Translate

Sunday, 12 April 2015

Aplikasi Komputer dalam Bahasa Melayu

                                                                                                                                         25 Mac 2015

Maran Ramping
Universiti Putra Malaysia

Pendahuluan

Proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah adalah memainkan peranan yang cukup penting dan meninggalkan impak yang amat tinggi dalam menyampaikan isi-isi pelajaran yang terkandung dalam sesuatu sukatan pelajaran yang telah dibentuk. Dalam konteks mata pelajaran Bahasa Melayu, fokus dan matlamat proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat baik, mencapai standard (objektif) dan berkesan adalah amat dipentingkan. Secara amnya, proses pengajaran yang merupakan satu sistem aktiviti yang secara khusus ditujukan kepada murid-murid dengan tujuan membawa perubahan tingkah laku dalam kalangan mereka. Sistem aktiviti ini sebenarnya dirancang dan diolah oleh guru untuk menyampaikan pemahaman tentang maklumat atau pengetahuan tertentu kepada pelajar-pelajar dalam suasana yang dinamakan bilik darjah.

Manakala  pembelajaran pula merupakan satu proses mengumpul maklumat dan pengalaman secara berterusan, yang berlaku dalam diri seseorang sejak ia dilahirkan. Proses ini berlaku dalam dua bentuk, sama ada disedari atau pun tidak disedari. Pembelajaran melibatkan organ deria untuk mengesan semua bentuk pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berselerak di persekitaran mereka.

Menurut Koh Boll Boon (1985), pengajaran adalah satu proses yang kompleks yang dipenuhi oleh pelbagai unsur, termasuk kualiti pengajar, kecerdasan, bakat, minat, pengaruh motivasi, persekitaran sekolah dan dorongan ibu bapa terhadap pelajar itu. Sebagai satu proses, pengajaran merupakan suatu jaringan aktiviti yang dikendalikan oleh guru bagi menghubungkan pelajar-pelajar melalui pengalaman yang dijangka dapat dipindahkan setelah hubungan itu dikawal baik oleh kaedah tertentu yang digunakan.

Stalling (1984) pula berpendapat bahawa pembelajaran berdasarkan tiga kriteria, yang penting. Pertama, pembelajaran harus menampakkan perubahan dalam tingkah laku. Kedua, pembelajaran harus melibatkan sesuatu pemikiran. Ketiga, pembelajaran harus menghasilkan perubahan melalui pengalaman atau latihan. Menurut Crow dan Crow (1983) pula, pembelajaran adalah pemerolehan tabiat, pengetahuan dan sikap. Pembelajaran juga melibatkan cara baru membuat sesuatu kerja. la berlaku dalam percubaan individu untuk mengatasi rintangan atau untuk menyesuaikan diri kepada situasi baru semasa menimba ilmu di bangku sekolah.

Oleh yang demikian, memang tidak dapat dinafikan bahawa para guru disarankan menggunakan pendekatan, strategi dan kaedah yang sesuai dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Justeru, aplikasi menggunkan video dalam pengajaran adalah amat berkesan dan berupaya meninggalkan impak yang cukup kepada pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Konsep Video Dalam Pengajaran

Konsep “multimedia” yang merangkumi banyak jenis dan bentuk didefinisikan sebagai elemen-elemen pembentukan multimedia yang pelbagai termasuk yang mengandungi elemen-elemen teks, gambar, suara, animasi, dan video. Multimedia merupakan suatu konsep dan teknologi baru bidang teknologi informasi, dimana informasi dalam bentuk teks, gambar, suara, animasi, dan video disatukan dalam komputer untuk disimpan, diproses, dan disajikan baik secara linier maupun interaktif.

Dalam konteks video sebagai alat multimedia ialah kombinasi audio dan siri bingkai imej dalam bentuk digital secara selari yang berasaskan masa. Menyediakan kaedah penyaluran maklumat yang amat menarik serta merupakan elemen atau media yang paling dinamik serta efektif dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Ia juga sebagai penyimpan maklumat dan sumber rujukan yang berkesan terutama dalam mengajar di dalam kelas.

Menurut Aizah Sabeli (2005), video di televisyen (TV) ialah video analog direkod secara magnetik dalam pelbagai tape format seperti VHS. Signal analog berasal daripada proses encoding serta piawaian untuk signal video ialah encoding dan decoding oleh  system elevise analog (NTSC). Video menyediakan sumber yang meluas dan berguna untuk aplikasi multimedia. Teknik pemampatan video menggunakan dua teknik asas iatitu interfram, mampatan berlaku antara fram dan intrafram, mampatan berlaku dalam fram.

