Translate

Tuesday, 11 February 2014

Adat Bertatu (Bepantang) dalam masyarakat Iban

Masyarakat Iban merupakan suku kaum yang  terbesar di Sarawak diikuti kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan suku kaum lain. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban berpegang kuat kepada identiti tradisi yang mereka amalkan sejak dahulu lagi di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik.[i] Bagi kajian ini, pengkaji akan meneliti dan mengupas berhubung dengan ukiran badan/ tatu masyarakat Iban. Kajian terhadap jenis-jenis tatu masyarakat Iban di Kg. Nanga Dong, Entabai Julau. Fokus kajian adalah berdasarkan kerengka masa daripada tahun 1980-1990. Di antara objektif-objektif kajian adalah mengenalpasti sejarah wujudnya tatu dalam kalangan masyarakat Iban amnya. Kajian ini juga ingin memperlihatkan maksud-maksud tatu yang dicacah pada tubuh seseorang itu dan juga ciri-ciri istimewa tatu tersebut dalam kalangan masyarakat Iban. Dari segi permasalahan kajian ianya menjurus kepada kurangnya kajian yang berkaitan yang dilakukan oleh pengkaji lain. Hal ini turut didorong oleh perasaan ingin tahu pengkaji berkaitan dengan jenis-jenis tatu dalam kalangan masyarakat ban di Julau.
Kajian ini amat penting kepada seluruh masyarakat supaya mereka dapat mengenali dan mengetahui jenis tatu masyarakat Iban. Dengan adanya kajian ini, warisan kesenian yang diamalkan sejak dahulu lagi oleh masyarakat Iban dapat dipelihara. Bagi pengkaji pula, pengkaji dapat mengenali dengan lebih mendalam mengenai jenis-jenis, sejarah, maksud dan ciri-ciri tatu. Skop kajian pula tertumpu di daerah Julau. Bagi sorotan kajian yang berkaitan, terdapat pelbagai tulisan dan penerbitan yang dihasilkan pengkaji tempatan dan luar negara untuk dijadikan rujukan dan sumber ilham yang amat penting dalam menghasilkan kajian ini selengkap-lengkapnya.
Pengkaji lebih cenderung menggunakan sumber perpustakaan dalam mengumpul maklumat dan sekaligus menghuraikan dapatan kajian ini. Pelaporan dalam bentuk esei ilmiah turut memaparkan jenis-jenis tatu masyarakat Iban ini secara menyeluruh dengan sokongan tulisan dan kajian-kajian terdahulu berhubung dengan tajuk ini.
Masyarakat tempatan di Sarawak, amnya suku kaum Iban mempunyai satu kesenian yang sangat unik iaitu mencacah tatu. Amalan mencacah tubuh dengan tatu dalam kalangan masyarakat Iban telah diamalkan sejak dahulu lagi. Dalam kalangan masyarakat Iban, tatu disebut sebagai ‘pantang’. Tatu memainkan peranan yang penting dalam budaya masyarakat Iban. Amalan mencacah tatu ini merupakan aktiviti suci yang menghubungkan masyarakat Iban dengan orang duniawi (dua buah penduduk kampung yang selalu membantu orang Iban dalam kesusahan iaitu Panggau Libau dan Gelong). Menurut orang tua-tua, jika lelaki tidak mencacah tubuhnya dengan tatu, lelaki tersebut akan dianggap seperti perempuan dan pengecut.[ii] Selain itu juga, kaum lelaki yang tidak mempunyai tatu juga akan dilabel sebagai ‘telanjai.'[iii] Terdapat sebab dan tujuan tatu ini dibuat dan ianya berbeza mengikut kebudayaan atau kepercayaan sesebuah etnik. Penggunaan tatu oleh masyarakat Iban pada masa dahulu adalah atas dasar membezakan sesuatu keturunan dan tatu juga dijadikan sebagai simbol sosial kepada  status, kekuasaan dan kekayaan dalam masyarakat Iban. Pembuatan tatu ini juga adalah untuk memperingati sesuatu peristiwa yang berlaku. Masyarakat Iban juga akan membuat tatu sebelum mereka pergi ke suatu tempat atau negeri yang lain. Ini adalah sebagai tanda atau memperingati bahawa mereka telah pergi ke tempat tersebut. Oleh yang demikian, semakin banyak tempat yang mereka jelajahi, semakin banyak tatu akan dibuat pada tubuh mereka[iv].
