Translate

Sunday, 12 April 2015

Ketrampilan Membaca

Pengenalan

Pendidikan merupakan suatu usaha yang berterusan untuk memperkembangkan potensi manusia secara menyeluruh terhadap aspek-aspek rohani, aqli dan jasmani melalui aktiviti-aktiviti yang saling berkaitan iaitu pengajaran dan pembelajaran (Mohamad Khirudin, 2006). Dalam hal ini aspek pengajaran dan pembelajaran merupakan komponen penting dalam proses menyampaikan ilmu pengetahun kepada para pelajar. Keberkesanan proses penyampaian ilmu pengetahuan ini sangat bergantung kepada usaha guru, strategi dan teknik yang digunakan serta sumber yang bersesuaian. Justeru, perkara yang menjadi cabaran utama kepada guru-guru ialah ketidaktentuan dalam mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru tidak boleh mengetepikan perkara ini. ‟Teachers have to operate under the kinds of daunting conditions, conditions that introduce unpredictable elements of will and emotion into the heart of teaching and learning processes”. Tanggungjawab guru bertambah menjadi lebih kompleks (Rajendran, 2001).

Dalam usaha menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah mencapai kejayaan, peranan sumber utama adalah penting. Dalam hal ini, fungsi Buku Teks amat dititikberatkan serta penting sebagai wadah penyalur ilmu kepada para pelajar. Buku teks diwartakan sebagai sumber utama dan menjadi rujukan di sekolah. Perkara ini telah diperjelaskan melalui Surat Pekeliling lkhtisas Bil. 12/1999: Penggunaan Buku Teks dan Buku Latihan dan Aktiviti, menyatakan bahawa buku teks wajib digunakan di semua sekolah kerajaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999). Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya buku teks kepada guru dan pelajar sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Crowther (1995) menjelaskan buku teks sebagai “a book giving instruction in a subject used especially in schools”. Manakala, Altbach (1999) juga turut mengatakan buku teks sebagai, ‟Textbooks are a central part of any educational system. They help to define the curriculum and can either significantly help or hinder the teacher”. Berdasarkan pendapat tersebut, diketahui dengan jelas bahawa buku teks merupakan sebuah sumber rujukan dalam sistem pendidikan bagi membantu proses pelaksanaan kurikulum serta tanggungjawab bagi pendidik dalam melaksanakan bidang pengajarannya.

Menyentuh mengenai fungsi buku teks di sekolah pada masa kini ianya dilihat sebagai suatu keperluan yang amat penting terutama dalam mengajar mata pelajaran wajib seperti Bahasa Melayu. Dalam kurikulum pendidikan di Malaysia hari ini sangat menekan aspek ilmu, kemahiran, nilai, pembangunan insan dan sebagainya. Hala tuju negara ingin menjadi negara maju berdasarkan acuan sendiri menjelang tahun 2020 (Wawasan 2020) dengan jelas menggariskan jenis masyarakat yang ingin dilahirkan melalui sistem pendidikan negara. Dalam kurikulum pendidikan, peranan buku teks yang mengandungi pelbagai bidang pengetahuan, kemahiran, sosial, nilai, teknologi dan sebagainya terpancar melalui penggunaan buku teks oleh guru dan pelajar. Buku teks dapat mencerminkan nilai masyarakat, harapan dan cita-cita sesebuah negara. Dengan kata lain, buku teks memuatkan perkara-perkara seperti perpaduan, nilai, alam sekitar, teknologi, Rukun Negara, masyarakat penyayang dan seumpamanya.

Tinjauan Literatur

Buku teks merupakan sumber yang bertindak sebagai alat (tool) dan rujukan (reference) yang sangat penting. Menurut arahan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/1999, guru dan pelajar diwajibkan menggunakan buku teks sebagai sumber utama di dalam kelas. Jadi, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Buku Teks, Jabatan Sekolah, adalah satu badan yang bertanggungjawab penuh dalam mengendalikan urusan buku teks ini. Kepentingan buku teks ini terserlah dalam semua mata pelajaran. Keadaan ini memberi kelebihan kepada buku teks untuk dimartabatkan sebagai sumber sama penting dengan buku kerja (work book).

Dalam tugasan ini, fokus tinjauan literatur menjurus kepada Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 1 Sekolah Menengah. Buku teks ini digubal selaras dengan keperluan dan kepentingan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sebagai subjek teras dan wajib di sekolah. Kajian menunjukkan bahawa adanya kesan positif antara penggunaan buku teks dengan pencapaian akademik pelajar (Tay Meng Guat, 2010). Kajian Norazuwan Yaakob (1997) mendapati 70.6% guru mengakui tentang kepentingan buku teks sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran (dipetik daripada Marohaini Yusoff, Abd Murad Salleh & Shahrir Jamaluddin, 2005). Antara lain penggunaan buku teks dalam mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah turut melibatkan guru dan pelajar. Kedua-dua pihak merupakan pengguna buku teks yang setia dan menepati standard Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam kajian Hasan Ansary & Esmet Babaii (2002) menyatakan bahawa guru, murid dan pentadbir pendidikan adalah “pelanggan” kepada buku teks. Factor ini turut didorong fungsi buku teks itu yang banyak membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya bahan sumber seperti ini telah menyebabkan peranannya semakin tinggi dalam menyalurkan pelbagai maklumat. Dalam mata pelajaran Bahasa Melayu terdaapat banyak topic dan bidang pembelajaran yang mendorong fungsi buku teks ini menjadi keutamaan. Kenyataan ini dapat disokong dengan kajian Kartini Baharun (1991), buku teks digunakan oleh guru kerana peranannya dalam menyalurkan maklumat, objektif serta hasrat yang terkandung di dalam setiap mata pelajaran dan kurikulum yang digubal.

Di samping itu, banyak usaha dan penambahbaikan telah dijalankan oleh Bahagian Buku Teks, Jabatan Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung dengan kualiti buku teks. Buku teks bukan sekadar bahan untuk mengajar sebaliknya merupakan media yang boleh berdiri sendiri tanpa guru. Maksudnya, pelajar dapat memperolehi banyak maklumat pembelajaran daripada buku teks kerana kandungan dan standardnya sangat dijamin kualitinya. Malahan ramai guru yang menggunakan buku teks ini mengajar di kelas. Kekerapan penggunaan buku teks dalam pengajaran banyak dipengaruhi oleh kegunaannya dalam merancang pengajaran, peruntukan masa pengajaran dalam sesuatu sesi, tajuk-tajuk pelajaran yang berkaitan, mutu soalan dalam buku teks dan kesesuaian dengan peperiksaan (Khalid Paiman, 1998). Selain itu, fungi buku teks dilihat juga sebagai alat bantu kepada guru dan pelajar. Gopinathan (1983) menyatakan buku teks ialah alat yang digunakan secara meluas di dalam kelas walaupun terdapat pelbagai alat bantu mengajar yang canggih dalam era teknologi maklumat pada masa kini.

Proses pemantauan dan penilaian ke atas mutu buku teks sentiasa diambil berat oleh pihak kementerian. Penubuhan jawatankuasa pemantau dan semakan kualiti dan kandungan buku teks diadakan secara berkala bagi menjamin kualitinya sentiasa kemas kini. Kajian Hasan Ansary & Esmet Babaii, 2002; Jeanne Moulton, 1994; Saedah Siraj,1990; dan Tsai Yu-Hsin, 2000 (dlm.  Marohaini Yusoff, Abd Murad Salleh & Shahrir Jamaluddin, 2005) mengatakan proses penilaian terhadap mutu atau kualiti buku teks sebagai salah satu aspek dalam kajian-kajian buku teks. Usaha ini selari juga dengan langkah penetapan kualiti buku teks yang meliputi penggunaan bahasa, ilustrasi, reka bentuk dan soalan dalam latihan sangat penting dalam mempengaruhi guru dan pelajar menggunakan sesebuah buku teks. Keadaan ini juga selaras dengan sifat ketekalan sumber buku teks secara keseluruhannya. Altbach (1983) yang menyebut bahawa buku teks adalah sumber penting dalam memelihara kualiti dan hala tuju kurikulum.

Peranan guru dalam proses mengajarnya juga merupakan intipati kejayaan sesebuah aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kejayaan ini dapat diukur dengan prestasi pelajar yang menguasai bidang-bidang tertentu. Selain itu, objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai sepenuhnya bagi menentukan perkara ini. Bagi Tsai Yu-Hsin (2000) pula menyatakan, apa yang penting adalah guru perlu kreatif dan cekap dalam memanfaatkan bahan-bahan sedia ada dalam buku teks supaya kesan pembelajaran akan dapat dioptimumkan. Tahap kreativiti dan inovasi yang tinggi dalam kalangan guru akan meningkatkan pencapaian pelajar dalam bidang akademik mereka. Kenyataan ini dapat disokong melalu kajian (Rajendran, 2001) kesediaan guru untuk mengendalikan proses pengajaran pembelajaran seperti yang dituntut oleh sesuatu inovasi merupakan salah satu daripada pembolehubah utama yang menentukan kejayaan atau kegagalan inovasi tersebut. Tambah beliau lagi, guru-guru perlu  memiliki ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai, harus berkemampuan menangani pelbagai cabaran yang mungkin timbul dalam proses pengajaran pembelajaran (Rajendran, 2001).

Bagi memangkinkan lagi fungsi buku teks ini, amalan pengajaran harus dipelbagaikan bukan semata-mata bergantung kepada buku teks sahaja. Maksudnya, pendekatan, strategi dan teknik penggunaan buku teks harus kreatif supaya guru dapat mengelakkan pengajaran berpusatkan guru. Menurut Rajendran (1998) masih kedapatan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah masih berpusatkan guru. Kaedah ini wajar diubah kepada pengajaran dan pembelajaran berpusat kepada pelajar ataupun bahan bantu (sumber), yakni buku teks. Guru haruslah menerima penglibatan pelajar yang aktif supaya pelajar menerima pengalaman yang bermakna melalui proses pengajaran dan pembelajaran (Rajendran, 2001).
Melalui tinjauan kajian-kajian lepas yang telah dibincangkan di atas bersabit dengan buku teks terutama sekali mata pelajaran Bahasa Melayu turut memperlihatkan buku teks merupakan bahan (sumber) pengajaran yang penting dan masih lagi relevan sehingga kini. Rajmah Hasan Shirat (2003) mengatakan bahawa sistem dokumentasi pembelajaran iaitu penggunaan buku teks masih penting malah ia amat diperlukan oleh pelajar-pelajar di negara ini meskipun penggunaan internet sebagai alat bantuan pembelajaran merupakan mekanisme paling efisien (Utusan Malaysia, 12 Jun, 2003). Tambah beliau lagi, apa-apa pembelajaran, sistem dokumentasi tidak boleh ditinggal begitu saja kerana masih tetap relevan.

Analisis Buku Teks

I
Adakah buku teks mencabar pelajar anda? Mengapa?

Pada keseluruhannya, kandungan Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan Satu ini agak banyak dan memadai untuk pembelajaran pelajar tingkatan satu. Terdapat 27 unit pelajaran kesemuanya di mana mencakupi pelbagai tajuk atau isu. Pada hemat saya sudah tentu buku teks ini mencabar kebolehan setiap pelajar yang mempunyai tahap kebolehan yang berbeza. Jika dikaji secara mendalam bahawa alam persekolahan tingkatan satu ini merupakan peringkat permulaan pendidikan menengah sudah tentu ianya disajikan dengan bidang ilmu yang baru, isu yang terkini serta pendekatan, strategi dan teknik belajar yang baru. Keadaan ini sudah tentu mencabar keupayaan para pelajar yang berlatar belakang  sekolah yang berbeza juga.

Dari segi aras pengetahuan, isu atau bidang pembelajaran yang terdapat pada setiap unit pelajaran dimulai dari aras senang sehingga menjadi sukar. Bermula daripada asas pengalaman awal kehidupan sehinggalah ke bidang yang tinggi dan mencabar. Hal ini dapat dibuktikan pada Unit 1, Hari Pertama Di Sekolah Menengah; Unit 2, Berhemat Semasa Berbelanja; Unit 10, Lima Langkawi; Unit 15, Belia harapan Negara, dan Unit 23, Parlimen Negara Kita. Pembahagian unit-unit ini secara jelas mempunyai pemeringkatan bidang ilmu serta tahap kesukaran nya, yakni yang mudah kepada sukar. Pengetahuan para pelajar tingkatan satu jelas tercabar dengan tajuk-tajuk yang baru ini kerana dijangka bahawa pengetahuan mereka masih kurang dan tahap pembacaan mereka yang masih rendah lagi.
Berkenaan dengan bidang kemahiran yang terdapat dalam buku teks ini juga mencabar. Terdapat beberapa contoh kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di dalam buku teks ini. Antaranya, kemahiran menjana idea, menghubung kait, membuat keputusan, mencari maklumat, menyelesai masalah, mencari fakta, dan membuat inferen. Kesemua ini merupakan kemahiran yang melibatkan daya pemikiran para pelajar. Kita tidak menafikan akan kepentingan kemahiran-kemahiran ini tetapi ianya tetap memberi cabaran kepda proses pembelajaran para pelajar berkenaan. Keadaan ini selaras dengan matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang 3 (RRJP3) yang menjurus kepada melahirkan Kurikulum sekolah akan dikaji semula untuk memupuk kemahiran berfikir dan menjana daya cipta serta pembelajaran kendiri di kalangan pelajar khususnya di peringkat rendah dan menengah. Idea ini juga turut ditegaskan oleh Rajendran (2001) di mana kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis amat penting dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Selain itu, kemahiran bernilai tambah turut ditekankan dalam buku teks ini. Kemahiran bernilai tambah mengutamakan pengalaman di bilik darjah sesuai dengan situasi kehidupan dunia sebenar murid serta senario dunia yang global. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme dan pembelajaran kontekstual. Kesemua kemahiran ini sudah tentu menjurus kepada pengujian pemikiran para pelajar pada peringkat persekolah ini.

Tuntas, daripada huraian di atas jelas menunjukkan buku teks ini mencabar kebolehan para pelajar tingkatan satu secara keseluruhannya.

II
Adakah buku teks sesuai dalam proses pengajaran dan pembelajaran? Mengapa?

Buku teks Bahasa Melayu Tingkatan Satu ini memang sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran pelajar. Dari segi organisasi kurikulumnya, buku teks ini dibahagikan kepada beberapa bidang atau elemen pengajaran dan pembelajaran yang penting. Antaranya, unsur penggunaan bahasa, kemahiran menulis, hasil pembelajaran, sistem bahasa, komponen Kesusasteraan Melayu dan pengisian kurikulum. Bagi kandungan buku teks ini pembahagian setiap unit pelajaran dikelompok berdasarkan beberapa kemahiran penting seperti kemahiran interpersonal, maklumat, estetik dan tatabahasa. Kesemua kemahiraan ini adalah cabang kepada organisasi kurikulum yang digariskan di atas.

Dari sudut pengajaran, buku teks ini sangat membantu guru merancang aktiviti pengajarannya. Beberapa cadangan aktiviti telah disusun atur bagi memudahkan para guru merancang dan seterusnya melaksanakan proses pengajaran mereka di kelas. Misalnya, jika seseorang guru hendak mengajar aspek tatabahasa, setiap unit pelajaran sememangnya sudah diagihkan aspek tatabahasa berdasarkan pemeringkatan dan tahap kesukarannya. Bagi Unit 1, aspek tatabahasanya ialah ‘Kata Nama’; Unit 2, ‘Kata Ganti Nama’; Unit 3, ‘Bentuk Kata Kerja’, dan sebagainya. Keadaan ini menunjukkan bahawa isi kandungan aktiviti pengajaran sudah dirancang begitu baik dan lengkap selaras dengan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu.

Berkaitan dengan aspek pembelajaran para pelajar juga sama. Kesemua aktiviti pembelajaran turut dirancang selari dengan aktiviti pengajaran guru. Keadaan ini disebabkan bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajaran lazimnya berjalan serentak dan ditadbir secara bersama. Para pelajar dapat mempelajari sesuatu topik atau isu dan kemahiran baharu dalam alam persekolahan menengah ini. Bagi aktiviti pembelajaran yang boleh dilakukan secara ‘hand-on’ oleh pelajar, mereka boleh melakukannya tanpa dibantu oleh guru. Sebagai contoh, bagi aktiviti memberi makna perkataan, para pelajar dapat merujuk kamus atau berbincang sesama rakan bagi mencari maksud perkataan berkenaan. Keadaa ini dapat melatih para pelajar berdikari di samping menyemai sikap bekerjasama dalam kalangan mereka.

III
Adakah buku teks digunakan sebagai bahan utama atau sekunder dalam kelas anda? Mengapa?

Menurut Surat Pekeliling lkhtisas Bil. 12/1999: Penggunaan Buku Teks dan Buku Latihan dan Aktiviti, penggunaan buku adalah wajib bagi sekolah kerajaan. Maka sudah tentu bahawa buku teks juga dianggap sebagai bahan utama pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Punca kuasa berkenaan dengan status buku teks ini sangat jelas termaktub dalam surat pekeliling ini. Tambahan pula, penggunaan buku teks dalam sistem pendidikan di Malaysia telah bermula dengan wujudnya Biro Buku Teks (kini dinamakan Bahagian Buku Teks atau BBT) pada tahun 1967. Pengurusan agihan bekalan buku teks dinamakan program Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) yang bermula pada tahun 1975. Program SPBT ini selain melibatkan BBT, juga melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah. SPBT menunjukkan bahawa buku teks masih memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Dalam hal ini, kerajaan telah berbelanja banyak wang dalam membekalkan buku teks untuk sekolah-sekolah seluruh Malaysia melalui program SPBT (Abd Majid Mohd Isa et al., 1999). Begitu juga, kepentingan buku teks dalam proses pembelajaran dan pengajaran amat sukar dipertikaikan. Ini adalah disebabkan peranan buku teks sebagai sumber rujukan dalam proses pelajaran bagi seseorang pelajar baik di sekolah mahupun di rumah adalah satu hakikat yang sudah lumrah dalam sistem persekolahan di negara ini (Hussein Hj. Ahmad, 1985).

Fungsi guru yang mengajar di kelas sewajarnya mereka menggunakan buku teks ini sebagai media utama. Pada hemat saya, standard dan kualiti buku teks Bahasa Melayu ini sangat tinggi kerana telah digubal oleh suatu jawatankuasa yang dilantik Kementerian Pendidikan Malaysia, melalui tapisan kualiti, auditan, penerbitan dan sehinggalah ke peringkat pengagihan ke sekolah-sekolah di Malaysia. Keadaan ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dalam kalangan pelajar secara percuma. Secara prinsip dan praktik semua guru Bahasa Melayu harus menggunakan Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan satu ini semasa mengajar pelajar di dalam kelas.

IV
Adakah kandungan buku teks komprehensif dan mencakupi apa yang diperlukan? Mengapa?

Kandungan buku teks ini sememangnya bersifat komprehensif dan mencakupi banyak bidang. Bermula dengan pembahagian isi kandungan ianya dibahagikan kepada 27 Unit Pelajaran yang mencakupi tajuk-tajuk tertentu. Tajuk-tajuk ini meliputi aspek personal, ekonomi, budi bahasa, komputer, remaja, wira bangsa, negara Malaysia, bumi, sukan, pahlawan, internet, taman negara, belia, percutian, parlimen, angkasa lepas dan sebagainya. Tajuk-tajuk ini telah disusun atur mengikut aras kesukaran dan pemeringkatan tahap ilmu para pelajar. Dengan kata lain ianya telah diorganisasi dengan baik dan lengkap.

Dalam setiap unit pelajaran pula, turut mengandungi kemahiran-kemahiran seperti ‘interpersonal’; ‘maklumat’; ‘estetik’; dan ‘tatabahasa’. Setiap kemahiran ini pula disesuaikan dengan hasil pembelajaran utama dan hasil pembelajaran khusus yang perlu dicapai oleh pelajar (Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu, KPM). Keadaan ini jelas menunjukkan sifat kesatuan (unity) dalam tiap-tiap kemahiran yang ingin dicapai melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini.

Buku Teks Bahasa Melayu ini turut menekankan kemahiran bahasa. Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Bagi aktiviti pula, terdapat pelbagai aktiviti yang dicadangkan seperti dialog, pidato, permainan bahasa (teka silang kata) dan sebagainya.

V
Adakah buku teks sumber yang baik untuk guru-guru? Mengapa?

Pada hemat saya, buku teks sememangnya sumber yang baik dan penting bagi guru Bahasa Melayu. Sejajar dengan statusnya sebagai sumber utama (primer) dalam aktiviti pengajaran ianya juga bertindak sebagai rujukan dan panduan kepada mereka. Sebagai contoh, bagi sekolah-sekolah yang terletak di kawasan pendalaman ianya menjadi sumber yang penting kepada guru kerana sukar untuk mendapat bahan bantu lain. Tambahan pula, sukar untuk mendapat akses internet bagi mencari bahan pengajaran yang sesuai secara atas talian.

Walau bagaimanapun, para guru harus bijak menyesuaikan isi pelajaran dengan kebolehan pelajar. Bukan semua aktiviti dan kemahiran yang dicadangkan sesuai untuk semua peringkat pelajar dan ianya memerlukan kebijaksanaan guru untuk merancang dan melaksanakannya. Sekiranya guru memilih menggunakan bahan bantu mengajar maka ianya hendaklah bersesuaian dengan buku teks. Ini adalah kerana buku teks merupakan bahan rujukan dan sumber yang baik untuk digunakan oleh guru di dalam kelas.

VI
Adakah buku teks menggalakkan stail pembelajaran yang pelbagai? Mengapa?

Kandungan buku teks ini masih menggalakkan stail pembelajaran yang pelbagai. Melalui aktiviti yang dirancang mengikut kemahiran, bidang dan objektif pembelajaran mempamerkan ianya tertakluk kepada prinsip kepelbagaian pembelajaran. Para pelajar diberi banyak aktiviti seperti membuat karangan, surat rasmi dan tidak rasmi, laporan, pantun, bercerita, petikan dan sebagainya.

Setiap topik yang dipilih juga turut mencorakkan stail pembelajaran pelbagai. Antara topik-topik yang terkandung dalam buku teks ini adalah kebersihan laut, kebersihan fizikal, kelab komputer, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), laman web, remaja berwawasan, sejarah dan sebagainya. Kesemua topik ini menjurus kepada stail pembelajaran yang pelbagai. Sebagai contoh, Unit Sembilan; Indahnya Bumi Kenyalang mengkehendaki pelajar mencari maklumat dengan menggunkan jaringan internet.

Dapatlah dikatakan bahawa pelajar turut didedahkan dengan stail pembelajaran pelbagai selain daripada keadah kelas yang sering digunakan oleh guru. Keadaan ini dapat meningkatkan minat dan motivasi untuk terus belajar dalam kalangan pelajar. Setiap aktiviti pembelajaran yang berbeza mampu menarik perhatian dan mencetuskan minat belajar secara berterusan mereka.

VII
Apakah bahagian / seksyen dalam buku teks yang anda dapati sangat / kurang membantu dalam pengajaran anda? Mengapa? 
(a)   Membantu:

Pada hemat saya, hampir kesemua bahagian dalam buku teks ini membantu saya dalam merancang dan mengendalikan pengajaran secara berkesan. Bagi kandungan pelajaran ianya dapat membantu saya dalam merancang rancangan penggal, minggu dan persediaan mengajar harian (RPH). Bagi aktiviti yang dicadangkan juga turut memberi panduan kepada saya dalam merancang aktiviti pengajaran secara lebih berkesan lagi. Bahagian penilaian juga membantu saya menggubal soalan berdasarkan kesesuaian mengikut tahap kebolehan pelajar.

Antara lain, buku teks ini dilengkapi banyak gambar dan ilustrasi di mana ianya banyak membantu saya memahami sesuatu isi pelajaran sebelum diajarkan kepada pelajar.

Aktiviti pengayaan yang disediakan dalam seksyen buku teks ini turut membantu saya menjalankan aktiviti tambahan kepada pelajar yang cergas dalam pembelajaran mereka.

(b)   Kekurangan

Buku teks ini kurang gambar pada Unit Sebelas, bagi Sukan Memanah. Sebagaimna diketahui sukan memanah ini sejenis sukan yang agak baru dan tidak menyeluruh penyertaannya di seluruh negara. Bagi pelajar yang belajar di sekolah-sekolah luar bandar adalah agak sukar mereka memahami sukan memanah ini dengan baik.

VIII
Adakah anda membuat sebarang perubahan kepada kandungan / aktiviti di dalam buku teks ketika anda mengajar?

Pada kebiasaannya ya. Berdasarkan pengalaman setiap kandungan dan aktiviti yang diberikan bersifat sejagat (universal) dan terpilih mengikut lokasi. Lokasi sekolah yang berbeza ini perlu disesuaikan dengan aktiviti yang para pelajar menguasai dengan baik. Dengan kata lain, pengetahuan ‘sedia ada’ pelajar perlu dibuat pertimbangan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Di samping itu, tahap kecerdasan pelajar juga perlu dipertimbangkan dalam merangka aktiviti. Maksudnya, aras kesukaran kandungan perlu disesuaikan dengan kebolehan pelajar supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat mencapai objektifnya. Hal ini juga dapat menghindari perasaan bosan dan kurang motivasi dalam kalangan pelajar.

Antara lain, kemudahan yang ada di sesebuah sekolah juga perlu diberi pertimbangan agar menepati objektif pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu ada inisiatif menyediakan bahan bantu yang sesuai bagi menyokong setiap aktiviti yang sukar difahami oleh pelajar agar proses pengajarannya lebih bermakna. Selain itu, guru wajar menyediakan bahan rujukan tambahan bagi membantu pelajar memahami sesuatu kandungan pembelajaran.

IX
Adakah anda dapati kemahiran-kemahiran atau soalan-soalan di dalam buku teks membantu pelajar anda menjawab soalan peperiksaan mereka? Mengapa?

Selaras dengan sistem pentaksiran baru, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekarang ini, kebanyakan soalan peperiksaan adalah digubal berdasarkan kemahiran dan pengetahuan di dalam buku teks. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu ini ianya juga sedemikain rupa. Para pelajar perlu menguasai setiap topik, kemahiran dan kandungan mata pelajaran ini dengan baik agar dapat mencapai keputusan yang baik dalam PBS mereka.

Seperti yang sudah dijelaskan peringkat awal tadi, buku teks adalah sumber utama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu maka sudah tentu soalan-soalan peperiksaan berkisar dalam kandungan buku teks tersebut. Keadaan ini amat memudahkan proses ulangkaji pelajar di mana mereka tidak perlu bergantung kepada sumber lain untuk dirujuk.

X
Jika anda diberi peluang untuk mengubah atau membuat modifikasi buku teks, bahagian manakah yang akan anda ubah? Mengapa?

Sekiranya saya diberi peluang untuk melakukan modifikasi dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan Satu saya akan menggabungkan Unit Lima dengan Unit Tiga Belas. Ini adalah kerana Unit Lima yang bertajuk ‘Komputer Dalam Kehidupan’; manakala Unit Tiga Belas merupakan ‘Internet Jaringan Maklumat’ adalah unsur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Adalah lebih baik dan praktikal sekiranya kedua-dua unit ini digabungkan atau diubahsuai mengikut spekfikasi bidang pembelajaran pelajar. Tahap keperluan dan kesesuaian mengikut usia pelajar tingkatan satu juga perlu dipertimbangkan dalam membuat modifikasi ke atas isi kandungan pelajaran.
Rumusan

Sebagai rumusan, dapatlah dikatakan  bahawa buku teks pada peringkat sekolah menengah sangat penting dan merupakan sumber utama bidang pengajaran dan pembelajaran. Status dan punca kuasa buku teks melalui Surat Pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia telah meletakkan martabat buku teks menjadi tinggi dan harus menjadi bahan pengajaran para guru di sekolah.

Dalam konteks Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan Satu ini sememangnya tidak dapat dinafikan akan kepentingannya. Ia telah menjadi rujukan penting dan bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah masa kini di atas sifat komprehensif dan standardnya yang tinggi menjadikan buku teks ini penting dan wajar dihargai oleh semua pihak. Tambahan pula, terdapat arahan Kementerian Pendidikan Malaysia  mewajibkan penggunaan buku teks sebagai sumber utama di dalam kelas. Terdapat juga banyak kajian yang menunjukkan adanya hubungan positif bagi penggunaan buku teks dengan pencapaian akademik pelajar.











No comments:

Post a Comment