MASYARAKAT FEUDAL
1.Feudalisme adalah satu bentuk kerajaan yang terbentuk di
Eropah Barat pada abad ke-9 M, selepas perpecahan Empayar Charlemangne dan
berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila
kuasa kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian (Sivachandralingam, 1996:
66).
2. Secara umumnya Sistem Feudal (Feudalisme) bolehlah
didefinisikan sebagai satu bentuk kerajaan, yang kuasa politiknya
dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian tetapi bukan oleh kerajaan
pusat.
3. Menurut Gan shof (1944) Konsep Feudalisme pertama kali
digunakan pada kurun ke- 17 bagi merujuk kepada sistem politik di Eropah pada
zaman pertengahan yang memeperlihatkan hubungan yang saling memerlukan di
antara tuan tanah (lords), orang biasa atau petani (Vassals) dan tanah (fiefs).
Dengan kata lain, dalam sistem ini petani bekerja dan menjadi tentera untuk
melindungi seorang bangsawan dan sebagai balasan mereka boleh mengusahakan
tanah bangsawan tersebut. Walaupun istilahnya diambil daripada perkataan latin
feodum atau feudum (fief), namun konsep feudalism dan sistemnya bukanlah satu
sistem politik formal pada zaman itu.
4. Menurut Abdullah Zakaria et. al. ( 2003: 92 ) Pada
asasnya, sistem ini memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan
tanah atau lord dengan Vassal atau pemegang tanah (petani) yang disyaratkan
untuk memberi taat setia kepada lord. Satu pihak akan memberi perlindungan
sementara satu pihak yang lain memberi perkhidmatan ketenteraan demi
keselamatan raja. Mereka juga di beri gelaran tertentu sebagai mengakui
sumbangan tersebut.Selain aspek ketenteraan dan keselamatan, pihak yang
dikenali sebagai feudotari juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu
termasuklah membekalkan buruh untuk sistem kerah.Hubungan ini menentukan
kedua-dua pihak memperoleh faedah dan keuntungan bersama.
CIRI-CIRI MASYARAKAT
FEUDAL
Menurut Francois-Louis Ganshof (1944) Sistem feudal
sekurang-kurangnya mempunyai empat ciri penting iaitu hubungan bertimbalas
antara seorang bangsawan (Vassal) kepada bangsawan lain yang lebih kuat atau
lebih berpengaruh (lord), hak milik tanah atau sistem fief, ketenteraan dan
kuasa pemerintahan serta hak-hak perundangan.
Vassalage atau hubungan bertimbal balas yang di buat melalui
persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (Vassal) kepada seorang
hulubalang lain, yang di angkat sebagai tuan (lord) kepada Vassal tersebut
disebabkan ia lebih kuat atau lebih berpengaruh. Hubungan ini merupakan satu
bentuk hubungan persendirian yang bersifat kehormat kerana ia melibatkan
perjanjian antara dua orang Individu yang terdiri daripada kelas hulubalang
sahaja (Carl Stephenson, 1956:5-10). Melalui hubungan ini, seseorang Vassal dan
lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu, iaitu memberikan
ketaatan dan perkhidmatan, khususnya ketenteraan oleh Vassal kepada lordnya
manakala lord pula akan berfungsi memberi penjagaan dan perlindungan kepada
Vasalnya (Azmi Arifin, 2006:55).
Ciri yang kedua ialah fief iaitu sejenis harta feudal,
kebiasaannya berupa tanah yang diberikan oleh seseorang lord kepada vassalnya
bertujuan untuk mengikat persetiaan tersebut. Oleh kerana tujuan utama
pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga
dikenali sebagai military fief ( Azmi Ariffin,1992:55). Bagi sesetengah
pengkaji, fief tidak semestinya berupa tanah sahaja.Sebaliknya pangkat,
jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk
fief.Menurut Strayer (1953) Terdapat golongan vassal yang tidak mempunyai
sebarang tanah (landless knights) merupakan satu fenomena biasa yang dapat
ditemui di Eropah Barat pada kurun ke-11.Kewujudan golongan ini meskipun
semakin berkurangan tetapi tidak pula lenyap pada kurun-kurun selepasnya. Tugas
lord ialah menjaga pengikutnya seperti menampung segala keperluan sara hidup
pengikutnya kerana Vassal merupakan hulubalang sepenuh masa dan tidak terlibat
dalam aktiviti ekonomi. Di Eropah Barat pada zaman pertengahan, kegiatan
ekonomi yang berkaitan perdangangan telah terjejas teruk akibat kekacauan, serangan
luar dan peperangan. Keadaan ini menyebabkan raja-raja yang berfungsi sebagai
Lord menghadapi masalah untuk membayar upah dalam bentuk wang. Ketika itu hanya
terdapat dua cara yang membolehkan seseorang Lord melaksanakan tugasnya.
Pertama seseorang Lord akan menempatkan seseorang vassal di istana-istananya
dengan menyedaikan makanan, pakaian, senjata atau sebarang keperluan yang
dikehendakinya. Kedua ialah dengan memberikannya tanah sebagai sumber
pendapatan yang boleh menampung keperluan hidupnya. Cara ini amat popular
kerana dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa kerana ia
melibatkan jaminan dari segi kedudukan politik, ekonomi dan sosial. Seseorang
lord yang tidak mampu mengikat kesetiaan seseorang vassal melalui pemberian
tanah biasanya akan mendapati dirinya kehilangan sokongan dan pengaruh,
manakala seseorang vassal yang tidak memiliki sebarang tanah sekalipun
mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi daripada seorang petani kaya, tidak
mempunyai peranan dari segi politik dan pemerintahan. Dengan itu mereka akan
berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki kelas hulubalang
atau bangsawan yang menguasai tanah. Dari sudut ini kita bolehlah mengatakan
pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada zaman
feudal di Eropah Barat.
Ciri Feudal yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya
kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian
oleh vassal kepada lord sebagai balasan penerimaan fief. Oleh kerana tujuan
asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang
efektif, maka perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah
perkhidmatan ketenteraan, sedangkan perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah
yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan
sahaja.Oleh sebab itu kebanyakan pengkaji sejarah feudalism bukan sahaja di
Eropah Barat, malah di Jepun, China, India, Timur Tengah dan sebagainya
berpendapat institusi feudal tidak mungkin wujud tanpa adanya aspek
ketenteraan.Malah perkembangan feudalisme bukan sahaja dikaitkan dengan
wujudnya organisasi ketenteraan semata-mata tetapi juga dikaitkan dengan
kemunculan kelas-kelas tentera elit baru dan perkembangan teknologi peperangan.
Misalnya perkembangan feudalism di Eropah Barat dikaitkan dengan kemunculan
golongan knights dan chivalry, di Jepun kelas samurai dan knight-archer,
cataphracts di Byzantium dan Iran, Chariot-fighters di Timur Tengah dan China
dan sebagainya lagi (Strayer, 1953:9). Kemunculan kelas-kelas tentera elit baru
yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang jauh lebih mahal
telah menjadikan khidmat ketenteraan pada zaman feudal di eropah hanya mampu
dimonopoli segolongan kecil kelas bangsawan sahaja, terutama dikalangan mereka yang
menguasai tanah.Dari segi sosial perkembangan ini telah meningkatkan lagi
jurang perbezaan yang sedia wujud antara kelas hulubalang dengan golongan
rakyat biasa yang terikat dengan kegiatan pertanian.