Menurut Sabang Anak Nyegang, iaitu penduduk Nanga Dong, Entabai Julau, masyarakat Iban gemar mencacah tatu kerana minat mereka terhadap gaya dan bentuk tatu yang diukir pada badan masyarakat iban yang sudah memiliki tatu. Dengan adanya keunikan tatu yang dicacah itu, keadaan ini telah mendorong mereka untuk mencacah badan mereka dengan tatu. Ada juga sesetengah masyarakat Iban yang mencacah tatu kerana ingin kelihatan lebih unggul daripada orang lain. Tambahnya lagi, kanak-kanak juga turut dicacah dengan tatu. Kanak-kanak yang berusia 10 hingga 11 tahun akan dicacah dengan tatu. Ini menandakan bahawa mereka ‘baru lanjau’[v] dan sudah bersedia untuk menyertai aktiviti pemburuan. Tatu yang dicacah pada kanak-kanak ini juga mempunyai tujuan yang sendiri iaitu sebagai pelindung kepada mereka daripada kejahatan dan menjadikan mereka kebal. Bagi masyarakat Iban, sesiapa sahaja boleh dicacah dengan tatu tetapi sesetengah corak tatu hanya sesuai untuk golongan pahlawan iban sahaja. Satu gelaran yang sangat popular dalam kalangan masyakat iaitu ‘Bujang Berani Kempang, Lendat Dibiau Batang Isang’, yang membawa maksud semakin banyak kepala yang dibawa balik daripada memburu (ngayau), maka semakin banyak tatu yang akan dicacah pada badan pahlawan itu.
Asal usul orang Iban suka membuat tatu adalah berdasarkan mitos dan lagenda. Menurut mitos, masyarakat Iban membuat tatu kerana mencontohi ukiran Burung Bongsu Bubut yang mengukir Burung Bongsu Ruai. Dua orang pengembara yang bernama Jantau dan Nyanggau pergi ke hutan untuk mencari getah jelutung. Ini kerana pada masa itu getah jelutung sangat tinggi harganya. Pada keesokkan harinya, mereka berdua bercadang untuk pergi berburu kerana mereka sudah lama tidak makan daging. Setelah mereka mendapat hasil buruan, mereka bercadang untuk memasak. Tidak lama selepas itu, dua orang yang tidak dikenali melintasi mereka berdua lalu mengajak Jantau dan Nyanggau pergi ke rumah mereka yang tidak jauh dari situ. Jantau dan Nyanggau menerima pelawaan itu. Orang yang mempelawa Jantau dan Nyanggau ke rumah itu merupakan Burung Bongsu Bubut dan Burung Bongsu Ruai yang menjelma menjadi manusia. Burung Bongsu Bubut dan Burung Bongsu Ruai telah bercadang untuk mengukir badan mereka. Burung Bongsu Bubut telah mengukir Burung Bongsu Ruai dengan cantik sekali. Apabila melihat kecantikan hiasan cacah di wajahnya, dia pun berasa sungguh gembira. Selepas itu, tiba pula giliran burung Bongsu Ruai mengukit Burung Bongsu Bubut. Apabila badan Bubut sudah hampir setengah diukir dan kelihatan amat cantik, tiba-tiba fikiran Burung Bongsu Ruai berubah dan beliau tidak mahu Bongsu Bubut kelihatan lebih cantik daripadanya. Maka Bongsu Ruai pun mewarnakan badan Bubut dengan warna hitam bercampur merah sahaja tanpa corak. Apabila menyedari perbuatan Burung Bongsu Ruai, Burung Bongsu Bubut amat marah dan mereka pun terus berkelahi. Jantau dan Nyanggau cuba menghentikan pertengkaran di antara Bubut dan Ruai tetapi tidak Berjaya.  Jantau dan Nyanggau amat berminat dengan ukiran yang dibuat oleh Bongsu Bubut dan mereka melakukan dan membuat ukiran tersebut setelah mereka pulang ke tempat asal mereka.[vi]
Selain itu, masyarakat Iban mencontohi dewa-dewa kayangan. Orang lelaki kaum Iban gemar menghiasi tubuh mereka dengan tatu  kerana mencontohi rupa tujuh orang menantu ketua dewa kayangan iaitu Sengalang Burung[vii] mencontohi tatu pahlawan Iban. Gemong bermimpi melihat dinding dan segala peralatan di dalam rumah itu diukir dengan cantik sekali begitu juga orang lelaki yang ada mendiamai rumah itu mempunyai tatu. Sedang beliau melihat keindahan dan keunikan ukiran itu, tiba-tiba muncul seorang tua dan beliau memberitahu Gemong tentang jenis tatu dan ukiran yang ada di situ.[viii]
Tatu masyarakat Iban terdiri daripada pelbagai jenis. Antaranya ialah bungai terung, ketam itit,buah andu, entegulun, lengan ketam dan banyak lagi. Corak ataupun jenis sesuatu tatu tidak boleh dibuat dengan sesuka hati kerana perlu ada maksud dan tujuan tatu itu dicacah. Jenis tatu yang terkenal di Nanga dong ialah tatu “bungai terung[ix]. Bungai terung ini dicacah pada kedua-dua belah bahu kaum lelaki masyarakat Iban. Hanya orang lelaki yang mempunyai tatu bungai terung kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam sesebuah keluarga. Tatu  ini akan memberi kekuatan kepada bahu kerana dipercayai segala aktiviti dan beban yang berat akan dipikul pada bahu[x]. Bungai terung ada yang bersayap enam dan ada yang delapan. Di tengah  bungai terung juga terdapat corak pusaran yang melambangkan kehidupan baru akan muncul. Seorang masyarakat Dayak Iban yang memiliki bungai terung keliling pinggang biasanya lapan buah bererti orang itu sudah  penuh atau sudah puas merantau,

