Kajian ini amat
penting kepada seluruh masyarakat supaya mereka dapat mengenali dan mengetahui
jenis tatu masyarakat Iban. Dengan adanya kajian ini, warisan kesenian yang
diamalkan sejak dahulu lagi oleh masyarakat Iban dapat dipelihara. Bagi
pengkaji pula, pengkaji dapat mengenali dengan lebih mendalam mengenai
jenis-jenis, sejarah, maksud dan ciri-ciri tatu. Skop kajian pula tertumpu di
daerah Julau. Bagi sorotan kajian yang berkaitan, terdapat pelbagai tulisan dan
penerbitan yang dihasilkan pengkaji tempatan dan luar negara untuk dijadikan
rujukan dan sumber ilham yang amat penting dalam menghasilkan kajian ini
selengkap-lengkapnya.
Pengkaji lebih
cenderung menggunakan sumber perpustakaan dalam mengumpul maklumat dan
sekaligus menghuraikan dapatan kajian ini. Pelaporan dalam bentuk esei ilmiah
turut memaparkan jenis-jenis tatu masyarakat Iban ini secara menyeluruh dengan
sokongan tulisan dan kajian-kajian terdahulu berhubung dengan tajuk ini.
Masyarakat
tempatan di Sarawak, amnya suku kaum Iban mempunyai satu kesenian yang sangat
unik iaitu mencacah tatu. Amalan mencacah tubuh dengan tatu dalam kalangan
masyarakat Iban telah diamalkan sejak dahulu lagi. Dalam
kalangan masyarakat Iban, tatu disebut sebagai ‘pantang’. Tatu memainkan
peranan yang penting dalam budaya masyarakat Iban. Amalan mencacah tatu ini
merupakan aktiviti suci yang menghubungkan masyarakat Iban dengan orang duniawi
(dua buah penduduk kampung yang selalu membantu orang Iban dalam kesusahan
iaitu Panggau Libau dan Gelong). Menurut orang tua-tua, jika lelaki tidak
mencacah tubuhnya dengan tatu, lelaki tersebut akan dianggap seperti perempuan
dan pengecut.[ii]
Selain itu juga, kaum lelaki yang tidak mempunyai tatu juga akan dilabel
sebagai ‘telanjai.'[iii]
Terdapat sebab dan tujuan tatu ini dibuat dan ianya berbeza mengikut kebudayaan
atau kepercayaan sesebuah etnik. Penggunaan tatu oleh masyarakat Iban pada masa
dahulu adalah atas dasar membezakan sesuatu keturunan dan tatu juga dijadikan
sebagai simbol sosial kepada status,
kekuasaan dan kekayaan dalam masyarakat Iban. Pembuatan tatu ini juga adalah
untuk memperingati sesuatu peristiwa yang berlaku. Masyarakat Iban juga akan
membuat tatu sebelum mereka pergi ke suatu tempat atau negeri yang lain. Ini
adalah sebagai tanda atau memperingati bahawa mereka telah pergi ke tempat
tersebut. Oleh yang demikian, semakin banyak tempat yang mereka jelajahi,
semakin banyak tatu akan dibuat pada tubuh mereka[iv].
Menurut Sabang
Anak Nyegang, iaitu penduduk Nanga Dong, Entabai Julau, masyarakat Iban gemar
mencacah tatu kerana minat mereka terhadap gaya dan bentuk tatu yang diukir
pada badan masyarakat iban yang sudah memiliki tatu. Dengan adanya keunikan
tatu yang dicacah itu, keadaan ini telah mendorong mereka untuk mencacah badan
mereka dengan tatu. Ada juga sesetengah masyarakat Iban yang mencacah tatu
kerana ingin kelihatan lebih unggul daripada orang lain. Tambahnya lagi, kanak-kanak
juga turut dicacah dengan tatu. Kanak-kanak yang berusia 10 hingga 11 tahun
akan dicacah dengan tatu. Ini menandakan bahawa mereka ‘baru lanjau’[v]
dan sudah bersedia untuk menyertai aktiviti pemburuan. Tatu yang dicacah pada
kanak-kanak ini juga mempunyai tujuan yang sendiri iaitu sebagai pelindung
kepada mereka daripada kejahatan dan menjadikan mereka kebal. Bagi masyarakat
Iban, sesiapa sahaja boleh dicacah dengan tatu tetapi sesetengah corak tatu
hanya sesuai untuk golongan pahlawan iban sahaja. Satu gelaran yang sangat
popular dalam kalangan masyakat iaitu ‘Bujang Berani Kempang, Lendat Dibiau
Batang Isang’, yang membawa maksud semakin banyak kepala
yang dibawa balik daripada memburu (ngayau), maka semakin banyak tatu yang akan
dicacah pada badan pahlawan itu.
