Translate

Sunday, 14 July 2013

Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat

1.  Persekutuan berasal daripada perkataan Greek iaitu foedus yang membawa maksud perjanjian. Persekutuan merupakan gabungan beberapa wilayah atau negeri di bawah satu perlembagaan pusat.

2.   Sistem persekutuan adalah satu sistem pemerintahan yang mengandungi 2 kerajaan iaitu kerajaan pusat dan negeri yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara tertentu.

3.     Walaupun negeri-negeri ini berada di bawah pemerintahan pusat, negeri-negeri ini diberi kebebasan untuk mengubal undang-undang sendiri berdasarkan kepada adat dan budaya tempatan.

4.     Amerika Syarikat merupakan kerajaan persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri yang pernah menjadi koloni Britian, kemudian menjelang akhir abad ke-19 telah menjadi 50 buah negeri. Pusat pemerintahannya terletak di Washington dan Presiden sebagai ketua kerajaan.

PERKEMBANGAN SEJARAH AMERIKA SYARIKAT

1.          Sebelum tertubuhnya kerajaan persekutuan Amerika, orang Eropah berlumba-lumba untuk meneroka dan membuat penempatan di benua Amerika seperti orang Sepanyol, Portugis, Perancis, Belanda dan British.

2.          John Cobat merupakan orang pertama meneroka di Amerika pada tahun 1497, diikuti oleh Sir Humphrey Gilbert (1583) dan Sir Walter Raleigh (1584). Kesemua usaha mereka menemui kegagalan kerana mendapat tentangan kaum peribumi Red Indian dan kawasan tersebut tidak sesuai untuk pertanian.

3.          Pada tahun 1607, Kapt. John Smith membuka koloni di Virginia dan berjaya memajukannya kerana memiliki kubu-kubu pertahanan di Jamestown dan wujudnya hubungan baik dengan puak Red Indian. Ini telah mendorong lebih ramai orang British berhijrah ke Amerika untuk memulakan kehidupan baru ekoran kerajaan Britian mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka dan masalah  agama terutama daripada golongan puritan.

4.          Pada tahun 1620, golongan puritan telah mendarat di New Plymounth dan telah mendapat bantuan orang Red Indian untuk menanam jagung. Pada tahun 1621, mereka telah menganjurkan ‟Kenduri Kesyukuran” kerana mendapat hasil jagung yang banyak sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan.

5.          Kedatangan orang British semakin bertambah di Amerika dengan membentuk 13 koloni iaitu telah membuka penempatan koloni di Virginia (1607), Massachusetts dan New Hampshire (1630), Maryland (1634), Connecticut dan Rhode Island (1636), Delaware (1638), Carolina Utara (1653), Carolina selatan (1663), New Jersey (1664), New York (1664), Pennsylvania (1681) dan Georgia (1732).

6.          Pada abad ke-18, Britian dan Perancis mempunyai koloni di Amerika Utara. Pada tahun 1756, telah tercetus Perang Tujuh Tahun (1756-1763) antara Britian dengan Perancis di Eropah. Dalam perang ini Perancis telah kalah dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Paris. Oleh kerana perang ini melibatkan belanja yang besar, Britian mendesak koloni di Amerika membiayai sebahagian perbelanjaan perang tetapi mendapat bantahan penduduk koloni.

7.          Raja George III tidak menghiraukan bantahan ini, sebaliknya memperkenalkan 4 akta bagi mengutip cukai di koloni seperti akta pelayaran, gula, setem dan teh. Penduduk tetap membantah dengan melaungkan slogan ‟tiada cukai tanpa perwakilan” dan ini telah membimbangkan Britian. Britian telah menarik balik kesemua akta kecuali akta teh.

8.          Melalui Akta Teh, hanya SHTI sahaja boleh menjual teh kepada penduduk di koloni-koloni tanpa membayar cukai dan penduduk koloni tidak boleh mengimport teh. Hal ini menimbulkan kemarahan penduduk di koloni. Pada tahun 1773, beberapa orang penduduk koloni menaiki kapal SHTI dan membuang kotak-kotak teh ke laut. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembuangan Teh Boston dan ekoran daripada peristiwa ini pelabuhan Boston telah ditutup pada tahun 1774.

9.          Tindakan Britian ini telah menyebabkan penduduk di koloni bangkit memperjuangkan kemerdekaan mereka daripada Britian. Pada Sept. 1774, pemimpin 13 koloni telah bertemu di Philadelphia dan bersetuju menubuhkan sebuah Kongres (Parlimen Bersatu). George Washington telah dilantik sebagai pemimpin tentera koloni-koloni Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap Britian pada tahun 1775.

10.       Pertempuran telah berlaku di Lexington pada April 1776. Pada Julai 1776, kongres yang bersidang di Philadelphia telah meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika yang ditulis oleh Thomas Jefferson. Melalui pengisytiharan ini, 13 koloni telah digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

11.       Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh tentera Britian seperti di Saratoge (1777) dan Yorktown (1781). Pada tahun 1783, perang telah ditamatkan melalui Perjanjian Versailles iaitu Britian mengakui kemerdekaan Amerika Syarikat dan menyerahkan kesemua 13 tanah jajahannya.


PENGUBALAN PERLEMBAGAAN AMERIKA SYARIKAT

1.    Pada tahun 1787, perwakilan daripada semua negeri telah bertemu di Philadelphia untuk merangka perlembagaan seperti Benjamin Franklin, George Washington, John Adams, Alexander Hamilton, James Madison dan George Mason.

2.          Di bawah perlembagaan ini:
a.      Sebuah kerajaan persekutuan akan diwujudkan
b.   Kerajaan pusat menguasai perkara-perkara penting seperti dasar luar negeri, pertahanan, cukai dan mata wang.
c.      Hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing
d.      Pentadbiran kerajaan akan dibahagi kepada eksekutif, perundangan dan kehakiman.

3.     Pilihanraya pertama Amerika Syarikat telah diadakan pada 4 Nov. 1789 dan George Washington telah dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat yang pertama.

4.         George Washington bertindak untuk mewujudkan perpaduan antara negeri-negeri persekutuan dengan dibantu oleh Thomas Jefferson, Henry Knox, Alexander Hamilton dan John Kay. Antara yang dilakukan oleh Washington ialah memperkenalkan sistem cukai yang adil dan seragam antara negeri, menyeragamkan penggunaan mata wang, menubuhkan Bank Nasional pada tahun 1791, dan memindahkan pusat pentadbiran dari Philadelphia ke Washington.

5.          Bangunan Capitol dan White House telah dibina di Washington sebagai lambang perpaduan dan demokrasi rakyat Amerika Syarikat. Kongres pertama telah diadakan di Capitol pada tahun 1800.

6.   Pada tahun 1812, Perang Inggeris-Amerika telah meletus disebabkan tindakan Britian memeriksa semua kapal Amerika yang menuju ke Eropah untuk menggelakkan bekalan sampai ke tangan musuh. Amerika mengumumkan dasar berkecuali dalam Perang Napoleon. Ini telah menyebabkan Britian menahan dan memeriksa kapal-kapal dagang Amerika dan ini telah menjejaskan kegiatan perdagangan Amerika.

7.          Selepas perang tamat muncul kebimbangan Amerika terhadap aktiviti peluasan kuasa Eropah dalam hal ehwal Amerika sehingga munculnya ‟doktrin Monroe” yang menekankan konsep‟Amerika untuk orang Amerika” pada tahun 1823. Doktrin ini diwujudkan bertujuan untuk menjaga kepentingan negara daripada pencerobohan kuasa luar terutama Eropah. Amerika juga menegaskan bahawa peperangan akan dilancarkan terhadap mana-mana pihak yang melanggar doktrin ini.

8.          Pada abad ke-19, Amerika telah berkembang daripada 13 buah koloni kepada 50 buah negeri melalui 3 cara iaitu pembelian, perjanjian dan peperangan. Menjelang tahun 1850-an, Amerika telah mempunyai sempadan negeri seperti hari ini.

9.        Walau bagaimanapun, Amerika mula menampakkan pepecahan antara negeri-negeri utara dan selatan. Perpecahan ini semakin serius sehingga meletusnya Perang Saudara pada tahun 1861-1865 antara Kesatuan Amerika Syarikat (Negeri-negeri Utara) dengan Gabungan Negeri-Negeri Amerika (Negeri-Negeri Selatan). Perang ini meletus disebabkan oleh masalah hamba abdi, tindakan negeri-negeri selatan menarik diri dari kesatuan Amerika, perbezaan antara negeri-negeri Utara dengan Selatan dan wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap undang-undang kerajaan pusat.

10.      Perang ini bermula apabila Fort Sumter telah diserang oleh tentera selatan pada 12 April 1861. Pada Sept. 1862 pula tentera selatan telah mengalami kekalahan di Maryland dan di Gettysburg pada Julai 1863. Selepas perang tamat, Abraham Lincoln telah memberi ucapan termasyhur yang dikenali ‟Ucapan Gettysburg” dan berakhir dengan kata-kata‟...kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat, bagi rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi...”.

11.       Perang saudara ini telah banyak memberi kesan seperti lebih ½ juta orang Amerika terkorban, amalan perhambaan dihapuskan di Amerika dan negeri-negeri Utara dan Selatan bersatu semula.

12.       Selepas tamatnya perang, Amerika Syarikat telah membangun sebagai sebuah negara yang bersatu yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Amerika juga mengalami perubahan ekonomi yang pesat dalam bidang perindustrian, pertanian dan pengangkutan.

Di negara Barat terdapat dua jenis bentuk kerajaan yang diamalkan iaitu negara kesatuan dan negara persekutuan. Pelaksanaan mana-mana bentuk kerajaan ini akan mempengaruhi keharmonian kerajaan pusat dan tempatan di negara masing-masing.

Kerajaan kesatuan merupakan sebuah kerajaan yang memberi kuasa yang luas kepada kerajaan pusat dan menghadkan kuasa kepada kerajaan tempatan (local government). Manakala kerajaan persekutuan pula merupakan sebuah negara yang mengamalkan pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri (kerajaan tempatan).

Bentuk kerajaan kesatuan telah diamalkan di negara Perancis manakala kerajaan persekutuan telah diamalkan di negara Amerika Syarikat.


Kerajaan Kesatuan Di Perancis

Di negara Perancis, kerajaan pusat mempunyai kuasa dalam semua aspek pemerintahan, boleh mengubah sempadan dan kuasa, dan juga boleh membatalkan perundangan yang telah diluluskan oleh peringkat negeri/wilayah. Negara kesatuan Perancis mempunyai beberapa ciri iaitu:

1.     Kerajaan pusat mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan seluruh pemerintahan di negara Perancis.

2. Untuk memudahkan pentadbiran maka kerajaan kesatuan telah membahagikan negara kepada beberapa wilayah atau cawangan dan diberi kuasa untuk mentadbir. Pentadbiran wilayah ini merupakan ejen kerajaan pusat. Walau bagaimanapun kuasa ini boleh ditarik balik oleh kerajaan pusat. Bentuk seperti ini adalah merupakan sistem sentralisasi iaitu pemerintah pusat  memiliki kedaulatan penuh untuk menyelenggara urusan dari pusat ke daerah/wilayah. Pemerintah wilayah hanya melaksana ketetapan pusat.

Terdapat kelebihan jika mengamalkan kerajaan kesatuan iaitu tidak akan berlaku masalah pertindihan kerana sebarang percanggahan antara pengubal dengan pelaksana dasar dapat dielakkan. Hal ini kerana segala keputusan akan dibuat oleh kerajaan pusat dan dengan ini pemerintahan akan dapat dijalankan dengan mudah, teratur dan berkesan.
Namum kerajaan kesatuan juga mempunyai kelemahannya tetapi dengan segera dapat diatasi oleh kerajaan pusat dengan menyesuaikan pentadbiran dengan keperluan semasa.

Kerajaan kesatuan sesuai dilaksanakan bagi sebuah negara seperti Perancis kerana mempunyai keluasan geografinya tidak luas atau besar dan mempunyai jumlah penduduk tidak terlalu ramai. Pengaruh geografi yang tidak begitu luas lebih memudahkan komunikasi dua hala dan sebarang keputusan boleh dilaksanakan secepat mungkin tanpa berlakunya amalan red tape.

Setelah revolusi Perancis berlaku pada tahun 1789, telah banyak berlaku perubahan di Perancis iaitu sistem pemerintahan beraja telah dimansuhkan, sistem feudal dihapuskan, hak istimewa golongan bangsawan telah ditamatkan dan berkembangnya semangat nasionalisme di Perancis.

Setelah sistem pemerintahan beraja dan sistem feudal dihapuskan di Perancis, pada tahun 1790 pentadbiran baru telah dibentuk iaitu negara Perancis telah dibahagikan kepada 83 department (wilayah) dan setiap wilayah dibahagi pula kepada cantons (daerah) dan daerah pula dipecahkan kepada commune.

Pentadbiran department akan diketuai oleh Prefet yang dilantik oleh kerajaan pusat. Prefet bertanggungjwab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri dan berperanan untuk menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan.

Disetiap department telah ditubuhkan sebuah majlis iaitu General Council. Ahli-ahlinya dilantik oleh pemerintah peringkat pusat. Majlis ini merupakan institusi tempatan yang menghubungkan penduduk tempatan dengan kerajaan pusat.

Commune pula berperanan untuk mentadbir kawasan bandar yang diketuai oleh Datuk Bandar (Mayor) sebagai ketua eksekutif. Datuk Bandar pula akan dibantu oleh Majlis Bandaran (Municipal Council). Institusi commune berperanan mengendalikan perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran bandar seperti meluluskan permit bangunan, menjaga keselamatan penduduk, dan menguruskan pendaftaran perkahwinan. Datuk Bandar akan menjadi wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Datuk Bandar berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang tempatan, mendaftar jurutera awam, menguruskan pekerja dikawasannya dan sebagainya. Walau bagaimanapun segala keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh dipinda, diubah atau dibatalkan oleh kerajaan pusat.

Commune merupakan institusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan seperti pejabat pendaftaran, mahkamah rendah, jabatan kerja raya, polis tempatan dan sebagainya.

Penyatuan Negara Jerman

1.   Sebelum abad ke-19M, Jerman mempunyai 360 negeri kecil di bawah pemerintahan masing-masing. Pada awal abad ke-19M, Jerman telah dikuasai oleh Perancis di mana Perancis telah melucutkan takhta raja serta mengubah sempadan Eropah. Perancis telah membentuk semula struktur pemerintahan Jerman dan mencantum negeri-negeri kecil di Jerman.

2. Selepas Perancis kalah pada tahun 1815, Persidangan Viena telah dibuat dan mereka bersetuju untuk mencantumkan Jerman kepada 39 buah negeri sahaja (Pengabungan Jerman) yang terdiri daripada Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Honaver dan Saxony.

3. Sebelum tahun 1871, penyatuan Jerman tidak berjaya kerana wujud beberapa faktor penghalang seperti kebangkitan revolusi pada tahun 1848, persaingan antara kuasa Austria dan Prusia iaitu yang mana lebih dominan jika Jerman disatukan dan ramai golongan nasionalis Jerman berselerak di Eropah malah ada yang telah menetap di Amerika.

4. Walaupun wujud faktor-faktor penghalang, usaha untuk penyatuan Jerman tetap wujud bermula pada tahun 1815 iaitu selepas tamat perang Napoleon melalui Kongres Vienna. Dalam Kongres Vienna 1815, menetapkan Persekutuan Jerman sebagai negeri penampan kepada penaklukan Perancis dan keadaan ini mendorong kepada kerjasama ekonomi yang turut menyemai penyatuan dalam bidang politik.

5.  Pada tahun 1818, Kesatuan Kastam (Zollverein) telah ditubuhkan di Prusia. Persatuan ini telah berusaha menghapuskan cukai antara wilayah bagi menggalakkan aktiviti perdagangan. Ini telah mendorong negeri-negeri di Jerman untuk menyertai persatuan pada tahun 1854 kecuali Austria. Perkembangan perdagangan ini telah menyebabkan negeri di Jerman menganggap Prusia sebagai pemimpin politik Jerman.

Proses Penyatuan Jerman

1.   Prusia dilihat sebagai memainkan peranan efektif ke arah penyatuan Jerman, apabila William 1 ditabalkan sebagai Raja Prusia yang baru pada 1861 percaya Prusia boleh memimpin penyatuan Jerman. Beberapa langkah ke arah tersebut telah dilaksanakan seperti memperbesarkan angkatan tentera melalui penambahan pegawai tentera, rekrut tentera yang ramai dan memanjangkan perkhidmatan sukarelawan kepada 3 tahun.

2.  Untuk merealisasikan tujuan tersebut, William 1 telah melantik Otto von Bismark, iaitu seorang junkers (tuan tanah) yang pernah menjadi ahli parlimen (1847), duta Prusia ke Rusia dan Perancis pada tahun 1859 dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru pada tahun 1862. Tugas utama Bismark ialah menjinakkan ahli-ahli parlimen Prusia supaya patuh kepada kehendak  kerajaan dan raja. Namun apabila parlimen menolak permintaan William 1, Bismark telah bertindak secara lebih agresif dalam merealisaikan proses penyatuan Jerman .

3. Sebagai Perdana Menteri, Bismark merancang untuk mengukuhkan pasukan tentera dan memperkasakan ekonomi Prusia agar dapat mengurangkan pengaruh Austria dalam kalangan negeri-negeri Jerman.

4. Untuk melaksanakan dasar ini, Bismark melibatkan Prusia dalam tiga peperangan. Peperangan pertama Bismark ialah menentang Denmark atas isu daerah Schleswig dan Holstein yang diperintah oleh Raja Denmark. Kedua-dua daerah ini mempunyai majoriti bangsa Jerman yang telah menyatakan sokongan kepada Bismark. Untuk mencapai tujuan tersebut, Bismark telah memujuk Austria supaya bersama memerangi Denmark pada 1864. Perang Prusia-Denmark ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Gastein pada Ogos 1865. Mengikut perjanjian ini menyaksikan Austria diberi hak untuk mentadbir Holstein manakala Prusia mengawal Schleswig.

5.  Namun demikian usaha penyatuan Jerman tidak dapat dilakukan sekiranya Austria tidak dapat ditakluki. Justeru itu, Bismark mula mendapat sokongan daripada sekutunya di Eropah untuk membantu. Beliau telah menawarkan bantuan kepada Rusia ketika Rusia berhadapan dengan pemberontakan di Poland. Manakala di Itali pula, Bismark telah menandatangani perjanjian pada 1866, iaitu Prusia akan membantu Itali untuk mendapatkan wilayah Venetia yang dikuasai oleh Austria.

6.   Bismark mendapat persetujuan William 1 serta ketua-ketua tentera untuk memerangi Austria namun ditentang oleh Parti Progresif yang menguasai parlimen. Bagi mengatasi senario tersebut, Bismark telah bertindak memberikan hak mengundi kepada semua lelaki dewasa dalam pilihanraya dan bukannya hanya kepada golongan lelaki bangsawan seperti yang diamalkan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan Parti Progresif kehilangan banyak kerusi di parlimen.

7. Bagi meneruskan misinya, Bismark telah mengistiharkan perang ke atas Austria apabila menghantar tentera ke Holstein pada 15 Jun 1866 dengan menuduh pihak Austria melanggar Perjanjian Gastein iaitu kerajaan Austria telah melayan dengan buruk orang-orang Jerman yang berada di Austria. Perang ini mengambil masa selama 7 minggu, oleh sebab itu ia dikenali Perang Tujuh Minggu.

8.  Tentera Austria telah dikalahkan di Sedowa dan perang ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Prague pada tahun 1866. Mengikut perjanjian ini Austria dikeluarkan daripada kesatuan ini serta Austria serah Holstein kepada Prusia dan wilayah Venetia diserahkan kepada Itali. Kejayaan ini telah membolehkan Bismark mengabungkan semua negeri-negeri utara Jerman menjadi Pergabungan Jerman Utara.

9.  Prusia berhadapan dengan Perancis dalam usaha menyatukan negeri-negeri Jerman. Napoleon III tidak akan menyokong rancangan Prusia memimpin penyatuan Jerman. Selepas tamat Perang Prusia-Austria, Perancis mula bimbang kebangkitan Prusia sebagai kuasa kuat di Eropah. Ini telah mendorong Perancis menuntut agar negeri-negeri Selatan Jerman diserahkan kepada Perancis sebagai balasan pertolongan Perancis kepada Prusia mengalahkan Austria.

10.Dengan menggunakan tipu helah, Bismark telah berjaya memujuk negeri-negeri Selatan Jerman bersatu dengan Prusia. Selepas itu, berusaha memujuk sekutu-sekutu Perancis supaya tidak membantu Perancis. Dalam meneruskan misinya Bismark telah melancarkan perang ke atas Perancis pada Julai 1870. Perancis berjaya dikalahkan oleh Prusia pada tahun 1871 dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Frankfurt.

11. Mengikut perjanjian ini, Perancis serah wilayah Alsace dan Lorraine serta membayar ganti rugi perang sebanyak 3 ribu juta kepada Prusia. Selepas berjaya mengalahkan Perancis, Bismark telah menyatukan Jerman menjadi Empayar Jerman yang mengandungi 25 negeri kecuali Austria.

12. Pada 18 Januari 1871, Raja William 1 dilantik sebagai Kaiser Jerman manakala Bismark menjadi Cancellor (Perdana Menteri). Walaupun setiap negeri mempunyai pemerintah sendiri dan ada sesetengahnya mempunyai tentera dan pegawai diplomatik, namun Kaiser mengetuai pentadbiran pusat. Kaiser berkuasa untuk mengarahkan tentera sewaktu peperangan dan menentukan dasar luar.

13. Selepas berjaya menyatukan Jerman (1871), Bismark berusaha untuk mewujudkan keamanan di dalam dan luar negeri Jerman, membangunkan negara dan mengamalkan dasar berhati-hati dalam menjalinkan hubungan persahabatan dengan negara-negara Eropah. Bismark juga telah menanda tangani perjanjian 3 kuasa iaitu antara Prusia dengan Itali dan Austria yang dikenali sebagai Perikatan Bertiga. Tujuannya untuk menggelakkan daripada Perancis menyerang Jerman.

14.  Bismark juga telah memperkenalkan perlembagaan Jerman dengan menubuhkan parlimen yang mengandungi Majlis Persekutuan dan Diet Maharaja. Bismark juga berusaha menyekat pengaruh gereja, menyeragamkan sektor ekonomi, membangunkan sektor perindustrian, memajukan sektor pertanian dan perdagangan serta pemulihan sosial.



Sistem Beraja dan Pembesar di Rusia

Sistem pemerintah Rusia telah mengamalkan Sistem Pemerintahan Beraja  bermula tahun 1547 sehingga tahun 1917. Sistem pemerintahan Rusia adalah diwarisi daripada sistem pemerintahan empayar Byzantine selepas berlakunya perkahwinan Ivan III dengan cucu maharaja Byzantine yang terakhir iaitu Sophia pada tahun 1469. Sistem pemerintahan di Rusia menggunakan konsep caesaropapism iaitu konsep gabungan unsur keagamaan dan politik yang mengkehendaki rakyat taat setia kepada pemeriantah Rusia.

Gelaran raja/maharaja Rusia dikenali sebagai Tsar sempena gelaran Caesar yang diguna pakai oleh pemerintah empayar Byzantine. Ivan IV merupakan raja pertama yang menggunakan gelaran Tsar dan penggunaannya berakhir dengan Dinasti Ramanov pada tahun 1917. Pada abad ke 16 hingga abad ke-20, pemerintahan beraja di Rusia di bawah Dinasti Romanov iaitu bermula dengan Michael Ramanov (1613-1645), Peter The Great (1682-1725), Catherine I (1725-1727), Tzar Alexander I (1801-1825), Tzar Nicholas I (1825-1855), Tzar Alexander II (1855-1881), dan Tzar Nicholas II (1894-1917).

