Translate

Saturday 25 April 2015

MEDIA PENGAJARAN KOMPUTER

Pengenalan
Pendidikan merupakan salah satu komponen atau asas penting yang boleh menjadi wahana kepada pencapaian matlamat membina masyarakat Malaysia yang berintegriti, bermoral dan beretika. Kita perlu bersikap adil dengan tidak menafikan bahawa agenda ini telah pun terkandung dalam sistem pendidikan kebangsaan. Malah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) secara jelas menggariskan matlamat untuk membentuk insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi dam jasmani (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000). Falsafah ini kemudiannya diterjemahkan dalam sistem pendidikan negara dengan pelbagai strategi dan pendekatan.
Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983), Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) (1993), KBSR Semakan (2003), kini matlamat KSSR (2011) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) keseluruhannya. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Kini, Bahasa Malaysia perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.
Dalam hal ini proses pengajaran dan pembelajaran yang baik dan berkesan adalah melibatkan kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain supaya menjadi lebih berkesan dan kreatif adalah amat penting sekali. Peranan guru yang kreatif dan inovatif juga penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Abd. Rahim (1999) menyatakan daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah  atau metod pengajaran mencorakkan  perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para murid. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang guru memulakan sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan dan sebagainya. Kaedah pengajaran adalah satu siri tindakan guru (cara) yang sistematik bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid-murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar (media pengajaran) yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.   
Sehubungan dengan itu, peranan penting wahana pendidikan formal bermula di peringkat sekolah rendah lagi. Dalam hal ini, guru berperanan efektif bagi mencapai aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) melahirkan individu seimbang, harmonis, bersepadu, dan berketerampilan ke arah mewujudkan ‘First Class Human Capital’ seperti yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Negara Malaysia (Mohammad Johdi Salleh et al., 2009).
Menurut Mohammad Johdi Salleh et al., (2009) lagi, pendidikan sekolah rendah amat penting dalam memastikan sistem pendidikan negara berjalan lancar dan matlamat  pembangunan negara dapat dicapai secara maksimum. Kementerian Pelajaran Malaysia (2000) menyatakan objektif persekolahan sekolah rendah ialah membantu perkembangan diri murid, persediaan persekolahan, persediaan persekolahan menengah, pemahaman budaya dan kemahiran sosial, pembinaan minat, keagamaan dan moral, dan, sedia memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Bertepatan dengan keperluan dan matlamat kursus ini, pemilihan dan adaptasi media pengajaran Bahasa Malaysia merupakan usaha dan langkah penting bagi meningkatkan keberkesanan guru yang mengajar di bilik darjah pula tidak tercapai dengan baik tanpa sokongan bahan bantu mengajar yang kreatif, cantik dan menarik.  Media pengajaran (Bahan Bantu Mengajar) itu pula perlu diinovasikan. Mengikut Kamus Dewan (2005) menjelaskan inovasi bermaksud memperkenalkan sesuatu yang baru atau memperbaharui sesuatu yang telah sedia ada dengan diberi wajah baru atau penambahbaikan.
Media Pengajaran Komputer dan Slaid LCD
Dalam konteks ini, pemilihan media pengajaran yang akan dibincangkan dalam tugasan ini berhubung dengan media audio-visual yang melibatkan penggunaan komputer dan skrin LCD. Media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadinya proses pembelajaran. Media pengajaran juga merujuk kepada peralatan atau perkakasan dan bahan (perisian) media yang dikenalpasti (dipilih), dibina atau dipinda untuk menyokong atau mengendalikan sendiri proses pengajaran dan pembelajaran (Yusup, 1992). Pemilihan media ini sesuai dengan perkembangan dan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini.
Tambahan pula, di sekolah para guru sudah biasa dan mahir menggunakan komputer sebagai akses pengajaran, akur akan keberkesanannya sebagai medium penyampaian isi pelajaran kepada murid-murid. Menurut kajian lepas, media pengajaran yang melibatkan alat pandang dengar (audio-visual) ini, konsep kefahaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh manusia, 75% adalah diperolehi melalui deria pandang, 13% daripada deria dengar, 6% daripada deria sentuh, 3% daripada deria rasa, 3% daripada  deria bau  ( Mok Soon Sang & Lee Shok Mee, 1986 ). Kajian UNESCO pula 10% apa yang dibaca, 20% apa yang didengar, 30% apa yang didengar dan dilihat, 70% apa yang disebut dan diucapkan, dan manakala 90% apa yang disebut sambil melakukannya. Keadaan ini menunjukkan bahawa media pengajaran audio-visual ini amat berkesan dalam menyampaikan isi pelajaran di kelas dan seterusnya memudahkan pemahaman murid.
             Berdasarkan kajian di atas juga, bolehlah dikatakan bahawa pancaindera pandang dan dengar merupakan dua saluran indera yang penting sekali dalam proses pembelajaran, terutama bagi murid-murid di sekolah rendah. Bagi murid-murid dalam lingkungan umur  6 – 12 tahun, mereka masih banyak bergantung kepada pengalaman-pengalaman konkrit dan banyak menggunakan deria pandang dan dengar untuk menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, sumber pengajaran dan pembelajaran (bahan bantu mengajar) khasnya alat pandang dengar (audio-visual), memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas KSSR.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah, bukan semua bahan, pendekatan, kaedah, strategi, teknik, aktiviti yang dirancang guru sesuai bagi semua keadaan dan semua murid. Maka, seseorang guru perlu mengubahsuai dan mengadaptasi media, khususnya media pengajaran yang digunakan di dalam kelas. Hal ini diakui Tomlinson (2003) semua bahan yang ada di pasaran bebas daripada kesalahan tatabahasa, latihan tatabahasa yang tidak mencukupi, bahan bacaan mempunyai terlalu banyak kosa kata yang sukar, teks terlalu senang-jawapan boleh dipetik terus daripada teks, bahan bacaan tidak autentik, tidak cukup panduan, dan bahan yang dibicarakan (disampaikan) tidak mencapai (melebihi) tahap kematangan pelajar. Jelas bahawa peranan seseorang guru yang kreatif dan inovatif dapat mengadaptasi media pengajaran berkenaan agar menepatikeperluan, gaya, kemahiran dan citarasa sebenar (real choice) proses pengajaran dan pembelajaran (learners deciding how they want to learn rather than what they want to learn).
Media pengajaran berasaskan komputer adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran  baik dan lebih menarik. Media ini tidak tersisih sifatnya daripada proses pengajaran dan pembelajaran malah sebagai pemangkin (catalyst) membantu atau mempercepatkan  proses pemahaman murid-murid.  Mengikut Noraziah Abdul Hamid (1981), bertajuk ‘Alatan Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa’,  ‘alat bantu’ (media pengajaran) itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau mempercepatkan  proses pemahaman mereka. Edgar Dale (1964) yang digambarkan dalam bentuk ‘cone of experience’ di mana proses pembelajaran bermula dengan proses aspek semi-abstrak hingga kepada yang lebih abstrak.
Rajah 1: Model ‘Cone of Experience’ (Dale, 1964)

Berdasarkan Model Edgar Dale (1964) ‘Cone of Experience’, herarki pengalaman pembelajaran yang diklasifikasikan menggunakan media dan teknik yang boleh digunakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat tiga peringkat pengalaman pembelajaran iaitu proses penglibatan, pemerhatian dan persimbolan. Pengalaman pembelajaran murid-murid bermula dari konkrit ke abstark. Media yang baik adalah media yang dapat memperjelaskan, menggambarkan, mengawal dan menarik tumpuan pemikiran dan emosi murid untuk memahami dan mengekalkan kefahaman dalam tempoh jangka panjang. Sebagai contoh, proses memberi pengalaman oleh guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu berkaitan dengan topik tatabahasa, ayat tunggal. Dari segi pemeringkatan proses membangunkan model media pengajaran Bahasa Melayu bertajuk ‘Perayaan’ dapat dijelaskan seperti di bawah.
(i)                 Peringkat Penglibatan
Peringkat yang pertama adalah penglibatan yang membabitkan pengalaman konkrit. Oleh hal yang demikian, kita dapat lihat bahawa pengalaman konkrit atau pengalaman sebenar menjadi asas permulaan dengan penglibatan pelajar itu sendiri sama ada melalui pengalaman sebenar atau tiruan, lakonan atau drama. Sebagai contoh, dalam pengajaran Bahasa Melayu Tahun 2 yang bertajuk ‘Perayaan’ bahan bantu mengajar seperti tayangan video melalui computer dan Slaid LCD sesuai dijadikan media pengajaran. Oleh hal yang demikian, murid dapat mengalami sendiri proses pembelajaran iaitu mereka dapat merasa, mengamati, melihat, menghidu dan sebagainya menggunakan pancaindera sendiri. Pastinya, aktiviti sebegini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna serta berkualiti di samping menarik perhatian mereka. 
(ii)               Peringkat Pemerhatian
Seterusnya, pada peringkat yang berikutnya, pengalaman konkrit akan semakin berkurangan sejajar dengan peranan pelajar sebagai pemerhati kepada peristiwa sebenar berkurangan. Pada peringkat kedua ini iaitu peringkat pemerhatian, murid bertindak sebagai pemerhati terhadap peristiwa sebenar sesuai dilaksanakan dalam bentuk lawatan, tunjuk cara, pameran, gambar bergerak seperti televisyen dan gambar kaku seperti filem. Lazimnya, pengajaran berbantukan multimedia (Komputer dan Slaid LCD) masih lagi berkesan dalam membantu meningkatkan tahap penguasaan murid untuk memahami konsep kerana strategi pengajaran yang dijalankan masih lagi berpusatkan murid. Kedua-dua peringkat ini, iaitu penglibatan dan pemerhatian ini diaplikasikan secara beransur-ansur kerana ia bersesuaian dengan proses pemerolehan objektif pembelajaran yang kandungan amat sedikit atau tidak diketahui murid. Selaras dengan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan objektif pembelajaran ini seperti yang telah dipilih oleh penulis adalah Komputer dan Slaid LCD yang sangat berkesan dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif.
(iii)             Peringkat Persimbolan
Peringkat tertinggi dalam ‘Cone of Experience’ ialah peringkat persimbolan iaitu yang paling abstrak. Dalam hal ini, murid akan mengalami pengalaman yang abstrak iaitu mereka mentafsir simbol visual dan verbal yang mewakili peristiwa tersebut. Pengalaman abstrak merupakan pengajaran konvesional yang amat menitikberatkan teks. Segala perancangan yang direncanakan sememangnya lebih cepat dan kos yang murah namun kedapatan risikonya. Lazimnya, pelajar mungkin akan terkeliru dengan penggunaan simbol verbal dan visual kerana mereka masih tidak mahir dalam mentafsir simbol-simbol tersebut.
Oleh hal yang demikian, semakin banyak penggunaan simbol abstrak (verbal dan visual), semakin ia disifatkan sebagai ‘cepat tetapi berisiko’. Konklusinya, berdasarkan ‘Cone of Experience’, objektif pembelajaran pada peringkat ini hanya akan tercapai jika murid telah mempunyai pengetahuan sedia ada yang telah dikuasai secara konkrit. Hal ini ada dijelaskan oleh Edgar Dale (1946) bahawa prasyarat setiap murid telah mempunyai banyak maklumat konkrit sebelum mereka mampu memanfaatkan dan memanipulasikan aktiviti pembelajaran bagi mentafsir konsep yang abstrak. 
Namun, rangsangan dan kecerdasan pemikiran masih diperlukan dalam mengoptimumkan impak pembelajaran. Rangsangan yang diterima daripada alam sekeliling sesuai menjadi bahan bantu untuk diproses oleh kecerdasan dan akan menghasilkan pengetahuan dan pengalaman murid. Meskipun rangsangan daripada alam sekeliling ini amat banyak, namun tidak semuanya itu dapat difahami atau ditanggapi murid. Rangsangan yang sukar ditanggap tidak akan dapat diproses dan tidak akan membentuk pengalaman baharu.
Justeru, seseorang murid yang memiliki kecerdasan yang tinggi, namun kurang mendapat rangsangan, maka ia tidak akan menghasilkan perkembangan kecerdasan dan pengalaman yang berkesan. Dapat dirumuskan di sini bahawa guru berperanan besar dalam menentukan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran. Hal ini adalah kerana bahan-bahan itu merupakan wadah yang mampu mewujudkan rangsangan lantas akan bertindak memperkembang kecerdasan dan pengalaman pelajar. Pastinya penggunaan bahan-bahan bantu mengajar berdasarkan ‘Cone of Experience’ adalah antara aspek yang memberi kesan terhadap peningkatan prestasi murid-murid.

Berdasarkan perbincangan di atas jelas membuktikan bahawa di dalam penggunaan media pengajaran adalah penting kerana penggunaan media pengajaran bersifat moden sekarang ini seperti Komputer dan Slaid LCD dapat meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Media pengajaran tradisi seperti penggunaan bahan maujud, bahan asli di sekeliling murid perlu digandingkan bersama dengan media pengajaran moden masa kini, ini pasti menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik lagi. Sebagai rumusannya ‘back to basics’ adalah perlu dan sesuai dengan cadangan pelopornya John Dewey  (1961) yang mahukan pendemokrasian pendidikan yang sentiasa berubah (cycle) dari tahap ke tahap mengikut masa, keperluan, kehendak masyarakat dan  berbagai fenomena di sekelilingnya.

No comments:

Post a Comment