Translate

Thursday 15 August 2013

Komunikasi Dalam Organisasi Sekolah

Komunikasi berasal daripada perkataan Latin ‘Communiatus’ yang bermaksud berkongsi sesuatu. Keadaan ini menjelaskan seseorang itu sedang berusaha berkongsi idea atau maklumat dengan individu lain. Komunikasi juga turut ditakrifkan sebagai “seni memindahkan maklumat, idea dan sikap daripada seseorang kepada seseorang” (Emery, Ault & Agee, 1965) (dalam Hassan Awang Mat). Komunikasi juga dikatakan sebagai satu proses ke arah mewujudkan kesamaan dan berkongsi maklumat sama ada secara lisan atau sebaliknya dan mencipta makna terhadap maklumat itu (Siti Zobidah Omar & Romaiza Bidin, 2001).
            Komunikasi turut disifatkan sebagai satu keperluan yang amat penting dan berguna kepada manusia. Dalam kehidupan seharian, kita memerlukan bantuan daripada individu-individu lain.  Justeru, proses saling bergantung tersebut diuruskan melalui komunikasi dengan orang lain. Oleh itu, komunikasi mempunyai maksud yang luas dalam proses perkongsian makna, penyaluran dan penerimaan maklumat dalam kalangan individu.
Tuan Yacob (1998), menyatakan komunikasi sebagai informatif, iaitu seseorang individu itu mengerti dan mengetahui, dan juga sebagai persuatif, iaitu agar seseorang individu itu bersedia menerima sesuatu perubahan atau keyakinan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau kegiatan. Pada hemat saya, komunikasi adalah alat dan sumber kepada manusia untuk terus berhubung dengan orang lain. Di samping itu, komunikasi turut penting dalam sesebuah organisasi sekolah ke mencapai matlamat bersama yang telah dirancang.
A.L.Ramaiah (1999), turut menyatakan bahawa komunikasi adalah satu proses antara perseorangan yang melibatkan pertukaran idea, maklumat dan pendapat ataupun melibatkan penghantaran dan penerimaan simbol yang bermakna. Harold Koontz & Heinz Weihrich (1997), mendefinisikan komunikasi sebagai pemindahan maklumat daripada pengirim kepada penerima supaya maklumat dapat difahami oleh si penerima. Di samping itu, Fred C. Luneberg (1995), menyatakan komunikasi adalah proses pemindahan maklumat dan pemahaman daripada seseorang kepada orang lain. Oleh itu, komunikasi adalah satu fenomena yang kompleks (Jaafar Muhamad,1999). Menurut beliau lagi, komunikasi adalah satu proses pertukaran  dan pemindahan maklumat serta mesej dari sesuatu sistem yang dibentuk, dipertahankan, diubahsuai dan dilaksanakan menurut kehendak dan penyesuaian seseorang kepada satu arah pencapaian matlamat yang telah ditetapkan bersama. Proses pertukaran boleh dilakukan melalui media massa, peralatan perantaraan dan isyarat formal dan tidak formal yang digunakan dalam organisasi.
Dengan perkataan lain, komunikasi boleh dirumuskan sebagai satu proses penyampaian  dan perkongsian maklumat dari pihak sumber atau pengirim kepada pihak penerima. Proses komunikasi berlaku secara berterusan. Kebiasaannya, reaksi penerima merupakan kayu ukur utama untuk menentukan sama ada sesuatu komunikasi itu efektif atau sebaliknya.
Konsep ‘Keperluan’ Dalam Komunikasi
‘Keperluan’ dalam proses komunikasi ialah tahap kepentingan komunikasi terhadap manusia. Dalam hal ini, ianya dianggap satu yang amat penting dalam hidup kita. Ianya setanding dengan keperluan asas lain seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Memandangkan alam dunia adalah nyata, jadi keperluan komunikasi bersifat realiti dalam semua aspek kehidupan.  Kita sebenarnya dapat berhubung bagi hampir semua tujuan seperti pendidikan, perubatan, perhubungan, politik, dan perniagaan. Dalam proses kita bertukar-tukar pengalaman dan  pengetahuan dengan orang lain, kita mencipta makna antara diri kita dengan orang lain (Abdullah Hassan & Ainon Mohd, 2002).
            Bagi memenuhi proses komunikasi yang proaktif dan positif, kita harus mempunyai kemahiran supaya mesej dan maklumat yang disampaikan bermakna. Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2002), kebolehan berkomunikasi sangat mempengaruhi sikap, nilai dan kepercayaan orang lain kepada kita. Melalui komunikasi kita dengan orang lain, kita turut dapat mengenali siapa diri kita berhubung dengan keistimewaan dan kelemahan diri kita. Kita juga mengetahui sama ada orang lain  memuja kita atau sebaliknya. Justeru, kepandaian berkomunikasi turut mempengaruhi hubungan kita dengan masyarakat.
Fungsi Komunikasi
Komunikasi yang dilakukan oleh manusia setiap masa mempunyai fungsi yang tertentu. Antaranya ialah:-
(i)                 Fungsi Memberitahu
Fungsi ini adalah fungsi terawal yang digunakan oleh manusia dengan tujuan untuk memberitahu tentang sesuatu perkara yang dirasakan oleh penyampai perlu diketahui oleh orang lain. Fungsi memberitahu ini menumpukan perhatiannya kepada penyampai atau sumber maklumat. Tujuan penyampai adalah untuk memberitahu apakah reaksi daripada mereka yang menerima maklumatnya tidak begitu dipentingkan. Untuk memastikan komunikasinya berjaya, komunikator yang menjalankan fungsi ini seringkali mengunakan strategi seperti menyebarkan maklumat sebanyak mungkin atau menyampaikannya dengan lebih kerap. Menurut Adler, Rosenfeld & Towend (1999), mendefinisikan komunikasi sebagai proses transaksi  yang berterusan untuk mewujudkan hubungan melalui pertukaran mesej.
(ii)               Fungsi Mendidik
Fungsi ni dianggap popular kerana bertujuan untuk mempengaruhi sikap atau tingkah laku orang lain. Di samping memberitahu maklumat, komunikasi bentuk ini dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu perkara atau bidang. Fungsi ini mementingkan kedua-dua pihak penyampai dan penerima maklumat memastikan fungsi mendidik tersebut dicapai. Kejayaan fungsi ini bergantung kepada sejauh mana seseorang itu merasai pengetahuannya bertambah hasil daripada pendedahan terhadap maklumat yang diterimanya.

