Translate

Tuesday 13 August 2013

Teori Pembelajaran Berasaskan Komputer

1.  Teori Tingkahlaku

Dalam teori tingkahlaku, tumpuan pembelajaran adalah kepada tingkahlaku luaran yang dipengaruhi oleh peneguhan. Dalam teori ini tumpuan akan diberikan kepada prinsip rangsangan dan tindakbalas terhadap bahan yang dikemukakan oleh perisian kursus kepada pelajar. Menurut Skinner (1954) teori tingkah laku adalah satu kelakuan yang boleh diperhatikan dan diukur. Melalui perisian kursus ini tumpuan pembelajaran berasaskan teori tingkahlaku, adalah kepada tindakbalas pelajar yang dipengaruhi oleh peneguhan melalui maklumbalas dari komputer.

     Teori ini juga berpegang kepada prinsip bahawa pelajar akan mengekalkan sesuatu tindakan jika peneguhan yang bersesuaian diberikan kepadanya. Menurut pandangan Thorndike (2000) hubungan di antara rangsangan dan tindakbalas akan diperkukuhkan sekiranya tindakbalas yang positif diberikan ganjaran yang positif. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar diberikan ganjaran selepas menunjukkan sesuatu gerakbalas, ia akan mengulangi tindakbalas tersebut setiap kali rangsangan yang sama diberikan. Kebanyakkan pembelajaran yang dijalankan berdasarkan teori ini adalah tanggungjawab pendidik dan dikawal sepenuhnya oleh sistem pengajaran yang digunakan. Pengaplikasian teori tingkahlaku pada perisian kursus ini ialah dengan membangunkan perisian kursus ini dengan keupayaan untuk memberikan rangsangan bagi setiap tindakbalas positif yang diberikan oleh pengguna.

2. Teori Konstruktivisme

Di dalam teori konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan oleh pendidik tetapi secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubahsuai realiti tersebut. Secara umumnya pelajar akan belajar melalui pengalaman yang diperolehi secara sendiri. Menurut Jonassen (1991) pengetahuan seseorang individu berasaskan kepada persepsi fizikal dan pengalaman sosial yang difahami oleh akal fikiran seseorang. Manakala menurut Perkins (1986) pengetahuan adalah terbina hasil dari reka bentuk  pelajar di dalam minda di mana pengetahuan dibentuk bila pelajar terlibat secara aktif di dalam proses pembentukan pengetahuan dan bukan hanya mengintepretasi dan menerima apa yang diberikan kepada mereka. Menurut Merrill (1992)  terdapat beberapa andaian yang boleh dibuat terhadap konstruktivisme iaitu :

i.        Pengetahuan dibentuk melalui pengalaman.
ii.      Pembelajaran adalah intepretasi individu terhadap persekitarannya.
iii.    Pembelajaran adalah satu proses yang aktif yang dibina melalui pengalaman  seseorang.
iv.    Perkembangan konsep dibentuk melalui perkongsian pandangan dan pembelajaran secara kolaboratif.
v.      Pembelajaran dibina di dalam situasi yang sebenar.

Berdasarkan teori konstruktivisme perisian kursus ini dibina dengan berasaskan skrin Autodesk Computer Aided Design Release 14 (ACAD R14) yang sebenar  untuk memberikan pelajar pengalaman menggunakan skrin perisian Autodesk Computer Aided Design Release 14 (ACAD R14). Melalui teori konstruktivisme yang diaplikasikan  pada perisian kursus ini pelajar akan dapat pengalaman untuk belajar pada situasi yang sebenar melalui proses pembelajaran yang aktif . Kesimpulannya konstruktivisme membentuk suasana pembelajaran yang menjurus kepada situasi sebenar dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Seterusnya berdasarkan pandangan Jonassen (1991) perbezaan yang besar yang wujud di antara konstruktivisme dengan tingkahlaku serta kognitif ialah untuk kaedah pengajaran yang berasaskan tingkahlaku dan kognitif ianya mempunyai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan manakala kaedah pengajaran yang berasaskan konstruktivisme objektif pembelajaran dan apa yang hendak dicapai adalah lebih terbuka dan bebas. Pandangan Jonassen diambilkira di dalam pembangunan perisian kursus ini dengan menyediakan tempat masuk yang banyak pada setiap skrin di mana pelajar mempunyai kebebasan untuk membina prasarana pembelajaran mereka secara kendiri.


3.  Teori Kognitif

Dalam teori ini pelajar akan memperolehi maklumat secara aktif, menstruktur maklumat tersebut dan mengkaji pengetahuan yang diperolehi supaya menjadi sesuatu yang bermakna. Teori ini lebih menjurus kepada pengetahuan yang terkini dan pengetahuan yang lepas. Menurut Good et al. (1990) dalam teori kognitif, pemindahan pembelajaran bergantung kepada pembelajaran aktif dimana pelajar akan memproses maklumat yang telah diperolehi secara aktif supaya ianya dapat digunakan kemudian. Menurut Good et al. (1990) teori kognitif menganggap proses pembelajaran adalah satu proses perolehan pengetahuan dan disusun semula melalui proses pemprosesan maklumat dan disimpan sebagai maklumat yang berguna.

     Menurut Mergel (1998) terdapat beberapa konsep penting untuk teori ini iaitu schema yang merupakan struktur pengetahuan dalaman. Maklumat yang baru diterima akan dibandingkan dengan struktur kognitif iaitu schema yang telah sedia ada. Menurut Mergel (1998) lagi schema adalah maklumat yang boleh dibaiki dan digabungkan dengan maklumat baru.

     Selain dari itu Model Tiga Fasa Pemprosesan maklumat seperti yang ditunjukkan oleh Mergel (1998) menunjukkan maklumat yang diterima akan terlebih dahulu didaftarkan kepada pendaftar sensor. Maklumat itu kemudiannya dipindahkan kepada tempat penyimpanan ingatan jangka pendek. Seterusnya  maklumat itu kemudiannya dipindahkan kepada memori jangka panjang. Kesimpulannya teori ini berasaskan kepada penerimaan maklumat, pemprosesan maklumat dan penyimpanan maklumat untuk kegunaan jangka panjang.
     Berdasarkan teori ini bagi memudahkan pelajar  memperolehi maklumat, perintah yang hendak dipelajari hendaklah direkabentuk dalam bentuk simbol dan bantuan grafik yang menarik agar  maklumat itu lebih teratur dan mudah diperolehi. Berdasarkan teori ini proses pembelajaran akan jadi lebih mudah sekiranya urutan proses penghasilan lukisan disusun dalam keadaan untuk memudahkan ianya diingati. Urutan kerja yang komplek disusun melalui persembahan video yang jelas tentang proses kerja yang perlu dilalui oleh pelajar.


4.        Teori - Teori Berkaitan Pendekatan Multimedia

Untuk pembangunan perisian kursus ini terdapat beberapa teori pembelajaran yang digunakan bagi menyokong pendekatan multimedia. Diantara teori yang digunakan ialah :
Teori Adaptive Learning dimana menurut teori ini pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri maka sistem yang dibina yang berasaskan teori ini perlu mempelbagaikan strategi pengajaran (Nwana 1991). Oleh itu keupayaan dan kemampuan komputer dalam mengintegrasikan teknologi multimedia akan dapat mempelbagaikan strategi pengajaran bagi memenuhi keperluan pelajar yang berbeza (Halimah 1999).


     Manakala menurut teori Preferred Sensory Modality (Schute 1996) pula menyatakan setiap pelajar mempunyai keupayaan penerimaan yang berbeza berasaskan deria tertentu (Schute 1996). Halimah (1999) pula menyatakan ada pelajar yang mempunyai keupayaan penerimaan maklumat yang lebih baik melalui proses rangsangan pada otak berbanding dengan deria penglihatan dan ada pula pelajar yang dapat menerima maklumat dengan lebih baik melalui rangsangan berbanding dengan gabungan deria penglihatan dan pendengaran. Menurut Halimah (1999) lagi ada pelajar yang lebih mudah untuk menerima maklumat dalam bentuk teks dan ada pelajar yang lebih mudah untuk menerima maklumat dalam bentuk imej, grafik atau animasi. Teori - teori yang telah dinyatakan di atas secara tidak langsung menyokong penggunaan multimedia dalam  pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment