Translate

Saturday 22 November 2014

Perkembangan Moral Kognitif dan Faktor Berlakunya Vandalisme

Pengenalan

Zaman remaja merupakan jangka masa di mana seseorang individu (remaja) mengalami berbagai cabaran dan tekanan. Dari sudut psikologi, pengertian remaja boleh ditafsirkan sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya  atau berdasarkan sikap remaja terhadap kehidupannya. Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan utama bagi remaja (Rosiadi et.al, 2008).

Pada peringkat remaja, mereka mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat. Havighurst dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004) membahagikan masa remaja kepada dua iaitu awal remaja (12 hingga 18 tahun) dan akhir remaja (18 hingga 22 tahun). Secara umumnya, pada peringkat ini berlaku perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Menurut Rosiadi et. al, (2008) untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah sosial dan konflik dalam usaha mencari identiti diri yang sebenarnya. Justeru, proses penaakulan moral kognitif golongan remaja kerap kali menyimpang daripada perspektif nilai-nilai moral dan etika masyarakat sekaligus melakukan banyak kesalahan, terutama yang berkaitan dengan vandalisme (merosakkan harta benda awam) di sekolah mahupun di tempat-tempat awam.Konsep pendekatan dalam Pendidikan Moral yang menjurus kepada penaakulan moral kognitif ianya memberi tumpuan kepada perkembangan karaktor moral, sikap membuat pertimbangan moral dan implikasi moral berupaya mengubah tingkah laku remaja (pelajar) ke arah kebaikan daripada  melakukan sebarang bentuk vandalisme yang membawa kerugian banyak pihak.

Perkembangan Moral Kognitif

Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif adalah berasaskan kepada teori perkembangan moral Kohlberg (1962) yang memberi fokus kepada merangsang perkembangan moral para remaja (pelajar).Pedekatan ini banyak membantu membina kebolehan menaakul golongan remaja di peringkat yang lebih tinggi. Bailey (1979) dalam (Chang Lee Hoon, 2005) turut menyatakan bahawa perkembangan moral pada peringkat ini lebih tertumpu kepada perkembangan karaktor moral, sikap terhadap peraturan moral dan membuat pertimbangan moral. Di samping itu juga, istilah ‘perkembangan’ memberi satu gambaran yang menunjukkan satu perubahan yang progresif ke tahap yang lebih kompleks yang tidak boleh diterbalikkan, maka perkembangan moral membayangkan andaian mengenai apakah yang dianggap matang dari segi moral (Downey & Kelly (1978) dalam Chang Lee Hoon (2005).

Terdapat beberapa perspektif atau teori perkembangan moral yang membawa implikasi terhadap pendidikan moral, khususnya dalam kebanyakan gejala sosial yang berlaku kini. Penaakulan moral yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja (Loganathan, 1995). Stoll & Beller dalam Loganathan (1995) turut  melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar bahawa sesuatu harus dilakukan untuk mengajar nilai-nilai murni dan yang lebih penting lagi adalah mengajar pelajar cara menaakul tentang sesuatu nilai. Namun, Wilson (1973) memang telah menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan suatu kemahiran yang boleh diajar dan dipelajari.

Antara perspektif perkembangan moral mengikut skema Kohlberg (1987) dengan jelas menyatakan perubahan dalam pertimbangan moral berstruktur menerusi sistem berperingkat mengikut perkembangan dan kematangan intelek atau kognitif seseorang individu.

Tahap
Peringkat
Prakonvensional
1. Orientasi dendaan dan kepatuhan
2. Orientasi instrumental relativis
Konvensional
3. Orientasi persetujuan antara individu
4. Orientasi undang-undang dan peraturan
Pascakovensional
5. Orientasi contract-legalistic sosial
6. Orientasi prinsip etika sejagat

          Sumber : Skema Kholberg (1987), diubahsuai daripada Chang L.H.(2005)

Pada tahap prakonvensional, remaja mula menaakul secara abstrak. Mereka sering menjadi amat bangga dengan kemahiran diri sendiri dan berfikir bahawa mereka berupaya menyelesaikan segala bentuk masalah. Menurut Piaget (1967) dalam Chang Lee Hoon (2005) sikap ini menjadikan remaja terlalu idealistik dan kurang menghargai batasan logik tingkah laku mereka. Tambahan pula, sikap ego pada golongan remaja akan membawa kepada perkembangan formal yang membawa kepada kekeliruan di mana pemikiran dan sahsiah diri mereka tidak disedari oleh mereka sendiri. Kekeliruan pandangan merupakan satu bentuk egosentrisme yang menekankan masalah dan pemikiran remaja bersifat abstrak (Rosiadi et.al, 2008).

 Tahap konvensional pula menekankan perspektif pembelajaran sosial (Behaviourisme) di mana golongan remaja mula sedar akan peraturan sosial yang menjadi standard moral yang bersifat subjektif yang dibina oleh individu-individu tertentu boleh berubah dan juga boleh ditentang. Peraturan sosial dilihat sebagai jangkaan sosial sama ada yang dibuat oleh ibu bapa dan masyarakat yang tidak semestinya dipatuhi oleh mereka. Pada peringkat ini, golongan remaja boleh mempelajari tingkah laku moral melalui pengajaran secara langsung mahupun teladan (imitasi) di mana dikekalkan melalui ganjaran dan peneguhan positif (seperti pujian, senyuman, hadiah atau perhatian) atau hukuman dan peneguhan negatif (seperti marah, mengurung, memberhentikan keistimewaan dan tidak memberi kasih sayang) (Chang L.H (2005). Tindakan ini akan mengawal dan mengubah tingkah laku sosial remaja di mana lama kelamaan mereka akan sedar bahawa peraturan sosial berperanan dalam menyelaraskan interaksi dengan orang lain.

Perspektif integratif dalam perkembangan moral (Tahap Pascakovensional) dengan jelas menunjukkan apabila golongan remaja berupaya mengatasi egosentrisme mereka dalam hubungan dengan orang lain. Keadaan ini menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam penilaian moral dan pemahaman tentang tindakan  yang meningkatkan kebajikan manusia dalam pelbagai situasi. Menurut Hoffman (1980) dalam Rosiadi et.al,(2008) pengetahuan tidak semestinya diterjemahkan kepada tingkah laku sebenar tetapi sekurang-kurangnya keadaan akan memperlihatkan ciri-ciri tersebut. Aspek lain yang diperlihatkan pada peringkat perkembangan moral ini ialah ‘rasa bersalah’ golongan remaja. Remaja akan mulai sedar dan berasa bersalah apabila melakukan sesuatu yang salah. Perubahan ini berlaku apabila mereka sudah berupaya menilai apa yang dipaparkan melalui perbuatan diri sendiri. Dari sini jelas golongan remaja berupaya berfikir secara formal, iaitu kebolehan berfikir tentang idea. Pemikiran formal mereka merupakan kebolehan berfikir tentang kemungkinan, penaakulan saintifik dan kebolehan idea secara logik. Justeru, pada tahap ini golongan remaja mampu meningkatkan pemikiran formal mereka dalam menyelesaikan permasalahan secara sistematik melalui kognitif mereka.

Gejala Sosial : Vandalisme

Vandalisme bukanlah satu isu baru di negara ini malah ianya diperbincangkan hangat melalui media massa. Kamus Oxford Advanced Learner’s mentakrifkan vandalisme sebagai “willfully destroy or damage (public property) dan vandal sebagai ‘person who willfully destroys or damage works of art, public and private property, the beauties of nature, etc’ (dalam Nurain, 2007). Gejala sosial ini menimbulkan keresahan banyak pihak di mana golongan remaja dikaitkan dengan aktiviti tidak sihat ini. Permasalahan ini berlaku di banyak tempat awam, reakreasi, sekolah, pusat membeli belah dan sebagainya.

