Translate

Tuesday 29 April 2014

Kajian Tindakan

PENINGKATAN PENCAPAIAN PELAJAR TINGKATAN 3  BAGI TOPIK PECAHAN


ABSTRAK
Kajian ini adalah untuk  mengenal pasti pencapaian pelajar Tingkatan 3 berhubung dengan mata pelajaran Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Engkelili, Sri Aman, Sarawak. Kajian ini akan melibatkan 30 orang pelajar Tingkatan 3 dalam satu kelas yang diajar oleh guru. Dalam kajian ini para pelajar diberi aktiviti yang berkaitan dan berulang-ulang dalam tempoh masa 2 bulan  bagi mengenal pasti dan usaha meningkatkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran matematik. Instrumen yang digunakan adalah Borang Pemerhatian  dan Borang Tinjauan  yang mengandungi item-item berkaitan dengan profil pelajar dan kemahiran Matematik yang berkaitan dengan topik pecahan  yang dijalankan sepanjang tempoh masa tesebut. Data-data akan diproses secara kuantitaif  dan kualititatif berdasarkan perbandingan.  Rawatan juga dijalankan oleh pengkaji bagi membantu mereka ke arah suasana pembelajaran yang berkesan dan penambahan peningkatan pelajar. Di samping itu juga, kajian ini a mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar yang terlibat berhubung dengan topik pecahan. Pelajar  didedahkan dengan strategi dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai bagi meningkatkan pencapaian dalam kalangan mereka.



















1.0       Pendahuluan
            Sistem pendidikan di Malaysia berkembang sejajar dengan perubahan masa dan keperluan masyarakat serta negara. Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah garis panduan yang digubal dan perlu diikuti oleh semua warganegara dalam merealisasikan usaha kerajaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan taraf hidup rakyat (Yahya Don, 2005). Sejajar dengan usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, Kurikulum Matematik bertujuan membentuk keperibadian generasi Malaysia yang celik  dan pintar matematik.
            Dalam konteks Matematik sekolah menengah menyarankan strategi pembelajaran bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Murid-murid perlu kreatif dalam pembelajaran mereka. Menurut Kementerian  Pendidikan Malaysia (2000), pengajaran dan pembelajaran  akan lebih berkesan  dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Fokus kajian ini akan tertumpu kepada usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Matematik.
”Creatiity is a matter of talent – there is nothing you can do about it except get creative people” (de Bono, 1996)

            Kreativiti merupakan suatu konsep yang bersifat  multi dimensi dan inter disiplin bagi semua bidang yang berkaitan dengan ilmu. Perkembangan bidang kreativiti dalam kalangan manusia [pelajar] kian menyerlah dewasa kini hasil penemuan dan penyelidikan yang berterusan  oleh pakar yang terlibat. Dalam konteks seseorang individu seperti pelajar di sekolah menengah, kreativiti disifatkan sebagai organisasi memahami, mengetahui dan mampu mengaplikasikan daya kreativiti bagi menghasilkan sesuatu pembelajaran. Menurut Mohd. Azhar, 2003 literasi kreatif menekankan kefahaman individu terhadap persoalan ’know-what’ ; ’know-why’ ; dan ’know-how’ dalam konteks pengetahuan dan pengaplikasiannya. Atau paling tidak, pada tahap sederhana individu mengetahui dan faham akan konsep kreativiti serta tahu bagaimana untuk berkreativiti dalam pelbagai keadaan dan suasana. Di samping itu, Amabile (1992) menyifatkan institusi sekolah merupakan tempat paling sesuai untuk mempuk alam kreativiti di dalam kalangan pelajar. Dengan perkataan lain, usia awal kana-kanak sangat mudah menerima pelbagai bentuk pembelajaran yang berkaitan  dengan mereka.
            Kajian ini bertujuan  membantu pelajar  mencari dan menjana kreativiti mereka dalam  meningkatan pencapaian akademik mereka. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat menjana idea pelajar. Secara keseluruhannya ini dapat membantu pelajar ketika di dalam kelas dan mengikuti gerakerja mata pelajaran matematik.  
2.0       Latar Belakang Kajian
Bagi menjalankan kajian meningkatkan pencapaian pelajar, kesediaan sekolah dan guru dalam melengkapkan sekolah dengan kemudahan yang baik dan sesuai serta komitmen guru yang berterusan dalam membantu pelajar mereka. Pelajar-pelajar ibarat sehelai kain putih yang perlu dicorakkan oleh para gurunya. Kebolehan mereka perlu digilap supaya menjadi lebih bermakna dan membantu di dalam perkembangan diri pelajar itu sendiri. Sebagai seorang guru Matematik, objektif utama adalah untuk melihat  pengajaran dan pembelajaran mencapai hasil seperti yang diharapkan.
 Kebanyakan pelajar sekolah menengah rendah masih ramai menguasai matematik. Pelajar yang lemah dan sederhana masih belum dapat menyelesaikan latihan matematik. Menurut Hassan Haris (1993) teknik pengajaran yang sesuai untuk pelajar-pelajar yang masih kemah adalah  bergantung kepada  bantuan guru. Dalam keadaan ini mereka lebih mudah dikawal dan dibimbing oleh guru mereka.  Persoalannya, keputusan matematik pelajar-pelajar menengah rendah masih rendah. Refleksi  kepada pengajaran dan pembelajaran lalu didapati ramai pelajar masih tidak tahu menyelesaikan masalah matematik pecahan. Pelajar masih tidak tahu cara dan langkah-langkah menyelesaikannya. Strategi untuk melahirkan pelajar pandai topik pecahan perlu dipertingkatkan. Dalam hal ini, pengetahuan pelajar masih rendah.  Para guru seharusnya memainkan peranan penting dalam membantu pelajar  dalam mata pelajaran ini.
3.0       Objektif Kajian
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat dan menentukan sejauh mana peningkatan pencapaian pelajar dalam matematik di sekolah rendah yang dipilih.
Secara spesifik, kajian ini bertujuan untuk:

i.              Tahap penguasaan murid-murid dalam topik pecahan dalam
mata pelajaran Matematik.
ii.             Mengenal pasti usaha guru membantu murid meningkatkan penguasaan mereka.

4.0       Persoalan Kajian
Berdasarkan permasalahan kajian dikemukakan, beberapa soalan kajian yang berikut akan cuba dijawab melalui kajian ini.
(i)            Adakah penguasaan pelajar-pelajar Tingkatan 3 dipengaruhi strategi dan teknik pengajaran guru ?
(ii)           Adakah  pengajaran guru mempengaruhi  minat serta penguasaan murid  Tingkatan 3 ?
5.0       Kepentingan  Kajian
Guru merupakan orang yang paling penting di sistem pendidikan dalam menyalurkan pembelajaran kepada para pelajar di sekolah. Kepimpinan dan tugas mereka mempunyai peranan yang besar dalam membawa sekolah ke era kejayaan. Dalam konteks kejayaan seseorang pelajar, guru merupakan agen perubahan. Bagi meningkatkan pencapaian mereka, seseorang guru perlu memiliki kemahiran yang tinggi dalam kaedah pengajaran, menguasai kandungan ilmu dalam mata pelajaran yang diajar, mahir mengaplikasikan teori pertumbuhan dan perkembangan manusia dan berupaya menjadi kaunselor yang baik kepada pelajar (Yahya Don, 2005).
            Selaras dengan kepentingan usaha pelajar dalam bidang pembelajaran, maka kajian meneliti pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik. Usaha dalam kalangan murid Tingkatan 3 adalah perlu bagi membentuk kualiti pelajar yang unggul. Kajian ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada ramai pihak, khususnya para pendidik dalam memimpin serta melaksanakan proses pengajaran mereka di sekolah.
            Antara lain kajian ini dapat memperkayakan ilmu pengetahuan dalam bidang Matematik, terutama sebagai rujukan dan panduan di masa akan datang. Fenomena pencapaian pelajar merupakan aspek yang sangat penting masa kini selaras dengan penekanan unsur kemahiran berfikir secara kristis dan kreatif (KBKK) dalam kalangan pelajar. Malah dapatan kajian ini kelak akan dapat membantu mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih baik dan meningkatan tahap profesionalisme para guru Matematik.

6.0        Kaedah Kajian

Kajian kuantitatif akan digunakan dalam kajian ini bagi melihat serta mengukur tahap penguasaan pelajar di dalam mata pelajaran Matematik berdasarkan maklumat serta perubahan di aktiviti  pembelajaran yang diberikan secara berulang-ulang selama dua bulan. Perubahan sosial serta penguasaan mereka akan dicatat dan dianalisa selaras dengan faktor-faktor yang mempengaruhinya.
7.0        Populasi dan Sampel Kajian

