Translate

Monday 9 December 2013

Dalam kehidupan bermasyarakat, menyemai dan memupuk semangat kekitaan sangat penting bagi mengekalkan perpaduan yang sudah sedia terjalin. Bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan. Bayangkan, jika tiada semangat kekitaan, sudah tentu persefahaman dan kerjasama dalam masyarakat tidak wujud.
Setiap individu yang tinggal dalam masyarakat hendaklah mempunyai semangat kekitaan. Melalui semangat kekitaan, kehidupan dapat dimanfaatkan dengan lebih bermakna lagi. Kehidupan masyarakat akan lebih aman dan tenteram apabila semangat ini dapat diwujudkan pada setiap masa. Perpaduan bangsa dapat dilakukan melalui bahasa.
Kajian pakar sains sosial membuktikan bahawa perpaduan dan permuafakatan penduduk yang sentiasa menjaga bahasa akan mewujudkan suasana aman, harmoni dan sejahtera. Keunikan hidup di Malaysia banyak bergantung pada perpaduan dan permuafakatan antara kaum. Perpaduan dan permuafakatan ini bermula daripada semangat kekitaan yang wujud dengan mengekalkan budi bahasa dalam kehidupan masyarakat di kawasan perumahan, sama ada di desa ataupun di kota. Misalnya, orang menggunakan bahasa untuk berbicara tentang ajaran Islam yang mementingkan perpaduan, permuafakatan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat yang berlandaskan Islam. Orang Mukmin diumpamakan sebagai binaan yang menyokong antara satu sama lain dan bahasa pula menjadi penghubung dan penguat muafakat.
Sesuatu bangsa itu tidak boleh membangun dan berjaya jika hidup bersendirian. Oleh itu, sebagai individu kita hendaklah bersama-sama hidup bergotong-royong, bantu-membantu, hormat-menghormati dan berkasih sayang. Mengamalkan bahasa dan budaya yang baik akan dapat merealisasikan keadaan ini. Setiap individu juga perlu mengamalkan hidup bermasyarakat dengan menyertai aktiviti gotong-royong, menghadiri majlis rumah terbuka, menghadiri majlis perkahwinan dan aktiviti lain yang dijalankan oleh penduduk setempat. Dalam hubungan ini, bahasa memainkan peranan sebagai alat komunikasi yang berkesan. Misalnya, melalui majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan setiap tahun, ahli masyarakat dapat berkenal-kenalan, merapatkan silaturahim, menjalinkan kemesraan dan mengeratkan persaudaraan.
Untuk mengeratkan hubungan kasih sayang, kita mestilah menggunakan bahasa yang bersopan santun. Mereka yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam kehidupan bermasyarakat akan merasakan diri mereka terpinggir. Akhirnya, mereka akan hidup seperti kera sumbang dalam masyarakat tersebut. Kehidupan yang dipinggirkan oleh ahli masyarakat akan menyebabkan diri rasa terasing dan tersisih.
Konsep mengamalkan bahasa dan budaya, serta semangat kekitaan sudah tentu akan mewujudkan suasana aman, harmoni dan sejahtera dalam kehidupan penduduk yang bermasyarakat. Konsep ini sebenarnya sudah lama diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu lama di desa. Hal ini seharusnya diterapkan dan diamalkan di bandar dan di kota sebagai amalan yang baik. Bahasa yang diamalkan dalam semangat kekitaan akan menjalin kasih sayang dan rasa persaudaraan.
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012. (Ami Masra)


No comments:

Post a Comment