iban di negeri Sarawak dan dijadikan sebagai tatapan generasi masa kini dan masa akandatang.Selain itu, pengkaji turut mengupas asal usul Pakaian Tradisional Perempuan Kaum Iban di samping mengetahui jenis kelengakapan atau perhiasan yang digunakan semasa memakai pakaian tradisioanal ini.
Pengkaji memilih tajuk ini di atas dorongan minat yang menebal untuk mengkaji secara mendalam tentang asal usul dan jenis perhiasaan Pakaian Tradisional Perempuan Kaum Iban. Pakaian Tradisional Perempuan Kaum Iban bukan sahaja dikomersailkaan sebagai pakaian tradisi masyarakat iban malah,ia mengenengahkan kebudayaan dan kesenian etnik masyarakat iban di Sarawak secara realiti. Di samping itu, pakaian tradisional ini menunjukkan salah satu pakaian kebudayaan bagi kaum iban yang ada di Malaysia.Pengkaji juga merasakan bahawa bertapa pentingnya penulisan ini untuk memperkenalkan kepada masyarakat mengenai keunikan Pakaian Tradisional Perempuan Kaum Iban dan seterusnya memertabatkan lagi pakaian tradisional di negara kita sejajar dengan arus pemodenan.
Antara objektif kajian adalah mengetahui asal usul pakaian tradisional perempuan kaum iban di Sarawak. Kajian juga turut melihat akan jenis kelengkapan yang digunakan oleh kaum iban di Rh.Labang Sungai Tulai semasa menggunakan pakaian tradisional perempuan kaum iban. Tidak lupa juga, kajian akan mengenalpasti cara masyarakat iban di Rh. Labang Sungai Tulai mengekalkan budaya penggunaan pakaian tradisional di rumah panjang.
Dalam  kajian ini,  fokus kajian adalah pengakaji akan mengkaji tentang asal usul pakaian tradisional perempuan kaum Iban di Sarawak. Seterusnya,mengenal pasti jenis kelengkapan perhiasaan pakaian tradisional perempuan kaum Iban yang digunakan di RH.Labang Sungai Tulai Bintangor, Sarawak. Akhir sekali, mengetahui persembahan yang menggunakan pakaian tradisional perempuan kaum Iban di RH. Labang Sungai Tulai.
Dari segi permasalahan kajian ini, ianya menjurus kepada kekurangan sumber maklumat yang berkaitan asal usul pakaian tradisional perempuan kaum iban yang ingin disampaikan oleh pengkaji yang lain. Hal ini turut didorong oleh perasaan ingin tahu pengkaji dari mana barangan kelengakapan pakaian tradisional  perempuan kaum iban ini sebenarnya. Di samping itu, pengkaji ingin tahu bagaimana masyarakat iban mengekalkan pakaian tradisional perempuan kaum iban agar tidak lupus ditelan zaman.
Skop kajian tertumpu di Rh. Labang Sungai Tulai, Bintangor, Sarawak sahaja. Pengkaji akan mengkaji asal usul pakaian tradisional perempuan kaum Iban dalam lingkungan 1949 hingga 2009 iaitu 60 tahun. Pakaian tradisional perempuan kaum Iban adalah pakain yang melambangkan kebudayaan dan kesenian masyarakat Iban di Sarawak.Bagi sorotan kajian yang berkaitan, terdapat pelbagai tulisan dan penerbitan yang dihasilkan oleh pengkaji tempatan untuk dijadikan rujukan dan sumber ilham yang amat penting dalam menghasilkan kajian ini selengkap-lengkapnya.Dari segi methodologi, pengkaji lebih cenderung menggunakan sumber perpustakaan dalam mengumpul maklumat dan sekaligus menghuraikan dapatan kajian ini, selain menemu bual dan sokongan tulisan kajian-kajian yang terdahulu yang berhubungan dengan tajuk ini.Pengkaji sendiri merupakan kaum iban memberi sedikit sebanyak membantu dengan melihat sendiri budaya masyarakat tentang pakaian tradisional perempuan kaum iban ini.
            Pakaian tradisional perempuan kaum iban adalah sangat unik dan hampir keseluruhannya merupakan kain tenun yang mempunyai corak-corak yang menarik.Pakaian wanita Iban dapat dilihat daripada bahagian kepala sehinggalah ke bahagian kaki.Dalam bahasa Iban, pakaian tradisional perempuan kaum Iban disebut sebagai ‘ngepan indu iban’.Pelbagai jenis Asal usul ngepan indu ibandipercayai berasal daripada seorang gadis yang bernama Kumang pada zaman dahulu.Kumang merupakan seorang wanita yang sangat bajik[10]dalam kalangan wanita iban terdahulu.Beliau seorang wanita yang pandai membuat sebarang kerja wanita.Contohnya, bertenun, ngebat, membuat anyaman dan lain-lain. Selain itu, beliau dahulu bukan sahaja terkenal dengan kecantikan beliau tetapi beliau mempunyai sikap yang baik kepada orang lain.