Di Malaysia, perbuatan merosakkan harta benda di sekolah dilihat sebagai suatu tindakan yang serius. Masalah merosakkan harta benda sekolah, secara sedar atau tidak, telah menjadi fenomena lumrah dalam alam persekitaran sekolah. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini mendapat perhatian serius dari pihak sekolah dan juga masyarakat. Pelajar-pelajar tidak memikirkan kepentingan dan kesejahteraan orang lain. Mereka sewenang-wenangnya merosakkan dan mengotori kemudahan dan persekitaran sekolah tanpa rasa bersalah langsung (Nurain, 2007). Perbuatan ini dilihat serius dan sejak 1968 lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengedarkan surat pekeliling yang membenarkan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ini dibuang dan digantung sementara waktu, di bawah undang-undang 1.3.5 merosak atau membinasakan harta sekolah (Mohd Zin Sham, 1996).

Persoalannya sekarang, mengapakah golongan remaja (pelajar) begitu mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak sihat?. Bukankah perbuatan menconteng dan merosakkan harta benda awam merupakan suatu kerja yang sia-sia?. Tidakkah pelajar sedar yang perbuatan mereka tidak mendatangkan sebarang faedah? Seperti mana yang dikatakan, dunia remaja penuh dengan pergolakan untuk mencari identiti diri. Pada peringkat ini pelajar mengalami krisis psikologi dan konflik batin yang hebat. Bertepatan dengan ini pendekatan perkembangan moral kognitif adalah merupakan satu cara terbaik bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah vandalisme yang melibatkan golongan ini.

Faktor-Faktor Vandalisme

Tingkah laku vandalisme dalam kalangan pelajar dipengaruhi oleh banyak faktor. Namun, faktor yang dipilih dalam kajian ini adalah faktor pengaruh rakan sebaya, ibu bapa dan keluarga, pengaruh media massa, dan sikap apati (tidak peduli) individualistik dan materialistik masyarakat. Oleh itu, pengaruh yang paling dominan perlu diketengahkan untuk mencari penyelesaian terhadap salah laku vandalisme. Ini kerana golongan remaja khasnya adalah harapan masyarakat dalam mewarisi kepimpinan dan pembangunan negara pada masa depan. Cohen (1968) & Bowles (1982) membahagikan perbuatan vandalisme kepada enam kategori, iaitu vandalisme berbentuk keinginan; dirancang; ideological; sifat balas dendam; suka-suka; dan bersifat merosak.

Faktor-faktor berlakunya vandalisme dalam kalangan remaja, pertama; pengaruh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan berlakunya vandalisme. Golongan remaja lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaanya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan sekaligus merosakkannya. Mengikut Datuk Lee Lam Thye (1997) menyatakan golongan yang merosakkan harta benda merupakan golongan remaja yang ingin bebas tetapi dikongkong oleh ibu bapa. Mereka tidak mempunyai matlamat dan gemar melakukan kesalahan ini apabila berkumpul dengan rakan-rakan mereka. Pelaku akan merasa puas setelah melakukan perbuatan tersebut.

Kedua, ibu bapa adalah pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan dari kereta tanpa menghiraukan sebarang kemungkinan akan berlaku. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme ini berasal daripada keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup yang negatif. Menurut kajian yang pernah dijalankan menunjukkan vandalisme dendam dilakukan oleh  remaja yang ingin bebas dan berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah. Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama yang mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini. Kajian Sulaiman Alias (1994) menyatakan golongan remaja yang melakukan vandalisme merosakkan harta benda tanpa ada sebarang sebab serta tidak memperolehi apa-apa keuntungan dari perbuatannya itu. Salah laku begini selalunya menunjukkan bangkangan terhadap sesuatu atau luahan kekecewaan pelaku kepada keluarga, masyarakat dan sekolah. Mereka ingin menarik perhatian orang ramai dan memperkenalkan dirinya secara negatif.

