Ciri-Ciri Kepimpinan
Pengetua/Guru Besar Berkesan Yang Dapat Menghadapi Cabaran dan Harapan Pada
Abad Ke 21 Ini
Oleh
Prof. Madya Dr. Shahril @ Charil bin Marzuki
- Pendahuluan
Kecemerlangan atau
kejayaan sesebuah sekolah banyak dipengaruhi dan disebabkan oleh kepimpinan
pengetua/guru besar yang berkesan. Ini bermakna, pengetua atau guru besarlah
yang dapat menggerakkan sekolah itu maju ke hadapan untuk mencapai
kecemerlangan dalam akademik dan kegiatan ko-kurikulum atau mundur kebelakang
sebagai sekolah yang tidak berkesan.
In many ways the
school principal is the most important and influential individual in any
school. … it is his leadership that sets the tone of the school, the climate
for learning, the level of professionalism and morale of teacher and the degree
of concern for what students may or may not become. … if a school is a vibrant,
innovative, child-centred place; if it has a reputation for excellence in
teaching; if students are performing to the best of their ability one can
almost always point to the principals leadership as the key to success.
(Sergiovani, 1995: 83).
Oleh yang demikian,
Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan
Malaysia (1982), telah menyarankan bahawa peranan utama kepemimpinan pengetua/guru
besar mestilah:
… cekap dan banyak menghabiskan masa mengelolakan aktiviti pembelajaran di
sekolah-sekolah. Mengekalkan penyeliaan sekolahnya dengan cara yang berkesan,
bertindak sebagai pakar runding, penasihat dan koordinator bagi program-program
pengajaran dan pembelajaran di sekolah, dan perlu juga menghabiskan masa yang
lebih dalam aktiviti-aktiviti profesional guru dan pelajar, dan jangan hanya
bekerja semata-mata sebagai pentadbir yang berkurung di bilik mengeluarkan
arahan dan surat-surat arahan dan surat-surat siaran. (Kementerian Pendidikan
Mlaaysia, 1982: 6)
Pernyataan di atas menunjukkan terdapat perubahan tugas utama pengetua/guru
besar iaitu daripada pemimpin pentadbiran kepada pemimpin pengajaran. Perubahan
peranan pengetua berlaku kerana desakan daripada Kementerian Pendidikan,
Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah supaya pihak sekolah
dapat mewujudkan sekolah berkesan atau kecemerlangan dalam pencapaian akademik.
Oleh itu, peranan pengetua yang hanya menjalankan peranan sebagai pemimpin
pentadbiran sahaja tidak sesuai lagi bagi mencapai matlamat pendidikan pada
alaf baru ini dan juga bagi menghadapi cabaran-cabaran dan harapan-harapan pada
masa akan datang ini. Apatah lagi dalam konteks pembangunan sumber manusia yang
memberi penekanan dalam bidang sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan
Wawasan 2020 yang menuntut pelbagai perubahan dalam sektor pendidikan. Oleh
itu, dalam kontek untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan pada alaf baru
ini, pengetua/guru besar perlu mempunyai dua peranan atau fungsi utama secara
serentak iaitu sebagai pemimpin pentadbiran dan pemimpin pengajaran.
- Peranan Pengetua/Guru Besar Sebagai Pemimpin
Pentadbiran dan Pengajaran
Di sekolah, pengetua/guru besar
berperanan sebagai pemimpin pentadbiran dan pemimpin pengajaran. Dalam
menjalankan tugas sebagai pemimpin pentadbiran dan pengajaran, peranan pengetua
/ guru besar menjalankan tugas seperti mengatur dan melaksanakan jadual waktu
dan kalendar sekolah, mengawai SPBT, surat menyurat, mengagih dan mengawasi
kerja-kerja kerani, mengumpul dan menyusun data, memastikan undang-undang dan
peraturan sekolah dipatuhi oleh pelajar, mengurus perbelanjaan sekolah,
memastikan kemudahan dan harta benda sekolah digunakan sebaiknya, dan menjalin
hubungan antara sekolah dan pelbagai badan/awam di luar (Zaidatul Akmaliah,
1991: 20). Manakala Hanafi Kamal (1980: 245) mengariskan tugas pengetua/guru
besar ialah: (i) kepimpinan (ii) kebajikan dan disiplin (iii) staf sekolah (iv)
perancangan, membuat keputusan, pengelolaan, penyelarasan dan perhubungan (v)
kurikulum dan pengajaran (vi) kualliti diri (vii) pejabat sekolah, kemudahan
fizikal, kewangan dan pengurusan perniagaan (viii) hubungan sekolah-masyarakat.
Robiah Sidin (1989: 37) pula menyatakan terdapat enam bidang tugas
pengetua/guru besar iaitu: (i) perhubungan sekolah-masyarakat (ii) perkembangan
kurikulum dan pengajaran (iii) pengurusan murid (vi) pengurusan kakitangan (v)
pengurusan bangunan dan kemudahan-kemudahan lain (vi) pengurusan kewangan. Bagi
Ahmad Tajuddin Abdul Hamid (1989: 64) mengatakan tugas pengetua/guru besar
secara umumnya boleh disenaraikan dalam empat bidang sahaja iaitu:
- Melaksanakan rancangan pendidikan yang ditetapkan
oleh Kementerian Pendidikan.
