Pengenalan
Pendidikan Moral memainkan
peranan penting dalam merealisasikan matlamat pendidikan dan sebagai wardah
untuk mencapai hasrat negara. Mata pelajaran ini merupakan satu subjek yang
penting di sekolah dalam melahirkan generasi yang berilmu, berdisiplin dan
berwawasan. Tambahan pula, dalam usaha melahirkan insan yang bermoral, peranan
Guru Pendidikan Moral memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan
pelajarannya dengan berkesan dan menjadi contoh (role model) kepada para pelajarnya. Dalam penghidupan
(sosialisasi), seseorang individu perlu melalui berbagai proses perkembangan
sehingga mencapai kematangan. Salah satu proses yang dialami ialah proses
perkembangan moral. Antara lain, proses sosialisasi pelajar akan mempengaruhi
pemikiran, emosi dan tingkah laku di mana akan memberi perubahan besar dalam
kehidupan mereka.
Sosialisasi berlaku secara
sedar atau tidak sedar. Walaupun pelajar diajar secara langsung (delibrate) cara-cara tingkah laku, sikap-sikap dan nilai-nilai yang baik di rumah dan
di sekolah, tingkah laku, sikap dan nilai kumpulan dalam masyarakat yang lain
secara tidak langsung juga akan dipelajari oleh pelajar hasil daripada tingkah
laku atau perbuatan-perbuatan orang-orang dewasa di sekitarnya. Ramai ahli
sosiologi berpendapat bahawa kita tidak dilahirkan sebagai manusia, tetapi kita
menjadi manusia melalui proses interaksi atau sosialisasi. Sosialisasi mengubah
organisme bilogikal kepada insan sosial. Melalui sosialisasilah seseorang
belajar isi kandung kebudayaannya. Melalui sosialisasilah kebudayaan manusia
dapat dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
Justeru, kepentingan proses
sosialisasi pelajar di sekolah terutama dalam mempengaruhi pemikiran, emosi dan
tingkah laku mereka memang tidak dinafikan lagi. Oleh sebab itu, mengikut
sukatan pelajaran Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988),
penaakulan moral merupakan hasil yang penting dalam pengajaran Pendidikan
Moral.
Agen Perubahan Sosialisasi Individu
Dalam proses sosialisasi
pelajar terdapat lima agen utama yang turut membawa perubahan dalam diri
mereka, yakni keluarga, rakan sebaya, sekolah (institusi), agama dan media
massa.
Seringkali ditimbulkan bahawa
faktor keluarga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kejayaan anak-anak
dalam pelajaran. Ibu bpa yang sentiasa memberi galakkan dan perangsang sehingga
menimbulkan minat, semangat ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadai
pelajaran. Ibu bapa juga berupaya membentuk pola-pola tingkah laku pelajar.
Faktor-faktor seperti dorongan dan galakkan, disiplin di rumah, hubungan mesra
antara ibu bapa dan anak serta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas
pembentukan personaliti, motivasi dan pencapaian akademik anak-anak yang masih
bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan bantuan dikaitkan
dengan kejayaan yang tinggi. Di samping itu, ibu bapa juga dikaitkan sebagai
satu faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi pembentukan dan perkembangan
sosialisasi khususnya yang berkaitan dengan personaliti dan sahsiah mereka. Tak
syak lagi pepatah Melayu mengatakan, “jikalau hendak melentur buluh, biarlah
dari rebungnya”. Sehubungan dengan itu Mohd. Azhar et.al, (2001) menyatakan bahawa ketika kecil dan dalam
keluarga pendidikan asas serta pembentukan keperibadian itu mesti diberikan
dasar yang jelas dan kukuh.
Pada diri remaja, pengaruh
dalam lingkungan perilaku diakui cukup kuat. Walaupun remaja telah mencapai
tahap perkembangan kognitif yang memadai untuk menentkan tindakannya sendiri,
namun penentuan diri remaja dalam berperilaku banyak dipengaruhi oleh tekanan
dari kelompok teman sebaya (Conger, 1991). Kelompok teman sebaya juga diakui
dapat mempengaruhi pertimbangan dan keputusan seseorang remaja tentang
perilakunya (Conger, 1991). Rakan sebaya dilihat mempunyai nilai-nilai
tersendiri dan mempunyai pengaruh yang ketara. Raka sebaya di sekolah dapat
mempengarui disiplin seseorang remaja. Sekiranya nilai-nilai rakan sebaya tidak
mementingkan ketekunan, tanggungjawab, kerjasama, menepati masa, menghormati
guru dan mematuhi peraturan, begitulah juga sikap pelajar berkenaan. Sebaliknya
sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan menghasilkan seseorang ndividu
yang amat menekankan nilai moral dalam satu-satu masyarakat seperti sifat-sifat
kepimpinan, bertimbang rasa dan bekerjasama. Rakan sebaya juga memainkan
peranan penting bagi membentk konsep diri, sikap dan pandangan seseorang pada
dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun sebaliknya di sisi
masyarakat. Contohnya, cara berpakaian, hobi, aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan,
kumpulan belajar dan sebagainya.
Di samping itu, pelajar
menghabiskan hampir seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah (institusi)
adalah kedua pentingnya berbanding dengan pengaruh keluarga. Apabila
kanak-kanak bersekolah, interaksinya dengan masyarakat menjadi bertambah luas. Di
sekolah kanak-kanak bukan sahaja belajar sosialisasi secara formal yang
ditentukan oleh kurikulum sekolah tetapi ia juga melalui kurikulum tersembunyi
dengan cara menyesuaikan diri dalam suasana baru sekolah seperti beratur
mengikut giliran, mengikut peraturan, bekerjasama dengan orang lain dan
bersaing dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Organisasi dan struktur belajar di
sekolah seperti pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang
menekankan peperiksaan, bentuk, strutur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan
guru, kesemuanya menggalakkan perubahan dalam proses sosialisasi mereka. Jenis
kepimpinan dan suasana sekolah turut mempengaruhi perkembangan personaliti
pelajar. Sebagai contoh, pengetua atau Guru Besar yang tegas melaksanakan
disipln pasti menegaskan kepada remaja, keadaan disiplin adalah penting bagi
menjamin kejayaan perlaksanaan sesuatu tugasan sebaliknya pengetua atau Guru
Besar yang tidak tegas menghasilkan kesan yang negatif pula (Rosiadi et.al,
2008).
Agama di dapati mempunyai hubungan dengan
perlakuan moral. Ramai berpendapat agama adalah penting untuk mencapai
perlakuan moral yang baik. Adalah didapati pelajar yang menghadiri kelas-kelas
agama lebih jujur daripada pelajar yang tidak menghadiri kelas agama. Ramai
berpendapat pelajar-pelajar menggunakan ajaran agama sebagai petunjuk dalam
proses perkembangan moral mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes-kes di
mana orang-orang yang percayakan agama tidak menggunakan prinsip-prinsip moral
yang tinggi dalam perlakuan mereka seharian. Ini kerana tidak ada keimanan di
dalam diri mereka. Sekiranya pelajar-pelajar ini diberi didikan agama yang kuat
dan berpegang kepada keimanan nescaya mereka tidak akan melakukan sesuatu yang
bercanggah dengan moral manusia malahan agama itulah yang akan membentuk jiwa,
moral dan akhlaknya kerana di dalam agama itu ada cara dan kaedah untuk
membentuk akhlak-akhlak yang baik dan berjiwa luhur kepada tuhan seperti yang
terkandung di dalam agama Islam. Keadaan ini sekaligus membentuk proses
sosialsasi dalam diri individu serta membawa perubahan besar dalam hidup
mereka.
Ada pendapat yang mengatakan
media massa mempunyai pengaruh sosialisasi sama kuatnya seperti pengaruh rakan
sebaya dan sekolah. Media massa yang merangkumi surat khabar, majalah, radio
dan terutama televisyen boleh meninggalkan kesan yang negatif dan positif ke
atas sosialisasi seseorang. Pengaruh baik atau buruk yang diterima oleh pelajar-pelajar
melalui media massa bergantung kepada apakah bahan atau unsur yang didedahkan
kepada mereka. Rancangan-rancangan televisyen mempunyai tema yang berbagai.