Sistem beraja di Rusia di bawah Dinasti Ramanov  selama 304 tahun berakhir semasa pemerintahan Tsar Nikolai II apabila berlaku Revolusi Russia 1917 dan digantikan dengan sebuah parti campuran yang mengaku dirinya sebagai Kerajaan Sementara. Pemerintahan Kerajaan Sementara di bawah Putera Lyvov dan Alexander Kerensky sehingga 25 Oktober 1917. Akhirnya pemerintahan Rusia diambil alih oleh Vlanimir Ilyich Lenin melalui Revolusi Bolshevik.
Kedudukan Raja Rusia

1. Kedudukan Tertinggi

Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur masyarakat. Rakyat perlu taat dan memandang mulia kepada Tsar. Tsar merupakan ketua dalam setiap bidang pemerintahan di Rusia. Tsar berkuasa membuat segala keputusan yang akan dilaksanakan di Rusia dan segala perintah Tsar rakyat tidak boleh membantah.

2.Berkuasa mutlak

Sebelum Revolusi Rusia 1917, Rusia mempratikkan pemerintahan bercorak autokratik. Pada tahun 1547, Ivan IV yang lebih dikenali sebagai ”Ivan yang ganas” telah memerintah Rusia dengan menggunakan kuasa mutlak. Beliau telah bertindak mengisytiharkan kanun undang-undang baharu pada tahun 1550, menubuhkan badan perwakilan feudal (Zemskii Sabor) pertama di Rusia dan berjaya melemahkan kedudukan orang Tartar di Rusia dengan menguasai Kazan (1552) dan Astrakhan (1556). Begitu juga dengan pemerintahan Tsar IV Nikolai II  (1894-1917) mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan keputusan pentadbiran serta hal-ehwal kerajaan.

3. Hak Istimewa

Maharaja Rusia seperti maharaja lain di dunia mempunyai hak istimewa dalam masyarakat seperti kekebalan dari segi undang-undang dan diberi pelbagai kemudahan istimewa. Segala kata Tsar akan dirujuk dan dianggap sebagai undang-undang.


Peranan Maharaja Russia dalam pemerintahan

1. Ketua Negara

Maharaja Rusia berperanan sebagai ketua negara atau ketua kerajaan yang berkuasa mutlak dalam pentadbiran. Baginda berkuasa dalam bidang politik, ekonomi dan sosial seperti mana zaman pemerintahan Tzar Nicholas II.

2. Dasar Luar

Tsar Rusia berkuasa dalam menentukan hubungan luar negeri/hubungan diplomatik. Maharaja Rusia telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Eropah Barat termasuk Jerman untuk melatih ketenteraan Rusia. Tsar Alexander I (1801-1825) telah menandatangani satu perjanjian dengan Napoleon pada tahun 1807 iaitu Rusia bebas menjalankan dasar menakluki Turki dan berjaya merampas wilayah Bessarabia pada tahun 1812.

3. Melantik Menteri

Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar juga mempunyai kuasa melantik menteri bagi mengukuhkan kedudukannya. Selain itu baginda juga berkuasa untuk memecat menteri yang dianggap menentangnya dalam pemerintahan. Contohnya semasa pemerintahan Tsar Nicholas II. Tsar akan memilih dan melantik menterinya yang benar-benar boleh dipercayai dan mampu mentadbir kerajaan. Menteri diibarat sebagai tulang belakang atau penyokong kuat kerajaan. Kuat atau lemah seseorang Tsar itu bergantung kepada golongan menteri ini.

4. Bertanggungjawab menjaga keamanan

Pemerintahan Rusia bertanggungjawab untuk memulih, menjaga keamanan dan keselamatan seluruh negara Rusia daripada ancaman musuh. Pemerintah Michael Ramanov telah berjaya mempertahankan Rusia daripada pencerobohan asing dengan menjadikan beberapa buah bandar yang berkubu di selatan untuk menentang Tartar dan Turki.

5. Mengetuai ketenteraan

Dasar perluasan wilayah juga mendorong pemerintah Rusia mengawal ketenteraan. Oleh sebab Rusia sering terancam telah menyebabkan pemerintah Rusia memperkuatkan tenteranya seperti mana yang dilakukan oleh Peter The Great. Peter teleh menambah peruntukan ketenteraan sebanyak 2.3 juta rouble pada tahun 1701 kepada 32 juta rouble pada tahun 1710. Peter juga memastikan peruntukkan perbelanjaan pusat memberi keutamaan kepada pertahanan negara Rusia.

Begitu juga dengan pemerintah Yekaterina Agung (1762-1796) yang meluaskan kuasanya ke Poland-Lithuana dan di selatan memerangi wilayah empayar Uthmaniyyah. Alexander II (1855-1881) yang telah memodenkan tentera Rusia berjaya membebaskan Bulgaria daripada pemerintahan Uthmaniyyah dalam Perang Rusia-Turki (1877-1898).

6. Mengetuai bidang ekonomi

Pemerintah Rusia juga bertanggungjawab memajukan ekonomi supaya negara bertambah kukuh dan stabil. Kesungguhan pemerintah Rusia dalam memajukan ekonomi dapat dilihat semasa pemerintahan Peter The Great, Tzar Alexander II dan Tzar Nicholas II. Semasa Peter The Great, beliau telah menggalakkan pembangunan industri perkilangan membuat senjata, peralatan tentera, pembuatan makanan, sektor pembuatan seperti tekstil, kertas, kaca dan barangan kulit. Industri besi dan keluli juga dimajukan di Ural sehingga Rusia boleh muncul sebagai pembekal besi utama untuk pasaran Eropah pada abad ke-18.

Tzar Alexander II pula membangunkan sistem pengangkutan kereta api bagi memajukan lagi sektor industri di Rusia. Begitu juga pemerintah Tzar Nicholas II turut memberi tumpuan kepada kemajuan pengangkutan kereta api kerana ia menjadi kunci kepada pembangunan ekonomi Rusia.

7. Sebagai ketua agama Kristian

Pemerintah Rusia juga berperanan sebagai ketua agama dan bertanggungjawab memperkukuhkan serta menyuburkan ajaran agama Kristian Ortodoks. Pemerintah Rusia perlu memastikan rakyatnya sentiasa mematuhi pengamalan agama. Sebagai contoh pemerintah Peter The Great telah memberikan tawaran kemewahan dan kebendaan serta ada yang diugut yang mana tanah mereka akan dirampas jika tidak menukar agama. 
Bagi menjayakan hasratnya juga, beliau telah mengarahkan mubaligh Kristian mempelajari bahasa masyarakat tempatan, menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa tempatan dan menghantar mubaligh tinggal bersama keluarga yang menjadi sasaran pemerintah.


Kesimpulan

Kedudukan dan peranan Tsar di Rusia sememangnya tidak banyak bezanya dengan kedudukan dan peranan raja/maharaja di negara-negara lain di dunia ketika itu. Tetapi akhirnya kedudukan dan peranan Tsar tamat  setelah berlakunya Revolusi 1917 di Russia yang akhirnya Russia menjadi sebuah negara republik yang dipimpin oleh seorang Presiden.


SISTEM PEMBESAR DI RUSIA

Pendahuluan.

Golongan pembesar merupakan pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan. Tujuan pelantikan golongan pembesar untuk membantu raja atau maharaja dalam bidang pemerintahan yang merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Mengikut Kamus Dewan pula golongan pembesar bolehlah ditakrifkan sebagai orang yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.

Dalam sistem pemerintahan raja atau maharaja, kedudukan pembesar sangat penting dan berada di lapisan kedua selepas kedudukan raja atau maharaja. Institusi pemerintahan di Russia memperlihatkan raja atau maharaja melaksanakan pemerintahan dengan bantuan atau sokongan institusi pembesar.  Bagi memastikan golongan pembesar sentiasa taat setia kepada raja atau maharaja dan mengawasi tindak tanduk pembesar maka satu badan pemantau telah diwujudkan oleh raja atau maharaja.

Jika seseorang pembesar gagal melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan baik, raja atau maharaja mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatannya dan digantikan dengan pembesar lain yang lebih berwibawa dan dipercayai. Kuat atau lemah sesebuah kerajaan atau raja atau maharaja adalah bergantung kepada golongan pembesar yang  dipilih dan dilantik oleh raja atau maharaja. Sebab itulah golongan pembesar diibaratkan sebagai tulang belakang atau tiang kerajaan dalam sesebuah kerajaan.

