Translate

Sunday 14 July 2013

Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat

1.  Persekutuan berasal daripada perkataan Greek iaitu foedus yang membawa maksud perjanjian. Persekutuan merupakan gabungan beberapa wilayah atau negeri di bawah satu perlembagaan pusat.

2.   Sistem persekutuan adalah satu sistem pemerintahan yang mengandungi 2 kerajaan iaitu kerajaan pusat dan negeri yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara tertentu.

3.     Walaupun negeri-negeri ini berada di bawah pemerintahan pusat, negeri-negeri ini diberi kebebasan untuk mengubal undang-undang sendiri berdasarkan kepada adat dan budaya tempatan.

4.     Amerika Syarikat merupakan kerajaan persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri yang pernah menjadi koloni Britian, kemudian menjelang akhir abad ke-19 telah menjadi 50 buah negeri. Pusat pemerintahannya terletak di Washington dan Presiden sebagai ketua kerajaan.

PERKEMBANGAN SEJARAH AMERIKA SYARIKAT

1.          Sebelum tertubuhnya kerajaan persekutuan Amerika, orang Eropah berlumba-lumba untuk meneroka dan membuat penempatan di benua Amerika seperti orang Sepanyol, Portugis, Perancis, Belanda dan British.

2.          John Cobat merupakan orang pertama meneroka di Amerika pada tahun 1497, diikuti oleh Sir Humphrey Gilbert (1583) dan Sir Walter Raleigh (1584). Kesemua usaha mereka menemui kegagalan kerana mendapat tentangan kaum peribumi Red Indian dan kawasan tersebut tidak sesuai untuk pertanian.

3.          Pada tahun 1607, Kapt. John Smith membuka koloni di Virginia dan berjaya memajukannya kerana memiliki kubu-kubu pertahanan di Jamestown dan wujudnya hubungan baik dengan puak Red Indian. Ini telah mendorong lebih ramai orang British berhijrah ke Amerika untuk memulakan kehidupan baru ekoran kerajaan Britian mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka dan masalah  agama terutama daripada golongan puritan.

4.          Pada tahun 1620, golongan puritan telah mendarat di New Plymounth dan telah mendapat bantuan orang Red Indian untuk menanam jagung. Pada tahun 1621, mereka telah menganjurkan Kenduri Kesyukuran” kerana mendapat hasil jagung yang banyak sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan.

5.          Kedatangan orang British semakin bertambah di Amerika dengan membentuk 13 koloni iaitu telah membuka penempatan koloni di Virginia (1607), Massachusetts dan New Hampshire (1630), Maryland (1634), Connecticut dan Rhode Island (1636), Delaware (1638), Carolina Utara (1653), Carolina selatan (1663), New Jersey (1664), New York (1664), Pennsylvania (1681) dan Georgia (1732).

6.          Pada abad ke-18, Britian dan Perancis mempunyai koloni di Amerika Utara. Pada tahun 1756, telah tercetus Perang Tujuh Tahun (1756-1763) antara Britian dengan Perancis di Eropah. Dalam perang ini Perancis telah kalah dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Paris. Oleh kerana perang ini melibatkan belanja yang besar, Britian mendesak koloni di Amerika membiayai sebahagian perbelanjaan perang tetapi mendapat bantahan penduduk koloni.

7.          Raja George III tidak menghiraukan bantahan ini, sebaliknya memperkenalkan 4 akta bagi mengutip cukai di koloni seperti akta pelayaran, gula, setem dan teh. Penduduk tetap membantah dengan melaungkan slogan tiada cukai tanpa perwakilan” dan ini telah membimbangkan Britian. Britian telah menarik balik kesemua akta kecuali akta teh.

8.          Melalui Akta Teh, hanya SHTI sahaja boleh menjual teh kepada penduduk di koloni-koloni tanpa membayar cukai dan penduduk koloni tidak boleh mengimport teh. Hal ini menimbulkan kemarahan penduduk di koloni. Pada tahun 1773, beberapa orang penduduk koloni menaiki kapal SHTI dan membuang kotak-kotak teh ke laut. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembuangan Teh Boston dan ekoran daripada peristiwa ini pelabuhan Boston telah ditutup pada tahun 1774.

9.          Tindakan Britian ini telah menyebabkan penduduk di koloni bangkit memperjuangkan kemerdekaan mereka daripada Britian. Pada Sept. 1774, pemimpin 13 koloni telah bertemu di Philadelphia dan bersetuju menubuhkan sebuah Kongres (Parlimen Bersatu). George Washington telah dilantik sebagai pemimpin tentera koloni-koloni Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap Britian pada tahun 1775.

10.       Pertempuran telah berlaku di Lexington pada April 1776. Pada Julai 1776, kongres yang bersidang di Philadelphia telah meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika yang ditulis oleh Thomas Jefferson. Melalui pengisytiharan ini, 13 koloni telah digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

11.       Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh tentera Britian seperti di Saratoge (1777) dan Yorktown (1781). Pada tahun 1783, perang telah ditamatkan melalui Perjanjian Versailles iaitu Britian mengakui kemerdekaan Amerika Syarikat dan menyerahkan kesemua 13 tanah jajahannya.


PENGUBALAN PERLEMBAGAAN AMERIKA SYARIKAT

1.    Pada tahun 1787, perwakilan daripada semua negeri telah bertemu di Philadelphia untuk merangka perlembagaan seperti Benjamin Franklin, George Washington, John Adams, Alexander Hamilton, James Madison dan George Mason.

2.          Di bawah perlembagaan ini:
a.      Sebuah kerajaan persekutuan akan diwujudkan
b.   Kerajaan pusat menguasai perkara-perkara penting seperti dasar luar negeri, pertahanan, cukai dan mata wang.
c.      Hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing
d.      Pentadbiran kerajaan akan dibahagi kepada eksekutif, perundangan dan kehakiman.

3.     Pilihanraya pertama Amerika Syarikat telah diadakan pada 4 Nov. 1789 dan George Washington telah dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat yang pertama.

4.         George Washington bertindak untuk mewujudkan perpaduan antara negeri-negeri persekutuan dengan dibantu oleh Thomas Jefferson, Henry Knox, Alexander Hamilton dan John Kay. Antara yang dilakukan oleh Washington ialah memperkenalkan sistem cukai yang adil dan seragam antara negeri, menyeragamkan penggunaan mata wang, menubuhkan Bank Nasional pada tahun 1791, dan memindahkan pusat pentadbiran dari Philadelphia ke Washington.

5.          Bangunan Capitol dan White House telah dibina di Washington sebagai lambang perpaduan dan demokrasi rakyat Amerika Syarikat. Kongres pertama telah diadakan di Capitol pada tahun 1800.

6.   Pada tahun 1812, Perang Inggeris-Amerika telah meletus disebabkan tindakan Britian memeriksa semua kapal Amerika yang menuju ke Eropah untuk menggelakkan bekalan sampai ke tangan musuh. Amerika mengumumkan dasar berkecuali dalam Perang Napoleon. Ini telah menyebabkan Britian menahan dan memeriksa kapal-kapal dagang Amerika dan ini telah menjejaskan kegiatan perdagangan Amerika.

7.          Selepas perang tamat muncul kebimbangan Amerika terhadap aktiviti peluasan kuasa Eropah dalam hal ehwal Amerika sehingga munculnya doktrin Monroe” yang menekankan konsepAmerika untuk orang Amerika” pada tahun 1823. Doktrin ini diwujudkan bertujuan untuk menjaga kepentingan negara daripada pencerobohan kuasa luar terutama Eropah. Amerika juga menegaskan bahawa peperangan akan dilancarkan terhadap mana-mana pihak yang melanggar doktrin ini.

8.          Pada abad ke-19, Amerika telah berkembang daripada 13 buah koloni kepada 50 buah negeri melalui 3 cara iaitu pembelian, perjanjian dan peperangan. Menjelang tahun 1850-an, Amerika telah mempunyai sempadan negeri seperti hari ini.

9.        Walau bagaimanapun, Amerika mula menampakkan pepecahan antara negeri-negeri utara dan selatan. Perpecahan ini semakin serius sehingga meletusnya Perang Saudara pada tahun 1861-1865 antara Kesatuan Amerika Syarikat (Negeri-negeri Utara) dengan Gabungan Negeri-Negeri Amerika (Negeri-Negeri Selatan). Perang ini meletus disebabkan oleh masalah hamba abdi, tindakan negeri-negeri selatan menarik diri dari kesatuan Amerika, perbezaan antara negeri-negeri Utara dengan Selatan dan wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap undang-undang kerajaan pusat.

10.      Perang ini bermula apabila Fort Sumter telah diserang oleh tentera selatan pada 12 April 1861. Pada Sept. 1862 pula tentera selatan telah mengalami kekalahan di Maryland dan di Gettysburg pada Julai 1863. Selepas perang tamat, Abraham Lincoln telah memberi ucapan termasyhur yang dikenali Ucapan Gettysburg” dan berakhir dengan kata-kata...kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat, bagi rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi...”.

11.       Perang saudara ini telah banyak memberi kesan seperti lebih ½ juta orang Amerika terkorban, amalan perhambaan dihapuskan di Amerika dan negeri-negeri Utara dan Selatan bersatu semula.

12.       Selepas tamatnya perang, Amerika Syarikat telah membangun sebagai sebuah negara yang bersatu yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Amerika juga mengalami perubahan ekonomi yang pesat dalam bidang perindustrian, pertanian dan pengangkutan.

Di negara Barat terdapat dua jenis bentuk kerajaan yang diamalkan iaitu negara kesatuan dan negara persekutuan. Pelaksanaan mana-mana bentuk kerajaan ini akan mempengaruhi keharmonian kerajaan pusat dan tempatan di negara masing-masing.

Kerajaan kesatuan merupakan sebuah kerajaan yang memberi kuasa yang luas kepada kerajaan pusat dan menghadkan kuasa kepada kerajaan tempatan (local government). Manakala kerajaan persekutuan pula merupakan sebuah negara yang mengamalkan pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri (kerajaan tempatan).

Bentuk kerajaan kesatuan telah diamalkan di negara Perancis manakala kerajaan persekutuan telah diamalkan di negara Amerika Syarikat.


Kerajaan Kesatuan Di Perancis

Di negara Perancis, kerajaan pusat mempunyai kuasa dalam semua aspek pemerintahan, boleh mengubah sempadan dan kuasa, dan juga boleh membatalkan perundangan yang telah diluluskan oleh peringkat negeri/wilayah. Negara kesatuan Perancis mempunyai beberapa ciri iaitu:

1.     Kerajaan pusat mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan seluruh pemerintahan di negara Perancis.

2. Untuk memudahkan pentadbiran maka kerajaan kesatuan telah membahagikan negara kepada beberapa wilayah atau cawangan dan diberi kuasa untuk mentadbir. Pentadbiran wilayah ini merupakan ejen kerajaan pusat. Walau bagaimanapun kuasa ini boleh ditarik balik oleh kerajaan pusat. Bentuk seperti ini adalah merupakan sistem sentralisasi iaitu pemerintah pusat  memiliki kedaulatan penuh untuk menyelenggara urusan dari pusat ke daerah/wilayah. Pemerintah wilayah hanya melaksana ketetapan pusat.

Terdapat kelebihan jika mengamalkan kerajaan kesatuan iaitu tidak akan berlaku masalah pertindihan kerana sebarang percanggahan antara pengubal dengan pelaksana dasar dapat dielakkan. Hal ini kerana segala keputusan akan dibuat oleh kerajaan pusat dan dengan ini pemerintahan akan dapat dijalankan dengan mudah, teratur dan berkesan.
Namum kerajaan kesatuan juga mempunyai kelemahannya tetapi dengan segera dapat diatasi oleh kerajaan pusat dengan menyesuaikan pentadbiran dengan keperluan semasa.

Kerajaan kesatuan sesuai dilaksanakan bagi sebuah negara seperti Perancis kerana mempunyai keluasan geografinya tidak luas atau besar dan mempunyai jumlah penduduk tidak terlalu ramai. Pengaruh geografi yang tidak begitu luas lebih memudahkan komunikasi dua hala dan sebarang keputusan boleh dilaksanakan secepat mungkin tanpa berlakunya amalan red tape.

Setelah revolusi Perancis berlaku pada tahun 1789, telah banyak berlaku perubahan di Perancis iaitu sistem pemerintahan beraja telah dimansuhkan, sistem feudal dihapuskan, hak istimewa golongan bangsawan telah ditamatkan dan berkembangnya semangat nasionalisme di Perancis.

Setelah sistem pemerintahan beraja dan sistem feudal dihapuskan di Perancis, pada tahun 1790 pentadbiran baru telah dibentuk iaitu negara Perancis telah dibahagikan kepada 83 department (wilayah) dan setiap wilayah dibahagi pula kepada cantons (daerah) dan daerah pula dipecahkan kepada commune.

Pentadbiran department akan diketuai oleh Prefet yang dilantik oleh kerajaan pusat. Prefet bertanggungjwab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri dan berperanan untuk menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan.

Disetiap department telah ditubuhkan sebuah majlis iaitu General Council. Ahli-ahlinya dilantik oleh pemerintah peringkat pusat. Majlis ini merupakan institusi tempatan yang menghubungkan penduduk tempatan dengan kerajaan pusat.

Commune pula berperanan untuk mentadbir kawasan bandar yang diketuai oleh Datuk Bandar (Mayor) sebagai ketua eksekutif. Datuk Bandar pula akan dibantu oleh Majlis Bandaran (Municipal Council). Institusi commune berperanan mengendalikan perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran bandar seperti meluluskan permit bangunan, menjaga keselamatan penduduk, dan menguruskan pendaftaran perkahwinan. Datuk Bandar akan menjadi wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Datuk Bandar berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang tempatan, mendaftar jurutera awam, menguruskan pekerja dikawasannya dan sebagainya. Walau bagaimanapun segala keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh dipinda, diubah atau dibatalkan oleh kerajaan pusat.

Commune merupakan institusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan seperti pejabat pendaftaran, mahkamah rendah, jabatan kerja raya, polis tempatan dan sebagainya.

Penyatuan Negara Jerman

1.   Sebelum abad ke-19M, Jerman mempunyai 360 negeri kecil di bawah pemerintahan masing-masing. Pada awal abad ke-19M, Jerman telah dikuasai oleh Perancis di mana Perancis telah melucutkan takhta raja serta mengubah sempadan Eropah. Perancis telah membentuk semula struktur pemerintahan Jerman dan mencantum negeri-negeri kecil di Jerman.

2. Selepas Perancis kalah pada tahun 1815, Persidangan Viena telah dibuat dan mereka bersetuju untuk mencantumkan Jerman kepada 39 buah negeri sahaja (Pengabungan Jerman) yang terdiri daripada Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Honaver dan Saxony.

3. Sebelum tahun 1871, penyatuan Jerman tidak berjaya kerana wujud beberapa faktor penghalang seperti kebangkitan revolusi pada tahun 1848, persaingan antara kuasa Austria dan Prusia iaitu yang mana lebih dominan jika Jerman disatukan dan ramai golongan nasionalis Jerman berselerak di Eropah malah ada yang telah menetap di Amerika.

4. Walaupun wujud faktor-faktor penghalang, usaha untuk penyatuan Jerman tetap wujud bermula pada tahun 1815 iaitu selepas tamat perang Napoleon melalui Kongres Vienna. Dalam Kongres Vienna 1815, menetapkan Persekutuan Jerman sebagai negeri penampan kepada penaklukan Perancis dan keadaan ini mendorong kepada kerjasama ekonomi yang turut menyemai penyatuan dalam bidang politik.

5.  Pada tahun 1818, Kesatuan Kastam (Zollverein) telah ditubuhkan di Prusia. Persatuan ini telah berusaha menghapuskan cukai antara wilayah bagi menggalakkan aktiviti perdagangan. Ini telah mendorong negeri-negeri di Jerman untuk menyertai persatuan pada tahun 1854 kecuali Austria. Perkembangan perdagangan ini telah menyebabkan negeri di Jerman menganggap Prusia sebagai pemimpin politik Jerman.

Proses Penyatuan Jerman

1.   Prusia dilihat sebagai memainkan peranan efektif ke arah penyatuan Jerman, apabila William 1 ditabalkan sebagai Raja Prusia yang baru pada 1861 percaya Prusia boleh memimpin penyatuan Jerman. Beberapa langkah ke arah tersebut telah dilaksanakan seperti memperbesarkan angkatan tentera melalui penambahan pegawai tentera, rekrut tentera yang ramai dan memanjangkan perkhidmatan sukarelawan kepada 3 tahun.

2.  Untuk merealisasikan tujuan tersebut, William 1 telah melantik Otto von Bismark, iaitu seorang junkers (tuan tanah) yang pernah menjadi ahli parlimen (1847), duta Prusia ke Rusia dan Perancis pada tahun 1859 dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru pada tahun 1862. Tugas utama Bismark ialah menjinakkan ahli-ahli parlimen Prusia supaya patuh kepada kehendak  kerajaan dan raja. Namun apabila parlimen menolak permintaan William 1, Bismark telah bertindak secara lebih agresif dalam merealisaikan proses penyatuan Jerman .

3. Sebagai Perdana Menteri, Bismark merancang untuk mengukuhkan pasukan tentera dan memperkasakan ekonomi Prusia agar dapat mengurangkan pengaruh Austria dalam kalangan negeri-negeri Jerman.

4. Untuk melaksanakan dasar ini, Bismark melibatkan Prusia dalam tiga peperangan. Peperangan pertama Bismark ialah menentang Denmark atas isu daerah Schleswig dan Holstein yang diperintah oleh Raja Denmark. Kedua-dua daerah ini mempunyai majoriti bangsa Jerman yang telah menyatakan sokongan kepada Bismark. Untuk mencapai tujuan tersebut, Bismark telah memujuk Austria supaya bersama memerangi Denmark pada 1864. Perang Prusia-Denmark ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Gastein pada Ogos 1865. Mengikut perjanjian ini menyaksikan Austria diberi hak untuk mentadbir Holstein manakala Prusia mengawal Schleswig.

5.  Namun demikian usaha penyatuan Jerman tidak dapat dilakukan sekiranya Austria tidak dapat ditakluki. Justeru itu, Bismark mula mendapat sokongan daripada sekutunya di Eropah untuk membantu. Beliau telah menawarkan bantuan kepada Rusia ketika Rusia berhadapan dengan pemberontakan di Poland. Manakala di Itali pula, Bismark telah menandatangani perjanjian pada 1866, iaitu Prusia akan membantu Itali untuk mendapatkan wilayah Venetia yang dikuasai oleh Austria.

6.   Bismark mendapat persetujuan William 1 serta ketua-ketua tentera untuk memerangi Austria namun ditentang oleh Parti Progresif yang menguasai parlimen. Bagi mengatasi senario tersebut, Bismark telah bertindak memberikan hak mengundi kepada semua lelaki dewasa dalam pilihanraya dan bukannya hanya kepada golongan lelaki bangsawan seperti yang diamalkan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan Parti Progresif kehilangan banyak kerusi di parlimen.

7. Bagi meneruskan misinya, Bismark telah mengistiharkan perang ke atas Austria apabila menghantar tentera ke Holstein pada 15 Jun 1866 dengan menuduh pihak Austria melanggar Perjanjian Gastein iaitu kerajaan Austria telah melayan dengan buruk orang-orang Jerman yang berada di Austria. Perang ini mengambil masa selama 7 minggu, oleh sebab itu ia dikenali Perang Tujuh Minggu.

8.  Tentera Austria telah dikalahkan di Sedowa dan perang ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Prague pada tahun 1866. Mengikut perjanjian ini Austria dikeluarkan daripada kesatuan ini serta Austria serah Holstein kepada Prusia dan wilayah Venetia diserahkan kepada Itali. Kejayaan ini telah membolehkan Bismark mengabungkan semua negeri-negeri utara Jerman menjadi Pergabungan Jerman Utara.

9.  Prusia berhadapan dengan Perancis dalam usaha menyatukan negeri-negeri Jerman. Napoleon III tidak akan menyokong rancangan Prusia memimpin penyatuan Jerman. Selepas tamat Perang Prusia-Austria, Perancis mula bimbang kebangkitan Prusia sebagai kuasa kuat di Eropah. Ini telah mendorong Perancis menuntut agar negeri-negeri Selatan Jerman diserahkan kepada Perancis sebagai balasan pertolongan Perancis kepada Prusia mengalahkan Austria.

10.Dengan menggunakan tipu helah, Bismark telah berjaya memujuk negeri-negeri Selatan Jerman bersatu dengan Prusia. Selepas itu, berusaha memujuk sekutu-sekutu Perancis supaya tidak membantu Perancis. Dalam meneruskan misinya Bismark telah melancarkan perang ke atas Perancis pada Julai 1870. Perancis berjaya dikalahkan oleh Prusia pada tahun 1871 dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Frankfurt.

11. Mengikut perjanjian ini, Perancis serah wilayah Alsace dan Lorraine serta membayar ganti rugi perang sebanyak 3 ribu juta kepada Prusia. Selepas berjaya mengalahkan Perancis, Bismark telah menyatukan Jerman menjadi Empayar Jerman yang mengandungi 25 negeri kecuali Austria.

12. Pada 18 Januari 1871, Raja William 1 dilantik sebagai Kaiser Jerman manakala Bismark menjadi Cancellor (Perdana Menteri). Walaupun setiap negeri mempunyai pemerintah sendiri dan ada sesetengahnya mempunyai tentera dan pegawai diplomatik, namun Kaiser mengetuai pentadbiran pusat. Kaiser berkuasa untuk mengarahkan tentera sewaktu peperangan dan menentukan dasar luar.

13. Selepas berjaya menyatukan Jerman (1871), Bismark berusaha untuk mewujudkan keamanan di dalam dan luar negeri Jerman, membangunkan negara dan mengamalkan dasar berhati-hati dalam menjalinkan hubungan persahabatan dengan negara-negara Eropah. Bismark juga telah menanda tangani perjanjian 3 kuasa iaitu antara Prusia dengan Itali dan Austria yang dikenali sebagai Perikatan Bertiga. Tujuannya untuk menggelakkan daripada Perancis menyerang Jerman.

14.  Bismark juga telah memperkenalkan perlembagaan Jerman dengan menubuhkan parlimen yang mengandungi Majlis Persekutuan dan Diet Maharaja. Bismark juga berusaha menyekat pengaruh gereja, menyeragamkan sektor ekonomi, membangunkan sektor perindustrian, memajukan sektor pertanian dan perdagangan serta pemulihan sosial.



No comments:

Post a Comment