Translate

Tuesday 21 May 2013

Kepentingan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Pendidikan Negara


Pendidikan merupakan proses asas dan utama dalam pembinaan seseorang individu yang seimbang dan baik serta boleh menjayakan hasrat serta hala tuju Negara Konsep asas yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah mengenai nilai ilmu dan peranan ilmu dalam membangunkan insan dan masyarakat secara am nya. Nilai ilmu bukan sahaja menerangkan kepada manusia mengenai sesuatu perkara, malah hal yang lebih penting adalah bagaimana ilmu tersebut boleh mempengaruhi, mengubah dan membentuk seseorang individu dan masyarakat. Nilai sesuatu ilmu adalah tinggi apabila ia boleh mengubah diri serta masyarakat dan proses ini adalah proses sepanjang hayat.

Ini adalah selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menginginkan pembangunan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan wawasan 2020 melalui aktiviti pendidikan. Modal insan yang ingin dihasilkan juga mestilah mampu berfikir secara kritis, kreatif, menyelesaikan masalah serta mampu mencipta peluang-peluang baru seseuai dengan persekitaran global yang sering berubah-ubah (Zulfahmi, 2008).

Dalam konteks Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), hasrat agar matlamat pendidikan Negara tercapai berteraskan Falsafah Pendidikan Negara  (1988) dan seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada tahun 1993 Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dijenamakan semula dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah serta menggantikan mata pelajaran seperti Alam Dan Manusia dengan Sains dan Kajian Tempatan pada tahun 1994. Usaha ini bertepatan  dengan mengakui bahawa dengan peredaran zaman yang membawa bersama pelbagai perubahan dan cabaran baru, sudah tiba masanya kita melihat semula pelaksanaan agenda ini. Ini termasuklah usaha memperbaiki kelemahan yang wujud, memantapkan strategi dan pendekatan sedia ada dan sekali gus merintis pembaharuan (pioneering change) terhadap sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

Bagi Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai-nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar. Dalam edisi penyemakan Matematik ini, kesepaduan dan kesinambungan unsur-unsur ini diteruskan. Kurikulum Matematik Sekolah Menengah bertujuan untuk membentuk individu yang berpemikiran matematik dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dengan berkesan dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan supaya berupaya menangani cabaran dalam kehidupan harian bersesuaian dengan perkembangan sains dan teknologi.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) telah menggariskan matlamat pendidikan adalah seperti berikut:

1.
Memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan  yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI);
2.
Meningkatkan kreativiti dan inovasi dan budaya ilmu pelajar;
3.
Membudayakan sains dan teknologi dan pembelajaran sepanjang hayat;
4.
Menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, dan
5.
Meningkatkan matlamat pendidikan Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Bagi memenuhi keperluan tugasan yang berkaitan dengan opsyen mata pelajaran saya, yakni matematik sekolah menengah maka kupasan akan berkisar kepada Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Matlamat wawasan negara dapat dicapai melalui masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik. Antara usaha ke arah mencapai wawasan ini, perlu memastikan masyarakat membudayakan matematik dalam kehidupan seharian. Justeru itu, kemahiran penyelesaian masalah dan berkomunikasi dalam matematik perlu dipupuk supaya dapat membuat keputusan dengan berkesan.

Matematik ialah satu mata pelajaran teras di peringkat sekolah menengah. Mata pelajaran ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam kehidupan harian secara berkesan dan bertanggungjawab semasa menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Kandungan sukatan pelajaran Matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ini merangkumi pengetahuan dan kemahiran daripada tiga bidang yang saling berkait iaitu Nombor, Bentuk dan Ruang, dan Perkaitan (Sukatan Pelajaran Matematik KBSM, 2000).

Sifat matematik secara tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Dengan sebab itu matematik ialah antara bidang yang terpenting dalam sebarang usaha pembinaan insan. Berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Kurikulum Matematik ini telah diolah dan disusun semula. Langkah yang diambil ini adalah selaras dengan keperluan untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran matematik kepada murid-murid yang mempunyai latar belakang dan keupayaan yang pelbagai. Dengan pengetahuan dan kemahiran tersebut, mereka berkemampuan untuk meneroka ilmu, membuat adaptasi, modifikasi dan inovasi dalam menghadapi atau menangani perubahan dan cabaran masa depan.

No comments:

Post a Comment