Di samping itu terdapat beberapa jenis video yang penting dalam bidang pengajaran seperti (1) Live Video Feeds, merupakan objek masa nyata yang menarik sebagi pautan dalam aplikasi multimedia yakni seperti siaran langsung; (2) Video Tape, penggunaannya satu pemain cockpit voice recorde (CVR) untuk dimainkan sebagai objek pautan multimedia secara linear dan pemain video tape bukan kawalan komputer; (3) Videodisc, format bagi videodisc ini terbahagi kepada 2 iaitu CAV dan CLV. CAV boleh menyimpan data sehingga 54,000 fram pegun. CLV boleh menyimpan data sehungga beberapa jam video untuk setiap permukaan disk serta mempunyai capaian rawak yang cepat dan keperluan minima untuk dicapai oleh komputer multimedia; (4) Digital Video, digunakan pada rangkaian komputer. Pemprosesan yang berkeupayaan tinggi boleh memainkan video dengan skrin penuh tanpa alatan sokongan lain. Kualiti filem lebih baik; dan (5) Hipervideo, mempunyai soundtrack dan dimainkan berulang kali. Video dibenarkan untuk dimainkan secara selari dengan persembahan multimedia, dirujuk sebagai hipervideo. (Aizah Sabeli, 2005).

Kelima-lima jenis video yang telah dijelaskan di atas mempamerkan multimedia jenis video ini masih berfungsi dan relevan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas masa kini. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah penggunaan video dalam proses pengajaran dan pembelajaran masih lagi relevan dan menarik minat mereka. Keadaan ini adalah kerana video merupakan antara elemen multimedia yang dikatakan paling dinamik dan juga realistik berbanding elemen-elemen yang lain. Ianya juga dikatakan merupakan gabungan pelbagai media (seperti teks, grafik, audio dan sebagainya) di dalam satu medium. Oleh yang demikian, penggunaan video dalam proses penyampaian maklumat berupaya untuk mempengaruhi motivasi seseorang pelajar terhadap proses penerimaan maklumat. Selain dari itu, video juga mampu membawa unsur realistik atau keadaan sebenar kepada para pelajar. Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi perasaan dan emosi para pelajar dengan lebih nyata.

Ransangan Guru Melaksanakan Aplikasi Video

Dalam pendidikan formal, proses pengajaran dan pembelajaran haruslah diberi penekanan yang sewajarnya. Proses yang disinonimkan dengan pengajaran dan pembelajaran bilik darjah melibatkan guru dan pelajar ini sememangnya memerlukan suatu usaha berterusan ke arah menyediakan pendidikan komprehensif dan efektif terhadap segala isi pelajaran yang disampaikan. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran  perlu diberi ‘sentuhan’ yang dapat menarik minat para pelajar agar setiap isi pelajaran yang disampaikan memberi input maksimum terhadap kefahaman mereka (Zurina Yasak et al., 2009).

Dalam konteks ini peranan para guru adalah amat penting dalam merealisasikan penggunaan aplikasi video dalam proses pengajaran mereka di dalam kelas. Rangsangan  penggunaan  video yang dapat dikesan dalam kalangan guru akan diterima dan menjadi pengalaman yang sangat bermanfaat kepada pelajar sekiranya proses pengajaran mereka berjaya meninggalkan kesan dan motivasi yang tinggi dalam kalangan pelajar. Fasa-fasa rangsangan guru mengaplikasikan penggunaan video ini menurut  (Bernard, 1965) adalah motivasi sebagai penggerak yang melibatkan proses membangkit, mengekal dan mengawal minat pelajar. la mampu menciptakan keberkesanan sesuatu pembelajaran. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap sebagai unsur amat penting yang membolehkan pelajar terdorong untuk melibatkan diri secara aktif, mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna, berfaedah dan menyeronokkan. Biasanya, motivasi yang baik akan menciptakan satu tarikan yang kuat untuk menjadikan pelajar terus berminat dengan pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Di samping itu, fasa tanggapan juga merupakan satu idea tentang sesuatu kelas objek. Tanggapan guru yang menganggap pelajar mempunyai pelbagai kebolehan, minat, bakat, motivasi untuk belajar dan sebagainya antara factor-faktor mereka perlu memilih dan menilai setiap aplikasi pengajaran yang digunakan. Penggunaan video ini jelas memperlihatkan seseorang guru itu sedang memerhati dan menanggapi sesuatu rangsangan para pelajarnya. Kegiatan menanggapi rangsangan ini menerangkan bagaimana individu sedang membezakan satu rangsangan, daripada rangsangan-rangsangan yang lain di mana pelajar mempunyai cara tersendiri untuk memahami sesuatu topik pembelajaran. Gagne (1971) menyatakan bahawa ini merupakan beberapa langkah dalam proses pembelajaran yang mendorong rangsangan guru memikir cara lain yang lebih berkesan dalam proses pengajaran mereka.

