Translate

Monday, 16 September 2013

Perkembangan Moral Kognitif

Zaman remaja merupakan jangka masa di mana seseorang individu (remaja) mengalami berbagai cabaran dan tekanan. Dari sudut psikologi, pengertian remaja boleh ditafsirkan sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya  atau berdasarkan sikap remaja terhadap kehidupannya. Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan utama bagi remaja (Rosiadi et.al, 2008).

Pada peringkat remaja, mereka mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat. Havighurst dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004) membahagikan masa remaja kepada dua iaitu awal remaja (12 hingga 18 tahun) dan akhir remaja (18 hingga 22 tahun). Secara umumnya, pada peringkat ini berlaku perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Menurut Rosiadi et. al, (2008) untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah sosial dan konflik dalam usaha mencari identiti diri yang sebenarnya. Justeru, proses penaakulan moral kognitif golongan remaja kerap kali menyimpang daripada perspektif nilai-nilai moral dan etika masyarakat sekaligus melakukan banyak kesalahan, terutama yang berkaitan dengan vandalisme (merosakkan harta benda awam) di sekolah mahupun di tempat-tempat awam.

Konsep pendekatan dalam Pendidikan Moral yang menjurus kepada penaakulan moral kognitif ianya memberi tumpuan kepada perkembangan karaktor moral, sikap membuat pertimbangan moral dan implikasi moral berupaya mengubah tingkah laku remaja (pelajar) ke arah kebaikan daripada  melakukan sebarang bentuk vandalisme yang membawa kerugian banyak pihak.

Perkembangan Moral Kognitif

Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif adalah berasaskan kepada teori perkembangan moral Kohlberg (1962) yang memberi fokus kepada merangsang perkembangan moral para remaja (pelajar).Pedekatan ini banyak membantu membina kebolehan menaakul golongan remaja di peringkat yang lebih tinggi. Bailey (1979) dalam (Chang Lee Hoon, 2005) turut menyatakan bahawa perkembangan moral pada peringkat ini lebih tertumpu kepada perkembangan karaktor moral, sikap terhadap peraturan moral dan membuat pertimbangan moral. Di samping itu juga, istilah ‘perkembangan’ memberi satu gambaran yang menunjukkan satu perubahan yang progresif ke tahap yang lebih kompleks yang tidak boleh diterbalikkan, maka perkembangan moral membayangkan andaian mengenai apakah yang dianggap matang dari segi moral (Downey & Kelly (1978) dalam Chang Lee Hoon (2005).

Terdapat beberapa perspektif atau teori perkembangan moral yang membawa implikasi terhadap pendidikan moral, khususnya dalam kebanyakan gejala sosial yang berlaku kini. Penaakulan moral yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja (Loganathan, 1995). Stoll & Beller dalam Loganathan (1995) turut  melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar bahawa sesuatu harus dilakukan untuk mengajar nilai-nilai murni dan yang lebih penting lagi adalah mengajar pelajar cara menaakul tentang sesuatu nilai. Namun, Wilson (1973) memang telah menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan suatu kemahiran yang boleh diajar dan dipelajari.

            Antara perspektif perkembangan moral mengikut skema Kohlberg (1987) dengan jelas menyatakan perubahan dalam pertimbangan moral berstruktur menerusi sistem berperingkat mengikut perkembangan dan kematangan intelek atau kognitif seseorang individu.

Tahap
Peringkat
Prakonvensional
1. Orientasi dendaan dan kepatuhan
2. Orientasi instrumental relativis
Konvensional
3. Orientasi persetujuan antara individu
4. Orientasi undang-undang dan peraturan
Pascakovensional
5. Orientasi contract-legalistic sosial
6. Orientasi prinsip etika sejagat

          Sumber : Skema Kholberg (1987), diubahsuai daripada Chang L.H.(2005)

            Pada tahap prakonvensional, remaja mula menaakul secara abstrak. Mereka sering menjadi amat bangga dengan kemahiran diri sendiri dan berfikir bahawa mereka berupaya menyelesaikan segala bentuk masalah. Menurut Piaget (1967) dalam Chang Lee Hoon (2005) sikap ini menjadikan remaja terlalu idealistik dan kurang menghargai batasan logik tingkah laku mereka. Tambahan pula, sikap ego pada golongan remaja akan membawa kepada perkembangan formal yang membawa kepada kekeliruan di mana pemikiran dan sahsiah diri mereka tidak disedari oleh mereka sendiri. Kekeliruan pandangan merupakan satu bentuk egosentrisme yang menekankan masalah dan pemikiran remaja bersifat abstrak (Rosiadi et.al, 2008).

            Tahap konvensional pula menekankan perspektif pembelajaran sosial (Behaviourisme) di mana golongan remaja mula sedar akan peraturan sosial yang menjadi standard moral yang bersifat subjektif yang dibina oleh individu-individu tertentu boleh berubah dan juga boleh ditentang. Peraturan sosial dilihat sebagai jangkaan sosial sama ada yang dibuat oleh ibu bapa dan masyarakat yang tidak semestinya dipatuhi oleh mereka. Pada peringkat ini, golongan remaja boleh mempelajari tingkah laku moral melalui pengajaran secara langsung mahupun teladan (imitasi) di mana dikekalkan melalui ganjaran dan peneguhan positif (seperti pujian, senyuman, hadiah atau perhatian) atau hukuman dan peneguhan negatif (seperti marah, mengurung, memberhentikan keistimewaan dan tidak memberi kasih sayang) (Chang L.H (2005). Tindakan ini akan mengawal dan mengubah tingkah laku sosial remaja di mana lama kelamaan mereka akan sedar bahawa peraturan sosial berperanan dalam menyelaraskan interaksi dengan orang lain.


            Perspektif integratif dalam perkembangan moral (Tahap Pascakovensional) dengan jelas menunjukkan apabila golongan remaja berupaya mengatasi egosentrisme mereka dalam hubungan dengan orang lain. Keadaan ini menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam penilaian moral dan pemahaman tentang tindakan  yang meningkatkan kebajikan manusia dalam pelbagai situasi. Menurut Hoffman (1980) dalam Rosiadi et.al,(2008) pengetahuan tidak semestinya diterjemahkan kepada tingkah laku sebenar tetapi sekurang-kurangnya keadaan akan memperlihatkan ciri-ciri tersebut. Aspek lain yang diperlihatkan pada peringkat perkembangan moral ini ialah ‘rasa bersalah’ golongan remaja. Remaja akan mulai sedar dan berasa bersalah apabila melakukan sesuatu yang salah. Perubahan ini berlaku apabila mereka sudah berupaya menilai apa yang dipaparkan melalui perbuatan diri sendiri. Dari sini jelas golongan remaja berupaya berfikir secara formal, iaitu kebolehan berfikir tentang idea. Pemikiran formal mereka merupakan kebolehan berfikir tentang kemungkinan, penaakulan saintifik dan kebolehan idea secara logik. Justeru, pada tahap ini golongan remaja mampu meningkatkan pemikiran formal mereka dalam menyelesaikan permasalahan secara sistematik melalui kognitif mereka.

No comments:

Post a Comment