Translate

Sunday 14 July 2013

Pesta Kaul

Pesta Kaul merupakan pesta keramaian yang menggabungkan unsur keagamaan, kepercayaan dan adat resam.  Pesta Kaul sangat penting pada masa dahulu sebagai penyembahan terhadap makhluk halus. Pesta ini diadakan untuk menjamu ‘ipok’ atau roh yang menjaga dan mengawal seluruh pelosok alam. Semasa meraikan upacara Kaul mereka berdoa kepada ipok supaya dimurahkan rezeki, mengelakkan segala bencana dan malapetaka serta meminta agar mereka sentiasa sihat untuk menjalankan kegiatan pertanian dan turun ke laut untuk menangkap ikan.
Masyarakat melanau menyambut Pesta Kaul menggunakan kalendar yang berlandaskan kedudukan bulan. Bulan pertama dikenali sebagai pengejin dan upacara kaul diadakan pada bulan tersebut. Bulan-bulan lain dalam masyarakat Melanau ialah seperti bulan pengelawak umik, bulan pengelawak ayang, bulan pelepak, bulan paka umik, bulan pakar ayang, bulan pegalan, bulan suah, bulan pidai, bulan penangih, bulan pamelai dan bulan pengasiseang. Kenyataan ini dikukuhkan lagi dalam penulisan buku oleh Jasmin Ahmad dan Nora Hj. Samat yang bertajuk Perayaan Pelbagai Kaum. Edaran satu bulan pulan dibahagi kepada tiga tahap iaitu musit, lengadeang, dan matai. Bulan pengejin ialah bulan yang dipercayai membawa banyak rahmat dan ini adalah permulaan tahun baharu bagi masyarakat melanau.Selepas pesta ini nelayan boleh turun ke laut menangkap ikan dan petani boleh pergi ke ladang tanpa sebarang gangguan kerana rezeki mereka akan dijangka bertambah .
Terdapat beberapa peraturan yang dikenakan semasa Pesta Kaul diadakan iaitu tidak dibenarkan keluar menangkap ikan pada waktu pagi di hari perayaan kerana Pesta Kaul ini menandakan bermulanya tahun baru serta dengan kata lain tamatnya, musim hujan dan nelayan boleh menangkap ikan kerana cuaca dijangka baik .
Apabila upacara Pesta Kaul diadakan, seorang lelaki yang mempunyai kedudukan akan dilantik sebagai ketua dan digelar sebagai Bapak Kaul. Kenyataan ini dikukuhkan lagi oleh Jasmin Ahmad dan Nora hj. Samat dalam bukunya yang bertajuk Perayaan Pelbagai Kaum. Jawatan ini sangat penting dalam acara Pesta Kaul. Bapak Kaul ini berperanan sebagai orang tengah atau orang perantaraan yang menghubungkan ipok dan manusia. Dalam memastikan upacara Kaul ini berjalan mengikut peraturan dan adat turun-temurun  Bapak Kaul bertanggungjawab untuk memastikan upacara yang dijalankan betul. Tambahan juga, Bapak Kaul merupakan tonggak utama upacara Pesta Kaul ini. Beliau bertanggungjawab memujuk, merayu kepada makhluk halus atau ipok serta menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin akan menimpa sesiapa sahaja malah bertanggungjawab memastikan pantang larang dipatuhi dan mereka yang ingkar akan dihukum.
Bapak Kaul ini berasal daripada keturunan Sepok di Dalat, Mukah. Menurut sumber, orang lain tidak boleh menjadi Bapak Kaul kerana  beberapa orang dari generasi ini telah menjadi Bapak Kaul dan amalan ini belum lagi dilanggar kerana penduduk takut sesuatu yang tidak baik akan menimpa mereka sekiranya mereka ingkar. Menurut sumber juga, difahamkan sudah sembilan orang daripada keturunan Sepok dilantik menjadi Bapak Kaul, dengan Agut Ujo sahaja telah memegang peranan tersebut sebanyak dua kali. Mereka ini dipercayai mempunyai keramat untuk menjalankan upacara ini.