Kemahiran yang ada pada Kumang telah menghasilkan pakaian tersebut telah menjadi rujukan sebagai pakaian tradisional bagi masyarakat iban.Lengkap dengan perhiasaan perak, tembaga, manik dan kain yang dibuat daripada pelbagai corak telah menjadikan Kumang sebagai model bagi pakaian tradisional ini. Kenyataan ini disokong oleh Vernon Kedit:
“Kumang, the great beauty of all Iban goddesses, was the epitome of style and class. She only wore the kain kebat, rawai tinggi betating pirak and an elegant silver lampit belt, the sugu, a pair of stud ear-rings, silver necklaces and a complete set of tumpak pirak for the lower and upper arms. Maybe some feet bangles with tiny bells too. In her right hand a white lace handkerchief, in her left the silver buah pauh - her purse. And tucked discreetly in between her sanggul siput, a flower - the seri mua.”[11]
 Perhiasaan diri dari perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya.[12]Pelbagai jenis perhiasaan melengkapi pakaian tradisional perempuan kaum Iban pada setiap bahagian tubuh badan.Di bahagian kepala, sugu tinggiatau ‘tall combs’ ialah merupakan perhiasan yang berwarna perak yang memberi keunikan dan kilauan yang menarik semasa menari tarian Ngajat Induk[13] dan gunakan semasa persembahan atau pertandingan Ratu Cantik. Contohnya, Kumang Gawai Beauty Pegeant di Sarawak (LINK). Sugu tinggi ialah kraftangan corak dan rekaan yang berbentuk tema bungaan.Dahulu, perhiasan ini dibuat daripada perak tetapi sekarang sugu tinggi dibuat daripada aluminium yang bersalut perak.[14]
Selain itu, Ensuga Tisir ialah perhiasaan yang terletak atau bersama dengan sugu tinggi yang berbentuk flora atau bungaan.Ia diperbuat daripada perak atau aluminium yang bersalut perak. Sugu pupung merupakan sikat yang menyokong sugu tinggi supaya tidak longgar atau terjatuh dari kepala orang yang memakainya.
Di bahagian bahu hingga ke paras pinggang,marek empangatau marek tango[15] ialah perhiasan dada yang diperbuat daripada manik dan bebola kain bertujuan untuk menutup bahagian atau baju kecil atau kemban.[16]Marek empang dibuat daripada manik-manik yang disusun mengikut corak.[17]Ia seperti rantai yang besar yang menutupi bahagian dada dan dipakai pada bahagian leher.Bedong atau dikenali sebagai kain selempaimerupakan kain selendang yang panjang dan sempit.[18]Ia dihiasi dengan pelbagai corak tenunan yang sangat halus. Panjang bedong hampir sama dengan sirat iaitu. Bedong dipakai dibahu sebagai selendang atau diselempangkan di badan seperti pangkahan di dada.
Rawaiialah gelungan yang dibuat daripada tembaga ataupun perak yang disusuk dengan rotan seterusnya dibelit pada tubuh dari bahagian lengan hingga bahagian punggung.Saiz rawai dibuat bergantung kepada saiz tubuh badan penggunanya.Ia merupakan gelungan yang sangat besar pada bahagian badan. Lampit merupakan tali pinggang yang besar.Lampit digunakan pada bahagian pinggang.[19]Ia diperbuat daripada aluminium yang bersalut perak.
Tumpaialah sejenis perhisaan gelang yang diperbuat daripada tembaga atau aluminium yang bersalut perak yang digunakan pada bahagian pergelangan tangan.Setiap saiz gelang tersebut adalah berbeza dari saiz kecil hinggala saiz yang besar.Manakal tumpa rajang pula ialah sejenis perhiasaan gelang yang dibuat daripada tekuyung tasik[20].Terdapat juga jenis tumpa yang dibuat daripada perak.Ia digunakan pada bahagian lengan dan berasa ketat semasa menggunakannya. Di bahagian tangan, terdapat sebuah perhiasaan iaitu Buah Pauh.Buah Pauhialah sejenis perhiasaan yang dibuat daripada logam perak yang menyerupai sejenis buah iaitu buah pauh.Ia seperti cincin yang berantaikan buah pauh dan disarungkan di jari manis orang yang memakai ngepan tersebut.
