Translate

Sunday, 12 April 2015

Dialek Melayu Sarawak



                                                                                                   April 2015
Maran Ramping
Universiti Putra Malaysia 


Abstrak

Penulisan artikel ini memberikan fokus untuk menganalisis dan menjelaskan tentang dialek Bahasa Melayu Sarawak dibandingkan dengan Bahasa Melayu Tinggi. Sasarannya adalah melihat perbezaan istilah dan persamaan makna bahasa  dari segi variasi bahasa khususnya bagi dialek Melayu Sarawak. Penulisan artikel ini mengaplikasikan kaedah tinjauan perpustakaan bagi mencari maklumat berkaitan dialek serta fungsi makna selari dengan kepentingan Bahasa Melayu Tinggi. Dapatan kajian menunjukkan terdapat banyak istilah kosa kata Bahasa Melayu Sarawak yang berbeza dengan Bahasa Melayu Tinggi namun mempunyai maknanya tersendiri mengikut konteks, pengucapan, dan penulisannya. Hasil kajian tinjauan perpustakaan juga mendapati keunikan dialek Melayu Sarawak dari aspek kosa kata dan fonologi di dalam pertuturan mereka. Antaranya menyentuh kelainan kosa kata, kata penguat dan dialek Melayu Sarawak Lama. Tegasnya, kekayaan variasi bahasa dialek tempatan sewajarnya didokumentasikan sebagai pengekalan dan pelestarian khazanah warisan tempatan untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang dan seterusnya dapat mengangkat martabat serta memperkasakan bahasa, budaya dan masyarakat Malaysia secara global.

   Kata kunci:   bahasa,  variasi,  kosa kata,  dialek,  perbezaan makna



Pengenalan   

Bahasa penting dalam segala aspek kehidupan manusia, masyarakat dan negara. Bahasa juga disifatkan mempunyai perkaitan yang erat dengan budaya. Oleh yang demikian, bahasa mempunyai hubungan yang signifikan dengan sesuatu masyarakat. Bahasa adalah sistem lambang bunyi bahasa yang arbitrer yang digunakan masyarakat untuk bekerjasama, berinteraksi, dan mengidentifikasikan diri. Dalam kajian yang berkaitan dengan bahasa terdapat banyak aspek yang perlu diambil penekanan terutama yang berkaitan dengan fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, leksikografi dan tidak ketinggalan ialah bidang sosiolinguistik (Abdullah Hassan, 1976).

Bidang sosiolinguistik merupakan kajian berkaitan dengan bahasa yang mencakupi struktur sosial yang berkaitan dengan masyarakat. Sosiolinguistik juga ditakrifkan sebagai satu bidang yang amat luas dan boleh digunakan untuk menjelaskan pelbagai kaedah dalam kajian bahasa (Mayerhoff, 2011). Pada awal abad ke-20, De Saussure (1916) telah menyebutkan bahawa bahasa adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga kemasyarakatan lain, seperti perkawinan, pewarisan harta peninggalan, dan sebagainya. Justeru itu, perkataan sosio adalah merujuk kepada masyarakat, dan linguistik adalah kajian berkaitan dengan bahasa. Jadi, sosiolinguistik adalah kajian tentang bahasa yang dikaitkam dengan kondisi kemasyarakatan.

Dalam kajian penulisan jurnal ini, fokus kupasan pengkaji adalah menjurus kepada perkaitan bidang sosiolinguistik dan bahasa Melayu dan digarapi dengan kewujudan dialek Melayu terutamanya yang berkaitan dialek Melayu Sarawak. Oleh sebab itu, penghasilan jurnal ini melihat pertautan fungsi Bahasa Melayu dengan dialek Melayu Sarawak secara keseluruhannya.

                                                                                               
Bahasa Melayu Tinggi

Pengertian Bahasa Melayu Tinggi adalah merujuk kepada bahasa baku iaitu satu ragam bahasa yang digunakan untuk suasana dan keperluan rasmi dan formal. Maknanya sebuah bahasa yang digunakan dalam urusan yang sah dari segi matlamat dan fungsinya. Bahasa ini juga digunakan oleh mereka yang dalam jurusan pekerjaan, pendidikan, perdagangan, pentadbiran dan sebagainya. Dengan kata yang lebih tepat lagi adalah bahasa yang dipakai keperluan rasmi berlaku dalam ucapan, syarahan, pengajaran, mesyuarat dan taklimat. Menurut Awang Sariyan (2000) bahasa baku yang ada pada seseorang  penutur dapat dikatakan baku apabila ianya mempunyai ciri-ciri seperti:

(i)                 Sistem ejaan,
(ii)               Peristilahan dan kosa kata,
(iii)             Tatabahasa, dan
(iv)             Sebutan.