- Mengawas dan membimbing guru-guru di sekolah untuk
menjamin pengajaran-pembelajaran berjalan dengan baik.
- Mengawas dan menyelia disiplin, pembelajaran murid,
kegiatan sukan, persatuan, kerja-kerja amal dan sebagainya.
- Mengadakan perhubungan yang baik dan berkesan
dengan pihak luar.
Beberapa kajian dibuat di Amerika
Syarikat menyenaraikan tugas pengetua/guru besar sebagai pemimpin pentadbiran
dan pemimpin pengajaran seperti berikut: (i) kurikulum dan pengajaran (ii)
perundingan (iii) kemudahan fizikal (iv) kewangan dan perniagaan (v) pemilihan,
pengambilan dan pembuangan pekerja (vi) perhubungan awam (Hoy dan Miskel, 1991:
319).
- Kepemimpinan Pengetua/Guru Besar Di Sekolah Yang
Berkesan
Kebanyakan penulis dan penyelidik
dalam pendidikan mengakui bahawa kebanyakan pengetua/guru besar yang dapat
mewujudkan sekolah yang berkesan atau sekolah cemerlang berfungsi atau
berperanan sebagai pemimpin pengajaran. Di antara
penulis-penulis tersebut ialah Sweeney (1982), Weber (1971), Rutter (1979),
Edmonds (1979), Levine dan Lessotte (1981), Wellish et al. (1978), Hussein
Mahmood (1993), dan Shahril Marzuki (1997).
Menurut Sweeney (1982), terdapat enam ciri
kepemimpinan pengetua/guru besar yang berkait dengan kepimpinan pengajaran di
sekolah berkesan. Ciri-ciri pengetua/guru besar itu ialah:
- Memberi penekanan terhadap pencapaian pelajar dalam
bidang akademik.
- Menyusun dan menetapkan strategi pengajaran.
- Menyedia dan mengekalkan suasana yang kondusif di
sekolah (Iklim sekolah).
- Kerap menilai pencapaian akademik pelajar.
- Menyelaras
program pengajaran.
- Membantu dan memberi semangat kepada para guru.
Wellish, et al. (1978) menegaskan
ada empat perbezaan antara kepimpinan sekolah yang berkesan dengan kepimpinan
sekolah Tidak Berkesan. Menurut Wellish, et al. (1978), pengetua di
sekolah berkesan adalah:
- Mempunyai
kepakaran yang jelas terhadap peranannya dalam kepimpinan pengajaran dan
matlamat yang ingin dicapai.
- Selalu
menilai kembali kemajuan guru dan berusaha untuk memperbaikinya supaya
dapat menghasilkan pencapaian akademik yang baik di kalangan pelajarnya.
- Mengambil
tanggungjawab yang lebih dalam membuat keputusan berhubung dengan
pengajaran.
- Memilih dengan teliti perkara-perkara yang
berkaitan dengan pengajaran dan perancangan program pendidikan dengan
bantuan guru-gurunya untuk kejayaan sekolahnya.
Manakala Shahril @ Charil Marzuki
(1997:74) mengatakan bahawa peranan pengetua/guru besar dalam kepimpinan
pengajaran adalah meliputi: menyelia, membuat cerapan dan memotivasikan
guru-guru dalam pengajaran, bertindak sebagai pakar rujuk, membimbing dan
tunjuk ajar kepada guru-guru dalam pengajaran, kurikulum, penggunaan alat bantu
mengajar dan pengurusan kelas, dan pencapaian matlamat dan misi sekolah. Ini
telah disokong oleh Hussein Mahmood (1993: 36) yang mengatakan:
Tanggungjawab ini termasuklah
mengadakan falsafah sekolah, mengadakan matlamat dan objektif sekolah,
membimbing para guru supaya kecekapan mereka dalam pengajaran dan lain-lain
bidang kurikulum dapat dipertingkatkan. Di samping itu juga, guru besar
seharusnya melaksanakan program perkembangan staf, menyelaras segala aktiviti
pendidikan serta lain-lain usaha yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Namun begitu terdapat beberapa
penyelidik dan penulis yang berbeza pendapat tentang peranan pengetua sebagai
pemimpin pengajaran dan sebaliknya. Antara penulis-penulis yang tidak bersetuju
bahawa pengetua mesti berperanan penting sebagai pemimpin pengajaran ialah
Fullon (1979), Krajewski (1977), Smyth (1983), Weldy (1979), Wirsig (1980), dan
Ahmad Tajuddin Abdul Hamid (1989).
Fullon (1979) mengatakan bahawa
pengetua berperanan sebagai pemimpin pengajaran hanyalah merupakan satu
dongengan sahaja. Dalam mempertahankan pendapat ini, beliau menegaskan bahawa
terdapat beberapa bukti yang jelas menunjukkan pengetua tidak boleh menjadi
pemimpin pengajaran. Antara bukti tersebut ialah:-
- Pengetua tidak diberi latihan untuk menjadi
pemimpin pengajaran di peringkat sekolahnya.
