Menurut
Nik Safiah Karim, at el. (2008) dalam bukunya Tatabahasa Dewan mendefinisikan
morfologi sebagai satu bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan
kata. Dengan struktur kata
dimaksudkan sebagai susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang
menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa,
sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan
penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan
keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.
Di samping itu, Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam (1986)
(dalam modul) pula mendefinisikan morfologi sebagai satu bidang dalam kajian
bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukannya. Selain
itu, Marzukhi Nyak Abdullah & Samsu Yaacob (1993) (dalam modul) turut
mendefinisikan morfologi sebagai kajian tentang struktur dalaman kata-kata atau
bentuk-bentuk kata. Bidang ilmu bahasa yang membicarakan atau mempelajari selok
belok struktur kata serta pengaruh perubahan-perubahan struktur kata terhadap
golongan dan erti kata.
Pelbagai pandangan turut diberikan berhubung dengan
bidang morfologi ini di mana Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) (dalam modul)
menyatakan ianya merupakan kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa
termasuk infleksi (pengimbuhan), terbitan dan pemajmukan. Dalam morfologi, unit
terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu (tatabahasa) dikenali sebagai
morfem. Morfem merupakan unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Perkataan ialah bentuk
bahasa yang terkecil juga, tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat
berdiri sendiri dalam ayat.
Sesuatu perkataan itu
dibentuk daripada satu morfem atau lebih. Perkataan ajar, misalnya,
terdiri daripada satu morfem, tetapi perkataan mengajar pula mengandungi
dua morfem, iaitu meng- dan ajar. Ada perkataan yang mengandungi
lebih daripada dua morfem. Morfem boleh bersifat bebas atau terikat. Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud
bersendirian. Sebaliknya, morfem terikat
ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain. Sebagai contoh, perkataan sekolah dan
laut ialah morfem-morfem bebas, tetapi imbuhan ber- dalam bersekolah dan –an dalam lautan ialah morfem-morfem terikat, oleh sebab
unit-unit itu tidak boleh wujud tanpa kata dasar.
Kesimpulannya, proses
pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut
peraturan sistem morfologi bahasa itu. Dalam kebanyakan bahasa proses
pembentukan perkataan melibatkan pengimbuhan. Jelas, morfologi merupakan satu bidang bahasa yang
penting dan harus difahami dengan baik.
No comments:
Post a Comment