Abdullah Hassan (2012) juga menjelaskan Bahasa Melayu Tinggi ialah bahasa sekolah, iaitu bahasa yang diajar di sekolah. Itulah bahasa yang digunakan oleh orang terpelajar. Penuturannya hendaklah seperti bahasa itu ditulis. Maka itulah sebabnya Za’ba memanggilnya bahasa sekolah. Antara lain, Bahasa Melayu Tinggi juga dikaitkan dengan sifat kesantunannya (Awang Sariyan, 2012). Asmah Haji Omar (2000) dalam bukunya Setia dan Santun Bahasa iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik menegaskan akan ketepatan bentuk dan binaan bahasa seperti sebutan, intonasi, ejaan, kosa kata dan tatabahasa. Jadi, Bahasa Melayu Tinggi yang dibincangkan di atas mempunyai sifat-sifat kebakuannya di mana ianya amat penting dalam menghuraikan pertautan perbendaharaan kata Bahasa Melayu dan dialek Melau Sarawak yang dibincangkan selanjut dalam penulisan jurnal ini.

Perbendaharaan Kata Bahasa Melayu


Perbendaharaan kata Bahasa Melayu lazimnya merujuk kepada jenis kata atau kelas kata. Penggolongan kata merupakan proses menjeniskan dan menggelompokkan kata berdasarkan kriteria tertentu. Antara kriteria yang digunakan untuk menggolongkan perkataan ialah ciri-ciri persamaan yang dimiliki oleh kategori kata tersebut, makna kata, keserupaan bentuk, taburan kata dan fungsinya dalam ayat. Dalam bahasa Melayu, perkataan boleh dimasukkan ke dalam golongan kata yang sama berdasarkan ciri-ciri persamaan. Ciri persamaan ini dikenal juga sebagai ciri morfologi, iaitu perkataan yang sama dimasukkan dalam golongan yang sama. Selain itu, penggolongan kata juga dalam kalangan semantik di mana jenis kata-kata  tersebut dimasukkan dalam golongan masing-masing berdasarkan makna perkataan berkenaan. Definisi semantik ini dapat menggolongkan kata seperti orang, rumah, kereta dan sebagainya. Manakala penggolongan kata yang ketiga dalam bahasa Melayu adalah sintaksis yang merujuk kepada fungsi sesuatu kata itu dalam struktur frasa atau ayat. Penggolongan kata dalam aspek sintaksis ini membolehkan sesuatu kata itu dikelompokkan ke dalam golongan kata yang sama.

Aspek penggolongan kata dalam bahasa Melayu mempunyai cabaran yang amat getir apabila berhadapan dengan kewujudan variasi bahasa yang merujuk kepada kepelbagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa, iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Keadaan ini seolah-olah memisahkan fungsi dan makna bahasa Melayu yang sebenarnya dalam konteks yang lebih tepat lagi Bahasa Melayu Tinggi (Baku). Kestabilan bahasa Melayu ini sedikit tergugat dengan penularan unsur-unsur variasi bahasa ini yang lebih dikenali sebagai dialek (loghat) negeri, daerah dan seumpamanya.

 Dialek Melayu Sarawak

Menurut Asmah Haji Omar (1978) dialek terbahagi kepada dua iaitu dialek sosial dan dialek daerah. Manakala, Abd Rashid Daing Melebek dan Amat Juhari Moain (2011) mengatakan selain dialek sosial dan dialek daerah terdapat juga dialek seketika dalam kelompok masyarakat kita. Secara lebih lanjut lagi dialek diklasifikasikan sebagai varian daripada sesebuah bahasa mengikut pengguna. Dialek juga dikenali sebagai loghat, iaitu jenis bahasa yang digunakan dalam percakapan di sesuatu tempat atau bahagian dalam negeri yang mempunyai pelat sebutan yang khas bagi daerah tersebut. Dialek juga berbeza daripada sebutan umum yang digunakan di negara ini.

Maka, dialek ialah kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa berbanding bahasa baku atau bahasa Melayu Standard. Bahasa Melayu Standard pula merujuk kepada satu jenis bahasa yang menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan fungsi bahasanya. Keseragaman dalam bentuk beerti bahawa bahasa Melayu Standard telah dikodfikasikan baik dari segi ejaan, peristilahan mahupun tatabahasa. Sebagai contoh, Bahasa Melayu Tinggi (Baku) yang diguna pakai di Negara kita dalam banyak urusan rasmi seperti pendidikan, pentadbiran, perdagangan, kehakiman dan sebagai memperlihatkan kekukuhan bahasa Melayu Standard yang dimaksudkan.

