Bidang fonetik dan fonologi dalam
bahasa, banyak pengkaji telah membuat kajian mereka berserta dengan
generalisasi yang tertentu bagi memperkukuhkan dapatan dan hujah mereka. Fonetik
adalah proses mengkaji bunyi bahasa. Menurut Abdul Hamid Mahmood & Nurfarah
Lo (2007) bunyi adalah kesan yang didengar oleh telinga yang berlaku apabila
udara dari paru-paru keluar melalui pita suara ke rongga tekak, kemudaian terus
keluar ke rongga hidung. Semasa udara keluar melalui rongga tekak dan rongga mulut
atau rongga hidung, udara mungkin mengalami gangguan atau sekatan atau mungkin
tidak. Uadar yang keluar dalam bentuk gelombang itu mengenai bahagian gegendang
telinga dan terhasillah bunyi. Harimurni Kridalasana (1984) dalam kamus
Linguistik mentarifkan fonetik sebagai ‘ilmu yang menyelidiki penghasilan,
penyampaian dan penerimaan bunyi bahasa’. Manakala Abdullah Hassan (1993) pula
memberi penjelasan bahawa fonetik adalah ‘pengkajian terhadap unsur-unsur dalam
bentuk bunyi’ (dlm. Modul Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, 2012).
Turut menyatakan pandangan, Abdullah Hassan, et al.(2006)
menjelaskan bunyi bahasa sebagai bunyi-bunyi yang dipersetujui oleh masyarakat
penuturnya sebagai sesuatu yang bermakna. Bagi sarjana barat, tarifan mereka
terhadap fonetik dikatakan sebagai ‛the
body of speech sounds of any one language, and their telation to one another,’
(C.L.Barnhart & R.K.Banhart,1981). Manakala bagi Fonologi ianya menjurus
kepada mengkaji bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa itu (Abdullah
Hassan, 1993). Seorang lagi sarjana tempatan iaitu Harimurti Kridalaksana
(1984) memberikan definisi fonologi sebagai bidang dalam linguistik yang
menyelidiki bunyi-bunyi bahasa mengikut fungsinya. Sarjana barat
Parker,F.(1947) mengatakan fonologi sebagai ‛...suatu bidang yang mengkaji
sesuatu bahasa, iaitu rumus-rumus yang menentukan sebutan.’ Sementara J. Clark
dan C. Yallop (1995) menegaskan, ‘phonology
is concerned with the organization of speech within specific languages.’ Jelas
menunjukkan bahawa bidang fonetik dan fonologi adalah berkait rapat dan
menjurus kepada aspek bunyi-bunyi bahasa dan sebutannya.
Dalam aspek pemerolehan bahasa, Jacobson ingin mengetahui
sejauh mana hubungan antara proses pembelajaran bahasa usia kanak-kanak dengan
teori fonologi (Paitoon, 2002). Dalam hal ini, Jacobson telah dapat
menghasilkan rumus-rumus yang memperlihatkan perkembangan bahasa kedua-dua orang
kanak-kanak yang dikajinya. Rumus-rumus tersebut adalah seperti, rumus yang
pertama ialah pemerolehan bahasa kanak-kanak yang ada hubungannya dengan kajian
fonologi. Menurut beliau, kanak-kanak mula mempelajari bahasa dengan
mengungkapkan bunyi bahasa terlebih dahulu. Seterusnya, pemerolehan bahasa
kanak-kanak berlaku secara berperingkat-peringkat berdasarkan perkembangan alat
penghasilan bunyi bahasa. Manakala peringkat ketiga, adalah bunyi vokal lebih
mudah disebut daripada bunyi konsonan.
Bagi seseorang kanak-kanak yang berusia rendah, terdapat
banyak teori pembelajaran yang dapat dikenal pasti berhubung dengan pemerolehan
bahasa seperti Teori Behaviorisme, Teori Mentalis, dan Teori Interaksionalis.
Secara umumnya, kanak-kanak yang mula-mula belajar berbahasa berlaku secara
semulajadi (natural) tanpa perlu
menghadiri kelas-kelas formal sebaliknya berlaku tanpa disedari oleh mereka.
Justeru, dapat dikatakan bahawa bidang fonetik dan fonologi adalah proses dan
tindakan mempelajari bahasa. Dalam konteks bahasa Melayu ianya diperolehi
melalui pergaulan, pengalaman dan pembelajaran secara formal mahupun tidak
formal.
No comments:
Post a Comment