(iii)             Fungsi Membujuk
Cara ini adalah bertujuan untuk mengubah sikap dan tingkah laku orang lain. Untuk mendapat kesan ini, pengguna tidak terhad kepada penyebaran maklumat tetapi mestilah dapat menembusi perasaan dan emosi individu atau kumpulan yang menjadi sasaran maklumat itu. Ada kalanya fakta dan maklumat yang disampaikan kepada kita tidak tepat atau disengaja diputarbelitkan, misalanya iklan dalam rancangan televisyen dengan tujuan untuk mempengaruhi dan mengubah sikap atau tingkah laku manusia di samping membuat rayuan emosi kita.
Komunikasi dan Sekolah
Sekolah merupakan sebuah organisasi pendidikan yang diselenggarakan oleh golongan pendidik yang berinteraksi melalui suatu proses berstruktur untuk mencapai hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan dapat menghasilkan individu yang akan menikmati gaya hidup lebih selesa dan memuaskan. Ini hanya akan dapat diperoleh sekiranya sesebuah sekolah atau organisasi itu diuruskan dengan baik (Azizi Hj Yahya, et al, 2008). Hubungan manusia amat penting bagi menjamin kestabilan dan keharmonian sesuatu sistem pendidikan. Justeru, aspek komunikasi yang berkesan adalah amat penting di sekolah.
            Dalam konteks sekolah, aspek komunikasi bukan sahaja penting untuk kemajuannya sebagai sebuah organisasi malah turut menyumbang ke arah pembangunan mapan sesebuah sekolah. Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hari ini, asas teknikal dalam organisasi yang melibatkan komunikasi adalah hal yang berkaitan dengan menstrukturkan data dan proses pengantaraan menjadikan sistem maklumat berhubungan antara satu dengan yang lain seterusnya memaksimumkan organisasi. Dalam peringkat pengurusan sekolah para murid, guru dan pengurusan memainkan peranan penting bagi menghubungkaitkan komunikasi yang baik dan berkesan. Pendidikan era ini mencetuskan reformasi baru lebih dinamik dan interaktif dengan penggunaan teknologi multimedia interaktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penggunaan masa pernbelajaran, penilaian pencapaian murid, peranan guru, peranan murid dan pengurusan pendidikan. Pendek kata, kemudahan teknologi terkini, wajib digunakan secara optimum dapat meningkatkan kualiti pendidikan sesuai dengan keperluan abad ke-21(Nik Azis Nik Pa,1997). Usaha ini adalah sebahagian daripada bidang komunikasi dalam pendidikan yang berteraskan kemajuan dunia hari ini.

Aplikasi ICT yang diperluaskan di sekolah merupakan fokus utama pembestarian terutama dari segi pengajaran dan pembelajaran. Menurut Abd. Rahim (2005) sistem pengurusan pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan memberikan cabaran baharu menjelang abad ke-21. Membentuk generasi yang celik computer dapat merealisasikan dasar dan matlamat Negara bagi menjadikan Malaysia sebuah Negara maju dalam bidang ini. Aspek komunikasi yang systematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan kepada penggunaan internet, ‘website’, ‘online’, ‘e-mel’ dan pendekatan dan kaedah lain berasakan  komputer merupakan elemen penting dalam organisasi sekolah.

Selaras dengan sekolah sebagai sebuah organisasi bagi melahirkan tenaga mahir yang diperlukan negara maka matlamat membentuk sumber manusia yang beriwibawa dan produktif serta berpengetahuan harus dimulai dengan aspek komunikasi yang berkesan. Cabaran profesion keguruan bagi membentuk warganegara Malaysia yang berdaya maju ini juga harus disesuaikan dengan kualiti pendidikan yang ada. Kecekapan sekolah dalam menentukan semua ini memungkinkan setiap warganegara berupaya menerima dan menyampaikan komunikasi pada tahap yang tinggi dan baik juga.


Dalam menjayakan komunikasi di sekolah, banyak kajian telah dibuat oleh para pengkaji. Misalnya, Eisenberg et.al, (1983) menjalankan kajian yang berkaitan dengan komunikasi, lebih-lebih lagi tentang komunikasi ke atas berbanding dengan komunikasi ke bawah dan komunikasi mendatar bagi memberi maklum balas kepada pihak pengurusan untuk menjayakan organisasi. Pendapat umum mengatakan aspek komunikasi penting di antara pihak pengurus dan anggota bawahannya dapat melahirkan kepuasan kerja. Dalam hubungan Pengetua atau Guru Besar di sekolah dengan guru-gurunya harus melibatkan aspek komunikasi yang yang baik dan berkesan dalam mewujudkan iklim sekolah yang kondusif. Komunikasi yang baik dan berkesan akan meningkatkan prestasi sekolah secara keseluruhannya.

Seterusnya, terdapat tiga bentuk komunikasi yang lazimnya terdapat di sekolah. Pertama; komunikasi ke bawah yang merujuk kepada arahan atau maklumat daripada Kementerian Pelajaran  kepada pejabat pelajaran dan sekolah melalui surat pekeliling, nota, surat atau minit mesyuarat. Kedua; komunikasi ke atas, di mana memungkinkan maklumat yang disampaikan oleh sekolah-sekolah kepada pejabat pelajaran, jabatan dan seterusnya ke kementerian. Ketiga; komunikasi mendatar yang memperlihatkan hubungan antara kakitangan melalui surat menyurat, mesyuarat, perhubungan sosial dan sebagainya. Lazimnya, semua kakitangan dapat berbincang dan bertukar-tukar idea di samping mengeratkan hubungan siratulrahim dalam kalangan mereka.
            Pengetua atau Guru Besar sebagai pemimpin di sekolah banyak bergantung kepada aspek komunikasi bagi membawa misi untuk kejayaan sekolahnya. Gaya kepimpinan pengetua yang pelbagai menjurus kepada corak komunikasinya sama ada bersifat 'laissez-faire', demokratik,  ataupun autokratik. Komunikasi ialah sebahagian yang amat penting dalam sesebuah organisasi sekolah. Kecekapan dan kejayaan sekolah bergantung kepada sistem komunikasi yang digunakannya oleh mereka. Dalam sistem komunikasi terdapat banyak halangannya. Sebagai seseorang Pengetua atau Guru Besar yang efisien, beliau dapat mengesan halangan-halangan tersebut dan  memperbaiki sistem perhubungan di sekolahnya. Pendapat ini dapat disokong dengan hujah Tunku Ismail bin Tunku Md Jewa (1978), ‘The key to the success of the large school depended on good internal and external communication and it was the duty of the principal to keep them in order. In addition to the formal pattern of communication, the informal communication among the staff was also important'.
             
            Antara lain, aspek komunikasi di sekolah mempunyai struktur tersendiri dan menghubungkaitkan setiap jawatan dan kakitangan tertentu dengan matlamat organisasinya. Struktur yang digunakan adalah seperti carta organisasi dan panduan-panduan tugas kerana ia mengandungi maklumat tertentu tentang matlamat, kakitangan, aktiviti-aktiviti dan hubungan setiap satu dengan yang lain. Justeru itu, untuk menjadikan sesebuah sekolah lebih cekap dan efektif, aspek komunikasi yang betul dan berkesan wajar digunakan.