Bagi dialek Melayu Sarawak ianya juga merujuk kepada variasi  bahasa merujuk kepada kepelbagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa, iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Dialek ini dipengaruhi oleh faktor geografi di mana lokasi Sarawak yang terletak di Pulau Borneo  meletakkan  masyarakat yang anggotanya terdiri daripada pelbagai suku kaum. Komunikasi harian mereka adalah kompleks. Semakin luas dan kompleks aktiviti sesebuah masyarakat, semakin rumit pilihan bahasa mereka (Dewa & Muhammad, 2006).

Masyarakat yang kompleks ini telah membawa kepada kebarangkalian untuk masyarakat tersebut memilih satu atau beberapa bahasa sebagai alat perhubungan mereka apabila berkomunikasi antara satu dengan yang lain atau perhubungan dengan suku kaum yang lain. Keadaan ini akan membentuk kumpulan variasi bahasa Melayu Sarawak yang lebih dominan dalam perhubungan seharian masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa peranan bahasa perhubungan atau lebih dikenali sebagai lingua franca sangat penting terutamanya dalam satu masyarakat yang pelbagai suku kaum atau etnik (penduduk yang menuturkan bahasa pertama yang berbeza antara satu sama lain) (Hassan, 2009). Keadaan ini akan memangkinkan lagi penggunaan dialek Melayu Sarawak dalam proses komunikasi penduduk teruma bagi penduduk yang majoritinya dalam kelompok bumiputera Melayu.

Justeru itu, fokus utama penulisan jurnal ini adalah menjurus kepada variasi bahasa dialek Melayu Sarawak berbanding dengan bahasa Melayu Standard. Aspek yang ditonjolkan dalam analisis ini adalah merujuk kepada perbezaan dialek dari segi kosa kata yang dimiliki oleh dialek bahasa Melayu Sarawak dengan Bahasa Melayu Tinggi.
  
Perbandingan Dialek Melayu Sarawak Dengan Bahasa Melayu Tinggi

(i)                 Kosa Kata

Bil
Dialek Melayu Sarawak
Bahasa Melayu Tinggi
1.
pakei
pakai
2.
manuk
ayam
3.
sik
tak
4.
aok
ya
5.
kamek
kami
6.
kitak
kamu
7.
lagik, agik, gik
lagi
8.
nyapu
menyapu
9.
jeraya
jalan raya
10.
pandei
pandai
12.
ngaja
mengajar
13.
pusak
kucing
14.
pisok
pisau
15.
polah
buat
16.
molah
lakukan, buat
17.
iboh
jangan
18.
ney
mana
19.
gago
sibuk
20.
dudi
kemudian
21.
nemiak
budak
22.
biak
muda
23.
gilak
sangat
24.
tukuk
ketuk
25.
entingal
degil
26.
nerais
berteriak, menjerit
27.
cdak
orang
28.
nyerin
bunyi kuat
29.
moncet
kedudukan terakhir
30.
lejuk
jemu
31.
lan
jom
32.
Juh
jom
33.
bait
baik
34.
kelaka
bercakap
35.
empun
punya
36.
ngelayo
merayau
37.
raon
berjalan-jalan
38.
putit
kutip
39.
heng
mabuk
40.
dipirit
digilis
41.
angol
pening
42.
nilit
skodeng
43.
bisak
koyak
44.
serda
sendawa
45.
puluk
sapu ubat
46.
licak
lembut, becak
47.
lowek
memuntahkan
48.
entam
disebabkan, belasah
49.
segal
disebabkan
50.
melungak
mendongak
51.
ngeredak
menindih
52.
bante
belasah
53.
gugok
jatuh
54.
manas
marah
55.
begasak
sesuka hati
56.
berumbak
bergaduh dengan tarik menarik
57.
nguras
sampah
58.
tikam
baling
59.
terusuk
terhempas
60.
kenak
kenapa, kena
61.
tanggar
tengok, lihat
62.
diat
lihat, tengok
63.
tunggah
panggil
64.
padah
beritahu
65.
engkah
letak
66.
menongkeng
jatuh dengan kepala dahulu
67.
embak
bawa
68.
mikik
baiki
69.
kepak
penat
70.
neki’
daki
71.
tempek
tampal
72.
lonjong
panjang
73.
geruk
leher
74.
plente
gurau
75.
pebulak
penipu
76.
berolah
nakal
77.
sinun
sana, situ
78.
sitok
Sini, (di sitok = di sini)
79.
sine
di mana (di sine – di mana)
80.
tapak
pinggan
81.
cangkir
cawan
82.
kedak
macam (polah kedak tok juak = buat macam ni juga)
83.
debah
di bawah
84.
lawa
sombong
85.
ingga
menyampah
86.
ngeso
menunjuk-nunjuk
87.
tapok
bersembunyi
88.
tapuk
dimasukkan
89.
tepu’
memberi makan atau barang dengan banyak
90.
gronjo
tinggi Lampai
91.
mancal
nakal
92.
cerdit
petah
93.
tunok
bakar
94.
karan
elektrik
95.
rubit
terkoyak sedikit
96.
sumpong
membotak kepala
97.
pejal
paksa
98.
ngetak
kelim
99.
rumpong
berlubang
100.
betekang
sangat kotor
101.
petang
gelap
102.
anggong
membawa
103.
tebiut
bengkok
104.
gerek
teman lelaki / teman wanita
105.
kunin
kuning
106.
camne
bagaimana
107.
camya
macam tu
108.
kembang
bengkak
109.
kalas
merah jambu
110.
gadong
hijau
111.
ngkodok
ungu
112.
kacak
cantik
113.
jaik
hodoh, jahat
114.
asuk
anjing
115.
semangka
tembikai
116.
tetak
ketawa
117.
mauk
nak
118.
babo
nyanyuk