7.1       Sampel Kajian
Sampel kajian  adalah dari sekolah SMK Engkelili, Sri Aman, Sarawak yang melibatkan 30 orang pelajar Tingkatan 3.
7.2       Populasi Kajian
Populasi kajian adalah terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 3 sekolah menengah rendah.
7.3      Instrumen Kajian
Kajian ini  menggunakan Borang pemerhatian dan soalan-soalan bagi mengumpul data  berdasarkan Matematik yang berkaitan dengan pecahan yang dijalankan selama 2 bulan. Data-data yang diperolehi akan direkod melalui pra-ujian dan pasca-ujian  aktiviti Matematik. Hasil pemerhatian akan direkod dan dibuat perbandingan bagi mengukur tahap penguasaan murid berdasarkan kemahiran dan aktiviti yang dijalankan oleh guru.
8.0       Langkah Tindakan
Tindakan pertama ialah penyediaan ujian pra dan ujian pasca. Setelah dikaji tentang keputusan ujian pra, saya dapat memahami kelemahan murid dalam penguasaan Matematik, khususnya pecahan. Saya telah menjalankan beberapa tindakan untuk mengatasi kelemahan matematik pelajar. Permainan matematik telah dipilih sebagai alat yang penting dalam mengatasi penguasaan pelajar. Antara permainan matematik yang dipilih seperti kuiz, mencantumkan kad, dan latih tubi.
            Bagi aktiviti kuiz, saya telah menyediakan soalan yang meliputi soalan pecahan matematik. Setiap kumpulan diberikan masa 1 minit untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Markah bagi kumpulan yang tepat adalah sebanyak 3 markah. Manakala, bagi kumpulan yang kedua menjawab soalan dengan betul ialah 1 markah. Kuiz ini dijalankan selama 2 bulan dan setiap soalan kuiz adalah berbeza bagi membentuk kepelbagaian soalan.
            Manakala, aktiviti mencantum kad merupakan aktiviti yang menyeronokan. Dalam kad tersebut akan ditulis soalan-soalan matematik yang berkaitan dengan pecahan dan jawapannya diasingkan pada kad yang lain. Pelajar-pelajar dikehendaki membaca soalan dan mencari jawapan pada rakan mereka. Seterusnya mereka akan mencantum kad-kad tersebut mengikut jawapan yang tepat dan sekaligus melekatkannya di hadapan kelas sebagai tatapan pelajar-pelajar lain.
            Sebagai kemuncak kepada kedua-dua aktiviti tersebut, pelajar-pelajar juga diberi latih tubi soalan-soalan matematik yang berkaitan dengan pecahan dalam tempoh masa tertentu. Aktiviti latih tubi dilakukan secara berulang-ulang dalam masa 2 bulan bagi melihat perkembangan dan penguasaan murid-murid tersebut.
9.0       Analisis Data
            Berdasarkan ujian pra yang telah dijalankan didapati 9 orang pelajar sahaja yang lulus (menguasai) manakala 21 orang lagi gagal. Keadaan menunjukkan bahawa pada peringkat awal aktiviti pengajaran guru hanya 30.0% murid sahaja yang menguasai aspek tatabahasa yang berkaitan kata adjektif dengan baik. Setelah rawatan diberikan, melalui keputusan ujian pasca dua bulan berikutnya; keputusan pelajar yang lulus seramai 26 orang, yakni 86.7% berjaya. Pengkaji mendapati kaedah, strategi serta aktiviti yang telah dijalankan amat berkesan meningkatkan penguasaan pelajar terlibat dalam topik pecahan yang berkaitan dengan mata pelajaran Matematik. Usaha untuk memperbaiki keputusan pelajar ini boleh dipergiatkan lagi dengan penambahan aktiviti yang dijalankan bagi tempoh masa yang lama lagi.
10.       Refleksi Tindakan 
Kajian Tindakan ini dapat memberikan kesedaran kepada saya tentang masalah pelajar yang lemah dalam sesuatu aspek pembelajaran. Hakikatnya, ada usaha dan cara tertentu bagi guru menyelesaikan setiap masalah pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan. Dengan ini, saya dapat mengesan dan mengatasi kelemahan pelajar saya secara bijak dan profesional melalui kajian tindakan ini. Walaupun banyak kerja lain dan kekangan masa, namun usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan melalui kajian tindakan seumpama ini. Akhirnya, saya sebagai guru dan pengkaji sangat berbanggga  dengan usaha ini kerana berjaya meningkatkan penguasaan pelajar Tingkatan 3 yang diajar oleh saya di sekolah yang dikaji. Adalah menjadi harapan saya agar guru-guru (pengkaji) lain boleh menggunakan rekabentuk kajian yang sama di tempat lain bagi responden yang berbeza agar masalah pembelajaran dalam kalangan pelajar dapat diatasi secara akademik.

RUMUSAN
Kajian tindakan ini adalah satu kajian yang baik dijalankan di peringkat sekolah. Kajian ini bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan pelajar tetapi juga dapat memperbaiki teknik pengajaran guru dan pembelajaran pelajar di sekolah. Diharap kajian ini bakal dijadikan paduan dan rujukan para guru serta penyelidikan lain dalam usaha mempertingkatan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

BIBLIOGRAFI:
Abd. Rahim Abd. Rahsid. (1999). Kemahiran Befikir Merentasi Kurikulum. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Kamus Dewan. (2000). Edisi 3. Kuala Lompur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia.(2000). Laporan Tahunan. Kuala Lumpur :
Educational Planning and Research Division.

Kementerian Pendidikan Malaysia.(2001). Education in Malaysia- a journey to
 excellence. Kuala Lumpur : Educational Planning and Research Division.
Yahya Don. (2005). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.












No comments:

Post a Comment