Tema yang baik seperti cerita di mana orang yang baik selalu mendapat kejayaan
dan sebaliknya orang jahat menerima hukuman atau balasan dapat membantu perkembangan
pertimbangan moral pelajar-pelajar. Pelajar-pelajar patut digalakkan untuk
menonton rancangan sedemikian. Sebagai ibu bapa dan guru yang bertanggung jawab
adalah menjadi tanggung jawab mereka untuk mendidik pelajar-pelajar supaya
mereka tahu memilih apakah rancangan televisyen dan bahan-bahan bacaan yang
baik dan sesuai untuk mereka.
Peranan Guru Pendidikan Moral
Menurut Kamus Dewan (1970)
‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Daripada pengertian di atas,
jelas menunjukkan guru merupakan insan yang berkecimpung dalam arena perguruan
yang dikaitkan sebagai suatu bidang mengajar atau melaksanakan dalam konteks
institusi pendidikan dalam usaha menyampaikan ilmu kepada anak murid atau
masyarakat. Dalam kerengka tugas sebagai Guru Pendidikan Moral yang berwibawa,
khususnya dalam meningkatkan perkembangan moral kognitif remaja (pelajar) ke
arah melahirkan generasi yang bertanggungjawab dan berwawasan, seseoang Guru
Pendidikan Moral harus sedar bahawa pelajar yang datang ke sekolah telah mempelajari
serba sedikit persoalan moral di rumah daripada keluarga dan masyarakat.
Keadaan ini bermakna, para
pelajar harus diberi harapan dan kepercayaan agar tabiat tentang moral yang
dipelajari bakal melahirkan pengetahuan moral mereka sekaligus perkembangan
moral kognitif terus subur. Dengan cara ini kita dapat memupuk nilai-nilai dan
prinsip hidup golongan remaja agar menjadi remaja yang berilmu serta
berdisiplin. Kenyataan ini dapat disokong oleh pendapat Yahya Buntat at.el, (2003) di mana Guru Pendidikan Moral bukan sahaja
berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan
disiplin diri harus di bentuk ke arah profesionalisme.
Dalam mengajar mata pelajaran
Pendidikan Moral, Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif adalah berasaskan
kepada teori perkembangan moral Kohlberg (1962) yang memberi fokus kepada
merangsang perkembangan moral para remaja (pelajar). Pedekatan ini banyak
membantu membina kebolehan menaakul golongan remaja di peringkat yang lebih
tinggi. Bailey (1979) dalam (Chang Lee Hoon, 2005) turut menyatakan bahawa
perkembangan moral pada peringkat ini lebih tertumpu kepada perkembangan
karaktor moral, sikap terhadap peraturan moral dan membuat pertimbangan moral.
Di samping itu juga, istilah ‘perkembangan’ memberi satu gambaran yang
menunjukkan satu perubahan yang progresif ke tahap yang lebih kompleks yang
tidak boleh diterbalikkan, maka perkembangan moral membayangkan andaian
mengenai apakah yang dianggap matang dari segi moral (Downey & Kelly (1978)
dalam Chang Lee Hoon (2005).
Terdapat beberapa perspektif
atau teori perkembangan moral yang membawa implikasi terhadap pendidikan moral,
khususnya dalam kebanyakan gejala sosial yang berlaku kini. Penaakulan moral
yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan
pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja (Loganathan,
1995). Stoll & Beller dalam Loganathan (1995) turut melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar
bahawa sesuatu harus dilakukan untuk mengajar nilai-nilai murni dan yang lebih
penting lagi adalah mengajar pelajar cara menaakul tentang sesuatu nilai.
Namun, Wilson (1973) memang telah menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan
suatu kemahiran yang boleh diajar dan dipelajari.
Guru Pendidikan Moral juga
harus sedar bahawa di sekolah sendiri merupakan sumber pembelajaran moral
secara tidak langsung. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah itu ditadbir dan
bagaimana guru-guru bertingkah laku akan memberikan pengaruh secara tidak
lanagsung kepada pembelajaran moral para pelajar di sekolah. T. Mariuthu (1980)
dalam Rosiadi (2008) menjelaskan bahawa remaja menghabiskan hampir seluruh
masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding dengan
keluarga. Organisasi dan struktur belajar di sekoah seperti pengagihan pelajar
mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan peperiksan, bentuk,
struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan
masalah disiplin dalam kalangan pelajar yang lemah dari segi akademik.
Keadaan ini sudah tentu
berbeza jika pelajar yang belajar di sekolah yang ternama dan tinggi
penghayatan moralnya sudah tentu lebih beruntung dan mudah proses pemupukan
nilai dilakukan berbanding dengan sekolah yang sebaliknya. Dengan cara ini,
Guru Pendidikan Moral di sekolah terbabit berperanan mengembangkan moral
kognitif pelajar yang bermasalah. Menyentuh pernanan guru dalam menangani
masalah vandalisme di sekolah, ia perlu dilihat dari sudut sikap guru itu di
mana beliau hampir dengan pelajar selepas ibu bapa (Abdullah, 2005). Sudah
tentu usaha ini akan memberi kesan kepada masalah pelajar kerana tanggungjawab
mendisiplinkan pelajar terlelak di bahu guru di sekolah.
Selaras dengan kepentingan
Perkembangan Moral mengikut skema Kohlberg (1975) mengatakan bahawa penaakulan
moral bukan sahaja merupakan salah satu faktor yang menggerakkan tingkah laku
moral tetapi penaakulan moral juga adalah faktor paling penting yang pernah
dikaji dan terbukti dapat menggerakkan tingkah laku moral. Kohlberg
membicarakan bahawa bagaimana individu boleh bertingkah laku moral jika dia
tidak faham dan tidak berfikir tenang sebab kenapa dia patut bertingkah laku
sebegini. Justeru, Guru Pendidikan Moral harus bersedia mengajar nilai-nilai
moral sekaligus memperkembangkan pengetahuan moral pelajar agar mencapai
matlamat untuk melahirkan individu yang bermoral tinggi. Tambahan Loganathan
(1995) penaakulan moral yang matang adalah penting kerana pemikiran yang
rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan
remaja di sekolah.
Selain itu, Guru Pendidikan Moral haruslah
bertanggungjawab menyalurkan objektif-objektif seiring dengan penerapan
nilai-nilai murni Pendidikan Moral dalam kalangan pelajar. Di bawah rancangan
KBSR dan KBSM, nilai-nilai murni diterapkan bukan sahaja dalam mata pelajaran
Pendidikan Moral tetapi juga dalam semua mata pelajaran yang lain.
Selaras dengan Falsafah Pedidikan Kebangsaan, KBSR dan KBSM digubal berdasarkan
kepada prinsip kesepaduan unsur-unsur yang membolehkan potensi individu berkembang
secara menyeluru dan seimbang. Justeru itu, bagi mencapai matlamat Pendidikan
Kebangsaan, pelajar-pelajar sekolah akan diberi peluang menghayati nilai-nilai
murni serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Keadaan ini sejajar
dengan perkembang moral kognitif pelajar berkenaan dengan ‘pertimbangan moral’ (moral judgement) Kohlberg (1987) dalam
Chang Lee Hoon (2005) yang mengklasifikasikan terdapatnya tiga ciri
pertimbangan moral bagi golongan pelajar iaitu (i) pertimbangan tentang nilai
bukan fakta (ii) pertimbangan sosial yang melibatkan pertimbangan tentang
manusia dan (iii) pertimbangan normatif atau preskriptif, pertimbangan tentang
patut, hak dan tanggungjawab dan bukan pertimbangan nilai tentang kecenderungan
sendiri.