(Sumber: Madzhi Johari, 1988)

(ii)               Perkataan ‘kamek’ dan ‘kitak’

Selain itu, terdapat juga perkataan ‘kamek’ dan ‘kitak’ di dalam dialek bahasa Melayu Sarawak. Perkataan ini disifatkan halus dari segi ungkapannya memandangkan ianya digunakan terhadap individu yang lebih berusia. Di samping itu, perkataan ini lazimnya digunakan bagi orang yang baru jumpa atau kenal kerana ia menggambarkan sifat bersopan santun.
(a)    Kamek      -     saya
(b)   Kitak        -     awak

(iii)             Penggunaan Kata Penguat

Penggunaan Kata Penguat di dalam Dialek Sarawak tidak jauh bezanya dengan Bahasa Melayu Tinggi. Contohnya, penggunaan perkataan ‘gik’ sama maksud dengan perkataan ‘-lah’
(a)   belaja gik - belajar lah
(b)   udah gik - sudah lah

Perkataan ‘indah’ berfungsi sebagai kata penyudah di akhir ayat dan menguatkan ekspresi maksud perkataan sebelumnya.

(a)   sakit indah - sakit pula
(b)   manas indah - marah pula
(c)   makan indah - makan pula

Perkataan ‘lok’ berfungsi untuk menguatkan ekspresi maksud perkataan sebelumnya dan sebagai kata penyudah di akhir ayat. Sebutan ‘lok’ perlu panjang bukannya pendek.

(a)  nunggu lok - tunggu dulu
(b)   nangga lok - tengok dulu
(c)  klaka lok - bercakaplah dulu

Perkataan ‘koh’, ‘juak’, ‘ya’ dan ‘bah’ ialah penambahaan perkataan untuk menguatkan lagi ekspresi maksud perkataan sebelumnya. Huruf a, oh dan ah dipanjangkan atau ditekan untuk menunjukkan ekspresi maksud perkataan sebelumnya.

(a)   aok bah - yalah / baiklah
(b)   iboh camya bah - janganlah macam tu
(c)   udah gik ya - sudah lah
(d)   lamak juak - lama betul
(e)  nyalah koh itulah

Perkataan ‘nya’ mempunyai banyak makna dan juga digunakan untuk menguatkan ekspresi maksud perkataan sebelumnya. Sebutan ‘nya’ bergantung kepada situasi. Samada dalam nada marah atau biasa.

(a)  nya - dia / betul
(b)  amak nya juak nya tok koh - Sudah lama betul dia ini

Cara penyampaian Dialek Melayu Sarawak dan Bahasa Melayu Tinggi agak berbeza. Sebutan Dialek Melayu Sarawak yang ketara adalah pada huruf ‘r’ dimana ditekankan dengan nada yang berat sepertimana sebutan orang Melayu diutara Semenanjung.

(a)   mirah - merah
(b)   geruk – leher

Terdapat juga pertukaran huruf ‘f’ kepada huruf ‘p’ menyebabkan sebutan huruf ‘f’ menjadi ‘p’.

(a)    tepon - telefon
(b)    paham - faham
(c)    pikir – fikir

Pertukaran huruf ‘o’ kepada huruf ‘u’ menyebabkan sebutan huruf ‘o’ menjadi ‘u’

(a)   urang - orang
(b)   tulak - tolak
(c)   rusak – rosak

Selain itu, perkataan yang mengabaikan sama sekali sebutan huruf vokal.

(a)    krusi - kerusi
(b)    brani – berani

(iv)             Maksud Dialek Lama Melayu Sarawak

Terdapat juga Dialek Sarawak lama yang digunakan oleh orang-orang tua Sarawak terutamanya di Bahagian Kuching. Dialek Sarawak Lama jarang digunakan oleh generasi muda pada masa sekarang. Berikut ialah beberapa perkataan Dialek Sarawak Lama:

Bil.
Perkataan
Maksud
1.
bekukut
bertahan sesuatu benda
2.
ngebor
labuh
3.
belukuk
malang
4.
nyerindin
naik bulu roma
5.
belunyak
bergolek atas tilam
6.
betinjak
pijak
7.
bekunto
berlawan
8.
betandak
menari
9.
bebukut
bergaduh
10.
bersendik
bersebelahan
11.
nerebes
hampir-hampir di tebing
12.
loar pontong
seluar pendek
13.
tempa
marah
14.
buk
buku
15.
unipon
uniform
16.
bulu bansu
bulu kening
17.
ladin
pisau
18.
lang
pintu
19.
sukut
sisi
20.
pagu
para
21.
telok
bilik
22.
diniari
subuh
23.
pagi awal
awal pagi
24.
benghal
lapisan
25.
gadong
hijau
26.
beshedo
bersolek
27.
kalas
merah jambu
28.
ngkodok
ungu
29.
minak
cuma
30.
baju panas
baju-T
31.
baju telok belanga
baju batik
32.
ngetor
jalan-jalan
(Sumber: Madzhi Johari, 1988)

Rumusan


Sebagai rumusan dapatlah dikatakan bahawa budaya merupakan aspek penting yang mempengaruhi individu dalam kebanyakan aspek kehidupan termasuklah dalam hubungan interpersonalnya.  Dalam konteks dialek Melayu Sarawak dengan Bahasa Melayu Tinggi sememangnya amat berbeza dan mempunyai kelebihan masing-masing. Setiap individu mempunyai budaya tertentu yang membezakannya di antara satu sama lain. Antara perbezaan yang ketara ialah perbezaan dari segi dialek (loghat) negeri atau daerah yang akan mempengaruhi gaya pertuturan seseorang individu itu. Perbezaan ini adakalanya boleh menimbulkan kesukaran dalam perhubungan sekiranya kedua-dua pihak mengambil sikap tidak cakna serta tidak berusaha untuk memahami perbezaan tersebut. Justeru itu, setiap individu yang berada di dalam kelompok masyarakat yang mempunyai kepelbagaian identiti dan budaya perlulah berusaha memahami perbezaan dialek tersebut dan cuba menyesuaikan diri dengan mengambil sikap saling menghormati antara satu sama lain, berusaha untuk mempelajari budaya lain, mengurangkan ketidakpastian dengan bertanya serta menerima perbezaan yang wujud yang menjadikan sesebuah masyarakat itu penuh warna-warni.

Rujukan


Abdullah Hassan. (1976). Kursus dalam Perkhidmatan Kakitangan Penting Bahasa Malaysia. Artikel. Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abdul Rashid Daing Melebek Amat Juhari Moain. (2011). Sosiolinguistik dan Bahasa Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asmah Haji Omar. (2000). Setia dan Santun Bahasa. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Asmah Haji Omar. (2008). Susur galur bahasa Melayu. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. (2012). Penerapan Bahasa Melayu Tinggi dalam Bidang Pendidikan. Kertas Kerja Seminar Pemantapan Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu. Anjuran Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Merdeka Palace, Kuching Sarawak. pada 16-18 September 2012.

De Saussure (1916) de Saussure, Ferdinand, Course in General Linguistics, translation,
introduction, and annotation. By Roy Harris, edited by Bally and Sechehaye and Riedlinger, Duckworth, 1983.

Madzhi Johari. (1988). Fonologi Dialek Melayu Kuching (Sarawak). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Meyerhoff, M. (2011). Introducing Sociolinguistics. New York: Routledge.

Zainal Abidin Merjan. (1992). Daftar Kata. Bahasa Malaysia-Dialek Melayu Sarawak Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment