Translate

Sunday 30 November 2014

Empat Perubahan Teras Dalam Melaksanakan Sesebuah Kurikulum Baharu (Fullan et al., 1989)

Sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami beberapa anjakan paradigma dalam usaha menyampaikan maklumat daripada pengajar kepada murid. Sekolah merupakan salah satu agen penting dalam memartabatkan sistem pendidikan berkualiti kepada warga pelajar dan sekaligus dapat menonjolkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia di rantau ini. Pada umumnya konsep sekolah dewasa kini diperkenalkan untuk membolehkan murid menjadi lebih bermaklumat (informed), mempunyai ilmu pengetahuan (knowledge) yang mantap dan kukuh, lebih berfikir (thoughtful) untuk menggalakkan budaya berfikir secara kritis dan kreatif dan lebih aktif mencari dan menguji ilmu serta menjalankan penyelidikan. Kurikulum yang mantap dan bersepadu mampu membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan di negara ini.

Dalam hal ini, kurikulum merupakan suatu elemen terpenting dalam sistem pendidikan negara. Ia merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang mencorakkan generasi akan datang. Bagi menjana suatu sistem pendidikan yang berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat dinamik dan relevan dengan kehendak semasa mahupun keperluan masa akan datang. Kurikulum di Malaysia ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang murid secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS). Pernyataan kurikulum ini perlulah diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah dan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta interaksi guru-pelajar di dalam dan luar bilik darjah.

Sejajar dengan pendapat Fullan et al. (1989) yang mengatakan bahawa sesebuah kurikulum baharu perlulah bersifat anovasi. Dalam hal ini, saya bersetuju dengan pendapat beliau bahawa perubahan dalam sesebuah kurikulum perlu disandarkan kepada peranan guru di sekolah. Perubahan ke arah inovasi dan pencapaian standard yang tinggi adalah perlu seiiringan dengan kemajuan dunia hari ini. Dalam melengkapkan usaha ini guru harus memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan sesuatu inovasi kurikulum. Tanpa penglibatan guru secara aktif, matlamat kurikulum yang dirancang sukar untuk dicapai. Komitmen guru untuk melaksanakan sesuatu inovasi di dalam dan luar bilik darjah banyak membantu dalam usaha melaksanakan sesebuah kurikulum baharu.

(a)       Dalam kumpulan kelas dan organisasi

Pada peringkat kumpulan kelas dan organisasi cabaran Malaysia menghadapi status negara membangun serta cabaran dan tekanan besar dalam mendepani persaingan abad ke-21 memang tidak dinafikan lagi. Menjelang tahun 2020, Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, iaitu mencapai kemajuan seimbang daripada segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan. Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara yang masyarakatnya bersatu padu dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama, moral dan etika serta menikmati kehidupan yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, perkongsian ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, serta menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamik, tangkas serta berdaya tahan. Perubahan pesat dunia hari ini menuntut Malaysia untuk segera berubah agar mampu melonjak ke tahap maju. Fasa tersebut juga telah mengetengahkan bidang pendidikan yang masih memerlukan penambah baikan dan perhatian khusus agar dapat melakukan lonjakan terakhir untuk mencapai status negara maju yang dicita-citakan dalam Wawasan 2020.

Pada peringkat negara, pendidikan yang berkualiti menjadi peneraju dalam membangunkan modal insan (human capital) yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Sejajar dengan itu pendidikan negara perlulah ditingkatkan secara menyeluruh dan berterusan supaya selaras dengan misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia. Hal ini digandingkan dengan inovasi teknologi yang menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Cabaran negara Malaysia waktu ini adalah untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi (knowledge economy) bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. Ini menuntut negara Malaysia membangunkan sumber tenaga manusia yang berketerampilan tinggi dalam pelbagai bidang dan berdaya saing. Fokus kurikulum yang maju dan mapan menjadi hala tuju sistem pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menggubal misi pendidikan sebagai fokus yang ingin dicapai dalam mengangkat martabat Malaysia dalam dunia global. Seterusnya misi pendidikan negara Malaysia membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2008).

Di peringkat organisasi sekolah para guru merupakan kumpulan pelaksana proses kurikulum yang amat penting. Mereka merupakan pelaksanaan inovasi kurikulum yang berkesan di sekolah. Mereka harus dilengkapkan dengan aspek motivasi agar tugas sebagai pelaksanan kurikulum di sekolah menjadi signifikan dengan tingkah laku mereka dalam pelaksanaan inovasi dan tugas-tugas guru secara umumnya. Hargreaves (1994) dalam rumusan kajiannya mencadangkan sekiranya guru mempunyai tahap motivasi yang tinggi, hasil kerja mereka akan meningkat, pelaksanaan tugas menjadi cekap dan mereka bertindak balas secara berkesan dalam melakukan tugas-tugas yang diamanahkan. Keadaan ini mampu mencetuskan  perubahan baik dalam perlaksanaan kurikulum di sekolah. Manakala kunci mutakhir kejayaan sesuatu perubahan pendidikan dan kemajuan sekolah ialah guru (Fullan & Hargreaves, 1992; Fullan, 1993).

Selain itu, pihak pengurusan sekolah juga salah satu organisasi terpenting dalam menjayakan perlaksanaan inovasi sesebuah kurikulum baharu di sekolah. Mengikut Shahril (2000), pengetua sebagai agen perubahan bermaksud orang atau individu yang pertama atau utama yang membuat modifikasi dalam organisasi sekolah. Justeru itu, sebagai agen perubahan pengetua haruslah membuat penyesuaian serta perubahan dalam bidang tertentu agar ianya sesuai dengan perubahan persekitaran supaya sekolah sebagai sebuah institusi sosial dapat terus hidup dan berfungsi. Tugas ini harus digembleng bersama barisan pengurusan kurikulum sekolah agar selari dengan matlamat menjadikan sekolah sebagai agen perubahan.

Dengan kata lain kecemerlangan atau kejayaan sesebuah sekolah sebagai pelaksana kurikulum banyak dipengaruhi dan disebabkan oleh kepimpinan pengetua atau guru besar yang berkesan. Ini bermakna, pengetua atau guru besarlah yang dapat menggerakkan sekolah itu maju ke hadapan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kegiatan ko-kurikulum. Menurut Sweeney (1982), terdapat enam ciri kepemimpinan pengetua atau guru besar yang berkait dengan kepimpinan pengajaran di sekolah yang berkesan. Ciri-ciri pengetua atau guru besar itu ialah:
  1. Memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang akademik;
  2. Menyusun dan menetapkan strategi pengajaran;
  3. Menyedia dan mengekalkan suasana yang kondusif di sekolah (Iklim sekolah);
  4. Kerap menilai pencapaian akademik pelajar;
  5. Menyelaras program pengajaran; dan
  6. Membantu dan memberi semangat kepada para guru.
(b)       Dalam bahan-bahan

Kurikulum yang digubal juga harus selari dengan bahan-bahan yang berkaitan bagi membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dalam bidang komunikasi, bidang manusia dengan alam sekeliling dan perkembangan bidang diri individu yang sesuai dengan keperluan, minat, bakat dan kemampuan mental serta kesediaan para pelajar. Dalam hal ini, bahan-bahan adalah dirujuk sebagai bahan bantu mengajar yang  kreatif, cantik dan menarik.  Bahan bantu mengajar itu pula perlu diinovasikan. Fullan (1991) menyatakan komponen-komponen bahan-bahan adalah seperti berikut; (i) penggunaan bahan-bahan kurikulum yang disemak semula atau baharu atau berteknologi; (ii) penggunaan pendekatan baharu; dan (iii) pengubahsuaian kepercayaan, contohnya, andaian pedagogi dan teori berkenaan polisi baharu atau inovasi.

Inovasi bahan-bahan dalam sesebuah kurikulum lazimnya merujuk kepada pengenalan sesuatu yang baru atau memperbaharui sesuatu yang telah sedia ada dengan diberi wajah baru. Dalam dunia moden, perkembangan teknologi begitu pantas bergerak. Di sekolah peranan teknologi amat penting. Kegagalan pihak sekolah berkembang selaras dengan kemajuan teknologi akan menghalang kepada kecemerlangan pendidikan. Penggunaan alatan moden di sekolah seperti komputer, mesin dan jentera serta teknik-teknik baru dalam pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran akan membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah. Perkembangan terkini dalam dunia pendidikan yang menekankan penggunaan multimedia seperti Sekolah Bestari mendesak supaya perubahan dilaksanakan di sekolah. Untuk melaksanakan perubahan ini sudah tentu memerlukan guru yang memiliki pengetahuan, kemahiran serta kuasa kepakaran (expertise power) yang tinggi bagi menjamin keberkesanan proses penyampaian kandungan pembelajaran.
(c)        Dalam amalan dan tingkah laku
Peranan guru dalam proses pengajaran di sekolah adalah amat penting. Seseorang guru yang baik perlu membina dan mengembangkan idealisme sosial dan moral yang boleh dihayati oleh para pelajarnya. Dalam perlaksanaan sesebuah kurikulum baharu yang mantap dan berkesan idealisme pengajaran guru mampu melakukan perubahan dan mencorakkan pembangunan manusia yang kukuh dari segi akhlak dan moral, insan yang berpengetahuan, berdaya maju dan dapat menghadapi cabaran. Pengajaran bukan setakat menyampaikan maklumat yang kaku dan beku, berguna atau tidak berguna, relevan atau tidak relevan tetapi yang lebih penting ialah membina dan mengembangkan idealisme hidup yang baik, berhemah dan mendorong seseorang menjadi manusia yang berjaya dan berjasa. Tugas ini memerlukan profesion keguruan menekankan idealisme pengajaran yang menarik minat, bersifat ‛inspiring’, idea baharu, kualiti intelektual, menerangi kejahilan, memberi iktibar, cabaran menghadapi masa hadapan, merealisasikan jati diri, keinsafan, persefahaman dan tingkah laku yang baik.
Ciri-ciri pengajaran yang berkesan akan membentuk suatu perspektif kerengka pengajaran bagi mencapai matlamat dan idealisme pengajaran seperti yang digariskan dalam sesuatu kurikulum. Bagi mencapai matlamat kurikulum, guru perlu mengembangkan ciri-ciri pengajaran yang berkesan di samping meningkatkan peranan mereka yang lebih positif bagi melaksanakan idealisme pengajaran dan pembelajaran. Peranan dan tugas guru sebagai pelaksana kurikulum amat bergantung kepada pengetahuan, kepakaran dan profesionalisme keguruan sepenuhnya.
(d)       Dalam kepercayaan dan persefahaman
Selanjutnya, dalam melaksanakan sesebuah kurikulum yang mantap dan berkesan sikap guru dikatakan menjadi asas pertimbangan oleh kebanyakan guru dalam menyaring dan mentafsirkan segala bentuk inovasi terutama berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Fenomena sikap guru tersebut menyatakan secara umumnya guru hanya akan menerima inovasi sekiranya perkara tersebut serasi dengan epistemologi sikap mereka (Richardson,1996). lni kerana guru-guru mempunyai sikap dan kepercayaan tersendiri terhadap amalan yang dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aspek kepercayaan yang meletakkan pengetahuan dan kemahiran adalah penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan inovasi bagi sesuatu kurikulum. Penguasaan guru dalam aspek tersebut memandu mereka untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.
Bagi aspek tumpuan bahawa seseorang guru mempunyai tahap tumpuan tertentu dalam melaksanakan proses pengajaran di sekolah. Namun setiap orang guru mempunyai aspek tumpuan yang berbeza-beza dalam menentukan kepercayaan menerima dan melaksanakan inovasi kurikulum. Dalam konteks ini, teori-teori yang berkaitan dengan aspek kepercayaan mengandaikan seseorang guru mempunyai tahap perkembangan diri yang berlainan dan perbezaan tersebut memberikan implikasi kepada kesediaan mereka melaksanakan inovasi itu sendiri (Fuller, 1975).
Berkenaan dengan aspek kepercayaan guru-guru mempunyai pelbagai aspek kepercayaan yang agak sukar diatasi kerana melibatkan psikologi dalaman guru, motivasi, sikap, persepsi, tanggapan, ‘world view’ serta pengalaman mereka. Reaksi guru-guru terhadap inovasi kurikulum, namun perubahan akan terus berlaku, malah sukar untuk dibendung. Namun sebagai seorang guru yang bertanggungjawab dan komited dalam merealisasikan matlamat kurikulum semestinya guru berpegang kepada etika dan norma profesion keguruan ke arah persefahaman yang jitu. Sifat mengawal tingkah laku, tindakan, amalan dan tanggungjawab, berhemah dan berkualiti, menjaga nama baik profesion dan sebagainya merupakan asas yang cukup penting dalam menjaga aspek kepercayaan dan persefahaman guru agar matlamat pendidikan negara tercapai.
Justeru itu, tahap inovasi kurikulum haruslah berhadapan dengan segala cabaran yang ada. Sekolah seharusnya mempunyai visi dan pandangan dunia tcrsendiri supaya dasar-dasar yang digubal mencapai sasarannya, Sekolah harus bersedia untuk berubah mengikut zaman. Trend perubahan di Malaysia yang cukup pesat sejak akhir-akhir ini semestinya akan berterusan. Malah mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan adalah agen tumbesaran generasi masa depan dengan tujuan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk membentuk individu yang berkemampuan menangani cabaran globalisasi tetapi mengekalkan ciri-ciri ala Malaysia.












No comments:

Post a Comment