Sejajar dengan tanggungjawab
besar para guru seperti yang terkandung dalam Etika Profesion Perguruan (EPP),
Guru Pendidikan Moral juga tidak lepas daripada tanggungjawab ini. Ikrar dalam
EPP, ‘.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai
kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut
sebagai panduan’ (Yahya Buntat, et.al, 2003). Dengan menjalankan
tugas penuh dedikasi sebagai seorang pendidik, adalah diharapkan bahawa
matlamat pendidikan kebangsaan dapat dicapai bagi menghasilkan pelajar-pelajar
yang bertanggungjawab dan mempunyai akhlak yang bermoal tinggi serta mulia.
Adalah diharapkan juga para pelajar menolak sikap devian mereka agar tidak
terlibat dalaam gejala vandalisme di tempat awam ataupun sekolah.
Antara lain, kekuatan
moral bakal melahirkan masyarakat
“berminda kelas pertama” adalah masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing,
berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Masyarakat
tersebut juga tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta
sejarah negara, bangsa dan agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah
melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus
globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan kesetiaan kepada Raja
dan negara senantiasa dijunjung. Semangat Islam Hadhari yang menekankan kepada
pegangan prinsip-prinsip berasaskan nilai-nilai universal yang luhur, akan
diterapkan.
Menyentuh tentang
konsep ‘Guru Pendidikan Moral dan Aspirasi Negara’ di mana telah meletakkan
satu tanggungjawab penting kepada semua guru. Selain Kod Etika Profesion
Perguruan (EPP), aspirasi negara disandarkan kepada tanggungjawab untuk
membangunkan negara. Guru berkenaan harus menjadi teladan (role model)
dalam mempraktikkan prinsip yang positif di samping menyebarkan mesej yang
diingini kepada para pelajar. Dalam isu ini, mesej untuk menolak sebarang
perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang negara
wajar ditonjolkan dalam kalangan pelajar
melalui penggemblengan usaha bersama agar imej institusi pendidikan dapat
dipelihara sepenuhnya sekaligus membentuk generasi Malaysia yang
bertanggungjawab dan berwawasan.
Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Penyelesaian
Konflik
Proses perkembangan bangsa dan
proses kemajuan negara berkaitan secara langsung dengan sistem pendidikan.
Pendidikan bermutu bakal melahirkan generasi yang sedar dan insaf dengan erti
hidup dan tanggungjawab. Mereka berusaha memperkembangkan potensi masing-masing
bagi mencapai kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru,
pendidikan berfungsi sebagai alat untuk memenuhi kepeluan-keperluan negara
dalam pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi dan sosial.
Dalam
membincangkan proses pendidikan, kita harus memberi fokus akan kepentingan
aspek pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan engeluaran idea yang
kreatif dalam kalangan pelajar. Pengajaran dan pembelajaran melibatkan
kemahiran yang pelbagai serta mengintegrasikan unsur-unsur lain supaya menjadi lebih berkesan dan
kreatif. Antaranya ialah kaedah penyelesian koflik. Di samping itu, peranan
guru yang kreatif dan inovatif amat penting dalam memastikan proses
pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Menurut Abd. Rahim (1999)
daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah atau metod pengajaran mencorakkan perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai
para pelajar. Manakala inovatif pula ialah kebolehan seseorang guru memulakan
sesuatu yang baru dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan dan sebagainya.
Justeru,
guru adalah pemangkin kepada para pelajar membina daya pemikiran yang
analitikal, kritis dan kreatif bagi menghadapi perubahan-perubahan semasa.
Ungkapan di bawah menggambarkan betapa pentingnya peranan guru sebagai penyalur
ilmu dan kemahiran kepada para pelajarnya.
“As teachers we must believe in change, we must know
it is possible, or we wouldn’t be teaching – because education is a constant
prosess of change. Every single time you
“teach” something to someone, it is ingested, something is done with
it, and new human being emerges”
(Leo Buscaglia & Boon Pong Ying dalam Mok Soon Sang, 2002 )
|
Pengajaran dan pembelajaran adalah proses yang berterusan dan tidak statik selari dengan
perubahan-perubahan di sekeliling kita. Dalam era teknologi moden kini,
perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran menuntut profesionalisme guru
mendalami inovasi dalam pedagogi bagi memperbaiki serta memperkukuhkan kapasiti
sebagai seorang pendidik. Bagi mengoptimumkan keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran dalam menjana idea kreatif
para pelajar, guru boleh menggunakan kaedah penyelesaian konflik.
Penyelesaian
konflik dalam bentuk sumbang saran (brainstorming)
adalah satu bentuk perbincangan yang membolehkan satu kumpulan mengeluarkan
sebanyak mungkin idea secara spontan dan berkelompok. Setiap idea perlu diterima untuk dikaji sama ada
sesuai dengan tajuk perbincangan atau tidak. Jangan mengkritik idea-idea pada
peringkat awal kerana akan menghalang kelahiran idea-idea baru. Pada akhir sesi
idea-idea yang sesuai akan diasingkan dengan idea yang tidak sesuai untuk
dibuat rumusan. Rumusan itulah menjadi hasil sesi sumbang saran.
Betapa banyaknya permasalahan
moral yang boleh dibincangkan oleh murid kita. Mereka mampu berbincang, mencari
punca masalah, kenapa dan mengapa masalah itu terjadi. Mereka berbincang
tentang kesan atau akibatnya. Mereka juga mampu untuk menyarankan cara-cara
penyelesaiannya. Tetapi bagaimanakah dengan penghayatan dan tindakan mereka?
Adakah mereka menghayati apa-apa yang mereka bincangkan dan bertindak
sebagaimana yang mereka persetujui dalam
perbincangan? Contoh isu-isu yang boleh dibincangkan ialah gejala melepak,
lumba haram, menonton televisyen yang keterlaluan, membuang masa yang berharga
dan sebagainya. Berikut merupakan model pengurusan grafik bagi teknik
perbincangan (sumbang saran) yang berkaitan dengan kaedah penyelesaian konfik.
Abdul Rahim (2005). Profesionalisme Keguruan: Prospek dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Sani
Yahya. (2005). Mengurus Disiplin Pelajar.
Pahang : PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd.
Chang L. H. (2005). Konsep
Asas Dalam Pendidikan Moral. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Downey, M. & Kelly, A.V. (1978). Moral education: Theory and
practice.
London : Harper & Row.
Kamus Dewan (1970). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kohlberg, L.
(1975). The cognitive-developmental
approach to Moral Education.
Phi Delta Kappan LVI (10)
: 670 677.
Loganathan, R.(1995). Peringkat perkembangan moral di kalangan pelajar
sekolah
menengah Bandar dan luar Bandar. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.
Mohd. Azhar Abd. Hamid et al. (2001).Senario Pendidikan Moral Masyarakat
Melayu Zaman Teknologi
Komunikasi Maklumat (ICT):Trend, Hala Tuju Dan Model Pendidikan Moral Keluarga
Islam. Jurnal Teknologi, 35(E) Dis.2001:
45-70. Universiti Teknologi Malaysia.
Mok Soon Sang (2002). Pedogogi Untuk Kursus Diploma Perguruan. Subang Jaya.
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Nur Munirah Teoh,
et al. (2007). Buku Panduan Guru. KBSR.
Pendidikan Moral Tahun
6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nur Munirah Teoh,
et.al.,(2007). Buku Teks. KBSR. Pendidikan Moral Tahun 6. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (1988).
Sukatan
pelajaran sekolah menengah : Pendidikan Moral. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rosiadi Bin Tajudin, et al. (2008). Penyalahgunaan
Dadah Di Kalangan Remaja
Dari
Sudut Psikologi. Diploma
Lepasan Ijazah. UPSI.
Wilson, J. (1973). The
assessment of morality. Great
Britain : NFER Publishing
Company Ltd.
Yahya Buntat at.el, (2003). Amalan
Etika Profesion Perguruan Di Kalangan
Guru-Guru
Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kulai Johor. Satu Tinjauan. Fakulti Pendidikan. Skudai : Universiti
Teknologi Malaysia.