Menurut Yauch (1949) dalam Azizi Hj Yahya et. al, (2008), prinsip-prinsip am untuk mengurus sesebuah sekolah selaras dengan komunikasi yang berkesan adalah seperti berikut : [1]. Amalan demokrasi merupakan perhatian utama, jadi pertimbangan penting yang pengetua perlu lakukan ialah untuk mengurus guru secara individu dan kolektif; [2]. Masalah manusia yang dianggap kecil selalunya memerlukan perhatian dan pertimbangan yang luas; [3]. Pengetua hendaklah mengamalkan ciri-ciri kepimpinan Demokratik; [4]. Kakitangan pengajaran yang profesional adalah kumpulan sosial yang kompleks dan memerlukan pakar untuk memenuhi keperluan dan keinginan mereka; [5]. Pengetua bertanggungjawab untuk memudahkan interaksi antara kakitangan, dan [6]. Kesemua individu yang terlibat dalam sebarang keputusan hendaklah diberikan peluang menentukannya.

Daripada perspektif lain, aspek komunikasi di sekolah dapat dilihat dari segi tugas guru yang mengajar di sekolah. Guru-guru yang dilatih di institusi keguruan ataupun universiti dituntut supaya mengamalkan budaya komunikasi yang baik serta berkesan selaras dengan prosedur perkhidmatan mereka. fokus komunikasi para guru lazimnya ditunjukkan melalui kepimpinan akademik dan tanggungjawab mereka yang luas kepada murid. Menurut Abd Rahim (2005) tahap komunikasi yang baik para guru diserasikan dengan pencapaian suatu standard yang telah ditentukan dan dikehendaki oleh institusi yang mengiktiraf seperti pihak berkuasa yang bertanggungjawab dengan profesion keguruan. Para guru wajar mempunyai hubungan yang baik dan akrab dengan murid mereka agar satu komunikasi yang berkesan dapat dilahirkan.

Komunikasi yang melibatkan murid dengan murid turut berlaku dalam konteks organisasi sekolah. Perhubungan ini dapat dikesan dalam proses pembelajaran di bilik darjah, penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya. Kebanyakan komunikasi yang berlaku bersifat tidak terancang dan kurang formal. Pengalaman ini amat bermakna kerana boleh mewujudkan suasana pergaulan yang mesra dalam kalangan mereka di sekolah. Bagi guru, tugas mereka sebagai pemimpin  dapat digembleng dengan menggalakkan hubungan baik antara murid-murid mereka kerana ini bakal memudahkan tugas guru mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada guru-guru lain, murid dan pihak lain. Mewujudkan hubungan yang harmoni dan mesra dalam organisasi sekolah amat penting bagi mendorong kejayaan dan kecemerlangan pendidikan (Abd Rahim, 2005).

Tidak kurang pentingnya hubungan organisasi sekolah dengan masyarakat luar. Hubungan sekolah dengan masyarakat luar terutamanya dengan ibu bapa adalah amat penting sekali. Sekolah yang berkesan adalah sekolah yang mementingkan perhubungan sihat dengan pihak luar. Pihak pengurusan sekolah seharusnya pandai membuat hubungan dengan komuniti di persekitaran sekolah terutamanya masyarakat di luar agar masalah-masalah di sekolah yang berkaitan dengan disiplin, pelajaran, aktiviti sekolah dan kewangan sekolah dapat ditangani bersama, contohnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Persatuan Bekas-Bekas Pelajar (ALUMNI). Keadaan ini memperlihatkan satu bentuk komunikasi yang berkesan di sekolah pada hari ini.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa  aspek komuniasi yang baik dan berkesan sangat penting bagi organisasi sekolah. Bidang komunikasi yang begitu luas dan mencabar sangat berguna kepada kehidupan kita sebagai anggota masyarakat moden hari ini. Aspek komunikasi bukan sekadar satu ‘keperluan’ malah bertunjangkan fokus komunikasi yang memberitahu, mendidik dan membujuk dalam konteks masyarakat global. Idea ini diterjemahkan dengan lebih lanjut melalui sekolah sebagai organisasi yang penting di samping menjadi agen perubahan sosial yang utama di negara ini. Dengan perkembangan ICT hari ini, idea dan matlamat komunisasi di sekolah semakin penting dan mencabar, khususnya dalam mendidik anak bangsa Malaysia yang cerdik, berkemahiran serta berdaya saing di peringkat global. Maka tugas dan peranan pihak pengurusan, guru dan sekolah itu sendiri sangat penting dan amat diharapkan.


1 comment: