Translate

Friday 7 June 2013

Lukisan Bertindak Sebagai Alat Komunikasi

Perkembangan menyeluruh aktiviti seni, khususnya lukisan sangat penting kepada seseorang kanak-kanak. Kanak-kanak mempunyai rangsangan dan persepsi kendiri yang sangat kuat berhubung dengan diri sendiri. Melalui aktiviti lukisan ini, kebolehan serta kreativiti kanak-kanak dapat dipupuk dengan baik. Penghasilan sesuatu lukisan oleh kanak-kanak ditunjukkan oleh mereka melalui simbol-simbol tertentu yang bersifat abstrak. Pada usia yang masih rendah gaya dan corak lukisan mereka masih kurang jelas dan bermotif.
          Tanggapan yang mengatakan sesuatu lukisan itu sebagai alat komunikasi memang tepat. Kanak-kanak yang belum dapat bercakap pada usia kanak-kanak meluahkan perasaan dan kreativiti melalui lukisan secara tidak sedar. Karya lukisan secara tidak sedar ini sangat unik sifatnya kerana mempunyai perlambangan yang sukar ditafsir oleh golongan yang berbeza. Namun begitu, lukisan itu tetap  menjadi alat komunikasi yang benguna dan penting bagi kanak-kanak. Proses interaksi mereka dengan lukisan dapat menjalin perhubungan yang rapat dengan orang lain kerana proses komunikasi adalah melibatkan hubungan dua hala berlaku dan membentuk kefahaman bersama. Komunikasi juga dikatakan sebagai satu proses ke arah mewujudkan kesamaan dan berkongsi maklumat sama ada secara lisan atau sebaliknya dan mencipta makna terhadap maklumat itu (Siti Zobidah Omar dan Romaiza Bidin, 2001). Komunikasi turut disifatkan sebagai satu keperluan yang amat penting dan berguna kepada manusia, khususnya kanak-kanak. Dalam kehidupan seharian mereka, kanak-kanak memerlukan bantuan daripada individu-individu lain. 
Justeru, proses saling bergantung tersebut diuruskan melalui komunikasi dengan orang lain seperti ibu bapa, rakan dan lain-lain. Oleh itu, komunikasi mempunyai maksud yang luas dalam proses perkongsian makna, penyaluran dan penerimaan maklumat dalam kalangan individu. Di samping itu, A.L.Ramaiah (1999) turut menyatakan bahawa komunikasi adalah satu proses antara perseorangan yang melibatkan pertukaran idea, maklumat dan pendapat ataupun melibatkan penghantaran dan penerimaan simbol yang bermakna. Jadi, kanak-kanak yang menghasilkan sesuatu lukisan yang bersifat simbol abstrak membentuk komunikasi mereka dengan cara tersendiri dengan penuh makna.
Kajian Victor Lowenfeld dan Brittain (1982) menjelaskan teori perkembangan artistik kanak-kanak yang merangkumi peringkat umur dari 2-14 tahun. Kajian ini memperlihatkan perkembangan artistik kanak-kanak yang mengandungi lima peringkat utama iaitu peringkat scribbling, peringkat preschematic, peringkat schematic, peringkat dawning realism, peringkat pseudonaturalistic dan peringkat adolescent art. Lukisan kanak-kanak ini mengikut mereka melalui perkembangan yang disesuaikan dengan bahan, subjek dan  persekitaran yang sesuai. Kanak-kanak akan menghasilkan lukisan mereka berdasarkan pengalaman seharian, bahan konkrit dan disesuaikan dengan tahap perkembangan mereka. Keadaan ini akan memberi ruang dan perkembangan yang cukup luas bagi kanak-kanak berkomunikasi secara sihat dengan lukisan mereka kerana lukisan yang dihasilkan mempunyai pemeringkatan yang konkrit dan nyata apabila usia mereka meningkat. Oleh itu, satu bentuk komunikasi yang baik dan berkesan dapat berlaku melalui lukisan mereka kerana mesej yang cuba disampaikan mempunyai makna tertentu.

No comments:

Post a Comment