Translate

Sunday 30 November 2014

Konsep Penulisan

Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran, 1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu, guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya. 

Kepentingan terhadap penguasaan bahasa lebih ketara dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa digunakan dalam interaksi lisan antara guru dengan murid. Hal ini jelas dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia (Melayu) sekolah rendah dan juga sekolah menengah. Banyak aktiviti dan kemahiran yang menekankan aspek-aspek kemahiran bahasa dalam sukatan pelajaran. Perkara ini diberi tumpuan utama bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan murid-murid mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan pengetahuan dan penulisan imaginatif (Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1, 1983). Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (1989) menegaskan bahawa Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) merupakan unsur yang diberikan penekanan baru dalam proses menulis di samping kemahiran-kemahiran lain.

Perkembangan pembelajaran murid-murid pada usia yang masih rendah, khususnya kebolehan berbahasa adalah sebahagian daripada kemahiran berfikir mereka. Kebolehan menulis dengan baik merupakan kemahiran yang penting diperolehi  oleh murid-murid di peringkat usia muda. Usaha untuk melahirkan murid-murid yang kreatif dan pintar bermula pada peringkat ini. Bak kata perpatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Oleh itu, guru bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan murid-murid mereka dalam penguasaan bahasa Melayu. Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahim Selamat (1997) menggariskan empat peranan guru bahasa Melayu iaitu sebagai perancang pengajaran dan pembelajaran; penggerak dan pendorong pengajaran dan pembelajaran; pembimbing murid; dan pemupuk semangat dan pembentuk sahsiah murid.

No comments:

Post a Comment