Seterusnya, rangsangan perolehan di mana guru memasukkan semua maklumat yang
diterima ke dalam satu sistem kod yang berpusat di otak. Sistem kod ini menyerupai sebuah komputer yang cuba menyimpan pelbagai maklumat ke dalam fail-fail tertentu dan memudahkan proses pengeluaran apabila maklumat tersebut hendak digunakan kemudian. Saraf otak kita memproses rangsangan atau maklumat itu dengan cara yang paling sistematik supaya maklumat itu boleh disimpan dengan baik. Penggunaan video ini mampu menjadi media sebagai penyalur segala maklumat ke dalam minda pelajar dalam jangka masa yang lama dan mudad difahami serta dingati.

Rangsangan penyimpanan maklumat juga tidak kurang pentingnya di mana pelajar akan menyimpan apa yang telah dipelajari di dalam system saraf pusat mereka. Hasil adaptasi pengajaran berbantukan video ini bakal mendapat tempat di dalam simpanan ingatan pelajar dan yang kurang rangsangan penyimpanan  akan hilang sebagai lupaan. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kesesuaian kaedah yang digunakan oleh guru dalam penyampaian pelajaran secara video ini dapat juga menambahkan pemahaman mereka. Dengan itu maklumat tersebut dapat kekal dalam ingatan mereka.

Fasa ini merupakan fasa mengingat kembali tentang apa yang tersimpan di dalam fikiran pelajar. la dapat juga berfungsi apabila seseorang pelajar itu hendak memperbaiki, mengemas kini atau menyernak maklumat di dalam otaknya. Hal ini kerap dilakukan oleh pelajar di sekolah, terutama apabila mereka hendak mengulang kaji dan menduduki peperiksaan. Mereka akan mengimbau kembali ingatan ke proses pengajaran guru menggunakan aplikasi video tersebut bagi membantu mereka mengingat sesuatu topic pembelajaran yang telah dipelajari sebelum ini. Elemen ini juga merupakan fasa rangsangan guru wajar menggunakan video dalam pengajaran mereka.

Dalam fasa berikutnya, iaitu fasa generalisasi iaitu pindahan pembelajaran. Seseorang pelajar itu boleh menggunakan apa yang telah dipelajari dan yang tersimpan di dalam saraf pusat (otak) apabila berhadapan dengan keadaan yang berlainan. Fasa ini juga boleh dikatakan sebagai fasa aplikasi atau penggunaan. Dengan kata lain, seseorang pelajar mampu mengaplikasi hasil pembelajarannya dengan kehidupan secara realiti. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kesan pembelajaran yang berlangsung lama dapat diterjemahkan oleh pelajar dalam kehidupan seharian mereka.

Fasa prestasi merupakan tingkah laku yang boleh diperhatikan dan diukur. Selepas menerima rangsangan, seseorang murid akan menggunakan keupayaan kognitifnya dalam menyusun gerak balas. Apabila gerak balas yang ditunjukkan, memaparkan prestasi yang lebih baik daripada sebelum berlakunya proses pembelajaran dapat dikatakan bahawa pembelajaran bercorak positif telah berlaku. Bagi seseorang guru fasa ini amat penting kerana kayu ukur kejayaan proses pengajarannya di dalam kelas diterjemahkan dalam bentuk prestasi. Prestasi yang baik dan optimum lahir daripada proses penyampaian pengajaran yang berkesan, terutama sekali dengan aplikasi video ini.

Akhirnya, fasa penenguhan adalah mekanisma penting bagi seseorang guru dalam mempertahankan impak pengajarannya melalui aplikasi video ini. Pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik atau yang telah berusaha sepenuhnya bagi mencapai prestasi yang tinggi diberi ganjaran dengan cara meresapkan rasa berjaya mereka dalam diri. Peneguhan boleh dilakukan melalui tepukan, galakan, sebutan kata-kata yang merangsang, seperti memuji, melibatkan kebendaan atau gerak laku yang menyenangkan. Fasa maklumat balik ini berkait rapat dengan fasa motivasi. la juga merupakan penggerak kepada pelajar. Pelajar yang berjaya akan berubah ke tajuk baru yang lebih tinggi tahapnya dan yang kurang berjaya akan mengulangi langkah dalam proses pembelajaran tentang tajuk yang sama atau mencuba tajuk yang lebih mudah lagi.

Impak Pengajaran Aplikasi Video

Penggunaan aplikasi video dalam pengajaran guru berupaya membawa impak yang besar ke atas keberkesanan proses pengajaran tersebut. Penggunaan video dapat menjadikan maklumat yang disampaikan oleh guru bersifat realistik. video mampu mempersembahan sesuatu mesej dalam keadaan yang realistik atau menyerupai keadaan yang sebenar. Ini membolehkan seseorang pelajar dapat merasakan seolah-olah mereka berada atau turut serta dalam suasana yang digambarkan.