- Pengetua banyak terlibat dalam pentadbiran dan
pengurusan am sekolah yang lain.
- Pengetua tidak mempunyai masa yang banyak untuk
menjadi pemimpin pengajaran.
- Pengetahuan seseorang pengetua tidak pelbagai dan
kepandaian mereka dalam kepimpinan pengajaran amat terhad. Oleh
itu, mereka tidak mampu menjadi pemimpin pengajaran.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ahmad
Tajuddin Abdul Hamid (1989), mendapati pengetua-pengetua di Malaysia adalah
faham dan jelas tentang tugas mereka dalam kepemimpinan pengajaran, namun tugas
mereka itu tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana beban tugas yang lain
adalah berat dan pelbagai. Oleh itu, pengetua-pengetua menyerahkan tugas-tugas
kepimpinan pengajaran di sekolah-sekolah mereka kepada guru kanan mata
pelajaran tanpa garis panduan yang jelas dan mereka juga amat kekurangan masa
bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kurikulum dan
pengajaran-pembelajaran dengan guru-guru secara profesional.
Menurut Smyth (1983), penyelidikan yang
dilakukan di Australia dan di lain-lain tempat menunjukkan bahawa pengetua hari
ini adalah bukan sebenarnya pemimpin pengajaran di sekolahnya. Ini disebabkan:
- Kekurangan masa kerana mereka terpaksa mengambil
bahagian dalam aktiviti lain dari tugas pengajaran dalam masa
persekolahan.
- Mereka tidak mahu mencampuri autonomi yang dipunyai
oleh guru-guru di bilik darjah.
- Mereka takut kerana kekurangan kepakaran.
Namun begitu, pendapat di atas telah
disangkal oleh Wirsig (1980), yang mengatakan bahawa walaupun pengetua
kelihatan tidak mengambil berat terhadap tugas pengajaran tetapi mereka
sebenarnya mahu beraksi sebagai pemimpin pengajaran, dalam keupayaan yang
mereka ada.
Daripada perbincangan di atas adalah
nyata bahawa peranan utama pengetua/guru besar di sekolah-sekolah adalah
sebagai pemimpin pentadbiran dari pemimpin pengajaran. Ini jelas berdasarkan
Pekeliling Pentadbiran 3/67 (Pindaan 1982) yang menegaskan bahawa pengetua/guru
besar dikehendaki mengajar dalam bilik darjah sekurang-kurangnya lima waktu
seminggu. Dalam menjalankan tugas mengajar ini, pengetua/guru besar mestilah
peka dengan perubahan-perubahan dalam kurikulum, kaedah pengajaran-pembelajaran
dan penggunaan alat bantu pengajaran-pembelajaran yang terkini seperti
penggunaan komputer atau teknologi maklumat (IT) dan masalah-masalah yang
dihadapi oleh guru-guru dan pelajar-pelajar dalam bilik darjah. Dari segi
profesionalismenya pula, penglibatan pengetua/guru besar dalam aktiviti
pengajaran-pembelajaran akan mendorong dirinya untuk mengemaskinikan
pengetahuan, menerokai bidang dan pengetahuan baru selari dengan perkembangan
semua. Namun begitu, bagi menghadapi cabaran dan harapan pada abad ke 21 ini,
peranan pengetua/guru besar tidak terbatas hanya sebagai kepemimpinan
pentadbiran dan pemimpin pengajaran sahaja, tetapi lebih daripada itu.
- Ciri-Ciri Kepemimpinan Pengetua / Guru Besar Yang
Berkesan Pada Masa Depan
Sebenarnya adalah sukar untuk
menentukan ciri-ciri pengetua/guru besar yang berkesan pada masa depan, kerana
seseorang pengetua yang berjaya menjadi pemimpin yang baik di sesebuah sekolah
pada hari ini belum tentu akan berjaya menjadi pemimpin yang baik di sekolah
lain pada masa depan. Mengikut Stoner (1989: 552), seseorang individu yang
merupakan pemimpin yang efektif dalam satu situasi mungkin berprestasi paling
buruk dalam satu situasi yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa
pendapat tentang ciri-ciri pengetua berkesan atau cemerlang. Menurut Abas Awang
(1999), pengetua yang berkesan memiliki ciri-ciri profesional seperti berikut:
- Mengenali
penyakit (masalah persekolahan).
- Mengenal
pasti ubatnya (penyelesaian masalah).
- Mengetahui tempoh memerlukan rawatan (jangka masa
masalah dapat ditangani).
- Mempunyai
etika yang tinggi.
- Memahami teori-teori yang berkaitan dengan
kerjanya.
- Berilmu.
- Berkemahiran
dalam bidang tugasnya.
- Bersikap
positif dan yakin.
Beliau seterusnya mengutarakan pelbagai
kemahiran yang perlu ada pada seseorang pengetua yang berkesan iaitu kepimpinan
pengajaran yang berkesan, pengurusan kurikulum, ko-kurikulum, sumber dan
kewangan, perancangan strategik, kemahiran berkomunikasi, memotivasi,
pemantauan, penilaian, membuat keputusan, TQM dan ISO 9000.
Melalui kemahiran-kemahiran ini, pengetua
akan mempunyai piawai dalam pengurusannya dan ada fokus untuk dilaksanakan.
Manakala mengikut Institut Aminuddin Baki (1998), berdasarkan (mesyuarat
Gerakan Pengetua Berkesan pada 5 Mac 1998) mengatakan bahawa ciri-ciri
pengetua/guru besar yang berkesan mengikut model Malaysia adalah seperti
berikut:-
- Mengamalkan cara berkomunikasi yang cekap.
- Prihatin
terhadap hubungan kemanusiaan.
- Prihatin dan peka tentang perbezaan budaya dan adat
resam masyarakat.
- Mempunyai
wawasan yang jelas.
- Berjaya mewujudkan persekitaran pendidikan yang
dinamik.
- Menerima tugas sebagai satu profesion.
- Membuat
keputusan secara konsensus.
- Memanfaatkan
penggunaan teknologi maklumat
- Ketrampilan
lain
(i) Ketrampilan pentadbiran
- menganalisis
masalah secara berkesan
- membuat
pertimbangan yang saksama
- mengurus
dan membuat keputusan
(ii) Ketrampilan peribadi
- menilai
pendidikan secara jelas
- mempunyai minat dan motivasi yang tinggi
- menjaga
perawakan diri
Bagi menghadapi cabaran-cabaran dan harapan
pada masa depan, di mana dunia pendidikan akan terus berubah sesuai dengan
kemajuan zaman dan dunia tanpa sempadan, ‘langit terbuka’, penggunaan komputer
dan teknologi maklumat di sekolah, ditambah pula dengan seribu satu macam
kerenah pentadbiran, guru dan masalah pelajar, maka pengetua yang berkesan pada
masa depan hendaklah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
- Mempunyai
kualiti kepimpinan.
- Mempunyai kemahiran dan berketrampilan dalam bidang
teknikal, kemanusiaan, pendidikan, budaya dan simbolik.
- Berwawasan,
kreatif dan inovatif.
- Mempunyai kemahiran komunikasi dan motivasi.
- Mempunyai kemahiran membuat keputusan dan
penyelesaian masalah.
- Mempunyai
kecergasan fizikal dan kestabilan emosi
- Beriman
dan bermoral.
4.1 Kepimpinan Yang Berkualiti
Pengetua/guru besar yang berkesan perlu
mempunyai kepimpinan yang berkualiti. Menurut Azmi Zakaria (1996), pengetua
yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri kualiti kepimpinan seperti berikut:
- Kemahuan
yang tinggi untuk memimpin dan tabah bertindak menghadapi cabaran.
- Pintar
dan berinisiatif tinggi.
- Berwawasan dan mempunyai matlamat yang jelas
mengenai organisasi dan pengajaran.
- Bekerja keras dan menjadi contoh yang baik kepada
staf yang lain.
- Memberi peluang kepada guru menonjolkan kepimpinan
mereka.
- Mengetahui batasan kepimpinan formal dan tidak
formal seperti kemahiran interpersonal, ramah dan baik hati.
- Proaktif dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
tugas.
Oleh itu, pengetua yang berkesan
pada masa depan boleh menghadapi cabaran dan masalah-masalah sekolah secara
profesional dan berkesan. Mengikut Edmonds (1979), kepimpinan pengetua
yang berkesan membolehkan "principals can make difference". Manakala
Mortimore (1995), mengatakan salah satu faktor sekolah berkesan ialah pengetua
yang mempunyai kepemimpinan profesional (professional leadership) iaitu
pengetua yang mempunyai sikap yang tegas dan bermatlamat. Ia juga mengamalkan pendekatan bersama dan permuafakatan rumah-sekolah
seperti dalam soal-soal pembelajaran pelajar dan membuat keputusan.
Kepemimpinan profesional juga menekankan keunggulan pengetua itu sendiri
sebagai pemimpin untuk menangani pelbagai masalah di sekolah.
- Berkemahiran
dan Berketrampilan (Competent Leader)
Pengetua yang berkesan perlu mempunyai
pelbagai kemahiran dan ketrampilan supaya dapat menjalankan tugas sebagai
pemimpin sekolah yang berkesan. Ketrampilan ini boleh membantu pengetua
menangani cabaran-cabaran dan harapan-harapan yang diminta oleh majikan, ibu
bapa dan pelajar yang terdapat di sekolah. Mengikut Sergiovani (1995: 85),
seseorang pengetua yang berkesan perlu mempunyai lima kemahiran iaitu:
- Kemahiran
teknikal.
- Kemahiran
manusia.
- Kemahiran
pendidikan.
- Kemahiran
simbolik.
- Kemahiran
budaya.
Kemahiran teknikal bermaksud
pengetua boleh memainkan peranan sebagai jurutera pengurusan (management
engineer) (Sergiovani, 1995: 93). Ia perlu cekap dan mahir dalam memanipulasi
strategi dan keadaan untuk menjamin keberkesanan yang maksimum dan optimum
dalam menyelesaikan masalah seperti pengajaran-pembelajaran, disiplin pelajar,
kekurangan komitmen guru dan sebagainya. Kemahiran ini termasuklah kemahiran
merancang (planning), pengelolaan (organizing), penjadualan (schedule dan
penyelarasan (coordinating), tentang takwim, masa, dan organisasi sekolah.
Kemahiran manusia bermaksud pengetua
berkesan berperanan sebagai jurutera manusia (human engineer) (Sergiovani,
1995: 93). Ini bermakna pengetua perlu mempunyai kemahiran kemanusiaan yang
tinggi, mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia seperti perhubungan
individu dan mampu memotivasikan stafnya. Salah satu masalah yang dihadapi di
sekolah pada masa kini ialah kurangnya wujud hubungan baik dan mesra antara
pengetua dengan guru, guru dengan guru, dan guru dengan pelajar. Selain itu,
wujudnya masalah seperti kurang komitmen, ketidakhadiran bertugas dan perasaan
‘burn out’ di kalangan guru-guru juga menggambarkan pengetua kurang berjaya
dalam memotivasi guru-gurunya. Bagi menangani masalah ini, pengetua perlu
mempunyai kemahiran motivasi untuk membina dan mengekalkan moral yang tinggi di
kalangan staf dengan memberi penghargaan, sokongan, menggalakkan serta
melibatkan stafnya dalam membuat keputusan.
Kemahiran pendidikan bermaksud,
seseorang pengetua adalah menjadi pemimpin atau pengamal klinik "Clinical
Practitioner’ (Sergiovani, 1995: 93). Ini bermakna seseorang pengetua yang
berkesan mesti pakar dalam pendidikan. Ia bertindak sebagai pakar rujuk dalam
kurikulum, pengajaran-pembelajaran, penggunaan alat bantu mengajar, diagnosis
keperluan, penilaian dan membuat pencerapan pengajaran guru dalam kelas.
Kemahiran ini penting bagi menangani masalah berkaitan dengan
pengajaran-pembelajaran guru dan pelajar dan pengetua sepatutnya bertindak
sebagai ‘super teacher’ kepada guru dan pelajarnya.
Kemahiran simbolik bermaksud
pengetua sebagai ketua atau ‘chief’ (Sergiovani, 1995: 93), di mana pengetua
yang berkesan akan berada di sekolah sepanjang masa, membuat ‘rondaan’ di
kawasan sekolah, melawat bilik darjah, mengenali dan mengetahui masalah
pelajar, mewujudkan perpaduan bagi mencapai visi dan misi sekolah, mengetuai
upacara rasmi di sekolah. Melalui kemahiran ini, pengetua dapat menangani
masalah yang berlaku di sekolah seperti masalah dalam bilik darjah, masalah
disiplin pelajar dan kelakuan yang tidak sihat.
Kemahiran budaya bermaksud,
seseorang pengetua adalah memainkan peranan sebagai ‘high priest’ (Sergiovani,
1995: 93). Ini bermakna pengetua perlu mencari, mentafsir dan memperkukuhkan
nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadi sekolah berkesan.
Peranan pengetua termasuklah mewujudkan visi dan misi sekolah, mewujudkan
simbol-simbol sekolah, mewujudkan sosiolisasi di antara guru dengan pelajar,
dan mengadakan upacara memberi hadiah atau penghargaan kepada guru dan pelajar
yang telah mencapai kejayaan.
Melalui kemahiran ini pengetua dapat
mewujudkan budaya sekolah atau sekolah berwatak yang perlu diikuti oleh
guru-guru dan pelajar-pelajar bagi menangani masalah disiplin pelajar.
- Berwawasan,
Kreatif dan Inovatif
Seorang pengetua yang
berkesan mestilah mempunyai wawasan dan sanggup mengambil risiko terhadap
tindakannya. Salah satu sebab sekolah kurang berkesan dan timbulnya pelbagai
masalah di kalangan guru dan pelajarnya ialah kerana pengetua tidak mempunyai
wawasan. Jika adapun, wawasan itu tidak disampai dan dijelaskan
kepada guru dan pelajarnya. Mengikut Hussein (1993: 163), wawasan dikatakan sebagai
gambaran mental masa depan yang hendak dicapai. Ia meliputi rasional, matlamat,
arah hala dan keutamaan yang mendorong dan memberi tenaga kepada guru dan
pelajar untuk mendapat hasilan yang dicita-citakan. Untuk membolehkan seseorang
pengetua itu merealisasikan wawasannya, ia perlu sentiasa dinamik, kreatif dan
inovatif serta inginkan perubahan. Pengetua yang berkesan juga perlu
menjelaskan kepada guru dan staf lain serta pelajar, ibu bapa dan masyarakat
sekitar tentang matlamat dan wawasan sekolahnya. Dengan cara ini, masalah
kurangnya hubungan, sokongan dan komitmen daripada guru, pelajar dan masyarakat
terhadap sekolah dapat ditangani dengan mudah dan berkesan.
- Kemahiran
Berkomunikasi dan Bermotivasi
Pengetua yang berkesan harus mempunyai kemahiran berkomunikasi dan
motivasi. Berlakunya beberapa masalah di kalangan guru dan pelajar, sekolah
dengan agensi luar seperti masyarakat kerana komunikasi tidak jelas dan
pendekatan yang digunakan oleh pengetua kurang sesuai. Oleh itu, pengetua perlu
memahami, proses, pola dan saluran komunikasi yang betul supaya maklumat dapat
disampaikan dan diterima oleh guru, pelajar dan ibu bapa. Mengikut A.L. Ramaiah
(1999: 115), seseorang pengetua yang mahir dalam proses komunikasi adalah
pengetua yang sedar serta peka terhadap pelbagai halangan kepada komunikasi,
sentiasa bertindak mendengar secara aktif, dan sebagai pemberi maklum balas
yang mahir. Pengetua yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik akan dapat
menangani pelbagai masalah ketidakjelasan matlamat, kurangnya komitmen dari
guru dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Selain itu, masalah jurang
komunikasi antara pengetua dengan pelajar dan masyarakat dapat dikurangkan.
Selain kemahiran berkomunikasi, pengetua yang berkesan perlu mempunyai
ciri-ciri sebagai seorang’motivator’ dan kaunselor di sekolah. Motivasi boleh
didefinisikan sebagai penggerak atau pendorong untuk sesuatu tingkah laku
supaya menjadi bertenaga dan bertujuan (Zaidatul Akmaliah, 1999: 108).
Kemahiran motivasi penting bagi membolehkan pengetua berhadapan dengan pelbagai
masalah guru dan pelajar di sekolah. Biasanya masalah yang dihadapi oleh
pengetua di sekolah ialah bagaimana untuk mempengaruhi dan memotivasi pekerja
supaya bekerjasama dalam usaha mencapai visi sekolah, iaitu untuk menjadi
sekolah berkesan.
- Kemahiran
Membuat Keputusan dan Menyelesaikan Masalah
Kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan
masalah adalah satu lagi ciri yang perlu dimiliki oleh pengetua yang berkesan
dalam menangani pelbagai masalah di sekolah. Sebarang masalah yang dihadapi
sama ada yang melibatkan guru, pelajar, masyarakat dan pihak berkuasa
pendidikan memerlukan penyelesaian masalah yang cepat dan betul. Mengikut
Lunenburg (1995: 116), proses membuat keputusan di sekolah melibatkan enam
peringkat iaitu:
- Mengenal
pasti masalah.
- Mengenal
pasti alternatif.
- Menilai
alternatif.
- Memilih
alternatif yang sesuai.
- Melaksanakan
keputusan.
- Menilai
keberkesanan keputusan yang telah dibuat.
Mengikut Lunenburg (1995) lagi, pengetua
perlu melibatkan guru dan pelajar dalam membuat keputusan bagi meningkatkan
kecemerlangan sekolah, manakala Hussein Mahmood (1993: 1124) penglibatan para
guru dalam membuat keputusan mempunyai kaitan yang signifikan dengan rasa puas
hati bekerja, tanggapan positif di kalangan guru terhadap kepimpinan pengetua
dan pencapaian akademik yang tinggi.
- Kecergasan
Fizikal dan Kestabilan Emosi
Pengetua yang berkesan juga perlu mempunyai personaliti yang sesuai iaitu
dari segi fizikal dan emosi. Dari segi fizikal ia perlu mempunyai tubuh badan
yang sihat, tidak cacat dan cergas. Pengetua yang tidak mempunyai tahap
kesihatan yang baik didapati sukar menjalankan tugasnya dengan berkesan.
Pengetua juga perlu mempunyai tahap kecerdasan (IQ) yang tinggi dan kecerdasan
emosi yang seimbang (EQ Test). Kenyataan ini disokong oleh Keith Davis (1972)
yang mengatakan pemimpin (pengetua) hendaklah mempunyai kecerdasan IQ yang
tinggi daripada kecerdasan standard kakitangannya. Ciri ini penting bagi
membolehkan pengetua menangani masalah yang dihadapi secara rasional. Mengikut
Keith Davis lagi, pemimpin (pengetua) juga perlu mempunyai kematangan sosial
iaitu matang dan stabil dari segi emosi serta mempunyai konsep kendiri yang
boleh diteladani dan disanjung. Kajian yang dijalankan untuk melihat stres dan kepuasan
kerja di kalangan guru-guru di negara ini mendapati bahawa pengetua adalah
antara golongan yang mengalami stres pekerjaan berbanding dengan profesion
lain. Kecergasan fizikal yang terganggu dan ketidakstabilan emosi akan
mempengaruhi sikap dan tingkah laku pengetua terhadap tugas dan gaya
kepimpinannya. Pengetua yang terlalu emosional didapati lebih mudah mengalami
stres dan sukar diajak berunding. Mereka lebih cenderung mengamalkan gaya
kepimpinan autokratik. Manakala pengetua yang stabil emosinya lebih mudah
diajak berunding dan cenderung mengamalkan gaya kepimpinan demokratik.
- Beriman
dan Bermoral
Ciri-ciri pengetua yang berkesan
tidak akan lengkap jika tidak mengambil kira dari sudut keagamaan. Dari
perspektif Islam, keunggulan seseorang pemimpin atau pengetua seharusnya
melibatkan ketinggian komitmen, moral dan akhlak. Ketinggian moral dan akhlak
sewajarnya dijadikan budaya sekolah di samping mensepadukan kurikulum dan
agama. Sebagai pemimpin sekolah, pengetua perlu mempunyai rasa bertanggungjawab
dan amanah terhadap tugas yang diberikan kepada mereka. Selain daripada
mempunyai kemahiran seperti yang telah dihuraikan sebelum ini, pengetua juga
perlu mempunyai "character" atau keperibadian dan akhlak yang
baik sehinga boleh dijadikan "uswatun hasanah" (model
terbaik).
Perkara ini juga selaras dengan
Steven Covey (1990) yang mengatakan pemimpin bermoral ialah pemimpin yang lebih
menenangkan hati mereka secara perbincangan moral dan rasional. Ia perlu
mengamalkan konsep syura iaitu setiap pengetua perlu menerima pandangan orang
lain atau kakitangannya dengan berlapang dada dan berhati terbuka dalam membuat
keputusan. Oleh itu, sebagai pengetua sebarang tindakan yang diambil untuk
menangani masalah haruslah berdasarkan kepada nilai-nilai kejujuran,
keikhlasan, keadilan dan amanah terhadap tugas dan tanggungjawab. Dengan
mempunyai ciri-ciri ini, pengetua akan dapat menangani masalah di sekolah dalam
keadaan menang-menang (win-win).
- Cadangan dan Saranan Untuk Pemilihan dan Lantikan
Jawatan
Pengetua/Guru Besar Pada Abad Ke 21 Ini
Di bawah ini adalah cadangan dan
saranan untuk memperbaiki pemilihan dan lantikan pengetua/guru besar sekolah
dan dicadangkan juga jawatan pengetua dinaikkan taraf sesuai dengan beban tugas
dan tanggungjawab pengetua di sekolah pada abad ini.
5:1 Semua sekolah menengah Gred A,
seharus dinaikkan pangkat daripada Jawatan Pengetua DG2 kepada Jawatan Pengetua
DG1 selaras dengan beban tugas yang dijalankan oleh pengetua pada hari ini.
Walau bagaimanapun, dalam perlantikan jawatan Pengetua DG1, hendaklah
berdasarkan kepada kelulusan (Masters dan Ph.D.), pengalaman, dan ciri-ciri
pengetua yang berkesan seperti yang dicadangkan di atas.
5:2 Bagi sekolah menengah Gred B,
seharusnya disandang oleh pengetua berjawatan DG2. Walau bagaimanapun, bagi
menjalankan tugas-tugas sebagai pengetua, seharusnya diberi elaun tanggung
kerja di antara RM450 – RM650. Ini untuk membezakan gaji dan beban tugas
pengetua DG2 dengan guru-guru biasa DG2 (lantikan melalui time base).
5:3 Bakal-bakal pengetua/guru besar
yang telah menghadiri Kursus National Professional Qualification Headship
(NPQH) dari IAB dan dari Institut Pengetua, Fakulti Pendidikan, Universiti
Malaya, hendaklah terus dilantik ke jawatan Pengetua/Guru Besar di sekolah
menengah Gred B atau rendah Gred A dengan elaun tanggungan kerja, jika ada
kekosongan jawatan dan tanpa menunggu kekananan jawatan. Ini disebabkan
latihan-latihan yang diberikan kepada mereka ini tidak akan dapat diamalkan di
sekolah sebagai pengetua/guru besar jika tidak terus dilantik.
5:4 Jawatan Guru Besar Gred A di
sekolah rendah seharusnya dipegang oleh guru-guru siswazah yang telah
menghadiri kursus NPQH, dengan diberi elaun tanggungan kerja. Jawatan Guru
Besar di sekolah rendah Gred B seharusnya dipegang oleh guru-guru DG4 atau DG5.
5:5 Pengetua/guru besar yang
dilantik dan yang memegang jawatan di sekolah hendaklah terdiri daripada mereka
yang berumur 35 – 45 tahun, kerana mereka ini masih bertenaga, berinovatif dan
kreatif dalam mengubah dan memajukan sekolah untuk menjadi sekolah berkesan.
- Jawatan Pengetua seharusnya dipegang oleh mereka
yang mempunyai keluusan Master atau Ph.D. serta telah menghadiri kursus
NPQH di IAB.
Kesimpulan
Dalam menangani permasalahan yang
semakin kompleks di sekolah-sekolah pada abad ke 21 ini, pengetua/guru besar
seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti: mempunyai kualiti kepimpinan, mempunyai
kemahiran dan berketrampilan dalam bidang teknikal, kemanusiaan, pendidikan,
budaya dan simbolik, berkemahiran dalam komunikasi, motivasi, membuat keputusan
dan penyelesaian masalah. Selain itu, ia mesti mempunyai kecergasan fizikal dan
kestabilan emosi, beriman dan bermoral. Walau bagaimanapun, Kementerian
Pendidikan seharusnya memberikan ganjaran yang setimpal dengan beban tugas dan
tanggungjawab yang semakin kompleks yang dipikul oleh pengetua pada abad ke 21
ini.