Sistem pembesar yang diamalkan di negara Rusia boleh dibahagi kepada beberapa peringkat iaitu pembesar diperingkat pusat, pembesar peringkat daerah atau wilayah dan pembesar peringkat kampung. Bidang tugas mereka hampir sama tetapi kedudukan serta kuasa mereka yang membezakan di antara golongan pembesar.


Sistem Pembesar Di Rusia

Sistem pembesar di Rusia berbeza dengan negara China. Semasa era pemerintahan Moscow dan Dinasti Ramanov sistem pembesarnya terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat daerah dan peringkat kampung.

Pentabiran Di Peringkat Pusat.

Di peringkat pusat, sistem pemerintahan pembesar melalui Majlis Penasihat Tertinggi (Duma), Majlis Penasihat (Zemskii Sabor) dan jabatan kerajaan (Prikazi). Duma dianggotai oleh golongan bangsawan paling kanan dan bertanggungjawab menyelaras hal ehwal pemerintahan, mengubal dan meluluskan dasar kerajaan, dan sistem kehakiman. Walaubagaimanapun raja masih lagi berkuasa untuk membuat keputusannya.

Zemskii Sabor pula dianggotai oleh golongan bangsawan. Bilangan ahlinya antara 40-50 orang dan bidang kuasa mereka lebih rendah berbanding kuasa Duma. Prikazi pula merupakan jabatan kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal dan diluluskan oleh Duma.

Sistem pembesar di Rusia disusun dengan teliti akan tidak berlaku pertindihan peranan, lebih seragam dan lebih cekap. Oleh itu Duma dan Zemskii Sabor telah dibubarkan dan diganti dengan Majlis Senate pada tahun 1711 semasa pemerintahan Peter The Great. Majlis ini dianggotai oleh 9 ahli dengan dibantu oleh Colleges bagi meringankan beban tugas Senate yang semakin hari semakin banyak tugasnya.

Dalam bidang pemerintahan, institusi gereja Kristian Ortodoks juga mempunyai peranan penting dalam bidang keagamaan, ekonomi dan politik. Namum peranan mereka telah dikawal dengan ketat oleh raja Rusia supaya pembaharuan yang ingin dilaksanakan di Rusia dapat dilaksanakan. Raja Peter telah bertindak tidak melantik Patriarch yang baharu pad tahun 1700 malah telah menggantikannya dengan Holy Synod. Begitu juga di zaman Catherine, beliau telah memiliknegarakan harta dan kekayaan gereja. Hal ini telah membolehkan raja mengawal kuasa gereja kerana mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat.

Dalam pengubalan dasar luar, Jawatankuasa Tidak Rasmi atau Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini berperanan memberi nasihat kepada raja malah menyokong segala dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah terutama di zaman Alexander I. Beliau juga telah melakukan perubahan dalam pemilihan anggota Duma atau parlimen seperti pemilihan anggota melalui pilihanraya. Semasa pemerintahan Nicholas II, beliau menjadikan Duma sebagai Parlimen Rendah iaitu keanggotaannya dipilih melalui undian oleh rakyat dan bukan dipilih oleh Tsar. Oleh kerana keanggotaannya terdiri daripada pelbagai peringkat dan bangsa maka ini telah menyukarkan Duma untuk membuat keputusan. Akhirnya Duma pertama telah dibubarkan dan Duma Kedua telah ditubuhkan pada Mac 1907.

Diperingkat pusat juga ditubuhkan Dewan Perhimpunan Wilayah yang bertanggungjawab membantu Tsar dalam menguruskan pentadbiran negara Rusia. Keanggotaan terdiri daripada golongan bangsawan.

Polis Rahsia Khas (Okhrana) juga ditubuhkan di peringkat pusat untuk mengawal penyebaran unsur propaganda yang boleh menggugat pemerintahan Tsar, demontrasi rakyat, mengawal jalan keluar masuk ke Rusia, menjadi pengintip raja atau Tsar dan menangkap golongan pengkhianat kepada Tsar. Penubuhan pasukan ini telah mengukuhkan lagi pemerintahan Tsar terutama di zaman pemerintahan Nicholas I, Alexander II dan Nicholas II.



Pentabiran Di Peringkat Daerah.

Pentadbiran peringkat daerah juga amat penting dalam membantu pemerintahan Tsar di Rusia. Pentadbiran di peringkat daerah di ketuai oleh gabenor atau naib gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat seperti di zaman pemerintahan Catherine.

Di peringkat daerah juga diwujudkan Majlis Perundangan Tempatan atau Majlis Daerah (Zemstvo). Rakyat diberi kuasa untuk memilih ahli Majlis Daerah. Ahli Majlis Daerah pula akan memilih ahli Majlis Wilayah. Majlis ini berperanan menjaga jambatan, jalan raya, pendidikan, kesihatan awam dan pemilihan pegawai undang-undang.


Pentabiran Di Peringkat Kampung.

Pentadbiran peringkat kampung pula dijalankan oleh Majlis Kampung. Majlis ini juga dikenali sebagai mir atau Komun. Majlis ini berperanan untuk memunggut cukai yang telah ditetapkan oleh kerajaan, menentukan jenis tanaman yang ditanam oleh petani, mengagihkan tanah pertanian kepada petani, memilih di kalangan golongan petani untuk menjadi tentera apabila diperlukan oleh Tsar, mengawal kemasukan pengaruh luar yang boleh mengugat kerajaan pusat dan menjadi pengintip kerajaan daripada berlakunya penentangan.


Masyarakat Feudal di England

1.Feudalisme adalah satu bentuk kerajaan yang terbentuk di Eropah Barat pada abad ke-9 M, selepas perpecahan Empayar Charlemangne dan berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian (Sivachandralingam, 1996: 66).
2. Secara umumnya Sistem Feudal (Feudalisme) bolehlah didefinisikan sebagai satu bentuk kerajaan, yang kuasa politiknya dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian tetapi bukan oleh kerajaan pusat.
3. Menurut Gan shof (1944) Konsep Feudalisme pertama kali digunakan pada kurun ke- 17 bagi merujuk kepada sistem politik di Eropah pada zaman pertengahan yang memeperlihatkan hubungan yang saling memerlukan di antara tuan tanah (lords), orang biasa atau petani (Vassals) dan tanah (fiefs). Dengan kata lain, dalam sistem ini petani bekerja dan menjadi tentera untuk melindungi seorang bangsawan dan sebagai balasan mereka boleh mengusahakan tanah bangsawan tersebut. Walaupun istilahnya diambil daripada perkataan latin feodum atau feudum (fief), namun konsep feudalism dan sistemnya bukanlah satu sistem politik formal pada zaman itu.
4. Menurut Abdullah Zakaria et. al. ( 2003: 92 ) Pada asasnya, sistem ini memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah atau lord dengan Vassal atau pemegang tanah (petani) yang disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu pihak akan memberi perlindungan sementara satu pihak yang lain memberi perkhidmatan ketenteraan demi keselamatan raja. Mereka juga di beri gelaran tertentu sebagai mengakui sumbangan tersebut.Selain aspek ketenteraan dan keselamatan, pihak yang dikenali sebagai feudotari juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah membekalkan buruh untuk sistem kerah.Hubungan ini menentukan kedua-dua pihak memperoleh faedah dan keuntungan bersama.

CIRI-CIRI MASYARAKAT FEUDAL
Menurut Francois-Louis Ganshof (1944) Sistem feudal sekurang-kurangnya mempunyai empat ciri penting iaitu hubungan bertimbalas antara seorang bangsawan (Vassal) kepada bangsawan lain yang lebih kuat atau lebih berpengaruh (lord), hak milik tanah atau sistem fief, ketenteraan dan kuasa pemerintahan serta hak-hak perundangan.
Vassalage atau hubungan bertimbal balas yang di buat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (Vassal) kepada seorang hulubalang lain, yang di angkat sebagai tuan (lord) kepada Vassal tersebut disebabkan ia lebih kuat atau lebih berpengaruh. Hubungan ini merupakan satu bentuk hubungan persendirian yang bersifat kehormat kerana ia melibatkan perjanjian antara dua orang Individu yang terdiri daripada kelas hulubalang sahaja (Carl Stephenson, 1956:5-10). Melalui hubungan ini, seseorang Vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu, iaitu memberikan ketaatan dan perkhidmatan, khususnya ketenteraan oleh Vassal kepada lordnya manakala lord pula akan berfungsi memberi penjagaan dan perlindungan kepada Vasalnya (Azmi Arifin, 2006:55).
Ciri yang kedua ialah fief iaitu sejenis harta feudal, kebiasaannya berupa tanah yang diberikan oleh seseorang lord kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan tersebut. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief ( Azmi Ariffin,1992:55). Bagi sesetengah pengkaji, fief tidak semestinya berupa tanah sahaja.Sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief.Menurut Strayer (1953) Terdapat golongan vassal yang tidak mempunyai sebarang tanah (landless knights) merupakan satu fenomena biasa yang dapat ditemui di Eropah Barat pada kurun ke-11.Kewujudan golongan ini meskipun semakin berkurangan tetapi tidak pula lenyap pada kurun-kurun selepasnya. Tugas lord ialah menjaga pengikutnya seperti menampung segala keperluan sara hidup pengikutnya kerana Vassal merupakan hulubalang sepenuh masa dan tidak terlibat dalam aktiviti ekonomi. Di Eropah Barat pada zaman pertengahan, kegiatan ekonomi yang berkaitan perdangangan telah terjejas teruk akibat kekacauan, serangan luar dan peperangan. Keadaan ini menyebabkan raja-raja yang berfungsi sebagai Lord menghadapi masalah untuk membayar upah dalam bentuk wang. Ketika itu hanya terdapat dua cara yang membolehkan seseorang Lord melaksanakan tugasnya. Pertama seseorang Lord akan menempatkan seseorang vassal di istana-istananya dengan menyedaikan makanan, pakaian, senjata atau sebarang keperluan yang dikehendakinya. Kedua ialah dengan memberikannya tanah sebagai sumber pendapatan yang boleh menampung keperluan hidupnya. Cara ini amat popular kerana dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa kerana ia melibatkan jaminan dari segi kedudukan politik, ekonomi dan sosial. Seseorang lord yang tidak mampu mengikat kesetiaan seseorang vassal melalui pemberian tanah biasanya akan mendapati dirinya kehilangan sokongan dan pengaruh, manakala seseorang vassal yang tidak memiliki sebarang tanah sekalipun mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi daripada seorang petani kaya, tidak mempunyai peranan dari segi politik dan pemerintahan. Dengan itu mereka akan berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki kelas hulubalang atau bangsawan yang menguasai tanah. Dari sudut ini kita bolehlah mengatakan pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada zaman feudal di Eropah Barat.
Ciri Feudal yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai balasan penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif, maka perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan, sedangkan perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh sebab itu kebanyakan pengkaji sejarah feudalism bukan sahaja di Eropah Barat, malah di Jepun, China, India, Timur Tengah dan sebagainya berpendapat institusi feudal tidak mungkin wujud tanpa adanya aspek ketenteraan.Malah perkembangan feudalisme bukan sahaja dikaitkan dengan wujudnya organisasi ketenteraan semata-mata tetapi juga dikaitkan dengan kemunculan kelas-kelas tentera elit baru dan perkembangan teknologi peperangan. Misalnya perkembangan feudalism di Eropah Barat dikaitkan dengan kemunculan golongan knights dan chivalry, di Jepun kelas samurai dan knight-archer, cataphracts di Byzantium dan Iran, Chariot-fighters di Timur Tengah dan China dan sebagainya lagi (Strayer, 1953:9). Kemunculan kelas-kelas tentera elit baru yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang jauh lebih mahal telah menjadikan khidmat ketenteraan pada zaman feudal di eropah hanya mampu dimonopoli segolongan kecil kelas bangsawan sahaja, terutama dikalangan mereka yang menguasai tanah.Dari segi sosial perkembangan ini telah meningkatkan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud antara kelas hulubalang dengan golongan rakyat biasa yang terikat dengan kegiatan pertanian.
Ciri yang keempat ialah pemilikan kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya.Kuasa pemerintahan ini juga meliputi penduduk bukan vassal yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord, yang biasanya dilaksanakan oleh sebuah kerajaan. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.Pemusatan kuasa ketenteraan, polittik dan ekonomi ditangan seseorang lord telah menggalakkan perkembangan wilayah-wilayah feudal yang berdaulat dan berautonomi. Jika berlaku pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal yang terikat dengan perjanjian feudal biasanya akan memberikan kesetiaan penuh kepada lord yang berada di atasnya berbanding kepada seseorang raja yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengannya. Walau bagaimanapun corak hubungan ini bergantung kepada taraf sosial (prestij) dan kedudukan raja itu sendiri.Jika baginda seorang pemerintah yang berpengaruh, maka kedudukan lord mungkin sedikit sebanyak dapat dikawalnya.Tetapi kebiasaannya pada zaman feudal, kedudukan seseorang raja amat lemah dan baginda selalunya tidak mempunyai kekuatan untuk mengawal pembesar feudal.Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan golongan lord ini merupakan ciri feudalisme yang paling asas dan terpenting.Walau bagaimanapun tanpa wujudnya hubungan vassalage-fief dan perkembangan aspek ketenteraan, pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan itu tidak mungkin diperolehi.
Berdasarkan keempat-empat ciri tersebut, feudalisme bolehlah ditakrifkan sebagai satu bentuk organisasi yang diwujudkan oleh satu bentuk hubungan persendirian yang diikat antara seseorang individu dari kelas hulubalang dengan individu daripada kelas hulubalang yang lain, iaitu antara lord dan vassal. Melalui ikatan vassalage - fief, seseorang vassal dikehendaki menjaga dan melindungi vassalnya.Susunan ini kemudiannya menjadi asas kepada keseluruhan struktur politik, pemerintahan, perundangan dan kemasyarakatan yang wujud dalam setiap wilayah atau negara yang dikawal oleh corak hubungan tersebut (Azmi Ariffin,2002: 59)

SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL

1. Masyarakat feudal boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin.golongan pemimpin terdiri daripada raja, pembesar (bangsawan), dan golongan yang dipimpin ialah rakyat atau petani.
2. Raja mempunyai kuasa mutlak dan berada dikedudukan paling tinggi. Di bawah raja, terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi vassalnya.
3. Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan lapisan pertama itu membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua dikenali sebagai subinfeudation.
4. Bangsawan lapisan kedua seterusnya mungkin membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan ketiga.Setiap bangsawan berkuasa ke atas petani yang menetap di fiefnya.
5. Kelas paling bawah sekali ialah kaum tani (serf). Kaum tani semuanya miskin dan tidak berpelajaran.Hak-hak mereka sedikit tetapi tugas mereka banyak.Kerap kali mereka ini tidak diberi layanan yang memuaskan oleh tuan-tuan mereka.Hampir kesemua petani terdiri daripada golongan serf yangbertaraf antara orang bebas dengan hamba.Peluang untuk menjadi kaya dan masyhur dengan usaha sendiri sangat tipis. Seseorang hamba akan menjadi hamba seumur hidup dan anak-anak mereka juga akan menjadi hamba.

6. Sebagai kesimpulannya dalam pemerintahan bercorak feudal ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di bawah pemerintahan seorang raja (Abdullah Zakaria, 2003:93). Struktur masyarakat feudal di Eropah bolehlah boleh digambarkan seperti rajah di bawah.