Di samping itu juga, video dapat meningkatkan lagi keberkesanan proses penyampaian sesuatu mesej kerana media yang bersifat dinamik serta mempunyai jalinan pelbagai media mampu merangsang pelbagai deria dengan lebih mudah dan berkesan. Sesuatu penerangan yang perlu dilakukan secara berulang-ulang boleh dilakukan dengan lebih mudah. Sebagai contoh, penerangan mengenai sesuatu proses kerja di makmal boleh dirakamkan dan kemudiannya dipaparkan kembali kepada pelajar bila-bila masa yang diperlukan. Pelajar boleh menonton klip video tersebut bagi membentuk kefahaman yang lebih mendalam apabila diperlukan (Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir, 2003).

Video sebagai media penyampaian ilmu mampu menjadikan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Penggunaan media ini boleh mempercepatkan kadar pemahaman seseorang pelajar. Pelajar juga boleh belajar sama ada secara individu atau berkumpulan tanpa memerlukan tenaga pengajar disamping mereka sepanjang masa. Video juga membantu proses membina kefahaman dan seterusnya membentuk kemahiran seperti mana yang diperlukan. Video seumpama ini boleh digunakan bagi membantu dalam proses membentuk kemahiran dengan lebih pantas dan berkesan. Pelajar boleh menonton serta mengawal perjalanan video mengikut keperluan dan tahap kefahaman masing-masing (Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir, 2000).

Akhir sekali, menurut Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir (2000) impak video yang penting kepada pelajar apabila dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos. Menerusi penggunaan video penerangan guru yang panjang lebar serta sesi demonstrasi yang meleret-leret juga tidak diperlukan lagi. Ini adalah kerana proses penerangan menerusi video yang menggabungkan elemen-elemen seperti imej, muzik dan suara latar mampu memberi penjelasan yang lebih jelas kepada para pelajar. Keadaan ini dapat memberi kesan yang maksimum terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Rumusan

Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan bahawa pengaplikasikan video dalam pengajaran guru dapat meningkatkan keupayaan kefahaman pelajar sekaligus menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi aktif dan berkesan. Guru-guru yang mengamalkan aplikasi video dalam pengajaran mereka harus sedar dan faham akan betapa pentingnya fasa-fasa rangsangan yang mendorong mereka menggunakan pendekatan, strategi dan kaedah ini kerana ianya berupaya menarik minat pelajar dan memaksimumkan pemahaman pelajar tentang perkara yang diajar. Para guru harus memahami peringkat-peringkat fasa persediaan dalam mengendalikan aplikasi video ini di samping mengetahui akan kesan dan kepentingannya terhadap pelajar di sekolah. Namun tidak kurang pentingnya di mana aplikasi video ini dapat memberi kesan yang positif terhadap pemahaman pelajar tentang apa yang guru mereka ajar dengan menggunakan video ini di sekolah. Keadaan ini dapat menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran aktif di samping memotivasikan pelajar secara keseluruhannya.

Rujukan:

Aizah Sabeli. (2005). Elemen Video Dalam Multimedia, diambil pada 4 Oktober 2014, daripada; http://jombelajarelemenmultimedia.blogspot.com/2012/12/elemen-video-dalam multimedia.html

Bernard, H. W. (1965). Psychology of learning and teaching. New York: McGraw- Hill.

Crow, L. D. dan Crow, L. (1983). Psikologi Pendidikan untuk Perguruan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Gagne, R.M. (1971). The Learning Theory, Education Media, And Individualized Instruction. In Ticktons. (ed) To Improve Learning an Evaluation of  Instructional; Technology. Bowker Co: London.

Jamalludin Harun dan  Zaidatun Tasir. (2000). “Pengenalan Kepada Multimedia”. Kuala Lumpur: Venton Publishing.

Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir. (2003). Multimedia dalam Pendidikan. PTS Publications: Bentong.

Koh, B. B. (1985). Satu Analisis Tentang Kesalahan-Kesalahan dalam Buku Terjemahan Dari Bahasa Inggeris Ke Bahasa Malaysia. Jurnal Pembinaan dan Pengembangan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Modul KRB 3053: Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Kurikulum Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah). Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Stalling, J.A. (1984). Effective use of time in secondary reading classroom. A research
report. (ERIC document ED 246393).

Zurina Yasak Baharom Mohamad Ahmad Esa dan Shahrizal Shabudin. (2009). Kaedah Pengajaran Berasaskan Laman Web Terhadap Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik Meketronik Di Politeknik. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Sains Dan Teknologi, 26-27, (Oktober), 1–15.




No comments:

Post a Comment