Gambar 1: ‘Bungai Terung’ yang dicacah pada bahu kaum lelaki masyarakat Iban.
Sumber: Gambar diambil pada 13 februari 2013

Selain itu, tatu entegulun[xi] juga terkenal dalam kalangan masyarakat iban. Tatu ini dibuat pada belakang tangan, penumbuk dan telunjuk. Cacah entegulun tidak boleh dibuat sembarangan. Ini kerana setelah seseorang itu telah berjaya membunuh dan memenggal kepala musuh barulah seseorang itu boleh megukir ukiran ini pada belakang tangan, penumbuk dan telunjuk mereka. Masyarakat Iban yang mempunyai tatu entegulun juga menandakan seseorang itu telah menyertai kumpulan pemburuan kepala. Walau bagaimanapun, hanya segelintir sahaja masyarakat Iban yang berjaya dalam pemburuan kepala ataupun ‘ngayau’  ingin membuat tatu entegulun setelah berburu. Ini kerana mereka yang memiliki tatu entegulun ini akan diuji dengan ilmu hitam apabila melawat kampung lain. Setelah balik daripada memburu kepala, masyarakat Iban pada zaman dahulu akan meraikanya dalam satu perayaan besar-besaran dimana penduduk-penduduk kampung yang berdekatan akan dijemput tidak kira orang dewasa ataupun kanak-kanak. Perayaan ini dikenali sebagai ‘gawai encabuh arung’[xii].            

