Tajuk: Asal-usul seni bermukun dan persembahannya dalam konteks masyarakat Melanau
di Daerah Matu Daro Sarawak.
Memandangkan Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, menyebabkan
wujudnya pelbagai persembahan tradisional. Lazimnya setiap masyarakat mempunyai
kepelbagaian persembahan tradisional
yang unik. Pelbagai kesenian kaum ini dipengaruhi oleh masyarakat luar. Secara
umumnya, kesenian dan hiburan tradisional ini dibawa dari luar tetapi telah
mengalami beberapa proses pengubahsuaian dan unsur-unsur budaya tempatan agar
mudah diterima oleh masyarakat di sini.[1]
Secara
umumnya, latihan ilmiah ini adalah mengenai kajian tentang kesenian dan
kebudayaan masyarakat tempatan.Secara umumnya kesenian merupakan aspek-aspek
yang dipamerkan atau ditonton di khalayak ramai. Ini meliputi tarian, muzik
nyanyian dan teater. Kebudayaan pula merupakan amalan dan upacara dalam
kehidupan harian. Keadaan ini meliputi pakaian, adat, serta pelbagai perayaan
kaum di Malaysia.[2] Penulis memilihtajuk seni bermukun atau bergendang dalam konteks
masyarakat Melanau di Daerah Matu Daro, Sarawak. Seni bermukun atau bergendang
ini amat popular dalam etnik Melanau dan Melayu di negeri ini. Persembahan
bermukun Melanau tiada bezanya dangan cara persembahan masyarakat Melayu Sarawak.
Bergendang dan bermukun merupakan satu aktiviti yang masih diamalkan oleh
sesetengah masyarakat Melanau dan Melayu, khususnya di kawasan kampung-kampung.
Bermukun merupakan persembahan tradisional Sarawak yang membabitkan persembahan
tarian dan pantun berlagu yang diiringi oleh gesekan biola dan gendang. Seni
ini merupakan satu khazanah yang diwarisi sejak zaman-berzaman.[3]
Kajian ini
bertujuan untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang sejarah asal usul seni
bermukun ini dalam konteks masyarakat Melanau. Sejarah asal sesebuah kebudayaan
seni amat penting kerana melalui sejarah masyarakat dapat lebih mengenali seni
tersebut dan membolehkan masyarakat untuk mendalami kesenian tersebut. Selain
itu, penulis juga akanmengupas berkenaan elemen-elemen penting dalam
persembahan seni bermukun, serta alat muzik yang digunakan dalam persembahan
tersebut. Elemen utama dalam persembahan bermukun adalah satu perkara yang
harus dititikberatkan kerana ianya merupakan satu pelengkap kepada persembahan
tersebut. Persembahan seni bermukun akan menjadi tidak menarik dan tidak
sempurna sekiranya salah satu daripada elemen tersebut tiada. Pengkaji juga ingin
mengenalpasti peranan seni ini kepada masyarakat agar timbul kesedaran dalam
diri pengkaji dan masyarakat sekitar akan betapa seni bermukun ini berperanan
penting dalam pelbagai aspek kehidupan seperti dari aspek sosial masyarakat.
Permasalahan
kajian adalah mengenai kemalapan persembahan bermukun dalam masyarakat Melanau
pada hari ini. Kajian ini bersesuaian dengan kemalapan beberapa kesenian
Sarawak berikutan daripada transformasi Negara kearah era kemodenan. Kebanyakan
rakyat negara ini,terutama golongan remaja yang masih mentah mula melupakan
kebudayaan asal rakyat kerana terikut-ikut dengan trend yang wujud pada masa ini.Kemodenan yang wujud bukan merupakan
satu alasan kepada masyarakat hari ini untuk menghapuskan pelbagai kesenian
rakyat, namun sikap rakyat yang mengagung-agungkan budaya luar adalah
menimbulkan permasalahan dalam menerapkan kebudayaan asal kita ke dalam jiwa
masyarakat terutama remaja hari ini. Justeru itu, kajian ini mengupas sejarah
bagaimana kewujudan seni bermukun ini agar remaja pada hari ini mengetahui
tujuan sebenar bermukun ini diadakan pada zaman dahulu dan bagi mendapatkan
semula tempat seni ini dalam hati mereka yang kian hanyut dalam arus
globalisasi.Selain itu,sejauhmana kepentingan beberapa elemen utama dalam
persembahan seni ini juga akan turut dikaji oleh pengkaji. Sehubungan itu, sejauhmana
masyarakat dapat mendalami seni
kehalusan berpantun yang merupakan satu eleman penting dalam adat
bermukun ini.
Menurut Mohd
Fauzi Abdullah (1985) dalam kajiannya
“pemikiran cinta bermukun dalam gendang melayu Sarawak” kebudayaan merujuk langsung kepada “the
way of life” atau cara hidup dan
pemikiran masyarakat. Penelitian
terhadap elemen pantun atau mukun dalam seni ini membolehkan kita menyelami
pemikiran dan cara hidup masyarakat terdahulu. Persoalan seperti, apakah hal
yang sering masyarakat fikirkan? Bagaimana persepsi masyarakat terhadap sesuatu
hal yang berkaitan dengan kehidupan mereka? Bagaimana masyarakat menyelesaikan
masalah yang mengganggu hidup mereka ? Sesungguhnya puisi tradisional seperti pantun
mukun agak asing dan misteri bagi kehidupan masyarakat hari ini.Oleh itu kajian
ini juga mengkaji sejauhmana peranan seni mukun ini dalam kehidupan masyarakat
dahulu dan sekarang.[4]
Seterusnya,
kajian ini amat penting kepada seluruh
lapisan masyarakat dalam memahami seni bermukun yang menjadi khazanah nenek
moyang etnik Melayu dan Melanau di Sarawak. Hasil kajian ini diharapkan dapat
memberikan satu gambaran umum kepada masyarakat terutamanya etnik Melanau yang
menjadi penggiat utama seni bermukun ini. Malahan dapat menimbulkan perasaan
cinta akan seni kebudayaan sesebuah masyarakat itu sendiri. Masyarakat dapat
mengetahui sejarah asal seni itu wujud dalam etnik mereka sendiri. Pengkaji juga
mengharapkan agar hasil kajian ini boleh menjadi rujukan pengkaji seterusnya. Pengkaji
amatlah berharap agar masyarakat sedar
akan peranan seni bermukun ini terhadap pelbagai aspek kehidupan kita. Justeru
itu, kajian ini amat penting bagi menghidupkan semula seni warisan dan
khazanah nenek-moyang masyarakat Melanau iaitu bermukun yang kian tenggelam
dalam arus modenisasi ini. Berdasarkan kajian ini, diharapkan minat masyarakat
terhadap kaeindahan seni dan kebudayaan bermukun ini akan bertambah seterusnya
memperkembangkan seni ini agar dapat dikenali dan menjadi khazanah yang bakal
dihargai dan diteruskan oleh generasi akan datang.
Kajian
yang dilaksanakan oleh pengkaji ialah
meliputi kerangka masa selama 30 tahun iaitu antara tahun 1970 hingga tahun
2000. Perbincangan kajian ini akan membincangkan tentang asal bermulanya
kegiatan seni bermukun ini dalam konteks masyarakat Melanau di Daerah Matu Daro
yang di fokuskan di Kampung Penibong. Kampung Penibong merupakan sebuah kampung
yang terdapat dalam pulau Bruit di Daerah Matu Daro. Semua penduduk asal kampung
ini merupakan etnik Melanau asli. Kaum melanaumerupakan salah satu etnik yang
sama seperti bangsa lain di Sarawak. Kebanyakan Sarjana Barat menggambarkan
watak dan keperibadian kaum Melanau sebagai“gentle
and peace loving people”. Menurut pendapat Hugh Low (1968), mengenai kaum Melanau adalah seperti
berikut :
“…Next
members to the kyans,but of much more peaceful habits and practices,are the
orang milanowes, who inhabit the mouth of the great Rejang river, and the
small rivers to the eastward of print sirik. Their principal town is egan, on
the rivers of that name, which is,however.but a mouthof the Rejang,being that
must to the eastward; hoya,on a small riverstwenty miles of egan ;and Mocha,
on another fourteen miles east of the last mentioned settlement…”
|
Berdasarkan penyataan tersebut,
memang terbuktilah bahawa masyarakat Melanau ini merupakan masyarakat yang mendiami
kawasan persisiran pantai.
Sorotan
kesusasteraan adalah amat penting kepada pengkaji bagi kajian yang dijalankan.
Kajian lepas dapat membantu pengkaji untuk menilai dan mendapatkan maklumat
tentang kajian yang bakal dikaji sekarang dan melihat sejauh manakah kajian
lepas berkait langsung dengan kajian akan datang (Lawrence Dino, 2007). Pelbagai maklumat yang berkaitan dengan
kajian telah diperoleh daripada beberapa kajian lepas dan juga buku-buku yang
berkaitan. Antaranya ialah kajian yang bertajuk Pemikiran Cinta Bermukun dalam
Gendang Melayu Sarawak (Mohd Fauzi et.all,1985).
Selain itu Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan
dalam pembentangannya “Bergendang dan Bermukun Dalam Masyarakat Sarawak”
pada tahun 2009. Selain itu kajian juga
dibuat oleh Jasiman Ahmad dan Nora Haji Samat dalam bukunya yang bertajuk
“Persembahan tradisional” pada tahun 2001.
Kaedah
kajian yang digunakan oleh pengkaji untuk mengumpul data ialah kaedah kajian
lapangan. Pengkaji sendiri meluangkan masa menyaksikan persembahan adat
bermukun ini Selain itu, kaedah temu bual juga digunakan oleh pengkaji. Kaedah
temu ramah dan perbualan merupakan satu
kaedah yang lazim digunakan untuk
mendapatkan maklumat tentang latar belakang atau pandangan daripada seseorang.
Pengkaji telah menemubual Puan Raunah binti Mat yang merupakan salah seorang syeh[5]
gendang di Kampung Penibong bagi medapatkan keterangan lisan yang berkaitan
dengan kajian yang dilaksanakan. Selain itu, pengkaji juga menggunakan kaedah
penyelidikan buku-buku di perpustakaan dan pelbagai bahan bacaan ilmiah lain
bagi memperoleh data skunder. Kajian-kajian lepas yang telah dilaksanakan juga
merupakan satu panduan pengkaji.Bagi mengukuhkan lagi pemahaman pengkaji,
rujukan internet juga digunakan.
Dalam
suatu penyelidikan sejarah, asal-usul sesuatu perkara yang hendak dikaji adalah
amat penting agar pengkaji dapat mendalami sejarah terlebih dahulu dan
menimbulkan minat pengkaji untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang
sesuatu isu. Menurut Kamus Dewan edisi
ke-4 perkataan asal-usul boleh didefinisikan sebagai salasilah, asal keturunan
seseorang. Asal-usul juga merupakan kaedah yang mula-mula dan punca kewujudan
sesuatu perkara. Oleh itu, pengertian tersebut bertepatan dengan objektif
pengkaji yang ingin mendalami tentang
punca kewujudan dan kaedah mula-mula kesenian bermukun dalam konteks masyarakat
Melanau di Daerah Matu Daro.
Menurut Tuan
Haji Mohd Yassin (2000) secara umumnya seni tari melayu amat rapat dengan
hubungan pengaruh luar seperti kesenian Arab. Bagaimanapun,dasar atau asas sesuatu
seni itu bersifat seni melayu dan segala yang diambil dari luar itu telah
disesuaikan dengan kesesuaian melayu yang sedia wujud. Budaya bermukun
dikatakan bermula sebelum era Brooke ataupun lebih awal. Penduduk sekitar juga telah menyatakan bahawa, kesenian
bermukun ini mula wujud di Daerah ini ketika kemasukan Islam yang mula bertapak
di kawasan tersebut seperti di Kampung Sekaan Matu. Pengaruh pemerintahan
kesultanan Brunei di Sarawak sekitar
tahun 1600-an, telah banyak mencorakkan hidup masyarakat Melanau yang tinggal
di sekitar daerah ini. Buyong Adil
(1989) menyatakan peranan kerajaan Kesultanan Brunei menjadi penting dalam
penyebaran Islam dan kebudayaan Melayu. Hal ini tertumpu kepada beberapa tempat
barat daya Borneo terutama sekali di Kuching, Kelaka, Sadong, Semanggang, Sibu,
Lundu, Saribas, Muara Sungai Rejang hingga sepanjang kawasan Tanjung Datu dan
Tanjung Sirik.
Namun begitu, Puan Raunah Binti Mat yang merupakan penduduk tetap di
Daerah Matu Daro atau spesifik di Kampung Penibong menyatakan bahawa, tiada
terdapat kesasihan yang sebenar tentang bermulanya seni bermukun dalam
masyarakat Melanau ini. Namun demikian, budaya bermukun ini merupakan satu khazanah yang diperturunkan daripada nenek moyang
mereka sejak dahulu kala. Ketiadaan hiburan pada zaman dahulu mendorong
masyarakat untuk mencipta sesuatu persembahan bagi mengisi masa lapangdan dapat
memberikan hiburan kepada masyarakat.[6] Bostami
(1992) juga berpendapat bahawa dalam proses penciptaan seni traadisional,
terjadi hubungan antara subjek pencipta dan kondisi lingkungan. Pencipta seni
tradisional biasanya terpengaruh oleh keadaan sosial budaya masyarakat di suatu
tempat.Keterangan tersebut adalah sejajar dengan penjelasan Puan Raunah iaitu, asal
usul persembahan bermukun di kawasan Kampung Penibong apabila orang terdahulu
memulakan aktiviti bergendang dengan menggunakan papan terbuang. Idea tersebut
muncul apabila mereka mengetuk papan dan ianya menghasilkan bunyi dan irama
yang berbeza dan dapat menimbulkan minat penduduk untuk menari mengikut rentak
yang dipukul. Oleh itu, pelbagai idea untuk mengubah alat muzik tersebut dan
akhirnya mereka terfikir untuk menggunakan gendang yang diperbuat daripada
kulit binatang seperti lembu. Akhirnya persembahan tersebut terus
diperkembangkan dalam kalangan masyarakat Melanau di Kampung tersebut.[7]
Tarian dalam
persembahan tersebut juga diringi dengan pelbagai kesusteraan melayu
terutamanya pantun. Pantun yang dipersembahkan dalam seni ini berlandaskan
pemikiran cinta, walaupun digambarkan agak sederhana namun ianya ringan dan menghiburkan,
namun isinya mampu menggambarkan peradaban dan etika masyarakatnya,Mohd Fauzi
bin Abdullah (1985). Penjelasan tersebut di perkuatkan lagi oleh Mary (2009)
yang menyatakan bahawa menurut kata orang tua-tua, pada zaman dahulu, acara
bermukun atau bergendang adalah masa untuk mencari jodoh, berkenal-kenalan
sambil berhibur. Keadaan tersebut tidak menghairankan kerana pada masa dahulu
anak- anak gadis jarang keluar rumah dengan bebas.[8] Tambahan
lagi,pada zaman dahulu, majlis bergendang dan bermukun mengikut aturan umum
seperti “bercampak” iaitu mencampak sesuatu seperti bunga, duit syiling atau
sapu tangan ke dalam tabir yang
memisahkan tukang gendang dan para penari.[9]
Selain itu persembahan bermukun atau
bergendang ini juga dipanggil bernopeng oleh masyarakat dahulu kala kerana para
penari menggunakan topeng ketika persembahan
tersebut.[10]
Gendang melayu ini wujud untuk mendidik budaya berbahasa juga mendidik akhlak
menerusi pantun dan tandak (tarian) mudah. Namun, budaya ini pernah
disalahgunakan oleh segelintir individu sebagai medium 'menjerat' dan maksiat.[11] Isu
tersebut menjadi sindiran menerusi novel Melati Sarawak oleh Mohamad Rakawi
Yusuf terbitan tahun 1932 mengenai
kelonggaran akhlak masyarakat Melayu Sarawak dalam bermukun. Pandangan serong
terhadap seni gendang tersebut ternyata memberi konflik terhadap golongan
bangsawan, perabangan, pengiran, syed dan tunku yang tergolong dalam istilah
'Melayu Sarawak'. Disebabkan perkara tersebut, mereka yang menggemari budaya
ini memenuhi kehendak mereka dengan memakai topeng bagi menyembunyikan wajah
sambil berpantun dan bertandak. Sejak itu, lahirlah istilah 'menopeng' dalam budaya
bermukun.
Seterusnya, pengkaji
mendalami cara persembahan seni tersebut serta elemen-elemen utama dalam
persembahan seni bermukun ini dalam konteks masyarakat Melanau. Menurut
pengalaman pengkaji sendiri yang telah menghadiri majlis bermukun ini, aktiviti
bermukun ini dikendalikan dalam kalangan
wanita seramai dua atau lebih yang duduk dibahagian balik tabir untuk memukul
gendang sambil berpantun. Mereka ini dipanggil atau dikenali sebagai ‘tukang
gendang’ atau juga ‘syeh gendang’.
Para lelaki pulaakan duduk berselerak atau sejajar mengikut keselesaan sendiri
diluar tabir. Namun begitu mereka meninggalkan ruang dibahagian berdekatan
tabir dan tukang gendang sebagai gelanggang tarian. Mereka menari secara
bergilir-gilir dengan pasangan masing-masing sambil menunjukkan kehebatan
berbalas pantun bersama mak gendang. Majlis bergendang ini biasanya berjalan
sepanjang malam hinggalah kesubuh mengikut kehendak dan kemampuan tukang
gendang dan penarinya dengan keizinan tuan rumah. Persembahan bermukun ini biasanya
diadakan di anjung rumah dan dalam keadaan terbuka. Selain itu, aktiviti
bermukun ini biasanya diadakan pada malam hari perkahwinan sebagai tanda
kesyukuran dan aktivi bersuka ria.[12]
Penyataan tersebut juga dijelaskan oleh Abdullah Haji Saidol yang merupakan
Ahli Dewan Undangan Negeri Semop dalam
ucapannya dalam program TitikSentuhan dan Mukun Ria anjuran RTM Sibu (2012) berkata
:
“bermukun
merupakan satu aktiviti yan dikhazanahkan dan merupakan aktiviti bersuka ria
yang diadakan dalam keadaan terbuka dan terang dikhalayak ramai terutama pada
majlis perkhwinan dan pelbagai majlis keramaian.”
|
|
Seterusnya
adalah berkenaan dengan gendang yang
merupakan elemen utama dalam persembahan seni bermukun dan merupakan
satu-satunya alat muzik yang digunakan oleh masyarakat Melanau bagi menyempurnakan
seni khazanah mereka. Gendang mempunyai dua muka yang tidak sama besar. Muka
yang kecil dipasang belulang[13] kambing
manakala, muka yang besar pula dipasang belulang lembu. Belulang-belulang
tersebut disirat dengan tali rotan dan dililit dengan rotan yang sudah dibelah
dua. Belulang ditegangkan dengan memasangkan gelong-gelong yang diperbuat
daripada kulit.[14]
Badan gendang melayu diperbuat daripada kayu nagka. Badan ini dipanggil
temiang. Gendang dimainkan dengan cara meribanya dengan kedudukan melintang. Muka
gendang akan dipukul dengan telapak tangan.[15] Dalam
persembahan bermukun, gendang tersebut dipukul oleh dua orang wanita dengan
irama yang asas agar dapat disamakan dengan gerak tari para penari atau dipanggil
sebagai penandak yang terdiri daripada golongan lelaki. Pukulan asas tersebut
adalah pukulan tepi dan tengah. Ditengah pikulannya berbunyi “pak” dan pada bahagian tepi gendang
berbunyi “pung”. Pukulan tersebut
dikenali sebagai pukulan induk.[16] Kedua-dua
seh gendang boleh menggunakan pukulan induk dalam persembahan bergendang. Namun,
pukulan gendang harus dikendalikan dengan berhati-hati agar tidak merosakkan atau
menyumbangkan pukulan keseluruhannya.
Elemen yang
seterusnya adalah pemukul gendang dan penari ataupun penandak. Pemukul gendang
adalah paling penting dan memainkan dua tugas utama iaitu memukul gendang dan
berbalas pantun dengan penari.Pemukul gendang adalah terdiri daripada dua orang
wanita atau lebih. Pemukul gendang mestilah mereka yang bergiat aktif dan mahir
dalam pukulan gendang melayu.Tambahan lagi,mereka haruslah mempunyai kemahiran
berpantun.[17]Penandak
atau juga penari pula adalah terdiri daripada lelaki. Mereka akan berbalas pantun dengan tukang
gendang sambil menari.Para penandak menari berdasarkan irama pukulan gendang.
Seterusnya
adalah tandak.Tandak ialah satu bentuk tarian yang ditari oleh golongan lelaki.
Tuan Haji Mohammad Yasin (2002) mendefinisikan tarian sebagai memandang dan
meneliti gerak-geri, lenggang liuk daun kayu dan sebagainya, menurut kudrat dan
bakat yang ada padanya, manusia mencipta tarian sebagai hasrat jiwanya. Terdapat
juga pelbagai bunga tandak dicipta oleh masyarakat itu sendiri. Di Kampung
Penibong, para penandak kebanyakannya menari meggunakan bunga sorong tarik iaitu hayunan tangan yang
bertentangan dengan kaki. Seperti hayunan kaki dan tangan dalam perbarisan. Ciptaan
tarian tersebut adalah sinonim dengan pelbagai aktiviti harian masyarakat
setempat. Kepelbagaian aktiviti tersebut diterjemahkan dalam bentuk aktiviti
kebudayaan bergendang. Masyarakat
lama akrab dengan alam semulajadi seperti alam tumbuhan, haiwan dan cakerawala.
Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan
alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang,
di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989) menjelaskan bahawa penggunaan
lambang-lambang dan simbol-simbol daripada alam perlu diketahui untuk memahami
sesuatu kebudayaan pada zaman dahulu. Tambahan lagi, ahli sejarah tarian dan
muzik Jerman, C.Sachs mengatakan bahawa,tarian merupakan:
“…gerakan
berirama dan pengucapan jiwa manusia melalui
gerak-geri berirama yang indah. Gerak-geri yang dimaksudkan itu adalah
berbentuk ciptaan yang indah boleh memberi kepuasan kepada orang lain…”
|
Seterusnya adalah pantun yang
merupakan sumber penarikan utama seni tersebut. Pantun dalam adat bergendang juga
dipanggil mukun. Pemukul gendang dan penari akan berbalas pantun secara
bergilir. Aktiviti berbalas pantun ini
merupakan satu aktiviti bagi mengasah minda masyarakat.Ada kajian yang
dilakukan oleh ahli akademik mendapati bergendang dan bermukun adalah bertujuan
untuk mempamerkan kebijaksanaan, kemahiran, kecekapan tingkah laku dan menguji
minda.[18] Pantun
yang terdapat dalam acara ini adalah berdasarkan pemikiran masyarakat tentang
aktiviti harian mereka. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965), mengatakan bahawa penciptaan
pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Oleh
itu, umum telah menerima bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu bagi
mentafsirkan kelakuan harian mereka.Belles Lettres (2000)
juga berpendapat :
“…if one of the assets of poetry at
its best is the magic and beauty accomplished by language, the Malay pantun
can be placed among the highest achievements of mankind in this form of art…”
|
Jelaslah bahawa pantun dalam seni
bermukun adalah amat penting kepada kehidupan masyarakat Melanau pada zaman dahulu.
Seterusnya
adalah berikutan masalah seni bermukun
ini yang kian malap dalam kehidupan masyarakat Melanau pada hari ini. Menurut
Mary berdasarkan kaji selidik yang dilakukan bersama seorang lagi pensyarah
Pusat Pengajian Bahasa, Unimas, Salbia Hassan, 70 peratus daripada responden
mengatakan mereka mengetahui wujudnya aktiviti itu tetapi tidak pernah
menyertainya.[19]
Berdasarkan penyataan tersebut,ternyata seni ini semakin luput ditelan
kemodenan. Oleh itu, adalah amat wajar bagi pengkaji mendalami kepentingan
ataupun peranan seni bermukun dalam kehidupan masyarakat Melanau pada zaman
dahulu dan juga sekarang.Menurut Richie (2008) terdapat tiga peranan seni hiburan
tradisional bergendang dan bermukun iaitu sebagai medium bagi merapatkan hubungan silaturrahim, medium
komunikasi antara manusia, dan juga sebagai medium untuk mendidik generasi muda
(menerusi pantun).
Pertama sekali seni
bermukun adalah amat penting sebagai medium bagi merapatkan hubungan
silaturrahim antara masyarakat. Hal ini demikian kerana, ketika persembahan
seni dilangsungkan, seluruh masyarakat sekitar akan berkumpul dan bersuka ria. Sopi Smile (2008) berkata:
“…majlis bermukun bukan hanya dihadiri
oleh mereka yang datang dari satu kampung, namun ia disertai oleh para pemuda
dari kampung-kampung yang berdekatan…”
|
Melalui aktiviti bermukun
ini,masyarakat sekitar dapat berkenalan sesama sendiri dan dapat merapatkan
jurang yang wujud antara masyarakat hari ini yang disebabkan perubahan gaya
hidup. Tambahan lagi, persembahan seni
bermukun yang sering diadakan pada malam majlis perkahwinan ini dapat dijadikan
oleh masyarakat bagi mengumpulkan ahli keluarga masing-masing dan meraikan satu
keluarga baru yang bakal menempuhi alam rumahtangga.
Seterusnya
adalah amat wajar dikatakan bahawa seni bermukun ini adalah sabagai medium
komunikasi antara masyarakat pada masa dahulu terutamanya.Mohd Taib Osman (1996)
menganggap pantun, selain daripada alat komunikasi dalam konteks sosialnya,
adalah artifak budaya.Elemen utama dalam seni tersebut iaitu pantun merupakan
ucapan spontan oleh masyarakat dalam
seni bermukun. Hal ini juga sejajar dengan ucapan Abdullah Haji Saidol (2012)
iaitu :
“…unsur bahasa yang istimewa ini
memberi keindahan dan kehalusan tersendiri kepada sastera melayu kerana
sesuatu penyataan dan fikiran hanya akan dikemukakan dalambentuk yang tidak
langsung, tidak menyinggung perasaan tetapi tepat pada makna dan tujuannya…”
|
Bermukun sebagai
satu medium komunikasi juga dinyatakan oleh Mary Subet dalam kajian menyatakan
bahawa pada zaman dahulu, persembahan bermukun adalah masa yang dinantikan oleh
anak-anak muda untuk mencari jodoh dan berkenal-kenalan.[20] Ketiadaan
teknologi komunikasi pada zaman dahulu juga menyebabkan masyarakat menggunakan
persembahan bermukun iaitu ketika kebanyakan masyarakat sekitar berkumpul. Pada
majlis tersebut, masyarakat juga boleh
berbincang tentang soal duniawi mahupun akhirat, kerana hanya pada masa
tersebut sahaja mereka boleh berkumpul beramai-ramai sambil menenangkan
fikiran. Selain itu, menurutMohamad Saleeh Rahamad, Universiti Malaya,bagi
tujuan berkomunikasi sesama manusia pantun tergolong dalam fungsi untuk
berkasih sayang, adat resam, agama dan kepercayaan, budi, jenaka dan permainan,
teka teki, kepahlawanan, nasihat dan pendidikan, kritikan, kembara, dan
sebagainya. Jelaslah, seni bermukun merupakan medium komunikasi masyarakat pada
masa dahulu dan sekarang.
Selain
itu, seni bermukun juga merupakan satu medium bagi mendidik generasi muda
melalui pantun. Pantun-pantun yang berkenaan dengan hubungan kasih-sayang, berbudi
bahasa dan norma kehidupan masyarakat. Masyarakat Melayu terutamanya golongan
tua kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih
dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka
terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru,jika mereka mendapati ada sesuatu
perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberikan peringatan kepada
golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat
untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Pantun lebih lanjut dikatakan harus
berperanan untuk menyampaikan pesan-pesan moral yang penuh berisi nilai-nilai
luhur agama, budaya, dan norma-norma sosial masyarakat (Hodijah widyaiswara,
2009).
Sebagai
rumusan, aktiviti seni bermukun dalam kalangan masyarakat Melanau ini sememangnya
sudah menjadi khazanah nenek moyang
masyarakat Melanau sejak zaman dahulu kala. Menurut beberapa pendapat umum,
dapat dirumuskan bahawa tiada asal usul sebenar kewujudan seni ini, mereka
hanya menyatakan bahawa seni ini adalah turun temurun daripada nenek moyang
mereka. Selain itu, dalam mengupas beberapa aspek dalam elemen penting dalam persembahan bergendang, terdapat elemen
seperti gendang iaitu alat muzik utama, pemukul gendang, penari iaitu lebih
dikenal sebagai penandak, tarian atau tandak,dan juga pantun. Seterusnya, seni
ini juga berperanan sebagai, medium bagi merapatkan hubungan silaturrahim,
medium komunikasi antara manusia, dan juga sebagai medium untuk mendidik generasi
muda (menerusi pantun). Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa seni
bermukun adalah amat penting dalam beberapa aspek kehidupan masyarakat pada
zaman dahulu dan sekarang.
[1] Hamidah Husein, kesenian dan hiburan tradisional,1995, hal
1.
[3]Sopi Samile, “bermukun
meriah keramaian,” utusan Malaysia(Kuching Sarawak) 24 september 2008.hal.2
[4] Mohd Fauzi Abdullah et.al. “ pemikiran cinta bermukun dalam gendang melayu Sarawak” (Institusi Bahasa Melayu,
Kuala Lumpur, 1985, hal.2.
[5] Syeh gendang ialah
panggilan bagi pemukul gendang dalam masyarakat
Melanau.
[6]Op.cit., Hamidah Husein, hal.2.
[7]Raunah bin Mat, (2013)
temubual lapangan, Kampung Penibong Matu Daro.
[8] Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan “bergendang dan
bermukun dalam masyarakat melayu Sarawak”(kertas kerja dibentangkan dalam 55TH
seminar in the cls research seminar series, UNIMAS, 4th May 2009)
diterbitkan dalam artikel my Sarawak “ bermukun semakin malap”, hal. 3.
[10]Op.cit., Sopi Samile, hal.2.
[11]Mohd RakawiYussuf, Melati Sarawak, 1932, hal.20.
[12]Temuramah dengan Raunah
binti Mat.
[13] “belulang” ialah kulit
binatang yang telah dikeringkan.
[14]Op.cit.,
Hamidah Husein, hal.51.
[16] Temuramah dengan
Raunah Binti Mat.
[17]Temuramah dengan
Raunah Binti Mat.
[18]Op.ci.,
Mary
Fatimah Subet dan Salbia Hassan, hal.2.
(Jumlah Perkataan:
3394 )
Bibliografi
:
Sumber
Primer :
Temuramah lisan:
Raunah Binti Mat, temu bual lapangan di kampung
Penibong, Daro, pada 8 Februari 2013, pukul 4.30 petang.
Sumber
Skunder:
Hamidah Husein,
Kesenian dan Hiburan Tradisional,
Selangor, Penerbit Prisma, Sdn. Bhd. 1995.
Jermai Bedihi “Pesta Bermukun 2013” Mingguan Sarawak (Sarawak), 31 Mac 2013.
Mary Fatimah Subet dan Salbia Hassan, Gendang dan Bermukun Dalam masyarakat melayu
Sarawak, kertas kerja dibentangkan dalam 55th Seminar in the CLS
research seminar series, 2009.
Mohd. Fauzi et.al,
Pemikiran Cinta Bermukun Dalam Gendang melayu Sarawak, Kuala Lumpur, Institusi
Bahasa Melayu Malaysia, 1985.
Mohd Rakawi Yussuf, Melati Sarawak, Sarawak, The Sarawak Printing Company, 1932.
Sopi Samaile, Bermukun
Meriah Keramaian, Kuching Sarawak, Utusan Malaysia, 2008.