Persediaan perlulah dilakukan sebelum Pesta Kaul dijalankan. Bahan yang diperlukan untuk dipersembahkan kepada ipok kala ialah bertih, kuih penyaram, beras kuning, papit, pais, rokok daun  nipah dan sirih pinang. Bahan–bahan tersebut akan diletakkan dalam tujuh buah bekas yang diperbuat daripada daun nipah dan bekas ini akan dimasukkan dalam talam yang dipanggil serahang. Kebanyakkan serahang dibuat oleh wanita kerana wanita dikatakan lebih teliti dan sesuai dengan sifat wanita yang lemah lembut. Serahang ini dibuat berdasarkan motif tertentu. Motif–motif pada serahang turut melambangkan imej ipok laut, darat dan udara. Berdasarkan pemerhatian, serahang bukan sahaja memerlukan ketelitian yang tinggi tetapi juga kesabaran dan daya kreativiti yang bermutu dengan mengambil kira unsur tertentu dalam Pesta Kaul dan sistem kepercayaan masyarakat.Tambahan juga, sumber turut menyatakan serahang berasal daripada perkataan ‘serahan’ iaitu barang persembahan kepada ipok. Serahang mempunyai ketinggian sekitar tujuh kaki yang mempunyai bentuk serta unsur-unsur tersendiri. Komponen yang terdapat pada serahang tersebut mestilah lengkap tanpa sebarang kecacatan kerana serahang yang tidak lengkap dan tidak sempurna akan mengundang kemarahan ipok dan akhirnya bala akan menimpa kepada sesiapa yang membuatnya.
            Penghulu atau wakilnya akan memukul gong atau canang tujuh hari sebelum upacara Pesta Kaul diadakan. Hal ini disebabkan, penduduk kampung dapat menyelesaikan kerja-kerja mereka di hutan mehupun di laut sebelum Pesta Kaul. Bukan itu sahaja, canang atau gong juga akan turut dipukul sekali lagi tiga hari sebelum kaul untuk mengingatkan penduduk kampung supaya menyelesaikan kerja mereka dengan segera dan memberi peluang kepada setiap keluarga untuk menyediakan makanan bagi jamuan pesta kaul dan turut menghias bahuong
            Selain itu, semua keluarga dari kampung yang terlibat akan turun membawa jamuan ke tempat upacara kaul. Setiap ahli keluarga dimestikan untuk menghadirkan diri kecuali orang yang telah uzur. Semua serahang yang telah dibuat akan didirikan di sekitar pantai atau muara sungai tempat pesta kaul itu diadakan. Upacara ini akan dimulakan dengan jampi mantera oleh ketua kaul yang ditujukan kepada ipok kala. Tujuh batang lilin akan dinyalakan. Tujuan lilin ini dinyalakan kerana kononnya untuk mewakili setiap lapisan bumi dan menerangi mereka yang telah meninggal dunia. Beras kuning akan ditabur oleh bapak kaul di sekitar kawasan serahang dan kepada barisan penduduk kampung yang sedang menghadapi makanan. Ketua kaul akan memberi arahan supaya hidangan dinikmati dan penduduk yang hadir turut boleh menikmati hidangan yang dibawa oleh keluarga lain kerana perbuatan ini sangat disukai oleh ipok kala dan dipercayai boleh menambah rezeki mereka yang melakukannya. Upacara ini dapat dibuktikan melalui buku Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
            Selesainya jamuan, ketua kaul dan pembantunya akan membawa serahang tersebut ke tempat yang dipercayai didiami oleh makhluk halus. Persembahan ini sangat penting bagi masyarakat Likau kerana untuk mengelakkan ipok yang mendiami kawasan tersebut marah sehingga boleh menimbulkan malapetaka. Setelah itu barulah acara hiburan akan diadakan.Antara acara hiburan yang akan diadakan ialah acara lumba perahu, pencak silat, main tibau, main gasing, mengalai dan tarian tradisional masyarakat Melanau seperti tarian buluh, tarian mengarang, dan tarian serahang.
            Tibau ialah permainan tradisi masyarakat Melanau yang sangat popular di Sarawak. Tibau dibina daripda beberapa batang buluh atau nibung kayu mahupun kayu keras. Ia berbentuk rak atau pemidang yang bertingkat-tingkat dan berbentuk piramid. Kebiasaannya, ketinggian tibau ini adalah antara 8-10 m dan juga dibina dalam keadaan yang condong di atas tanah yang rata. Tibau dibina kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama ialah mempunyai para tau pemidang yang menyerupai tangga dan bahagian kedua pula terdiri daripada dua batang tiang yang berbentuk piramid itu tadi. Pada bahagian ini terdapat juntaian tali daripada rotan dan rotan ini akan dihayun seperti sebuah buaian. Kedua-dua bahagian ini perlulah dibina dengan kukuh demi keselamatan pemain.
            Menurut pemerhatian, tibau ini lazimnya dimainkan di kawasan yang lapang. Kebiasaannya, tapak untuk permainan ini haruslah lembut dan tidak mempunyai batu yang boleh membahayakan pemain. Tujuan permainan ini ialah untuk menguji semangat dan keberanian peserta kerana permainan ini walaupun kelihatan mudah tetapi turut memerlukan tenaga yang tinggi. Bagi orang muda pula, ini merupakan peluang mereka untuk pertemuan antara teruna dan dara.
            Menurut cerita, permainan tibau ini bermula apabila Kampung Pentian diserang sejenis penyakit yang boleh membawa kepada kematian.  Kampung ini dikatakan sunyi sepi, seolah-olah mati. Suasana murung menyelubungi penduduk kampung ini. Kemudian terdapat seorang lelaki tua bermimpi di kampung tersebut. Dalam mimpinya ada seekor helang membawakan sejenis alat permainan yang bernama ‘tibau’ untuk menghidupkan kembali suasana di kampung Pentian yang diselubingi kemurungan itu. Berita tentang mimpi itu kemuadiannya dihebahkan kepada seluruh kampung. Oleh kerana mereka percaya akan kebenaran mimpi tersebut, penduduk kampung bekerjasama membina alat permainan yang dianggap aneh itu. Sejak dari itulah, tibau diterima sebagai sebahagian daripada upacara dalam sebarang keramaian yang diadakan oleh masyarakat Melanau setempat. Kenyataan ini dibuktikan dan dikukuhkan lagi dalam buku Shahnil Asmar Saaid dan Mohamed Roselan Malek yang bertajuk permainan tradisional.
Tarian mengalai merupakan salah satu tarian yang diadakan semasa Pesta Kaul. Tarian mengalai ini adalah tarian kedua popular di kalangan masyarakat Melanau. Tarian ini mempunyai banyak aksi yang menarik dan menakjubkan. Tarian ini ditarikan oleh kaum lelaki dan perempuan. Para penari ini akan menggunakan pakaian tradisional masyarakat Melanau yang berwarna hitam. Tarian mengalai adalah tarian yang menggunakan pergerakan burung kenyalang sebagai asas dan kebanyakkan penari akan menari secara berselang-seli antara lelaki dan perempuan.



3 comments:

  1. salam sejahtera. saya ingin meminta izin utk menggunakan info tuan mengenai pesta kaul ini untuk tujuan dokumentari hubungan etnik. terima kasih :)

    ReplyDelete
  2. terima kasih ya
    menggunakan ini untuk folio sejarah saya

    ReplyDelete
  3. Salam sejahtera, saya mohon izin untuk menggunakan blog tuan sebagai bahan referens bagi projek portfolio antara budaya saya

    ReplyDelete