Vandalisme bukanlah satu isu baru di negara ini malah ianya diperbincangkan
hangat melalui media massa. Kamus Oxford Advanced Learner’s mentakrifkan vandalisme sebagai “willfully
destroy or damage (public property) dan vandal sebagai ‘person who
willfully destroys or damage works of art, public and private property, the
beauties of nature, etc’ (dalam
Nurain, 2007). Gejala sosial ini
menimbulkan keresahan banyak pihak di mana golongan remaja dikaitkan dengan
aktiviti tidak sihat ini. Permasalahan ini berlaku di banyak tempat awam,
reakreasi, sekolah, pusat membeli belah dan sebagainya.
Di Malaysia, perbuatan merosakkan harta benda di
sekolah dilihat sebagai suatu tindakan yang serius. Masalah
merosakkan harta benda sekolah, secara sedar atau tidak, telah menjadi fenomena
lumrah dalam alam persekitaran sekolah. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini
mendapat perhatian serius dari pihak sekolah dan juga masyarakat.
Pelajar-pelajar tidak memikirkan kepentingan dan kesejahteraan orang lain.
Mereka sewenang-wenangnya merosakkan dan mengotori kemudahan dan persekitaran
sekolah tanpa rasa bersalah langsung (Nurain, 2007). Perbuatan ini dilihat
serius dan sejak 1968 lagi, Kementerian Pendidikan
Malaysia telah mengedarkan surat pekeliling yang membenarkan pelajar-pelajar
yang melakukan kesalahan ini dibuang dan digantung sementara waktu, di bawah
undang-undang 1.3.5 merosak atau membinasakan harta sekolah (Mohd Zin Sham,
1996).
Persoalannya sekarang, mengapakah golongan remaja (pelajar)
begitu mudah terpengaruh dengan aktiviti yang tidak sihat?. Bukankah perbuatan
menconteng dan merosakkan harta benda awam merupakan suatu kerja yang sia-sia?.
Tidakkah pelajar sedar yang perbuatan mereka tidak mendatangkan sebarang
faedah? Seperti mana yang dikatakan, dunia remaja penuh dengan pergolakan untuk
mencari identiti diri. Pada peringkat ini pelajar mengalami krisis psikologi
dan konflik batin yang hebat. Bertepatan dengan ini pendekatan perkembangan
moral kognitif adalah merupakan satu cara terbaik bagi mengenal pasti dan
menyelesaikan masalah vandalisme yang melibatkan golongan ini.
Faktor-Faktor Vandalisme
Tingkah laku vandalisme dalam kalangan pelajar
dipengaruhi oleh banyak faktor. Namun, faktor yang dipilih dalam kajian ini
adalah faktor pengaruh rakan sebaya, ibu bapa dan keluarga, pengaruh media
massa, dan sikap apati (tidak peduli) individualistik dan materialistik
masyarakat. Oleh itu, pengaruh yang paling dominan perlu diketengahkan untuk
mencari penyelesaian terhadap salah laku vandalisme. Ini kerana golongan remaja
khasnya adalah harapan masyarakat dalam mewarisi kepimpinan dan pembangunan
negara pada masa depan. Cohen (1968) & Bowles (1982) membahagikan perbuatan
vandalisme kepada enam kategori, iaitu vandalisme berbentuk keinginan;
dirancang; ideological; sifat balas dendam; suka-suka; dan bersifat merosak.
Faktor-faktor berlakunya vandalisme dalam kalangan remaja, pertama;
pengaruh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan berlakunya
vandalisme. Golongan remaja lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan
sebaya mereka. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah
laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah
keluarga. Kebiasaanya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan
remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul
timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan sekaligus
merosakkannya. Mengikut Datuk Lee Lam Thye (1997)
menyatakan golongan yang merosakkan harta benda merupakan golongan remaja yang
ingin bebas tetapi dikongkong oleh ibu bapa. Mereka tidak mempunyai matlamat
dan gemar melakukan kesalahan ini apabila berkumpul dengan rakan-rakan mereka. Pelaku akan
merasa puas setelah melakukan perbuatan tersebut.
Kedua, ibu bapa adalah pendorong kepada sifat vandalisme dalam kalangan
remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit
buah-buahan dari kereta tanpa menghiraukan sebarang kemungkinan akan berlaku.
Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme ini berasal daripada
keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup yang
negatif. Menurut kajian yang pernah dijalankan menunjukkan vandalisme dendam
dilakukan oleh remaja yang ingin bebas
dan berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah. Selain itu, kurangnya
kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama
yang mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini. Kajian Sulaiman Alias (1994) menyatakan golongan remaja yang melakukan
vandalisme merosakkan harta benda tanpa ada sebarang sebab serta tidak
memperolehi apa-apa keuntungan dari perbuatannya itu. Salah laku begini
selalunya menunjukkan bangkangan terhadap sesuatu atau luahan kekecewaan pelaku
kepada keluarga, masyarakat dan sekolah. Mereka ingin menarik perhatian orang
ramai dan memperkenalkan dirinya secara negatif.
Institusi keluarga kini kurang memberi perhatian dalam
pembentukan sahsiah keluarga terutama terhadap anak-anak. Akibatnya konflik
keluarga akan timbul dan anak-anaklah yang menjadi mangsa. Hal ini disokong
oleh Galamus dan Maggs (1991) yang menyatakan tahap konflik keluarga yang
tinggi menyebabkan remaja terlibat dalam tingkah laku bermasalah, khasnya
vandalisme. Alim Muntu (1988) pula menambah salah laku dalam kalangan pelajar
terjadi kerana pelajar-pelajar kurang merasai kemesraan dalam keluarga.
Mengikut perangkaan statisitik yang dibuat oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia, ternyata tingkah laku vandalisme dalam
kalangan remaja meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 1993, seramai
2,226 pelajar terlibat dalam vandalisme. Pada tahun 1994 pula meningkat hingga
2,622 pelajar dan pada tahun 1995 terus meningkat kepada 2,736 pelajar.
Walaupun bilangan kes tingkah laku vandalisme di kalangan 1.2 juta pelajar
menengah jumlahnya mungkin kecil, namun perbuatan kesalahan yang dilakukan
memerlukan tindakan serius dari pihak berkaitan bagi mengenal pasti
faktor-faktor yang mendorong peningkatan aktiviti-aktiviti vandalisme dalam
kalangan pelajar di negara kita.
Pengaruh media massa merupakan pengaruh yang ketiga yang tidak kurang
pentingnya dalam mempengaruhi gejala vandalisme dalam kalangan remaja kita.
Perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedikit sebanyak
menyebabkan peranan media massa kian terserlah. Paparan adegan-adegan negatif
dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan
ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan gejala ini. Golongan
remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka
termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya
daripada pihak terbabit.
Sikap ganas dan keterlaluan para remaja sedikit sebanyak di pengaruhi apa
yang mereka baca, dengar dan tonton daripada media massa. Lantas, kesemua ini
diterjemahkan melalui perlakuan devian mereka sehingga memudaratkan harta benda
dan nyawa orang lain. Sebagai contoh, Akhbar Utusan
Malaysia 5 April 1989 melaporkan polis menahan seorang pelajar lelaki berhubung
dengan kejadian dua letupan kecil di bilik tandas Sekolah Menengah Taman Tun
Dr. Ismail. Kesan letupan itu mengakibatkan tingkap-tingkap kaca pecah dan
beberapa kepingan logam berselerak dalam tandas tersebut. Akhbar Metro 19 Jun
1996 melaporkan pelajar sebuah sekolah di Tampoi bertindak menconteng nama
seorang guru lelaki disiplin pada dinding bangunan bilik air sekolah berkenaan
dengan kata-kata lucah menggunakan penyembur cat. Malah pelajar terbabit
bertindak keterlaluan menconteng kata-kata memalukan iaitu guru itu mempunyai
hubungan sulit dan merogol seorang guru wanita.
Kes lain
yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 19 Jun 2000, sebuah bilik darjah Sekolah
Kebangsaan Rawang telah musnah dalam satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan
khianat. Dalam
kejadian tersebut sebuah almari berisi beratus-ratus buku rujukan, buku
tamabahan serta soalan peperiksaan untuk pelajar tahun 6 telah musnah. Pihak
polis telah mengesahkan terdapat unsur-unsur jenayah berdasarkan penemuan
puntung-puntung mancis di kawasan berkenaan. Pihak polis tidak
menolak kemungkinan besar perbuatan ini dilakukan oleh pelajar sekolah.
Nampaknya gejala vandalisme dan salah laku pelajar semakin hari semakin
meruncing sehingga membawa kepada perlakuan jenayah yang lebih berat lagi.
Pelajar begitu berani bertindak liar dan ganas tanpa rasa perikemanusiaan
langsung. Justeru, langkah-langkah drastik perlu diambil oleh pihak-pihak
terbabit untuk mencegah serta membanteras tingkah laku negatif pelajar-pelajar
sekolah.
Berhubung dengan faktor sikap apati,
perlakuan sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak
peduli terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliing mereka turut merumitkan
masalah vandalisme ini. Menurut kajian, kes vandalisme banyak berlaku di
kawasan bandar. Sikap individualistik masyarakat turut mengeruhkan keadaan di
mana tidak peduli apa yang berlaku. Golongan remaja menconteng dan merosakkan
harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di
bandar yang sukar dikawal. Di kawasan bandar kebanyakkan penduduknya tidak
ambil kisah. Oleh sebab itu, golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk
meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggunjawab terhadap
harta benda awam. Kajian Anidah Ithnin (1991) yang
mendapati pelajar nakal memiliki konsep kendiri yang negatif, sebaliknya
pelajar-pelajar tidak nakal memiliki konsep kendiri yang positif. Maka,
golongan pelajar nakal banyak melakukan vandalisme di tempat-tempat awam.
No comments:
Post a Comment