Konsep-konsep Bahasa
Dalam
tugasan ini aspek sosiolinguistik adalah mencakupi kajian mengenai pihak-pihak yang terlibat dalam
interaksi iaitu pengkaji dengan individu yang berlaian etnik (kaum) dengan
menggunakan bahasa Melayu yang mempunyai pelbagai variasi. Pada hemat saya,
penggunaan dialek geografi seperti yang disarankan oleh Noriah Mohamed (1998)
yang menyatakan peranan ruang geografi
sebagai pembentuk kelainan bahasa dari segi sebutan yang bersifat
peralihan dialek. Penentuan ruang geografi dialek Melayu terutama Melayu
Sarawak nampaknya mengikut negeri dan daerah ianya dipertuturkan.
Dalam konteks bahasa Melayu yang
dipertuturkan dengan dialek Sarawak oleh pengkaji dengan responden telah
membentuk pelbagai variasi sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Temu bual yang berlangsung bukan sahaja
melahirkan variasi bahasa mengikut dialek Sarawak malah temu bual yang
berlangsung juga membentuk penggunaan laras bahasa pasar dan bahasa tidak
formal yang begitu ketara sekali. Keadaan ini membentuk satu komunikasi yang
sambil lewa dan bersahaja kadang-kadang tanpa disedari dan diberi penekanan
berhubung aspek bahasa Melayu yang betul dan standard. Bidang sosiolingustik
ternyata wujud dalam proses temu bual ini. Rajah 1 di bawah dapat menerangkan
perkaitan dalam variasi bahasa yang digunakan oleh pengkaji dan responden-respondennya
bagi temu bual yang telah dijalankan.
Rajah 1 : Perkaitan dalam Variasi Bahasa
Sumber : Portal Pendidikan Utusan,
http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/variasi_bahasa.htm
Berhubung dengan dialek geografi yang merupakan bahasa tidak formal dan digunakan
oleh pengkaji dan responden dalam proses temu bual mereka memperlihatkan ianya
hanya perbualan harian sahaja. Beberapa istilah yang perlu diketahui konsepnya,
yakni;
(i)
Bahasa Pidgin (Bahasa Pasar)
Pidgin dikenali sebagai bahasa pasar (Kamus Dewan,
1996). Bahasa Pidgin (pasar) bermaksud bahasa ‘campuran antara dua atau lebih
bahasa’ tidak boleh dikategorikan kepada salah satu bahasa asal. Bahasa pidgin
timbul disebabkan oleh kepentingan perdagangan dalam kalangan penutur bahasa
lain yang bertembung di tempat tertentu. Mereka berinteraksi menggunakan bahasa
campuran (pidgin) ini, dan tidak menguasai sebarang bahasa komuniti lain sama
sekali. Di Malaysia, bahasa pasar
dikategorikan sebagai bahasa pidgin yang digunakan di pasar semasa membeli ikan
dan sebagainya. Menurut Asmah Haji Omar (1982) bahasa pidgin turut dihuraikan
sebagai “due to the intermingling between
the Malay and non-Malay, mostly in the market place, there is arisen pidgin
Malay known locally as Bahasa Pasar. This form of communication uses Malay
words which are fitted into other structural muduls in particular the Chines
and Tamil ones”. Ini bermaksud bahasa pidgin (pasar) tidak mempunyai sistm
tahabahasa yang tertentu (tidak gramatis) jika dibandingkan dengan bahasa baku.
Penutur bahasa ini menggunakan kata-kata dalam Bahasa Melayu dengan dicampur
aduk bahasa asing, iatu bahasa ibunda penutur itu. Sebagai contoh, jika orang
itu orang Cina, maka kata-kata daripada bahasa Cina dicampuradukkannya dengan
Bahasa Melayu.
(ii)
Bahasa Kreol
Menurut Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam
(1985) Bahasa Kreol ialah bahasa yang bukan berasal daripada bahasa tempatan
sesebuah negara tetapi datang dari luar. Ia telah begitu lama digunakan dan
menerima unsur-unsur bahasa tempatan. Bahasa itu kemudiannya menjadi bahasa
natif atau bahasa ibunda bagi kelompok penutur dalam masyarakat berkenaan.
Sebagai contoh, bahasa Baba merupakan bahasa pidgin iaitu bahasa kacukan antara
bahasa Melayu dengan bahasa Cina yang bersifat sementara. Namun akhirnya bahasa
Baba berubah menjadi bahasa Kreol apabila bahasa kacukan ini menjadi bahasa
pertuturan bagi masyarakat Baba-Nyonya. Sementara itu, Asmah Haji Omar
(1991) pula berpendapat bahawa bahasa kreol adalah bahasa kacukan yang sudah
mantap, yang merupakan kacukan daripada sekurang-kurangnya dua bahasa. Daripada
penerangan dan petikan tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa kreol
adalah asalnya daripada bahasa pidgin atau bahasa lingua franca yang telah
diterima masuk ke dalam bahasa tempatan dan telah diterima sebagai bahasa
pertama mereka. Bahasa kreol telah berperanan sebagai bahasa komunikasi yang
berguna kepada penuturnya umpama perhubungan dengan “jalan tengah” yang mana
disesuaikan antara bahasa asal usul mereka dengan bahasa masyarakat setempat.
(iii)
Bahasa Kolokial (Basahan)
Kolokial merupakan variasi bahasa yang digunakan oleh
penutur dalam percakapan sehari-hari mereaka secara lisan. Dalam hai ini ianya
mengandungi variasi sosial yang digunakan
dalam percakapan sehari-hari yang lebih cenderung menyingkat kata kerana bukan merupakan bahasa tulisan. Misalnya dok (doktor), prof (profesor), let (letnan), dan sebagainya.
(iv)
Bahasa Baku
Menurut Sulaiman Masri
(1992) bahasa baku merujuk kepada bahasa yang betul dari segi ejaan, istilah,
sebutan, penggunaan kata dan frasa, ayat, singkatan dan akronim, tanda baca,
dan laras bahasa. Bahasa jenis juga menggambarkan keseragaman dalam bentuk dan
fungsi bahasa. Oleh itu, bahasa baku merupakan bahasa yang boleh diterima untuk
digunakan dalam urusan rasmi seperti dalam perundangan, pentadbiran, pengajian
tinggi, dan sebagai alat sebaran am.
(v)
Bahasa Taboo
Menurut Oxford Dictionary
(1995) taboo adalah sesuatu yang dilarang dan hal itu melanggar dengan norma
agama atau keyakinan dan adat di dalam sebuah masyarakat. Taboo dalam bahasa
Melayu bermaksud pantang larang (kepercayaan) dan tiada kaitan dengan bahasa
yang halus semasa berlakunya proses komunikasi. Dalam bidang sosiolinguistik konsep
taboo ialah kajian bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap
masyarakat yang mengenepikan nilai sopan santun semasa bercakap. Kata-kata yang
taboo yang digunakan dengan maksud menghina, memperlekeh, membuat perasaan
seseorang tidak nyaman dan tersinggung. Berdasarkan penjelasan di atas, taboo
berkait rapat dengan nilai-nilai moral masyakat semasa mereka berkomunikasi
dengan orang lain.
Menurut Jeniri Amir (2005), penggunaan bahasa yang halus dan sopan akan
memberikan kesan yang besar kepada jiwa kita. Pendengar akan berasa sejuk hati,
tenteram dan gembira dengan kata-kata yang disampaikan. Bagaimanapun, ‘tahu
bahasa’ harus juga ‘tahu budaya’. Ini kerana kesopanan adalah pengetahuan,
pemahaman serta penguasaan amalan-amalan bahasa yang penting yang terdapat
dalam budaya sesuatu masyarakat. Dalam erti kata lain, pengetahuan berbahasa
ada hubungannya dengan pengetahuan tentang budaya. Antara amalan-amalan bahasa
yang berkaitan dengan kesopanan dan budaya dalam sesuatu masyarakat ialah tabu
bahasa, penggunaan ganti nama dan leksikal yang betul, larangan bahasa,
kepercayaan, bahasa tidak berterus terang dan bahasa bukan verbal (Mohammed
Azlan Mis 2002).
(vi)
Bahasa Rojak
Bahasa rojak merupakan bahasa yang tidak formal dan dicampuradukan
dengan bahasa lain dengan cara pengucapan yang bersahaja dan tidak mementingkan
aspek sosiolinguistik. Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi
mencerminkan diri kita. Jika diperhatikan, penggunaan bahasa rojak lebih selesa
dan agak seronok untuk dipertuturkan kerana ianya bersifat tidak formal. Ini
adalah kerana, jika bercakap secara formal dengan bahasa Melayu baku, kita
dapat merasakan kebanyakan masyarakat tidak mahu dirinya dilihat sebagai
seorang yang terlalu formal. Gaya kita berbahasa bergantung rapat dengan
bagaimana kita melihat diri kita sendiri, dan bagaimana kita membaca atau
mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Bahasa rojak ini sebenarnya berkait rapat dengan
mentaliti dan tanggapan masyarakat yang tidak serius terhadap perkembangan dan
martabat bahasa itu sendiri. Keadaaan ini member impak besar terhadap
perkembangan bahasa Melayu secara keseluruhannya di negara ini.
No comments:
Post a Comment