Asal usul orang
Iban suka membuat tatu adalah berdasarkan mitos dan lagenda. Menurut mitos,
masyarakat Iban membuat tatu kerana mencontohi ukiran Burung Bongsu Bubut yang
mengukir Burung Bongsu Ruai. Dua orang pengembara yang bernama Jantau dan
Nyanggau pergi ke hutan untuk mencari getah jelutung. Ini kerana pada masa itu
getah jelutung sangat tinggi harganya. Pada keesokkan harinya, mereka berdua
bercadang untuk pergi berburu kerana mereka sudah lama tidak makan daging.
Setelah mereka mendapat hasil buruan, mereka bercadang untuk memasak. Tidak
lama selepas itu, dua orang yang tidak dikenali melintasi mereka berdua lalu
mengajak Jantau dan Nyanggau pergi ke rumah mereka yang tidak jauh dari situ. Jantau
dan Nyanggau menerima pelawaan itu. Orang yang mempelawa Jantau dan Nyanggau ke
rumah itu merupakan Burung Bongsu Bubut dan Burung Bongsu Ruai yang menjelma
menjadi manusia. Burung Bongsu Bubut dan Burung Bongsu Ruai telah bercadang
untuk mengukir badan mereka. Burung Bongsu Bubut telah mengukir Burung Bongsu
Ruai dengan cantik sekali. Apabila melihat kecantikan hiasan cacah di wajahnya,
dia pun berasa sungguh gembira. Selepas itu, tiba pula giliran burung Bongsu
Ruai mengukit Burung Bongsu Bubut. Apabila badan Bubut sudah hampir setengah
diukir dan kelihatan amat cantik, tiba-tiba fikiran Burung Bongsu Ruai berubah
dan beliau tidak mahu Bongsu Bubut kelihatan lebih cantik daripadanya. Maka
Bongsu Ruai pun mewarnakan badan Bubut dengan warna hitam bercampur merah
sahaja tanpa corak. Apabila menyedari perbuatan Burung Bongsu Ruai, Burung
Bongsu Bubut amat marah dan mereka pun terus berkelahi. Jantau dan Nyanggau
cuba menghentikan pertengkaran di antara Bubut dan Ruai tetapi tidak Berjaya. Jantau dan Nyanggau amat berminat dengan
ukiran yang dibuat oleh Bongsu Bubut dan mereka melakukan dan membuat ukiran
tersebut setelah mereka pulang ke tempat asal mereka.[vi]
Selain itu,
masyarakat Iban mencontohi dewa-dewa kayangan. Orang lelaki kaum Iban gemar
menghiasi tubuh mereka dengan tatu
kerana mencontohi rupa tujuh orang menantu ketua dewa kayangan iaitu Sengalang Burung[vii]
mencontohi tatu pahlawan Iban. Gemong bermimpi melihat dinding dan segala
peralatan di dalam rumah itu diukir dengan cantik sekali begitu juga orang
lelaki yang ada mendiamai rumah itu mempunyai tatu. Sedang beliau melihat
keindahan dan keunikan ukiran itu, tiba-tiba muncul seorang tua dan beliau
memberitahu Gemong tentang jenis tatu dan ukiran yang ada di situ.[viii]
Tatu masyarakat
Iban terdiri daripada pelbagai jenis. Antaranya ialah bungai terung, ketam
itit,buah andu, entegulun, lengan ketam dan banyak lagi. Corak ataupun jenis
sesuatu tatu tidak boleh dibuat dengan sesuka hati kerana perlu ada maksud dan
tujuan tatu itu dicacah. Jenis tatu yang terkenal di Nanga dong ialah tatu “bungai terung”[ix].
Bungai terung ini dicacah pada kedua-dua belah bahu kaum lelaki masyarakat Iban.
Hanya orang lelaki yang
mempunyai tatu bungai terung kerana
mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam sesebuah keluarga. Tatu ini akan memberi kekuatan kepada bahu kerana
dipercayai segala aktiviti dan beban yang berat akan dipikul pada bahu[x]. Bungai terung
ada yang bersayap enam dan ada yang delapan. Di tengah bungai
terung juga terdapat corak pusaran yang melambangkan kehidupan baru akan
muncul. Seorang masyarakat Dayak Iban yang memiliki bungai terung keliling pinggang biasanya lapan buah bererti orang
itu sudah penuh atau sudah puas
merantau,
Gambar 1: ‘Bungai
Terung’ yang dicacah pada bahu kaum lelaki masyarakat Iban.
Sumber: Gambar diambil pada 13 februari 2013
Selain itu, tatu entegulun[xi]
juga terkenal dalam kalangan masyarakat iban. Tatu ini dibuat pada belakang
tangan, penumbuk dan telunjuk. Cacah entegulun
tidak boleh dibuat sembarangan. Ini kerana setelah seseorang itu telah berjaya
membunuh dan memenggal kepala musuh barulah seseorang itu boleh megukir ukiran
ini pada belakang tangan, penumbuk dan telunjuk mereka. Masyarakat
Iban yang mempunyai tatu entegulun
juga menandakan seseorang itu telah menyertai kumpulan pemburuan kepala. Walau
bagaimanapun, hanya segelintir sahaja masyarakat Iban yang berjaya dalam
pemburuan kepala ataupun ‘ngayau’ ingin
membuat tatu entegulun setelah
berburu. Ini kerana mereka yang memiliki tatu entegulun ini akan diuji dengan ilmu hitam apabila melawat kampung
lain. Setelah balik daripada memburu kepala, masyarakat Iban pada zaman dahulu
akan meraikanya dalam satu perayaan besar-besaran dimana penduduk-penduduk
kampung yang berdekatan akan dijemput tidak kira orang dewasa ataupun
kanak-kanak. Perayaan ini dikenali sebagai ‘gawai encabuh arung’[xii].
Gambar 2: Entegulun
Sumber: Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban
Pada masa dahulu, jenis
tatu yang dicacah pada leher juga sangat popular. Tatu yang terdapat pada leher
biasanya berbentuk seekor kala, sayap kupu-kupu dan kepiting. Ukiran ini juga
dipanggil ‘ukir rekung’[xiii].
Tujuan tatu ini dibuat adalah untuk melambangkan perkembangan dari satu status
orang biasa kepada status orang yang dihormati. Antara orang-orang yang
berstatus perlu dihormati ialah ketua kampung, pahlawan-pahlawan yang sudah
berburu dan panglima. Ini bermakna perkembangan status pada seseorang dapat
dilihat berdasarkan tatu yang mereka cacah pada leher kerana bahagian
kerongkong merupakan bahagian yang paling sukar dicacah tatu dan ini dipercayai
menguatkan semangat orang yang dicacah dengan tatu.[xiv]
Ukir Rekung
|
Gambar 3: Ukir
Rekung
Sumber: Sabang Anak Nyegang. Gambar diambil pada
14 Februari 2013, pada jam 10.00 pagi
Motif buah andu pada
umumnya juga terkenal dalam kalangan masyarakat Iban dan ianya diukirkan di
belakang paha. Tatu ini bermaksud, buah andu sebagai makanan dan penyambung
apabila seseorang itu merantau ataupun berjalan jauh.[xv]
Buah Andu
|
Gambar 5: Buah Andu
Sumber: Sabang Anak Nyegang. Gambar diambil pada
14 Februari 2013, pada jam 10.00 pagi
Corak
tatu lengan ketam[xvi] juga
amat terkenal dan diminati kerana keunikannya seperti simbol naga atau naga berkepala
dua. Tatu ini dicacah pada bahagian lengan dan disertakan dengan corak perut
naga yang berbeza-beza bergantung kepada mimpi yang dialaminya. Tatu ini
membawa erti kekuatan pada bahagian belakang ketam untuk melindungi diri daripada
semangat jahat. Pada masa dahulu mereka yang mencacah tatu ini telah meletakan
ilmu sihir di dalam dakwat untuk melindungi diri daripada pisau yang tajam
kerana ilmu sihir merupakan budaya lama masyarakat Iban dan terdapat banyak
kepercayaan bahawa semangat yang membantu pemilik tatu.
Gambar 3: Lengan ketam
Sumber: Sabang Anak
Nyegang. Gambar diambil pada 14
Februari 2013, pada jam 10.00 pagi
Tatu masyarakat iban
mempunyai motif dan ciri-cirinya yang tersendiri. Kebanyakan tatu masyarakat
Iban berunsurkan mitos haiwan, alam
semula jadi dan corak flora seperti daun. Corak
berdaun ini dibuat untuk tujuan menyamar dalam hutan semasa peperangan antara
puak. Contoh corak tatu yang dicacah dalam kalangan masyarakat Iban merupakan
corak naga, burung enggang dan anjing syaitan. Motif dan corak tatu
kebanyakannya berunsurkan haiwan mitos dan haiwan yang telah menolong mereka
dalam waktu kesusahan atau pun di waktu senang.[xvii]
Pada masa dahulu, Orang Iban kebiasaannya tinggal di tepi laut dan Orang Inggeris telah memanggil mereka sebagai Sea Dayak ataupun Dayak Laut. Oleh kerana biasa dengan keadaan laut dan tinggal di tepi laut, cacah di tubuh mereka banyak berbentuk kehidupan laut seperti udang, ketam dan kuda laut. Kepakaran masyarakat Iban teserlah apabila mereka mengubahsuai bentuk hidupan laut tersebut mengikut kepandaian mereka sendiri. Kecantikan cacahan yang dibuat bergantung kepada kepakaran pengukir yang membuat tatu tersebut.[xviii] Pada dasarnya corak masyarakat Iban adalah sama. Semua tempat di sarawak yang mempunyai komoditi masyarakat Iban yang bertatu tiada bezanya dari segi motif dan corak. Corak-corak ini dipercayai berkait rapat dengan unsur-unsur sembuh dan dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit. Walau bagaimana pun gaya tatu itu adalah berlainan kerana setiap orang yang mencacah tatu adalah tidak sama dari segi kemahiran mereka mencacah tatu tersebut.[xix] Tatu masyarakat Iban biasanya dicacah pada bahagian bahu, belakang, kaki, kerongkong dan lengan.
Pada masa dahulu, Orang Iban kebiasaannya tinggal di tepi laut dan Orang Inggeris telah memanggil mereka sebagai Sea Dayak ataupun Dayak Laut. Oleh kerana biasa dengan keadaan laut dan tinggal di tepi laut, cacah di tubuh mereka banyak berbentuk kehidupan laut seperti udang, ketam dan kuda laut. Kepakaran masyarakat Iban teserlah apabila mereka mengubahsuai bentuk hidupan laut tersebut mengikut kepandaian mereka sendiri. Kecantikan cacahan yang dibuat bergantung kepada kepakaran pengukir yang membuat tatu tersebut.[xviii] Pada dasarnya corak masyarakat Iban adalah sama. Semua tempat di sarawak yang mempunyai komoditi masyarakat Iban yang bertatu tiada bezanya dari segi motif dan corak. Corak-corak ini dipercayai berkait rapat dengan unsur-unsur sembuh dan dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit. Walau bagaimana pun gaya tatu itu adalah berlainan kerana setiap orang yang mencacah tatu adalah tidak sama dari segi kemahiran mereka mencacah tatu tersebut.[xix] Tatu masyarakat Iban biasanya dicacah pada bahagian bahu, belakang, kaki, kerongkong dan lengan.
Dalam membuat
tatu, bahan yang digunakan untuk menghitamkan cacah ialah alung.[xx] Along
ini akan dicampur dengan berbagai-bagai ubat pemanis supaya cacahan itu
kelihatan lebih cantik dan juga sebagai pelindungan.[xxi]
Pembuatan tatu secara tradisional menggunakan teknik mengetuk yang menggunakan
pengetuk yang diperbuat daripada tanduk rusa serta sebatang kayu untuk
meletakkan jarum yang digunakan untuk menghasilkan tatu. Menurut Sabang Anak
Nyegang, pembuatan tatu dengan menggunakan cara tradisional lebih sukar. Ini
kerana kekuatan tangan, kesabaran dan ketelitian amat diperlukan dalam
menghasilkan tatu yang berkualiti.
Sebagai rumusan, haruslah dikekalkan
ukiran tatu menggambarkan kepakaran masyarakat Iban dalam bidang seni ukir. Seni
ukir yang kita warisi daripada nenek moyang kita ini adalah salah satu daripada
status sosial kita. Seni ukir ini harus dipelajari secara lebih serius oleh generasi
muda. Pembuatan tatu ini dikaitkan dengan amalan ngayau[xxii]
yang diamalkan sejak dahulu lagi. Tatu ini juga mencerminkan kegagahan bangsa
kita kerana motif ukiran kita tinggi nilainya. Amalan
mencacah tubuh atau bertatu di kalangan generasi dulu dan kini berbeza kerana
dulu, tatu menjadi budaya, identiti dan status yang mengkelaskan kedudukan kumpulan
masyarakat atau sesuatu kaum.
[i]
Jerry Hawkin Anak Suting, Peranan Dayak Cultural Foundation Dalam memelihara
Tarian Ngajat, 2007, UNIMAS
[ii]
Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988 : hal. 145.
[iii]
Istilah ‘telanjai’ bermaksud tidak memakai pakaian
[iv] Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban,
1988 :hal. 145
[v]
Istilah ‘baru lanjau’ bermaksud baru meningkat remaja
[vi]
Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988 : hal, 13-14
[vii]
Istilah ‘Sengalang Burung’ bermaksud betara peperangan yang paling berkuasa,
mengikut kepercayaan suku kaum Iban.
[viii]
Ibid, hal.10
[ix]
Istilah ‘bungai terung’ bermaksud sejenis cacah yang dibuat pada badan
berasaskan bunga terung
[x]
Temuramah dengan Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xi]
Istilah ‘entegulun’ bermaksud sejenis cacah yang dibuat pada belakang tangan
seseorang setelah Berjaya membunuh dan memenggal kepala musuhnya
[xii]
Istilah ‘Gawai Enchabuh Arung’ bermaksud perayaan gawai yang disambut untuk
merayakan upacara membawa kepala musuh ke rumah setelah berjaya memenggal
kepala
[xiii]
Istilah ‘ukur rekung’ bermaksud cacah kelingai yang dibuat pada leher
[xiv]
Temuramah dengan Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xv]
Temuramah dengan Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xvi]
Istilah ‘lengan ketam’ bermaksud cacahan yang bermotifkan ketam yang dicacah
pada bahagian lengan
[xvii]Temuramah
Sabang anak Nyegang pada 14 Februari 2013.
[xviii]
Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988: hal. 148
[xix]
Temuramah dengan Nyegang Anak Sabang pada 14 Februari 2013
[xx]
Istilah ‘alung’ bermaksud benda hitam yang ditinggalkan oleh asap;arang
lampu;arang para;jelaga
[xxi]
Augustine Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, 1988: hal, 145
[xxii]
Istilah ‘ngayau’ bermaksud memenggal kepala
BIBLIOGRAFI
Sumber
Primer:
Temuramah
dengan Sabang Anak Nyegang pada 14 Februari 2013
Temuramah
dengan Sendar Anak Sabang pada 14 Februari 2013
Sumber Sekunder:
Jerry
Hawkin Anak Suting, Peranan Dayak Cultural Foundation (DCF) Dalam Memelihara
Tarian Ngajat, UNIMAS; Tesis yang tidak diterbitkan, 2007.
Augustine
Anggat Ganjing, Asas Ukiran Iban, Dewan Bahasa dan Pustaka, Sarawak Branch,
with coorperation of General Publication Division, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa
dan Pustaka 1988.
No comments:
Post a Comment