SISTEM FEUDAL DI ENGLAND
Latarbelakang Sistem Feudal di England

Selepas kejatuhan Empayar Rom, menjelang tahun 800 Masihi, muncul satu institusi politik yang dikenali sebagai feudalisme di Negara- negara Eropah Barat termasuklah di England.Dalam sistem feudal terdapat satu susunan tanggungjawab yang kompleks dan obligasi di kalangan individu daripada kelas terbawah (serf) kepada kelas teratas iaitu raja.Setiap serf memberi sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight(pahlawan), bangsawan (baron, duke,lord) dan akhir sekali ialah raja.Setiap bangsawan berjanji untuk melindungi mereka yang telah bersumpah untuk bersatu dengannya (Sivachandralingam, et.al.1999:93). Dalam sistem feudal di England, kebergantungan sangat kuat antara seorang raja dengan golongan bangsawan (lord)yang dilantik sendiri oleh raja.
Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan raja. Jika seseorang raja memerlukan tenaga buruh untuk melakukan sesuatu kerja atau memerlukan tentera maka golongan petani (serf) akan dikerah untuk memenuhi keperluan tadi. Jadi dalam sistem feudal di England golongan petani (serf) menjadi subjek utama dan tidak mempunyai sebarang hak.Dalam sistem feudal, tanah menjadi elemen utama iaitu semua tanah adalah milik raja.Golongan bangsawan telah dikurniakan tanah (wilayah) oleh raja.Tanah menjadi punca kekayaan bagi raja dan golongan bangsawan.

Ciri-ciri Sistem Feudal di England

1. Hubungan bertimbal balas atau hubungan dua hala
Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut. Melalui hubungan ini, seseorang vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu. Golongan vassal akan memberikan ketaatan dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan kepada lordnya. Sebagai timbal balas golongan lord pula akan memberikan penjagaan dan perlindungan kepada vassalnya.

2. Harta feudal yang kebiasaannya berupa tanah
Ciri yang kedua iaitu harta feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberkan tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief.Fief tidak semestinya berupa tanah sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief.Pemberian fief berupa tanah dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa. Golongan serf tidak memiliki tanah, tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah yang dibenarkan oleh tuan tanah.

3. Ketenteraan
Ciri feudalisme yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief.Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif.Perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassalkepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan.Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh kerana sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan maka di Eropah atau England wujudnya golongan tentera elit seperti knightsdan chivalry yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang mahal.

4. Kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian.
Ciri feudalisme keempat ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord.Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.

Struktur Masyarakat Feudal di England
1. Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin dan yang dipimpin.Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan.Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi.Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang memberi kesetiaan kepada raja.Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu lapisan pertama dan kedua.
2. Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief.Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation .Bangsawan lapisan ke dua seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya atau golongan petani.Setiap bangsawan (Vassal) berkuasa ke atas petani yang menentap dififnya.Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba (Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).
3. Golongan yang dipimpinpula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah daripada golongan bangsawan ( Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).
4. Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada daripada golongan bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem feudal (Ranjit Singh Malhi, 1993:91).Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah barat di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai greja terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua tanggungjawab (Sivachandralinggam, 1996:70).


Kemajuan pendidikan di Jerman pada abad ke –17 hingga abad ke –18

Pendidikan bermula sejak kewujudan manusia dan cara serta sistem pembelajaran yang berbeza mengikut masa, tempat,dan juga adat resam yang diamalkan sesuatu masyarakat. Pendidikan diperolehi daripada pelbagai sumber dan bentuk serta membolehkan seseorang menyampaikan apa yang diperoleh kepada generasi seterusnya. Pendidikan dijalankan secara terancang dan sistematik terhadap perkembangan jasmani,rohani, dan intelek untuk melengkapi kehidupan.Perkembangan pendidikan terletak pada golongan raja yang memerintah sesebuah negara dapat dilihat semasa di Jerman ia mejadi sumber autoriti dan lebih tertumpu kepada ilmu sains, matematik dan vernakular.Jerman merupakan negara pertama yang memperkenalkan cukai yang dibiayai dan pendidikan rendah adalah diwajibkan.  Pendidikan terdiri daripada kursus lapan tahun pendidikan rendah dan dikenali sebagai volksschule serta menyediakan kemahiran pendidikan yang tegas dalam etika, tugas, disiplin dan ketaatan. Jerman telah menubuhkan tiga peringkat pendidikan dan perkara yang ditetapkan ialah apa yang perlu dipelajari dan difikirkan, berapa lama untuk berfikir dan bila kanak-kanak boleh berfikir tentang perkara lain.Sistem pendidikan merupakan sistem pembacaan secara keseluruhan dan konsep bersepadu dapat dihafalkan. Penggantian sistem ajab pengajaran dengan sistem pengajaran bunyi atau fonetik, membolehkan kanak-kanak membaca tanpa mengetahui maksud bacaan mereka. Kehadiran guru yang mengajar adalah amat diwajibkan dan ujian nasional untuk pelajar adalah bertujuan untuk mengklasifikasikan kanak-kanak untuk latihan pekerjaan yang berpotensi tinggi.Pada awalnya, Martin Luther menganjurkan kewajiban pelajaran supaya semua rakyat bebas membaca dan mentafsir kitab Bible dan dijadikan model di setiap sekolah semasa tahun 1814 hingga 1871. Pentadbiran sekolah telah dipengaruhi oleh masalah yang berkaitan dengan raja. Golongan pietism telah mengadakan satu pakatan politik dengan Raja Prusia berdasarkan kepentingan bersama untuk memecahkan dominasi Gereja Lutheran. Golongan ini menekankan keperluan kerohanian dalaman dapat dicapai melalui pembacaan kitab bible. Pendidikan penting untuk menanam ketaatan social dalam rakyat melalui indoktrinasi. Semua sekolah telah menggunakan bahasa rasmi untuk memupuk ketaatsetiaan kepada raja dan lelaki muda telah dilatih menjadi tentera dan golongan birokrat.Raja Frederick II telah mengumumkan bahawa persekolahan wajib untuk semua kanak-kanak antara usia lima tahun hingga tiga belas tahun. Peperiksaan akhir atau dikenali abitur diperkenalkan pada tahun 1788 dilakanakan di sekolah menengah dan diperluaskan ke seluruh Jerman pada 1871. Kelulusan dalam abitur merupakan pra-syarat untuk menceburi profesion yang telah dipelajari dan perkhidmatan awam. Wilhelm Von Humboldt melaksanakan pembaharuan pendidikan yang dipengaruhi oleh pendekatan idealistik dan menjadi asas pendidikan kontemporari. Melalui asas ini, mereka percaya bahawa pendidikan tidak harus dipengaruhi oleh kehendak individu dan ia akan menjadi sesuatu yang baik jika tiada campur tangan daripada pihak luar. Selepas Perang Napoleon,Prusia telah memperkenalkan keperluan pensijilan negeri. Ia dapat menaiktaraf sistem pengajaran para guru dan telah merebak selepas Revolusi Perancis.Sistem persekolahan menjadi lebih berpusat setelah Jerman menubuhkan empayarnya pada tahun 1871 dan memperkenalkan sekolah menegah pertama yang berasingan untuk perempuan pada tahun 1872. Penubuhan sekolah menengah yang banyak adalah untuk memenuhi kehendak ramai yang menginginkan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang lebih tinggi. Namun, pihak kerajaan mempunyai hak mutlak untuk menetapkan piawaian dan membuat penyeliaan untuk penubuhan sekolah-sekolah yang baharu.Di Jerman terdapat empat jenis sekolah menengah yang telah dibangunkan antaranya ialah Gymnasium, Realgymnasium, Realschule dan Oberrealschule. Murid-murid akan belajar di sekolah menengah Gymnasium selama lapan atau sembilan tahun  kepada prestasi murid-murid ketika itu. Sekolah ini akan memberikan lebih tumpuan terhadap penggunaan bahasa Latin dan Yunani atau Hebrew serta satu penambahan bahasa moden. Manakala sekolah menengah Realgymnasium pula dijalani oleh pelajar selama sembilan tahun penumpuan akan diberi dalam bahasa latin, bahasa moden, sains dan juga matematik. Tempoh masa selama enam tahun pula akan dijalani oleh para pelajar di sekolah menengah Realschule. Sekolah ini tidak melayakkan pelajar untuk masuk ke institusi tinggi contohnya universiti tetapi pelajar mempunyai pilihan untuk menjadi pelatih dalam industry moden,jawatn dan pekerjaan teknikal. Seterusnya, sekolah menengah Oberrealschule memberikan tempoh masa selama sembilan tahun untuk belajar dan memberikan tumpuan tehadap bahasa-bahasa moden,sains dan matematik. Empat jenis sekolah menengah ini telah mencapai pangkat dan keistimewaan yang sama walaupun mempunyai prestij yang berbeza pada abad ke-20.Keseluruhannya, sistem pendidikan di Jerman banyak menekankan kepada konsep pemikiran dan juga kawalan minda. Pembaharuan yang dilakukan oleh  ahli falsafah Prusia dalam sistem pendidikan telah merebak dengan cepat melalui Eropah terutamanya selepas kemunculan Revolusi Perancis.

THE SOCIAL CONTRACT(1762)


Merupakan karya Rousseau yang berkaitan dengan politik.
Menyatakan bahawa:
(i) Walaupun manusia dilahirkan bebas tetapi sentiasa terikat dimana-mana.Ini kerana manusia dicemarkan atau dirosakkan oleh masyarakat.Beliau menekankan bahawa wujudnya satu kehendak bersama yang membawa kepada kebaikan umum yang dikehendaki oleh setiap individu.Beliau berpendapat bahawa ini adalah sejenis kontrak sosial semula jadi di mana jika kepentingan bertembung dengan kepentingan umum dan kepentingan umum mesti diutamakan.
(ii)Ia adalah satu konsep yang kerap dilihat dalam sejarah pemikiran liberal.Beliau menekankan idea ini dari pendapat yang menyatakan bahawa kontrak sosial adalah satu perkara semula jadi dan seseorang individu itu lebih mengetahui tentang apa yang terbaik untuk dirinya.Rousseau juga berpendapat bahawa pendidikan adalah mencukupi untuk membataskan tingkah laku manusia supaya sentiasa berada pada landasan yang betul.
iii)Berdasarkan pendapat itu,beliau menyatakan bahawa kebebasan untuk menentukan masa depan sendiri hádala kehendak setiap Negara.Nyata sekali,idea Rousseau ini adalah bertentangan dengan system politik di Perancis pada masa itu.
1.                 

Friday, 28 June 2013

Fonetik dan Fonologi

Bidang fonetik dan fonologi dalam bahasa, banyak pengkaji telah membuat kajian mereka berserta dengan generalisasi yang tertentu bagi memperkukuhkan dapatan dan hujah mereka. Fonetik adalah proses mengkaji bunyi bahasa. Menurut Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah Lo (2007) bunyi adalah kesan yang didengar oleh telinga yang berlaku apabila udara dari paru-paru keluar melalui pita suara ke rongga tekak, kemudaian terus keluar ke rongga hidung. Semasa udara keluar melalui rongga tekak dan rongga mulut atau rongga hidung, udara mungkin mengalami gangguan atau sekatan atau mungkin tidak. Uadar yang keluar dalam bentuk gelombang itu mengenai bahagian gegendang telinga dan terhasillah bunyi. Harimurni Kridalasana (1984) dalam kamus Linguistik mentarifkan fonetik sebagai ‘ilmu yang menyelidiki penghasilan, penyampaian dan penerimaan bunyi bahasa’. Manakala Abdullah Hassan (1993) pula memberi penjelasan bahawa fonetik adalah ‘pengkajian terhadap unsur-unsur dalam bentuk bunyi’ (dlm. Modul Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, 2012).
Turut menyatakan pandangan, Abdullah Hassan, et al.(2006) menjelaskan bunyi bahasa sebagai bunyi-bunyi yang dipersetujui oleh masyarakat penuturnya sebagai sesuatu yang bermakna. Bagi sarjana barat, tarifan mereka terhadap fonetik dikatakan sebagai ‛the body of speech sounds of any one language, and their telation to one another,’ (C.L.Barnhart & R.K.Banhart,1981). Manakala bagi Fonologi ianya menjurus kepada mengkaji bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa itu (Abdullah Hassan, 1993). Seorang lagi sarjana tempatan iaitu Harimurti Kridalaksana (1984) memberikan definisi fonologi sebagai bidang dalam linguistik yang menyelidiki bunyi-bunyi bahasa mengikut fungsinya. Sarjana barat Parker,F.(1947) mengatakan fonologi sebagai ‛...suatu bidang yang mengkaji sesuatu bahasa, iaitu rumus-rumus yang menentukan sebutan.’ Sementara J. Clark dan C. Yallop (1995) menegaskan, ‘phonology is concerned with the organization of speech within specific languages.’ Jelas menunjukkan bahawa bidang fonetik dan fonologi adalah berkait rapat dan menjurus kepada aspek bunyi-bunyi bahasa dan sebutannya.
Dalam aspek pemerolehan bahasa, Jacobson ingin mengetahui sejauh mana hubungan antara proses pembelajaran bahasa usia kanak-kanak dengan teori fonologi (Paitoon, 2002). Dalam hal ini, Jacobson telah dapat menghasilkan rumus-rumus yang memperlihatkan perkembangan bahasa kedua-dua orang kanak-kanak yang dikajinya. Rumus-rumus tersebut adalah seperti, rumus yang pertama ialah pemerolehan bahasa kanak-kanak yang ada hubungannya dengan kajian fonologi. Menurut beliau, kanak-kanak mula mempelajari bahasa dengan mengungkapkan bunyi bahasa terlebih dahulu. Seterusnya, pemerolehan bahasa kanak-kanak berlaku secara berperingkat-peringkat berdasarkan perkembangan alat penghasilan bunyi bahasa. Manakala peringkat ketiga, adalah bunyi vokal lebih mudah disebut daripada bunyi konsonan.
Bagi seseorang kanak-kanak yang berusia rendah, terdapat banyak teori pembelajaran yang dapat dikenal pasti berhubung dengan pemerolehan bahasa seperti Teori Behaviorisme, Teori Mentalis, dan Teori Interaksionalis. Secara umumnya, kanak-kanak yang mula-mula belajar berbahasa berlaku secara semulajadi (natural) tanpa perlu menghadiri kelas-kelas formal sebaliknya berlaku tanpa disedari oleh mereka. Justeru, dapat dikatakan bahawa bidang fonetik dan fonologi adalah proses dan tindakan mempelajari bahasa. Dalam konteks bahasa Melayu ianya diperolehi melalui pergaulan, pengalaman dan pembelajaran secara formal mahupun tidak formal.


Morfologi

Menurut Nik Safiah Karim, at el. (2008) dalam bukunya Tatabahasa Dewan mendefinisikan morfologi sebagai satu bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan sebagai susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.

Di samping itu, Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam (1986) (dalam modul) pula mendefinisikan morfologi sebagai satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukannya. Selain itu, Marzukhi Nyak Abdullah & Samsu Yaacob (1993) (dalam modul) turut mendefinisikan morfologi sebagai kajian tentang struktur dalaman kata-kata atau bentuk-bentuk kata. Bidang ilmu bahasa yang membicarakan atau mempelajari selok belok struktur kata serta pengaruh perubahan-perubahan struktur kata terhadap golongan dan erti kata.

Pelbagai pandangan turut diberikan berhubung dengan bidang morfologi ini di mana Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) (dalam modul) menyatakan ianya merupakan kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa termasuk infleksi (pengimbuhan), terbitan dan pemajmukan. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu (tatabahasa) dikenali sebagai morfem. Morfem merupakan unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Perkataan ialah bentuk bahasa yang terkecil juga, tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat.

Sesuatu perkataan itu dibentuk daripada satu morfem atau lebih. Perkataan ajar, misalnya, terdiri daripada satu morfem, tetapi perkataan mengajar pula mengandungi dua morfem, iaitu meng- dan ajar. Ada perkataan yang mengandungi lebih daripada dua morfem. Morfem boleh bersifat bebas atau terikat.  Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian.  Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain.  Sebagai contoh, perkataan sekolah dan laut ialah morfem-morfem bebas, tetapi imbuhan  ber-  dalam bersekolah  dan –an  dalam lautan  ialah morfem-morfem terikat, oleh sebab unit-unit itu tidak boleh wujud tanpa kata dasar.


Kesimpulannya, proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam kebanyakan bahasa proses pembentukan perkataan melibatkan pengimbuhan. Jelas, morfologi merupakan satu bidang bahasa yang penting dan harus difahami dengan baik.