Pendidikan
merupakan proses asas dan utama dalam pembinaan seseorang individu yang
seimbang dan baik serta boleh menjayakan hasrat serta hala tuju Negara Konsep asas
yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah mengenai nilai ilmu
dan peranan ilmu dalam membangunkan insan dan masyarakat secara am nya. Nilai
ilmu bukan sahaja menerangkan kepada manusia mengenai sesuatu perkara, malah
hal yang lebih penting adalah bagaimana ilmu tersebut boleh mempengaruhi,
mengubah dan membentuk seseorang individu dan masyarakat. Nilai sesuatu ilmu
adalah tinggi apabila ia boleh mengubah diri serta masyarakat dan proses ini
adalah proses sepanjang hayat.
Ini adalah
selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang
menginginkan pembangunan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh,
berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi
merealisasikan wawasan 2020 melalui aktiviti pendidikan. Modal insan yang ingin
dihasilkan juga mestilah mampu berfikir secara kritis, kreatif, menyelesaikan
masalah serta mampu mencipta peluang-peluang baru seseuai dengan persekitaran
global yang sering berubah-ubah (Zulfahmi, 2008).
Dalam konteks Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR), hasrat agar matlamat pendidikan Negara tercapai
berteraskan Falsafah Pendidikan Negara
(1988) dan seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada tahun 1993
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dijenamakan semula dengan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah serta menggantikan mata pelajaran seperti Alam Dan
Manusia dengan Sains dan Kajian Tempatan pada tahun 1994. Usaha ini
bertepatan dengan mengakui bahawa dengan
peredaran zaman yang membawa bersama pelbagai perubahan dan cabaran baru, sudah
tiba masanya kita melihat semula pelaksanaan agenda ini. Ini termasuklah usaha
memperbaiki kelemahan yang wujud, memantapkan strategi dan pendekatan sedia ada
dan sekali gus merintis pembaharuan (pioneering
change) terhadap sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.
Bagi Kurikulum Baru
Sekolah Menengah (KBSM), menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan
daya intelek, pemupukan nilai-nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar.
Dalam edisi penyemakan Matematik ini, kesepaduan dan kesinambungan unsur-unsur
ini diteruskan. Kurikulum Matematik Sekolah Menengah bertujuan untuk membentuk
individu yang berpemikiran matematik dan berketerampilan mengaplikasikan
pengetahuan matematik dengan berkesan dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan
masalah dan membuat keputusan supaya berupaya menangani cabaran dalam kehidupan
harian bersesuaian dengan perkembangan sains dan teknologi.
Kementerian Pelajaran
Malaysia (2006) telah menggariskan matlamat pendidikan adalah seperti berikut:
1.
|
Memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh bagi melahirkan insan
yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek
(JERI);
|
2.
|
Meningkatkan kreativiti dan inovasi
dan budaya ilmu pelajar;
|
3.
|
Membudayakan sains dan teknologi dan
pembelajaran sepanjang hayat;
|
4.
|
Menjadikan Malaysia sebagai pusat
kecemerlangan pendidikan, dan
|
5.
|
Meningkatkan matlamat pendidikan
Malaysia pada peringkat antarabangsa.
|
Bagi memenuhi keperluan
tugasan yang berkaitan dengan opsyen mata pelajaran saya, yakni matematik
sekolah menengah maka kupasan akan berkisar kepada Kurikulum Baru Sekolah
Menengah (KBSM). Matlamat wawasan negara dapat dicapai melalui masyarakat yang
berilmu pengetahuan dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik.
Antara usaha ke arah mencapai wawasan ini, perlu memastikan masyarakat
membudayakan matematik dalam kehidupan seharian. Justeru itu, kemahiran
penyelesaian masalah dan berkomunikasi dalam matematik perlu dipupuk supaya
dapat membuat keputusan dengan berkesan.
Matematik ialah satu
mata pelajaran teras di peringkat sekolah menengah. Mata pelajaran ini
bertujuan untuk melahirkan individu yang berketerampilan mengaplikasikan
pengetahuan matematik dalam kehidupan harian secara berkesan dan bertanggungjawab
semasa menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Kandungan sukatan pelajaran
Matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ini merangkumi pengetahuan dan
kemahiran daripada tiga bidang yang saling berkait iaitu Nombor, Bentuk dan Ruang,
dan Perkaitan (Sukatan Pelajaran Matematik KBSM, 2000).
Sifat matematik secara
tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Dengan
sebab itu matematik ialah antara bidang yang terpenting dalam sebarang usaha
pembinaan insan. Berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Kurikulum
Matematik ini telah diolah dan disusun semula. Langkah yang diambil ini adalah
selaras dengan keperluan untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran matematik
kepada murid-murid yang mempunyai latar belakang dan keupayaan yang pelbagai.
Dengan pengetahuan dan kemahiran tersebut, mereka berkemampuan untuk meneroka
ilmu, membuat adaptasi, modifikasi dan inovasi dalam menghadapi atau menangani
perubahan dan cabaran masa depan.
No comments:
Post a Comment