Ciri yang keempat ialah pemilikan kuasa pemerintahan dan
hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord
terhadap vassalnya.Kuasa pemerintahan ini juga meliputi penduduk bukan vassal
yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord, yang biasanya dilaksanakan oleh
sebuah kerajaan. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke
atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai,
mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.Pemusatan kuasa
ketenteraan, polittik dan ekonomi ditangan seseorang lord telah menggalakkan
perkembangan wilayah-wilayah feudal yang berdaulat dan berautonomi. Jika
berlaku pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal yang terikat
dengan perjanjian feudal biasanya akan memberikan kesetiaan penuh kepada lord
yang berada di atasnya berbanding kepada seseorang raja yang tidak mempunyai
hubungan secara langsung dengannya. Walau bagaimanapun corak hubungan ini
bergantung kepada taraf sosial (prestij) dan kedudukan raja itu sendiri.Jika
baginda seorang pemerintah yang berpengaruh, maka kedudukan lord mungkin
sedikit sebanyak dapat dikawalnya.Tetapi kebiasaannya pada zaman feudal,
kedudukan seseorang raja amat lemah dan baginda selalunya tidak mempunyai
kekuatan untuk mengawal pembesar feudal.Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan
kuasa dan hak-hak perundangan golongan lord ini merupakan ciri feudalisme yang
paling asas dan terpenting.Walau bagaimanapun tanpa wujudnya hubungan
vassalage-fief dan perkembangan aspek ketenteraan, pemilikan kuasa dan hak-hak
perundangan itu tidak mungkin diperolehi.
Berdasarkan keempat-empat ciri tersebut, feudalisme bolehlah
ditakrifkan sebagai satu bentuk organisasi yang diwujudkan oleh satu bentuk
hubungan persendirian yang diikat antara seseorang individu dari kelas
hulubalang dengan individu daripada kelas hulubalang yang lain, iaitu antara
lord dan vassal. Melalui ikatan vassalage - fief, seseorang vassal dikehendaki
menjaga dan melindungi vassalnya.Susunan ini kemudiannya menjadi asas kepada
keseluruhan struktur politik, pemerintahan, perundangan dan kemasyarakatan yang
wujud dalam setiap wilayah atau negara yang dikawal oleh corak hubungan
tersebut (Azmi Ariffin,2002: 59)
SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL
Selepas kejatuhan Empayar Rom, menjelang tahun 800 Masihi, muncul satu institusi politik yang dikenali sebagai feudalisme di Negara- negara Eropah Barat termasuklah di England.Dalam sistem feudal terdapat satu susunan tanggungjawab yang kompleks dan obligasi di kalangan individu daripada kelas terbawah (serf) kepada kelas teratas iaitu raja.Setiap serf memberi sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight(pahlawan), bangsawan (baron, duke,lord) dan akhir sekali ialah raja.Setiap bangsawan berjanji untuk melindungi mereka yang telah bersumpah untuk bersatu dengannya (Sivachandralingam, et.al.1999:93). Dalam sistem feudal di England, kebergantungan sangat kuat antara seorang raja dengan golongan bangsawan (lord)yang dilantik sendiri oleh raja.
1. Masyarakat feudal boleh dibahagikan kepada dua golongan
iaitu golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin.golongan pemimpin terdiri
daripada raja, pembesar (bangsawan), dan golongan yang dipimpin ialah rakyat
atau petani.
2. Raja mempunyai kuasa mutlak dan berada dikedudukan paling
tinggi. Di bawah raja, terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi
vassalnya.
3. Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief)
secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan
lapisan pertama itu membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua
dikenali sebagai subinfeudation.
4. Bangsawan lapisan kedua seterusnya mungkin membahagikan
fief mereka kepada bangsawan lapisan ketiga.Setiap bangsawan berkuasa ke atas
petani yang menetap di fiefnya.
5. Kelas paling bawah sekali ialah kaum tani (serf). Kaum tani
semuanya miskin dan tidak berpelajaran.Hak-hak mereka sedikit tetapi tugas
mereka banyak.Kerap kali mereka ini tidak diberi layanan yang memuaskan oleh
tuan-tuan mereka.Hampir kesemua petani terdiri daripada golongan serf
yangbertaraf antara orang bebas dengan hamba.Peluang untuk menjadi kaya dan
masyhur dengan usaha sendiri sangat tipis. Seseorang hamba akan menjadi hamba
seumur hidup dan anak-anak mereka juga akan menjadi hamba.
6. Sebagai kesimpulannya dalam pemerintahan bercorak feudal
ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di
bawah pemerintahan seorang raja (Abdullah Zakaria, 2003:93). Struktur
masyarakat feudal di Eropah bolehlah boleh digambarkan seperti rajah di bawah.
SISTEM FEUDAL DI
ENGLAND
Latarbelakang Sistem
Feudal di England
Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan
raja. Jika seseorang raja memerlukan tenaga buruh untuk melakukan sesuatu kerja
atau memerlukan tentera maka golongan petani (serf) akan dikerah untuk memenuhi
keperluan tadi. Jadi dalam sistem feudal di England golongan petani (serf)
menjadi subjek utama dan tidak mempunyai sebarang hak.Dalam sistem feudal,
tanah menjadi elemen utama iaitu semua tanah adalah milik raja.Golongan
bangsawan telah dikurniakan tanah (wilayah) oleh raja.Tanah menjadi punca
kekayaan bagi raja dan golongan bangsawan.
Ciri-ciri Sistem Feudal
di England
1. Hubungan bertimbal
balas atau hubungan dua hala
Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui
persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang
hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut.
Melalui hubungan ini, seseorang vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan
tanggungjawab-tanggungjawab tertentu. Golongan vassal akan memberikan ketaatan
dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan kepada lordnya. Sebagai
timbal balas golongan lord pula akan memberikan penjagaan dan perlindungan
kepada vassalnya.
2. Harta feudal yang
kebiasaannya berupa tanah
Ciri yang kedua iaitu harta feudal (fief), kebiasaannya
berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan
golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord kemudian
lord pula akan memberkan tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat
persetiaan. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan
khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief.Fief tidak
semestinya berupa tanah sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan
sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief.Pemberian fief berupa tanah
dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa. Golongan serf tidak
memiliki tanah, tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang
di atas tanah yang dibenarkan oleh tuan tanah.
3. Ketenteraan
Ciri feudalisme yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya
kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan
persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief.Oleh kerana tujuan
asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang
efektif.Perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassalkepada lord ialah
perkhidmatan ketenteraan.Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan
aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh kerana
sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan maka di Eropah atau England
wujudnya golongan tentera elit seperti knightsdan chivalry yang lebih
berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang mahal.
4. Kuasa pemerintahan
dan hak-hak perundangan persendirian.
Ciri feudalisme keempat ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak
perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap
vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan
lord.Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber
ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal
institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.
Struktur Masyarakat
Feudal di England
1. Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua
golongan iaitu pemimpin dan yang dipimpin.Golongan pemimpin terdiri daripada
raja dan bangsawan.Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja
atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi.Di bawahnya terdapat
beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang
memberi kesetiaan kepada raja.Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu
lapisan pertama dan kedua.
2. Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah
(fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai
tenants-in-chief.Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada
bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation .Bangsawan
lapisan ke dua seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih
rendah daripadanya atau golongan petani.Setiap bangsawan (Vassal) berkuasa ke
atas petani yang menentap dififnya.Hampir kesemua petani terdiri daripada serf
yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba (Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).
3. Golongan yang dipimpinpula merupakan golongan rakyat biasa
yang menetap di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali
sebagai serf iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka
terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau
berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan
bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang
menyewa tanah daripada golongan bangsawan ( Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).
4. Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu
kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada
daripada golongan bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem
feudal (Ranjit Singh Malhi, 1993:91).Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad
ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah barat
di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting
dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering
campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain untuk
salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai greja
terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua
tanggungjawab (Sivachandralinggam, 1996:70).
nota yang amat membantu. thankyou.
ReplyDelete