Translate

Wednesday 1 October 2014

Pendidikan Kesihatan

Pengenalan
Pendidikan ialah satu institusi sosial yang sudah wujud sejak tamadun awal manusia lagi dan berfungsi untuk mewariskan budaya, tradisi, ilmu, pemikiran dan kemahiran hidup manusia. Senario pendidikan kini amat mencabar dan terus berkembang dalam konteks masyarakat global. Cabaran perlaksanaan Wawasan 2020 menjadi persoalan sejauh manakah Wawasan Pendidikan Negara berjaya dicapai. Proses melahirkan insan yang dapat memberi sumbangan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah  negara maju dan cemerlang pendidikan dalam erti kata sebenar (Mok Soon Sang, 2002).

Menurut Yahya Don (2005) proses perkembangan bangsa dan proses kemajuan negara berkaitan secara langsung dengan sistem pendidikan. Pendidikan bermutu melahirkan generasi yang sedar dan insaf dengan erti hidup dan tanggungjawab. Mereka terus berusaha memperkembangkan potensi masing-masing bagi mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, pendidikan berfungsi sebagai alat untuk memenuhi kepeluan-keperluan negara dalam pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial. Dalam konteks sebuah keluarga ianya merupakan tunjang kekuatan sesebuah negara dalam banyak segi. Jika banyak masalah keluarga yang berlaku sudah tentu mendorong kepada permasalahan negara secara kolektif.

Menyedari akan pentingnya pertumbuhan keluarga yang sihat sejajar dengan nilai dan norma masyarakat Malaysia maka cabaran untuk melengkapkan murid dengan kualiti dan kemahiran yang perlu bagi memastikan mereka mempunyai masa hadapan yang lebih baik dan bersedia menghadapi pembangunan ekonomi yang pesat dan perubahan persekitaran. Justeru, proses pembentukan keyakinan diri, disiplin dan unsur positif lain dalam pembentukan sahsiah diri akan digabungkan dalam program Pendidikan Kesihatan terutamanya pendidikan kesihatan keluarga. Langkah ini juga diambil berat untuk meningkatkan akses kepada program pembelajaran sepanjang hayat yang lebih luas untuk mendapatkan pendidikan dan latihan seterusnya membangunkan mereka untuk menjadi lebih berbakat, inovatif, kreatif dan cemerlang dalam bidang yang dipilih. Program gaya hidup sihat akan dilaksanakan secara lebih meluas sejajar dengan ”Program Kempen Cara Hidup Sihat”.

Pendidikan Kesihatan Keluarga

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), pelaksanaan program pembangunan keluarga dan masyarakat akan memberi penekanan yang lebih kepada membina keluarga yang berdaya tahan bagi mencapai keseimbangan yang optimum antara pertumbuhan kebendaan dan pembangunan masyarakat. Sehubungan ini, usaha ke arah memperkukuh unit kekeluargaan, meningkatkan penyertaan masyarakat dan peranan masyarakat umum serta badan bukan kerajaan (NGO) ke arah memupuk masyarakat yang lebih bertolak ansur dan penyayang akan dilaksanakan. Usaha bersepadu akan diambil untuk memupuk perpaduan dan integrasi yang lebih kukuh di kalangan rakyat Malaysia bagi memastikan kestabilan sosial.

Usaha telah diambil bagi memperkukuh unit kekeluargaan sebagai asas untuk mewujudkan masyarakat aman, makmur dan stabil. Kesedaran terhadap kepentingan dan manfaat keluarga bahagia dan harmoni serta membantu keluarga menghadapi perubahan persekitaran kehidupan amat dititikberatkan oleh kerajaan sekaligus mengiktiraf keluarga sebagai keutamaan sosial dan unit asas masyarakat yang perlu dilindungi dan disokong oleh komuniti dan negara.

Dalam menyokong program pembangunan keluarga dan masyarakat selaras dengan objektif mewujudkan masyarakat penyayang, Kurikulum Pendidikan Kesihatan digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat sihat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kesihatan Diri dan Keluarga, Gaya Hidup Sihat, Kebersihan dan Keselamatan Persekitaran. Tiga tunjang ini membantu mencapai matlamat dan objektif Pendidikan Kesihatan (Pusat Perkembangan Kurikulum, KPM, 1999). Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Kesihatan agar dapat mengamalkan gaya hidup sihat sebagai budaya masyarakat Malaysia. Murid dididik supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran perubahan persekitaran dan sosial. Betepatan dengan idea pendidikan kesihatan keluarga merentas kurikulum, Kurikulum Pendidikan Kesihatan yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi individu ke tahap optimum.

Dalam konteks pendidikan kesihatan keluarga aspek kesihatan dilihat dari perspektif membantu murid meningkatkan pengetahuan kesihatan, memupuk sikap positif terhadap kesihatan, dan mengamalkan gaya hidup sihat. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1999) objektif-objektif Pendidikan Kesihatan Keluarga adalah (i) mempertingkatkan pengetahuan kesihatan diri, keluarga, masyarakat dan persekitaran; (ii)  menguasai kemahiran bagi menghadapi dan menangani masalah dan isu berkaitan dengan kesihatan; (iii) membentuk sikap yang positif terhadap kesihatan berasaskan pengetahuan dan pengalaman; (iv) menjadikan gaya hidup sihat sebagai rutin harian; dan (v) berperanan aktif dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan.

Pendekatan Integrasi

Pembangunan modal insan merupakan satu agenda penting negara bagi mengupayakan kapasiti negara ke arah mencapai status negara maju sejajar dengan Wawasan 2020. Sumber guna tenaga negara yang dihasratkan harus memiliki ciri-ciri unggul bagi menyediakan mereka dengan cabaran dunia menjelang 2020. Maka, pembangunan kapasiti sumber insan perlu dilaksanakan secara terancang dan berkesan bermula dari sekarang. Usaha ini telah diterapkan mula dalam sistem pendidikan negara melalui pengisian kandungan kurikulum dan aktiviti pembelajaran yang mengarah kepada pembangunan kapsiti jasmani, emosi, rohani dan intelek relevan dengan keperluan semasa dan masa akan datang.Sememangnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan kapasiti modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam mencapai matlamat pendidikan ini sewajarnya pendekatan integrasi digunakan dalam membentuk kurikulum pendidikan selaras dengan keperluan psikologi, sosiologi dan pedagogi.

Berbagai-bagai jenis pendekatan integrasi yang terdapat dalam sistem pendidikan kita, umpamanya penggabugjalinan. Penggabungjalinan merupakan proses mengintegrasikan pelbagai bidang kemahiran bagi mewujudkan suatu pelajaran yang integratif dan menyeluruh.  Sebagai contoh, penggabungjalinan pelbagai kemahiran  dalm satu mata pelajaran; penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain dalam satu mata pelajaran; dan penggabungjalinan kemahiran secara merentas kurikulum.

Selain itu, penyerapan juga merupakan salah satu proses menyebati dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Justeru, kurikulum yang merupakan elemen terpenting sistem pendidikan perlu bersifat dinamik dan relevan dengan kehendak semasa mahupun keperluan masa akan datang. Kurikulum di Malaysia ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang murid secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Menurut Sidek Baba (2009) Keberkesanan pendekatan integrasi boleh diperkukuhkan lagi dengan pendekatan pembelajaran secara kontekstual dan eksperiantial (contextual and experiencial learning).

Pendekatan Bersepadu

Pendekatan bersepadu pula menggabungkan pelbagai keadah dan cara untuk menyampaikan sesuatu pengetahuan, sikap yang postif dan kemahiran. Proses pengajaran dan pembelajaran bersepadu menyahut realiti baru pembelajaran yang berfokuskan murid (student centred) sewajarnya difahami oleh pihak guru. Pembelajaran secara tradisional sahaja tidak mencukupi dalam usaha mendapatkan maklumat dan ilmu dengan lebih cepat. Dalam hal ini, bakat dan pemikiran murid-murid dapat dijana serta digalakkan pada usia yang masih rendah. Penggunaan deria dan respon emosi yang positif mampu memperolehi pengalaman dan mengembangkan pemikiran yang kritis dalam pembelajaran murid-murid. Pengajaran guru secara konvensional sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang. Fokus bagi meningkatkan keseronokan belajar (the joy of learning) perlu difahami oleh guru dan dipraktikkan selaras dengan pendekatan pembelajaran aktif (active learning) dan pengajaran berpusatkan murid (student centred).

Pengajaran dan pembelajaran secara bersepadu turut melibatkan pelbagai kemahiran seperti mendengar,bertutur, membaca dan menulis. Dari segi strategi pengajaran dan pembelajaran pula mata pelajaran (Pendidikan Kesihatan) ini menggalakkan teknik dan gaya pembelajaran secara kendiri, akses kendiri dan terarah kendiri bagi tumpuan peningkatan pelbagai kecerdasan murid. Dalam setiap kegiatan pembelajaran, pemupukan nilai serta pemahaman unsur kesihatan dihubungkaitkan dengan kemahiran asas kesihatan. Amalan rutin kesihatan dilakukan dalam suasana riang dan meyakinkan. Nilai-nilai murni diterapkan selaras dengan matlamat mata pelajaran ini. Antara nilai yang perlu diterapkan dan diamalkan ialah kebersihan, keselamatan, tanggungjawab, keprihatinan, kasih sayang dan kerjasama.

Tidak kurang pentingnya iaitu aspek penilaian untuk mengesan perkembangan, kebolehan, kemahuan dan pencapaian murid yang perlu dibuat dalam pergerakan dan dikaitkan dengan kurikulum. Penilaian merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara berterusan. Penilaian mata pelajaran ini dirancang dan dikendalikan oleh guru di peringkat sekolah. Instrumen penilaian dibina dan ditadbir oleh guru. Penilaian boleh dibuat secara pemerhatian, penulisan dan lisan. Guru juga perlu membuat pemeriksaan fizikal secara berkala. Hasil penilaian digunakan untuk tindakan susulan bagi meningkatkan pembelajaran murid dan memperbaiki pengajaran guru. Pelaporan perlu dibuat di peringkat sekolah bagi memberi maklum balas kepada murid, ibu bapa dan guru lain. 

Jenis Pendekatan
Bagaimana dijalankan
Contoh
Integrasi
1. Penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran.
2. Penyerapan di mana meliputi proses menyebati dan menyatupadukan pengetahuan.

1. Kecekapan melaksanakan aktiviti – membaca, menulis, menghurai, mengira, mewarna, menyanyi, melukis, melabel, mengarang, becerita, berlakon dan sebagainya.
2. Mendengar, lisan, membaca dan menulis.
3. Kemahiran matematik digabungjalinkan dengan kemahiran bahasa.
Bersepadu
1. Cara seseorang guru mendekati
sesuatu iaitu merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan untuk
mencapai objektifnya.
2. Memilih pendekatan pengajaran yang digunakan.
1.Mengetahui latar belakang murid terlebih dahulu supaya senang memilih dan merancang pengajaran.
2. Mengenal pasti sifat atau keperluan murid-muridnya,
maka guru tersebut akan dapat memilih dan menggunakan pendekatan yang
sesuai.

Kesesuaian Pedekatan Bersepadu

Dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan pemilihan pendekatan bersepadu dalam proses pengajaran dan pembalajaran adalah bersandarkan kepada konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu iaitu merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan untuk mencapai objektifnya. Sebagai guru yang mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya mestilah mengetahui terlebih dahulu latar belakang mereka. Ini kerana, dengan mengetahui latar belakang mereka, guru tersebut dapat memilih dan merancang pengajarannya dengan menggunakan pendekatan yang sesuai. Guru tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama terhadap murid yang berlainan. Ini dikhuatiri proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan tidak berkesan iaitu tidak mencapai objektif. Sekiranya guru dapat mengenal pasti sifat atau keperluan murid-muridnya, maka guru tersebut akan dapat memilih dan menggunakan pendekatan yang sesuai, tepat dan betul supaya proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif. Tujuan menggunakan pendekatan yang sesuai ini ialah supaya guru-guru dapat mencapai objektif yang diharapkan. Guru yang berkemahiran ialah guru yang bijak menggunakan pendekatan yang tertentu di dalam pengajarannya.

Pendekatan pertama yang akan dihuraikan di sini dikenali sebagai pendekatan Induktif. Pendekatan Indukif ialah pendekatan yang melibatkan aktiviti mengumpul dan menafsir maklumat-maklumat kemudian membuat generalisasi dan kesimpulannya. Maksudnya di sini ialah menggunakan pendekatan dengan mengemukakan contoh yang khusus kepada murid-murid kemudian murid-murid akan berfikir seterusnya akan membuat generalisasi atau kesimpulan umum yang berkaitan dengan contoh tersebut. Inilah yang dimaksudkan sebagai pengajaran Induktif di mana guru memberi contoh dan menyoal murid tentang kefahaman mereka dan cuba membuat persamaan dengan situasi lain.

Sebagai contoh, pengajaran mata pelajaran Pendidikan Kesihatan berhubung dengan topik penjagaan  kesihatan diri dengan memberi contoh yang sesuai dengan pengalaman murid. Misalnya, mencuci gigi, mandi, mencuci tangan sebelum makan dan seumpamanya akan memberi kefahaman lebih baik di mana murid-murid pernah melakukan aktiviti tersebut. Dengan cara ini murid mudah ingat dan faham dengan isi pengajaran guru kerana dengan membuat teori atau kesimpulan umum tersebut murid mudah mengingati dan mudah mengaplikasikannya semasa menjawab peperiksaan.


No comments:

Post a Comment