Institusi keluarga kini kurang memberi perhatian dalam pembentukan sahsiah keluarga terutama terhadap anak-anak. Akibatnya konflik keluarga akan timbul dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Hal ini disokong oleh Galamus dan Maggs (1991) yang menyatakan tahap konflik keluarga yang tinggi menyebabkan remaja terlibat dalam tingkah laku bermasalah, khasnya vandalisme. Alim Muntu (1988) pula menambah salah laku dalam kalangan pelajar terjadi kerana pelajar-pelajar kurang merasai kemesraan dalam keluarga.

Mengikut perangkaan statisitik yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, ternyata tingkah laku vandalisme dalam kalangan remaja meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 1993, seramai 2,226 pelajar terlibat dalam vandalisme. Pada tahun 1994 pula meningkat hingga 2,622 pelajar dan pada tahun 1995 terus meningkat kepada 2,736 pelajar. Walaupun bilangan kes tingkah laku vandalisme di kalangan 1.2 juta pelajar menengah jumlahnya mungkin kecil, namun perbuatan kesalahan yang dilakukan memerlukan tindakan serius dari pihak berkaitan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong peningkatan aktiviti-aktiviti vandalisme dalam kalangan pelajar di negara kita.

Pengaruh media massa merupakan pengaruh yang ketiga yang tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi gejala vandalisme dalam kalangan remaja kita. Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedikit sebanyak menyebabkan peranan media massa kian terserlah. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan gejala ini. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya daripada pihak terbabit.

Sikap ganas dan keterlaluan para remaja sedikit sebanyak di pengaruhi apa yang mereka baca, dengar dan tonton daripada media massa. Lantas, kesemua ini diterjemahkan melalui perlakuan devian mereka sehingga memudaratkan harta benda dan nyawa orang lain. Sebagai contoh, Akhbar Utusan Malaysia 5 April 1989 melaporkan polis menahan seorang pelajar lelaki berhubung dengan kejadian dua letupan kecil di bilik tandas Sekolah Menengah Taman Tun Dr. Ismail. Kesan letupan itu mengakibatkan tingkap-tingkap kaca pecah dan beberapa kepingan logam berselerak dalam tandas tersebut. Akhbar Metro 19 Jun 1996 melaporkan pelajar sebuah sekolah di Tampoi bertindak menconteng nama seorang guru lelaki disiplin pada dinding bangunan bilik air sekolah berkenaan dengan kata-kata lucah menggunakan penyembur cat. Malah pelajar terbabit bertindak keterlaluan menconteng kata-kata memalukan iaitu guru itu mempunyai hubungan sulit dan merogol seorang guru wanita.

Kes lain yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 19 Jun 2000, sebuah bilik darjah Sekolah Kebangsaan Rawang telah musnah dalam satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat. Dalam kejadian tersebut sebuah almari berisi beratus-ratus buku rujukan, buku tamabahan serta soalan peperiksaan untuk pelajar tahun 6 telah musnah. Pihak polis telah mengesahkan terdapat unsur-unsur jenayah berdasarkan penemuan puntung-puntung mancis di kawasan berkenaan. Pihak polis tidak menolak kemungkinan besar perbuatan ini dilakukan oleh pelajar sekolah. Nampaknya gejala vandalisme dan salah laku pelajar semakin hari semakin meruncing sehingga membawa kepada perlakuan jenayah yang lebih berat lagi. Pelajar begitu berani bertindak liar dan ganas tanpa rasa perikemanusiaan langsung. Justeru, langkah-langkah drastik perlu diambil oleh pihak-pihak terbabit untuk mencegah serta membanteras tingkah laku negatif pelajar-pelajar sekolah.

Berhubung dengan faktor sikap apati, perlakuan sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak peduli terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliing mereka turut merumitkan masalah vandalisme ini. Menurut kajian, kes vandalisme banyak berlaku di kawasan bandar. Sikap individualistik masyarakat turut mengeruhkan keadaan di mana tidak peduli apa yang berlaku. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar yang sukar dikawal. Di kawasan bandar kebanyakkan penduduknya tidak ambil kisah. Oleh sebab itu, golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggunjawab terhadap harta benda awam. Kajian Anidah Ithnin (1991) yang mendapati pelajar nakal memiliki konsep kendiri yang negatif, sebaliknya pelajar-pelajar tidak nakal memiliki konsep kendiri yang positif. Maka, golongan pelajar nakal banyak melakukan vandalisme di tempat-tempat awam.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, dapatlah dikatakan bahawa perkembangan moral kognitif sememangnya berupaya mempengaruhi tingkah laku remaja (pelajar) dalam tindakan mereka, terutama dalam gejala vandalisme di tempat awam dan sekolah.  Terdapat pelbagai gejala sosial yang dilakukan oleh golongan remaja dengan tujuan atau niat tertentu. Gejala vandalisme ini dilihat sebagai serius dalam masyarakat kita di mana turut dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti pengaruh rakan sebaya, ibu bapa dan keluarga, pengaruh media massa, dan sikap apati (tidak peduli) individualistik dan materialistik masyarakat.

Bibliografi:

Alim Muntu. (1998). Satu kajian tentang faktor-faktor kekeluargaan yang mempengaruhi dispilin di kalangan pelajar sekolah menengah di Sabah. Latihan Ilmiah. Serdang : Universiti Pertanian Malaysia.

Anidah Ithnin. (1991). Konsep kendiri di kalangan remaja perempuan. Perbandingan di antara penghuni pusat pemulihan akhlak dan pelajar sekolah. Latihan ilmiah. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bowels, J.K.,(1982). The Residence hall vandalism problem: A model for examining destruction behaviour: Journal of Collage and University Student Housing. Jil 12 (1), pp 15-19.

Chang Lee Hoon. (2005). Konsep Asas Dalam Pendidikan Moral. Kuala LumpurUniversiti Malaya.

Cohen, S. (1968). The polotics of vandalism. New Society. Jil 12, pp.872-878.

Downey, M. & Kelly, A.V. (1978). Moral education: Theory and practice.   London : Harper & Row.

Galamus.L.N & Maggs, L.J.(1991). Out of school of young adolescence and self reported behaviour. Development psychology. Jil.27 (4), 644-655

Kohlberg, L. (1975). The cognitive-developmental approach to Moral Education. Phi Delta Kappan LVI (10) : 670  677.

Loganathan, R.(1995). Peringkat perkembangan moral di kalangan pelajar sekolah menengah Bandar dan luar Bandar. Latihan Ilmiah. Universiti Malaya.

Mohd. Zin Sham. (1996).Cabaran guru terhadap disiplin pelajar.Seminar disiplin pelajar kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia.Genting Highland, Pahang : 27-30 ogos.

Nurain Binti Hj. Sarpan. (2007). Faktor-faktor mempengaruhi tingkah laku vandalisme di kalangan remaja sekolah menengah satu kajian ke di Daerah Alor Gajah, Melaka. Tesis Sarjana. Fakulti Pendidikan : Universiti Teknologi Malaysia.

Oxford Advanced Learner’s Dictionary. (1991).New York:Oxford University Press.

Ramlah Jantan dan Mahani Razali. (2004). Psikologi Pendidikan : Pendekatan Kontemporari. Kuala Lumpur : McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.

Rosiadi Bin Tajudin et.al,. (2008). Penyalahgunaan Dadah Di Kalangan Remaja Dari Sudut Psikologi. Diploma Lepasan Ijazah. UPSI.

Wilson, J. (1973). The assessment of morality. Great Britain : NFER Publishing Company Ltd.
 Vandalisme dalam kalangan remaja. Dipetik daripada;
http://www.scribd.com/doc/2081250/vandalisme-dalam-kalangan-remaja (29/11/2008)

Appendik:

Lee Lam Thye (1997).Perlakuan buruk generasi baru : Tiga kategori vandalisme.
Mingguan Malaysia. 6 Jun. m.s.5.

Metro.1996.19 Jun. m.s. 5.
Utusan Malaysia.1989. 5 April. m.s.1
Utusan Malaysia. 2000.19Jun. m.s.1



No comments:

Post a Comment