Gambar 2: Entegulun
Sumber: Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban

Pada masa dahulu, jenis tatu yang dicacah pada leher juga sangat popular. Tatu yang terdapat pada leher biasanya berbentuk seekor kala, sayap kupu-kupu dan kepiting. Ukiran ini juga dipanggil ‘ukir rekung[xiii]. Tujuan tatu ini dibuat adalah untuk melambangkan perkembangan dari satu status orang biasa kepada status orang yang dihormati. Antara orang-orang yang berstatus perlu dihormati ialah ketua kampung, pahlawan-pahlawan yang sudah berburu dan panglima. Ini bermakna perkembangan status pada seseorang dapat dilihat berdasarkan tatu yang mereka cacah pada leher kerana bahagian kerongkong merupakan bahagian yang paling sukar dicacah tatu dan ini dipercayai menguatkan semangat orang yang dicacah dengan tatu.[xiv]

Ukir Rekung
                       
Gambar 3: Ukir Rekung
Sumber: Sabang Anak Nyegang. Gambar diambil pada 14 Februari 2013, pada jam 10.00 pagi
Motif buah andu pada umumnya juga terkenal dalam kalangan masyarakat Iban dan ianya diukirkan di belakang paha. Tatu ini bermaksud, buah andu sebagai makanan dan penyambung apabila seseorang itu merantau ataupun berjalan jauh.[xv]
Buah Andu
Gambar 5: Buah Andu
Sumber: Sabang Anak Nyegang. Gambar diambil pada 14 Februari 2013, pada jam 10.00 pagi
Corak tatu lengan ketam[xvi] juga amat terkenal dan diminati kerana keunikannya seperti simbol naga atau naga berkepala dua. Tatu ini dicacah pada bahagian lengan dan disertakan dengan corak perut naga yang berbeza-beza bergantung kepada mimpi yang dialaminya. Tatu ini membawa erti kekuatan pada bahagian belakang ketam untuk melindungi diri daripada semangat jahat. Pada masa dahulu mereka yang mencacah tatu ini telah meletakan ilmu sihir di dalam dakwat untuk melindungi diri daripada pisau yang tajam kerana ilmu sihir merupakan budaya lama masyarakat Iban dan terdapat banyak kepercayaan bahawa semangat yang membantu pemilik tatu.   
Gambar 3: Lengan ketam
Sumber: Sabang Anak Nyegang. Gambar diambil pada 14 Februari 2013, pada jam 10.00 pagi

Tatu masyarakat iban mempunyai motif dan ciri-cirinya yang tersendiri. Kebanyakan tatu masyarakat Iban berunsurkan  mitos haiwan, alam semula jadi dan corak flora seperti daun. Corak berdaun ini dibuat untuk tujuan menyamar dalam hutan semasa peperangan antara puak. Contoh corak tatu yang dicacah dalam kalangan masyarakat Iban merupakan corak naga, burung enggang dan anjing syaitan. Motif dan corak tatu kebanyakannya berunsurkan haiwan mitos dan haiwan yang telah menolong mereka dalam waktu kesusahan atau pun di waktu senang.[xvii]
Pada masa dahulu, Orang Iban kebiasaannya tinggal di tepi laut dan Orang Inggeris telah memanggil mereka sebagai Sea Dayak ataupun Dayak Laut. Oleh kerana biasa dengan keadaan laut dan tinggal di tepi laut, cacah di tubuh mereka banyak berbentuk kehidupan laut seperti udang, ketam dan kuda laut. Kepakaran masyarakat Iban teserlah apabila mereka mengubahsuai bentuk hidupan laut tersebut mengikut kepandaian mereka sendiri. Kecantikan cacahan yang dibuat bergantung kepada kepakaran pengukir yang membuat tatu tersebut.[xviii] Pada dasarnya corak masyarakat Iban adalah sama. Semua tempat di sarawak yang mempunyai komoditi masyarakat Iban yang bertatu tiada bezanya dari segi motif dan corak. Corak-corak ini dipercayai berkait rapat dengan unsur-unsur sembuh dan dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit. Walau bagaimana pun gaya tatu itu adalah berlainan kerana setiap orang yang mencacah tatu adalah tidak sama dari segi kemahiran mereka mencacah tatu tersebut.[xix] Tatu masyarakat Iban biasanya dicacah pada bahagian bahu, belakang, kaki, kerongkong dan lengan.
Dalam membuat tatu, bahan yang digunakan untuk menghitamkan cacah ialah alung.[xx] Along ini akan dicampur dengan berbagai-bagai ubat pemanis supaya cacahan itu kelihatan lebih cantik dan juga sebagai pelindungan.[xxi] Pembuatan tatu secara tradisional menggunakan teknik mengetuk yang menggunakan pengetuk yang diperbuat daripada tanduk rusa serta sebatang kayu untuk meletakkan jarum yang digunakan untuk menghasilkan tatu. Menurut Sabang Anak Nyegang, pembuatan tatu dengan menggunakan cara tradisional lebih sukar. Ini kerana kekuatan tangan, kesabaran dan ketelitian amat diperlukan dalam menghasilkan tatu yang berkualiti.
            Sebagai rumusan, haruslah dikekalkan ukiran tatu menggambarkan kepakaran masyarakat Iban dalam bidang seni ukir. Seni ukir yang kita warisi daripada nenek moyang kita ini adalah salah satu daripada status sosial kita. Seni ukir ini harus dipelajari secara lebih serius oleh generasi muda. Pembuatan tatu ini dikaitkan dengan amalan ngayau[xxii] yang diamalkan sejak dahulu lagi. Tatu ini juga mencerminkan kegagahan bangsa kita kerana motif ukiran kita tinggi nilainya. Amalan mencacah tubuh atau bertatu di kalangan generasi dulu dan kini berbeza kerana dulu, tatu menjadi budaya, identiti dan status yang mengkelaskan kedudukan kumpulan masyarakat atau sesuatu kaum.
                                                                                   


