Translate

Sunday 30 November 2014

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bestari

Sekolah Bestari di Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh (systematically) dari proses pengajaran, pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi cabaran zaman maklumat. Mulai tahun 1996, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menggubal konsep Sekolah Bestari berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berpemikiran kritis dan kreatif. Penggunaan teknologi sebagai pengupaya atau pemboleh menjadi komponen penting dalam konsep Sekolah Bestari apabila projek ini diwujudkan sebagai satu daripada aplikasi perdana MSC.

Menurut Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Sekolah Bestari merupakan:

 “An exciting development of our education system is the creation of Smart
Schools. Smart schools are being planned in stages nationally, not only to
            meet the requirements of the Multimedia Super Corridor, but also to create
a new generation of Malaysians – Malaysians who are more creative and
innovative in their thinking, adopt with new technologies, and able to
access and manage completely the information explosion.
(Blueprint Projek Rintis Sekolah Bestari, 1998 dalam Sobariyah, 2006)

Dalam konteks pembelajaran bestari terdapat beberapa jenis strategi pengajaran  yang dikenal pasti iaitu Direktif (Directive), Pemerhatian (Observation), Mediatif (Mediative), Generatif (Generative), Koperatif dan Kolaboratif (Co-operative and Collaborative), Konteks Luar (Outside-Context) Metakognitif (Metacognitive), Kontektual (Contextual), Kajian Masa Depan (Futuristic Studies). Manakala strategi pembelajaran pula meliputi pembelajaran masteri (mastery learning), kadar kendiri (self-paced learning), akses kendiri (self-acces learning) dan terarah kendiri (self-directed learning).

Berdasarkan pernyataan tersebut, Sekolah Bestari di Malaysia bukan sahaja dikategorikan dengan pengenalan teknologi semata-mata (walaupun ia merupakan komponen yang kritikal) tetapi yang lebih pentingnya ialah kemampuan menyampaikan ilmu dengan cara yang lebih baik. Sekolah Bestari juga merujuk kepada peluang teknologi maklumat interaktif untuk memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran serta proses pengurusan. Bahagian ini selanjutnya akan membincangkan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini yang sesuai dilaksanakan di sekolah-sekolah (Sobariyah, 2006). 

Dalam era globalisasi, sistem pendidikan mengkehendaki keperluan menyeluruh dan telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi berkesan. Persepsi dan pendekatan masa kini perlu diubah dari “belajar bersama ICT” kepada “belajar melalui ICT”. Keperluan golongan pelajar mempunyai asas kukuh dan pengetahuan luas dalam ICT adalah begitu mendesak. Justeru itu, penekanan terhadap integrasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran menjadi agenda utama kerajaan bagi memastikan ia dapat digerakkan pada setiap peringkat masyarakat.

Selain daripada pembangunan infrastruktur, pelaburan yang bukan sedikit turut dibuat untuk membangunkan perisian-perisian pembelajaran. Perkembangan terkini menyaksikan bermacam-macam penerbitan cakera padat untuk pelbagai mata pelajaran sama ada oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) atau Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), KPM yang diedarkan ke sekolahsekolah untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Persoalannya ialah apakah peranan penggunaan komputer dalam pendidikan, khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta apakah pula signifikannya dengan Sekolah Bestari. Menurut Fiske (1992) pembelajaran bestari haruslah menampilkan ciri-ciri yang fleksibel.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Perkins (1992) menegaskan bahawa pembelajaran bestari merupakan aktiviti-aktiviti pembelajaran berfokuskan pembinaan minda pelajar. Pengintergrasian teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran berupaya meransang pemikiran pelajar berasaskan kepelbagaian sumber maklumat yang melampaui batasan bilik darjah. Penggunaan ICT seperti komputer, rangkaian jaringan setempat (LAN), jaringan kawasan luas (WAN), internet, dan pelbagai perisian multimedia berupaya mempertingkatkan kualiti pembelajaran ke arah akses kendiri (self-accessed), terarah (selfdirected), membuat penilaian kendiri (self-assessed), serta mengikut kadar pembelajaran individu (selfpaced). Semua keupayaan tersebut dapat mengoptimumkan proses pembelajaran berasaskan pendekatan berasaskan murid (Sobariyah, 2006).

Justeru, strategi pengajaran dan pembelajaran bestari bermatlamat untuk melahirkan insan berakhlak mulia dengan menekankan aspek pemupukan nilai dan pembinaan sikap serta sahsiah terpuji di kalangan pelajar. Unsur-unsur nilai dan moral merentas kurikulum diperteguhkan dalam iklim pembelajaran bestari dengan bimbingan dan panduan guru serta melalui interaksi sesama pelajar. Pembelajaran bestari dalam konteks pendidikan di Malaysia masih berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Individu yang dilahirkan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara sejajar dengan hasrat mencapai wawasan negara yang maju.

No comments:

Post a Comment