Sementing Ringgitatau dikenali sebagai gobeng merupakan lingkaran tali pinggang yang berjuraian ibarat tali pinggang wang.Setiap wang atau duit syiling tersebut dicantum dengan rapat. Pada bahagian atas sementing ringgit, duit syiling yang menyerupai duit 50 sen akan dicantum rapat dengan duit syiling yang lain. Manakala pada bahagian bawah, duit syiling yang mnyerupai duit 20 sen atau 10 sen dicantum dan dibentuk seperti tali yang berjurai ke bawah yang bersambung dengan bahagian atas sementing ringgit tersebut.
Wanita iban memakai kain sarung yang dipanggil bidang.[21]Kain sarung ini sempit dan panjangnya cuma lebih kuang separas lutut.Biasanya bidang diperbuat daripada sebidang kain yang berukur 110cm X 60cm; dan terdiri daripada dua bidang kain seumpamanya yang dicantumkan.Bidang yang digunakan sebagai pakaian harian tidak banyak reka coraknya.[22]Kebiasaannya bidang ini hanya dihias oleh reka corak jalur yang berwarna-warni.Bidang yang dipakai ketika upacara tertentu.Sebarang perayaan pula dihias oleh pelbagai reka corak geomatrik dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan.Malah ada di antara bidang tersebut yang dihias dengan reka corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang berwarna merah.
Bahagian pergelangan kaki terdapat dua gelang perhiasaan digunakan iaitu kunkung kaki dan gerunung.Kunkung kakidikenali sebagai gelang kaki.Gelang ini diperbuat daripada tembaga.Kunkung kaki tidak sama dengan gerunung. Gerunungialah perhiasaan gelang kaki yang mempunyai loceng kecil.Kungkung kaki tidak mempunyai loceng pada gelang tersebut.Semasa individu berjalan, loceng ini akan berbunyi mengikut rentak pergerakan kaki.
Di RH. Labang Sungai Tulai Bintangor, Sarawak, ngepan indu iban digunakan semasa musim perayaan, menyambut kedatangan orang yang terhormat atau pelancong, majlis perasmian dan sebagainya.Pada malam 31 Mei, masyarakat di Sarawak menyambut Hari Gawai.Hari Gawai adalah sambutan hari perayaan bagi meraikan rasa bersyukur kepada Petara[23]mereka atas hasil tanaman padi yang baik dan lumayan.Ia diraikan oleh suku kaum Dayak tetapi turut disertai oleh kaum-kaum lain.[24]
Pengetahuan umum, terdapat pelbagai jenis perayaan Hari Gawai. Perayaan-perayaan ini dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti Gawai Batu, Gawai Burong (Gawai Kenyalang), Gawai Rumah Baru (Gawai Mangkong Tiang), Gawai Nama Ke Tajau, Gawai Antu, Gawai Ngemali Umai dan lain-lain seumpamanya. Gawai Batu dianggap sebagai perayaan utama kerana kaitannya dengan tradisi berhuma masyarakat Iban.[25]Tujuan Gawai Batu ini ialah untuk memohon keberkatan daripada petara untuk membersihkan tanah huma daripada gangguan serangga perosak dan penyakit. Maka ia bolehlah diadakan apabila mereka tidak mendapat hasil tuaian yang baik pada tahun sebelumnya. Gawai Batu juga diadakan setelah berpindah ke rumah panjang baru untuk memohon keberkatan, kemakmuran dan kesenangan hidup selama mereka menghuni rumah panjang tersebut.Dalam konteks ini, Petara yang dimaksudkan ialah Sempulang Gana Bujang Rangkang Kirai Raja Sua, manusia luar biasa yang dipercayai tinggal di kayangan.Menurut kepercayaan, Simpulang Gana ialah dewa atau pesuruh utama petara yang dilantik sebagai penjaga tanah, tempat mereka berhuma dan bercucuk tanam.
Gawai Kenyalang (Gawai Burong) diadakan sebagai penghormatan kepada Singalang Burong iaitu tuhan perang bagi masyarakat Iban tradisional (Sandin, 1977).Asal usul perayaan ini dikaitkan dengan kepercayaan tentang Aki Lang Sengalang Burong Jagu Menaul Tuntung (burung helang) yang ditugaskan oleh petara untuk memimpin segala kerja perang bagi masyarakat Iban kerana beliau memiliki semua jenis pengaroh[26].Oleh hal demikian, Gawai Kenyalang bolehlah diadakan semasa atau sebelum ekspedisi ngayau.Ia juga boleh diadakan apabila seseorang pahlawan Iban menerima alamat daripada petara melalui mimpi untuk mengadakannya. Bagaimana pun, Gawai Kenyalang boleh diadakan sebaik sahaja seseorang Iban pulang daripada bejalai setelah memperoleh pendapatan lumayan atau barang yang berharga. Lazimnya upacara perayaan dijalankan di tanju[27]kerana Singalang Burong dipercayai akan datang dan duduk bersama-sama dengan mereka semasa makan dan minum di sana.
Satu lagi perayaan yang penting bagi masyarakat Iban ialah Gawai Antu, iaitu satu upacara ritual sebagai penghormatan kepada orang yang telah mati.Perayaan ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan persediaannya mengambil masa dua hingga tiga tahun. Pada malam Gawai Antu, acara ngalu petara[28] diadakan di ruai[29]dengan cara mengadakan satu perarakan secara besar-besaran oleh pemuda-pemudi yang berpakaian tradisional.[30]
Acara tahunan ini disambut menjelang akhir bulan Mei atau awal bulan Jun pada setiap tahun. Antara acara perayaan Gawai ialah menyanyi, meminum tuak[31]dan menari.Semasa majlis tarian ngajat bagi wanita kaum iban, mereka akan menggunakan pakaian tradisional lengkap dengan perhiasaannya. Penari lelaki dan wanita akan menarikan tarian ngajat bersama dengan iringan irama muzik yang dibunyikan dari alat-alat muzik sepertigegendang, tawak[32], bebendai[33]dan engkerumung.[34]
Semasa majlis perasmian atau pelancong asing datang ke rumah panjang. Wanita akan mempersembahkan tarian Ajat Ngalu Temuai. Mereka menari sambil mengiringi tetamu sehingga ke ruai tuai rumah[35]. Tarian ini sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu yang hadir ke rumah panjang semasa perayaan Hari Gawai atau perayaan-perayaan yang lain. Tarian ini boleh dipersembahkan pada majlis keramaian atau menyambut kedatangan tetamu.[36]
Selain itu juga, terdapat tarian Ajat atas tawak.Tarian ini menunjukkan gadis kaum Iban bukan saha hanya boleh bertenun tetapi mempunyai bakat untuk menari di atas gong. Tarian ini hanya sekadar untuk berhibur dan juga untuk majlis keramaian.Ajat Indu pula adalah tarian yang dipersembahkan oleh sekumpulan kaum wanita yang berpakaian lengkap yang cantik sambil menari dengan bersama pahlawan Iban dengan pelbagai jenis gerak tari yang mempunyai cerita disebaliknya.[37]
Di samping tari-menari, Pertandingan Ratu Cantik atau dikenali sebagai Pekit Kumangada dianjurkan semasa perayaan Hari Gawai.Pekit Kumang adalah satu pertanding di mana peserta akan memakai pakaian tradisional perempuan kaum Iban iaitu ngepan indu iban. Menurut Jimbun Tawai, ngepan indu iban tidak boleh digunakan sebarangan. Hal ini kerana ngepan ada maksud yang tertentu. Sekiranya, pengguna yang memakai ngepan dengan sesuka hati, ia boleh memberi kesan yang negatif kepada pakaian tradisional budaya masyarakat iban dan juga cara permakaian yang salah boleh menyebabkan peserta gagal dalam pertandingan tersebut.[38]
Sebagai contoh, sugu tinggi yang digunakan semasa Pekit Kumang sepatutnya sugu tinggi yang sememangnya tinggi daripada sugu tinggi yang lain walaupun peserta tersebut mempunyai rupa paras wajah yang cantik. Sugu tinggi yang pendek adalah untuk isteri orang ataupun janda.Tambahan pula, corak ngepan peserta yang mengikuti pertandingan tersebut kain tersebut haruslah terang warnanya.Ini menunjukan perempuan tersebut boleh dijadikan sebagai isteri.
Secara keseluruhannya, pengekalan pakaian tradisional ini amat penting supaya generasi masa kini dan hadapan dapat mengetahui budaya pakaian tradisional kaum Iban teruntamanya pakaian tradisional perempuan kaum Iban di Sarawak.Keunikan dan keistemewaan yang ada pada pakaian ini telah menjadikan pakaian tersebut sebagai pakaian kebudayaan masyarakat Iban di Malaysia.




[1] Jerry Hawkin Anak Suting, Peranan Dayak Cultural Foundation (DCF) dalam Memelihara Tarian Ngajat, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak, tesis yang tidak diterbitkan,  2007, hal.1.
[2] Mohamed Anwar Omar Din, Pembangunan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Jurnal ASWARA, 2009, hal.24.
[3]Ibid.
[4] Chemaline Anak Usop, Leka Main: Puisi Rakyat Iban- Satu Analisis Tentang Bentuk dan Fungsi, Universiti Sains Malaya, tesis yang belum diterbitkan, 2006, hal.1.
[5] Statistik Banci Penduduk dan Perumahan Sarawak, Jabatan Perangkaan Malaysia ,2010, hal.375.
[6]Austin, Robert F. “The Iban of Sarawak”, Southeast Asia: An International Quarterly, 1974, hal. 905
[7] Chemaline Anak Usop, op.cit., hal.1.
[8]Ibid, hal.2.
[9] Halimah Abdul Rahman, Pakaian Tradisional Pelbagai Kaum, Penerbit HARTAMAS, 2011, hal.1.
[10] Istilah bajik”  bermaksud cantik.
[11] Vernon Kedit, Pemanah Ngepan Kelia vs Ngepan Jai Diatu, Artikel, 2009
[12]Maruwiah Ahmat, Pakaian Tradisional, Karisma Publication SDN.BHD, 2007, hal.23-24.
[13] Istilah “ Ngajat Induk” bermaksud tarian perempuan.
[14] Paren Nyawai, (SEA DAYAK) Iban’s Tiara: Sugu Tinggi Headdress, Artikel, 2012
[15] Temu Bual: Lemu Anak Sumbai, 79 tahun,
[16] Veeky Leonora, Iban of Various Tribes hence Various Costume, Artikel, 2011, hal. 23.
[17] Sures A/L Supurmanian, Pakaian Tradisional Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, 2011, hal.25.
[18]Ibid, hal.26.
[19] Che Syaedah, Lambang Kehebatan Pahlawan Iban, KOSMO, Artikal, 2013, hal.2.
[20] Istilah “tekuyung tasik” ialah siput laut
[21]Hamidah Husain dan Mohamed Roselan Malek, Pakaian dan Perhiasan Tradisional.2009, hal. 56.
[22]Ibid, hal.57.
[23]Istilah “petara” bermaksud Tuhan.
[24] Maruwiah Ahmat, Kenali Negeri Kita Sarawak Bumi Kenyalang,2008, hal.35.
[25] Chemaline Anak Usop, op.cit., hal.9-10.
[26]Istilah “pengaroh” bermaksud azimat.
[27]Istilah “tanju” bermaksud beranda atau di luar ruai.
[28]Istilah “ngalu petara” bermaksud mengalu-alukan kedatangan Tuhan kaum Iban.
[29]Istilah “ruai” bermaksud galeri rumah panjang.
[30] Jerry Hawkin Anak Suting, op.cit., hal.8.
[31]Istilah “tuak” ialah air nasi pulut atau dikenali sebagai tapai.
[32] Istilah “tawak” ialah senjenis gong tetapi saiz gong tersebut adalah kecil.
[33] Istilah “bebendai” ialah sejenis gong yang sederhana saiznya tetapi mempunyai lapisan yang nipis serta bunyi yang berbeza daripada gong.
[34] Jerry Hawkin Anak Suting, op.cit., hal.8.
[35] Istilah “ruai tuai rumah” ialah halaman yang berbumbung di depan rumah ketua kampung.
[36]Ibid, hal.9.
[37]Ibid, hal.10.
[38] Jimbun Tawai, Konsep Kumang dalam Budaya Iban, Artikel, 2010, hal. 23-24.


(2 683 patah perkataan)



Bibilografi:

Austin, Robert F. “The Iban of Sarawak”, Southeast Asia: An International Quarterly, 1974

Chemaline Anak Usop, Leka Main: Puisi Rakyat Iban- Satu Analisis Tentang Bentuk dan Fungsi, Universiti Sains Malaya, 2006

Jerry Hawkin Anak Suting, Peranan Dayak Cultural Foundation (DCF) dalam Memelihara Tarian Ngajat, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak, 2007

Maruwiah Ahmat, Pakaian Tradisional, Karisma Publication SDN.BHD, 2007

Maruwiah Ahmat, Kenali Negeri Kita Sarawak Bumi Kenyalang,Karisma Publication SDN.BHD, 2008

Mohamed Anwar Omar Din, Pembangunan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Jurnal ASWARA, 2009

Hamidah Husain dan Mohamed Roselan Malek, Pakaian dan Perhiasan Tradisional, Penderbit PRISMA SDN BHD, 2009

Veeky Leonora, Iban of Various Tribes hence Various Costume, Artikel, 2011



















2 comments:

  1. A great research....I like it most....And thank for the information....

    ReplyDelete
  2. I am Iban. I hope all of you can visit my longhouse at Kampung SuNgai Bakas Sibuti, Subis. XD

    ReplyDelete