Dewasa kini negara kita
Malaysia sudah berada pada landasan kemajuan dan pembangunan yang pesat serta
berkembang. Situasi ini seiringan dengan perubahan angin kemajuan di peringkat
global yang kian tiada garis sempadan lagi. Tahap penerimaan nilai-nilai yang
berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial manusia pada peringkat global
sudah tidak dapat dikawal lagi malah ianya telah mengubah dan mencorak
kepelbagaian hidup manusia di seluruh dunia. Pendek kata, dunia sudah
dilabelkan tidak mempunyai sempadan lagi dalam konteks teknologi maklumat.
Begitu juga dengan proses penerimaan dan perkembangan manusia terhadap norma
kehidupan mereka.
Persoalannya, kehidupan
masyarakat di negara ini yang diwarnai pelbagai tingkah laku sosial yang
dahulunya disifatkan baik, berbudi bahasa, lemah lembut, bertolak ansur,
rasional dan sebagainya sudah mulai kian luntur dek perkembangan waktu dan
diasimilasikan dengan pengaruh luar. Dalam konteks ini, norma-norma kehidupan
yang harmoni pada suatu ketika dahulu kian menerima dan berhadapan dengan
situasi yang tidak stabil lagi. Banyak perkara yang dilakukan oleh golongan
masyarakat moden hari ini sudah menyimpang daripada nilai ketimuran masyarakat
Malaysia dahulunya. Fenomena tingkah laku sosial ini sudah tidak sealiran lagi
dengan tuntutan masyarakat yang mementingkan norma-norma kehidupan yang
baik-baik.
Dengan kata lain, masyarakat
sekarang sudah cukup selesa berada dalam kelompok masyarakat moden kompleks
yang bebas melakukan apa sahaja selari dengan keperluan dan citarasa sendiri
tanpa memikir panjang sebab akibat serta nilai masa silam yang menjadi pegangan
nenek moyang mereka sejak dahulu lagi. Fenomena ini telah mencetuskan masalah
sosial yang banyak di negara ini sehingga menjadi gejala yang serius dan sukar
dibendung lagi. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat
dan kerajaan di mana banyak dilaporkan dalam media massa seperti akhbar,
televisyen, internet dan alat komunikasi yang lain.
Trend fenomena sosial di negara ini
besifat positif di mana saban hari kita mendengar dan disajikan dengan
berita-berita jenayah, keruntuhan rumah tangga, masalah remaja, isu pendidikan,
politik yang haruk-pikuk, ekonomi gawat dan sebagainya. Fenomena tingkah laku
sosial yang menyeleweng lazimnya melanggar tatasusila yang ditentukan oleh sesuatu kumpulan
masyarakat (Rohani Awang, 1996) dalam Abdullah Sani Yahaya (2005). Masalah-masalah
ini sedikit sebanyak mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain sehingga
menjadi fenomena sosial yang lebih besar serta mempunyai pengaruh dalam
pembangunan negara dan masyarakat,
khususnya keluarga. Dalam proses memantapkan institusi keluarga ke arah budaya
penyayang kita terpaksa berhadapan dengan masalah sosial yang kian menular dan
sesetengahnya sukar dibendung.
Fenomena Tingkah Laku Sosial
Fenomena sosial yang menyeleweng
daripada norma kehidupan harmoni
masyarakat kita kian luntur dan bertambah samada berdasarkan statistik atau
laporan media massa tiap-tiap hari. Usaha pihak kerajaan dalam melahirkan
masyarakat penyayang dan keluarga bahagia menghadapi haluan getir apabila
berhadapan dengan fenomena sosial yang banyak berlaku dalam masyarakat dan
keluarga itu sendiri. Menurut Ami Masra (dalam Akademik) (1996) kebimbangan
yang berlaku sekarang adalah berikutan peningkatan masalah sosial dalam
kerajaan dan masyarakat di negara ini. Di Malaysia, peningkatan fenomena sosial
ini lazimnya dikaitkan dengan golongan remaja yang merupakan sebahagian besar
daripada golongan masyarakat dan waris kepada sesuatu keluarga. Oleh kerana
bilangan kelompok ini lebih ramai, maka masalah yang berkaitan dengan mereka
juga banyak. Walau bagaimanapun, permasalahan sosial ini turut melibatkan
keseluruhan lapisan masyarakat tanpa mengenal kaum, agama dan asal usul mereka.
Permasalahan sosial yang sedang meruncing
kini seharusnya mendapat perhatian semua pihak yang cintakan negara ini dan
mereka yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju contoh. Sama ada
secara sedar atau tidak, peningkatan kes-kes yang dikategorikan sebagai gejala
sosial kini berada pada tahap yang agak membimbangkan, malah mungkin juga
“mencemaskan”. Ini dapat dibuktikan melalui pendedahan dan laporan harian
media massa mengenai peningkatan kes-kes berkenaan. Setiap hari kita
akan mendengar atau membaca berita serta liputan mengenai kes-kes gejala
sosial. Masalah sosial adalah suatu tindakan yang merangkumi pelbagai perlakuan
negatif masyarakat yang tidak membawa kekuatan serta keuntungan
kepada sesebuah negara, samada kepada struktur sosial, politik mahupun sistem
ekonomi negara berkenaan. Perlakuan yang menyimpang daripada nilai dan
norma masyarakat ini mengundang kerisauan dalam masyarakat berkenaan kerana ia
boleh memecahkan struktur nilai yang dipegang oleh sebahagian besar komuniti
tersebut.
Menurut kajian Amaludin Abd. Rahman dan
Khadijah Alawin (2004) dalam (V. Raman (2008) terdapatnya
28 jenis masalah sosial yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini. Masalah
berkenaan dapat diperincikan melalui senarai berikut :
Bil.
|
Masalah Sosial
|
Bil.
|
Masalah Sosial
|
Bil.
|
Masalah Sosial
|
1
|
Merokok
|
2
|
Tonton video lucah
|
3
|
Tonton filem lucah
|
4
|
Mencuri
|
5
|
Lari dari rumah
|
6
|
Minum arak
|
7
|
Putus cinta
|
8
|
Pil khayal
|
9
|
Berjudi
|
10
|
Simpan gambar lucah
|
11
|
Hubungan jenis luar nikah
|
12
|
Peras ugut
|
13
|
Pecah rumah
|
14
|
Hisap dadah
|
15
|
Rogol
|
16
|
Samun
|
17
|
Rasuah
|
18
|
Maksiat
|
19
|
Bercerai
|
20
|
Jenayah bunuh
|
21
|
Seks rambang
|
22
|
Bohjan
|
23
|
Homoseks
|
24
|
Bohsia
|
25
|
Lesbian
|
26
|
Pelacur/Dilacur
|
27
|
Gugur anak
|
28
|
Buang anak
|
|
|
|
|
|
Dalam konteks pembangunan keluarga yang bahagia individu-individu seperti
datuk, nenek, ibu bapa dan anak-anak harus memainkan peranan masing-masing
sejajar dengan tanggungjawab kendiri sebagai ahli keluarga. Sebagai mana yang
dinyatakan di atas, golongan anak-anak (remaja) itu sendiri banyak mencorakkan
perjalanan institusi keluarga ke arah pembangunan yang positif. Dengan adanya
fenomena sosial yang menyeleweng maka sudah tentu kumpulan anak-anak (remaja)
ini yang banyak menyumbangkan kepada masalah dan keruntuhan institusi keluarga mereka
sendiri. Banyak keluarga yang dahulunya bahagia, kini menjadi porak poranda
angkara masalah yang melibatkan golongan remaja yang sukar dibendung ini.
Antara faktor-fakor yang menyumbangkan
kepada permasalahan pembangunan keluarga ini adalah penglibatan remaja itu
dalam aktiviti jenayah samada ringgan atau berat. Remaja
yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin
tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada
keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik. Justeru, bolehlah dikatakan
bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi
asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain
itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti
sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan
untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang
jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri
tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
Keluarga yang terlalu mewah
cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu
bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu
banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain
yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan
sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa
yang tidak mengambil berat tentang kelakuan dan pergaulan anak remaja mendorong
pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam
masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi
daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.
Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral. Justeru, sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya menjalankan kewajipan dengan merancang aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat, pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.
Pengaruh persekitaran, luaran
dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah
dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan
melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan
pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau
di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung
terlibat dalam pergaulan bebas.
Pengaruh di sekolah juga
penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa
di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang
kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya
menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu
dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini
didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.
Dalam proses menangani
masalah-masalah sosial remaja masa kini, kita terpaksa berhadapan dengan banyak
cabaran dan dugaan. Bagi mengatasi masalah sosial ini, sikap dan tingkah laku
remaja perlu diubah sama ada remaja itu sendiri mengubah sikap dan perilaku
mereka sendiri atauun orang lain yang memainkan peranan membantu remaja yang
terliat dalam gejala menyeleweng ini bagi berubah sikap. Dalam hal ini, peranan
ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap
anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau
pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan
mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan
masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui
rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan
bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik.
Selain itu ibu bapa hendaklah
menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan
memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah,
emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap
agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip
akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang
mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu
bapa hendaklah menjadi “role model”
kepada anak.
Menurut V. Raman (2008)
melalui pendekatan akademik boleh dilakukan dengan menambahkan
aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan
ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik
pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan
teknik pengajaran luar kelas. Di sekolah misalnya, sistem perundangan yang baik
adil wajar diaplikasikan. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh
menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar sekolah, di samping mengurangkan
beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan
disiplin. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti
polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah
dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil
kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.
Berkenaan dengan pendekatan
psikologi, memberi kaunseling dan bimbingan ke atas remaja yang bermasalah amat
wajar. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting
dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna
sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik
dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Dari segi
penglibatan pihak lain, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan
peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan
guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa
seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif.
Justeru, melihat
permasalahan tingkah laku yang melanda para remaja kita pada hari ini amatlah
mencemaskan. Tindakan bagi mengawalnya sudah sampai pada tahap yang dianggap
terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi Malaysia.
Walaupun banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai fenomena
tingkah laku sosial yang menyeleweng ini, tetapi kajiannya lebih bersifat
kepada tujuan akademik dan tertumpu kepada punca masalah yang biasanya bersifat
umum sahaja. Namun demikian, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para
remaja perlu dibendung dan diatasi supaya ianya tidak terus mewujudkan ancaman
besar kepada aset yang tidak ternilai ini.
No comments:
Post a Comment