Bibliografi
Abd. Razak Wahid (2000). Ciri-Ciri
Pengetua Yang Unggul Bagi Menangani Masalah-Masalah Yang Terdapat Di Sekolah
Menengah Di Malaysia. (Artikel yang tidak
diterbitkan).
Ahmad Tajuddin bin Abd. Hamid
(1989). Peranan Pengetua Dalam Kepimpinan Pengajaran. Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya. (Disertasi M.Ed. yang tidak diterbitkan).
Alias bin Ngah (2000). Ciri-Ciri
Pengetua Yang Unggul Bagi Menangani Masalah-Masalah Yang Terdapat Di Sekolah
Menengah Di Malaysia. (Artikel yang tidak diterbitkan).
Azizah bte. Isa (2000). Apakah
Pengetua-Pengetua di Malaysia Menjalankan Tugas Sebagai Pemimpin Pengajaran
atau Pemimpin Pentadbir? (Artikel yang tidak diterbitkan).
Azmi Zakaria (1996). "Indikator
Pemimpin Cemerlang: Satu Analisis Pengurusan". Jurnal Pendidikan. Genting
Highland: Institut Aminuddin Baki.
Brookover, W.B. dan Lezotte, L.W. (1979). Changes
in School Characteristics Coincident with Changes in Student Achievement.
East Lansing: Michigan State University: College of Urban Development.
Covey, S. (1990). Principle-Centered
Leadership. New York: Fireside, Simon & Schuster.
Dwyer, D.C. (1986). Understanding the
Principal’s Contribution to Instruction dalam D.C. Dwyer (ed.), The Principal
as Instructional Leader. Peabody Journal of Education, 63 (1),
hlm. 3 – 17.
Edmond, R. (1979). Effective Schools for the
Urban Poor dalam Educational Leadership, 37 (1), hlm. 15 – 27.
Fadzilah bin Hj. Md. Noor (1990). Tingkah Laku Pentadbiran dan Kepimpinan Pengetua Sekolah Menengah di Pahang. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. (Disertasi M.Ed. yang tidak
diterbitkan).
Hanafi Kamal (1980). An Identification
for the Desirable Behavioral Domains of the Secondary School Principalship in
Malaysia. University Ohio. (Tesis kedoktoran
yang tidak diterbitkan).
Hoy, W.K. dan Miskel, C.G. (1991). Educational
Administration, Theory Research and Practice. Singapore:
McGraw-Hill.
Hussein Mahmood (1993). Kepemimpinan
dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Institut Aminuddin Baki (1998). Profil
Pengetua/Guru Besar Berkesan Menurut Model Malaysia. Mesyuarat Gerakan
Pengetua Berkesan, 5 Mac 1998. (Tidak diterbitkan).
Kementerian Pendidikan Malaysia
(1982). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di Sekolah-Sekolah.
Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Krajewski, R.J. (1977). "Secondary
Principals Want to be Instructional Leader". Phi Delta Kappan,
hlm. 53 – 58.
Leithwood dan Montgemery. (1982). "The
Role of The Elementary School Principal In Program Improvement". Review
of Educational Research, 52 (3).
Levine, D., dan Lezotte, L. (1990). Unusually
Effective Schools. Madison, WI: The National Center for Effective
Schools Research and Development.
Lunenburg, C.F. (1995). The
Principalship. Englewood Cliffs: Prentice Hall.
Mortimore, P., Sammons, P., Stoll, L., Lewis,
S., dan Ecob, R. (1988). School Matters: The Junior Years.
Somerset, Open Books.
Peter Mortimore. (1995). "Key
Characteristics of Effective School". Kertas dibentangkan pada seminar Sekolah Efektif, Genting Highlands:
Institut Aminuddin Baki.
Robiah Sidin (1994). Pendidikan
Di Malaysia: Cabaran Untuk Masa Depan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Rutter, M., Maughan, B., Mortimore, P.,
Ouston, J., dan Smith, A. (1979). Fifteen Thousand Hours: Secondary
School and Their Effects on Children. Cambridge MA: Harvard University
Press.
Sergiovani, T.J. (1982). "Ten Principles
of Quality Leadership". Educational Leadership, 35 (9).
Sergiovani, T.J. (1984). "Leadership and
Excellent in Schooling". Educational Leadership, 41 (5).
Sergiovani, T.J. (1995). "The
Principalship: A Reflective Practice Perspective". Boston: Allyn
and Bacon.
Shahril @ Charil Marzuki (1997). Kajian
Sekolah Berkesan Di Malaysia: Model Lima Faktor. Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia. (Tesis kedoktoran tidak
diterbitkan).
Stoner, J. A. F. (1989). Pengurusan
(edisi terjemahan). Kuala Lumpur: AMIZA.
Sweeney, J. (1982). "Research Synthesis
on Effective School Leadership". Educational Leadership, 39
(5), hlm. 346 – 352.
Zaidatul Akmaliah (1999). Pentadbiran
Pendidikan. Kuala Lumpur:Fajar Bakti.
No comments:
Post a Comment