[i] Jerry Hawkin Anak Suting, Peranan Dayak Cultural Foundation Dalam memelihara Tarian Ngajat, 2007, UNIMAS
[ii] Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988 : hal. 145.
[iii] Istilah ‘telanjai’ bermaksud tidak memakai pakaian
[iv]  Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988 :hal. 145
[v] Istilah ‘baru lanjau’ bermaksud baru meningkat remaja
[vi] Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988 : hal, 13-14
[vii] Istilah ‘Sengalang Burung’ bermaksud betara peperangan yang paling berkuasa, mengikut kepercayaan suku kaum Iban.
[viii] Ibid, hal.10
[ix] Istilah ‘bungai terung’ bermaksud sejenis cacah yang dibuat pada badan berasaskan bunga terung
[x] Temuramah dengan Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xi] Istilah ‘entegulun’ bermaksud sejenis cacah yang dibuat pada belakang tangan seseorang setelah Berjaya membunuh dan memenggal kepala musuhnya
[xii] Istilah ‘Gawai Enchabuh Arung’ bermaksud perayaan gawai yang disambut untuk merayakan upacara membawa kepala musuh ke rumah setelah berjaya memenggal kepala 
[xiii] Istilah ‘ukur rekung’ bermaksud cacah kelingai yang dibuat pada leher
[xiv] Temuramah dengan Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xv] Temuramah dengan Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xvi] Istilah ‘lengan ketam’ bermaksud cacahan yang bermotifkan ketam yang dicacah pada bahagian lengan
[xvii]Temuramah Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xviii] Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988: hal. 148
[xix] Temuramah dengan Nyegang Anak Sabang pada 14 Februari 2013
[xx] Istilah ‘alung’ bermaksud benda hitam yang ditinggalkan oleh asap;arang lampu;arang para;jelaga
[xxi] Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988: hal, 145
[xxii] Istilah ‘ngayau’ bermaksud memenggal kepala


 BIBLIOGRAFI

Sumber Primer:
Temuramah dengan Sabang Anak Nyegang pada 14 Februari 2013
Temuramah dengan Sendar Anak Sabang pada 14 Februari 2013
Sumber Sekunder:
Jerry Hawkin Anak Suting, Peranan Dayak Cultural Foundation (DCF) Dalam Memelihara Tarian Ngajat, UNIMAS; Tesis yang tidak diterbitkan, 2007.

Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, Dewan Bahasa dan Pustaka, Sarawak Branch, with coorperation of General Publication Division, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka 1988.