Translate

Sunday 29 December 2013

Cabang-cabang Linguistik
 Bagi melihat lingustik secara lebih mendalam lagi, terdapat lapan cabang ilmu linguistik yang dikenal pasti. Antaranya ialah (i) Linguistik Deskriptif (Descriptive Linguistics), (ii) Linguistik Historis (Historical Linguistics), (iii) Linguistik Komparatif (Comparative Linguistics), (iv) Sosiolinguistik (Sociolinguistics), (v) Neurolinguistik (Neurolinguistics), (vi) Linguistik Am (General Linguistics), (vii) Linguistik Terapan (Applied Linguistics), dan (viii) Psikolinguistik (Psycholinguistics).
 Dalam hal ini kita akan membincang tiga sahaja cabang linguistik yang sesuai dengan keperluan kajian ini. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2012) Linguistik Deskriptif ialah satu cabang linguistik yang menghuraikan satu-satu bahasa tertentu pada satu-satu masa tertentu. Misalnya, ilmu linguistik yang menghurai atau menganalisis bahasa Melayu seperti yang dituturkan oleh masyarakat Melayu pada hari ini. Linguistik Deskriptif juga menghuraikan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dituturkan dan bagaimana sistem bahasa Melayu itu digunakan dalam bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan segala aspek yang terdapat dalam bahasa Melayu. Linguistik Deskriptif hanya membuat huraian tentang satu-satu bahasa itu dan tidak pula membuat perbandingan dengan bahasa-bahasa lain atau mengkaji daripada sudut sejarah bahasa itu. Misalnya, Linguistik Deskriptif akan menghuraikan bunyi-bunyi vokal, konsonan, diftong, sistem suku kata, perkataan, frasa dan ayat bahasa Melayu, tetapi tidak membuat perbandingan antara sistem vokal, konsonan, diftong, suku kata, perkataan, frasa atau ayat bahasa Melayu.
Kedua, Linguistik Sosiolinguistik yang juga dikenali sebagai linguistik antropologi atau linguistik sosial ialah satu cabang linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Dell Hymes (1966), Sosiolinguistik merupakan ilmu yang mengkaji bahasa daripada segi hubungan antara latar (setting), peserta (participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama sendiri (Nik Safiah Karim, 1981) dan Fishman (1968) pula menyatakan bahawa Sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji ciri-ciri variasi bahasa, ciri-ciri fungsi variasi-variasi ini dan ciri-ciri penutur yang menggunakannya apabila ketiga- tiga unsur ini berinteraksi, berubah dan mengubah satu sama lain dalam sesuatu masyarakat bahasa.
Tambah Abdul Hamid Mahmood (2012) lagi Linguistik Sosiolinguistik ini juga merupakan kajian yang menumpukan perhatian kepada bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Manusia menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan untuk menyampaikan hasrat, buah fikiran dan perasaan serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat. Bahasa digunakan sebagai alat oleh masyarakat untuk berhubung, mengenal orang yang sedang bercakap dengan lebih mendalam. Dalam aspek berkomunikasi cara seseorang menyebut perkataan, bunyi- bunyi perkataan, bagaimanakah ia menyusun frasa dan ayat-ayat tertentu, serta jenis-jenis perbendaharaan kata yang digunakan olehnya akan menunjukkan identiti dirinya yang sebenarnya.

Selanjutnya yang ketiga pula ialah kita akan membincangkan Linguistik Am. Linguistik Am juga disebut linguistik umum merupakan ilmu linguistik yang membuat kajian atau membicarakan bahasa secara umum. Maksudnya, dalam Linguistik Am dibicarakan hal-hal tentang teori-teori kajian bahasa, kaedah- kaedah, pendekatan-pendekatan atau model-model yang digunakan dalam kajian bahasa. Dalam Linguistik Am turut dihuraikan cara kajian bahasa dilakukan mengikut teori, kaedah dan pendekatan tradisional, kajian bahasa mengikut aliran struktur, teori dan kaedah kajian bahasa mengikut aliran transformasi generatif, relasional, fungsional dan seumpamanya. Kajian ditumpukan kepada perkara-perkara umum dalam bahasa secara universal. Huraian bahasa secara umum dan universal ini mencakupi bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan seumpamanya secara umum (Abdul Hamid Mahmood, 2012).

No comments:

Post a Comment